Friday, April 29, 2011

Melatah

Tidak sekelumit pun ada niat dihati untuk mentertawakan dia. Tapi hatiku bagi dicuit-cuit untuk tergelak sama walau jauh di sudut hati ada rasa simpati menyelinap, namun tidak berdaya untuk berbuat sesuatu.

"Sudahlah kak, kesian mak cik." Ada yang cuba meleraikan sambil menepuk-nepuk bahu makcik yang melatah itu.

"Eh.... kesian, eh.... kesian makcik." Berulang-ulang perkataan itu terkeluar dari mulut mak cik itu. Semakin di urut bahagian belakangnya bertujuan supaya sedar semakin menjadi-jadi dia melatah.

"Istighfar mak cik. Astaghfirullah.....astaghfirullah...." Kakak itu terus menasihati. Tetapi makcik melatah itu semakin menjadi-jadi latahnya walau bibir beristighfar. Semakin ramai orang lalu-lalang memerhati kerana waktu itu adalah masa lepas pejabat. Pasar malam menjadi tumpuan persinggahan sebelum pulang ke rumah. Mak cik melatah itu kelihatan semakin letih. Tidak lama kemudian datang seorang pemuda lingkungan 20an memimpin mak cik itu masuk ke dalam van. Aku meneruskan niat aku untuk membeli makanan pesanan anak-anak.

Mengapa melatah ini terjadi? Adakah ia penyakit atau keturunan? Aku sendiri tidak menemui jawapannya. Apa yang aku dapati selepas makcik melatah itu dibawa masuk ke dalam van jari-jemari aku sudah tidak tahan membawa beban yang kian bertambah dari satu warung ke satu warung. Malam ini cuti dari menari dengan senduk-belanga di dapur. Beli, bungkus, balik terus masuk dalam bekas, hidang di atas meja. Cepat and mudah. Masa senggang ini dapatlah aku gunakan untuk menjalin manik-manik pada baju kurung aku yang sudah berpurnama tidak sempurna lagi.

Pasar malam - suasana di waktu petang sebelum malam menjelang

Selonggok - Di dalam plastik itu semuanya makanan. Ada orange, pear, epal, ayam goreng, bee hoon goreng, kwee teow, laksam, kuih tako dan air limau (walau dalam freezer ada lemon masih lagi membeli air limau)


Kwee Teow - Lihat taugeh yang menjulur panjang sempurna dari kepala hingga ke ekornya. Sawi dan daun saderi adalah secoet. Inilah upah orang malas masak.

Wednesday, April 27, 2011

Buku Idaman Kalbu

Kalau orang berpusu-pusu di PWTC memilih buku aku di sini melangut tidak dapat menikmati itu semua. Karyawan yang aku minati Pak Abdul Latip pula dalam blognya ada menyatakan buku terbarunya yang menghimpunkan ke empat-empat buku imam dalam satu buku ada di sana. Harga pun boleh tahan murah hanya RM 55/- tidaklah semahal membeli sehelai baju sutera. Pasti mampu untuk memilikinya. Dalam koleksi aku hanya ada satu imam saja. Nurani ining memiliki melonjak-lonjak. Ketika menulis N3 ini buku tersebut belum sampai di Badan Book Store, Plaza Angsana gedung buku keluarga kami. Selepas expo di PWTC selesai aku pasti buku itu pasti akan tiba di sini. Ada sesiapa hendak buat GA dan hadiahnya buku ini pasti aku buat dua-tiga kali penyertaan.

Imam-Imam yang Benar - Aku pasti akan memperolehinya juga tidak lama lagi. (Sudah bulat tekad kononnya he...he.....) Kalau dapat yang ini tak perlulah membeli yang tiga lagi.

Imam Syafie - Buku ini telah ada dalam genggaman aku.
Kalau aku tahu akan keluar satu buku menghimpun ke empat-empat imam pasti aku tunggu.


