Friday, July 29, 2011

Bijak Sifir

Banner di atas diletakkan betul-betul di pintu masuk dewan. Kalau dulu sewaktu aku masih anak-anak, pembelajaran sifir menggunakan sistem hafalan. Siap boleh berlagu-lagu lagi. Menurut En. Muhamad Tajudin bin Mustafa atau lebih dikenali Sifutaj, yang mengendalikan Bengkel Bijak Sifir tempohari dia pernah didenda berlari keliling padang sambil menghafal sifir ketika usianya 9 tahun. Setelah hafal baru dibenarkan masuk kelas. Kalau kejadian itu berlaku masa kini boleh masuk akhbar sensasi dan kena turun-naik mahkamah guru tersebut kerana dianggap mendera.

UTM - Bengkel dikendalikan di UTM, Skudai dengan pembayaran yang amat murah iaitu RM 90/- untuk pakej tiga orang. Yasmien pergi bersama teman sekelasnya Nurul Izzah dan Najwa.


Dewan Sultan Iskandar - Di dalam dewan inilah bengkel itu dikendalikan. Siapa yang pernah konvo di dewan ini mesti terbayang-bayang environment di sekelilingnya.

Tiga Sekawan - Baru sampai dan melabuhkan punggung menanti waktu untuk bengkel bermula


Sessi pembelajaran - Selasai anak-anak belajar tiba pada sessi parenting pula. Kami juga diajar menggunakan sistem yang ternyata amat praktikal dan mudah untuk difahami. Kelakarnya aku turut tersenarai sebagai peserta ibu-bapa terpantas menyelesaikan soalan yang diberi.


Gembira - Selesai pembelajaran yang nyata amat berguna dan boleh dipraktikkan dalam menyelesaikan masalah mathematik mereka.


Contoh untuk sifir 11.
23 x 11 = __, __, __, Sediakan tiga ruang kosong.
a. Ruang pertama masukkan nombor 2 dan ruang akhir masukkan 3
b. Ruang tengah itu campurkan 2+3 = 5
c. Bererti jawapannya 253
d. Cubalah gunakan nombor-nombor lain...

Contoh untuk sifir 3 pula.
4 x 3 = ___
a. Tukarkan tiga kepada 2 (alasannya sebab kalau sifir 2 majoriti mesti tahu)
b. 4 x 2 = 8
c. Kemudian 8 + 4 (4 ini angka yang hendak didarabkan tadi) = 12
d. Cubalah pada angka-angka lain tetap betul jawapannya.

Pada bengkel tersebut, kami diajar menggunakan sifir 2 hingga 12 yang ternyata amat mudah buat anak-anak kita memahaminya. Setiap satu sifir ada caranya tersendiri yang mudah diikuti. Buktinya bila aku berikan beberapa soalan pada adik dia boleh menjawab dengan pantas dan tersenyum bila jawapan diberi betul belaka. Malam itu aku berdiri di hadapan wahiteboard menjadi guru seketika mengajar adik apa yang aku pelajari.

Pada 2hb Oktober 2011 akan diadakan lagi bengkel seperti ini di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. Bengkel ini akan diwar-warkan oleh Qulhaq Consultation melalui radio IKIM pada 3hb Ogos, jam 6:15 petang.







~~ Mohon pengertian selepas ini susulan N3 akan berada ditahap paling lambat. Titisan Nurani mangambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhaan Al-Mubaraq kepada semua Muslimin-Muslimat - mohon ampun dan maaf. Selamat Berpuasa~~~

Wednesday, July 27, 2011

Andai boleh berbicara

JEU 892: Nasib baiklah tuan kita bukan seorang YB. Kalau tidak lama sudah aku kena jual. Buruk-buruk aku masih lagi dapat pakai baju baru. Sayang juga mereka dengan aku.

JMY982: Engkau jangan tak tahu. Kalau bukan kerana aku belum tentu engkau dapat baju baru. Bila aku lahir dalam rumah itu barulah tuan kita sibuk hendak beli baju baru yang lebih selesa buat mereka duduk anak-beranak.

