Thursday, April 30, 2015

Selamat bercuti semua!

Gambar dari group whatsapp
~~ Mengalahkan Hari Raya gembira menyambut cuti kali ini.~~

Iman itu milik kita semua

Mengukur sejauh mana keimanan kita tidak siapa pun mampu membuat pengukurannya. Apa yang pasti dan kita percaya setiap kita punya iman. Berapa tinggi iman itu kita sendiri pun tidak berupaya mengukurnya. Walau bagaimanapun kita harus bersyukur sebab betapa tidak tinggi pun iman kita setiap perintah Allah yang wajib masih mampu kita lakukan dengan sebaik dan semampu yang kita terdaya. Contohnya solat lima waktu kita tidak tinggal, berpuasa di bulan ramadhan kita lakukan, berzakat yang setahun itu pun tidak pernah terabai, mengucap syahadah sebab bersolat pastinya bersyahadahlah tidak ditinggal. Menunaikan ibadah haji semua orang sudah memasang niat mahu melakukan ibadah tersebut. Itu tidak termasuk hal-hal kebajikan dan tanggungjawab yang digalas dibuat semampu dan sebaik yang boleh.

Puzzle - Usaha kena ada untuk mencapai misi seperti adik yang mahu menyelesaikan puzzle Cinderella dia. Penuhi petak kehidupan kita yang dilalui dengan kebaikan dan kepuasan utk mendapat keredhaan dariNya.

Seandainya keimanan kita tidak ada mungkin solat pun kita buat tidak tahu. Orang berpuasa kita buat sambil-lewa. Kalau tidak kerana iman pasti bila-bila masa pun kita boleh curi-curi makan. Itulah dek kerana iman kita bertahan untuk menahan segala kelaparan. Kerana iman kita mendirikan solat. Kerana iman jugalah kita dapat membezakan yang mana satu baik dan buruk. Mendidik mereka yang dibawah tanggungan sedari kecil untuk menjadi orang yang berpegang kepada jalan Allah. Semua ini adalah kerana iman.

Biarpun sibuk di dunia ini, kita tahu dan percaya yang bumi ini akan hancur juga pada masa dan ketikanya. Jelas bermakna kita tidak pernah lupa yang tiupan sangkakala akan tiba suatu hari nanti. Kita juga tahu adnya nabi dan rasul, kita juga tahu dan percaya akan kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah, percaya adanya qada' dan qadar, malaikat dan kerana itu kita percaya kudroh dan irodahnya Allah. Semua ini adalah bersandarkan keimanan kita. Iman yang walau tidak boleh diwarisi tapi iman adalah anugerah terindah kurniaan Allah buat sekelian hambaNya. Bersama kita berdoa moga hidayah dan 'inayah Allah sentiasa ada buat kita. 

~~ Sebagai manusia biarlah dunia ada di tangan dan akhirat terus di hati. Kita bajai dan istiqomah semampu yang boleh.~~


Wednesday, April 29, 2015

Rentetan dari segugus kunci

Segugus kunci setiap pagi akan dipastikan sudah berada di dalam beg sebelum melangkah keluar meninggalkan rumah untuk mencari rezeki. Jauh di dalam hati rumah yang ditinggal selamat sebaik dikunci sempurna. Tiba di pejabat segugus kunci itu juga dicapai untuk memulakan tugasan. Mencari apa juga keperluan di pejabat, gugusan kunci itu juga diperlukan. Sentiasa duduk di atas meja sepanjang masa bekerja. Balik selesai tugasan sekali lagi gugusan kunci akan dipastikan sudah dimasukkan ke dalam beg. Bilik dikunci terasa selamat sebelum melangkah keluar dan turun meninggalkan pejabat. Begitulah berulang setiap hari. Merasa kunci ini penyelamat setiap milik yang tersimpan rapi. Sampai bila akan begini tidak dapat kotak fikiran menjangkanya. Bagaikan bila semuanya terkunci rapi kehidupan sudah cukup selesa.

Segugus - Kunci rumah, kunci pejabat, kunci almari-almari, kunci meja semua ada di sini.

Walau besar dan tinggi mana pergantungan mr boss pada kunci tersebut, hati terdetik kerana bukan kunci penyelamat semua kerana sebenarnya ada yang lebih berkuasa. Kunci sekadar qada' dan qadarnya adalah selamat dek kerana usaha yang dibuat.  Sebagai kuli yang dipertanggungjawabkan pasti akan patuh untuk menjaga semampu mana dan apa juga hak syarikat akan di kunci rapi. Namun sebagai umat Muhammad Sallallahualaihi Wasallam tetap akur akan qada' dan qadar Allah siapa mampu menidakkannya. Kuncilah sekukuh mana. Belilah yang berjenama hebat tetapi ada lagi yang lebih hebat dan mampu mengambil hak yang kita jaga rapi. 

