Saturday, June 29, 2013

Bunga ros kampung

Cantik ros comel ini  - Duduk dihadapan pasu bunga raya putih

Ros kampung - Walau dikatakan kampung tapi aku sangat suka baunya yang harum dan manis

Ambil batang pokok bunga ros ini dari jiran kami yang membersihkan rumah untuk dibuang. Aku cacak di pasu bunga ros merah aku. Alhamdulillah sudah mula mengeluarkan bunganya. Biasalah bila mula menampakkan kuntumnya pun aku sudah gembira apa lagi bila ianya mekar menjadi bunga.Warna pink yang cantik. Ibarat kata watak Mei Mei dalam Upin-Ipin "saya suka, saya suka".

~~ Bila apa yang kita usahakan berhasil pasti ada rasa gembira di dalam hati.~~


Friday, June 28, 2013

Banggakah andai ianya mencalar maruah

Semua penjaga dengan anak masing-masing duduk di kerusi yang disediakan sementara menunggu giliran. Setiap kali bertemu dengan guru kelas sedikit sebanyak apa yang diperkatakan guru tersebut dapat juga ditangkap oleh cuping telinga kami yang menunggu. Buku rekod mencatat markah dan kedudukan dalam kelas tercatat satu-persatu seperti biasa. Dalam pada menanti pendengaran telinga aku dan aku rasa semua yang ada di kelas ketika itu dapat menangkap perbualan penjaga murid yang mendapat tempat pertama dalam kelas. Melihat wajah si anak pun sudah terserlah wajah budak pandai.

Penjaga (bapa): Semua saya puashati ustaz tapi kenapa sirah jauh sangat markah cuma 70 peratus?
Ustaz: Mungkin sebab tarikh-tarikh, tempat dan nama yang membuat dia susah hendak mengingat. Contohnya macam nama imam syafie pun bukan nama sebenar.
Penjaga (bapa): Ha... betul juga. Jadi siapa nama imam syafie sebenar ustaz?
Ustaz: Jawablah Lela (bukan nama sebenar anak penjaga tersebut sambil ustaz senyum).
Penjaga (bapa): Tak tahu ke ustaz? Ini saya baru uji sikit aje ni.

Terkejut betul aku dengan pertuturan si bapa itu. Mana mungkin dalam pada mengambil buku rekod sehingga ada maksud mahu mengenakan ustaz pula. Aku tahu ustaz  tahu jawapannya tapi terasa bagaikan budak kecil andai dia menjawab soalan tersebut. Sebaik penjaga itu keluar baru kami tahu ayah anak itu seorang Professor. Tapi sayangnya tidak menunjukkan profession yang disandang.

~~ Banggakah bila ada niat menjatuhkah maruah orang di hadapan orang ramai.~~

Thursday, June 27, 2013

Masih aku ingat lagi - Kisah 6

Boleh dikatakan 100% penduduk kampung aku ketika itu tidak ada barangan elektirk sebab tidak ada bekalan elektrik. Rumah masing-masing menggunakan generator untuk mendapatkan cahaya lampu kalimantang dua-tiga biji dan menonton televisyen. Dulu kalau kawasan rumah aku kira rumah bapaklah saja yang ada televisyen, itupun hitam-putih. Selepas habis mengaji masing-masing tidak balik sebab tahu masa itu baru televisyen akan dibuka. Rancangan Charlies Angle, Wonder Women, Barettta, Hulk dan banyak lagi yang aku lupa akan menjadi tontonan. Habis rancangan ini barulah mereka balik. Selepas mereka balik barulah kami adik-beradik boleh mengulangkaji sebab di ruang itulah kami mengaji, di ruang itu juga kami menonton dan di ruang itu juga kami belajar.

