Friday, October 30, 2015

Rezeki ada di mana-mana

Anggun puteri bila berlulur
Sarat hiasan simpuh bersaing
Bangun pagi masuk dapur
Buat sarapan beehoon goreng

1 - Sarapan pagi Ahad lepas

Bukan bingung barang yang lepas
Tersingkap anganan rakan taulan
Ikan mayong Asam Pedas
Dilengkap dengan sayur kailan

2 - Makan tengahari Ahad lepas

Hancur menunggu puteranya tiada
Memendam hati jiwa raga
Bubur Terengganu tidak dilupa
Kegemaran kami seisi keluarga

3 - Makan Ahad malam

4 - Hari ini sudah tahu aku agak sibuk pasti tidak sempat masak di pejabat. Dari rumah sudah bawa ini semua. Tengahari ini aku makan maggi. Asam akan jadi' ubat' dalam mulut bila rasa letih:)
~~ Agak sibuk di akhir bulan
ku paparkan ini sebagai selingan.~~


Thursday, October 29, 2015

Harta dunia yang akan ditinggalkan

Sementara masih bersisa usia diberi, biarlah jika ada yang mahu ditinggalkan semua dalam keadaan selesa dan mengikut keperluan semasa. Rumah yang baru kami beli tempohari atas nama Kak Reen sudah selesai semua urusan pindah-milik. Walaupun tidak ada papan tanda atau kenyataan untuk di sewa tetapi sudah terlalu ramai yang merisik dan bertanya. Begitulah keadaan di sini. Permintaan untuk menyewa rumah tersangatlah tinggi. Kasihan bila melihat yang datang sehingga merayu-rayu sebab sudah terlalu suntuk dan amat terdesak untuk mencari rumah. Namun sebagai tuan empunya kenalah juga beringat apakah apa yang mahu diberi setimpal dengan bayaran yang dikenakan.

Bersepah - Kalau masuk ke dalam memang berselerak dengan barang sebab dalam proses membaiki cornice, tukar lampu dan mengecat baru.

Siling - Disebabkan ada roof-tiles yang tertanggal akibatnya cornice rosak sebab terkena air.

Cat baru - Sudah bertukar warna dari merah bata kepada warna putih/kelabu supaya kelihatan lebih cerah. Baki-baki cat akan kami guna untuk rumah lain, jadi tidak adalah istilah membazir.  Kipas lama dibuka.
Cornice baru - Sudah diperbaiki cornice yang rosak dan tukar dari lampu down-light  ke lampu cerah-putih empat segi dan kipas siling. 

Sink - Masih belum diperbaiki lagi. Menurut hubby perlu ditukar ensel cabinet bawah sink kerana sudah hampir tercabut.
Porch - Sebelum ini berpagarkan BRC yang kotak-kotak boleh nampak luar. Buat begini mereka yang mahu duduk adalah sedikit privacy. Menurut hubby malam tadi ini juga sudah siap keseluruhannya dan siap bercat juga.
Raja Udang - Hari Sabtu lepas sewaktu sedang duduk-duduk menemankan hubby memasang lampu dan menikmati bubur kacang merah, boleh ternampak pisang jiran sebelah. Lama sungguh aku tidak melihat/makan pisang ini. Kami bercadang akan menanam pokok jambu atau mata kucing di atas sedikit ruang tanah untuk rumah ini daripada kosong tidak ada apa-apa.
Selepas selesai memperbaiki rumah ini barulah kami bercadang untuk beralih ke rumah yang corner lot. Dua rumah ini masih kosong tetapi sudah ramai yang 'meminang'nya. Tetapi kita sebagai penyewa kenalah adil agar apa yang diberi kepada mereka setimpal dengan apa yang mereka bayar kepada kita. Maklumlah rumah di JB ini rata-rata duduk di atas kayangan. Kalau dapat menyewa rumah bawah mereka lebih selesa. Kereta boleh terus parking masuk di porch dan pagar berkunci. Menurut hubby 1hb November, ini sudah ada yang mahu masuk. Esok sudah boleh dicuci dan harapnya yang akan masuk dapat tinggal dengan selesa.