Keluaran PTS - Hikayat Abdullah, Hikayat Amir Hamzah 2 & 3 ini telah tamat aku baca.


Antara petikan yang boleh aku kongsikan dari buku Imam Syafie - "Nama sebenar saya Muhammad bin Idris bin Abbas bin Uthman bin Syafie bin Said bin Abu Abid bin Abdul Yazid bin Hisyam bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf" Itulah jawapan Imam Syafie bila ditanya oleh Imam Muslim Al-Zanji ketika hendak memulakan belajar Ilmu Fiqh. Bereti Imam Syafie adalah keturunan baginda rasulullah s.a.w. Oleh sebab itu ramai kalangan umat Islam di Malaysia dan Asia Tenggara khususnya telah menjadikan mazhab Syafie sebagai pegangan kita yang juga mengamalkan cara beribadah sebagai ahli sunnah wal-jamaah.

Monday, April 25, 2011

Mahabbah IKIM FM

Dua hari anak-anak merengek untuk ke sana. Iklan pemberitahuan pula sentiasa berkumandang di corong radio IKIM fm. Perjanjian asal dengan anak-anak kami mahu pergi pada hari Sabtu tetapi memandangkan itu hari lahir kakak mereka, kami batalkan kerana pasti kakak sulung mereka akan menelefon dari asramanya. Walau sekadar bertaut ucapan melalui talian telefon tetapi ianya sudah memadai buat kami.


Oleh itu pada hari Ahad, semalam untuk tidak menghampakan hajat adik untuk bertemu Upin & Ipin kami meredah pagi hari itu ke Bandar Dato' Onn. Adik tersenyum lebar apabila dapat bersalaman dengan Upin & Ipin walau dalam gambar sekadar terpapar tangannya saja. Anak-anak terlalu ramai berasak. Motorsikal berkuasa besar juga menjadi tumpuan anak dara aku yang dua ini. Siap mahu berposing lagi dengan motor besar. Maklum di rumahnya hanya ada Jaguh yang tidak besar mana dan Honda comel. Ibu saudaranya yang dipanggil Mak Zah tidak penat memayungi mereka ke sana ke mari. Aku dapatlah melihat dari dekat wajah Siti dan Pian DJ radio IKIM yang selalu aku dengar melalui corong radio.





















Keadaan pengunjung pun tidaklah terlalu sesak kerana luasnya kawasan yang digunakan. Sekadar memenuhi apa yang diminta anak-anak kemudian kami pulang. Adik membeli sebuah novel, sehelai baju renang muslimah dan sehelai t-shirt IKIM. Kakaknya membeli sebuah novel, dua pasang t-shirt busana muslimah dan sepasang t-shirt IKIM.

