Monday, February 29, 2016

Bila gatal menyerang

Sedih, kasihan, bingung dan macam-macam yang kami fikirkan. Hampir tiga minggu bapak mengalami kegatalan melampau. Berjumpa doktor pakar pun sudah berkali-kali. Kami anak-cucu-cicit semuanya kebingungan. Bermula balik dari kebun belakang rumah yang kami sangkakan mungkin terkena ulat bulu di muka ianya berlarutan sehingga merebak ke seluruh badan hatta ke tapak kaki juga. Tidak sampai hati melihat keadaannya.

Bermacam usaha kami lakukan. Mandi daun sireh dan cengkih dibuat juga tetapi tidak serasi. Mandi serbuk yang bila dicampur ke dalam bekas menjadi biru pemberian dari doktor pakar juga tidak mempan. Cream bermacam jenis cream juga dibekalkan oleh cucunya yang ada di bidang kedoktoran juga tidak mampu mengubat. Kalau biasa orang berjumpa bapak minta air penawar kali ini kak Uda kami bawa berjumpa ustaz pula mencari penawar. Juga tidak berkesan. 

Entah mengapa aku teringat sewaktu adik dulu dalam usia 1-2 tahun (belum pandai berjalan waktu itu) pernah kena kegatalan yang kami sangkakan eczema tetapi baiknya selepas balik dari mandi dipantai. Langsung kami bawa bapak mandi pantai. Kelakar memang kelakar sebab rasa kami sudah berpuluh-puluh tahun bapak tidak mandi pantai, hari itu bapak mandi pantai. Balik mandi itu kegatalan bertambah teruk. Tetapi selepas sehari beransur baik. Melepuh yang ditapak kaki berkurangan dan luka-luka akibat digaru menjadi kering. Cream tetap kami sapu juga, air dari ustaz kami minumkan juga, oleh itu tidak tahu mana satu yang menjadi penawarnya.

Namun ada sedikit kegusaran kami kaki bapak bengkak dek kerana asyik keluar-masuk bilik air untuk mandi. Mengikut cucunya yang bekerja dibidang kedoktoran bimbang buah pinggang bapak affected. Bawalah ke hospital tempat dia bekerja buat x-ray, Alhamdulillah tidak ada masalah. Waktu siang bapak tidak ada masalah tetapi bila malam menjelang bermulalah kegatalan itu menyerang. Sehingga ada satu malam itu kakak aku tertidur dibelakang bapak sebab menjaga bapak bimbang dia menggaru dengan alat penggaru dia. 

Solat - Tidak mahu di bilik. Di ruang tetamu inilah bapak baring/tidur dan solat.  Sesiapa datang akan ke ruang tamu yang satu lagi. Waktu ini di rumah kakak di Kota Tinggi.  Mak Zah juga buat masa ini di sini sama.

Belengging - Kulit bapak kelihatan 'masak' dek bekas yang memenuhi seluruh badannya. Waktu ini anak-cucu dari Muar datang berkunjung. Siang boleh berborak tetapi bila malam bapak keletihan dek gatal yang menyerang
Rabu ini bapak ada appointment dengan doktor membuat pemeriksaan. Cucu dia ada mengambil darah untuk dilihat apa sebenarnya yang terjadi. Selepas itu bapak akan ke rumah aku. Hubby akan cuba bawa bapak berjumpa ustaz darul -syifa' kawannya pula. Doakan bapak kami diberi kekuatan dan kesembuhan segera.

~~  Ujian bila mahu datang tidak siapa mampu menjangkakannya. ~~


Friday, February 26, 2016

Hubungan waktu solat dengan kehidupan

Bila kita perhatikan kehidupan harian kita sebenarnya sentiasa berdamping erat dengan waktu solat. Apa pun juga pergerakan kita pasti kita akan berbalik kepada waktu solat. Bangun pagi kita kerana ada rasa tanggungjawab yang mahu digalas. Bukan saja kerana mahu pergi kerja, pasar dan sebagainya, tetapi kalau kita perhatikan kita bangun kerana waktu untuk solat subuh.

