Senario cuaca sejuk kini melanda negara kita dan tidak kurang juga negara jiran. Namun buat aku yang tinggal di JB ini tidak merasa sangat akan perubahan tersebut. Apa lagi kalau yang bekerja di pejabat. Pergi kerja di dalam kereta pun sudah ada pendingin hawa, dalam pejabat pun ada juga. Tidak ketinggalan di rumah pun sama. Oleh itu kalau suhu mencecah 17 darjah celcius macam di Sabah agaknya baru boleh terasa dinginnya.
Anak-anak yang mengaji mengatakan angin di luar sejuk seronok untuk bermain basikal. Itu kata mereka. Mungkin ada kebenarannya. Ketika menulis entri ini telefon bimbit aku menunjukkan suhu di JB kini adalah 21 darjah celcius. Bererti memanglah agak sejuk.
|
Terlena - Ini bukan sebab cuaca di JB sejuk tapi sebab keletihan. Sementara menanti yang lain mengaji boleh dia (Mohd Aqil Ilham) terlena di atas katil. Siap berselimut lagi sebab aku mengajar di bilik memang ada air-cond itu yang buat tambah selesa buatnya tidur. Bila si adik mengejutkan baru berpisat-pisat untuk berwuduk semula. Kerenah anak-anak macam-macam. |
Kesian melihat anak-anak yang mengaji bila hari bersekolah. Nampak letih. Sebab itu sebaiknya kalau mengaji di usia awal cepat khatam. Jadi bila ada kerja sekolah banyak bolehlah mengaji di rumah sendiri selepas solat maghrib sekejap. Walau biasa sudah dipesan bawa kerja sekolah buat di rumah mama Zakie sementara tiba giliran, tetapi anak-anak belum matang mereka tidak mahu.
~~ Cuba bayangkan andai Allah turunkan salji di negara kita barang 3-4 hari apa akan jadi dengan tanaman, keadaan jalan, ayam-itik-lembu-kambing di ladang, anak-anak ke sekolah, immigresen/kastam, lapangan terbang dan banyak lagi. Mohon Allah berikan kita semua perlindungan. Amin.~~