~~ Musuh agama tidak boleh dijadikan guru kita sekadar nasihat yang dipetik dari pembacaan yang diperolehi dari sebuah buku motivasi tetapi buku mana satu hilang puncalah pula.~~

Tuesday, April 28, 2015

Majlis motivasi dan diskusi

Pendaftaran dikatakan jam 9:00 pagi, tapi sebelum sampai waktunya sudah ramai ibu bapa yang memenuhi ruang kerusi yang disediakan. Aku datang sendirian sebab hubby ada majlis perpisahan staff. Kurang elok rasanya bila majlis yang sudah diatur, dia sendiri sebagai ketua tidak hadir. Oleh itu pergilah aku ke majlis Motivasi dan diskusi UPSR di sekolah adik sendiri.

Menghadiri majlis begini rasa aku sudah berkali-kali dari sekolah rendah sehinggalah ke sekolah menengah. Dari anak sulung sehingga kini tiba giliran adik pula. Isu yang dipaparkan tetap sama tetapi cara penyampaian penceramah yang diundang itulah yang perlu menarik tumpuan murid-murid termasuk juga kepada ibu-bapa yang baru pertama kali menghadiri. Apa pun bila duduk dalam majlis begini secara tidak langsung akan refresh kembali ingatan kita berkaitan tips untuk menghadapi anak-anak yang akan menduduki peperiksaan. 
Kasih & sayang - Anak-anak dikehendaki berjumpa penjaga dan tunjukkan kasih dan sayang sebagaimana dikehendaki oleh penceramah En. Salamian Surip. Waktu inilah kita akan lihat semua anak-anak berjurian airmata. Ibu-bapa tidak kurang juga bila sendunya sehingga yang kedengaran hanya esak-tangis anak-anak.

Ingin aku rangkum tips kasih sayang menjadi satu. Dua sifat ini sangat perlu untuk mendapatkan hasil dari apa yang di tanam pada anak-anak kita. Kasih-sayang dalam memberikan makanan, memberi tunjuk-ajar, menyediakan tempat belajar, menutur-kata nasihat dan sebagainya semua perlu diambil kira. Jika rezeki yang diperolehi dari hasil yang salah akibatnya anak yang tidak berdosa mendapat tempias belajar saja penat tetapi hasilnya mengecewakan. Begitu juga jika tempat belajarnya tidak selesa pasti membuat anak belajar kurang tumpuan. Memberi nasihat biarlah dengan penuh kasih dan syang tidak perlu meninggikan suara. Ini kerana ada ibu-bapa mahu si anak belajar tetapi ibu-bapanya pula menonton tanpa menghiraukan anak belajar. Marah anak bermain telefon bimbit tetapi dia sendiri khusyuk dengan facebook, tweeter, blog dan sebagainya. Semua ini perlu diambil kira. Menjaga pemakanan berzat dan baik seperti kismis, kurma, telur setengah masak bersama roti dan sebagainya tidak berguna andai ianya hasil syubhah yang akibatnya tidak barkah. 

Mendidik anak bukan setakat memberi makan dan pakai saja. Tapi keseluruhan kehidupan mereka masih memerlukan pemantauan kita dari celik mata sehingga mereka tidur lena. Selagi mereka belum pandai menilai erti kehidupan sebenar kitalah yang perlu membimbingnya selain bantuan guru-guru di sekolah.

~~ Anak kita akan menjadi apa yang kita bentuk sedari kecil.~~  


Monday, April 27, 2015

Keikhlasan dalam sebuah kehidupan

Sebagai manusia biasa terasa malu juga bila asyik menerima pemberian dari anak-anak. Aku tahu pemberian anak-anak ini adalah dari ibu-bapa mereka. Serba-salah jadinya. Kita memberi dari kemampuan kita atas dasar ikhlas dan sedikit sebanyak mahu membuat pelaburan di dunia yang satu lagi. Begitu pun aku rasa mereka (ibu-bapa anak-anak itu) juga rasanya ikhlas serta mempunyai rasa seperti apa yang aku rasakan. Memberi atas dasar ikhlas. Aku memberi dengan cara aku, mereka memberi dengan cara mereka.