Tengahari pula samada keluar atau duduk di dalam rumah waktu kita makan juga akan diset di dalam minda samada sebelum solat atau selepas solat. Akan ada rasa satu jadual terletak pada diri tanpa perlu ditulis samada kita berada di rumah, di dalam pejabat mahupun membuat apa juga urusan seperti bersantai dengan saudara/keluarga samada ditunaikan sebelum atau sesudah solat.

Waktu Asar pula kepada yang bekerja mahu dilakukan sebaik azan atau sebaik tiba di rumah. Dalam hati pasti kurang selesa sekiranya solat belum didirikan. Oleh itu ramai antara kita yang bekerja lebih suka bersolat sebelum balik rumah kerana bimbang tersepit dicelah-celah kesesakan jalanraya. Begitu juga yang tinggal di rumah sama ada mahu atau tidak mahu melakukan sesuatu kerja apa yang pasti masa pergerakan akan dikaitkan dengan waktu solat yang akan didirikan.

Tidak kurang dengan waktu mahgrib. Kepada yang lelaki biasalah masing-masing sudah set di minda berapa minit sebelum azan berkumandang sudah boleh berada di masjid/surau. Wanita pula jika berada di dapur pun pasti minda sudah diterap jam berapa hidangan boleh siap di atas meja sebelum azan berkumandang.

Biar mahu rehat bagaimanapun pasti tidak selesa selagi solat Isyak tidak didirikan. Tidak kiralah walau dimana kita berada sebaik Isyak sudah didirikan terasa lega untuk bersembang, membaca buku, menonton televisyen dan yang pasti berbaring untuk tidur. Betapa kehidupan tersusun sangat indah dengan adanya jadual solat yang telah difardhukan ke atas kita ummat baginda Muhammad rasulullah saw.




وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلَّا الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ 


~~"Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, saling menasihati dalam kebenaran dan menasihati dalam kesabaran. - Surah Al-Asr: 1-3.~~

Thursday, February 25, 2016

Cukuplah seekor saja

Menyediakan hidangan jika ada yang memberi cadangan sebenarnya lebih mudah berbanding jika dikatakan apa-apa pun boleh. Petang balik kerja bila Kak Meen sudah keluarkan ikan yang mahu dimasak memudahkan kerja mama di dapur. Ikut apa yang diinginkan.

1-  Tumis bawang2 + cili padi (kalau suka) + 3 sekawan + cili sos + sos tiram + timun + nenas + carrot + tomato + pepper 
2. Ikan goreng (garam + kunyit saja)
Siap - Curahkan no. 1 di atas no. 2
~~ Ada kalanya membuat kita sesak untuk makan di luar. Toleh ke kanan-kiri, depan-belakang semuanya warga asing. Menumpang mencari rezeki di bumi yang sama. ~~

Wednesday, February 24, 2016

Potong ikut suka

Waktu:  Selepas masing-masing sudah habis mengaji

Mama: Pergilah dapur dalam fridge ada kuih mama buat tadi.
Anak: Kuih apa mama? (Mana satu yang bertanya aku pun tidak pasti)
Mama: Pergi ajelah tengok. Ada yang mama dah potong. Kalau nak lagi potonglah lagi ada pisaunya mama letak sebelah. (Berlarilah mereka masuk dapur). 

Seperti biasa budak-budak habis mengaji baru aku mengaji sendiri untuk diri sendiri sementara menanti solat Isyak. Kecoh mereka di dapur seperti selalu. Selesai solat isyak aku lihat loyang masih di atas meja. Apa jadi? Hahaha.... tengoklah.

Puding roti - Buat seloyang saja pun. 
Kecah - Bila potong ikut suka hati masing-masing.
Itulah dikatakan anak tidak ada dosa. Tidak ada rasa bersalah pun janji sudah ada kebenaran mama. Mama pun tidaklah boleh salahkan mereka yang tidak matang. Kalau dipotongkan elok-elok dan masukkan dalam pinggan macam biasa tidaklah jadi kecah begini.