Ada rumah yang mengenakan bayaran pada mereka yang mahu menonton sebanyak 10 sen setiap malam. Mereka akan menonton sehingga habis siaran. Bapak tidak begitu sebab mereka yang menonton adalah anak-anak yang mengaji dengan bapak. Bapak tidak mahu bayaran samada bayaran mengaji mahupun menonton tv sebab yang menonton sama pun anak-anak dia juga. Kami bagaikan adik-beradik. Walaupun kami miskin tetapi sesekali arwah mak sediakan kami makanan dalam dulang-dulang besar.  Kami akan makan beramai-ramai sebelum solat maghrib. Lauk walau setakat ikan goreng, gulai nangka dan kerabu pucuk ubi sudah dikira sedap benar hingga boleh bertambah lagi. Selepas makan kami bermakmum untuk solat maghrib dan kemudian baru mengaji. Tidak tahu susah walaupun sebenarnya kami miskin benar.

~~ Betapa anak-anak dulu kalau diberi jadual masa terlalu berdisiplin. Tidak pernah melanggar jadual walau semuanya tidak bertulis pun di mana-mana.~~

Tuesday, June 25, 2013

Tidak semestinya yang baik itu baik dan yang tidak baik itu tak baik

Mari kita rehatkan minda seketika membawa cerita rekaan semata-mata...

Kehidupan pakcik itu sebagai keluarga miskin hanya mempunyai seorang anak lelaki. Harta yang ada hanya seekor kuda. Kuda pula kerana kelaparan entah bagaimana boleh mencari makanan hingga ke dalam hutan dan akibatnya tidak bertemu jalan keluar untuk pulang.

Orang kampung: Kesian kami melihat tuan hamba satu-satunya kuda yang ada pun sudah hilang entah ke mana.
Pakcik: Tak semestinya yang tak baik itu tak baik dan yang baik itu baik

Maha pengasih Allah kuda pakcik itu mendapat pertolongan kuda-kuda hutan untuk kembali kepangkuan tuannya. Bererti baliknya kuda tersebut bersama membawa segerombolan kuda. Maka bertambahlah jumlah kuda pakcik tersebut. Rezeki!!

Orang kampung: Beruntunglah tuan hamba kini kuda telah bertambah banyak. Murah rezeki.
Pakcik: Tak semestinya yang baik itu baik dan yang tak baik itu tak baik.

Oleh kerana kuda-kuda hutan banyak maka tugas untuk menjinakkan kuda diberikan kepada satu-satunya anak yang dia ada. Kerja menjinakkan kuda bukanlah satu tugasan yang mudah hinggalah satu hari anak lelakinya telah diterajang kuda liar tersebut. Akibatnya anak itu menjadi OKU.

Orang kampung: Kesian anak lelaki tuan hamba kini cacat disebabkan kuda tersebut.
Pakcik: Tak semestinya yang tak baik itu tak baik dan yang baik itu baik.

Suatu hari kampung jiran sebelah akan diserang. Ketua kampung meminta semua pemuda kampung membantu kampung jiran tersebut untuk turut serta ke medan perang. Oleh kerana anak pakcik tersebut OKU maka hanya dialah satu-satunya pemuda yang tidak perlu pergi ke medan perang.

Orang kampung: Untung juga jadi pemuda OKU tidak perlu pergi ke medan perang
Pakcik: Tak semestinya yang baik itu baik dan yang tak baik itu tak baik.

Kesan dari peperangan tersebut mereka kalah. Kesemua pemuda yang pergi ke medan peperangan telah terkorban. Akibatnya tidak ada pemuda lagi selain anak pakcik yang OKU tersebut. Ramai anak-anak gadis kampung berebut-rebut untuk menjadi isteri kepada pemuda OKU sebab bimbang menjadi andartu (ini cerita dongeng ye..)  sebab sudah tidak ada pemuda lagi di kampung jiran dan kampung tersebut.

Orang kampung: Bahagialah walau dia OKU tetapi mempunyai ramai isteri yang cantik-cantik belaka
Pakcik: Tak semestinya yang baik itu baik dan yang tak baik itu tak baik.

Aku hentikan di sini untuk memberi peluang kawan-kawan senyum seketika. Boleh sambung sendiri selepas mempunyai isteri ramai dan kuda pula banyak. Kisah tak semestinya yang baik itu baik dan yang tak baik itu tak baik boleh direka kita sendiri. Sambunglah kalau suka.

