Tuesday, September 30, 2014

Demi Masa - Serampang dua mata

Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian. Suroh Al-'Asr itu mengingatkan semua manusia agar jangan membuang masa. Itulah sebabnya kami yang matang mengatur majlis sebaik mungkin manakala anak-anak pula mengisi masa sebelum menjalankan tugas diberi dengan menjejakkan kaki ke butik impian.Masa terlalu mencemburui kami. Kena gunakan sebaik-baiknya. Biar mahu bertindak serampang dua mata pastikan kedua-duanya tidak merugikan diri.

Sincerely byUs - Butik ini sudah dijadikan impian sebaik tiba destinasinya. Berhubung dengan sepupu masing-masing untuk pergi bersama dari awal-awal lagi.
Pilihan Kak Meen - Ketika mak-mak sibuk mengatur peralatan majlis, anak-anak menuju destinasi mereka. Entah apa yang dipandang cantik aku pun tidak pasti. Tetapi yang pasti jenis kainnya baik sebab tidak perlu digosok selalu. Tetapi untuk aku kuranglah berminat kerana licin.
Coklat - Biasalah coklat dengan anak-anak tidak boleh dipisahkan. Jajan begini pun dibeli juga. Berkotak-kotak pula. Celup biskut stick dalam melted coklat kemudian gigit - sedap pula. Aku pun sudah menjadi seperti anak-anak turut merasa juga sebab mamanya juga suka coklat cuma tidak rajin mahu mencelup-celup seperti mereka.
Coklat lagi - Kalau yang ini mama/papa suka. Mudah masuk mulut tidak perlu dicelup-celup. Sebekas tupperware aku bawa ke pejabat sebagai kudapan.
Walaupun tidak ada sesiapa di rumah untuk diberikan ole-ole tetapi tetap juga mahu membeli. Mak Zah pula kurang suka coklat. Oleh itu ole-ole yang dibeli dimakan sendiri. Anak-anak mengaji dapatlah merasa kerana mereka tahu bila kami tidak ada di rumah. Ada yang suka bila bercuti dari mengaji tetapi ada juga yang tidak suka. Begitulah anak-anak.

~~Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berpesan (nasihat menasihati) dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran. - Suroh Al-'Asr:1-3.~~




Monday, September 29, 2014

Barokallah.. kelangsungan penyatuan yang indah

Alhamdulillah. Letih, penat, mengantuk semuanya ada sebaik majlis selesai. Walaupun menggunakan perkhidmatan catering tetapi banyak yang kami gunakan tenaga keluarga bagi menjayakan majlis tersebut. Di tambah pula rumah di Bangi manakala dewannya di UPM, Serdang. Semua kereta yang ada digunakan sebagai alat mengangkut barang diperlukan.