JHR982: Untunglah kamu berdua dapat baju baru. Selalu kamu berdua saja dimandikan. Aku sekali-sekali saja dia guna. Penat aku duduk di porch rumah. Engkau tiap-tiap hari dapat berjalan tengok dunia luar.

JGF 544: Mentang-mentang kamu semua ada roda empat bolehlah kata begitu. Aku ini sekadar digunakan dia bila pergi surau. Dunia luar aku hanya dari rumah ke surau saja.

JMM4454: Janganlah risau JGF 544 pahala kita banyak. Kalau awak selalu pergi surau aku hanya digunakan mereka pergi-balik sekolah. Itupun kalau tidak hujan.

























Demi simpati pada mereka ini pada hari Ahad yang lepas, kami gantikan baju-baju baru buat mereka semua. Jasa mereka telah banyak buat kami sekeluarga. Selesalah ketika memandu di atas jalanraya.


Tuan rumah: Sabarlah yang lain-lain kalau aku banyak duit mesti kamu pun akan aku tukarkan baju yang baru juga. Anak aku yang pandai berbicara lebih dari kamu lagilah memerlukan sebab ramadhan kian menjelang bererti Hari Raya mereka semua memerlukan hak mereka. Selain dari itu aku kena agihkan juga sebahagian yang aku ada pada mereka yang tidak mampu .



~~ Bayangkan kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk membeli walau sehelai baju ketika meraikan Hari Raya, walau ibadah puasa yang mereka jalani mungkin lebih sempurna dari kita ~~



Monday, July 25, 2011

Contest Aku Berpuisi - Mencari Arah

Kepada blogger yang dihormati
En. Mohamadazhan penganjur contest ini
Menjemput di ruang komen tempohari
Tambahan di tag oleh Cikgu Humairi

Dalam hati mulalah tercari-cari
Sesungguhnya berpuisi amat aku gemari
Klik banner di bawah pasti akan dijumpai
Syarat dan peraturannya mudah diikuti
(Ketika membaca dua rangkap ini ikutlah alunan cara bersyair - barulah ada rasa keindahannya hehehe.....)

Idea tercetus apabila radio IKIM pagi ini membahaskan perkara ini

**********************************************

Mencari Arah

Menggamit nostalgia ayah-bonda
Rentetan kurniaan zuriat Adam belaka
Nama Muhammad berderetan dalam mahligai
Rindu pada Aishah, Khadijah, Fatimah As-Zahra
Karut bukan harut wa marut
Jadilah aku ujikaji makmal ayah-bonda
Muhammad berlakun lagak Aishah
Pupur bedak sejuk, rambut mengurai anggun
Gemalai sopan aku kebanggaan semua

Bukan mahu menolak takdir
Naluri menelusuri mahu menjadi suri
Menolak segala ilham seni duniawi tidak sekali
Menolak realiti tersurat segala adat
Jalinan adab , akidah atau ibadah
Mengongkong naluri terpahat kejap
Merangkak, bertatih, berjalan dan berlari
Segala gerak terhenti oleh asakan kanan dan kiri
Berkali-kali dihenyak tetap teguh berdiri

Tiba-tiba langkahku mati
Melihat cemuhan, ejekan dan paparan ganas
Adab, adat dan ibadat kononnya sama seperti ku
Lebur menongkah pancaran kebenaran
Bukankah kalimah syahadah kita sama
Sesekali meledak kemarahan yang bersarang di jiwa
Di dadaku kini ada gunung
Membara membawa lahar menanti ledakkannya

Lontaran arah dan hajat terungkai
Robek, tercalar, punah dan terpadam
Hati menyorot kekesalan membawa tubir mata berjuraian
Terlerai impian, meruntuh gunung harapan
Busur panah arjuna ku tersasar
Setiaku dipertikai panjang sang kekasih

Allah hu robbi!!...
Sesungguhnya aku punya naluri
Dahaga nikmat kasih dalam tasbih sesama umat
Dalam rintihan sayu dan sendu
Lautan dosa yang tidak tertanggung
Kembali merapak sujud, tafakkur dalam solat
Ku pohon taubat dariMu ya Allah
Redha ku kini mencari arah lelaki sejati .