Sesisir - Pisang ini diberi oleh Adik Caca. Sekarang sudah benar-benar lancar dan faham yang mana waqaf, ibtida', iklab, izhar, ikhfa' dan sebagainya. Datuknya memang banyak menanam pisang dan memberi aku sesisir. Besar buahnya hampir menyamai pisang tanduk. Tapi itulah aku sangkakan tunggu hingga kulit kuning, tetapi baru aku tahu pisang ini jenis walau masak kulitnya hijau.

Satu bekas - Sayang dengan pisang tersebut, dua biji Kak Meen goreng kemudian letak cheese. Mama/papa memang kuranglah suka pisang bertabur cheese.  Kami lebih suka cecah sambal kicap (style Johor). Tiga biji blend kemudian tuang ke dalam mixer yang telah aku mixed dengan telur+gula+butter+tepung dan baking powder. Letak banana flavour  kemudian masuk oven 45 minit.

Siap - Bila siap agih semula kepada adik Caca yang memberi pisang itu juga teman-temannya. Gambar atas ini aku bawa ke pejabat sebekas.
Indahnya bila keikhlasan terpancar di hati-hati umat manusia. Sebenarnya bukan saja makanan yang aku terima dari anak-anak yang datang. Ada juga yang berupa kain pasang, telekung, sejadah, bekas makanan dan sebagainya. Malu memang malu. Selalu sudah aku pesan sebaiknya sedekah pada mereka yang lebih memerlukan tetapi hati manusia dan kehendak mereka tidak kita ketahui. Tabarokallah... mereka punya hati-hati yang sungguh ikhlas. Allah juga yang membalas mereka semuanya. Sementara itu aku juga berharap keikhlasan aku tidak dinilai dengan semua pemberian itu.


~~ Mendidik hati untuk berbuat sesuatu dengan ikhlas bukan mudah bila kadang riak pula datang menjenguk sama. Kena segera ingat dan putarkan niat di hati dengan segera.~~


Saturday, April 25, 2015

Santai Sabtu - Orang bukan kucing

Kehidupan seharian tidak dapat lari dari pelbagai rasa ingin tahu, memberi jawapan, memberikan pendapat, musykil, curiga dan sebagainya. Tetapi ada kalanya pertanyaan yang kita mahukan jawapan yang diharapkan hampa bahkan mengundang derai ketawa semua yang ada.

Kisah yang terjadi ketika di dalam perjalanan untuk keluar berbelanja. Sambil mendengar radio yang bersiaran di dalam kereta tiba-tiba papa pula memberhentikan kereta secara mengejut. Semua terkejut sama. "Siapa tu papa?" hairan sebab ada pemandu basikal sesuka hati tidak pandang kiri dan kanan ketika melintas jalan. Boleh pula senyum-senyum sambil angkat tangan sebab rasa bersalah agaknya. "Oranglah" senang jawapan si papa. "Memanglah orang takkanlah kucing naik basikal pulak ". Semua ketawa. Sebenarnya jawapan dikehendaki seperti "Oh.. kawan masjid papa." Atau mungkin " Agaknya orang taman sebelah." Jawapan begitu rasanya lebih memuaskan hati sebab melihat lelaki itu melambai tangan ke arah papa.

Meow - Macam kucing ini senang tidak perlu banyak berfikir. Adik panggil Mimik. Kucing macam ini mudah saja, whiskas yang tidak digemari dia makan sikit, lebih suka frieskies. Pandai jimatkan duit tuannya sebab frieskies lebih murah. Aku yg geli selalu terpaksa mengelak-ngelak. Anak punya pasal biarlah dia menumpang manja.
Biarpun sekadar seekor kucing tapi bila sudah terbiasa dia pun tahu yang mana satu dia boleh bermanja. Kalau nampak kelibat aku kucing ini akan mengelak pergi ke tepi. Dia tahu tuan yang satu ini takut padanya. Tapi dengan penghuni rumah yang lain bukan main manja. Kalau aku tuangkan makanan di dalam bekas pun dia tidak akan segera datang tetapi jika adik yang mahu memberi makan, baru mendengar goncangan makanan di dalam bungkusannya pun sudah datang menggesel-gesel kaki adik. Itu yang buat aku geli dan meremang bulu tengkuk.

~~ Tidak ada manusia mampu membaca apa yang ada di dalam hati kita.~~




Friday, April 24, 2015

Nikmat tuhan manakah yang kamu dustakan

Biasanya selepas berbuka puasa keinginan untuk makan lagi sudah tiada. Tetapi berbeza pula pada anak dara aku. Sewaktu berbuka puasa boleh pula teringin untuk menikmati mee kari dan tomyam di Secret Receipe. Oleh itu selepas berbuka puasa dan bersolat maghrib kami keluar ke tempat yang dihajati. Hari Jumaat hari mereka cuti jadi bolehlah berlama sedikit makan dan membeli keperluan yang dikehendaki. Adik mahu membeli buku rujukan dan mama pun bolehlah juga berbelanja mana yang patut untuk keperluan rumah.