Persediaan terakhir - Malam sebelum majlis kami sudah berada di dewan untuk memperkemas mana yang patut. Kak Aisyah walaupun seorang guru yang sibuk kerana anak murid akan menduduki UPSR ulangan esok tetap masih mampu menyediakan kek carrot dari Terengganu di bawa ke Bangi. Sedap. Bakul gula-gula, goodie bag, empat bunga pahar dan segala kelengkapan untuk esoknya kami siapkan malam itu sehingga jam 10:00 malam baru balik ke Bangi.
Hidangan - Sebenarnya banyak lagi hidangan tetapi ini yang anak-anak ambil gambarnya. Mama sudah lupa blog kerana mama ditugaskan oleh empunya majlis beberapa tugasan sepanjang majlis. Menyusun pengantin di atas pelamin dan melayan pihak pengantin perempuan adalah dibawah tanggung-jawab aku. Manalah boleh melayan tetamu dengan kita pula sibuk megambil gambar. Ada juga perasaan malu.
Majlis berlangsung - Pagi jam 10:30 pagi masing-masing sudah lengkap dengan baju hijau muda sebagaimana tema diberikan. Papa juga kena berbaju melayu yang lama sudah lebih 10 tahun papa tidak berpakaian begini. Ramai yang panggil papa imam sebab semua org bersongkok hitam tapi papa manalah ada songkok hitam, tetap dgn kopiah putihnya. Malam rehearsal pula punyalah susah menyusun anak-anak buah yang kami jadikan flower-girls. Tetapi tanpa di duga sewaktu kompang dipalu anak-anak boleh pula mengikut langkah adik (anak dara aku), mengikut sehingga naik pentas. Sebaik aku susun pun boleh pula mereka tidak melompat-lompat seperti sewaktu rehearsal. Jampi aku menjadi hahaha...  Alhamdulillah sehingga majlis membaca doa dan restu diberikan anak-anak tidak membuat perangai. Suka!
Anak buah aku - Selamat pengantin baru Ahmad Danial dan Safwah. Buat Den anakanda kami moga mampu menggalas tanggungjawab dan amanah Allah dan buat Safwah semoga dapat menerima keluarga kami seadanya.
Akhir - Sekeping gambar menunjukkan bahawa kesemua bunga-bunga gubahan di dalam dewan samada di atas pelamin, di atas 55 buah meja tetamu, di setiap sudut meja hidangan adalah hasil tangan aku dibantu dengan anak buah Wani.  Ini adalah tiga vase dari berpuluh yang aku buat. Bunga dan aku tidak boleh dipisahkan. Kalau Kak Aisyah memotong kek aku pula menggunting tangkai-tangkai bunga. Tepek di sini sebagai kenangan.
~~ Majlis yang bukan saja sebagai sebuah penyatuan mempelai tetapi juga mengeratkan ukhuwah keluarga keseluruahanya. ~~


Thursday, September 25, 2014

Kisah benar di dalam bas

Kisah ketika di dalam bas yang diceritakan oleh Kak Meen sewaktu balik dari sekolah pada minggu terakhir sebelum cuti sekolah yang baru lalu. Seorang atuk yang duduk di sebelahnya membuka cerita kisah rumahtangganya. Tinggal di ibukota, sudah kematian isteri. Anak-anak sudah berumahtangga melainkan seorang lagi anak yang kini masih belajar di luar negara. Kesunyian membuat dia sering berjalan ke rumah anak-anak dan salah seorangnya tinggal di JB. Menagih belas kasih dari seorang remaja mentah seperti Kak Meen. Sebelum berpisah atuk itu memberikan duit RM10/- kepada Kak Meen kerana sudi mendengar kisahnya. Tidak lupa diberikan brochure isu politik masakini. Bersalaman dengan Kak Meen dengan kejap hingga merah padam muka anak dara kerana sudah pasti hukumnya haram. Tarik tangan sudah tidak berupaya dan Kak Meen malu kerana banyak mata memandang. Berdegup dada terasa dosa tercatat.

Sebaik tiba di rumah diceritakan kepada Kak Reen (waktu itu Kak Reen masih bercuti sem). Dua anak remaja mengulas perbuatan tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang tua kepada remaja. Kalau mahu meraih simpati tetapi bukan itu caranya. Anak remaja yang mentah pun meluat. Remaja berdua pastinya menjadikan isu bersalam yang sudah jelas haram di sisi agama. Salam dengan paksa tanpa sedar menjatuhkan maruah dirinya sebagai orang dewasa/tua.

Berbeza dengan mama mereka ini. Bila tiba pula kepengetahuan mama yang baru balik kerja membayangkan kalaulah atuk itu mahu pukau apa akan jadi pada Kak Meen? Macam-macam pesanan mama berikan kepada Kak Meen. Papa pula berpendapat jelas atuk itu sekadar menjual politik murahan sehingga sanggup memberikan brochure begitu kepada Kak Meen minta diagihkan di surau. Brochure yang memburukkan seorang ahli politik yang mungkin sudah tidak disukai oleh ahli politik yang seorang lagi. Lagi memuakkan kedua yang ditunjukkan adalah pemimpin tertinggi di negara kita. Tanpa di duga mereka duduk di dalam satu parti yang sama tetapi hakikat sebenarnya mereka tidak sehaluan. Ada agenda mahu menjatuhkan kawan. Siapa sangka di kaca tv dan media mereka akrab sebaliknya ada agenda busuk dirancang. (Maaf brochure itu tidak bolehlah ditunjuk di sini - hubby tidak membenarkan).