~~ Adanya anak-anak ini pengubat kesunyian rumah kami.~~


Tuesday, February 23, 2016

Bila ubi dan keladi bersatu

Makanan dengan kehidupan tidak dapat dipisahkan. Begitulah juga wanita dengan dapur tidak dapat dipisahkan. Walau letih bagaimanapun ada kalanya dek kerana keinginan yang ada ia mampu mengatasi rasa malas yang bersarang. Sayang pada ubi-keladi yang dibawa dari kampung. Buang rasa malas lalu ubi dan keladi digandingkan menjadi satu di dalam periuk dengan niat untuk menjadi pemanis mulut seisi keluarga.

1. Ubi kayu sudah direbus dengan sedikit garam

2. Keladi juga direbus dengan sedikit garam

3. Satukan keduanya ubi dan keladi ke dalam santan yang sudah di letak gula perang. Simpul daun pandan masukkan sama. Apabila gula sudah larut masukkan ubi dan keladi. Sebaik mereneh masukkan pula santan pekat.  Kacau supaya santan tidak pecah. Mendidih, tutup api. Siap.

4. Sedia untuk disantap kepada yang sudi.  
Sayangnya mama dan papa saja yang menikmatinya. Anak-anak semua hanya tahu makan ubi rebusnya saja. Akhirnya mama bawa ke pejabat menjadi hidangan bersama kawan-kawan mama.

~~ Anak-anak tidak tahu ubi-keladilah yang dulu menjadi sarapan mama selalu.~~


Monday, February 22, 2016

Indahnya sebuah persahabatan

Apalah yang lebih menggembirakan kepada penulis tua seperti empunya Titisan Nurani ini selain mendapat penghargaan teman-teman blogger yang sudi bertandang ke sini selalu. Ada kalanya rasa terharu apabila sedikit saja dibuat tapi diberi penghargaan sebegini hebat. Terima kasih Dorset Pink.

Kurus kerimping bukan cantik
gempallah sikit lagi baik
Dorset Pink memberi sepasang batik
dititip juga sepasang chopstik

Gunting - Petang Jumaat mendapatnya dan pada hari Sabtu terus saja aku gunting. Sedia untuk dijahit.


Kurung Johor - Ahad di rumah bersendirian lalu aku siapkan jahitan. Ini sebelum dijahit tulang belutnya
Membazir makan jangan sekali
ingatlah mereka yang kelaparan
mengenali Dorset Pink tidak rugi
memberi komen selalu pun ada ganjaran

Kain - Cantik hasil contengan tangan sipembuat dengan design pucuk rebung. Pembelinya DP pun pandai memilih. Harap-harap boleh bersabar menanti Hari Raya tahun ini untuk digayakan. Kalau tidak sabar melihat di dalam almari mahu-mahu pergi majlis kahwin aku rasmikan dulu:)
Sempurna - Siap sudah tulang belut dan butang sekali. Tunggu masa saja untuk dirasmikan bila-bila masa.

Nota titipan - Bersama-sama juga ada chopstick dan dititipkan nota comel. Dorset Pink memang suka memgumpul accessories begini. Chopstick ini DP beli di Jepun. Kepada yang mahu membaca kisah percutiannya ke Jepun silalah ke blog beliau.
Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada Dorset Pink. Kepada teman-teman Titisan Nurani dipersilakan menjalin ukhuwah dengan DP. Semoga jalinan persahabatan mendapat redha Allah selalu dan beroleh keberkatan yang berpanjangan.

~~ Setiap kali menerima hadiah/cenderahati begini pasti doa ku titip buatnya semoga rahmat Allah terus melimpah ruah buat yang memberi. Tabarokallah.~~


Friday, February 19, 2016

Sesal kemudian tidak berguna

Pasangan yang brutal. Ganas. Garang.  Bila semua itu ada di dalam diri masing-masing, penyesalan pasti menjadi berganda-ganda apabila salah satunya pergi meninggalkannya untuk selama-lamanya. Setiap kali terjadi pertelingkahan bukan saja jiran turut takut sehingga menutup pintu, tetapi polis pun sudah letih mahu melayannya. Siapa menduga apabila tiba-tiba Allah perintahkah Izrael mencabut nyawa salah satunya. Innalillah. Kami jiran-jiran semua terpempan. Masih terlalu muda bagi pasangan ini yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 2 tahun dan pagi itu sah anak tersebut menjadi yatim. Isteri terkedu. Hilang semua brutal, ganas dan garang yang selama ini bersarang. Airmata yang luruh membuat kami jiran-jiran turut sama bersedih. 