~~ Ironinya kenalah sentiasa bersyukur atas segala kurniaan Allah dan redha atas apa juga ujian yang diberikan olehNya kerana hikmah disebalik kejadian tidak kita ketahui.~~



Monday, June 24, 2013

Halaman comelku yang patriotik

Walau keadaan jerebu masih tidak ada perubahan tapi pokok-pokok aku terus juga kena jaga. Kasihan daun-daun bagai ditutupi debu-debu putih. Setiap pagi sebelum pergi kerja aku mandikan semuanya. Balik kerja sekali lagi aku siram bagi membersihkan debu-debu yang melekat. Kasih yang dicurah nampaknya telah dibalas. 

Merah - Hebat tidak mahu kalah kerana ini bunga kebangsaan negara. Istimewanya ia kerana pokok ini mempunyai bunga yang lebih besar saiznya  tidak seperti yang biasa.

Peach berlapis - Berbunga juga kau akhirnya setelah sekian lama menanti.

Oren dan merah - Walau setiap pokok baru mula menunjukkan kemampuan tetapi sudah mampu membuat aku tersenyum. Kelihatan ada kuntum-kuntum yang akan menyusul untuk berkembang tidak lama lagi.

Pink - Tidak kurang mahu menunjukkan kebolehannya menghasilkan bunga. Baru sekuntum yang mekar. Tapi yang pasti ada kuntum-kuntum menunggu giliran untuk berkembang juga.

Setia - Inilah salah satu pokok yang sentiasa setia berbunga. Tidak pernah culas walau bunganya tidak semegah dengan rakan seangkatan yang berlapis-lapis dan besar kelopaknya.
Si putih - Sekarang kian rancak kuntum-kuntumannya menanti untuk kembang, Suka aku melihatnya.

Bukan kuntum - Bunga raya ini jenis bunga raya malu-malu tetapi tidak pernah berhenti dari berbunga. Memang beginilah bunganya tidak kembang.
~~ Sedang menyemai satu lagi jenis bunga raya yang besar bunganya sama saiz piring kuih berlapis kelopaknya berwarna merah dan ditepinya berwarna kuning. Harap bolehlah ia subur dan menjadi seperti yang lain-lain.~~


Saturday, June 22, 2013

Nikmatnya antara yang besar dan kecil tetap ada

Tangan memegang setering kereta tetapi mata masih mampu melihat warung menjual buah di kiri-kanan jalan. Hendak membeli goreng pisang bimbang dengan keadaan jerebu. Berhenti membeli buah bolehlah tetapi pisang goreng agak kurang sihat rasanya kalau membeli sebab index IPU pun masih tinggi lagi di Johor sekarang.


Besar dan kecil - Si besar ini diberi oleh suami cikgu tuisyen adik. Tempohari waktu si besar ini masih musim muda pernah jadi hidangan kerabu kami. Si kecil pula belinya di tepi jalan.
Si besar yang kuning - Siap berpotong masuk dalam mangkuk nasi. Banyak!! Jadi hidangan kami sekeluarga.
 
Si kecil yang oren - Bawa ke pejabat makan sendirian di dalam bilik. Nikmat!!
 
~~Mengharap biarlah jerebu segera hilang. Boleh pula boss aku berkata "Jerebu udara nampak di mata tetapi jerebu di hati siapalah yang tahu. Pandai pula dia berfalsafah.~~ 

Friday, June 21, 2013

Penuh peti ais dengan kuih jualan adik

Hari ini aku kenalah bekerja sehingga jam 12 tengahari saja. Petang ada hari terbuka untuk mengambil buku penyata sekolah agama adik. Untuk sekolah kebangsaan pagi ini papa yang pergi. Biasa kalau tidak banyak kerja kami pergi bersama-sama tetapi ada tugasan terpaksalah kami bergilir. Keputusan peperikasan sekolah kebangsaan dan agama kedua-duanya adik hanya mampu mendapat nombor tiga jatuh dari yang lepas. Inilah penangan membaca novel tidak berhenti. Itu pun masih sibuk mahu berjual pada hari ini sehingga malam tadi dia ke tuisyen tapi mama dan Mak Zah sibuk di dapur.