********************************
Siap sudah kena pula cari sasaran
Dikehendaki tiga, bukan satu atau dua
Sasaran menuju pada sar, kakcik, dan ibuintan
Maaf andai terlarat, jomlah buat sama
(yang ini pun buatlah alunan bersyair)
********************************

Berkata syaitan "Sungguh akan kami pengaruhi mereka itu, sehingga mereka mahu mengubah ciptaan Allah." (an-Nisa': 119)

Daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa (maksudnya): “Rasulullah melaknat kaum lelaki yang menyerupai atau berlagak seperti wanita dan kaum wanita yang menyerupai atau berlagak seperti lelaki.” (Riwayat al-Bukhari).
*************

Friday, July 22, 2011

Award sebelum Ramadhan

Keindahan dan nikmat bila mempunyai ramai sahabat. Lebih unik bila ianya sahabat yang tidak pernah bersua muka. Apa lagi berbual-bicara jauh sekali. Tetapi apabila terjun ke dunia berblogging walau tanpa dipinta kita akan memperolehi sesuatu tanpa di duga. Hari ini aku menjengah blog Kerdipan Rohani kepunyaan Kak Ani dikurniakan award yang indah. Terima kasih Kak Ani.

Sebagai memenuhi kehendak asal pemberi award aku pun turut memperpanjangkan keindahan ini untuk dimiliki bersama-sama teman sesama blogger berikut: -



Kalau diikutkan niat dihati mahu saja diberikan kepada semua teman tapi yang dibenarkan 8 sahaja. Sebagai ingatan persahabatan sesama teman blogger. Kepada teman yang lain aku sesungguhnya serba-salah bila diberikan award dan perlu diberikan kepada yang lain.


Thursday, July 21, 2011

Abah Ainul

Masa dan waktu dulu.... Walau titik embun masih kelihatan di dedauan tapi aku, kakak dan adik telah gigih menghayun langkah, memikul beg untuk kesekolah. Mana ada bas, van, hatta basikal sekalipun. Kami hidup susah. Bapak perlu memberi makan kepada lapan mulut yang belum mengerti erti susah dan seorang isteri. Kami pergi sekolah membawa botol air menggunakan botol apa saja yang ada di dapur. Untuk membeli botol air yang canggih jauh sekali.

Semalam sekembali akau dari kerja aku dikurniakan satu botol air yang cantik dan canggih dari bapak. Bukan bapak aku yang pada tahun ini akan menginjak usianya yang ke 84 tahun. Botol air ini aku perolehi dari abah yang usianya pun baru saja mencecah ke 27 tahun dan abah kepada seorang anak mungel bernama Ainul. Insan mulia itu suka menggelarkan diri sebagai Bujal x, pemunya blog matcham-matcham.

Apa lagi yang termampu kakak katakan selain syukran jazilan. Ganjaran Allah itu pasti walau tidak pada masa ini tapi bila kita tiada lagi di dunia ini kerana sesungguhnya malaikat Allah tidak pernah alpa menulis kebaikan itu. Terima kasih dik….




Mesra - Aku pilih gambar ini sebab dari mata aku nampak senyuman di bibir terpancar kebahagiaannya















Buah hati pengarang jantung - Ainul yang beruntung punya tempat bergantung harap pada dua insan di atas.






City Link - Menjadi wakil penghantar antara sahabat yang setia











Pergi sekolah - Pagi ini botol tersebut telah ikut ke sekolah. Memberi jasa pertama buat anak aku.

Wednesday, July 20, 2011

Apa beza cucur dengan jemput-jemput?