Aku dan hubby sekadar mampu membeli kepuasan bila melihat anak-anak sudah pulang dengan senyuman tanda gembira.








~~~ Apalah yang lebih menggembirakan ibu-bapa selain melihat kegembiraan anak-anak mereka ~~~






Friday, April 22, 2011

Pohon Kasih

Dinihari 23-04-1996
tarikh keramat tercatat indah
puteri pewaris menjengah alam
gemersik tangisan kecil menyapa gegendang telinga
diiringi airmata syahdu
senyum puas sepasang insan
yang telah lama pasrah

Kasih kami seputih salju
segar-bugar dan terus padu
kami lahirkan dari pohon cinta nan suci
kami bajai pepohonan kasih itu
biar subur bersama dedaun keimanan
rimbun memayungi kasih dan sayang
mekar dengan bebunga kesyukuran
mewangi dengan ketakwaan
membuah manisnya keredhaan
merapak mohon biar ia berakar-umbi
terus menjalar tanpa ragu
membenih pohon kasih pewaris mendatang

Pohon kasih suci itu
biarlah utuh selagi nadi berdenyut
dan redha Rabbul-Jalil sebagai pinjaman sementara

Ketahuilah sayang perjalanan mu masih terlalu panjang
usah gentar godaan syaitan
payungi jiwa dengan kekentalan iman
langkahkan kaki demi kejayaan
nun di kejauhan ini doa dititip
bukan sekadar 15 tahun
bahkan selagi Izrael belum menjemput
ianya menjadi kewajipan hati dan bibir
bermohon dan bermunajat segala yang terbaik




Titisan: Nurienne Izzati (ejaan jawi: nun wau ro ya nun 'ain zai alif ta ya) walau telah 15 tahun menikmati hidup namun terlalu banyak yang perlu dipelajari demi memenuhi tuntutan hidup yang lebih sempurna di dunia dan akhirat kelak. Merupakan waris pertama dalam kehidupan rumahtanggaku.

Terkini - Sewaktu melawat ke asramanya dan kami membawanya keluar untuk makan bersama keluarga. Berkongsi mendengar lagu gayanya sebab di asrama tidak dibenarkan membawa radio......



Makan malam - Spaghetti antara makanan kegemarannya



Bunga - Merakam gambar sewaktu kami bercuti akhir tahun lalu


Graduasi - SDKA 2010 di Bandar Putera IOI





Thursday, April 21, 2011

Bumi Indah - Bahgaian 2
















Sekali lagi aku menjejakan kaki di bumi tempat aku dilahirkan. Kali ini adalah perhimpunan ahli keluarga dari Johor dan Singapura bertempat di rumah bapak. Nyata suatu pertemuan yang amat menggembirakan semua. Hanya adik aku di Selayang saja yang tidak dapat turut sama dimajlis yang telah disusun-atur sebulan lepas. Itupun kerana tugasan yang tidak dapat dielakkan. Adik aku bertugas di Poliklinik Selayang yang mana teman sejawat yang seorang telah ditimpa kemalangan dan seorang lagi dalam tempoh cuti bersalin. Oleh itu adik aku kena on-call 24 jam dan bererti cutinya dibekukan.

Malam itu kami telah siap sedia dengan bahan yang akan dimasak pada pagi esoknya. Aku terpaksa membatu encik Hubby kerana telah dilantik menjadi tukang masak. Malam itu segala bahan disiapkan dahulu dan hanya selepas subuh tarian senduk-belanga untuk masak-memasak bermula.

Bantuan anak-anak saudara yang ramai, jam sepuluh pagi segalanya telah siap. Keluarga dari Yishun sampai dulu dan yang terakhir dengan keluarga dari Bukit Batok dan Boon Lay, Jurong. Selepas bermarhaban barulah pesta makan-makan bermula.

















Selesai makan, walau dalam keadaan cuaca panas terik mentari masing-masing menjelajah kebun belakang mencari apa jua yang boleh dibawa pulang. Pucuk pengaga, pucuk beruas, pucuk tenggek burung, belimbing, limau kasturi, cili padi, kacang panjang dan kacang bendi habis togel tinggal daun yang tidak diperlukan. Pucuk ubi yang membiak bebas dan petai paling banyak dikuip untuk diagih-agihkan.












Apa-apa pun yang paling beruntung anak-anak yang belum bekerja kerana waktu inilah mereka dapat menambah wang tabung mereka. Adik tidak ketinggalan apabila balik rumah menambah jumlah wang yang ditabung. Siling-siling yang disimpan baki duit bekal sekolah pun mula dikira balik.


indahnya bersama keluarga
tahun lepas perhimpunan di Singapura
jawa, melayu dan inggeris bahasa diguna
hangat dengan derai tawa ceritera masing-masing
berkesudahan dengan selapas solat asar kami bersurai
moga tahun depan boleh dibuat di rumah bapak lagi.



Friday, April 15, 2011

Selamat Ulangtahun ke 51

Pak Ngah: I tak boleh cakap kuat-kuat sayang. Wife I ada depan mata. Cuma cermin saja memisahkan. Kena cakap perlahan sikit dia sedang bertelefon juga dengan seseorang. Nanti lepas solat jumaat kita jumpa. Yang penting sekarang, you setuju atau tidak jadi isteri ke dua I. Tapi syarat yang you kenakan wasiat semua harta I buat you, berat sebelah. Toleransilah sikit. Kalau tak sorry kita putus!! (jeritan memecah suasana). Hu....hu....hu.....sob...sob....sob.....(hilang sudah kejantanan bila dalam usia sebegitu airmata berjuraian).

Mak Ngah: Alahai.... saya sebenarnya serba-salah mak nak cakap macam mana dengan abang. Bukan dia tak nak balik, tapi katanya dia dah janji nak pergi memancing kat laut dalam seminggu ini. Saya rasa sekarang dia pun tengah bincang dengan geng-geng pancing dia hendak ke lautlah tu. Dia tak dengar sebab dia duduk di verandah luar kejap lagi nak pergi solat jumaat. Bagus juga partition cermin rumah ini. Macam ini ajelah mak, petang ini saya balik sendiri kalau dia tak nak ikut pun tak apa. Eh... mak dahlah tak tahu kenapa entah abang dah menjerit tu. Eh... dia menangis pulak dah mak. Nanti saya telefon balik nak tengok dia kenapa. Assalamu'alaikum mak.....

.

.

.
.

Segala pertuturan sekadar ilustrasi tuan punya blog. Tidak ada kena-mengena dengan tuan punya gambar yang dipaparkan. Tuan punya blog memohon ampun dan maaf sekiranya ia mengguris naluri tuan punya gambar. Tujuan sekadar memeriahkan sempena hari ulangtahun isteri tuan punya gambar yang dipanggil Mak Ngah. Anggaplah ia sebagai jenaka semata-mata. Ampun dan maaf sekali lagi...... (Mak Ngah jangan marah ye..... Happy Belated Birthday !!)


Buat Mak Ngah: - Kepada teman-teman yang sudi atau mahu turut serta silakanlah ~~~~~> klik sini