~~ Menyewakan rumah pun ada risiko. Seperti ada satu rumah kami sudah tiga bulan masih belum dibayar sewanya. Mahu bertanya kasihan pula sebab kita tidak tahu masalah mereka. Tekanan hidup kian menghimpit.~~


Wednesday, October 28, 2015

Fossil - idaman, keinginan dan kemampuan

Bingung untuk memberi hadiah orang tersayang? Seringkali inilah yang berlegar di minda kita. Membeli hadiah ulangtahun perkahwinan, hari lahir, kejayaan anak-anak dan sebagainya. Tidak kurang membeli set hantaran perkahwinan juga sering menjadi isu. Aku paparkan idaman, keinginan dan kemampuan yang mungkin boleh dijadikan kenyataan.
Fossil - Sebelum kita lahir dia sudah lahir tetapi sehingga kini masih belum mampu untuk memilikinya.  Ada rezeki lebih tidak salah untuk menjadikan ia sebagai milik peribadi untuk menghargai diri sendiri.

Mengambil kira bahawa pada zaman yang serba moden ini kita dapat lihat semua orang semakin terdedah dengan pelbagai bentuk cara hidup yang lebih urban, penerimaan terhadap benda-benda baru semakin mudah untuk diserap ke dalam budaya komuniti masyarakat kita yang sudah sedia ada. Jika dahulu norma tradisional begitu melekat dalam jiwa kita namun kini walaupun elemen itu masih dikekalkan kita juga turut dapat menerima perkara baru seperti cara hidup yang lebih urban atau moden.

Pelbagai cabang bidang turut menerima tempias yang sama sebagai contoh bidang fesyen. Industri fesyen mempunyai jenis pasaran yang tidak menentu dan sentiasa berubah-ubah. Inilah apa yang mereka panggil sebagai trend. Saban tahun kita dapat menyaksikan pelbagai gaya akan dicipta bagi menghasilkan penampilan yang berbeza. Jenama-jenama terkenal pasti akan sentiasa mengambil tahu akan perubahan trend ini bagi membuatkan jenama dan produk mereka sentiasa segar dan diminati ramai. Fossil adalah antara ribuan jenama terkenal yang sentias berada di hadapan dalam menawarkan pelbagai koleksi jam tangan.
Bergaya - Sebenarnya bukan kepada gaya tapi kepuasan dan ketahanan yang ditawarkan juga cukup membuat siapa pun pasti teruja untuk memilikinya.
Jenama ini sentiasa hadir dengan koleksi  Fossil Malaysia online buat lelaki dan wanita yang mempamerkan rekaan yang sangat stylish dan segar. Atas faktor inilah yang membuatkan jam Fossil online amat popular bukan sahaja dalam kalangan pelannggan mereka di Malaysia malah di seluruh dunia juga.

Menggoda - Tepuk dada tanya kemampuan. Gaji pun sudah masuk apa tunggu lagi.
Jam tangan daripada jenama antarabangsa ini sering menjadi pilihan dan dikagumi oleh para peminat setia jenama tersohor ini. Mereka membariskan koleksi jam tangan yang cukup eksklusif terutamanya daripada segi rekaan. Malah tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Fossil Malaysia sudah mempunyai trademark tersendiri terutamanya daripada segi rekaan koleksi jam tangan mereka.


~Manusia dan jam tidak dapat dipisahkan. Memiliki yang cantik dan menawan pasti menjadi idaman.~ 

Tuesday, October 27, 2015

Berkongsi sebelum nikmat ditarik balik

Sambil berbaring sebelah mama, adik menunjukkan skrin telefon bimbitnya yang jelas sudah retak. Jatuh di sekolah katanya. Sejak habis UPSR ada saja kegiatan yang cikgu buat untuk mengisi masa terluang. Setiap kegiatan akan dirakam dengan gadjet masing-masing. Bila sudah retak mulalah timbul "Kawan adik UPKK cuma 6A pun abang dia belikan tab baru. Adik dapat straight A cuma dapat handbeg dengan buku aje".  Amboi! Boleh pula adik bersuara begitu sedangkan memang itulah yang diminta dan janji terpetri sebelum periksa. Mama kenalah berhujah memasang kuda-kuda membalas apa yang sepatutnya.

Melihat kawan bertukar gadjet menjadi lumrah masa kini namun tidak pada keluarga kami. Biarlah guna sekadar apa yang ada. Jika membeli baru yang lama siapa mahu menggunakannya? Jangan ingat apa yang dikehendaki semua dapat. Jangan membandingkan papa kawan mereka walau menjawat jawatan rendah tetapi mampu membeli yang branded mengapa tidak kita - itulah pemikiran anak tidak matang. Aku takut sebenarnya dalam membesarkan anak-anak. Sebab itulah sejujurnya sehingga kini anak-anak tidak pernah tahu berapa jumlah wang mereka yang ada di dalam simpanan. Masing-masing ada dua akaun. Satu memang mereka tahu sebab masing-masing pandai membuat transaksi tetapi satu lagi dalam simpanan rapi kami suami-isteri. Kalau Kak Reen mungkin tahu tapi Kak Meen walau sudah berusia 16 tahun dan adik memang tidak tahu. Apa yang mereka guna keluar-masuk adalah akaun yang biasa untuk dia bank-in bila kami memberi duit setiap bulan. Itu pun ada diguna untuk mereka membeli online seperti kasutlah, bajulah, tudunglah dan baru-baru ini masing-masing membeli power-bank animasi. Biasanya mereka akan meminta kebenaran sebelum membeli online.

