Wednesday, November 30, 2016

Bunga raya halaman ku










~~ Semakin kerap hujan turun semakin meriah dia berbunga.~~

Akhirnya aku terkulai




~~ Bila tidak berupaya terasa bagaikan malaikat maut kian mendekat.~~

Tuesday, November 29, 2016

Siddiq, Amanah, Tabligh & Fathonah

Hari: Ahad
Waktu :Petang selepas habis waktu melawat pesakit di HSI
Lokasi: Perjalanan dari HSI balik rumah

Ketika dalam perjalanan pulang dari menziarahi anak buah aka sepupu anak-anakku di dalam kereta tanpa papa. Biasalah hari Ahad mama cuti tapi papa bekerja. Begitulah yang terpaksa dihadapi oleh anak-anak yang mempunyai mama/papa jika salah seorang bekerja swasta atau kakitangan awam. Jumaat pula jika berjalan dengan papa tanpa mama. Cerita-ceriti tiba-tiba boleh keluar isu business on-line.

Kak Meen: Dia ni buat business bagus mama, berlandaskan syariat. Papa dia tu jenis yang apa tu. Ada janggut, pakai serban ala... wali eh?

Kak Reen: Wali tu syarat nak sah nikah (masa itu semua sudah mula gelak).

Mama: Eh.. ada juga wali macam wali songo, ulama dipanggil wali juga.

Kak Meen: Bukanlah.. ala ingat tapi susahnya nak sebut.

Kak Reen: Tabligh? (Sebab ramai kawan papa kalangan orang Tabligh)

Kak Meen: Bukanlah..

Adik: Ala... kalau bukan tabligh, siddiq, amanah atau fathonahlah.

Semua: Hahaha... apa-apalah adik ni kan. (semua sudah gelak๐Ÿ˜๐Ÿ˜๐Ÿ˜๐Ÿ˜๐Ÿ˜)

Habis pecah berderai gelak kami di dalam kereta. Mama yang memandu pun sudah terikut gelak tidak tahan. Sebenarnya apa yang mahu Kak Meen katakan jenis orang warak yang macam ahli Sufi. Kelakar juga sebab siapalah yang boleh menilai orang itu ahli sufi. Mata kita ini memandang dari luaran. Tetapi buat mama boleh diterima juga apa yang Kak Meen buat tanggapan. Sebab biarlah beranggapan orang itu baik daripada beranggapan yang sebaliknya. Walaupun pakaian bukan melambangkan iman seseorang, tetapi sekurang-kurangnya pakaian melambangkan sejauh mana dia menghargai cara berpakaian agama yang dianuti.


Hiasan entri - Jagung rebus (Mak Zah bawa dari kampung) dan sukun goreng cecah sambal kicap menjadi hidangan petang kami ahad lepas.

~~Siddiq (jujur), amanah (dipercayai), tabligh (menyampaikan) & fathonah (cerdik/cerdas). Buat anak-anak inilah 4 sifat terpuji baginda rasullullah. ~~







Monday, November 28, 2016

Kasihnya ibu

Sejak bersalinkan empat ekor anak, Jojo menjadi kucing yang alim. Tidak seperti dulu suka bermain. Sudah jadi ibu muda dek kena rogol kucing liar di luar rumah. Itulah sibuk sangat keluar rumah bila ada peluang. Tidak terkejar tuannya bila dia sudah dapat peluang keluar rumah dan hanya akan balik rumah bila lapar. Akibatnya sudah kena rogol. Tetapi apa yang kami puji Jojo punya sifat keibuan yang tinggi. Sayang betul dengan anak-anaknya. Pantang mendengar kucing liar di luar rumah pasti cepat saja masuk ke dalam besen yang menempatkan anak-anaknya. Kini dari empat ekor tinggal dua saja yang hidup. Mungkin sebab Jojo belum cukup matang menjaga anak. Kami rasa berkemungkinan anaknya mati sebab tertindih sewaktu menyusu. Sedar-sedar balik dari shopping anak-anak memberitahu baby kucing sudah mati. Sedih.


Apa yang sadis mestilah aku kena simpan suara lebih sedikit kerana Jojo dengan anak-anaknya ini. Bayangkan bila aku buka pintu bilik tiba-tiba tersembul muka dia sedang menggonggong babynya. Mahu tidak bergegar satu rumah dengan jeritan aku. Kak Reen yang sedang menyidai kain, Kak Mira di dalam bilik dan KakMeen yang di depan PC terus datang ke bilik mama. 


Kalut dan panas terus kepala mama bila bertembung dengan Jojo begini. Memanglah anak-anak ketawa tapi dada mama berdegup kencang. Kalau lemah jantung boleh pengsan.

