Thursday, August 19, 2010

Bibik Oh Bibik........(2)

Ada waktunya sebagai insan kerdil di muka bumiNya ini kita sedar akan ujian-ujian yang diberikan. Tetapi seringkali juga kita lupa dengan ujian itulah kita akan lebih rendah diri dan tawadhuk kepadanya. Kepulangan bibik ke tanahairnya memang tidak disangka-sangka. Orangnya baik dan menurut tetapi benarkah apa yang telah doktor katakan kepada kami tentang penyakitnya itu? Segalanya menjadi tanda-tanya buat kami sekeluarga sehingga kini.

Bagaimanapun bagi meneruskan perjalanan hidup dengan anak-anak yang belum pandai berdikari aku terpaksa memohon lagi untuk mengambil bibik baru. Bayaran RM 2000/- sebagai 'downpaymant' seperti selalu diberikan. Masalah tiba bila hampir dua minggu masih belum mendapat jawapan. Emak mertuaku menjaga anak-anak sementara menanti bibik baru. (waktu itu emak masih hidup lagi. Alfatihah buat emak yang telah pulang kerahmatullah pada 20-07-2010 yang lalu). Keputusan diberi dia hanya boleh dapat antara sebulan hingga dua bulan lagi. Wow.... mana boleh!!... Aku cari agen lain dan aku katakan pada agen pertama batalkan permohonan aku itu. Janji unutk kembalikan wang tinggal janji. Akhirnya wang RM 2000/- hangus....

Untuk agen baru aku terpaksa membayar downpayment RM 2000/- juga. Dengan agen baru ini dalam tempoh tiga minggu selepas membayar baki RM 4500/- dapatlah bibik yang baru. Menurut cerita dia pernah bekerja di Arab Saudi. Alhamdulillah rasanya bolehlah menjadi pengganti bibik yang kami kasihi sebelum ini. Ku sangka panas hingga ke petang; rupanya hujan di siang hari. Sepanjang hari kita tiada di rumah dia pun berseronok keluar rumah. Anak yang kecil dikendong ke merata tempat.

Tembelang pecah pada suatu hari bila si kakak balik sekolah awal kerana pada hari itu adalah hari kanak-kanak. Selepas majlis usai mereka boleh pulang awal. Tiba di rumah punat loceng rumah ditekan namun bagai tiada sesiapa mendengar. Begitu juga salam diberi tiada jawapan dari dalam. Apa lagi si kakak masuk rumah memanjat pagar rumah. Cuba bayangkan pintu pagar rumahku tingginya hampir mencecah awning. Tapi badan kecil boleh lulus jugalah. Masuk rumah pintu sliding dan grill tidak berkunci. Rumah sunyi sepi tiada sesiapa. Apa lagi menangislah dia. Dapat aku bayangkan dia keluar masuk dari satu bilik ke satu bilik mencari si adik dan bibik tiada. Pandai juga dia menelefon aku di pejabat "Mama bibik dengan adik tak ada. Yasmien tadi masuk panjat gate." Ya Allah!! petaka apa ini?" Sepantas kilat aku menghubungi papa mereka. Dalam kotak fikiranku yang sempit ini mula terbayang anak kecil aku kena colek. Maklumlah banyak pendedahan kes pencolekan anak-anak berlaku. Airmata aku luruh serta-merta.

Benar Allah kurniakan lelaki sembilan akal berbanding aku wanita ini dengan satu akal. Papa mereka menghubungi beberapa rakan yang berhampiran dengan tempat tinggal kami. Sementara itu, aku sudah tutup bilik ku dan terus pulang menghala ke rumah. Aku rasa waktu itu jalanraya terlalu mudah untuk diredah. Laju mengalahkan kereta racing FI. Aku mahu cepat sampai rumah. Terbayang anak aku kena jual. Anggaran jam kebiasaan si kakak balik sekolah seperti biasa , bibik pun sampai.