Minuman - Pilhan semua tidak sama. Hanya Mak Zah dan adik sama. 

Springroll - Mama sudah kenyang. Mula-mula order satu set tetapi bila melihat anak suka makan papa order satu lagi. Habis dua-dua set kami makan.

Mee kari - Adik, Mak Zah dan papa makan mee kari. Papa tak puasa memang boleh habis. Mak Zah dan adik punya baki bungkus bawa balik.

Tomyam - Kak Meen makan tomyam. Bawa bekal nasi dari rumah. Nasib baik kami duduk di tempat yang tertutup tidak adalah yang nampak selain keluarga sendiri. Sambil makan senyum-senyum sebab manalah ada org makan di SR bawa bekal nasi macam Kak Meen. Bekas nasi masuk dlm handbag lagi.  Baki tidak habis juga bungkus bawa balik.
Fabiayyi'ala irobbikuma tukadzdziban. (Disebut 31 kali dalam surah Ar-Rohman). Nikmat yang diberikan masa muda, kesihatan, kelapangan, harta dan usia gunakanlah sebaik-baiknya. Bila telah datang yang lima lagi iaitu masa tua, sakit, sempit, miskin dan dijemput izrael segalanya tidak akan termampu oleh kita lagi. Hanya tiga yang membantu waktu itu iaitu sedekah jariah, doa anak-anak soleh/solehah dan ilmu yang ditinggal tetapi masih diamalkan.  


~~ Terpana mendengar berita hari ini yang mengatakan ibu tiri Barrack Obama menunaikan umrah. Kehebatan baginda rasulullah membuka hatinya menerima Islam agama fitrah ini.~~




Thursday, April 23, 2015

Bubur nasi istimewa

Kakak ipar aku bersuamikan orang Terengganu tetapi tinggal di Bangi. Apa yang aku perhatikan selalu benar kakak akan membuat bubur nasi yang aku tidak pernah ambil tahu bagaimana dia membuatnya. Apa lagi bila melihat warna bubur yang telah sedia bila dimasukkan ke dalam pinggan agak kurang menarik dipandang mata. Menurut kakak, resepi tersebut adalah tradisi keluarga suaminya. Memandangkan hubby dan anak-anak pun suka makan, aku pun mencuba apa yang diajarkan. Apa lagi semua bahan digunakan mudah belaka.


Ikan - Rebus dan buang tulang.  Ambil isinya saja dan kisar kasar.


Dedaunan - Kalau mengikut kakak ipar banyak jenis daun digunakan. Pucuk paku-pakis yang merah, pucuk ubi direbus, pucuk labu, pucuk buah letup-letup, daun kaduk, pucuk bebuas, pucuk manis  dan banyak lagi. Tapi yg aku ada hanya pucuk paku-pakis merah, pucuk ubi dan pucuk labu. Pucuk ubi saja yg perlu direbus dulu sebelum dimasukkan ke dalam periuk bersama-sama beras.

Satu periuk - Masukkan beras yang telah dicuci ke dalam periuk, air secukupnya (kena lebihlah sebab bubur), masukkan ikan, bawang merah yang telah diblender bersama lada hitam (lada hitam lebih lagi sedap), daun pucuk ubi yang telah direbus, pucuk labu dan daun-daun.  Masukkan juga kepingan keropok kering. Kemudian masukkan kiub ayam dan tutup.

Setting masa - Bila periuk sudah di tutup, bolehlah tinggal. Selepas 15 minit buang angin, kacau, letak garam dan sedia dihidang. Sangat mudah!
Siap - Tabur dengan bawang goreng. Lengkap semuanya ada. Nasi, sayur dan ikan.
Pelengkap selera - Makan dengan keropok losong.  Habis sepinggan bubur pasti akan minta ditambah lagi macam papa.
Itulah hikmahnya bila ada keluarga yang berasal dari negeri lain dari tempat kita. Dapat mengetahui makanan tradisi keluarga mereka yang boleh dinikmati bersama dalam keluarga kita. Kalau tidak kerana ada ahli keluarga yang menikahi orang Terengganu kami tidak tahupun resepi bubur ini. Kami panggil resepi ini bubur Terengganu. Banyak resepi makanan pantai timur yang menjadi kegemaran keluarga kami.