Kak Meen punya

Adik punya

Power bank - Pada mata mereka berdua mestilah cantik. Anak meningkat remaja
Mudah kata sebagai mama-papa kenalah selalu mengingatkan kepada anak-anak yang meningkat remaja bahawa apa pun nikmat yang Allah berikan pada kita bukan semuanya milik kita. Sebelum Allah tarik semua nikmat baik kita kongsikan. Biar duduk di rumah yang sederhana daripada duduk di rumah besar yang kita ada boleh menimbulkan sifat yang patut dijauhi. Bukan kufur nikmat tetapi sebelum menjadi kufur dek nikmat yang ada baik dihindari. Sama-sama mendidik diri mencari ibrah dari setiap tazkirah yang selalu kita hadiri.

~~ Susahnya mendidik hati dan iman yang sedikit ini. ~~



Monday, October 26, 2015

Mereka anak-anak dan guru-guru yang hebat

Sekolah adik mengadakan karnival Ko-korikulum sekolah dan adik mengambil bahagian untuk pertandingan memasak. Adik bersama tiga lagi temannya mewakili Ko-ko Tunas Puteri.
Persiapan 1 - Apron putih, pinggan hidang (bungkus tuala oren), teko (bungkus tuala pink), cawan dan bekas sos pencecah (bungkus tisu), sudu, pisau semua ada di sini 
Persiapan 2 - Tepung, alas meja dan kuali

Persiapan 3 - Timun, tomato, ikan bilis sudah bertumbuk campur dengan bawang siap bergaram masuk dalam bekas, daun salad semua masuk dalam bekas siap-siap.  Timun juga sudah siap-siap aku potong. Pagi baru masukkan semua ini bersama dengan chopping-board dan tissu dapur. Bawa segulung terus:)

Persiapan 4 - Bunga orkid mama jadi mangsa. Orkid mama yang lain memang lama sudah merajuk.  Jenis ini saja yang selalu meriah. Ambil setangkai saja pun dan potong dua. 

Siap - Pagi Sabtu papa yang menghantar adik. Mama busy pula hari Sabtu itu ke pejabat. Meronta-ronta mahu juga melihat adik menjadi chef menggoreng jemput-jemput ikan bilis saja pun hahaha.... sayangnya bila mama tiba di sekolah jemput-jemput adik sudah masuk ke dalam bilik VIP tidak dapatlah mama mengambil gambarnya.
Menghias kek - Semua ini hasil tangan anak-anak yang terlibat. Kiri atas tempat ke2, Kanan atas tempat ke 3. Kiri bawah tempat ke 4 dan kanan bawah tempat ke 5.
Tempat pertama - Tunas Puteri mendapat tempat pertama dalam pertandingan menghias kek ini. Kawan adik ini memang punya ibu yang sentiasa mendapat tempahan kek sebab itu tidak mustahil ilmunya turun pada si anak.

Nasi goreng - Ini juga hasil dari masakan Tunas Puteri kawan adik. Tetapi tidak dapat masuk ke bilik VIP jadi dapatlah mama mengambil gambarnya. 
Hasil anak-anak juga  - Gubahan bunga Tunas Puteri kecundang 
Kenangan - Tahun ini tahun terakhir adik bersama mereka semua ini. Cikgu Khalijah dan Madam Sathiabama pembimbing ko-ko adik.
Kumpulan Tunas Puteri - Mereka bergambar bersama Guru Besar, guru-guru Tunas Puteri dan semua yang terlibat dalam karnival pada hari itu. Hebat-hebat belaka guru-guru dan anak-anak yang terlibat.
Karnival berakhir sebelum jam 1:00 tengahari. Sebenarnya ada banyak lagi pertandingan diadakan seperti pertandingan mencari arah, membina khemah dan jualan tetapi tidak semua dapat aku jejaki kerana keluar dari pejabat sudah jam 10:30 tiba di sekolah majlis sudah berjalan lama. Mereka bermula dari jam 8:00 pagi lagi.