Mesti suatu yang mengujakan bila anak dara yang tidak pernah memasak tiba-tiba dipilih oleh cikgu dia menjadi wakil sekolah untuk pertandingan memasak. Malam sebelum pergi ikan bilis tumbuk, bawang tumbuk, hiasan cili dan timun, daun pisang untuk alas pinggan, alas meja, bunga hiasan, mudah kata segala peralatan untuk set minum petang selengkapnya aku dan Mak Zah dia sediakan. Tidak ada rehearsel di rumah.

Pagi itu dengan penuh debaran sebelum melangkah keluar rumah siap memohon doa penuh restu mama-papa. Dia pergi bersama cikgunya ke Sekolah Kebangsaan Seri Pulai. Sempena Karnival Unit beruniform Pandu Puteri, diadakan pertandingan memasak jemput-jemput semua warga sekolah yang terlibat. Kedengarannya mudah tetapi memandangkan ia melibatkan 18 buah sekolah mestilah debaran ada bersarang di hati.

Balik petang itu kelihatannya muka berseri-seri. Tidak kurang juga guru mereka yang senyum-simpul ketika berjabat tangan dengan aku. Sambil menjinjing peralatan yang pagi tadi dibawa terus masuk ke dalam perut kereta.

Yasmien: Mama rasa Yasmien dapat nombor berapa?

Mama: Dapat jadi jemput-jemput pun mama dah bersyukur Mien...

Yasmien: Mama tahu tak Mien pun tak sangka Sekolah kita dapat Johan tau.

Sebagai mama aku memang tidak menduga langsung kerana ketika di rumah kalau sekadar membantu membancuh adalah tetapi menggoreng belum pernah lagi. Pertandingan hari itu semunya dikehendaki membuat jemput-jemput/cucur. Yasmien dan temannya Sofea membuat jemput-jemput ikan bilis dihidang bersama dengan air teh lemon, tempat kedua sekolah jenis kebangsaan Cina membuat jemput-jemput nangka dan tempat ketiga membuat jemput-jemput pisang.

Label - Kertas ini digantungkan pada meja sewaktu pertandingan


Hadiah - Selain sijil piala ini juga diberikan kepada mereka berdua


Semasa dalam kereta juga Yasmein ada bercerita. Soalan yang diberikan oleh ketua panel juri pada Yasmien sewaktu merasa apa yang dimasaknya, "Apa beza antara cucur dengan jemput-jemput?" Jawapan yang diberikan oleh Yasmein, " Ejaan dia yang berbeza". Aku sekadar senyum.




Monday, July 18, 2011

Lapar....

Hari sabtu seperti biasa aku bekerja setengah hari. Anak-anak tidak ada di rumah kerana kegiatan sekolahnya. Kakak ada pertandingan memasak di sekolah luar bersama cikgunya dan adik pula ada kem bestari solat di sekolahnya. Aku bersama pasangan yang telah 16 tahun hidup bersama rasa kesunyian seketika. Walau perut lapar tapi makan pun kurang selera bila tidak cukup bilangan. Bincang-bincang makan sajalah di luar. Dekat saja, di depan kawasan perumahan kami.

Kopitiam Cawan - Inilah destinasi kami berdua. Suasana di dalam agak romantik kerana lampunya suram.

Air kiwi - Ini aku punya dan siap berpesan tidak mahu manis.


Hot Cappucino - Pasangan aku punya favourite

Wantan soup - Semangkuk saja, tapi banyak boleh makan berdua.


Nasi goreng - Sepinggan juga. Telur itu cantik tapi aku jenis kurang gemar makan telur. Siapa lagi yang makan kalau bukan pasangan aku kena habiskan.

Persinggahan - Selepas makan pasangan aku boleh singgah di sini untuk bergunting rambut. Mulanya aku turut masuk, bila semakin ramai lelaki yang masuk aku tunggu di dalam kereta. Gambar ini aku snap dari dalam kereta.

Adik - Habis bergunting rambut terus ke sekolah ambil adik di sekolah.