~~ Cuepac mencadangkan selain dividen adalah lebih baik bonus diberikan kepada pencarum KWSP instead mahu diperpanjangkan tempoh pengeluarannya. Cadangan ini amat aku sokong! ~~




Wednesday, April 22, 2015

Bukit ditarah lagikan rata

"Wahai anak-cucu Adam, janganlah sampai kamu dapat diperdayakan oleh syaitan sebagaimana mereka telah berjaya mengeluarkan kedua orang tuamu (Adam dan Hawa) dari syurga. Mereka dapat menanggalkan pakaian kedua orang tuamu (Adam dan Hawa) itu supaya kelihatan kedua auratnya" - (Surah Al-A'raf:23)                   

Tuang di atas katil

Susun ikut kepunyaan siapa.

~~ Sesekali buat sendiri apalah salahnya.~~


Tuesday, April 21, 2015

Indahnya anugerah kasih dan sayang

Boleh dikatakan setiap pagi Sabtu dan Ahad apabila aku menuju tempat beriadah, hati kecilku akan diusik rasa terharu. Melihat sepasang warga emas yang didakap penuh kasih dan sayang. Si suami dengan penuh sabar memimpin isterinya sehingga tiba di tempat peralatan riadah. Di tempat aku beriadah ini ada berbagai alat disediakan pihak Majlis tempatan. Isterinya akan beriadah di sini saja. Bila si isteri sudah selesa di tempat itu barulah dia menuju track larian yang biasa kami gunakan untuk berjogging. Uncle ini masih kuat berlari atau berjalan cepat mengalahkan aku. Usianya aku rasa dalam lingkungan 60an. Isterinya bermula dari kena stroke kini sudah boleh memapah menggunakan tongkat berkaki empat. Sebelah kakinya dulu diheret kini sudah boleh menapak perlahan. Gigihnya mereka menjaga kesihatan kerana dia melakukannya setiap pagi. Apa lagi kedudukan padang ini berada di hadapan rumahnya saja. Si suami memberikan terapi dengan penuh kasih sayang sehingga melompat longkang kecil pun dia akan pegang sungguh-sungguh isterinya. Memberi isteri minum pun botol air dia yang pegangkan. 

Balik - Aku belum selesai lagi mereka sudah balik. Biasanya jam 7:15 lebih kurang mereka sudah berpeluh-peluh dan balik rumah.
Itu manusia dengan anugerah kasih dan sayang. Binatang pun tidak kurangnya bila si Kecik (kucing mendatang di rumah) diberi kasih dan sayang oleh adik dan Kak Meen akhirnya dia menjadi begitu manja. Sampai aku terjerit-jerit bila dia yang masih belum faham mahu mendekat ke kaki aku ini. Petang hari Sabtu lepas ketika adik sedang menonton televisyen tiba-tiba si Kecik menggonggong burung merpati yang menjerit mohon dilepaskan. Semakin Kak Meen menjerit makin dia mendekat. Konon bangga menunjuk kepada tuannya dia berjaya membawa hadiah tapi tidak tahu tuannya punyalah gerun dan kasihan melihat burung yang terkepak-kepak mohon dilepaskan. Aku apatah lagi terus masuk bilik, tinggalkan semua itu atas budi bicara anak.

Mangsa - Akhirnya merpati ini menjadi mangsa Kecik. Mati juga sebab tempat yang digigit di bahagian leher. Nasib awaklah merpati. Namun matimu tidak ada dakwa dan dakwi. Melainkan menjadi saksi di sana kelak.

Tanam - Anak dara  yg semadikan burung merpati sambil teringat kisah Habil dan Qabil dengan kisah burung gagak yang ditanam. Menjadi sejarah yang akhirnya manusia tahu bila meninggal perlu dikebumikan. 

Kecik - Inilah dia kucing yang memberi hadiah kepada tuannya. Ada rasa dikasihi mahu membalas budi tapi budi yang mahu dibalas sebenarnya menyalahi kehendak si tuan. Inilah binatang ada otak tetapi tidak berakal.

~~Sebaik saja lahirnya seseoang insan, Allah akan kurniakan secara semulajadi rasa kasih dan sayang.  Tidak kiralah ianya manusia mahupun binatang rasa kasih dan sayang itu akan dapat dilihat samada dengan mata kasar mahu pun jauh di sudut hati.~~


Monday, April 20, 2015

Ikan goreng masak asam

Bila nama pun mak-mak pasti tidak dapat lari dari memasak. Apa lagi bila hari bersekolah dan hari bekerja untuk makan di luar sangat tidak berpeluang. Adik balik sekolah agama saja sudah jam 6:45 petang. Masa itulah biasanya mama sudah selesai masak. Siap-siap mandi sementara menanti maghrib kami makan sebab selepas maghrib adik sudah perlu ke tuisyen. Oleh itu untuk mendapatkan juadah ringkas dan cepat ikan goreng masak asam begini sangat mudah buat mama.