~~ Pasti semuanya menjadi moment indah bila mereka semua dewasa kelak.~~

Friday, October 23, 2015

"Rancangan tergendala sebentar"

Hari ini 10 Muharram. Tarikh yang terlalu banyak tragedi dalam sejarah Islam. Sekadar sama-sama mengingat betapa hari ini kita sudah terlalu banyak nikmat yang Allah berikan. Tidak mahu membariskan rentetan yang banyak terjadi aku kisahkan hal dua hari lepas.

Rutin biasa selepas maghrib akan kedengaran satu persatu suara anak-anak memberi salam. Masing-masing sudah arif siapa yang masuk dulu dialah yang akan duduk bersila di hadapan mama ini. Mereka juga tahu sementara menunggu giliran mereka membaca dulu apa yang akan dibaca nanti. Sedang khusyuk mendengar salah seorang anak membaca tiba-tiba ada suara "terkencinglah mama." Kakak sepupunya sudah masam muka. Sebab ini bukan kali pertama terjadi. Kakak sepupunya pula anak perempuan baru berusia 9 tahun merupakan anak bongsu.  Kalau sebelum ini ada kakak lebih besar boleh membantu, kali ini sudah pasti dia tidak tahu. Terpaksa memanggil Kak Meen menguruskan bujang cilik baru berusia 4 tahun itu. Ambil gayong cuci kaki lap lepas itu masuk dalam bilik air mandikan. tersipu-sipu Kak Meen memandikan sebab biasa adik-beradik semuanya 'bunga' belaka, kali ini kena mandikan budak ada 'kuntum'. Alahai mahu mengharapkan siapa lagi. Mak Zah di bilik sebelah pun sedang khusyuk membaca Al-Quran juga.
Seluar/baju lama - Malam tadi datang mengaji dipulangkan baju ini walaupun aku sudah kata tak payah pulang boleh bagi adik pakai sebab dia ada adik perempuan yang kini berusia 2 tahun lebih.
 "Rancangan tergendala sebentar" Itu kata anak-anak. Senyum kami semua dibuat si Danish. Selesai memandikan Kak Meen serah pada mama. Semua kena keluar bilik sebab mama mahu pakaikan hero satu ini 'baju baru'. Bongkar kotak baju lama. Jumpa seluar panjang entah Kak Reen, Kak Meen atau adik punya. Tanpa berseluar dalam terus pakaikan seluar lama yang masih elok. Mana ada seluar dalam lelaki kecil di rumah kami. T-shirt adik tentulah ala-ala perempuan terpaksa disarungkan juga. Mujurlah dia masih kecil tidak malu lagi. Selepas dibedak dan disikat terus senyum. Tapi ada kawan-kawan yang melihat yang mahu ketawa aku jegilkan mata. Tidak berani mahu mengejek. Selesai kerja mama baru sambung 'rancangan yang tergendala'. Danish bercuti membaca Iqra'. Santai-santai bagai tidak ada apa yang berlaku. Boleh main-main lagi sedangkan Kak Meen masih dengan kerja mambersihkan kencing dia di lantai. Lihatlah itu dikatakan budak.

Lengan baju - Sudah aku kata baju anak aku semuanya anak dara. Mujur bujang cilik masih tidak malu lagi. Mana boleh pakai balik jubah yang sudah kena kencing. Terpaksalah memakai baju lama ini.
Sesekali tergendala tidak mengapa. Biar tergendala sekarang jangan tergendala kelak ketika meniti titian as-sirot. Lain kali dia tahu sebelum datang rumah mama dia akan buang air dulu. Itu janjinya. 

~~ Biarpun pelat dan susah pada awalnya tapi kini dia sudah mampu mengenal huruf dan makhrojal jauh lebih baik berbanding pada awalnya dulu. Sudah masuk Iqra' 3 pun. ~~


Thursday, October 22, 2015

Sama-sama merasa hasilnya

Salah seorang anak malam itu datang membawa sesikat pisang. Ada yang masak dan ada yang belum. Memandangkan masak tidak serentak itulah yang susah untuk dibahagi-bahagikan budak yang ramai. Kenalah jadikan kuih kalau tidak dijadikan kuih tidak semua dapat menikmatinya sedangkan sewaktu pisang itu dijinjit masuk banyak mata yang nampak.  Dulu sewaktu aku kanak-kanak allahyarhamah Mak juga buat begini. Contohnya jika durian yang ada setakat sebiji-dua kami tidak boleh makan begitu saja. Tunggu Mak akan masak buat bubur kacang. Jadi dengan cara ini semua dapat merasa.