"Awal pulangnya Bu?" bagai tiada apa yang berlaku dia bertanya.
"Bibik kemana tadi? Dengan pakaian macam ni lagi." aku menahan rasa.
"Oh.... saya pergi telfon". alasan diberi.
"Bibik, saya kan dah cakap awal-awal kalau saya tak ada bibik tak boleh keluar. Dengan keadaan panas lagi bawa adik. Saya kan kata kalau bibik nak telefon keluarga bibik boleh beritahu saja dengan saya. Tak perlu keluar duit lagi. Bibik keluar pun tak kunci pintu." Aku terpaksa menahan marah. Itulah aku, seorang majikan yang takutkan pekerja. Takutku bukan kerana apa, tetapi takut masa ketiadaan kita anak jadi mangsa. Aku dapat tahu dia balik pun kerana disuruh oleh pemandu bas sekolah anak yang telah dihubungi oleh suami.

Pendikkan cerita takut pisang berbuah dua kali agen aku mengganti lagi yang baru. Syarat sama diberi padanya. Entah macamana pada hari pertama saja emak balik kampung anak aku yang kedua menemui patung tembaga leper dan kertas tulisan yang tidak dapat kita fahami. Bukan tulisan rumi atau jawi. Pertanyaan aku yang pertama "betulkah bibik ini Islam?" Dia jawab "Ya bu." Masa itu baru aku terlintas dengan menguji bagaimana dia membaca al-fatihah. Masya-Allah bagai halilintar rupanya dia tidak tahu. Aku jadi panik. Suami pun turut masuk campur. Akhirnya terpaksa kami pulangkan kepada agen dan minta ganti yang baru. Dia bukan Islam.

Untuk mendapat ganti bibik kami dikenakan "compound" RM 400/- kerana hendak padamkan nama kita dalam permit di passport dia. Kemudian RM 500/- bagi membuat visa bibik baru. Untung betul jadi agen kan.... Tapi kalau mereka tidak ada kita juga susah. Untuk mendapatkan pengganti bibik baru "procedurenya" sama juga. Kali ini aku bertegas dengan agen aku mahukan bibik yang benar-benar Islam. Aku tidak mahu lagi berpandukan dari nama dan gambar yang aku lihat lebih kurang sama. Semua berambut pendik, memakai "apron" dan sekeping lagi gambar pasport.

Tawakkal seperti selalu aku seolah-olah telah putus harap. Akhirnya dapat juga pengganti yang baru. Tanpa banyak soalan sebaik saja agen memperkenalkan aku terus saja uji dengan syahadah, niat/lafaz solat lima waktu dan bacaan fatihah di hadapan agen tersebut. "Saya ini Muslim bu. Ngak usah khuatir. Nama saya juga Nuryatimah." Itulah tuturnya selepas soalan temuduga dari kami dijawab dengan senyum-simpul. Pasti dalam hatinya macamlah dia ni budak kecil. Tapi aku serik dan takut dengan peristiwa yang lepas-lepas.

Tahun lepas selepas berbincang dengan suami dan anak-anak kami bersetuju untuk tidak lagi menggunakan bibik. Keputusan ini diambil kerana tahun ini anak kami yang bongsu akan berada di sekolah dari pagi hingga petang. Masih ingat lagi reaksi bibik bila kami utarakan yang permitnya akan kami batalkan selepas Aidilfirti 2009. Dia menangis dan menyangka yang dia berbuat salah. Kami nyatakan itu bukan penyebabnya. Aku tahu dia amat sayang dan selesa dengan kami. Gaji pun sudah naik dan sepatutnya akan naik lagi pada tahun 2010. Walaupun bibik yang terakhir ini baik dan boleh diharap kami perlu mengajar anak-anak kami lebih berdikari. Biarlah mereka belajar mencuci kasut sekolah sendiri, mencuci pinggan selepas makan, menyusun-atur makanan yang telah dimasak di atas meja, menyapu daun-daun pokok yang gugur di halaman rumah dan sebagainya lagi. Itu perlu sebelum mereka melangkah lebih jauh lagi. Itu pendapat kami suami-isteri.....