Bahan-bahan  - Sambil menghiris bawang-bawang, halia dan kunyit pastikan ikan sudah berada di dalam kuali untuk digoreng. Batang celeri hiris, cili padi belah (tak putus) dan tomato potong baji. Kalau besar boleh dapat 6 slice kalau kecil dapatlah 4.  Selesai ikan digoreng, tumis bawang-bawang, halia dan kunyit. Bila sudah harum masukkan air asam jawa dan serai yang dititik (tidak ada pula dlm gambar). Tunggu sehingga mendidih masukkan cili, batang celeri. Akhir sekali masukkan ikan dan tomato. Rasalah ikut kesesuaian. Aku biasa sudah tidak perlu garam sebab ikan sudah digoreng dgn kunyit dan garam. Letaklah secubit gula jika mahu.

Siap - Mendidih di dalam kuali lagi. Jangan tunggu tomato layu sangat (aku suka tomato yg rangup lagi). Angkat dan sedia untuk dihidang.
Sangat sesuai untuk remaja yang duduk sendiri. Bukan yang tinggal di asrama ye sayang. Buat masa ini belum ada lagi asrama yang membenarkan pelajar memasak. Kena tunggu ada undang-undang baru. Kak Reen dulu pun ada membawa rice cooker tetapi akhirnya kena akur dibawa balik semula ke JB. Mereka yang duduk menyewa di luar bolehlah. Lagi mudah kalau agak malas mahu memasak dua-tiga jenis lauk masukkan saja kacang bendi. Dua dalam satu. Mudah dan cepat. Sekali masak ada ikan dan sayur sekali. Bila mencuci pun hanya satu kuali saja.

~~ Masak waktu hari bekerja semuanya kena pantas.~~

Friday, April 17, 2015

Garam sebagai penyembuh atau pembunuh

Nabi SAW bersabda "Sebaik-baik lauk adalah garam" - (Al-Baihaqi)

Garam bukanlah penyebab penyakit, bahkan adalah ubat yang paling mujarab sekiranya diambil dengan cara yang betul. Garam tidak boleh DIMASAK! Kesilapan kita orang Melayu (termasuklah kelompok jawa, bugis, banjar, minang dan sebagainya seperti aku ini), ialah memasak garam iaitu memasukkan garam ke dalam masakan yang sedang dimasak samada ketika mendidih atau panas. Cara inilah dikatakan menyebabkan ia menjadi toksik.

Garam biasa atau scientificnya sodium. Jika dimasak dengan cara yang di atas ia menyebabkannya berasid dan membahayakan kesihatan serta mengundang pelbagai penyakit. Cara yang betul penggunaan garam yang disarankan adalah seperti berikut:-

1. Masak apa-apa juga hidangan seperti masak asam pedas ikan atau kari kepala ikan sehingga selesai. Bila sudah siap masak tutup api baru masukkan garam ikut rasa dikehendaki. 

2. Kacau air garam kemudian tuang ke dalam masakan/kuah tersebut

3. Masak setiap hidangan tanpa garam. Ketika hendak makan sediakan semangkuk garam. Masa makan ambillah tabur di pinggan ikut kesesuaian masing-masing.

Antara amalan yang diamalkan oleh para salafussoleh ialah dengan mengambil garam sebelum memulakan makan.

Garam sebenarnya sebagai pembuka selera dan juga sebagai mineral bagi badan. Garam itu sebenarnya MINERAL!. Sebab itulah dikatakan kelebihan garam ini ialah mengubati lebih dari 70 penyakit serta seseorang itu tidak akan mati mengejut. Kesahihannya tidak dapat aku pastikan tetapi tidak salah untuk mengikut sebab satu perkara yang mudah.

- (dari whatsapp keluarga)

Buah hari ini - Aku juga selalu tabur sedikit garam pada buah yang aku makan seperti epal hijau dan mangga. Biasa buah yang agak-agak masam. Tapi kalau buah yang aku bawa ke pejabat hari ini tidaklah.  
* Bapak aku juga menggunakan garam sebagai pelindung dari gangguan syaitan dan musuh. Tetapi adalah ayat-ayat Al-Quran yang dibaca. Satu hari nanti jika teringat aku mahu belajar. Pernah terjadi ada orang yang mahu mencuri zink yang bapak baru beli untuk pondok setor tetapi tidak berjaya. Tidak silap aku tahun lepas. Masa itu bapak tinggal di rumah aku dalam 3 hari kemudian bila balik dari JB ke kampung kami nampak zink yang bapak baru beli sudah berada di tepi jalan masuk depan rumah. Semua zink tersebut ditinggalkan. Senyum bapak bila cucu-cucunya bertanya. Penangan hebatnya garam!