Sedap atau tidak tolak tepi. Anak-anak bila makan bersama pasti seronok. Apa lagi bila dikatakan kuih pisang itu hasil dari pisang yang kawan mereka bawa semalam. Sekurang-kurangnya mereka tahu sama-sama dapat merasa pisang tersebut.

Pukul-pukul telur dengan butter, gula, letak baking powder dan tepung, masukkan pisang yang telah diblender. Letak juga setitik-dua vanila dan banana flavour.

Lapik loyang dengan baking paper. Tuang dan  tutup dengan aluminium foil. Kemudian  kukus.
Tidak sampai satu jam siap sudah.

Sudah dipotong walau masih panas. Bukan budak saja yang tidak sabar tapi ada juga yang sudah dewasa tidak sabar dek kerana aroma pisangnya yang semerbak.
Kamu tidak akan memperolehi kebaikan, sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa pun yang kamu infakkan, tentang hal itu sungguh, Allah maha mengetahui. (Suroh Ali-Imran :92)

~~ Orang memberi kita merasa. Moga dimurahkan rezeki keluarga anak yang memberi pisang itu buat kami semua.~~

Wednesday, October 21, 2015

Indahnya sebuah ukhuwah

Membuka sampul sebut alhamdulillah
terharu menerima isi di dalamnya
betapa indah sebuah ukhuwah 
bertemu tiada kasihnya terasa

Cantik - Fridge magnet Istana Kenangan Kuala Kangsar, Perak
Terpaku dinota yang dicatatkan
sungguh sudah aku menjangka
satu fridge magnet dikirimkan
oleh nohas buat koleksi keluarga

Melekat sudah - Bersama teman-teman seangkatan di dapur kami
Lekat di fridge dengan semua teman
terasa indahnya sebuah ukhuwah
buat nohas jazakallahu khairan
moga dimurahkan rezeki lagi barokah

Buat semua teman Titisan Nurani
jika mahu nohas menjadi teman maya silalah klik di sini 

~~ Biarpun setakat mengenali di alam maya rasa kasih tetap terasa. Itulah indahnya sebuah ukhuwah. ~~



Tuesday, October 20, 2015

Cemburu, dicemburui dan mencemburui

Masa mencemburi kita atau kita yang cemburu dengan masa. Masing-masing mempunyai jawapannya. Buat aku ada kalanya aku yang cemburu bilamana melihat anak dan papanya bercuti sedangkan aku pula bekerja. Tetapi hari Sabtu lepas aku dapat merasakan yang masa mencemburui aku bila mana terasa cepat benar masa berlalu sedangkan kami merasa bagaikan baru sebentar masuk ke dalam mall sudah kena segera balik. Kami keluar rumah selepas solat zuhor dan belum jam dua petang kami sudah menjejaki shopping complex itu. Kehendak adik minta mama menghantar dia dan temannya ke Aeon untuk menonton wayang. Dua kawan adik dihantar papa mereka ke rumah kami. Mudah untuk aku membawa semua anak dara.

Anak-anak - Walaupun yang dua bukan anak aku tapi mereka sudah mesra dengan aku. Memanggil aku juga mama seperti adik juga. Apa yang adik makan dia ikut makan. Begitu juga adik sudah mesra dengan keluarga temannya ini. Ibu-ibu mereka juga percaya jika anak-anak berada di rumah kami. Begitu juga jika adik di rumah mereka. Ada dua lagi kawan adik yang tidak dapat ikut sama iaitu Elyana dan Balqis.  Bersama kami Sabtu itu Nazura dan Nazreena. 
Selepas membelikan tiket buat mereka bertiga dan memandangkan masa untuk masuk panggung lewat lagi aku ajak mereka makan dulu bersama. Anehnya semua anak-anak mahu makan sushi. Mama tua ini kenalah ikutkan mereka walau hanya separuh biji sushi sahaja yang masuk dalam perut mama, itupun dek kerana beberapa kali Kak Meen asyik menyua ke mulut mama. Selepas mereka bertiga masuk panggung barulah aku bergerak mencari keperluan Kak Meen pula. Niat asal aku dan Kak Meen mahu terus balik rumah dahulu dan datang semula menjemput selepas habis tayangan tetapi tidak jadi. Sebaik keluar dari Watson, mata kami terhenti melihat Polo membuat offer sehingga ada yang 70%.  Membelilah aku beberapa helai baju buat anak-anak. Belilah juga untuk hubby sehelai kemeja-T dan untuk aku sepasang kasut.