Sayang - Lihatlah sudah tidak mengira Kak Reen sibuk mengambil gambarnya pun dia buat tidak tahu. Mahu mencari lokasi baru untuk anak-anaknya selesa. Itu anggapan kamilah

~~ Binatang pun menatang anak bagaikan minyak yang penuh.~~


Friday, November 25, 2016

Tidak ada tuah pada angka

Entah mengapa malam itu sebelum melelapkan mata boleh pula bercerita tentang ayam. Biarpun kami tinggal di bandar tetapi jiwa kampung sangat kental dan kejap dalam diri. Dua-dua. Aku dan hubby sama. Mungkin sebab kami sama-sama dilahirkan di kampung. Bersekolah rendah di kampung. Susah-senang kehidupan zaman kanak-kanak juga di kampung.

Bermula mengambil anak-anak ayam di kampung aku sebab almarhum bapak waktu itu sakit itulah menjadi titik-tolak akhirnya rumah corner lot kami yang kosong tidak kami sewakan. Bahkan menjadi kebun dan tempat 'riadah' istimewa buat aku dan hubby berkebun. Ibu ayam yang pertama bertelur 13 biji tetapi hanya 11 yang menetas menjadi anak ayam. Membesar sehingga agak dua kepal saiz tangan, malangnya menjadi mangsa kucing. Mungkin disangka burung. Maka tinggallah 5 ekor. Tidak lama ada ibu ayam yang lain pula juga entah dimana dia bertelur dan mengeram tidak dapat di kesan. Hanya balik untuk makan. Tiba-tiba balik sudah mencicit-cicit bunyi anak ayam. Berapa jumlahnya? Juga 11 ekor! Mestilah hubby gelihati memandangkan setiap ayam dibela suka betul memberi hasil 11. Bimbang dia makan angin jauh-jauh terpaksalah kini dikurung.  Kini ada lagi ibu ayam yang juga menghasilkan 11 ekor anak. Ibu ayam ini merupakan ibu muda๐Ÿ˜€sebab baru pertama kali menghasilkan anak-anak yang comel. Sangat garang tidak boleh dijenguk. Hanya dengan tuan dia saja dia tidak marah. Itu pun sudah jelas mengeluarkan bunyi dia nampak sangat caring pada anak-anaknya.

Sayang - Ibu ayam ini pandai jaga anak tapi sudah tidak garang sangat berbanding ibu ayam yang di bawa gambar ini. Tapi anaknya sudah nakal sebab sudah besar sedikit. Susah hendak dapatkan mereka berkumpul sama untuk aku dapatkan 11 ekor semuanya dalam satu gambar.
Garang - Ibu muda ini garang. Marah bila aku mahu ambil gambar dia dan anak-anaknya. Jenuh menunggu mereka berkumpul kesemua 11 ekor anaknya tidak dapat. Sama macam di atas ada saja yang lari dari ibunya. Yang ini masih comel sangat. Bungalow dia hijau ๐Ÿ˜Š
Makan sayur - Ayam-ayam hubby suka makan sayur. Sebab itu setiap pagi akan pergi ke pasar untuk dapatkan sayur dari orang pasar. FOC saja sebab dia sudah tahu hubby gunakan untuk bagi makan ayam. 
Sebenarnya hubby lahir pada bulan 11 (November). Itu yang kami kata agaknya hubby serasi dengan angka 11. Tapi jangan tidak tahu semua kenderaan kami tempah membawa pendaftaran nombor 982 bukan 11. Apa pun tidak ada tuah pada angka sebenarnya. Jika ada terjentik kepercayaan bimbang membawa khurafat. Na'uzubillah..

~~ "... sesiapa diantara kamu yang murtad dari agamanya lalu dia mati di dalam keadaan kafir, maka orang yang demikian rosak binasalah amal usahanya yang baik di dunia dan akhirat serta mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya untuk selama-lamanya." - (Al- Baqaroh:217).~~


Thursday, November 24, 2016

Rasa bersalah seorang sahabat

Hari ini adalah hari akhir persekolahan bagi anak-anak di negeri Johor. Hari ini juga peperiksaan akhir untuk subject sejarah dan mathematics. Adik sudah beransur ceria walaupun masih bersolat duduk dan mandi berdiri tegak (susah mahu menggosok badan). Berjalan pun masih tidak stabil/betul. Tetapi semangat adik untuk sama-sama menduduki peperiksaan akhir semester masih kuat sama seperti rakan-rakannya juga. Motivasi dari guru-guru dan rakan-rakan adik tidak kurang membantu sedikit sebanyak kekuatan mental adik. 

Namun dalam keadaan begitu tidak kurang usik-mengusik rakan-rakan sebaya. Anak lelaki yang tertimpa adik tempohari sebenarnya amat merasa bersalah walaupun dia juga tidak kurang diberikan kaunseling kerana merasa amat bersalah dibimbangi menjejaskan emosinya. Usikan rakan-rakan mengatakan jika terjadi sesuatu kepada si rakan perempuan mereka (adik) dia kena bertanggung-jawab membuat hati seorang anak lelaki baru berusia 13 tahun amat kesal. Sehingga ada yang berkata kalau adik cacat dia kena kahwin dengan adik. Manalah mama dan papa tidak tergelak. Semua ini aku dapat tahu dari guru hal ehwal pelajar (HEP). Menurut HEP juga ketika adik diusung masuk ambulan anak itu menggigil ketakutan apa lagi disoal-siasat. Tetapi pihak maktab mempunyai cara terbaik menangani emosi pelajar mereka memandangkan peperiksaan akan dijalankan tinggal bersisa beberapa hari saja lagi waktu itu.

