Tuesday, August 30, 2016

Bingung kerana segumpal duit

Cepat saja kaki melangkah keluar sebaik hubby parking kereta. Tiba-tiba mata tua ini boleh pula terus ternampak dengan jelas segumpal wang kertas di kakilima mall yang mahu kami singgahi. Entah mengapa cepat saja tangan mengutipnya tetapi selepas itu menjadi bingung. Kepada siapa mahu dipulangkan. Tunggulah seketika mana tahu ada yang empunya datang berpatah balik, tiada pula yang menyusur patah balik mencari. "Kenapa mama ambil tadi?" itu yang adik tanyakan. "Entahlah dik." Aku jadi tidak tahu. Buka pintu kereta balik masukkan dalam kereta duit itu kerana tidak mahu bercampur dengan duit milik sendiri. Teruskan juga misi berbelanja barang keperluan adik.

Duit itu terus berada di dalam kereta ketika kami balik JB. Kesal. Tetapi sudah ada di tangan. Bincang-bincang dengan keluarga sendiri lalu keputusan di ambil masukkan sajalah ke dalam tabung masjid dengan diniatkan sedekah dan pahalanya moga diberikan kepada mereka yang tercicir seandainya ia milik umat Islam. Jika ia milik asal bukan Islam semoga menjadi kebaikan buatnya sebagai charity. Tahu tindakan ini tidak wajar tetapi aku sudah tidak tahu mahu buat bagaimana. Mana mungkin mahu diiklankan di akhbar walaupun mungkin itu yang sepatutnya. Jumlahnya pun tidaklah banyak sangat sekadar RM17/- saja.

Teringat kisah dulu sewaktu aku di tingkatan enam balik dari sekolah. Aku mengutip duit yang terbang dari kocek seorang penunggang motorsikal yang belakang motornya ada bakul durian. Jumlah yang aku kutip sehingga lebih seratus ringgit. Tetapi naifnya aku waktu itu tanpa rasa bersalah terus mengutip apa lagi orang itu tidak sedar atau berpatah balik meminta (aku berjalan sambil menunggu juga mana tahu apek itu sedar) tetapi bila orang itu terus pergi berlalu, aku gunakan duit itu untuk membeli buku rujukan. Keluarga aku miskin apa lagi peluang digunakan bagai durian runtuh. Bila terkenang kembali sedih dan kesal pula. Kalau terjadi pada anak-anak aku rasanya tidak bertindak seperti aku dulu. Moga Allah terima taubat aku.

~~ Harap janganlah dipertemukan lagi hal-hal begini. ~~

Monday, August 29, 2016

Sabtu yang berlalu pergi

Bukan mengabaikan blog ini tetapi lumrah sebagai manusia biasa tidak dapat lari dari rasa kurang selesa apabila sedikit ujian Allah berikan. Sungguh bila ujian diberikan itulah tanda Allah mahu kita semakin mendekatkan diri kepadaNya. Biarpun sedar setiap yang kita ada sekadar pinjaman tetapi apabila kita kehilangan apa yang kita sayangi pasti sedikit sebanyak mengundang rasa sedih. Namun bila sedih ini membuatkan kita semakin hampir kepadaNya itulah hikmah disebalik kejadian. Redha.
Sarapan Sabtu - Membuatnya kerana menunaikan kehendak adik. Boleh dikatakan setiap Sabtu kami akan pergi ziarah adik. Kalau bukan dia yang rindu, kami pula yang rindu oleh sebab itu setiap minggu mengukur jalan sehingga yang jauh akan dirasakan bagaikan dekat.
Bekal - Ini Kak Meen punya. Buat dua kerana satu lagi untuk kawannya yang sama-sama ada kelas tuisyen.
Adik punya - Tanpa sambal. Walaupun kosong begini tetapi inilah yang dimintanya sehari sebelum pergi bertemu. Sebenarnya ketika berjumpa membawanya keluar makan di luar, tetapi adik makan ini di dalam kereta.  Nasi goreng kampung yang semuanya bawang-bawang, cili dan ikan bilis ditumbuk memang menjadi favorite adik.
Roti arab - Balik dari ziarah adik berdua suami-isteri singgah di warung ini. Makan roti arab digandingkan dengan sup kambing. 
Banyak - Membeli dua bungkus. Satu bungkus ada lima keping berharga RM7/-
Sup kambing - Kedudukan kedai makan ini bersebelahan dengan masjid Kg Sg Telor, Kota Tinggi.  Percaya atau tidak jika aku katakan semangkuk ini hanya berharga RM5/-. Aku berkongsi semangkuk ini dengan hubby. Yang pasti di JB sup kambing kalau begini banyak tidak dapatlah RM5/-

