Thursday, August 19, 2010

Bibik Oh Bibik........(2)

Ada waktunya sebagai insan kerdil di muka bumiNya ini kita sedar akan ujian-ujian yang diberikan. Tetapi seringkali juga kita lupa dengan ujian itulah kita akan lebih rendah diri dan tawadhuk kepadanya. Kepulangan bibik ke tanahairnya memang tidak disangka-sangka. Orangnya baik dan menurut tetapi benarkah apa yang telah doktor katakan kepada kami tentang penyakitnya itu? Segalanya menjadi tanda-tanya buat kami sekeluarga sehingga kini.

Bagaimanapun bagi meneruskan perjalanan hidup dengan anak-anak yang belum pandai berdikari aku terpaksa memohon lagi untuk mengambil bibik baru. Bayaran RM 2000/- sebagai 'downpaymant' seperti selalu diberikan. Masalah tiba bila hampir dua minggu masih belum mendapat jawapan. Emak mertuaku menjaga anak-anak sementara menanti bibik baru. (waktu itu emak masih hidup lagi. Alfatihah buat emak yang telah pulang kerahmatullah pada 20-07-2010 yang lalu). Keputusan diberi dia hanya boleh dapat antara sebulan hingga dua bulan lagi. Wow.... mana boleh!!... Aku cari agen lain dan aku katakan pada agen pertama batalkan permohonan aku itu. Janji unutk kembalikan wang tinggal janji. Akhirnya wang RM 2000/- hangus....

Untuk agen baru aku terpaksa membayar downpayment RM 2000/- juga. Dengan agen baru ini dalam tempoh tiga minggu selepas membayar baki RM 4500/- dapatlah bibik yang baru. Menurut cerita dia pernah bekerja di Arab Saudi. Alhamdulillah rasanya bolehlah menjadi pengganti bibik yang kami kasihi sebelum ini. Ku sangka panas hingga ke petang; rupanya hujan di siang hari. Sepanjang hari kita tiada di rumah dia pun berseronok keluar rumah. Anak yang kecil dikendong ke merata tempat.

Tembelang pecah pada suatu hari bila si kakak balik sekolah awal kerana pada hari itu adalah hari kanak-kanak. Selepas majlis usai mereka boleh pulang awal. Tiba di rumah punat loceng rumah ditekan namun bagai tiada sesiapa mendengar. Begitu juga salam diberi tiada jawapan dari dalam. Apa lagi si kakak masuk rumah memanjat pagar rumah. Cuba bayangkan pintu pagar rumahku tingginya hampir mencecah awning. Tapi badan kecil boleh lulus jugalah. Masuk rumah pintu sliding dan grill tidak berkunci. Rumah sunyi sepi tiada sesiapa. Apa lagi menangislah dia. Dapat aku bayangkan dia keluar masuk dari satu bilik ke satu bilik mencari si adik dan bibik tiada. Pandai juga dia menelefon aku di pejabat "Mama bibik dengan adik tak ada. Yasmien tadi masuk panjat gate." Ya Allah!! petaka apa ini?" Sepantas kilat aku menghubungi papa mereka. Dalam kotak fikiranku yang sempit ini mula terbayang anak kecil aku kena colek. Maklumlah banyak pendedahan kes pencolekan anak-anak berlaku. Airmata aku luruh serta-merta.

Benar Allah kurniakan lelaki sembilan akal berbanding aku wanita ini dengan satu akal. Papa mereka menghubungi beberapa rakan yang berhampiran dengan tempat tinggal kami. Sementara itu, aku sudah tutup bilik ku dan terus pulang menghala ke rumah. Aku rasa waktu itu jalanraya terlalu mudah untuk diredah. Laju mengalahkan kereta racing FI. Aku mahu cepat sampai rumah. Terbayang anak aku kena jual. Anggaran jam kebiasaan si kakak balik sekolah seperti biasa , bibik pun sampai.

"Awal pulangnya Bu?" bagai tiada apa yang berlaku dia bertanya.
"Bibik kemana tadi? Dengan pakaian macam ni lagi." aku menahan rasa.
"Oh.... saya pergi telfon". alasan diberi.
"Bibik, saya kan dah cakap awal-awal kalau saya tak ada bibik tak boleh keluar. Dengan keadaan panas lagi bawa adik. Saya kan kata kalau bibik nak telefon keluarga bibik boleh beritahu saja dengan saya. Tak perlu keluar duit lagi. Bibik keluar pun tak kunci pintu." Aku terpaksa menahan marah. Itulah aku, seorang majikan yang takutkan pekerja. Takutku bukan kerana apa, tetapi takut masa ketiadaan kita anak jadi mangsa. Aku dapat tahu dia balik pun kerana disuruh oleh pemandu bas sekolah anak yang telah dihubungi oleh suami.