~~ Setiap hari kita melihat tingkah-laku manusia tetapi tanpa sedar sebenarnya ada lagi yang Allah berikan kuasa untuk mencatat setiap gerak-laku dan tingkah-laku kita.~~


Wednesday, September 24, 2014

Tuesday, September 23, 2014

Labbaikallah hummalabbaik..

Pantasnya bulan berganti bulan tanpa sedar bulan Zulkaedah kian mengundur diri bagi menggantikan bulan Zulhijjah. Bulan penuh keberkatan dinanti berjuta umat manusia seluruh dunia. Bagaikan baru aku kunjungi Baitullah kini musim Haji tiba lagi. Rasa rindu menggamit siapa saja yang telah menjejakkan kaki di sana. Samalah dengan Cik Ju ibu saudara kami yang akan bertolak ke sana tidak lama lagi. Memandangkan permohonan secara muassasah asyik mengecewakan kali ini permohonan secara pakej. Pakej Tabung Haji tahun ini yang paling murah pun hampir mencecah 30 ribu. Bayangkan. Kalau waktu aku dulu pakej termurah baru 15 ribu kini harganya sudah berganda-ganda. 

Cik Ju - Ibu saudara sepupu  yang akan berlepas untuk menunaikan ibadah Haji tahun ini. Pada 25-09-2014 ini bertolak ke KL kerana penerbangan pada 27hb. dari sana.
Berziarah sebelum pergi  - Cik Ju diapit oleh Mak Zah (Mak Zah pergi menunaikan ibadah Haji lebih 20 tahun dulu. Umrah tempohari juga ada aku bawa sama) dan Cik Utih (menunaikan Haji pada tahun 2007) turut sama menziarahi Cik Ju ada hari Ahad lepas bersama aku.
Cupcake - Balik menziarahinya,  Cik Ju bekalkan kami dengan cupcake ini buat anak dara yang bersekolah. Di Johor pada hari Ahad hari pertama anak-anak bersekolah sebab itulah adik tidak ikut.
Kami semua mendoakan semoga Cik Ju diberikan kesihatan terbaik bagi membolehkannya menjalankan ibadah Haji di tanah suci. Beroleh haji mabrur dan selamat kembali semula ke tanahair. Buat teman-teman semua berdoalah semoga diberikan kemampuan fizikal dan mental untuk menunaikan ibadah Haji, rukun Islam yg kelima ini. Sebaiknya pergilah ketika usia muda kerana ibadah haji memerlukan tenaga dalam semua amalan dilakukan seperti tawaf, saei dan melontar jamrah. Bila sihat untuk beribadah juga bersemangat dan sangat indah terasa.

~~ Rindu untuk bertalbiah di tanah suci. Labbaikallah hummalabbaik Labbaikala syarikala kalabbaik, Innalhamda wannikmata lakawalmulk lasyarikalak.~~ 


Monday, September 22, 2014

Melawat Zoo Negeri Johor

Hari akhir cuti sekolah bagi negeri Johor kami penuhi kehendak anak-anak untuk ke Zoo Negeri. Biarpun dekat saja tetapi untuk singgah sekali dalam setahun pun susah bila tidak diperuntukkan masa.
Anak-anak & papa - Harga tiket masih tidak berubah RM 2/- untuk dewasa dan RM1/- untuk kanak-kanak. Disebabkan cuti sekolah untuk mendapatkan parking kereta pun teramatlah payah. Apa yang menarik unta bonggol satu yang pastinya boleh dijadikan korban. Hubby sekarang sibuk mencari lembu/kambing sempena Hari Raya Korban yg kian hampir. Unta bonggol satu memang sesuai untuk korban bukan bonggol dua yang khusus untuk tunggangan.
Kelihatan bebas tapi terkurung - Begitulah haiwan di zoo. Semuanya menjadi tatapan pengunjung. Baik yang berkaki dua sehingga yang berkaki empat semuanya menarik perhatian. Dijaga rapi, diberi makan, disediakan tempat bersih tetapi pergerakan sentiasa diawasi.  Pengunjung pula gembira melihat keletah dan keunikan kejadian Allah ini. Apa yang dirasakan haiwan ini sebenarnya kita pun tidak tahu.
 
Niat hati selepas keluar dari sini kami mahu ke Muzium pula tetapi cuaca yang panas membuat kami tidak selesa. Selepas singgah makan tengahari kami pulang ke rumah. Semalam anak-anak sudah memulakan hari pertama persekolahan selepas seminggu bercuti.  Balik dari sekolah semalam adik melaporkan keputusan peperiksaan yang kurang memberangsangkan. Kena ketuk ketampi sebab salah lebih dari 5. Untuk kelas adik jika salah matematik lebih dari 5 kena ketuk ketampi. Kami ibu-bapa sudah maklum sebab tujuan cikgu bukan tidak baik tetapi sebagai mengajar anak-anak lebih tekun dan berhati-hati ketika menjawab soalan.

~~ Hari ini pula ada berita kurang menyenangkan hati bila dikatakan berkemungkinan kedua-dua kertas mathematics UPSR 2014 juga bocor. Doakan moga ianya tidak benar - kasihan anak-anak.~~



Friday, September 19, 2014

Jenama Fine Yiyun Bone China

Ini adalah WhatsApp dari anak buah yang tinggal di Qatar buat renungan seluruh keluarga demi menjaga syari'at bersama. Semakin teknologi melangkah maju ke depan semakin banyak ujian buat umat Islam.

War-warkan -  Walau cantik, antik dan mahal bagaimanapun bila keluar penjelasan begini sebaiknya jauhilah. Sedikit sebanyak pasti rasa syak, dzan dan waham akan menerjah minda sebaik membaca ini. Samada ianya betul atau tidak bila sudah ada rasa syak, dzan dan waham di minda ianya menjadi haram untuk kita gunakan.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa sebuah hadis Rasulullah SAW ada menjelaskan "Sesungguhnya yang halal itu terang (jelas),dan yang haram itu terang, dan di antara keduanya pula terdapat perkara-perkara syubhah (tidak terang halal atau haramnya) yang tidak diketahui oleh manusia. Orang yang memelihara dirinya daripada perkara syubhah itu adalah seperti orang yang melindungi agama dan kehormatan dirinya."

~~ Jika sudah tahu kena tinggalkan segera dan war-warkan kepada sesama saudara kita. ~~


Thursday, September 18, 2014

Laksa kuah putih yang cepat

Bila cuti sekolah saja dapur di rumah kami biasanya sunyi dari bunyi senduk-garfu. Periuk terus telungkup. Pinggan tersusun tidak disentuh. Hanya gelas dan cawan saja banyak digunakan. Tetapi oleh kerana 16hb. September merupakan Hari Malaysia rindu pula tuannya memasak, ditambah lagi malas pula hendak melangkah keluar. Hubby sajalah yang kena keluar membeli apa yang disenaraikan.

Tengiri - Rebus ikan bukan kerja susah. Setelah hubby bersihkan aku masukkan ke alam periuk berisi air untuk direbus.Campur sedikit garam dan halia+ bawang putih. Setelah itu asingkan isi dengan tulang.
Blend  - Bawang-bawang, halia dan lada hitam  ini blend bersama isi ikan yang telah direbus tadi. Air rebusan ikan tadi digunakan untuk memblend semua perencah.
Rebus - Masukkan semua yang telah diblended tadi ke dalam periuk hingga mendidih kemudian masukkan santan. Jangan lupa masukkan daun kesum, bunga kantan dan asam gelugor/keping. Aku masukkan juga sedikit lengkuas di dalamnya. Letak sekali garam dan sedikit gula sebagai perisa.
Pelengkap 1 - Hirisan daun kesum dan taugeh. Minta tolong beli taugeh tanpa ekor tidak ada. Jenuh aku membuang ekor taugeh sebab adik balik kampung mengikut Mak Zah. Selalu adik yang rajin membantu.
Pelengkap 2 - Sambal belacan (cili padi+cili merah+belacan+sedikit gula - potong limau kasturi). Kacang panjang pula hiris nipis campurkan bersama bunga kantan yang dihiris nipis juga.
Pelengkap 3 - Laksa itu sudah semestinya. Timun ikut suka gaya mana pun boleh. Aku biasa buat macam ini - style laksa Johor, hiris membulat kemudian potong nipis. Cepat siap dan biji tak ada boleh hidang lama sebab tidak berair.
Set - Lengkap untuk makan bertiga saja. Aku, hubby dan Kak Meen. Penghuni yang lain tidak ada di rumah. Cikgu tuisyen Kak Meen yang dapat merasa sama.
Satu pinggan - Masukkan laksa, tabur semua bahan ulaman, siramkan dengan kuah. Kalau hendak pedas lebih letakkan sambal belacan tadi dan perahkan limau kasturi. Kemudian apa lagi ambillah sudu/garfu hihi...
Resepi yang mudah dan cepat. Sedap atau sebaliknya tolak tepi. Bila yang terhidang itu saja kenalah makan sehingga habis. Apa pun bila anak yang ada di rumah tinggal seorang, terkenang dua lagi anak yang jauh di mata. Sewaktu makan apa yang dibualkan pun tentang anak-anak juga. Sayu hati sebenarnya.

~~ Wanita dan masakan tidak dapat dipisahkan.~~


Wednesday, September 17, 2014

Tayar untuk kereta dan roda kehidupan kita

Lama - Alat digunakan untuk mengeluarkan tayar lama kelihatan mudah. Dalam kehidupan pun sama juga andai 'perkakas/alat' yang lengkap sudah sedia mudahlah untuk pergi meninggalkan dunia yg sementara ini
Baru - Tukar tayar baru moga mudah diperjalanan yang dituju. Kehidupan manusia juga sama andai bekalan lengkap sentiasa dalam apa juga 'perjalanan' tidak kira di dunia dan di 'sana' insya-Allah mudah jadinya.
Ilmu - Bukan mudah menimba ilmu andai tidak ada kecekalan dan kemahuan. Skill pula bukan boleh diperolehi dalam sehari-dua. Begitulah  juga dalam kehidupan di dunia ini,  'menimba ilmu' tidak ada garis penamatnya
Teknologi - Balancing agar tayar dipasang di kereta berjalan lurus. Kehidupan manusia juga sama kenalah di seimbangkan antara dunia dan akhirat, mencari jalan yang 'lurus' agar sentiasa di dalam kerehaanNya.
~~ Bekerjalah seolah-olah untuk hidup selamanya dan beramallah seolah-olah akan mati pada hari esoknya.~~

 

Monday, September 15, 2014

Hubungan suci yang terjalin erat

Biasanya cuti sekolah dan majlis meraikan pengantin sangat sinonim. Sana-sini kad jemputan kahwin diterima. Majlis yang sempat kita kunjungi kita raikan bersama, mana yang tidak sempat kita doakan moga semuanya mendapat keberkatan. 

Jiran setaman - Baru berusia 20 tahun. Jodoh pertemuan ketentuan Allah. Usia bukan sebagai penentu. Apa yang utama tahu apa itu berrumahtangga dan sudah mampu menggalas tanggungjawab.
Ole-ole - Selain set nasi sebungkus dapat bunga telur ini. Di Johor ini bagaikan satu tradisi sejak dulu hingga kini setiap tetamu akan diberikan bunga telur selain goodie bag yang di dalamnya terisi berbagai barang seperti makanan ringan.
Anak teman - Di Dewan Alumni UTM. Merupakan anak kepada teman ketika menunaikan haji pada tahun 2008 dulu. Ini anak keduanya.
Pilihan - Nasi beryani, ayam masak merah, daging kurma, dalca dan pencuk merupakan makanan utama. Ada juga kuih-muih dan desert yang banyak.
Teman - Terkenang sewaktu di tanah suci. Kemesraan masih terjalin mesra.
Ibu-bapa pengantin kedua ini masih menyimpan alamat rumah kami. Ini merupakan anak kedua beliau. Anak pertama mereka juga kami pergi meraikan. Hubungan kami erat kerana sewaktu pergi menunaikan ibadah haji dulu kami satu flight, satu bilik ketika di Mekah, Madinah, Arafah, Mina dan balik lagi ke Mekah sehinggalah balik semula ke Malaysia. Bertambah lagi erat kami sama-sama dari JB. Waktu itu aku dan hubby merupakan pasangan termuda. Semuanya menganggap kami sebagai adik. Hubby pula dijadikan AJK oleh pihak Tabung Haji bagi memudahkan sesiapa yang ada masalah menjadikan hubby sebagai perantara. Aku pula bila berada di bilik bagaikan tukang urut apabila kakak-kakak tersebut sebaik balik dari masjid meminta tolong aku jadi tukang urut. Membantu mereka membaca Al-Quran. Seronok sebab kami makan pun bersama, sangat mesra. Maklumlah aku yang paling muda kenalah membantu mereka yang semuanya sudah berusia lebih 45 tahun. Indah kenangan ketika di sana dan tidak mungkin dapat aku lupakan. Kenangan indah ketika menunaikan ibdah Haji tidak sama dengan ibadah umrah. 

~~ Status kehidupan sudah berubah; moga masing-masing dapat menjalankan tanggung-jawab sebagai suami dan isteri yang terbaik. ~~


Friday, September 12, 2014

Bersangka-sangka

Sekadar renungan apa yang dikirim di group WhatsApp keluarga kami:- 

Manusia hari ini suka bersangka-sangka
ada sangka baik, ada sangka buruk
orang beribadah disangka riak
orang relaks disangka malas
orang berpakaian baru disangka menunjuk
orang berpakaian buruk disangka hina
orang makan banyak disangka pelahap
orang makan sikit disangka diet
orang yang senyum disangka mengejek
orang yang masam disangka merajuk
orang yang berbincang disangka mengumpat
orang yang diam disangka menyendiri
orang yang menawan disangka menggoda
orang yang ceria disangka mengada-ngada
orang yang bertanya disangka menyibuk

Hakikatnya mana tahu

Orang yang senyum itu kerana bersedekah
yang masam itu mengenang dosa
yang berbincang memberi pendapat
yang diam itu kerana beribadah
yang menawan itu bersih wataknya
yang ceria cerdas mindanya
yang bertanya itu prihatin orangnya
 
Justeru itu apa yang kita lihat

Jangan suka bersangka-sangka
sikap sangka-sangka akan memusnahkan jiwa
kerap sangka-sangka mengundang celaka
jauhi sikap sangka-sangka

~~ "Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kamu semua kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya kebanyakan dari sangkaan itu adalah dosa" (Suroh Al-Hujurat:12)~~





Thursday, September 11, 2014

Bila lupa singgah dalam diri

Sebaik anak-anak yang mengaji balik kami segera bersiap untuk keluar makan malam di luar. Anak dara sudah aku beritahu awal-awal sebelum mama selesai mengajar mengaji, pastikan semua sudah sedia.  Biasa sangat kena menunggu anak dara membetulkan tudung yang berpusing-pusing. Risau aku dibuatnya. Tetapi malam itu apabila semua sudah selesai, hairan aku melihat hubby masih keluar-masuk bilik. Biasa kami sedang bersiap, enjin kereta sudah dihidupkan. Sebaik aku keluar bilik baru aku tahu hubby dan Mak Zah sibuk mencari kunci kereta. 

Malam itu terpaksa menggunakan kunci pendua yang remotenya sudah tidak berfungsi. Betul-betul hubby lupa dan kami tidak jumpa kunci tersebut. Hendak bawa kereta kerja biasalah kereta hubby macam-macam khazanah, anak-anak kurang suka. Kereta aku pula biasalah mandinya sebulan sekali (tapi dalam kereta aku bersih/wangi tau hihi...). Akhirnya keluar dan singgah di kedai membuat kunci kereta. 

Hijau - Fancy pula bila dah tua-tua pegang kunci warna hijau begini. Warna hitam dan kelabu sudah kehabisan stok. Ambil sajalah. Adik suka warna ini sweet katanya:) Tukang repair itu setting balik chip dalam remote rosak menggunakan komputernya dan dimasukkan ke dalam casing baru ini.
Kilat - Kalau mama yang pegang masih ok lagi tapi kalau papa terasa janggal pula. Kalau tidak kerana hilang kunci asal sampai bila-bila kunci kedua tidak dibetulkan. Elok jugalah sekarang dua-dua sudah berfungsi.
Balik dari makan malam kami ligat mencari lagi kunci asal. "Baik solat minta petunjuk" itu jalan terakhir. Sambil itu masih kebingungan. Kawan-kawan mahu tahu dimana hubby sumbat kunci itu? Mujur aku boleh terfikir "Cuba abang tengok kocek seluar abang solat asar petang tadi". Betul! kunci itu di dalam kocek seluar yang sudah di dalam mesin basuh. Nasib baik Mak Zah belum mencuci lagi. Kalau esok paginya pasti sudah bergumpal di dalam mesin. Sebenarnya petang itu balik dari solat Asar hubby ada memanaskan enjin kereta itu yang agaknya selepas itu lupa untuk sangkut di tempat kunci tapi masuk di dalam poket seluar.

~~ Bila usia bertambah sifat lupa tidak mudah lari dari diri.~~

Tuesday, September 9, 2014

Riba' dalam kehidupan seharian

Tiga hari lepas seperti biasa setiap malam Sabtu, kami berada di Masjid mendengar tazkirah dari ustaz jemputan. Kali ini ustaz jemputan adalah Ustaz yang seringkali mengingatkan aku pada ustaz Ismail Kamus. Gaya penyampaian dan iras muka mereka mengikut mata aku dan hubby, mereka ada iras yang sama. Ustaz yang aku maksudkan adalah ustaz Haryanto. Buat masa ini setiap pukul 7:30 pagi suaranya akan berkumandang di rancangan Motivasi Pagi di radio IKIM fm. Sesiapa yang suka sewaktu memandu untuk ke tempat kerja bolehlah menikmati 'hidangan pagi' yang enak di dengar itu.

Jemaah - Penuh jemaah menanti sejak maghrib tetapi ustaz bersolat maghrib di tempat lain dulu. Padat jadualnya pada Sabtu itu dari pagi sehingga penutupnya di masjid kami dari jam 9:00  hingga 11:00 malam.
Topik yang dibawa berkaitan riba dalam kehidupan seharian kita. Kepada yang masih menggunakan bank conventional sebaiknya bertukarlah ke bank perbankkan Islam. Mana yang gaji dikeluarkan dari bank conventional sebaik dapat gaji terus buat transaksi masukkan ke bank yang Islamik. Itu pesan ustaz.   