Sebagai ibu-bapa apabila sesuatu kejadian terjadi walaupun ia menjejaskan anak kita usahlah cepat melatah. Biarpun kalau mengikut nasihat doktor laporan polis boleh dibuat tetapi memandangkan kejadian terjadi tidak disengajakan aku tidak sampai hati melakukannya. Sementelahan pula apabila aku mendapat tahu daripada adik bahawa budak lelaki itu bukan bukan nakal. Begitu juga bila aku bertanyakan kepada rakan-rakan adik yang lain. Kekesalan di hatinya dapat aku rasakan. Inilah dikatakan takdir.
Sekadar hiasan - Telur pindang amat sinonim di negeri Johor. Kepada yang tidak pernah merasa mungkin akan mengatakan ianya telur basi. Tetapi ada pelanggan (tempat kerja) aku seorang mat salleh yang pertama kali makan sudah jatuh hati. Kalau kita makan sebiji dia boleh makan hingga 2 biji. Aroma perencah itu yang membuatkannya bertukar warna dan rasa.
~~ Bumi mana tidak ditimpa hujan, manusia mana tidak melakukan kesilapan apa lagi jika yang terjadi tidak disengajakan.~~





Wednesday, November 23, 2016

Selagi masih bernafas dan nadi berdenyut - 3

Bumi Johor kini boleh dikatakan kian kerap ditimpa hujan. Jika tidak turun di waktu malam, ia akan gugur di waktu pagi atau petang. Supermoon tempohari juga kami tidak berpeluang untuk melihatnya. Namun kami tahu kebesaran Allah tidak ada siapa yang mampu untuk menidakkannya. Ombar besar yang amat jelas kelihatan di pantai Danga Bay dan pantai Pontian baru-baru ini sudah cukup untuk membuat kami gerun. Melimpah-limpah air laut dengan ombak yang tinggi sehingga ke jalan-jalan raya. Bunyi desiran angin yang kencang sudah membuat kami membayangkan seandainya keadaan ini pun tidak mampu kami tepis apa lagi jika tsunami yang melanda. Allahuakbar!!

Begitulah juga tsunami yang menggegar jantung hati Mama Leha (kakak aku) apabila pagi-pagi lagi ketika mahu menghadirkan diri untuk bermesyuarat telefon bimbitnya berbunyi memberi khabar kurang enak. "Puan ini ibu En Haikal?" Sebaik mengiakan, dihujung talian menyampaikan berita yang menggegar jantung Mama Leha. Setelah diberitahu kedudukan kemalangan itu terus saja Mama Leha dan abang ipar menuju ke destinasinya. Anak buah aku ketika itu menahan sakit sehingga rumput di sebelahnya dicabut-cabut hingga licin, sambil menanti ambulan. Itu yang membuat kakak dan abang tidak sabar terus saja dibawa ke hospital terdekat menggunakan keretanya. Secara kebetulan anak sulung Mama Leha (seorang staff-nurse) sedang berseminar di hospital  tersebut. Waktu itu belum pun sejam berada di seminar tetapi membantu dan memudahkan si kakak untuk terus saja membawa adik lelakinya ke dalam. Si adik sudah pengsan dan diberikan bantuan pernafasan. Haikal anak buah aku kemalangan dengan kereta seorang anak gadis baru mendapat lesen. Keadaan jalan sedang dalam pembinaan projek rapid membuatkan mungkin dia tidak cekap. Signal arah lain masuknya bertentangan. Laju pula apa lagi berdentumlah. Dia sudah memohon maaf tapi bagai aku katakan apa yang Allah tulis di Loh Mahfuznya kita tidak tahu. Redhalah atas ujianNya.

Hasil dari diagnosed yang dilakukan ada pendarahan di otak. Operation perlu dilakukan segera. Memandangkan hospital di situ kurang kelengkapan, terpaksa petang itu dihantar ke HSI (Hospital Sultan Ismail). Kedudukan HSI dengan tempat aku bertugas amat dekat oleh itu selepas selesai discussion bersama pelanggan terus saja aku tinggalkan pejabat menuju ke HSI. Sewaktu mahu menziarahi anak buah aku inilah aku mendapat panggilan MRSM adik belajar. Itulah sebabnya aku terus terdetik pasti ada salah-silap yang tidak kami sedari sehingga Allah memberikan dugaan ini kepada aku dan kakak aku serentak. Kalau Mama Leha ditimpa ujian pada pagi hari aku pula di waktu petangnya.