~~ Teringat satu cerita lakonan P Ramlee yang menghadiahkan ibu mertuanya garam dan gula sebagai hadiah. ~~


Thursday, April 16, 2015

Amphawa Boat Noodle

Anak-anak bila ada masa terluang salah satu yang digemari menggoogle tempat makan yang belum pernah pergi. Apa lagi jika mereka menerima berita dari kawan sekolah masing-masing mengatakan makanan di restoran situ sedap atau di sini murah. Mulalah keinginan membuak. Mama-papa pula soal makan tidak cerewet. Janji anak-anak berselera kami ikut saja.

Sedikit - Mangkuk kecil-kecil makan dua-tiga sudu sudah habis. Kenalah membeli 5-6 mangkuk setiap seorang baru kenyang. Sebab itu pada anak-anak berkata murah kerana semangkuk RM 1.90 atau lebih sedikit. Walaupun murah tetapi semangkuk kecil hanya ada 2-3 sudu saja.  Oleh itu apabila membeli 5-6 mangkuk darablah dengan harga semangkuk.

Salad - Kalau yang begini sesuai untuk mama saja. Memang kenyang satu hidangan saja tidak seperti sup di atas. Anak-anak dan papa masing-masing makan mee sup dan mee tomyam. Lebih duapuluh mangkuk untuk membuat sekeluarga baru kenyang. Ada saja idea untuk buat business yang menarik perhatian pelanggan.

Ayam pandan - Ini pun sama comel benar. Dua kali gigit habis. Manalah cukup untuk makan sekeluarga. Setidak-tidaknya kenalah beli dua set.

Restorannya - Bertempat di Taman Sutera Utama. Tapi yang pasti hidangannya membuka selera anak-anak. Bila mereka berkata lain kali mahu ke sini lagi bermakna sedaplah pada tekak mereka.  Bila melihat mangkuk bertingkat-tingkat sebaik mahu meninggalkan meja makan bagaikan banyaknya kami makan. Jenuh tukang cuci mahu membersihkannya.
Semakin mahal harga makanan semakin rancak pula restoran dibuka di sana-sini. Adakah kerana peluang untuk meraih keuntungan lebih berbanding dulu. Dulu service charge 10% + government tax 5%. Sekarang pula 10% dan 6% jelas ada lebihan 1%. Aku sangkakan dulu bila ada GST cuma kena bayar 6% saja cukai tapi semuanya tinggal dalam anganan saja.

~~ Merenung masa depan anak-anak aku di masa depan yang tinggal di Malaysia.~~


Wednesday, April 15, 2015

Semuanya adik yang punya




~~ Anak kita rata-rata di rumah, sekolah dan berjalan tetap ada makanan. ~~


Tuesday, April 14, 2015

Masakan kampung daun selom

Hari ini makcik sedikit sibuk. Jadi makcik ingin membawa anak-anak melihat cara makcik masak masakan kampung ini. Mudah dan cepat. Buat mak-mak pastinya pejam mata, campak-campak boleh siap hidangan. Tetapi apalah salahnya sekadar melihat paparan gambar yang ada.

Bahan yang digunakan - Daun selom yang sudah dicuci dan dipotong ikut suka, taugeh hijau (tak guna taugeh putih sebab makcik malas mahu membuang ekor taugeh putih),  cili padi, udang kering, bawang merah dan bawang putih. Tumbuk saja udang, cili dan bawang kemudian tumis. Masukkan sedikit garam dan secubit gula. Bila sudah keperangan masukkan kedua daun tersebut. Gaul sebentar sudah boleh angkat - tidak perlu lama.
Siap - Masuk dalam mangkuk taburkan ikan bilis goreng.

Cubalah resepi makcik ini anak-anak. Mana tahu ianya dapat membuka selera mak-ayah yang makan.

~~ Resepi kampung dengan diri makcik tidak boleh dipisahkan.~~


Monday, April 13, 2015

Cukai Perkhidmatan perlu diperhalusi

Sebaik kad dikembalikan bersama resit pembayaran, pantas saja anak-anak mahu melihat berapa kos yang telah dibayar oleh papa mereka. Jelas tertera kos perkhidmatan masih ada lagi. Puas hati mereka bila sebelum ini mama-papa sudah katakan kos perkhidmatan masih belum lagi dihapuskan pihak kerajaan. Pihak hotel mestilah selagi boleh mendapat untung mereka tetap maraihnya sehingga ada kata putus dari pihak berwajib. Kita kena akur sebab ketirisan amat ketara sebaik GST dilancarkan. Banyak makanisma masih belum mendapat kata putus yang akhirnya rakyat/pengguna yang kena tanggung kos tersebut.