Pertama - Dengan bantuan Mak Zah potong dan masukkan ke dalam bekas comel ini. Aku pula mengacau custard di atas dapur. Sambil itu siramkan air buah diatasnya bagi basah.

Kedua - Siap masak custard curahkan di atas pandan sponge kek tadi. Custard aku hanya bancuh dengan susu, sedikit garam dan titikkan sedikit vanila. Sambil itu di atas dapur juga aku masak lengkung.

Ketiga - Selesai curah custard masukkan lengkung yang aku masak dengan perisa strawberry dan gula. Kemudian tabur sedikit nata de coco (kehabisan stok coktail - hubby pula di surau) jadilah begini.

Susun - Siap semuanya susun di dalam peti sejuk.  Malam tadi ketiga-tiga rak peti ais dipenuhi dengan barang jualan adik untuk dia berjual pada hari ini. Bekas sebelah itu mama punya marine collagen tidak boleh letak di luar.

Kena keluar - Semua ini kena keluar kerana 'rumah' mereka diambil alih barang jualan adik. Ikan bilis, bawang, ikan masin, kurma, coklat, asam jawa dan lain-lain semua kena keluar sementara.
~~ Adik suka berjual tidak tahu mengikut rentak siapa. Moga pendapatannya dapat dimanfaatkan pihak sekolah.~~

Thursday, June 20, 2013

Dari London ia datang akhirnya menetap di Johor

Kiriman tiba - Semalam balik dari kerja sampul surat ini sudah berada di atas almari. Senyum lebar sebaik melihat di bahagian belakang sampul tertera nama pengirimnya

Allahumma solli ala Muhammad
selawat atas junjungan kita
semalam hari penuh rahmat
FM ummiross sudah tiba
LONDON - Inilah dia isi di dalamnya. Sedikit tercedera tetapi belum sempat aku ubati sebab gam gajah habislah pula. Hari ini aku akan ambil sedikit gam dari pejabat untuk ubati yg luka itu. Tidak jadi masalah kerana pasti ia akan pulih seperti sediakala.

Nisfu Sya'aban Isnin depan
mampu berpuasa ayuh lakukan
cantiknya FM yang dititipkan
buat ummiross syukran jazilan
Bersama teman-teman - Aku satukan bersama dengan yang lain di dapur sebagai tatapan setiap kali membersihkan peti ais ini.
Ramadhan tinggal 19 hari
harap hutang telah dilunaskan
moga ummiross murah rezeki
di peti ais FM kami lekatkan

~~ Selain bahagia bila entri dibaca teman-teman, menerima seperti ini juga sangat membuat hati gembira. Marilah berkenalan dengan  ummiross ~~

Tuesday, June 18, 2013

World Blood Donor Day - 2013

Mengikut hubby ke majlis anugerah dan makan malam di LC Sangkar Kristel. Majlis anjuran pihak Hospital Sultanah Aminah sebagai menghargai penganjur dan penderma darah yang aktif sepanjang tahun 2008-2013. Rata-rata yang pergi semuanya bos-bos, penderma darah dan kakitangan hospital. Syarikat hubby sering menganjurkan kempen derma darah itu yang dijemput sama. Aku dan adik menempel sama untuk menikmati upacara majlis malam itu. 

Zapin - Majlis dimulakan dengan persembahan anak-anak menari zapin. Adik walau malam itu sakit perut masih sempat menjeling sebab adik suka tarian-tarian seperti ini.
Hidangan - Sebahagian makanan terhidang. Aku malu untuk mengeluarkan kamera mengambil gambar setiap kali makanan keluar. Teman-teman meja kami ramai big-big bos.
Adik - Dalam pada sakit perut masih lagi boleh tersenyum menempel di sebelah papa. Adik tidak makan banyak malam itu sebab dia sakit perut sebaik balik dari sekolah agama.
Anugerah - Hubby menerima anugerah buat syarikat bukan untuk diri sebab hubby pun tidak layak untuk menderma darah. Jadi penganjur bolehlah. Tetapi aku tabik ada dua pakcik sudah berusia lebih 60 tahun telah menderma lebih 100 kali. Kedua mereka mendapat anugerah khas. Nampak keduanya amat sihat dan segak walau sudah bercucu.
Cenderahati - Setiap pengunjung diberi satu beg yang di dalamnya ada semua ini. Adik suka voucher McD sebab validity sehingga tahun depan. Boleh digunakan bila kakak-kakak balik
Sijil - Siap sudah berframe. Pasti akan digantung di pejabatnya.
Hadiah - Malam itu juga ada acara cabutan nombor bertuah. Nombor 098 memberi tuah kepada adik. Dapat tabung tajaan dari Public Bank.
~~ Motto "Give the Gift of Life" amat bersesuaian bila melihat slide yang dipertontonkan pada hadirin. Tersedar betapa setiap hari ramainya pesakit yang memerlukan darah.~~