Ustaz - Bila ada bab soal-jawab inilah yang tambah bulat mata semua jemaah. Seronok kerana merungkai persoalan. Ustaz tidak berkira beginilah yang kami sangat nanti-nantikan. Kalau boleh kami sanggup tunggu hingga tengah malam tetapi memandangkan ramai yang kena bekerja pada hari Ahad akhirnya majlis ditutup juga ketika hampir jam 11 malam. Bekejar aku kerana perlu menghantar Kak Reen ke Terminal bas Larkin malam itu untuk balik. Cuti sem dia sudah berakhir.
Riba' bukan saja melibatkan wang simpanan pinjaman yang dibuat di bank. Bahkan contoh diberi zaman dulu-dulu bila musim raya atok-nenek mahu menukar duit syiling untuk diberikan kepada cucu. Dulu tukar duit di kedai. Bila syiling tidak cukup akan dikata "Aku ambil dulu berapa yang engkau ada bakinya lain hari aku datang lagi." Transaksi yang begini adalah riba'. Sebabnya pekedai sudah mengambil duit kita sepenuhnya tetapi kita baru dapat sebahagian. Untuk tidak melibatkan riba' ketika transaksi mestilah dilunaskan pada waktu yang sama dan jumlah yang sama. Tetapi scenario kedua contoh diberi. Kita memberikan duit RM 500/- kepada kawan kita yang bekerja di bank untuk tukar duit raya. Tetapi dua hari berikutnya kawan kita kata "Duit baru belum sampailah Zek, nanti kalau sudah ada baru I berikan pada you." Ini bukan riba'. Perbandingan jelas di sini bukan? Sangat berbeza. Kawan kita bukan bank, dia hanya sebagai perantara untuk menukar. Sebaliknya contoh pertama atok/nenek menukar direct dengan pekedai. (Sebenarnya ramai di antara kami pada mulanya confuse juga).

Berhati-hati dalam hal riba' ini. Emas, perak, gandum, tamar, duit simpanan adalah antara barangan yang mudah terlibat dengan riba andai tidak prihatin. Jangan sesekali sebut trade-in emas kerana mahu membeli barang emas yang baru. Sebaiknya katakan saja, "OK saya jual rantai saya ini." Kemudian ambil duit tersebut dan seandainya mahu membeli yang baru tambah saja duit kepada barang emas baru yang hendak di beli.  Tidak boleh tukar contohnya; gelang emas 20gm dulu membeli harganya RM200/- sekarang 20gm bernilai RM400/-. Oleh itu sekiranya kita kata trade-in yang lama dan tukar yang baru bayaran lebihan yang RM200/- tersebut itu adalah riba'.


Terkenang - Dulu ketika di tanah suci selalu aku membeli air ini. Ketika baru melangkah masuk masjid maghrib itu, ada hamba Allah berjualan di perkarangan masjid. Aku tinjau jugalah dengan Mak Zah. Terkenang ketika di tanah suci itulah aku membeli dua kotak. Sekotak RM9/- saja.
Jika mahu dihuraikan bab riba' dalam entri ini rasanya satu jam membacanya pun tidak terhabis mahu dihuraikan. Selain ilmu, aqad dan taklik sangat penting dalam kehidupan seharian kita. Kefahaman tentang riba' amat perlu dalam kehidupan seharian kita kerana melanggar hukum Allah neraka jahannamlah balasannya. Na'uzubillah himinzalik!

 ~~ Selagi usia masih bersisa carilah ilmu dan carilah jalan terbaik yang diredhai Allah sebelum nafas terhenti. Sesungguhnya Allah kira sejauh mana kita berusaha untuk bertaubat. Kena ada usaha. Wallahu'alam..~~


Monday, September 8, 2014

Sehari berganjak sehari juga kematian menghampiri

Tiada siapa mampu menahan detik pergerakan jam mahupun masa dan hari-hari yang berlalu untuk berhenti. Setiap hari pasti siang dan malam silih berganti seiring usia meningkat tanpa disedari. Kehidupan perlu diurus dan diteruskan selagi Allah memberikan peluang untuk menikmati dunia sementara ini. 

5hb Sept lepas - Ucapan dari google  di skrin monitor PC di rumah yang buat adik sibuk mahu mamanya melihat
Rezeki - Selagi masih diberi pinjam nyawa dan badan olehNya. Syukur Alhamdulillah masih berpeluang menikmati keenakkan dan rezeki pemberianNya.
Nikmat - Akan tiba masanya nikmat ini tidak lagi dapat dinikmati.
Keluarga - Sekadar memenuhi kehendak seisi keluarga tidak ada apa yang lebih menggembirakan selain kebahagiaan bersama keluarga. Doa-doa sering dipanjat moga kebahagiaan dinikmati hingga ke Jannah.
 
~~ Sehari usia berganjak sehari juga kematian kian menghampiri diri.~~