Sebenarnya diantara celah-celah bibik yang aku ceritakan di atas ada lagi bibik-bibik yang mana tidak aku paparkan. Apa yang penting kami kini tidak lagi dibelenggu dengan masalah bibik. Takut bibik lari, takut bibik dera anak, takut bibik bawa lelaki masuk rumah dan lain-lain lagi. Apa-apa pun jasa mereka tetap terpahat dalam ingatan. Masih ramai yang mempunyai pekerti baik dan mulia. Bukan semua mempunyai nasib dan rentetan hidup yang sentiasa manis belaka. Segalanya atas kehendak Yang Maha Esa.


dalam kekusutan dan kekalutan

menghirup kebahagiaan hidup

melalui rentetan kehidupan

akhirnya dia pulang jua

kerana dia bukan hak kita

sampai waktu itu

perpisahan terjadi juga....














Bibik Oh Bibik......

Tahun ini merupakan tahun pertama dalam hidup keluarga aku tiada pembantu rumah atau biasanya kami sekeluarga memanggilnya bibik. Aku terpanggil menitiskan coretan ini apabila kata putus tidak ada lagi sehingga kini untuk bayaran gaji yang perlu diberikan kepada pembantu rumah dari negara jiran yang serumpun dengan kita, sama agama dan mudah difahami pertuturannya. Melihat situasi permintaan bayaran gaji sebanyak RM 600/- tidak termasuk insuran yang perlu diberikan rasanya amatlah tinggi; memandangkan makan-pakai, sakit-pening dan apa jua berkaitan dengannya majikan yang kena tanggung. Sedangkan kerani di pejabat aku ada yang gajinya hanya RM 1300/- sahaja.


Mujur juga pada tahun ini anakku yang bungsu telah masuk tahun satu. Bererti seharian dia akan berada di sekolah. Dari pagi hingga ke tengahari anak akan berada di sekolah kebangsaan manakala pada waktu petang dari jam 2:00 hingga jam 3:30 dia akan bersekolah agama. Bererti lebih kurang jam 4:00 petang barulah anak aku akan tiba di rumah. Oleh itu ada lebih baik aku meminta kakak jiran yang tidak bekerja untuk datang ke rumah aku dari waktu itu sehingga aku pulang dari pejabat. Bayaran hanyalah RM 200/- sebulan. Itupun dia pada mulanya tidak mahu mengambil bayaran kerana ada kalanya tidak sampai satu jam dia menemani anakku, aku sudah balik. Tetapi lumrah hidup kita sebagai manusia bila orang tidak mahu (ikhlas menjaga) kita lagilah rasa tidak rugi kalau memberi lebih dari itu.


Bercerita tentang bibik ni aku rasa sejak aku mempunyai zuriat bermacam-macam perangai bibik yang telah aku hadapi. Bibik aku yang pertama adalah bibik kakak ku yang telah tamat tempoh. Oleh kerana anak-anak kakak sudah boleh berdikari dia tidak memerlukannya lagi. Sekembalinya dari Indonesia ke Malaysia semula dia ku ambil sebagai pembantu. Bibik yang inilah satu-satunya yang boleh dikenang jasanya. Anak ku memanggilnya nenek kerana usianya aku rasa lebih dari 50 tahun tapi mungkin kerana hendak bekerja di Malaysia usianya tidak dinyatakan dengan tepat. Oleh itu selepas tiga tahun walaupun validity passportnya lima tahun tetapi selepas tiga tahun permohonan kami untuk menyambung permit tidak berjaya. Wah..... semasa hari menghantar pulang di lapangan terbang masing-masing bertangis-tangisan. Sedih dengan perpisahan kerana dia pun belum bersedia untuk balik lagi.


Sebenarnya sebelum bibik pertama balik aku sudah membuat permohonan untuk mendapat bibik baru. Sejak itu juga bermulalah episod tukar bibik baru silih berganti dalam keluargaku. Agen aku naik pening. Mujur aku mendapat agen yang bertanggung-jawab. Baru dua minggu tanpa apa-apa tanda tiba-tiba bibik lesap. Bagaimanapun kami bersyukur kerana tiada apa-apa yang hilang. Mujur waktu itu ada kakak aku di rumah. Anak dalam buaian ditinggal begitu saja. Tanggapan kami sekeluarga mungkin bibik ini kurang selesa bila kami mensyaratkan dia dengan beberapa perkara yang tidak dapat dia turut. Hari pertama dia menjejakkan kaki dan sewaktu mengemas dalam biliknya aku telah beritahu perkara berikut:

  1. Tidak boleh berseluar pendik / pakaian yang tidak menutup aurat (kebanyakan pakaiannya singlet dan seluar pendik). Nanti suami aku tidak dapat membuka mata (atau mungkin tak pejam-pejam tak tahu pulak. He...he...he...). Pakaiannya yang tidak sesuai aku simpan dalam setor. Aku belikan sedikit baju baru dan pakaian aku yang tidak lagi digunakan untuk dipakainya. Dia hanya senyum dan angguk tanda faham.