Pedas - Sambal kicap yang pedas tapi sedap bila digandingkan dengan sup di atas.
Keluar rumah pagi tiba rumah sudah hampir menjelang maghrib. Begitulah rutin keluarga yang kena lalui setiap minggu. Bersyukur walaupun letih tetapi ada kepuasan di hati seisi keluarga.

~~ Alhamdulillah masih diberi kasih-sayang dariNya.~~


Tuesday, August 23, 2016

Akhirnya dia pergi jua - 2

Dua hari sebelum dijemput ke alam barzakh bapak di bawa ke rumah kakak ku yang anak-anak panggil Mama Leha. Sebelum ini juga selain rumah aku, rumah Mama Leha merupakan tempat yang bapak agak selesa sebab sudah berpuluh tahun Mama Leha tidak bekerja sejak business MLM dia menjadi tumpuan utama. Mak Zah dan Abah Din biasanya akan mengikut saja di mana bapak berada di situlah dia akan berada.

Pagi 16-08-2016 bapak masih seperti biasa sehinggalah hampir menjelang asar. Sebelum solat asar itulah Mama Leha dan Mak Zah tersedar yang bapak terkencing dan ada sedikit najis. Maka bapak dibawa ke bilik air dan dimandikan seperti biasa sebab ini tidak pernah terjadi. Sewaktu memandikan bapak Mama Leha sedar lubang najis bapak sudah agak besar oleh itu selepas dibersihkan bapak dipakaikan pampers yang sebelum ini tidak pernah lagi pun sebab bapak masih boleh memanggil bila mana dia mahu membuang air. Selepas solat asar ketika berbaring itulah bapak bercakap dengan jelas dia dahaga. Mak Zah memberi air minum dan ada sedikit kelegaan sebab biasa bapak bila minum agak susah mahu menelan tetapi waktu itu bagaikan mudah untuk bapak menelannya. 

Tetapi kelegaan yang disangkakan adalah petanda Izrael sudah sedia akur perintah Allah. Bapak pula memang selalu beristighfar dan menyebut Allah-Allah-Allah oleh itu pada kami anak-anak langsung tidak terfikir yang bapak sebenarnya sudah nazak. Sakratulmaut sudah hampir menjemputnya. Bila melihat bapak agak sesak bernafas barulah Mak Zah terus bisik pada bapak untuk istighfar, syahadah dan menyebut Allah. Awalnya masih jelas didengar telinga tetapi akhirnya hanya kelihatan lidah bapak yang bergerak sehingga akhirnya bapak sudah tidak bernafas lagi. 

Memandangkan waktu itu sudah hampir benar dengan waktu solat maghrib terpaksalah membuat urusan report ke Balai Polis dan pengesahan doktor selepas maghrib. Kemudian barulah jenazah dibawa pulang ke Pontian. Kami bersyukur juga bapak pergi pada hari orang bekerja/sekolah jadi jalan sangat lengang dan mudah walaupun jauh. Traffic light juga sepanjang beratus-ratus kilometer semuanya bagaikan hormat ada van jenazah lalu kerana dari berpuluh-puluh ditemui hanya satu saja ditemukan lampu merah. Satu yang sangat-sangat membantu dipercepatkan perjalanan. Tidak sampai tengahmalam jenazah bapak sudah tiba di rumah kampung kami.