Seronok melihat anak-anak 7-9 tahun keluar berlari-lari mencari ibu-bapa masing-masing selepas usai kem tersebut. Ia bertujuan mendidik anak-anak kecil cara-cara bersolat dengan lebih tertib. Menjadi tanggung-jawab kita selain duniawi kenalah juga kenalkan mereka tiang agama agar tidak pincang hidup di dunia selain menjadi bekalan di akhirat kelak. Kalau perut pun hendak makan rohani kita pun pasti lapar jika hal-hal sebegini tidak diambil berat.





Friday, July 15, 2011

Bungkus kepala

Ikhsan google - Gambar ini bukan aku .


SE: Itulah bungkus semua kepala mestilah tidak dengar (maksudnya aku bertudung).

Aku: Bukan maksud saya tidak dengar tapi awak bila berbicara di telefon 'blabbering' (apa dalam bahasa Melayu aku kurang arif - tapi kalau bahasa ibunda aku disebut nggeremeng)

SE: Orang lain tidak pernah pun kata saya begitu. Awak seorang saja yang kata begitu.

Aku: Maaflah kalau begitu, tetapi buat diri saya selalu kurang jelas dengan butir bicara awak. Kenalah awak perbaiki demi prestasi kerja awak sebagai Sales Executive yang lebih baik.

Habis komunikasi di situ dan tidak diperpanjangkan.


Tidak sampai dua minggu dalam bilik mesyuarat.

A:Saya ada masalah bila awak telefon selalu saya kurang jelas dengan butir bicara awak.

B: Saya pun sama. Hari itu saya sangkakan awak kata KWSP rupanya .........(nama satu syarikat disebut) - Suara ketawa riuh sebentar dalam bilik itu. Memang pun KWSP tidak ada kena-mengena dengan dia.

C: Eh... saya juga sama menghadapi masalah ini. Sebab itu bila awak bercakap melalui telefon memang saya kena pasang telinga betul-betul. Dari awak mula masuk lagi memang begitu gaya cakap awak sebab itu saya kena 'pay more attention'.

SE: Oklah saya akan cuba perbaiki (kenapalah masa aku panggil tempohari tidak jawab begini)

Nasihat bukan mengeji di dalam mesyuarat demi kebaikan bersama. Aku sekadar mengambil minit mesyuarat tidak mahu berkata apa-apa. Apa yang pasti kalau tudung kepala aku yang dikatakan olehnya menyebabkan aku kurang jelas dengan butir bicaranya, ternyata meleset. Mereka yang memberi komen dalam mesyuarat rata-rata sama bangsa dengannya bukan bangsa aku. Aku tersenyum kerana nyata bukan aku pekak. (senyum sendiri sambil mencatat minit - dan pastinya akan aku masukkan dalam minit mesyuarat). Aku tahu mereka semua tiada maksud untuk menghentam sebenarnya, tetapi sekadar mahu memberitahu.

Mereka juga tidak tahu sebelum ini aku telah lebih dulu memanggilnya untuk memberikan butir bicara yang jelas ketika menggunakan telefon tetapi alasan diberikan terlalu klise. Selepas ini aku berharap bila dia mendapat minit mesyuarat dari aku kenalah dia tahu bahawa tudung aku tidak boleh dipersalahkan. Bungkus kepala aku bukan sembarangan!! Senyum aku meleret-leret.


~~ Bila bangsa Melayu berbahasa Inggeris akan banyak terkeluar "lah". Bila India pula prounce dia kita salute tetapi ada kalanya terlebih slanga. Tapi bila Cina selain tambahan "ma" kalau sebutan 'R' jadi 'L' kenalah sipendengar letak penuh perhatian~~~




Wednesday, July 13, 2011

Persahabatan

Selalu dia sendiri. Hinggap di pokok yang sama pada waktu lebih kurang hampir masa untuk aku makan tengahari. Paling lewat pun waktu solat zuhor hampir tiba. Tetap akan datang tidak kira panas atau hujan. Memerhatikan dia sendirian tanpa teman saban hari. Hairannya lama dia boleh berada di situ walau tanpa makanan. Kalau pokok ini jenis yang berbuah atau berbunga aku tidak hairan. Pokok ini berada di luar pagar pejabat kami. Selalu kami perhatikannya dari tingkat dua pejabat.