Kak Meen - Tengok sampai tidak sedar mama mengambil gambarnya. Baju wanita Voir pun ada juga. Kak Meen membeli juga untuk adik. Mama jadi tukang bayar sajalah sebab papa tidak ada. Papa busy dengan site projek melihat pekerjanya memasang pintu dan wiring di Kluang.
Penat juga kaki tua ini melangkah mengikut langkah anak remaja. Dahaga yang mamanya rasa tetapi masuk cafe bukan saja air yang dipesan bahkan siap dengan makanan. Mama yang belum makan lagi tentulah ada yang mahu dipesan. Setiap main course dibeli dapat satu pilihan lain dengan harga 50% diskaun. Cafe ini baru dibuka. Biasalah anak pantang nampak tempat baru mesti mahu mencuba dan masuklah kami ke dalam.


Dating - Sesekali dating dengan mama berdua saja. Jarang kami keluar berdua begini. Biasa mesti sekeluarga.

Salad chicken - Ini mama punya. Dalam kata tidak lapar habis juga kami makan berdua

Honey chicken - Inilah yang 50% dipilih Kak Meen.
Pasti hari Sabtu lepas masa yang mencemburui kami kerana sepetang itu penuh masa digunakan untuk kami bersama. Sesekali biar masa yang cemburu kerana sudah selalu aku mencemburui masa.

~~ Benarlah anak-anak itu salah satu amanah buat kita. Kena susunatur sebaik-baiknya agar amanah memberi kebaikan bukan sebaliknya.~~


Monday, October 19, 2015

Da'i Hamidah tercalon Da'i musim ke tiga

Menonton program Da'i setiap malam minggu bersama keluarga kini sudah berakhir. Malam tadi terserlah seorang lagi calon Da'i telah diumumkan. Seorang gadis remaja berusia 23 tahun, bernama Hamidah punya perwatakan lembut tetapi sebaik mendengar lontaran suara tazkirahnya mampu membuat penonton terpaku duduk di depan kaca televisyen. Kebolehan Da'i Hamidah sudah aku nampak dari minggu pertama lagi. Tidak kurang sebenarnya Da'i yang sama-sama dipertandingkan pada malam tadi. Da'i Fuad dan Hidayu juga punya identiti tersendiri. Kami sekeluarga duduk terpaku dari bermula siaran sehingga akhir tanpa berganjak.

Apa yang menarik bila ada sedikit perbalahan pendapat diantara Dato' Ustaz Kazim dengan Ustaz Haryanto berkaitan isu yang dibawakan oleh Da'i Hamidah berkaitan pembayaran zakat melalui badan kerajaan dilantik atau asnaf yang dibenarkan dalam Islam. Biasalah apabila ianya ditonton oleh jutaan penonton mungkin ada kebimbangan bagi Ustaz Kazim tetapi seperti kata Ustaz Haryanto benar yang dikatakan Da'i Hamidah bahawa kerajaan sudah menyediakan badan khas gunakanlah saluran. Namun tetap tidak salah jika mahu membayar zakat kepada asanf yang dibenarkan dalam Islam. Aku nampak Uztazah Robiah K Hamzah tidak selesa ketika itu. Tetapi pada kami itu perkara biasa dalam syariah negara dengan hukum yang tercatat dalam agama boleh timbul isu yang boleh didebatkan.

Da'i musim ke 3 - Inilah tiga Da'i yang tercalon pada malam terakhir yang berlangsung pada malam tadi. Pada separuh akhir minggu lepas Da'i Fuad bagaikan menyerlah tetapi agak kurang pada malam tadi.

Da'i Hamidah - Tahniah kami sekeluarga. Dari minggu pertama lagi kami sudah dapat menjangkakan remaja ini punya potensi yang menyerlah untuk Da'i musim ke 3 dan sungguh benar apa yang kami jangkakan.
Apa jadi? - Boleh kerana menonton tv kami semua terlupa bread-maker di dapur yang sedang menguli donut buat bekal anak-anak ke sekolah sudah lama berhenti. Mengulinya dari selepas Isyak. Aku pula sambil menonton membuat invoice untuk projek en hubby. Apabila siaran berakhir baru teringat. Apa lagi buat macam-macam bentuk bukan bentuk donut lagi.  Terus goreng tanpa menanti lama lagi. Hasilnya ini lah jadinya. Anak-anak bawa bekal lasagna mama kenalah bawa donut macam-macam bentuk ini.
Alangkah baiknya andai setiap hari ada program berbentuk tazkirah. Tidak semestinya berbentuk pertandingan. Buat pencerahan untuk satu-satu isu juga amat baik seperti mana perbalahan pembayaran zakat seperti yang terjadi diantara Dato' Ustaz Kazim dengan Uztaz Haryanto malam tadi, 