Beruntungnya bapak punya ramai anak, menantu dan cucu. Semua boleh mengambil urusan terbaik. Memandangkan rumah bapak kosong aku merupakan anak terdekat (JB) balik dulu sebaik mendapat berita. Abah Din mengurus van jenazah. Abang ipar mengurus report ke balai dan hospital untuk mendapat pengesahan doktor. Papa pula berurusan dengan asrama MRSM adik untuk menjemputnya dengan Kak Reen memandangkan sudah malam. Aku, Kak Meen dan Kak Meera balik dulu mengemas rumah bapak apa yang patut. Tiba rumah semua lampu-lampu aku on. Bagaikan Hari Raya terang-benderang. Sambil mengemas sambil membaca yasiin sebab kami hafal. Sofa-sofa semua kami usung masuk ruang rumah tengah dan dapur. Aku sediakan sekali tilam saiz kecil dan alaskan dengan kain ihram bapak. Bantal juga aku sarungkan dengan warna putih. Semua ruang rumah kami bersihkan. Apabila semua adik-beradik-anak-cucu-cicit berkumpul itulah kami sepakat agihkan setiap seorang membaca satu/dua juzuk Al-Quran seorang untuk disedekahkan pahalanya buat bapak. Khususan untuk bapak/atok kami selepas selesai kami semua bertahlil anak-beranak. Syukur sebelum menjelang subuh 30 juzuk selesai kami hadiahkan buat bapak/atok kami di selang-selikan dengan bacaan Yasiin. Moga Allah terima amalan kami khas buat bapak.

Selepas subuh satu-persatu keluarga kami sepupu-saudara-mara-rakan-taulan-sahabat-handai-jiran-tetangga datang berziarah. Sebaik mereka mengambil alih membaca ayat-ayat suci barulah kami pergi mandi (kerana kami tidak tidur pada malam itu) dan bersedia menanti untuk jenazah bapak dimandikan. Alhamdulillah jenazah bapak siap disemadikan lebih kurang jam 10:30 pagi pada 17-08-2016.

Sesungguhnya kami redha walau airmata tetap luruh tapi sebelum ini kami sudah puas mengalirkan airmata setiap kali melihat bapak bersolat, mandi, berzikir, makan-minum, bergerak ke sana-sini dengan bantuan kami. Setiap kali melihat kami solat berjemaah dia tidak mampu mengikut sebab solatnya memerlukan bantuan kami mengampu belakang juga moment yang sangat menyayat hati. Solat berbaring bapak tidak selesa walau hakikatnya dibolehlah dalam rukhsah solat. 

Malam - Selepas tahlil bila semua tetamu semua sudah balik barulah anak-cucu-sepupu-sepapat yang lelaki makan di ruang tamu.
Ahad - Hampir menjelang maghrib tiba di rumah sendiri baru aku teringat untuk membelek telefon. Beribu whatsapps, berbelas emails dan 2 messages tidak aku lihat. Mohon kemaafan kepada sahabat-handai-saudara-mara semua termasuk teman blogger yang tidak sempat aku singgahi sehingga kini.

~~ Bersemadilah bapak sementara di sana kerana kami semua juga pasti akan menyusul dan semoga kita disatukan semula olehNya di syurgaNya kelak. Ameen.~~


Monday, August 22, 2016

Akhirnya dia pergi jua - 1

Kullunafsin zaa iqotul maut. Sungguh benar ayat Allah ini. Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Benarlah mati itu benar. Alam kubur itu benar. Syurga dan neraka Allah itu benar.

Innalillahi wainna ilaihi rojiuun. Dari Dia kita datang kepadaNya juga kita kembali. Akhirnya kami anak-cucu-cicit Haji Purvit semua redha Allah perintahkan Izrael untuk mencabut usianya dan meletakkan beliau tinggal di alam barzakh sementara menanti hari perhitungan tiba. Telah ditinggal semua pangkat sebagai bapak, atok, imam, haji dan sebagainya. 
Sijil kematian - Bapak meninggal di Kota Tinggi sebelum menjelang maghrib 16-08-2016 di rumah kakak ku dan dibawa balik ke Pontian  selepas maghrib untuk disemadikan pada pagi 17-08-2016.