Sehingga kini adik masih lagi bersolat duduk manakala anak buah aku masih koma di HSI. Operation kepala sudah dilakukan. Apa yang sedih 1/4 bahagian tempurung kepala yang asal terpaksa dibuang memandangkan bank untuk menyimpan tempurung kepala di HSA sudah terbakar. Jika bank itu tidak terbakar masih boleh disimpan sementara menanti sembuh boleh disambung semula. Ujian Allah tidak siapa mampu menahan. Semoga ada sinar di sebalik kegelapan seketika yang Allah berikan buat keluarga kami. Perancangan untuk kami sekeluarga berkumpul pada 26/27 November ini terpaksa dibatalkan atas nasihat Abah Din satu-satunya abang kami.

Tarik nafas - Tarik nafas dan hembus perlahan. Sesak membaca entri di atas lihat gambar ini.  Soursop atau durian belanda ini dijual dengan harga RM22/- sekilo. Sungguh aku tidak sangka begitu mahal harganya sebab di rumah kampung kami ada kalanya hingga jatuh ke tanah tidak termakan. Boleh dijadikan business kalau ada tanah.

~~ Dugaan Allah ini semakin mendekatkan ukhuwah kami sekeluarga. Biarlah ketika ketawa dan menangis kami bersama. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa yang tidak kami sedari.~~


Tuesday, November 22, 2016

Selagi masih bernafas dan nadi berdenyut - 2

Sambungan dari entri di bawah...

Pemanduan yang agak laju membuatkan sebaik azan isyak berkumandang kami sudah hampir untuk memasuki pintu pagar MRSM adik belajar. Terus menuju ke sick-bay dan menelefon guru hal-ehwal pelajar yang menghubungi aku petang tadi. Sebentar saja menanti guru itu pun tiba menemui kami dan dibawa bertemu dengan adik. Melihat aku datang apa lagi airmata adik terus sajalah mengalir laju. Aku peluk dan gosok perlahan kepala dan belakang adik. Ada dua orang teman adik, guru home-room dan warden bersama adik ketika itu. 

Apa yang terjadi pada adik adalah satu kemalangan tidak sengaja. Waktu itu adalah pembelajaran seni dan merupakan masa terakhir sebelum balik. Memandangkan minggu depannya (sekarang) adalah minggu peperiksaan, oleh itu masing-masing tekun membuat ulangkaji. Sistem pembelajaran adik adalah sistem floating class. Apabila sudah hampir balik, bermain adalah perkara biasa buat anak lelaki. Mereka bukan nakal tetapi lumrah sebagai anak remaja. Seorang balik duster (pemadam papan) dan seorang sambut. Anak perempuan pula lumrahnya selagi belum selesai berbincang tidak berganjak termasuklah adik. Ketika mahu menyambut duster itulah seorang anak lelaki tergelincir lalu terlanggar rak-rak yang menempatkan hasil seni yang kedudukannya di belakang adik lalu menimpa belakang adik dengan anak lelaki itu sekali tertiarap di atas rak tersebut. Bermakna bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga. Selain ditimpa rak tersebut juga tertimpa dek kawan kelasnya yang tertiarap di atas rak itu.

Akibat dari kejadian itu masing-masing tergamam dan sekuat tenaga ramai-ramai membangunkan semula rak tersebut. Tetapi malangnya sebaik rak diangkat adik tidak mampu bangun. Dua kali cuba bangun tetap terduduk kembali. Kecohlah satu maktab. Panggilan ambulan dibuat, malangnya pihak hospital kehabisan ambulan. Lalu pihak maktab menelefon JPAM untuk menghantar adik ke hospital. Prosedure JPAM sudah pasti amat membantu adik yang dibaringkan dengan papan sekeping, diikat bagaikan tidak boleh bernafas (kata adik) dan diusung dengan stretcher masuk ke dalam ambulan JPAM dan terus ke bilik x-ray hospital. Alhamdulillah kata pihak hospital tidak ada yang patah tetapi otot adik tercedera. Namun dek kerana wad hospital penuh adik dibawa balik ke maktab untuk didudukkan di sick-bay. Mana mungkin aku sanggup mendengarnya. Sebaik mendengar berita itu terus saja sebagai mama dan papa pasti kalau boleh terbang mahu saja aku terbang membawa adik balik. Apa lagi kerana kemalangan itu pihak maktab membeli satu wheel-chair khas buat adik.

Malam itu juga kami membawa adik balik. Wheel-chair yang pihak maktab beli tidak kami bawa walaupun pihak maktab mahu kami bawa untuk kegunaan adik. Kami menolak dengan baik dengan alasan sebab di rumah ada wheel-chair almarhum bapak. Sabtu dan Ahad KPJ tidak ada klinik (lalu bertahan menggunakan ubat bekalan hospital) tetapi pada hari Isnin papa membawalah adik ke KPJ. Berjumpa lagi dengan doktor yang sama sewaktu adik terkoyak tisu di Hari Sukan Malaysia tempohari. Sekali lagi x-ray barulah kami berpuas hati.  Untuk insiden kali ini adik diuji agak berat. Menguap pun sakit, menelan makanan pun sakit, semua sebelah kiri adik mendapat tempias sakitnya. Tambah buat mama dan papa kecut bila membuang air pun berdarah. Setelah diagnosed segala kecederaan yang adik alami, doktor memberikan adik cuti sakit sehingga 24-11-2016. Mana mungkin adik mahu kerana peperiksaan akhir tahun baru akan bermula minggu akhir sekolah (semalam). Terpaksa akur sebelum peperiksaan bermula aku hantar adik pulang ke asramanya. 