~~ Banyak isu sebenarnya boleh dibahaskan yang boleh memberi pencerahan kepada khalayak ramai. ~~

Friday, October 16, 2015

Penyalahgunaan doa/ayat

Dahulu ketika menunggu keputusan SPM aku bekerja di Singapore. Currency waktu itu tidaklah sehebat sekarang. Kalaulah waktu itu seperti hari ini alangkah mewahnya. Hari ini saja bila melihat borang kastam nombor 2 yang aku declare currency SGD sudah 3.0151. Tinggi sungguh. Kerani akaun aku ada buat part-time akaun dengan sebuah syarikat di Singapore dengan pendapatan sebulan SGD 1000/- Dia buat kerja setiap hari Sabtu dan jika banyak kerja sambung lagi di hari Ahad. Mudah kata sebulan kerja dalam 4-8 hari saja. Bayangkan bila diconvert sudah menjadi lebih RM3K. Senyum lebar anak dara itu.

Sebenarnya sewaktu aku bekerja di Singapore jawatan aku adalah sebagai Quality Controller di sebuah kilang di Sembawang. Tidak tahulah kilang itu ada lagi atau tidak sekarang. Tetapi apa yang tidak selesa tidak ada bilik solat. Bilik air juga tidak ada paip untuk istinjak. Mahu bersolat minta tempat dengan makcik cleaner tempat mereka simpan penyapu/mop dan peralatan mereka. Istinjak kena bawa botol air siap-siap untuk membersihkan diri. Oleh itu walaupun pihak management tidak membenarkan aku resign belum sampai sebulan bekerja aku sudah tidak sanggup. Kerja aku mudah kerana sekadar membuat laporan yang line-leader berikan dan key-in dalam computer dan submit ke pihak pentadbiran. Usia baru 17-18 tahun dapat kerja begitu sudah selesa benar waktu itu.

Ada kisah tidak baik yang ingin aku paparkan di sini. Membeli barang ada yang kena cukai tetapi aku tidak declare. Sengaja memang aku nekad mahu bawa balik JB. Dalam hati kalau tertangkap aku tinggalkan saja, biarlah pegawai imigresen itu ambil . Sebaik aku tiba di check-point mulalah aku pasang ayat. Waja'alna mimbaini aidihim saddaw waminkhalfihim sadda faaghsyainahum fahumlayubsiruun..








Ayat inilah yang aku baca berulang-ulang sebab bapak selalu kata kalau mahu selamat dari pandangan orang yang cuba kacau kita baca ini. Aku salah gunakan ayat ini demi kepentingan diri sendiri. Namun apa yang jadi? Betul-betul aku selamat tetapi kawan aku punya kena ambil pihak imigresen. Kasihan kawan aku. 

Buat anak-anak jangan ikut apa yang makcik lakukan. Makcik sudah bertaubat dan memohon ampun. Moga Allah ampunkan kesalahan makcik. Hakikatnya kalau dari segi muamalat bukanlah salah membeli barang tetapi ianya menyalahi undang-undang. Dulu membeli kain pasang di Singapore amatlah murah berbanding di Malaysia. Sekarang juga jika membeli tidak ada cukai dikenakan. Jakel, Nagoya semua belum ada lagi di JB waktu itu.

~~ Cerita lama tinggal kenangan, tetapi jika ada membuat kesalahan rasa kekesalan yang dirasa itulah yang berpanjangan. ~~


Thursday, October 15, 2015

Ujian di tahun baru 1437H

Petang akhir Zulkaedah 1436H agak kelam-kalibut sebab papa mahu cepat ke masjid. Mak Zah pula tidak sihat. Adik sudah menelefon dari sekolah agama mengatakan pihak sekolah membenarkan semua anak-anak balik cepat 15 minit. Aku yang ketika itu sedang membaca Yasiin terberhenti seketika. Sebelum itu sempat masak lemak ikan kurau masin campur dengan nenas. Sedap di tekak sebab rasanya sudah bertahun tidak masak resepi ini. Sempat jugalah anak-anak turut membaca doa akhir tahun sebelum menjelang maghrib

Lemak kurau - Inilah ikan kurau masin yang aku masak dengan nenas membuat aku boleh makan berselera teramat sangat. Ikutkan cili pun aku tidak tumbuk sebab bimbang pedas sangat. Tetapi kalau sudah tidak tahan tetap terjadi juga.
Malam seperti biasa selepas maghrib dan membaca doa akhir tahun dan budak-budak mengaji selesai boleh teringin makan nasi dengan ikan kurau masak lemak nenas lagi. Selepas isyak itulah perut sudah memberikan tanda ada yang tidak kena. Nasib baik anak-anak tidak suka ikan masin dan nenas. Mereka makan dengan ayam dan yang lain.