~~Semoga Allah meletakkan bapak kami bersama para syuhada'. Ameen.~~

Tuesday, August 16, 2016

Mereka belum mumayyiz atau baligh -1

Keriuhan selepas habis mengaji perkara biasa. Tetapi apabila ada yang mengadu sebab jari luka digigit aku bimbang juga. Benar semuanya anak belum mumayyiz hatta belum baligh juga. Tetapi apabila mereka berada di rumah aku bermakna mereka berada di atas tanggungjawab aku. Kena marah sudah perkara biasa buat mereka. Tetapi kalau dikatakan budak selepas kena marah pun masih datang kepada kita kerana hendakkan sesuatu. Aku bersyukur sehingga kini belum ada ibu-bapa yang datang akibat anak mereka dimarahi oleh aku.
Icha - Inilah anak dara yang belum baligh dan belum mumayyiz yang mengigit jari anak bujang orang. Muka manis sebab dia tidak ada rasa bersalah pun. Anak dara hampir 4 tahun ini tidak sengaja katanya. Minta maaf sudah dibuat tetapi dek kerana sakit si bujang 10 tahun tetaplah ada airmata walaupun suara tangisan tidak ada.

Gigi - Lihatlah giginya yang 'cantik'' itu. Manalah tidak sakit kalau tergigit. Betul memang dia tidak sengaja. 
Bermula kerana tidak pandai mahu membuka gula-gula lalu si bujang 10 tahun itu mahu membantu. Bila sudah dibuka lalu disuakan gula-gula yang dibukakan. Tetapi bukan digigit bahagian hujung gula-gula, sebaliknya dia tergigit lebih dari hujung gula-gula hingga ke pembungkus yang dipegang jari si bujang tadi. Bila mendengar orang mengaduh sakit baru sedar dia sudah tergigit jari si bujang tersebut. Gula-gula itu aku letak di atas meja dapat dari salah satu hamper Hari Raya yang aku dapat. Siapalah yang mahu makan kalau bukan budak-budak ini.

~~ Bukan mudah mengawal anak orang. Begitulah cikgu di sekolah. ~~



Monday, August 15, 2016

Kampung vs bandar

Membeli telur kampung di pasaraya brand Nutriplus kelihatan putih mulus. Kepada yang telah menjejakkan kaki ke Mekah/Madinah pasti ingat yang rata-rata telur di sana berwarna putih tidak seperti telur di tempat kita yang agak coklat sedikit cengkerangnya. Melihat putih itulah aku  terpikat untuk membeli. Tercatat pula diluar kotak "telur kampung omega". Tiba di rumah jelas telur kampung omega ini jauh lebih besar dengan telur ayam kampung yang aku bawa dari rumah bapak.
Telur kampung - Putih itu telur kampung omega yang aku beli. Dua lagi telur kampung origin dari kampung ku nan damai:)
Mencuba - Hari minggu sendirian aku mencuba untuk makan telur setengah masak.
Berbeza - Duduk di dalam alat stim dengan masa yang sama. Putih telurnya mempunyai kekentalan yang sama tetapi kuning telur ayam kampung ku nan damai sudah bulat dan isi di dalam cair. Nikmat lemak. Omega di pasaraya bagaikan telur biasa yang aku buat kek.
Bersatu - Apa pun dua-dua aku telan sebaik curah sedikit kicap tanpa pepper pun boleh saja. Saja-saja mahu membuat perbandingan rasa dan saiz antara keduanya.
Besar dan kecil tidak menjadi soal tapi nikmat dan kelazatan tetap berbeza. Untuk aku yang berasal anak kampung pasti dapat merasa perbezaan antara telur kampung dan bukan. Begitu juga ayam kampung dan ayam bandar buat kami lidah anak kampung dapat merasa perbezaannya.

