Thursday, July 22, 2010

Buat Anak-Anak Mama



Sebenarnya mama tahu
anak-anak mama masih hijau
masih belum mengenal erti kesusahan
tidak jua mengenal erti kepayahan
apa lagi erti kehidupan
seperti yang telah mama lalui kini
ada kalanya membuat mama lelah

Anak-anak mama
selagi nyawa Allah pinjamkan
jadilah kita sebagai manusia
sentiasa di atas garis yang terlakar di kitabNya
usah diragui; apa lagi mengingkari
banyak yang tersurat dan tersirat
ada di hadapan mata

Lihatlah anak-anak mama
di sana ada kerakusan insan
di sana jua ada rintihan si kerdil
di mana-mana juga
ada suara kecil yang hilang
ditelan kebiadaban
ditelan kejumudan
sarat dengan keegoan

Ingatlah anak-anak mama
mama ini pinjaman di dunia saja.....
sementara ada hayat
dengarlah pesan mama
atur langkah kalian
di garisan dan landasan lurus
agar kehidupan bahagia
bukan di sini sahaja
tetapi........
di sana yang kekal selamanya

Buat anak-anak mama
Nurienne Izzati,
Yasmien Izyani dan
Syamien Syazwani
pesan ini tidak akan terhenti di sini
kerana langkah kalian masih panjang lagi












3 comments: