Mari kita rehatkan minda seketika membawa cerita rekaan semata-mata...
Kehidupan pakcik itu sebagai keluarga miskin hanya mempunyai seorang anak lelaki. Harta yang ada hanya seekor kuda. Kuda pula kerana kelaparan entah bagaimana boleh mencari makanan hingga ke dalam hutan dan akibatnya tidak bertemu jalan keluar untuk pulang.
Orang kampung: Kesian kami melihat tuan hamba satu-satunya kuda yang ada pun sudah hilang entah ke mana.
Pakcik: Tak semestinya yang tak baik itu tak baik dan yang baik itu baik
Maha pengasih Allah kuda pakcik itu mendapat pertolongan kuda-kuda hutan untuk kembali kepangkuan tuannya. Bererti baliknya kuda tersebut bersama membawa segerombolan kuda. Maka bertambahlah jumlah kuda pakcik tersebut. Rezeki!!
Orang kampung: Beruntunglah tuan hamba kini kuda telah bertambah banyak. Murah rezeki.
Pakcik: Tak semestinya yang baik itu baik dan yang tak baik itu tak baik.
Oleh kerana kuda-kuda hutan banyak maka tugas untuk menjinakkan kuda diberikan kepada satu-satunya anak yang dia ada. Kerja menjinakkan kuda bukanlah satu tugasan yang mudah hinggalah satu hari anak lelakinya telah diterajang kuda liar tersebut. Akibatnya anak itu menjadi OKU.
Orang kampung: Kesian anak lelaki tuan hamba kini cacat disebabkan kuda tersebut.
Pakcik: Tak semestinya yang tak baik itu tak baik dan yang baik itu baik.
Suatu hari kampung jiran sebelah akan diserang. Ketua kampung meminta semua pemuda kampung membantu kampung jiran tersebut untuk turut serta ke medan perang. Oleh kerana anak pakcik tersebut OKU maka hanya dialah satu-satunya pemuda yang tidak perlu pergi ke medan perang.
Orang kampung: Untung juga jadi pemuda OKU tidak perlu pergi ke medan perang
Pakcik: Tak semestinya yang baik itu baik dan yang tak baik itu tak baik.
Kesan dari peperangan tersebut mereka kalah. Kesemua pemuda yang pergi ke medan peperangan telah terkorban. Akibatnya tidak ada pemuda lagi selain anak pakcik yang OKU tersebut. Ramai anak-anak gadis kampung berebut-rebut untuk menjadi isteri kepada pemuda OKU sebab bimbang menjadi andartu (ini cerita dongeng ye..) sebab sudah tidak ada pemuda lagi di kampung jiran dan kampung tersebut.
Orang kampung: Bahagialah walau dia OKU tetapi mempunyai ramai isteri yang cantik-cantik belaka
Pakcik: Tak semestinya yang baik itu baik dan yang tak baik itu tak baik.
Aku hentikan di sini untuk memberi peluang kawan-kawan senyum seketika. Boleh sambung sendiri selepas mempunyai isteri ramai dan kuda pula banyak. Kisah tak semestinya yang baik itu baik dan yang tak baik itu tak baik boleh direka kita sendiri. Sambunglah kalau suka.
~~ Ironinya kenalah sentiasa bersyukur atas segala kurniaan Allah dan redha atas apa juga ujian yang diberikan olehNya kerana hikmah disebalik kejadian tidak kita ketahui.~~