Kunfayakun Allah tidak siapa mampu membendung. Bayangkan baru beberapa jam bertelingkah hingga cebisan-cebisan tilam yang dicincang masih belum berkemas salah satunya sudah pergi buat selama-lamanya. Tidak perlu lagi lari meninggalkan rumah seperti selalu dengan berkaki ayam tanda protes dari apa yang terjadi. Kini ternyata Allah mahu melihat betapa tidak berkuasanya kita sebagai hamba. Mati tidak perlu dibunuh atau diterajang. Mati itu milik Allah. Sihat-segar-bugar kalau Izrael sudah mendapat perintah maka tercabutlah nyawa.

Lebih sadis apabila berlaku perebutan jenazah pula. Biar sewaktu hidup sering bertelingkah tetapi apabila pasangan sudah terbujur kaku tetap mahu pasangan dikebumikan di tempat berhampiran dengan rumahnya. Namun keluarga si mati berkeras mahu membawanya pulang ke tanah tumpah darahnya memandangkan si isteri juga bukan warga Malaysia. Aku sebagai jiran sebaik mendapat berita kematian terus tutup komputer balik untuk tujuan ziarah. Namun sebaik tiba di rumahnya, kosong tidak ada satu pun manusia. Setelah diberitahu salah satu kakak jiran tahulah jenazah terus dibawa ke lapanganterbang dan dibawa balik ke tanah tumpah darahnya atas arahan keluarga. Si isteri yang tidak mampu apa-apa akur turut terbang ke sana.

Pengajaran sebagai pasangan suami-isteri, bertolak-ansurlah dalam apa pun juga hal. Tidak ada gunanya penyesalan bila begini jadinya. Sebagai manusia biasa tidak dapat lari dari tergigit lidah tetapi ingatlah besar mana pun silap cuba cari kelebihan yang ada bukan mencari kekurangan. Kullunafsin zaa iqotulmaut. Setiap yang hidup pasti merasai mati. Jadi jangan beranggapan kita dan pasangan kita yang sihat ini pasti akan hidup lama. Mati tidak semestinya dek kerana tua atau sakit.

~~ Hidup di dunia ini sementara saja. ~~



Thursday, February 18, 2016

Cuti terakhir kami di JPO

Masa: Selepas sarapan pagi
Hari: Selasa (cuti terakhir CNY)

Hari Rabu mama/papa sudah perlu ke pejabat. Oleh itu sebelum naik kerja bawalah anak-anak ke JPO. Tidak jauh mana pun dari rumah kami. Lebih kurang 15 minit kalau memandu kereta santai-santai pun boleh sampai. Pergi pun selepas perut masing-masing sudah diisi sebab mama sudah siap masak. Nangka muda yang dibawa dari kampung mama gulaikan. Goreng puyuh, kemudian gorengkan kacang buncis, carrot dan cauliflower, tuang di atas puyuh goreng tersebut. Makan cecah sos.  Kemudian buat sambal tumis ikan bilis. Itu saja yang disediakan di atas meja.

JPO - Tiba di kawasan parkir kereta saja kami sudah tahu rata-rata yang mengunjungi sini datang dari KL, Singapore dan Indonesia.  Tidak kurang bas-bas pelancung juga memenuhi ruang parkir.