~~ Kampung atau bandar tetap ada kelebihannya. Hanya yang terbaik jika dapat menikmatinya tanpa kos itulah lebih indah terasa. ~~



Friday, August 12, 2016

Harapan, doa dan keyakinan

Hari Isnin baru lepas ada salah seorang staff aku mengalami kemalangan jalanraya. Seorang bapa mempunyai dua orang anak tetapi jauh lebih muda dari aku. Sebab itu aku sudah menganggap mereka di bawah ini sebagai adik-adik saja. Sewaktu dia ditimpa kemalangan dan menelefon aku cepat saja kaki aku melangkah turun walaupun ketika itu aku sedang melelapkan mata sementara menanti waktu zuhor. Dia keluar mengambil anaknya di tadika dan balik untuk makan tengahari di rumah, tetapi balik ke tempat kerja dengan keadaan menggigil. Aku lihat ada airmata sudah merembes keluar dari pepupuk mata. Baring di atas kerusi panjang sambil terketar-ketar bercerita bagaimana trailer itu merempuh kereta Kancilnya yang comel. Bergegar dengan anaknya sekali waktu itu berada di dalam kereta. Apa yang dia ngeri membayangkan kalau terjadi sesuatu ke atas anaknya itu yang paling buat dia tidak dapat membuat kerja. Aku tidak sampai hati melihatnya yang berbaring lalu aku gosok-gosok belakangnya (diluar bajunya) minta beristighfar dan sujud syukur tapi dia sudah tidak mampu. Lalu aku biarkan dia berehat kerana azan zuhor sudah berkumandang. Ada staff-staff lain juga menemankan waktu itu.

Selesai solat aku ambil mug dan air masak. Buatlah apa yang aku mampu bagi menghilangkan sedikit rasa gementar/gemuruh pada staff tadi. Dengan masih bertelekung lagi aku suakan kepadanya dan minta dia membaca selawat dan doa ringkas "Allahumma aghnini.... sehingga wajammilna bil'afiah" Minum dan sedikit sapu di mukanya (dia buat sendiri). Kemudian aku suruh dia solat zuhor. 
Air - Inilah mug yang aku gunakan itu.
Selesai solat kelihatan muka sudah sedikit cerah. Wajahnya yang pucat sudah kelihatan balik asal. Walaupun aku tidak pandai tetapi berkat adanya keyakinan dari doa yang aku baca dia kelihatan kembali normal, apatah lagi dia sudah bersolat. Barulah mampu bercerita dari awal hingga akhirnya. Sementara kami semua pun lega melihatnya walau kami tahu dia sedih dengan keadaan keretanya yang remuk. Walaupun pihak trailer itu akan memberi gantirugi dengan membaiki semua kerosakan tetapi untuk sementara waktu ini dia tidak mempunyai kenderaan lain. Sedih.

~~ Keyakinan kena ada ketika berdoa dan berusaha.~~




Thursday, August 11, 2016

Hidup sentiasa mengejar dan dikejar masa

Baru dalam 15 minit perjalanan was-was dalam mindaku diterjah. " Tadi mama dah tutup ke belum api dapur?" Itu yang aku tanya pada anak-anak sebaik dalam perjalanan mahu menghantar adik balik ke asrama Sabtu lepas. Papa mahu kepastian sambil memandu perlahan kerana sudah hampir simpang JPO. Tidak mahu menanggung risiko papa buat pusingan U berpatah balik. Masuk rumah terus ke dapur nyata api sudah dipadamkan pun. Membazir masa. Teringat suroh An-Nas - syaitan selalu menggoda anak-anak Adam untuk selalu ada rasa was-was. Kerana cuaca mendung kenalah tolak ampaian baju ke dalam sedikit baru bertolak semula. Memandangkan jam sudah 3:00 petang hajat untuk singgah di Aeon tidaklah jadi. Teruskan saja perjalanan untuk menghantar adik sebab kena sampai sebelum jam 6:00 petang.