Monday, June 17, 2013

Bertemu 'comel-comel' di Dewanraya Taman Universiti

Semalam kami pergi meraikan majlis walimatulurus adik Daddy Ziyyad. Majlis akad nikah telah berlangsung pada hari Sabtu di rumah ayah-bondanya dan resepsi diadakan di Dewanraya Taman Universiti. Rata-rata sekarang semua majlis diurus pihak caterer yang dibayar. Hulur duit semua diurus. Keluarga pun mudah tinggal merai para tetamu yang hadir. 

Panjang - Set beryani pilihan aku. Hidangan semuanya disediakan oleh caterer yang dipertanggungjawabkan. Mudah pihak keluarga semuanya yang berpakaian pink dapat terus bergaya dari mula majlis sehingga selesai. Ziyyad dan Zayyan pun tidak kurang bergaya lengkap pakaian Melayu. Comel sangat. Ada juga bubur kacang dan lain-lain hidangan yang disediakan buat tetamu.

Comel - Pasangan yang comel seperti ibunya juga. Ibu Daddy Ziyyad sangat comel orangnya tidak jangka kalau dikatakan usia telah menjejaki 50 tahun. Gambar ini captured dari tempat kami menikmati hidangan. Kami kena cepat sebab en hubby ada tugasan untuk wiring di rumah temannya yang belum selesai.

 
Comel - Ini pun comel-comel belaka. Satu saja yang kurang comel tapi kebetulan boleh pula adik memakai baju warna pink seperti keluarga pengantin. Tidak puas memandang dua hero comel anak teman blogger kita ini.

~~ Semakin dekat bulan ramadhan semakin rancak pula majlis walimahtulurus di mana-mana.Untuk majlis ini kita tunggu abang pengantin membuat entri di blog beliau. Dari kami terima kasih dengan  layanan yang diberikan.~~

Saturday, June 15, 2013

Tidak ada nasib untuk berkonvo

Cuti sekolah tempohari - Kalau boleh dia sudah tidak mahu mengambil gambar. Dia tidak mahu aku masukkan ke dalam blog tapi aku tunggu dia naik sekolah bolehlah mama dia buat N3 sebab di sekolah pasti dia tidak ada peluang membuka blog mama ini

Senyum dalam paksa - Mama dan papa tetap mahu dia posing juga dengan jubah yang telah dibayar sewanya. Dia malu-malu. Banyak gambar aku captured sebenarnya termasuk yg dia siap mencangkung, gelak mulut besar, tutup muka semua ada.  Satu rumah gelihati dan ketawa malam itu. Malu sebab orang lain bergambar konvo di atas pentas tetapi dia di dalam rumah.

Akur juga akhirnya - Ini saja yang agak sesuai untuk dipaparkan. Malam itu dia kena gayakan sebab esok paginya papa dalam perjalanan untuk outstation boleh pulangkan semula ke sekolah. Itupun titip melalui pak guard - upah 20 ringgit.
Semua kelengkapan telah diberikan pada 18-05-2013 sebelum cuti sekolah - kira seminggu sebelum tarikh konvo. Balik rumah ghairah untuk bercuti lupa tarikh konvo adalah pada hari Sabtu sebaik cuti sekolah. Manalah mama/papa tidak marah. Sibuk berfacebook, jubah dalam beg tidak keluar terperap dalam biliknya. Bila malam ustazah telefon kenapa tidak hadir sebab jubah sewa itu perlu dikembalikan, baru mama tahu siangnya adalah hari konvo untuk Darjah Khas Sekolah Agama Negeri Johor. Keputusan memang cemerlang sebab dia dapat pangkat satu sama macam kakaknya juga tapi hairannya boleh dia lupa memberitahu mama/papa tarikh konvo. Pihak sekolah ada memberi surat ke rumah tetapi dinyatakan tarikh konvo akan diberitahu kelak, tetapi surat susulan tidak ada - terkilanlah juga mama/papa. Memang tidak ada nasiblah untuk Yasmien berkonvo.