Letih - Sekadar memenuhi kehendak anak-anak.  Satu membeli semua mestilah mahu. Walaupun ada diskaun tetap beratus-ratus juga untuk setiap satu-satunya. Cuma brand saja tidak sama. 
Buah hati mama - Mereka sudah bersedia untuk balik apabila sudah mendapat apa yang dihajatkan. Mereka membeli dompet, coklat, handbag dan perfume saja pun. Mama pun sama, bezanya mama menggunakan duit mama sendiri.
Melihat orang seberang tambak membeli bagaikan satu yang menguntungkan apabila nilai duit mereka berganda-ganda besarnya berbanding RM. Bayangkan kalau kita perlukan seribu mereka hanya perlu membayar lebih kurang SGD 300/- saja. Kita membayar dengan credit card mereka boleh guna cash saja sebab tidak sampai ribu-ribu pun duit mereka. Entah sampai bila nilai matawang kita akan merudum begini.

Letih - Singgah membasahkan tekak. Khusyuk adik dgn handsetnya. Sampai aiskrim meleleh pun papa yg tolong jilatkan.
Kak Meen boleh berkata pada papa " Hari ini papa dapat banyak pahala." Papa menjawab "Yelah kalau dah banyak yang melayang pahala yang disebut". Coklat pun mereka beli untuk stok. Walhal kalau mahu pergi lagi bukanlah jauh mana pun. Tetapi dek kerana bila berkumpul ketiga-tiganya begitulah anak-anak.

~~ Datuk Zetti, gabenor negara dikatakan mungkin tidak akan menyambung contractnya. Agak-agak siapa yang layak menjadi penggantinya? ~~


Wednesday, February 17, 2016

Orang memberi kita merasa

Beginilah bila hidup di Malaysia yang penuh warna-warni bukan saja kerenah birokrasi. Tetapi ada juga kerenah politik. Tidak kurang kerenah masyarakat. Tetapi ada yang indah perlu kita hayati bersama juga. Kasih-sayang dan saling hormat-menghormati masih ujud di kalangan kita.

Jiran - Bila berjiran dengan pengedar tupperware. Anaknya mengaji dengan aku
Merah - Datang masuk bilik untuk mengaji tetapi ini yang dihulurkannya dulu 
Maroon - Dua bekas tupperware penuh dengan biskut CNY
Botol kacang - Sebagai tanda terima kasih cenderahati yang ada di dalam goodie bag. Majlis motivasi pun ada goodie bag. 
Kacang lagi - Sudah menjadi trend sekarang balik dari majlis dapat kekacang yang diisi di dalam botol beraneka jenis.
~~ Rezeki di tempat kita ada di mana-mana. ~~

Tuesday, February 16, 2016

Itulah nikmatnya ada kampung

Balik dari majlis perkahwinan di Muar terus balik kampung. Kami berada di kampung pun sekadar satu malam saja. Tiba rumah petang cuti CNY hari pertama dan balik siang CNY hari ke dua. Itupun banyak yang dituai untuk dibawa balik. Apa lagi kakak dan abang Uda pun tiada di rumah kerana pergi makan angin. Sama juga kakak di Bangi juga pergi makan angin tidak balik. Hanya kami yang tidak pergi makan angin balik menjengah kampung.
Cili kampung - Cili purple bila masak pun merah juga. Kalau satu pokok ada 10 biji cili pun kena banyak pokok memang boleh jual. Tapi kakak kami tidak jual pun. Biasa dia agihkan ke sekolah  kawan tempat kerjanya.

Inai - Pokok inai ini sudah berpuluh tahun. Cantas selalu itu yang rendang. Tapi batang pokoknya sudah besar sangat. Kalau dulu Mak Zah suka tumbuk inaikan rambut sebab dia selalu sakit kepala. Hari itu aku ambil juga untuk aku tepek pula di kepala aku. Sejak-sejak ini aku sering sakit kepala.

Belimbing dan limau kasturi - Sayang sungguh melihat belimbing yang luruh bawah pokok tidak dipetik langsung. Begitu juga limau sehingga kuning-kuning terbiar di atas pokok.

Buat kuih - Aku mengambil sedikit kelapa sawit untuk dijadikan kuih bakar. Labu, ubi kayu dan keladi pun ada juga. Keladi sudah ada yang aku goreng makan cecah sambal kicap.