Persinggahan - Lebih kurang 12:30 tengahari dia telah hinggap di persinggahan selalu


Jam 1: 13 - Ketika aku hendak pergi solat Zuhor dia bagaikan terlena.

Selepas Zuhor - Tanpa di duga ada yang datang menyapa. Warna hitam juga dan species yang sama. Sekufu agaknya....

Mesra - Hatiku berdetik juga setelah sekian lama sendirian akhirnya Allah pertemukan juga dia dengan teman yang punya rupa dan species yang sama. Kami satu pejabat turut gembira walau ia sekadar binatang yang tidak dapat kita baca perasaan yang ada di dalam dirinya.




~~~Persahabatan atau ikatan yang dijalin dengan sebuah keikhlasan dan pengertian yang tinggi pastinya indah untuk dikenang sampai bila-bila ~~~



Monday, July 11, 2011

Jadikan renungan.....

Bermula dari usia 5 bulan hanya disebabkan ketika di dalam 'walker' dia tergolek dari ruang tengah ke ruang makan yang ada tiga mata anak tangga menyebabkan dia koma selama 3 bulan. Pembedahan yang dilakukan ke atasnya kerana akibat darah beku di otak menyebabkan dia jadi 'retarded' hinggalah kini usianya hampir menginjak 22 tahun. Inilah anak Kak Long aku. Kesihan kerana seluruh adik-beradik masing-masing punya kerjaya cemerlang termasuk yang bungsu kini sedang belajar di IPTA, hanya dia sahaja yang menimpa nasib sebegini. Terlalu besar ujian buat Kak Long aku sekeluarga.

Beberapa sifat dan ciri-ciri yang ada padanya: -

- Masih beruntung kerana memperolehi kasih-sayang yang panjang
- Makan pandai memilih mana yang sedap atau tidak
- Sekadar boleh memanggil mummy, daddy, abang, kakak dan adik
- Pergi juga ke sekolah OKU dan mesti hantar naik kereta, motorsikal dia tidak mahu
- Setakat ditanya nama, alamat rumah, nama mummy/daddy dia tahu. (Kalau ditanya nama emak/ayah/ibu/bapa pun dia tak faham - sebab mereka gunakan panggilan mummy/daddy)
- Mempunyai televisyen khas untuk dia menonton. Tidak siapa pun boleh alih saluran yang dia minati.
- Rancangan yang paling dia suka berbentuk perlumbaan seperti racing.
- Majalah berbentuk informasi berkaitan kereta dan motor amat diminati.
- Bila ada tetamu agar tidak mengganggu perbualan Kak Long dengan tetamu dia biasanya akan diberikan suratkhabar/majalah seolah-olah dia boleh membaca. Dibelek setiap muka surat tanpa jemu.


Mohd. Nuradlan - Datang berkunjung ke rumah kami baru-baru ini kerana anak Kak Long yang ke tiga dan tinggal di Pahang pulang membawa ikan Patin. Kak Long bagi dua ekor untuk kami.


Bermain - Masih suka bermain. Unta mainan anak aku yang aku beli sewaktu di Madinatul Hujjaj ini sangat digemari kerana apabila dipicit kakinya unta ini akan menyanyi lagu "Ya Makkah..." dengan matanya mengeluarkan cahaya merah.


Dan ingatlah bahwa hartamu dan anakmu adalah ujian bagimu (Al Anfal:28)



Thursday, July 7, 2011

Mari berbalas pantun

Bloggers sekelian marilah dengari
Ku canang berita dengan santun
Wahai Tuan Al-Lavendari
Kakzakie datang membalas pantun



Komensen menjual: -


Anak sepat di dalam sawah
Elok dimasak dengan pegaga
Bila dah dapat gading bertuah
Tanduk hendak letak kat mana ?



Titisan Nurani membeli: -
Sungguh indah lagu langgam
Lagu mendayu sedap didengari