~~~~~ Berehat seketika demi tanggungjawab yang dipikul~~~~~~~~~~

Thursday, April 14, 2011

Operasi Bermula

Bangunan Sultan Iskandar yang tersergam indah ini telah mula menjalankan operasinya pada 12 April lepas. Pembayaran toll secara tunai juga tiada lagi. Semuanya kena menggunakan Touch & Go.

Syarikat di mana aku menumpang mencari rezeki dan mencurah keringat merupakan salah satu pengguna harian bangunan ini.

Kedudukan Tanjung Puteri amat strategik bagi menjalin dua negara yang mempunyai budaya yang seakan-akan sama tapi mempunyai perbezaan kemajuan yang amat ketara. Ramai penduduk di Johor Bahru yang sanggup berulang-alik untuk bertugas di sana kerana tukaran matawang yang berganda. Sewaktu aku membuat N3 ini nilai tukaran wang antara RM dengan SGD ialah 2.3744. Bereti SGD 1.00 menjadi RM 2.3744. Oleh sebab itu ramai teman dan jiran aku yang bekerja di sana. Hari ini hari pertama buat yang mahu mengeksport barang ke Singapura menggunakan jalan baru.


Penunjuk arah jalan juga telah ditunjukkan dengan jelas sekali. Kebanyakan pengguna ramai tidak menggunakan Sistem Kedudukan Sejagat atau Global Positioning System (GPS). Keluar dan masuk ke negara jiran seolah-olah seperti keluar-masuk bilik air untuk melepaskan hajat. Namun rasanya amat mudah kerana banyak papantanda-papantanda di Singapura yang tidak ditutupi oleh iklan-iklan percuma seperti di Johor Bahru.