Tiba di sana sudah agak lambat. Selepas membantu adik membawa semua barang-barang keperluan ke atas, kami menumpang solat asar di surau sekolah. Jam sudah hampir 6:00 petang baru kami bertolak balik. Sebaik tiba di bandar Kota Tinggi azan maghrib sudah berkumandang. Singgah solat di masjid Kota Tinggi. Keluar masjid terlihat banyak warung dengan aroma menggoda selera. Walaupun di rumah masih ada baki nasi tomato tetapi aroma menggoda membuat kami menjamu makan di situ.

Air minum - Bermacam-macam bentuk gelas dan mug yang digunakan. Air masak, air cikong, asam boi limau dan teh-o limau.
Kupang - Lama sungguh kami tidak makan kupang. Tapi tetap tidak terhabis sebab agak banyak portion yang diberikan.
Sup tulang - Pekat-likat tetapi kurang menepati selera kami sekeluarga
Kailan ikan masin - Bolehlah juga sebab kami makan tanpa sayur ibarat tidur tanpa bantal. Daripada tidak ada sayur lebih baik ada baru selera kami terbuka.
Telur dadar - Kalau mama punya lagi sedap hihi... Tetapi tetap licin kami makan
Sup cendawan - Dalam kata kurang sedap habis juga mama dgn Kak Mira habiskan mangkuk ini. Rezeki dari Allah kena nikmati dengan kesyukuran.
Siakap 3 rasa - Licin kami makan tinggal tulang sebelum membayar
Apa yang nampak membanggakan di tempat aku singgah makan itu semuanya orang bangsaku. Cuma yang sedihnya ada kalangan yang terus dilalaikan dengan masa dek kerana pelanggan yang tidak putus walhal masjid hanya di seberang jalan saja. Fikir-fikirkanlah...

~~ Dunia dikejar akhirat usah dilupa.~~


Wednesday, August 10, 2016

Sesegar namanya harumanis


Harumanis - Hubby petik di tempat kerjanya. Mangga harumanis menjadi salah satu lanskap di bangunan CIQ Sultan Abu Bakar. Tiga biji sudah penuh semangkuk besar ini.
Semangkuk - Buatnya sama dengan ayam masak merah dan sup ayam untuk hidangan makan nasi tomato. Biasa semangkuk begini tidak berbaki tetapi dek kenyang makan harumanis di atas ketika makan nasi ini masih berbaki lagi.

~~ Musim harumanis belum habis, durian sudah menyusul di sana-sini.~~


Tuesday, August 9, 2016

KWSP - Simpanan Syariah

Aku baru balik dari pejabat KWSP. Boleh tahan ramai yang mahu mendaftar sebagai penabung mengikut prinsip syariah yang baru dilancarkan pendaftarannya semalam. Aku pergi dengan hubby hari ini memandangkan hari ini Singapore cuti sempena national-day negara mereka. Pejabat aku bekerja berkait-rapat dengan Singapore. Bila mereka bercuti pejabat aku pun agak sunyi. Telefon pun jarang berdering.

Brochure - Ini yang diberikan sebaik kami suami-isteri tiba di tingkat 17 Bangunan KWSP JB pagi tadi. 
Isi kandungan - Boleh perhatikan dan baca sebahagian penerangan di sini
Pencarum - Kami tiba jam 7:30 pagi sudah ada yang menanti. Tapi kira bernasib baik kerana jam 8:10 pagi semua staff sudah sedia dengan komputer masing-masing. 

Beratur - Mereka yang datang ketika kerusi sudah penuh beratur menanti giliran masing-masing. Belum pun pukul 8:30 rasa aku sudah beratus yang menanti.

Kaunter - Hubby sedang berurusan. Sungguh aku puji kakitangan KWSP dari dulu hingga kini setiap kali aku berurusan amat jelas budi-pekertinya yang berhemah dan cekap dan cepat. Tidak sampai 5 minit setiap seorang siap semua urusan. Walaupun kaunter ada 9 tetapi dalam masa 5 minit rasa aku boleh berurusan lebih kurang 18 orang.  Syabas buat mereka!
Patuh Syariah - Kepada yang masih belum lagi jangan tunggu lama-lama.
Biarpun ada suara-suara sumbang melalui whatsapp berkaitan simpanan syariah ini tetapi kami tetap menukar sistem simpanan kami secara patuh syariah ini. Sekurang-kurangnya kami sudah mencari jalan penyucian yang sepatutnya dilakukan ke atas simpanan tersebut. "Tabung" aku ini menunggu umur 55 tahun bolehlah dikeluarkan dengan hati yang lega.

