Sedih, kasihan, bingung dan macam-macam yang kami fikirkan. Hampir tiga minggu bapak mengalami kegatalan melampau. Berjumpa doktor pakar pun sudah berkali-kali. Kami anak-cucu-cicit semuanya kebingungan. Bermula balik dari kebun belakang rumah yang kami sangkakan mungkin terkena ulat bulu di muka ianya berlarutan sehingga merebak ke seluruh badan hatta ke tapak kaki juga. Tidak sampai hati melihat keadaannya.
Bermacam usaha kami lakukan. Mandi daun sireh dan cengkih dibuat juga tetapi tidak serasi. Mandi serbuk yang bila dicampur ke dalam bekas menjadi biru pemberian dari doktor pakar juga tidak mempan. Cream bermacam jenis cream juga dibekalkan oleh cucunya yang ada di bidang kedoktoran juga tidak mampu mengubat. Kalau biasa orang berjumpa bapak minta air penawar kali ini kak Uda kami bawa berjumpa ustaz pula mencari penawar. Juga tidak berkesan.
Entah mengapa aku teringat sewaktu adik dulu dalam usia 1-2 tahun (belum pandai berjalan waktu itu) pernah kena kegatalan yang kami sangkakan eczema tetapi baiknya selepas balik dari mandi dipantai. Langsung kami bawa bapak mandi pantai. Kelakar memang kelakar sebab rasa kami sudah berpuluh-puluh tahun bapak tidak mandi pantai, hari itu bapak mandi pantai. Balik mandi itu kegatalan bertambah teruk. Tetapi selepas sehari beransur baik. Melepuh yang ditapak kaki berkurangan dan luka-luka akibat digaru menjadi kering. Cream tetap kami sapu juga, air dari ustaz kami minumkan juga, oleh itu tidak tahu mana satu yang menjadi penawarnya.
Namun ada sedikit kegusaran kami kaki bapak bengkak dek kerana asyik keluar-masuk bilik air untuk mandi. Mengikut cucunya yang bekerja dibidang kedoktoran bimbang buah pinggang bapak affected. Bawalah ke hospital tempat dia bekerja buat x-ray, Alhamdulillah tidak ada masalah. Waktu siang bapak tidak ada masalah tetapi bila malam menjelang bermulalah kegatalan itu menyerang. Sehingga ada satu malam itu kakak aku tertidur dibelakang bapak sebab menjaga bapak bimbang dia menggaru dengan alat penggaru dia.
~~ Ujian bila mahu datang tidak siapa mampu menjangkakannya. ~~