Pemandu-pemandu lori yang sering terperangkap mengharap dengan sistem yang berikan ini tidak adalah lagi pemandu yang terpaksa bermalam di Singapura hanya kerana barang yang dihantar tidak dapat sampai sebelum syarikat yang di tuju tutup pejabat. Semua ini terpaksa dihadapi mereka kerana ada kalanya mereka terperangkap dalam kesesakan jalan dari jam 7:00 pagi sehingga jam 5:00 petang. Ini bermakna sebelum pejabat dibuka sehingga pejabat ditutup. Betapa kesabaran sangat ditagih untuk menjadi sebagai pemandu lori.



~~~~Sesat jalan boleh bertanya. Sesat ilmu agama sengsara di akhirat kelak~~~

Wednesday, April 13, 2011

Bumi Indah - Bahagian 1

Suasana balik kampung bertambah meriah apabila pakat-pakat dengan adik-beradik dan ipar-duai untuk pulang di hari yang sama. Sambil menjenguk rumah usang dan penghuni yang sentiasa kita rindui, kita juga beroleh ketenangan berada sehari-dua di kampung. Tidur lena dengan kedinginan embun menitik di bumbung kedengaran jelas hingga sayang mahu melepas selimut yang membalut tubuh. Mahu tidak mahu bila kedengaran suara adzan subuh dilaung oleh salah seorang cucu penghuni rumah masing-masing terpisat-pisat menuju ke bilik air sebelum solat subuh yang pastinya di imamkan oleh insan tersayang datuk kepada anak-anak kami.


Namun apa yang lebih meriah apabila masing-masing berkeliaran ke kebun belakang mencari apa jua yang boleh dibawa pulang. Sekarang musim petai. Berlori-lori petai boleh dipunggah samada sanggup atau tidak saja.

"Kalau berhasil esok boleh buat belanja sekolah. Daripada jual nenas baik jual petai." Anak-anak sekadar menemani emak yang berpeluh turut berada di kebun membantu bapak. Bapak yang kian gelap kulit dipanah sinar mentari tidak putus usaha mencari apa jua hasil demi mencari wang untuk menyara lapan orang anak. Setiap 10 keping petai kami ikat menjadi satu. Harga seikat sekadar seringgit. Biasanya kami mampu mendapat 200 hingga 300 ikat. Kemudian kami bawa ke kedai menggunakan dua buah basikal. Dapatlah membantu kami untuk dibuat belanja ke sekolah. Itu cerita dulu. Hati aku sebak kalau teringat itu semua. Betapa kepayahan ini tidak pernah terlintas di hati anak-anak sekarang.

"Inilah hasil dari apa yang arwah nenek tanam dulu. Petai inilah juga hasil saki-baki yang telah memberi Mak Long, Abah Din, Mak Uda, Mak Zah, Mama Leha, Mama Zakie, Cik Lin dan Cik Ida ke sekolah" Bapak bersuara bercerita di kebun yang sama baru-baru ini ketika kami memetik petai. Anak-anak aku dan sepupu-sepupunya mendengar penuh minat. Kebanyakan dari mereka tidak pernah pun mengenali arwah emak kerana sewaktu mereka lahir neneknya telah lama pergi menemui Illahi. Bermain mancis api hingga habis berkotak-kotak tetapi penghasilan apa yang dibakar satu pun tidak kelihatan. Bateri kamera hingga hampir habis gara-raga semua yang ada mahu dirakam. Kami yang menjadi ibu-bapa tahu mereka seronok bermain di kebun bukan seperti aku dulu yang terpaksa membantu untuk mencari wang demi keperluan hidup yang dilalui.