Pihak maktab memberikan adik kelonggaran untuk tidak ke prep dan surau yang memerlukan adik turun-naik tangga. Bilik adik yang asal di tingkat 4, kini adik ditempatkan di block terdekat. Duduknya di tingkat bawah sekali berhampiran bilik air dan dewan makan. Untuk duduk di sick-bay adik takut sebab biliknya luas dan duduk bersendirian. Kini adik belajar malam di bilik/dorm dengan berteman seorang kawan/kakak senior. Semoga adik mampu menggalas semua ini dengan kuat dan sabar. Mujur tinggal minggu ini saja.

Terima kasih kepada anakanda Yani (kawan adik), Kak Sarah (senior form 5) yang membantu menemankan adik di dorm. Membantu memasangkan ubat patch di belakang adik setiap pagi dan petang. Terima kasih juga buat anak-anak yang membantu mamacik menurunkan semua barang-barang adik dari tingkat 4 ke bilik bawah sekarang. Tidak ketinggalan Pengetua Maktab, guru hal-ehwal pelajar, guru hal-ehwal akademik, guru home-room, warden dan semua kawan-kawan adik.

Buat anakanda yang tidak sengaja terjatuh mamacik dan keluarga tahu anak tidak sengaja dan semoga jadi pengajaran buat semua. Jangan rasa bersalah kerana semua ini sudah tertulis di loh mahfuz Allah. Waktu belajar yang Allah beri peluang gunakan sebaik-baiknya.

Terapi  mata - Penat membaca entri di atas - maaf.  Sewaktu menghantar adik balik kami singgah di tapak projek hubby di Kluang.  Memandangkan sudah tengahari terus singgah di satu restoran ini. Milik anak muda yang menjual nasi beryani. Mak Zah makan beryani ayam. Kami yg lain semua memilih beryani kambing. Sedap.

~~ Selamat menghadapi peperiksaan dengan sedikit dugaan Allah. Semoga adik mampu memberikan yang terbaik sebagaimana Pengetua katakan pasti adik boleh seiring dengan semangat yang adik ada.~~

Monday, November 21, 2016

Selagi masih bernafas dan nadi berdenyut - 1

Dari mana harus aku mulakan?

Lihatlah entri yang pernah aku catat minggu lepas di sini. Itulah hakikatnya yang terjadi pada diri aku sehingga akhirnya aku menghilang buat seketika atas sebab-sebab yang aku perkatakan dalam entri tersebut. Penyakit dunia yang membuat aku bagaikan terkapai lesu. Sungguh terlalu lemahnya iman yang bertakhta dalam diriku sehingga terkejar-kejar dek masa di dunia hingga kebingungan dan bagaikan mahu terkulai aku dibuatnya.

Pagi hari ketika menerima khabar berita anak-buah aku kemalangan sudah cukup membuat hati aku bagai direnggut pilu. Petang ketika kaki baru keluar kereta untuk menjenguk anak-buah yang sedang koma telefon bimbitku berbunyi mohon dijawab. Tertera nombor telefon MRSM adik sudah cukup membuat jantung aku berdegup kencang. Berita yang disampaikan walau semampu boleh pihak maktab cuba menyampaikan dengan cara paling lembut dan berhemah tetap membuat hatiku bagai dicincang-lumat. Longlai kaki ini melangkah ke lift hospital Sultan Ismail untuk menjenguk anak buah yang sedang koma, Airmata aku mengalir untuk siapa pun tidak dapat aku pastikan sama ada kerana anak buah yang sedang koma atau kerana berita tentang anak sendiri.

Kekuatan tenaga tua ini masih digagahkan dengan sedikit kekuatan yang DIA berikan lalu bertemu jugalah aku dengan kakak dan abang ipar serta beberapa sanak-saudara yang sedang berkumpul. Hati tidak keruan tapi langsung tidak aku khabarkan kepada semua yang berada di situ pada waktu itu, sebab semua sedang bersedih dan kalut. Airmata yang mengalir dari ke dua-dua mata aku mungkin terbahagi dua kerana melihat anak buah dan satu lagi kerana berita kurang baik tentang anak sendiri. Ziarah dan sembang tidak lama aku mohon izin untuk balik dengan alasan aku belum solat Asar. Salam-salam aku beredar laju walau hakikatnya langkah kaki tua ini sudah longlai. Terus saja aku menghubungi hubby. Sepakat terus hubby patah balik tidak jadi ke HSI untuk melihat anak buah aku sebaliknya terus balik rumah.