Musim hujan - Meriah bunga-bunga ini menutupi daun-daunnya. Kalaulah halaman rumah aku luas mahu aku tanam pokok bunga ini. Cantik bila bunga-bunganya lebih banyak dari daun.

Hasil kampung juga - Menikmati air kelapa muda tidak pernah aku lupakan setiap kali balik kampung. Selepas siap bersarapan hubby sudah mula mengait setandan kelapa muda. Aku pula memetik pucuk manis yang menjadi pagar di sepanjang belakang dapur rumah. 

Pepatung/sesibu - Duduk di JB rasanya untuk dipertemukan dengan pepatung ini tidak ada peluang. Sewaktu menemankan hubby membelah kelapa muda sempat aku potretkan pepatung yang hinggap di pokok dragon-fruit. Cantik!
Hujan yang menyimbah bumi pada malamnya membuat tidur kami lena dibalut selimut tebal sebab sejuk yang menggigit hingga ke tulang sum-sum. Tahajjud malam langsung tidak tertunai. Subuh pagi merasa air paip yang keluar pun sejuk bagaikan ada ais. Makan tengahari pula kami tidak makan nasi tetapi kami makan  mee udang yang kami beli. Selepas solat zuhor kami bertolak balik JB. Terkenang kucing-kucing yang ditinggalkan di rumah sudah kelaparan.

~~ Balik kampung kali ini tidak ada bau asap pembakaran sebab semuanya basah ditimpa hujan. ~~


Monday, February 15, 2016

Makan malam dengan sushi

Tempat: BP Mall, Batu Pahat
Masa: Cuti hari ke dua Tahun Baru Cina

Niat asal mama/papa tidak mahu ikut masuk dan membiarkan mereka bertiga beradik saja. Tetapi kemudian papa tidak senang hati lalu sama-sama semua melangkah masuk. Membiarkan dulu anak-anak mengambil dan memilih dari piring-piring yang bergerak dari satu menu ke satu menu. Mama/papa tidak ada selera lagi lalu memanggil waiter. Melihat menu memesan hidangan nasi yang ada ikan salmon, sardin dan salad. Ini pun mama/papa kongsi berdua. Kami suami-isteri kurang minat dengan sushi sebenarnya.
Ramai - Oleh kerana cuti CNY jadi 90% yang menjadi tetamu restoran waktu ini adalah orang Melayu termasuklah kami 5 beranak. Hanya ada dua keluarga orang Cina. Satu, pasangan muda dengan satu anak kecil dan satu lagi sekeluarga dua anak remaja. Oleh kerana semua meja penuh kami duduklah di meja yang menempatkan piring-piring bergerak ini.
Bergerak - Anak-anak semuanya penggemar sushi apa lagi bila ada peluang begini pastinya gembira bukan kepalang. Adik apa juga yang ada seaweed akan diambilnya.
Empat - Dari empat ini kedua-dua yang berada di sebelah kiri ini bolehlah buat mama/papa makan. 
Empat lagi - Atas kiri dan bawah kanan inilah yang banyak mengisi perut mama/papa. Selainnya semua pilihan anak-anak belaka. 

Berselera - Anak-anak makan berpinggan-pinggan. Kek yang comel itu juga rasanya ada dua-tiga kali mereka ulang. Termasuk yang telur ikan (gambar atas kanan). Mama dan papa minum air panas lemon tea anak-anak biasalah air sejuk.
Bila sudah menjadi ibu-bapa selera anak-anak menjadi keutamaan. Sebab makan kita yang sudah berusia pun bukanlah banyak mana. Melihat kegembiraan yang terpancar sudah cukup membahagiakan. Tetapi sayangnya selesai makan masuk Popular mencari buku Kak Reen tidak adalah pula. Sudah dua tempat mencari masih tidak berjumpa.

~~ Betapa mewahnya duduk di Malaysia. Hidangan negara luar mana saja pun mudah didapati dan boleh dinikmati. ~~



Friday, February 12, 2016

Carrot kek yang pertama untuk 2016

Sejak tahun 2016 menjengah belum sekali pun oven di dapur digunakan untuk membuat kek. Mengambil peluang dari tepung kek yang dibeli di expo Fama tempohari lalu bertanyalah pada anak-anak mahu kek apa walaupun mengikut gambar dari tepung yang dibeli tidak ada pun paparan untuk membuat kek. 