Ketam - Sebenarnya yang ini lagi pedas di makan oleh anak-anak sebab mama masak ketam ini ada black-pepper lagi tapi tidak menjadi masalah pula. Aku yang sudah tua ini memang jamah sedikit saja bimbang kolestrolnya.
Bersahur pun sudah tidak selesa. Tetapi anak-anak dan papa tidak ada masalah. Mak Zah tidak dapat ikut sama berpuasa semalam sebab tidak sihat. Esok kami akan bawa ke KPJ memandangkan keadaannya bagai tidak ada perubahan walau sudah ke klinik. Aku pula sepanjang hari semalam asyik mengunjungi bilik kecil. Allhumma inni a'uzubika minal khubusi walkhobaith setiap kali masuk tapi tidak lama kemudian akan dikunjungi lagi. Letih benar-benar letih.

Namun begitu walau niat asal mahu membeli saja untuk berbuka kasihan pula sebab Kak Meen teringin berbuka dengan ayam paprik, adik pula mahu berbuka dengan sambal tumis sotong dan papa mahu asam pedas ikan mayong. Dengan bantuan anak-anak itulah akhirnya semua keinginan mereka tertunai juga. Berbukalah kami semalam dengan nasi putih. Sayur kailan goreng bawang putih dengan lauk-lauk yang diinginkan oleh semua. Ada juga membuat bubur kacang hijau tetapi tidak ada durian. Anak-anak yang mengaji tolong makan bubur mama ini walaupun pada awalnya rasa mahu dicutikan anak-anak yang mengaji sebab aku benar-benar lembik semalam. Tapi Kak Meen kata tidak apa dia dengan adik boleh mengajar mereka.

~~ Sesekali diuji bagaikan terasa banyaknya dosa yang dilakukan.~~


Tuesday, October 13, 2015

Laksa di dapur keluarga kami

Pada hari Ahad lepas bila mama bersendirian kenalah mencari idea sendiri mahu masak apa pula bila adik dan Kak Meen berkata selepas makan nasi Khabsah hari Sabtu, mereka tidak mahu makan nasi. Mama terfikir apa yang ada di dalam fridge yang boleh dijadikan hidangan makan yang bukan nasi. Mahu buat soto baru beberapa hari lepas kami makan beehoon soto. Memandangkan semua bahan untuk laksa ada mudahlah mama mengolahnya. Lagi pula Ahad itu mereka ke sekolah membawa bekal nasi putih berlauk. Balik sekolah bolehlah makan laksa pula.

Hidangan keluarga - Kuah laksa, telur rebus, limau kasturi, timun, cili, daun salad, nenas dan bawang besar. Suatu yang sangat mudah buat semua. Kuah laksa mama menggunakan ikan selayang, cili kering, bawang-bawang, halia, sedikit lada hitam, daun kesum, bunga kantan, asam gelugor dan air. Kepala ikan semuanya bagi kucing di belakang rumah.

Laksa - Setelah siap direbus dan toskan. Masuk dalam bekas yang berlubang-lubang begini tidak membolehkan air bertakung.

Mama punya - Semua ada di dalam pinggan sebelum dimakan

Mama punya juga - Setelah digaul sebelum dimakan  mama akan perahkan limau, ketepikan semua cili-cili, bunga kantan dan asam gelugor. Begitulah selalunya sehingga Mak Zah kata baik jangan letak cili kalau tidak dimakan cilinya.
Petang ini entah apalah mahu di masak. Tetapi biasanya bila hari bekerja aku akan masak yang paling mudah. Apa yang penting ada lauk dan ada yang berkuah. Tidak sama masa berpuasa makan apa pun sedap apa lagi bukan di bulan ramadhan mana ada pilihan seperti bulan ramadhan kerana apa juga yang terlintas di fikiran mudah untuk diperolehi. Hari bekerja goreng ikan atau asam pedas dan satu jenis sayur pun sudah memadai. Esok jika ada izin Allah bolehlah rehat memasak siang sebab biasa kami semua berpuasa. 

~~ Selamat menyambut ma'al hijrah. Moga tahun 1437H menjanjikan yang lebih baik buat kita umat Islam seluruhnya. ~~