~~ Sebagai pemimpin ada tanggungjawab perlu dilaksanakan kerana rakyat tidak ada kemampuan untuk merubah sistem/corak yang lebih Islamik.~~

Monday, August 8, 2016

Usia adik berganjak lagi satu angka

Jumaat lepas sebenarnya ulangtahun anakanda bongsu kami. Nasib adik agak baik sebab hari Khamis itu hari balik rumah dapatlah papa pergi menjemputnya balik. Oleh itu untuk makan malam pada hari itu adiklah yang memilih tempat makan. Mama, papa dan kakak-kakak ikut saja. Pejam-celik-pejam-celik adik sudah 13 tahun. Sudah belajar merantau di tempat orang. Sebulan sekali dapatlah menjejak kaki di rumah. Mengharap minda semakin terbuka dan mampu menghadapi cabaran demi kebahgaiaan di dunia dan akhirat.
Air minuman pilihan - Sebelum air sampai sudah beberapa piring yang diambil dari meja bergerak dan masuk ke dalam perut 
Menanti - Melihat piring yg berpusing ini agak kurang lalu kami memilih duduk di meja dan membeli yang set saja.
Favourite - Semua anak-anak mama suka betul yang satu ini
Pilhan Kak Reen dan Kak Mira
Semua juga menikmati ini
Puteri yang diraikan memilih set ini
Mama punya set
Papa punya set
Selain set Kak Meen dan semua juga mengambil dari piring yang bergerak sehingga tinggi begini.
Semoga adik semakin bijak mengendali diri dalam melayari kehidupan sebagai hamba Allah dan anak mama/papa yang sebaik-baiknya. Mampu menilai yang mana baik dan buruk demi kelangsungan hidup di dunia dan seterusnya bahagia di akhirat kelak. 

~~ Sanah Helwah adik.~~

Friday, August 5, 2016

Panggilan haji sudah tiba lagi

Semalam aku bekerja setengah hari kerana sama-sama mahu meraikan abang ipar dan isterinya yang akan menunaikan ibadah haji pada tahun ini. Alhamdulillah setelah menanti sekian lama akhirnya hajatnya mahu menunaikan ibadah haji ini dimakbulkan Allah. Kalau sebelum ini beliau selalu berkata "untunglah kamu muda-muda sudah dipanggil, abang ni bertahun menanti tak lagi naik nama". Tetapi hari raya lepas merupakan gembira berganda buatnya sehingga mengalir airmata sebaik menerima surat dari Tabung Haji mengesahkan tarikh penerbangannnya. Walaupun agak berusia iaitu usia 60 dan 58 tahun baru dapat pergi tetapi kami bersyukur abang dan kakak masih sihat lagi. 