Pendikkan cerita takut pisang berbuah dua kali agen aku mengganti lagi yang baru. Syarat sama diberi padanya. Entah macamana pada hari pertama saja emak balik kampung anak aku yang kedua menemui patung tembaga leper dan kertas tulisan yang tidak dapat kita fahami. Bukan tulisan rumi atau jawi. Pertanyaan aku yang pertama "betulkah bibik ini Islam?" Dia jawab "Ya bu." Masa itu baru aku terlintas dengan menguji bagaimana dia membaca al-fatihah. Masya-Allah bagai halilintar rupanya dia tidak tahu. Aku jadi panik. Suami pun turut masuk campur. Akhirnya terpaksa kami pulangkan kepada agen dan minta ganti yang baru. Dia bukan Islam.

Untuk mendapat ganti bibik kami dikenakan "compound" RM 400/- kerana hendak padamkan nama kita dalam permit di passport dia. Kemudian RM 500/- bagi membuat visa bibik baru. Untung betul jadi agen kan.... Tapi kalau mereka tidak ada kita juga susah. Untuk mendapatkan pengganti bibik baru "procedurenya" sama juga. Kali ini aku bertegas dengan agen aku mahukan bibik yang benar-benar Islam. Aku tidak mahu lagi berpandukan dari nama dan gambar yang aku lihat lebih kurang sama. Semua berambut pendik, memakai "apron" dan sekeping lagi gambar pasport.

Tawakkal seperti selalu aku seolah-olah telah putus harap. Akhirnya dapat juga pengganti yang baru. Tanpa banyak soalan sebaik saja agen memperkenalkan aku terus saja uji dengan syahadah, niat/lafaz solat lima waktu dan bacaan fatihah di hadapan agen tersebut. "Saya ini Muslim bu. Ngak usah khuatir. Nama saya juga Nuryatimah." Itulah tuturnya selepas soalan temuduga dari kami dijawab dengan senyum-simpul. Pasti dalam hatinya macamlah dia ni budak kecil. Tapi aku serik dan takut dengan peristiwa yang lepas-lepas.

Tahun lepas selepas berbincang dengan suami dan anak-anak kami bersetuju untuk tidak lagi menggunakan bibik. Keputusan ini diambil kerana tahun ini anak kami yang bongsu akan berada di sekolah dari pagi hingga petang. Masih ingat lagi reaksi bibik bila kami utarakan yang permitnya akan kami batalkan selepas Aidilfirti 2009. Dia menangis dan menyangka yang dia berbuat salah. Kami nyatakan itu bukan penyebabnya. Aku tahu dia amat sayang dan selesa dengan kami. Gaji pun sudah naik dan sepatutnya akan naik lagi pada tahun 2010. Walaupun bibik yang terakhir ini baik dan boleh diharap kami perlu mengajar anak-anak kami lebih berdikari. Biarlah mereka belajar mencuci kasut sekolah sendiri, mencuci pinggan selepas makan, menyusun-atur makanan yang telah dimasak di atas meja, menyapu daun-daun pokok yang gugur di halaman rumah dan sebagainya lagi. Itu perlu sebelum mereka melangkah lebih jauh lagi. Itu pendapat kami suami-isteri.....

Sebenarnya diantara celah-celah bibik yang aku ceritakan di atas ada lagi bibik-bibik yang mana tidak aku paparkan. Apa yang penting kami kini tidak lagi dibelenggu dengan masalah bibik. Takut bibik lari, takut bibik dera anak, takut bibik bawa lelaki masuk rumah dan lain-lain lagi. Apa-apa pun jasa mereka tetap terpahat dalam ingatan. Masih ramai yang mempunyai pekerti baik dan mulia. Bukan semua mempunyai nasib dan rentetan hidup yang sentiasa manis belaka. Segalanya atas kehendak Yang Maha Esa.


dalam kekusutan dan kekalutan

menghirup kebahagiaan hidup

melalui rentetan kehidupan

akhirnya dia pulang jua

kerana dia bukan hak kita

sampai waktu itu

perpisahan terjadi juga....














1 comment:

  1. heeee...kita baca catatan lama akak...
    hmmm susah yer kak... macam2 hal bibik ne...
    ntah lah... nak marah pun tak kena, tak marah, kita pula yang terkena... adoi... inilah donya... ;-)

    ReplyDelete