~~ Sebab hendak simpan di dalam file sijil-sijil seperti kakaknya juga itu yang kami paksa dia bergambar sebelum pulangkan jubah tersebut.~~

Friday, June 14, 2013

Sedang masak-masak santai, hadiah dari PTS pun sampai

Dua hari sebelum sekolah bermula inilah yang dilakukan. Puaskan hati sebelum kena simpan semuanya. Main dan bercakap dengan patung dan bears jadi teman makan hidangan yang dimasak. Tidak tahu sampai bila dia masih suka main ini semua. Tidak mahu memaksa selagi dia masih dipanggil kanak-kanak biarkan saja itu kata papa dia. Nanti besar macam kakak dia semua ini sudah tidak dipandang. Ketawakan adik dia adalah.

Masak - Tidak puas masak di computer masak pula di depan tv
Courier Service - PTS menghantar utusan. Surat inilah yang membuat dia berhenti memasak. Inilah hadiah dari PTS  yang dinantikan dari apa yang dia pos sebelum ini.
Isi di dalam sampul - Ada dua penanda buku yang sangat diminati.
Ada juga buku cerita - Melihat buku ini dibaca juga walau adik sudah tahu kisah ini dari buku lain. Maklumlah buku baru mood dia lain sebab cara penulisan saja beza walaupun ceritanya tetap sama.
~~ Bila masuk hari sekolah mainan itu semua kena simpan balik sebab jadual harian adik padat. Pagi ke sekolah kebangsaan dan petang ke sekolah agama.  Malam selepas maghrib perlu pula ke tuisyen, kemudian balik baru buat kerja sekolah. Siap semua kena tidur.~~


Thursday, June 13, 2013

Istimewanya sarung tangan ini

Rasa simpati aku melihat keadaan ibu Nuha. Cuba mencadangkan mana tahu sarung tangan ini boleh membantu sebab Mak Zah kami menggunakannya. Oleh kerana Mak Zah juga ada sakit seperti  ibu Nuha dan setelah mendapat nasihat specialist itulah kami membeli sarung tangan khas ini. Tangan Mak Zah yang sakit sebelah kiri jadi kami hanya ada sebelah kiri sahaja. Ada dijual di pharmacy khas yang telah diiktiraf Kementerian Kesihatan. Macam-macam peralatan dijual di sana termasuk kerusi roda, toilet OKU, tongkat, sarung kaki dan tangan bermacam-macam rupa. Harga berpatutan sebab ianya boleh diguna bertahun-tahun. Mak Zah akan memakai sebaik hendak tidur. Waktu siang kalau tidak buat kerja pun boleh digunakan.

Sebelum - Jika tidak digunakan beginilah bentuknya. Mudah dipakai dan dibuka. Tidak buang masa kalau hendak berwuduk berbanding kalau yang kena balut dengan bandage ambil masa lama untuk membuka dan membalut semula.

Tangan adik - Sebab model punya tangan kecik jadi bila disarungkan sampai siku dia. Sebenarnya ini untuk orang dewasa. Bila kita yang menggunakannya ianya tidak sampai siku.

Posisi tapak tangan - Kalau dilihat dari tapak tangan akan beginilah jadinya

Posisi tepi - Pelekat ini kuat tidak bimbang terbuka ketika dipakai waktu tidur. Kedudukan pergelangan tangan tetap tidak berubah sebab ibarat telah dibandage.

Peace - Moga boleh dijadikan panduan. Semua gambar dibuat di atas bantal tidur adik.
~~ Kita sekadar mampu berusaha tetapi yang menyembuhkan tetap Yang Berkuasa juga.~~