Airport Senai - Kami sudah berkumpul di sini sebelum maghrib lagi. 
Keluarga - Selepas solat maghrib masing-masing menikmati nasi lemak yang aku masak sendirian sebab papa dan Kak Reen semalam menjemput adik di asramanya. 
Nasi lemak - Sebekas ini aku bawa untuk kami sekeluarga. Beli juga air mineral sebab agak leceh jika mahu membawa air dan gelas. Apa pun bersyukur dapat juga kami memberi kepada jemaah yang duduk bersebelahan kami. Tidak baik jika kita makan ada mereka yang nampak sedangkan dia tidak makan apa-apa waktu itu. Sekadar sepiring-dua tidak luak mana pun.
Lauk - Sekadar ayam goreng dan telur rebus. Tidak ada ikan bilis goreng dan kacang sebab agak leceh untuk di makan ketika suasana bersesak dengan orang ramai. Bimbang jatuh-jatuh di lantai pun juga.
Sambal/timun - Sambal yang penuh sebekas ini tinggal suku saja. Timun rata-rata yang makan yang perempuan saja. Anak-anak lelaki semuanya kurang minat dengan timun.
Sepiring -  Tidak tahu siapa punya ini sebab semua gambar sebenarnya aku ambil dari group whatsapp keluarga. Aku tertinggal telefon malam tadi. Sengaja bawakan piring polystyrene saja. Mudah lepas makan terus buang.  Plastik sampah juga aku bawa supaya tidak bersepah.
Bertolak - Selepas solat isyak pendafatarn dibuat barulah abang/kakak bergilir-gilir dengan jemalah lain bertolak masuk ke balai pelepasan untuk terbang dari Senai untuk transit di Kelana Jaya. Dari Kelana Jaya baru bertolak ke Madinah bukan Jeddah. Aku dan hubby dulu dari Senai terus ke Jeddah.
Sungguh aku dapat merasakan menjalankan ibadah haji di bulan haji tidak sama dengan menjalankan ibadah umrah yang biasa kita buat. Ibadah haji melibatkan waktu yang panjang. Mendidik kesabaran, ukhuwah dan jilanan sesama ummah, mencuci jiwa sentiasa mahu berbaik-sangka selalu. Ibadah haji juga melibatkan perjalanan yang panjang terutama ketika kita mahu ke Arafah, Muzdalifah dan ke Mina untuk jamrah. Semua ini tidak ada ketika menjalankan ibadah umrah. Ibadah umrah sekadar niat, tawaf, sa'ie dan bercukur. Sebab itulah mengapa biasa jemaah samada sebelum atau sesudah habis menjalankan ibadah haji akan menjalankan ibadah umrah berkali-kali ketika berada di sana.

~~ Labaikallahumma Labbaik. Labbaikala Syarikalakalabbaik.~~


Thursday, August 4, 2016

Syawal 1437H sudah melabuhkan tirainya

Berlalulah sudah Syawal 1437H.  Hari ini sudah 1 Zulkaedah 1437H. Sana-sini sudah bermula undangan ke majlis saudara-mara, rakan-taulan yang mahu ke tanah suci pula yang tidak kurang meriah seperti juga rumah terbuka di hari raya. Memandangkan rumahku dekat dengan lapangan terbang seringkali dijadikan persinggahan buat saudara yang mahu ke tanah suci sebelum ke lapangan terbang. Syukur sangat sebab bila ada peluang ini hati aku meronta bagaikan mahu berangkat sama. Detik itu bagaikan menerawang kembali dalam ingatan. Sayu terasa sebaik azan dilaungkan di depan pintu pagar sebelum semua bertolak ke lapangan terbang. 

Kuih raya - Sebenarnya kuih raya aku masih banyak lagi. Membelinya baru tiga jenis. Buat sendiri dua jenis tetapi sedekah yang aku terima terlalu banyak hingga ada yang diagih ke rumah bapak. Apa lagi biasanya bila ada tetamu datang dihidang dengan hidangan seperti laksa, mee, nasi dan sebagainya. Akibatnya biskut sekadar cuit sedikit sana-sini saja.

Setengah balang - Lihat ini masih banyak. Sebelah kiri aku beli yang kanan Kak Reen buat

Bekas kecil - Masukkan ke dalam balang-balang kecil. Yang tengah itu Kak Reen buat lainnya beli dan orang sedekah
Telungkup - Semua sudah bersih. Set untuk meja di dalam pun sudah dicuci. Set meja di luar juga dicuci sama. Tunggu tahun depan boleh digunakan lagi. Bekas ini juga sudah 3 kali raya kami gunakan.
Semoga keindahan syawal yang dirai mendapat redhaNya. Bergembira, berkunjung, bersedekah, menjamu tetamu hatta berbaju baru semuanya ada ganjaran. Apa yang penting jangan melanggar syariat. Panjang umur bertemu lagi Syawal tahun hadapan.

~~ Tarikh 10 Zulhijjah akan menyusul dengan kemeriahan Hari Raya Haji yang berbeza pula.~~