1 - Buffet yang ada

2 - Adik asyik teringatkan Mr. Bean bila nampak tiram tersebut

3 - Sebenarnya banyak lagi tetapi ini saja tempat yang anak daraku captured
Pilihan - Antara pilihan selepas kenyang baru teringat untuk dipotretkan

Pilihan juga - Adik suka betul dengan mashmellow dan angur yg dicelup white coklat nampak macam sedap betul dia makan.

Anak mama - Terkenang yg satu nun jauh dimata bila begini.
Balik - Gula kapas buat sendiri. Posing di lobby sebab adik suka dengan cendalier yang bergantung diatas kepalanya cantik.

Jambatan Permas Jaya - Dalam perjalanan pulang sempat merakam gambar kilauan lampu seberang tambak. 
Sebenarnya malam sabtu lepas kami menikmati hidangan makan malam di Renaissance Hotel di Permas Jaya, Masai. Keluar dari JB seketika semata-mata mahu membandingkan harga di kawasan luar JB. Ternyata masih lebih kurang sama saja. Bahkan lebih mahal sikit kerana GST charges incurred

~~ Mengenang mereka yang masih tinggal di dalam khemah dan bulan ramadhan yang kian menjelang tiba terasa hiba. Cubit peha kiri peha kanan terasa.~~


Friday, April 10, 2015

Nasi arab menambat selera

Universitinya ada membuat acara bahas 24 jam tanpa henti. Entah rekod apa yang mahu dipecahkan mama tidak kisah. Tetapi apa yang merisaukan bila dalam tempoh 24 jam itu tidur dan pembelajarannya tidak menentu waktu. Kak Reen terlibat sebanyak tiga kali untuk sessi selama 24 jam tersebut. Selainnya akan bergilir dengan teman-teman yang lain. Terakhir dia kena pada jam 3-5 pagi pada hari kedua. Waktu untuk orang bertahajjud dia berada di atas pentas. Pada malam esoknya itulah mereka semua diraikan oleh pihak universiti. Mereka makan nasi arab dan kambing golek. Mama-papa yang dapat tahu jadi teringin sama.

Pentas bahas - Inilah yang ditunjukkan kepada mama/papa dan adik-adik. Kak Reen terlibat secara langsung untuk sessi 24 jam tersebut.

Whatsapp - Conversation kami dua beranak. Kak Reen makan nasi arab Terengganu. Mama makan versi JB
Bagaimanapun buat kami di Johor Bahru cari saja mana yang rasa mahu. Bersebelahan masjid Wadihassan atau Wadihana yang bersebelahan dengan Danga Best World pun ada. Tetapi kali ini kami ke Jalan Kolam Air kawasan Taman Nong Cik kerana anak dara mama mahu singgah membeli apa yang di hajatinya di butik Sincerely By Us (SBU). Biasalah anak perempuan kalau tidak baju, shawl, coklat dan kek di SBU itu.

Nasi Maqluba - RM 16 satu set. Kambingnya berbungkus dengan aluminium foil. Papa makan sepinggan sendiri.

Nasi Mandey - Kami berkongsi sedulang. RM 45/-. Ada kambing dan ayam sekali. Tidak terhabis kami bungkus bawa balik. Sungguh memang sedap air tangan Ustaz Annuar ini. 

Sampingan - Sewaktu kami makan ada wanita menghidangkan di meja kami ini. Otak-otak perkara biasa di JB tapi yang dibungkus seperti lepat comel-comel ini dipanggil pepes. Aku rasa ini tradisi dari Indonesia sebab aku biasa nampak ianya juga ada dijual di KipMart Tampoi.  Kak Meen buka satu untuk dirasa. Kurang sesuai di tekak kami sekeluarga walaupun bau harum daun pisangnya sangat mengujakan.

Rezeki di tanahair kita melimpah-ruah. Biar pun ada tekanan sehingga penjual terpaksa meletak harga lebih mahal, tetap juga masih ada yang membelinya. Tetap juga kita lihat aliran yang membeli dan menjual bagaikan tidak ada kesan. Mulut masing-masing bungkam walau dalam hati menggelegak. 

~~ Berjimat pun berjimat juga tetapi keinginan tetap dipenuhi selagi mampu. Apa yang penting jangan sampai menjejaskan kehidupan harian yang dilalui.~~