Walau ketika itu sudah hampir mahgrib kami tidak menanti lagi. Terus niatkan di dalam hati yang kami akan jamak takhir maghrib dan Isyak. Masa setengah jam menanti waktu maghrib bagaikan lama. Sekurang-kurangnya setengah jam awal akan lebih cepat untuk kami tiba di MRSM adik. Memilih kenderaan apa yang terbaik buat adik selesa juga sudah mengambil masa. Akhirnya sepakat menggunakan MPV supaya adik boleh berbaring selesa. Siap kami bawa beberapa biji bantal dan selimut. Pemanduan hubby agak laju dan kami tidak banyak bersuara melainkan berzikir sepanjang perjalanan tersebut.

Sudah agak panjang entri ini kita sambung esok....
Rehat seketika - Alihkan pandangan ke bunga balung ayam di laman comel rumah ku untuk seketika. Pokok yang amat susah untuk mati. Ibunya sudah dibuang tetapi berpuluh anak akan tiba-tiba tumbuh di setiap pasu yang berdekatan.

~~ Pastinya ujian yang Allah berikan adalah ke atas dosa-dosa yang kami lakukan tanpa disedari. Baru dijentik sedikit seolah-olah aku sudah tidak mampu.~~


Friday, November 18, 2016

GA - Happy 21st Anniversary dinda Hainom

Maaf aku dilanda penyakit duniawi seperti entri sebelum ini. Sibuk dan lelah! Tetapi Gegar Vaganza GA sempena anniversary ke 21 adinda ku tetap ku redah jua. Lalu ku kuak sedikit ruang masa untuk mencatat satu hikayat sang permaisuri sehingga terpahat indah hidup bersama sang arjunanya.



Sudah tercatat di dalam satu hikayat bukan dahulu kala tetapi 21 tahun yang lalu. Maka ada satu ceritera indah akan terpetrinya satu ikatan suci antara dua anak Adam di bumi Muar, bandar maharani. Seorang gadis comel-molek tertunduk, tersipu malu tetapi jauh di sudut hatinya bergejolak menanti sang adiwarnanya menggenggam erat tangan seorang qadi bagi melafaz dan aqad untuk menjadikannya permaisuri di hati. 

Riun-rendah suara sanak-saudara mahu meraikan si puteri bongsu diraikan sedikit pun tidak melelahkan seisi keluarga. Masing-masing tersenyum gembira meraikan majlis gilang-gemilang. Debaran  sang arjuna untuk disatukan dengan adinda pujaan hati pula membuatnya tidak mampu untuk lena barang sepicing. Gemuruh sudah dirasakan semalaman sehinggalah menjelang pagi. Namun kegagahan harus dibuktikan dengan keluarga di sana. Sebab itulah sebaik qadi menggoncang tangan lalu disambut dengan lancar sang arjuna "Aku terima nikahnya......" dan disambut dengan sambutan para saksi, "Sah..Sah". Mengalirlah airmata kegembiraan sang permaisuri yang bersimpuh ayu.

Kini sudah 21 tahun berlalu..
Seorang putera gagah perkasa persis sang arjuna pujaan hatinya dan dua puteri selayaknya mengikut jejak si ibu berbahagia menghuni mahligai bahagia. Semoga itulah pengabadian yang indah sehingga kekal abadi di syurga firdausi.

~~ Selamat menyambut ulangtahun perkahwinan ke 21 buat dinda Hainom.~~



Khas buat Hainom Haryani:-
"Ojo dipilih entri kanda iki. Serious kanda tulis khas tapi udhu utk GA. Kanda agak sibuk pasal dugaan pangeran nang keluargo kanda. Tapi pasal dinda terluah entri iki. Mugo diparengi seng apik-apik. Amin."



Friday, November 11, 2016

Penyakit duniawi

Semoga kita dijauhkan dari penyakit dunia yang serba mencabar kini. Kebingungan yang tidak ada putusnya. Kesibukan yang tidak ada penghujungnya. Keperluan yang sentiasa dirasakan tidak cukup. Akhir sekali angan-angan yang tidak ada kesudahan walaupun seringkali dikatakan berangan tidak perlu dibayar tetapi sesungguhnya ia sudah menjadi salah satu penyakit dunia.


Bunga raya di halaman rumahku - Sekadar untuk tatapan mata

~~ ... sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan sementara dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal" (Al-Mukmin:39) ~~



Thursday, November 10, 2016

Meredah legasi almarhum bapak

Meniti hari-hari berlalu tanpa bapak membuat hubungan kami adik-beradik bertambah erat. Apa lagi abang kami satu-satunya anak lelaki yang kini semakin bijak mengorak langkah sebagai pengganti bapak di kebun-kebun yang ditinggalkan kian serasi berada di kampung. Kulit Abah Din (panggilan anak-anak) juga kini semakin gelap kerana panahan panas mentari. Namun semua itu membuat Abah Din semakin kental memandangkan dengan berkebun kini banyak peluh mengalir keluar. Tidak perlu berjoging lagi seperti dulu-dulu lagi.

Packing - Bersama pekerja sudah berguni yang dituai. Sebenarnya ini yang second-grade. Sebab petikan yang pertama sudah terlebih dulu diekspot. Selepas tuaian yang pertama putik jagung selanjutnya akan dibiar lagi dan dituai menjadi 2nd grade inilah. Sudah ada yang menempah untuk dipasarkan di pasar malam. Mana yang besar akan tetap dibawa masuk ke Singapore.

