Thursday, August 19, 2010

Bibik Oh Bibik......

Tahun ini merupakan tahun pertama dalam hidup keluarga aku tiada pembantu rumah atau biasanya kami sekeluarga memanggilnya bibik. Aku terpanggil menitiskan coretan ini apabila kata putus tidak ada lagi sehingga kini untuk bayaran gaji yang perlu diberikan kepada pembantu rumah dari negara jiran yang serumpun dengan kita, sama agama dan mudah difahami pertuturannya. Melihat situasi permintaan bayaran gaji sebanyak RM 600/- tidak termasuk insuran yang perlu diberikan rasanya amatlah tinggi; memandangkan makan-pakai, sakit-pening dan apa jua berkaitan dengannya majikan yang kena tanggung. Sedangkan kerani di pejabat aku ada yang gajinya hanya RM 1300/- sahaja.


Mujur juga pada tahun ini anakku yang bungsu telah masuk tahun satu. Bererti seharian dia akan berada di sekolah. Dari pagi hingga ke tengahari anak akan berada di sekolah kebangsaan manakala pada waktu petang dari jam 2:00 hingga jam 3:30 dia akan bersekolah agama. Bererti lebih kurang jam 4:00 petang barulah anak aku akan tiba di rumah. Oleh itu ada lebih baik aku meminta kakak jiran yang tidak bekerja untuk datang ke rumah aku dari waktu itu sehingga aku pulang dari pejabat. Bayaran hanyalah RM 200/- sebulan. Itupun dia pada mulanya tidak mahu mengambil bayaran kerana ada kalanya tidak sampai satu jam dia menemani anakku, aku sudah balik. Tetapi lumrah hidup kita sebagai manusia bila orang tidak mahu (ikhlas menjaga) kita lagilah rasa tidak rugi kalau memberi lebih dari itu.


Bercerita tentang bibik ni aku rasa sejak aku mempunyai zuriat bermacam-macam perangai bibik yang telah aku hadapi. Bibik aku yang pertama adalah bibik kakak ku yang telah tamat tempoh. Oleh kerana anak-anak kakak sudah boleh berdikari dia tidak memerlukannya lagi. Sekembalinya dari Indonesia ke Malaysia semula dia ku ambil sebagai pembantu. Bibik yang inilah satu-satunya yang boleh dikenang jasanya. Anak ku memanggilnya nenek kerana usianya aku rasa lebih dari 50 tahun tapi mungkin kerana hendak bekerja di Malaysia usianya tidak dinyatakan dengan tepat. Oleh itu selepas tiga tahun walaupun validity passportnya lima tahun tetapi selepas tiga tahun permohonan kami untuk menyambung permit tidak berjaya. Wah..... semasa hari menghantar pulang di lapangan terbang masing-masing bertangis-tangisan. Sedih dengan perpisahan kerana dia pun belum bersedia untuk balik lagi.


Sebenarnya sebelum bibik pertama balik aku sudah membuat permohonan untuk mendapat bibik baru. Sejak itu juga bermulalah episod tukar bibik baru silih berganti dalam keluargaku. Agen aku naik pening. Mujur aku mendapat agen yang bertanggung-jawab. Baru dua minggu tanpa apa-apa tanda tiba-tiba bibik lesap. Bagaimanapun kami bersyukur kerana tiada apa-apa yang hilang. Mujur waktu itu ada kakak aku di rumah. Anak dalam buaian ditinggal begitu saja. Tanggapan kami sekeluarga mungkin bibik ini kurang selesa bila kami mensyaratkan dia dengan beberapa perkara yang tidak dapat dia turut. Hari pertama dia menjejakkan kaki dan sewaktu mengemas dalam biliknya aku telah beritahu perkara berikut:

  1. Tidak boleh berseluar pendik / pakaian yang tidak menutup aurat (kebanyakan pakaiannya singlet dan seluar pendik). Nanti suami aku tidak dapat membuka mata (atau mungkin tak pejam-pejam tak tahu pulak. He...he...he...). Pakaiannya yang tidak sesuai aku simpan dalam setor. Aku belikan sedikit baju baru dan pakaian aku yang tidak lagi digunakan untuk dipakainya. Dia hanya senyum dan angguk tanda faham.

  2. Solat jangan tinggal. Tetapi seringkali aku akan mengingatkan dia samada sudah solat atau belum. Mengalahkan anak-anak aku pulak......

Mungkin dengan syarat itulah membuatkan dia lesap. Mujur juga waktu itu baru dua minggu. Laporan polis terpaksa dibuat. Agen aku menggantikan bibik yang baru. Montel orangnya dan yang penting Islam walaupun tidak menutup aurat. Tetapi aku terpaksa menetapkan seperti syarat yang di atas juga. Alhamdulillah orangnya menurut.

Walaupun bibik ini baik dan bersih tetapi dia sering sakit. Selalu kena bisul. Sekejap di lenganlah, dibelakang badan, tepi pipi, betis dan terakhir bawah ketiak. Pada mulanya aku menganggap bisul biasa tetapi bila bisul di ketiak rasa kesihannya Allah saja yang tahu. Aku ini jenis mudah mengalirkan airmata. Melihat situasi begitu terbayang kalau kita yang berada ditempatnya, diperatauan pula rasanya bagaimana? Langkah terbaik hari itu aku membawanya ke hospital pakar dan apabila diperiksa darahnya suatu yang tidak terjangkau akal fikiranku telah terjadi. Doktor menyatakan dia ada penyakit jangkitan yang bahaya. VDRL plus yang menyebabkan dia mesti dihantar pulang ke Indonesia dan tidak layak untuk bekerja lagi. Masya-Allah apa kerja bibik sebelum datang ke Malaysia aku pun tidak tahu. Doktor mudah mengatakan dia mungkin mendapat jangkitan kuman kerana banyak mengadakan hubungan jenis bukan dengan seorang saja. Wallahualam aku tidak berani untuk menuduh. Dosa besar kalau tidak benar. Melihat perwatakan sepanjang bersama aku dan ujian fomema setahun semasa membaharui visa segalanya tiada masalah. Entahlah.....


Sunarti ....... manis namamu

leretan senyuman mu

kini hambar tiada lagi

baktimu tersemat erat

di penjuru hati-hati di sini

mohonlah keampunan

atas noda dan dosa mu pada Nya

taubatlah bibik.....

di kejauhan ini ku titip doa

moga kau masih dalam peliharaan Nya

























No comments:

Post a Comment