Kalau dulu aku tidak dapat menikmati keindahan rumput yang merliar bagaikan baldu tetapi kini aku kutip dan bawa pulang bagi memperindahkan tanah pasu bunga. Setiap kali pulang bonet kami pasti ada yang dibawa pulang. Walau setiap bulan mungkin ada 8 orang anak yang balik menjenguk bersilih-ganti tapi hasil tidak pernah habis. Begitulah anak-anak bapak yang kini masing-masing telah punya keluarga sendiri.


Cerita akan ku sambung sekiranya masa mengizinkan.

~ Biar di mana juga kaki ini menginjak bumi indah, tidak sama dengan bumi di mana tempat aku dilahirkan dan dibesarkan dengan kesusahan emak-bapak. Biarpun perit nostalgia itu tetapi ia terpahat indah dalam lipatan ingatan ~

Tuesday, April 12, 2011

Serupa di Giant


Laju kaki kami melangkah kerana mengejar masa. Trolli masih kosong. Adik dengan kakaknya sibuk menuju ke bahagian stationery. Tidak lama adik kembali mendapatkan aku semula.

"Adik beli apa?"

"Tak beli. He...he....he..." Ketawa adik disambut pula oleh si kakak.

"Kenapa sengih-sengih ni. Mama tanya tak jawab mesti ada benda lain ni."

Kepala adik sudah melekap ke perutku manakala si kakak mencapai tangan kiri aku dan digenggamnya. Masing-masing tergelak membuat aku dan papanya tersenyum tapi tidak tahu apa yang hendak dikongsikan. Membiarkan mereka selesaikan apa yang mencuit hati kami meneruskan hajat untuk berbelanja.

"Mama nak tahu tadi adik dah tersalah orang. Dia peluk orang tu, dia ingat mama. Auntie tu terperanjat tapi dia tak marah. Lepas tu auntie tu usap kepala adik."

"Habis minta maaf tak?"

"Kakak Mien yang cakap. Adik malu." Adik masih tersengih malu.

Tidak lama aku terpandang seorang hamba Allah lebih kurang susuk tubuh aku. Berpakaian pula betul-betul seperti baju aku. Bukan yang aku pakai pada hari itu tetapi aku mempunyai pakaian yang betul-betul serupa dengan baju yang dipakai wanita itu. Tambah lagi membuat ianya sama ialah tudung dan beg tangan LV yang dibawanya. Baru aku tahu mengapa adik tersalah orang. Sewaktu berselisih jalan dengan wanita itu adik tersengih-sengih dan wanita itu tersenyum ramah.

"Salah mama ye." wanita itu menyapa.

"Dia dah termalu." Aku menjawab untuk adik yang masih malu-malu dan menghulur tangan bersalaman dengan wanita tersebut.

Monday, April 11, 2011

Borang BE


Sekadar mengingatkan teman-teman yang "lupa" macam aku dan encik hubby. Tunggu hingga saat akhir baru isi dan pos. Mula-mula alasan diberi tunggu borang EA yang belum diperolehi. Bila sudah diperolehi pula terdetik di dalam hati mesti jumlahnya tidak seberapa kerana telah ada potongan PCB setiap bulan.


Bila borang telah dipenuhi dan kiraan dilakukan masih ada lagi baki yang perlu dibayar kepada LHDN. Hendak bertangguh sudah tidak boleh lagi. Akhir bulan ini adalah tarikh tutup pembayaran. Suka atau tidak kena bayar sebagai memenuhi tanggung-jawab sebagai rakyat yang taat. Tidak mahu pintu rumah atau loceng rumah berbunyi kerana kunjungan pegawai LHDN.


Dalam keadaan berkira-kira kita sebagai rakyat masih ada nasib baik lagi. Nasib baik yang aku maksudkan ialah tidak perlu guna setem. Itulah saja yang diberikan pada aku sebagai pembayar cukai. Betapa kesihannya aku.... (senyum sumbing). Aku juga tidak guna sistem e-Filing. Apa yang penting kita tidak culas dari tanggung-jawab kita.

~ membayangkan setiap sebuah rumah menyumbang sekadar RM 100/- kalau 10 juta rumah saja sudah tidak terhitung banyaknya ~