Lihat di belakang - Masih ada lagi yang belum dituai. Menanti masa. Pergi kebun pun masih terselit pen di poket baju. Sudah terbiasa sewaktu di pejabatlah agaknya. Kami ketawa.

Sesak - Sumbat selagi ada ruang. Tempat beku saja di isi dengan sedikit udang dan sotong.
Lihatlah salah satu peti-ais yang kecil di rumah kampung kami penuh dimasukkan seguni jagung menanti adik-adik-anak-buah pulang ke kampung. Betul-betul mengikut jejak almarhum bapak. Bila menuai hasil mesti ingat kepada anak-cucunya. Kini giliran Abah Din pula. Siap bergambar dan dimasukkan ke dalam group whatsapp keluarga. Siapa cepat dia dapat! Itu yang diwhatsappkan kepada kami semua.

~~ Semoga Abah Din terus cekal meneruskan legasi almarhum bapak.~~


Wednesday, November 9, 2016

Lampu tidur baru




~~ Dari kecil sehingga sudah remaja tetap Hello Kitty juga yang disukai Kak Meen.~~

Tuesday, November 8, 2016

Musim tengkujuh bagaikan winter

Cuaca ketika balik menghantar adik balik baru-baru ini. Memandangkan hari adik balik papa bertugas, maka mamalah mengambil-alih menghantar adik dengan meredah hujan lebat. Melihat dua kali kenderaan pacuan empat roda yang menjunam masuk ke dalam longkang buat hati mama kecut. Hujan lebat kenderaan besar sajalah yang berani memandu laju. Memandangkan mama hanya menggunakan kereta selalu pergi kerja kenalah memandu mengikut belakang kereta-kereta lain. Kalaulah tahu kena meredah banjir begini sudah pasti mama memandu 4WD papa.
Pemanduan - Apabila dengan keadaan hujan yang lebat, jalan digenangi air, kenderaan pula bertali arus rata-rata tidak ada yang berani memotong. Tumpuan penuh kepada laluan kenderaan yang dipandu. Lihatlah berapa laju pemanduan aku? Hanya 40km/jam. Bermakna kereta di depan dan belakang aku juga lebihkurang begini.
Semoga dalam keadaan cuaca sejuk begini anak-anak yang menduduki peperiksaan tetap cergas, kuat dan bersemangat untuk menjawab semua soalan. Melihat ada anak yang bertongkat kerana terlibat dengan kemalangan sebelum peperiksaan rasa belas pula. Semoga ujian itu membuat dia lebih kuat dan tabah menghadapai cabaran.

~~ Pergi kerja sejuk meredah embun pagi. Tiba di pejabat sejuk di dalam airconditioner. Masa balik pula sejuk meredah hujan lebat.~~


Monday, November 7, 2016

Makan ubat ingat tauhid

Demam masih bersisa tetapi tetap ku gagahkan diri untuk menjalankan tanggungjawab yang perlu digalas. Seandainya anak-anak yang bertongkat, berpapah juga masih mampu berjuang ke dewan peperiksaan demi masa depan mereka, mengapa tidak aku yang masih mampu memandu dan duduk di kerusi empok di bilik berhawa dingin lagi. Semoga ujian ini mampu menambah keimanan diri yang amat tipis ini.




Usaha - Allah memberikan kita akal dan anggota untuk terus berusaha. Pil-pil sebagai perantaraan saja. Bila tidak ada perubahan mencuba pula alternatif membeli kelapa muda sebab bimbang keracunan mungkin petua orang tua betul lalu mencubalah aku dengan minum air kelapa muda. Tetapi kesembuhan itu milik Allah. DIA saja yang tahu akan segala-galanya.
(Dia Allah) yang telah menciptakan aku, maka Dialah yang menunjukki aku. (78). Dan Dia tuhanku yang Dia memberi makan dam minum kepadaku (79) Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku (80) dan yang akan mematikan aku, kemudian akan menghidupkan aku kembali (81) - Asy Syu'araa: (ayat 78-81)

~~ Selamat berjuang di medan SPM buat anak-anak yang terlibat. Doa mamacik padu buat kalian semua.~~


Friday, November 4, 2016

Nasi lemak sambal sotong kembang

Sejak Rabu petang aku sudah tidak sedap badan. Seketika Allah menguji kekuatan diri. Demam dengan menggigil tidak tahan petang jam 3:30 aku sudah tutup komputer dan kunci bilik dan balik terus menuju ke klinik. Pecah rekod untuk tahun ini aku dapat cuti sakit yang tidak dapat dielakkan. Biasa walaupun mendapat cuti sakit aku masih gagah ke pejabat, tetapi semalam aku benar-benar lembik apa lagi bila ulang-alik ke bilik kecil. Semoga hari ini dan seterusnya akan lebih baik.