Ez Flour - Inilah tepung yang aku gunakan

Carrot yang disagat - Daripada dua biji carrot untuk mendapatkan 3 cawan carrot. 

Gajus - Biasanya untuk carrot kek kacang terbaik adalah walnut tetapi kerana di dapur kami sudah kehabisan dan yang ada hanya kacang jagus, lalu Kak Meen yang membantu menghancurkan gajus ini. Ikut Kak Meen suka kasar sebab bila digigit lebih terasa.

Putar - Menggunakan telur 4 biji, guna perang 3/4 cawan, gula castor 3/4 cawan (keluarga kami tidak suka manis - kepada yang suka manis boleh tambah), Putar sehingga gula larut. Masukkan sedikit garam dan minyak sayuran 1 cawan (kami guna olive oil). Kemudian masukkan tepung (2 cawan) yang sudah dicampur dengan baking powder dan sedikit serbuk cinnamon sedikit demi sedikit dan terus putar. Masukkan esen vanila dan 1 cawan kacang gajus. Siap!

Panas - Sebaik siap diputar, masukkan ke dalam loyang yang sudah dilenser dengan butter dan letak baking paper. Bakarlah sehingga masak. Oven  kami set 165 degree dan mengambil masa lebih kurang 50 minit.

Siap - Potongan pertama ketika masih hangat. Menggunakan loyang 8" x 8" pastinya banyak lalu dapatlah lagi dua bekas tupperware untuk diagih kepada keluarga di Muar dan Batu Pahat. Sebenarnya cawan yang kami guna cawan mug sebab itu banyak.
~~ Melalui makanan juga dapat mengeratkan silaturrahim sesama sanak-saudara dan jiran tetangga. ~~



Thursday, February 11, 2016

Menikmati citarasa timur tengah

Bercuti bermakna dapur rumah juga bercuti sama. Apa lagi apabila semua rancangan sudah disusun-atur bermula esoknya. Kami ada jemputan majlis pernikahan saudara kami di Bukit Pasir, Muar. Tidak mahu mengotorkan dapur jalan terbaik makan di luar. Apa lagi bila semua anak-anak ada di depan mata. 

Kheer - Melihat dari buku menu seperti gambar petama tetapi bila dihidang begini dapatnya. Mujurlah harganya murah. Kak Meen yang mahu mencubanya. Manis.  Mungkin org arab sukalah makanan begini tetapi tidak buat kami.
 
Air minuman - Beli sekotak air paradise delima dan minta ais empat gelas. Mama minum teh arab. Ada juga manggo lassi Kak Meen yang mahu merasa buatan di sini. Boleh tahan sedap juga
Papa punya - Mama merasa juga sebab papa suapkan beberapa sudu. Mama tidak lapar dek kerana petang itu sambil mengemas sambil mulut menikmati limau mandarin yang ada berkotak-kotak. Itu pun dua kotak sudah diagih ke asrama adik sewaktu menjemputnya balik.
Dua piring - Sama tetapi tidak serupa
Kak Reen punya - Cheese nan yang sedap. Biarpun Kak Reen yg order tapi tetap makannya bertiga juga
Padanan - Dua-dua di atas dipadankan dengan pencecah ini. Sedap hingga licin kami menikmatinya.

Nasi lagi - Memandangkan semua hidangan dikongsi makannya. Belikan lagi nasi ini buat mereka bertiga juga. Sedap sungguh aku melihat mereka makan. 

Restoran ini terletak di Setia Tropika, berdekatan dengan KDN. Tuan empunya restoran juga aku perhatikan sudah boleh bertutur bahasa Melayu, biarpun kurang fasih. Tetapi tidak perlu bimbang kerana semua pekerjanya adalah Islam yang menjaga syariat. Sangat memuaskan.

~~ Dalam hati aku "Orang mendatang boleh berniaga dengan maju mengapalah aku tidak mampu".~~