Gading bertuah sudah digenggam
Tanduk khazanah dalam almari


Komensen menjual:-

Pisang emas masak se sikat
Masak pulut janganlah hangus
Sudah kemas perahu ku ikat
Kenapa hanyut di bawa arus ?



Titisan Nurani membeli:-
Larut mimpi dibuai lagu
Membara terkesan hati gerhana
Memang dikesali hanyutnya perahu
Angkara dilerai insan durjana




Komensen menjual: -

Anak senangin anak tenggiri
Masuk ke kelong mengelak pukat
Jika tak ingin dibuat isteri
Kenapa diusung merata tempat?


Titisan Nurani membeli: -
Sejengkal mimpi dibuai lena
Tamat lagu tanpa disedari
Si bakal isteri mestilah sempurna
“Experiment’ sendu yang kesana-kemari



*****************
************
*******
***
*
Titisan Nurani belum puas berpantun khas untuk teman blogger semua: -



Hang Tuah termasyhur di Melaka
Pusaranya tiada di Sri Menanti
Pantun, gurindam dan seloka
Sesungguhnya amat aku minati

Sarang rendah milik tempua
Menganyam ia buatan sendiri
Apa lagi kawan blogger semua
Balaslah pantun
Tuan Al-Lavendari



Wednesday, July 6, 2011

Majlis Bertandang


Majlis pihak perempuan telah berlangsung pada minggu akhir cuti sekolah yang lepas di Pahang. Tiga hari lepas baru majlis bertandang ke rumah pihak lelaki iaitu di rumah Kak Long aku. Kami sekeluarga menghadirkan diri ke majlis perkahwinan anak bujang dan juga merupakan anak ke empat Kak Long di Kota Tinggi. Seorang guru matematik bertemu dengan pasangannya yang bekerja di Sunway Kolej. Isterinya akan berpindah ke Sunway Kolej di Taman Mount Austin, Johor Bahru bermula dari 2 Ogos ini.

Malam - Majlis khatam Al-Quran, berzanji dan marhaban. Ramai wanita yang hadir pada malam itu

Khatam Al-Quran - Ini entah kali ke berapa sudah setiap ada majlis khatam Al-Quran mesti Nurienne kena membaca. Malam itu sekali lagi oleh kerana adik pengantin uzur, Nurienne kena jadi pengganti.


Anak dara mama - Pengantin belum bersanding lagi, malam itu mereka berdua sudah menggayakan dulu


Pengantin - Inilah dia pengantin yang sebenar


Pelamin - Direkacipta oleh Mak Andam tempahan. Siap untuk bilik juga (lupa hendak memfoto hiasan bilik)


Datuk & nenek pengantin - Bapak, bibik (isteri bapak) dengan paman & bibik (pak & mak saudara ) kami yang tinggal di S'pore


Sepupu pengantin - Semuanya masih belajar lagi. Dua bakal engineer, 1 bakal doktor, 1 baru masuk UITM Shah Alam dan 1 anak dara mama masih mentah lagi. Saiz badan semua lebih kurang sama.


Satu hati satu keluarga - Lapan beradik yang merupakan mak dan pak saudara pengantin.


Adik - Walaupun berpeluh-peluh dengan rambut serabai kerana bermain dengan sepupu masih ada hati untuk mengepit pengantin sebelum pulang ke JB.


Kemeriahan bukan sahaja kerana majlis pengantin tersebut tetapi juga kerana pertemuan dengan adik-beradik, saudara-mara baik yang jauh mahupun yang dekat. Masa inilah pelukan dan laga pipi hingga make-up pun pudar dek lagaan pipi setiap kali bertemu. Seronok dengan pertemuan walaupun bercampur rencah rasa penat kerana tenaga juga digunakan untuk saling bantu-membantu antara satu sama lain.



serangkap pantun dititip buat anakanda pengantin baru:-

Kakak tersenyum adik ketawa