Paparan hari ini aku masak nasi lemak pada hari Ahad lepas di rumah kami. Masak bukan untuk sarapan pagi tetapi untuk hidangan makan tengahari.  Hanya mama dan papa yang makan waktu pagi. Anak-anak semua makan hampir menjelang tengahari. Pagi semuanya bersarapan dengan buku, majalah, lap-top dan handphone. Bila lapar baru sarapan tetapi sudah hampir tengahari.

Sambal tumis - Sotong kembang direbus dahulu bagi lembut dan hilang airnya. Sambal tumis semua orang tahu. Buat seperti sambal tumis biasa. Setelah mendidih baru masukkan sotong yang telah direbus dan ditoskan. 

Gandingan 1 - Hirisan timun dan ayam goreng.

Gandingan 2 - Ikan bilis dan telur rebus. Kacang tanah tidak perlu di rumah kami sebab anak-anak kurang gemar kacang. Mama/papa pula sudah tua elok juga dapat kurangkan kolestrol dari hidnagan yang sah-sah penuh berkolestrol ini.

Siap - Nasi lemak aku tanak biasa dengan meletakkan sedikit halba dan halia. Masukkan juga serai dititik dan daun pandan. Garam dan santan sudah pastilah - itu saja. 
Memasak akan lebih mudah apabila ada permintaan dari ahli di dalam rumah. Selain memudahkan minda berfikir mahu masak apa, apabila hidangan sudah sedia di atas meja pasti mereka yang masuk ke dapur dengan lebih ceria. Tidak perlu lagi bertanya "Mama masak apa hari ini?" 

~~ Terlalu banyak resepi bangsa kita sehingga pening tidak tahu mahu masak apa.~~


Wednesday, November 2, 2016

Banyaknya kepala bertudung

Masuk ke satu pasaranya ini pasti kita akan melihat banyak kepala. Bukan saja kepala manusia bergerak yang sibuk memilih tetapi juga kepala tanpa badan yang tidak bergerak. Semuanya bertudung belaka. Ada yang memakai tudung mahal, ada yang sederhana dan ada juga yang murah.





Aku dengan Mak Zah sampai terkekek-kekek gelihati melihat ada kepala patung yang sudah tertutup muka dengan tudung yang senget. Adik siap membetulkannya lagi. "Kesian patung ni" itu katanya.

~~ Agak-agak kalau bergelap dengan kepala patung banyak begitu tidak seramkah yang bekerja di situ.~~


Tuesday, November 1, 2016

Mee kari di cuti Deepavali

Cuti Deepavali baru lepas semua anak-anak ada di rumah. Termasuk seorang lagi anak buah aku bermakna ada empat anak dara di rumah aku cuti baru ini. Kalau mahu memasak lebih sedikit sekurang-kurangnya berbaloilah sebab ramai yang boleh menikmatinya. Membuat mee kari kerana sebelum ini kami mendapat semangkuk mee kari dari ibu salah seorang anak yang mengaji dengan aku. Tidak puas sebab ramai ahli di rumah, itulah yang mama mereka ini masaklah untuk memberi kepuasan mereka.

Mee - Celur mee sebungkus. Bilas air masak supaya tidak melekat.

Kuah - Blend serai, bawang besar, bawang kecil, bawang putih, halia, kunyit & buah keras. Kemudian tumis kari dan semua yang diblended itu bersama daun kari & 4 sekawan (bunga lawang, pelaga, kayu manis dan cengkih). Masukkan cili blended sehingga betul-betul masak. Masukkan santan cair dan hirisan daging yang sudah diempokkan (sebenrnya biasa guna ayam tetapi ayam belum disembelih). Masukkan kentang dan carrot.  Masukkan juga asam keping. Bila sudah mendidih baru masukkan santan pekat dan masukkan fish-cake & asam keping. Sebaik mendidih baru masukkan tomato dan daun sawi. Tutup api sebab tomato dan sawi walau api sudah ditutup sebab kuah masih mengelegak tetap akan masak juga.
Iringan 1 - Tauhu goreng dihiris. Daun sup juga untuk mendapatkan aroma sedap.
Iringin 2 - Telur rebus dipotong dua. telur ayam kampung yang sudah sedia comel biarlah bergolek satu hihi... Limau kasturi juga sebagai menyedap hidangan.
Iringin 3 - Taugeh dan hirisan cili. Kalau tidak ada taugeh bagaikan tidak ada krup-krap dan kurang menyengat jika tidak bercili. Tetapi adik  makan tidak perlukan cili pun.
Sedia - Ambil mee, Letak sedikit taugeh dan potongan tauhu. Curahkan kuah. Taburkan bawang goreng, hirisan cili dan daun sup.  Letak telur dan limau. Sepinggan siap sedia untuk disantap. 
Secara kebetulan ada pula tetamu datang menjelang tengahari itu. Sepupu aku datang untuk menandatangani dokumen berkaitan pecah geran tanah milik kami bersama. Dapatlah mereka menjamah apa yang ada di rumah waktu itu. 

~~ Sebaiknya menggunakan ayam bukan daging seperti yang aku buat ini. Tetapi anak-anak pula suka dengan daging.~~