Mummy & Daddy puas majlis selamat
Buat anakanda Faiz dan Oja
Moga ikatan dilimpahi rahmat



Monday, July 4, 2011

Bunga & Kemegahan itu

Benar sungguh ia amat menawan bagai dikata
keindahan itu benar-benar menggamit mata
menyorot kosong tanpa rasa pada kuasa pencipta
warna indah dengan kelopak-kelopak yang ada
segarnya menjadi nikmat yang sudi menyapa
ia tetap mekar tanpa curiga
lupa tiba masa kelopak akan gugur jua

Mata terus memandang penuh leka
indah dan harum bagaikan dirinya
megah disanjung ramai manusia
alpa bagai bunga itu juga
menjadi pujaan dan hiasan dimana-mana
harumnya menerjah tanpa dipinta
siapa berani dan mampu mengata-ngata
kedudukan nyata sentiasa dijulang tiap masa

Tidak percaya semua itu hanya seketika
benarkah jawatan disandang tidak lama
ilmu yang ada bukan untuk mendabik dada
keegoan yang bermaharajalela
riak dan ujub timbul perkara biasa
bila segala punah sekelip mata
Rokib dan 'Atid pula tidak pernah lupa
Izrael juga sentiasa setia
perintah diambil tanpa leka
kekesalan diakhirnya bisu tanpa bicara


Dalam surah Muhammad ayat 16, Allah berfirman yang bermaksud: “Mereka itu telah dicap (ditutup) Allah mata hatinya dan mereka mengikut hawa nafsunya.”

Rasulullah bersabda: “Awaslah kamu jangan mencampuradukkan antara taat pada Allah dengan keinginan dipuji orang (riak), nescaya gugur amalanmu.” (Hadis riwayat Ad-Dailami).

Friday, July 1, 2011

Sebentar ke farmasi

Masuk farmasi tujuan untuk membeli kehendak adik yang direngekkan sejak semalam. Sudah dua malam tidurnya tidak selesa diganggu hidung tersumbat. Malam waktu tidur kalau ditutup air-conditioner pun pasti macam ada renjatan elektrik, dia boleh sedar dan mulalah mencari remote. Jadi untuk memudahkan belilah apa yang dia mahu.

Ketika berada di dalam perut farmasi mata pantas meninjau benda lain. Satu botol EPO sempat juga aku capai untuk kegunaan aku seharian. Kemudian cik Amoi yang menjadi jurujual di situ datang menggoda aku. Sambil tersenyum manis dia menghulur satu produk yang aku tidak pernah "consume". Penerangan panjang-lebar akhirnya aku mengalah dan akhirnya akur dan mengambil juga sekotak. Pandai dan gigih betul Amoi tersebut.


12 strips - Inilah dia yang dikatakan boleh melenakan tidur malam adik.


Sekotak - Inilah dia minuman soya yang digodakan Amoi itu kepadaku.

Brochure - Keterangan minuman soya itu ada terdapat di sini

Segelas - Adik pantang kalau ada benda baru mesti dialah orang pertama hendak mencuba


Kerut mata - "Tak sedap la mama" baru dia tahu tidak semestinya bau sedap rasa pun sedap. Tidak sama seperti soya bean di dalam kotak yang selalu dia minum.


Kalau menurut dari brochure yang disertakan klorofil dalam barli hijau mempunyai struktur molekul yang seakan-akan sama dengan hemoglobin manusia. Oleh itu ia dikenali sebagai "Darah Hijau". Daun barli hijau juga dapat mengawal pertumbuhan patogenik dan membantu badan menyingkir keluar toksin. Selain itu ia juga dapat meningkatkan keupayaan badan untuk menghasilkan darah baru dan memulihkan semula sel-sel yang lemah. Sebab itulah aku setuju untuk membeli, mana tahu ia sesuai untuk anak sulung aku.