  2. Solat jangan tinggal. Tetapi seringkali aku akan mengingatkan dia samada sudah solat atau belum. Mengalahkan anak-anak aku pulak......

Mungkin dengan syarat itulah membuatkan dia lesap. Mujur juga waktu itu baru dua minggu. Laporan polis terpaksa dibuat. Agen aku menggantikan bibik yang baru. Montel orangnya dan yang penting Islam walaupun tidak menutup aurat. Tetapi aku terpaksa menetapkan seperti syarat yang di atas juga. Alhamdulillah orangnya menurut.

Walaupun bibik ini baik dan bersih tetapi dia sering sakit. Selalu kena bisul. Sekejap di lenganlah, dibelakang badan, tepi pipi, betis dan terakhir bawah ketiak. Pada mulanya aku menganggap bisul biasa tetapi bila bisul di ketiak rasa kesihannya Allah saja yang tahu. Aku ini jenis mudah mengalirkan airmata. Melihat situasi begitu terbayang kalau kita yang berada ditempatnya, diperatauan pula rasanya bagaimana? Langkah terbaik hari itu aku membawanya ke hospital pakar dan apabila diperiksa darahnya suatu yang tidak terjangkau akal fikiranku telah terjadi. Doktor menyatakan dia ada penyakit jangkitan yang bahaya. VDRL plus yang menyebabkan dia mesti dihantar pulang ke Indonesia dan tidak layak untuk bekerja lagi. Masya-Allah apa kerja bibik sebelum datang ke Malaysia aku pun tidak tahu. Doktor mudah mengatakan dia mungkin mendapat jangkitan kuman kerana banyak mengadakan hubungan jenis bukan dengan seorang saja. Wallahualam aku tidak berani untuk menuduh. Dosa besar kalau tidak benar. Melihat perwatakan sepanjang bersama aku dan ujian fomema setahun semasa membaharui visa segalanya tiada masalah. Entahlah.....


Sunarti ....... manis namamu

leretan senyuman mu

kini hambar tiada lagi

baktimu tersemat erat

di penjuru hati-hati di sini

mohonlah keampunan

atas noda dan dosa mu pada Nya

taubatlah bibik.....

di kejauhan ini ku titip doa

moga kau masih dalam peliharaan Nya

























Monday, August 16, 2010

Kuih Ramadhan - Tepung Talam Berlauk

Semalam anak-anak tidak ada tuisyen. Selepas solat Zuhor masing-masing sudah sibuk bertanya padaku apa persiapan untuk juadah berbuka puasa. Aku sebenarnya tidak ada apa-apa idea lagi hendak masak apa. Tanya pada papa mereka tak kisah. Kalau susah beli saja. "Mama penat, nak rehat sesekali, bulan puasa ni biar mama terus tadarus. Mana tahu mama boleh khatam 3 kali tahun ni." Itu kata papa mereka. Dalam hati aku boleh juga mana tahu aku boleh khatam lebih 2 kali. Syyyyy..... sebenarnya memang itu target aku tahun ini.

"Tak ape mama. Kita orang tahu buat kuih macam masa kenduri arwah nenek tempoh hari?" Yasmien bersuara memberi pendapat. Si adik apa lagi melompat gembira. "Adik tolong kakak ye." Wah!! macam hebat benar bunyinya. (Dalam hati kalau betul la anak aku boleh buat alangkah seronoknya. Ini hendak ke bilik sendiri pun masih perlu berteman inikan pula hendak mengadun kuih). Sebenarnya anak-anak ku tidak pernah pun memasak. Mereka masih terlalu mentah. Hendak mengacau adunan pun belum tentu jadi, inikan pula hendak membuat kuih. Setelah menyudahkan ayat terakhir ku tutup Al-Quran dan berpaling senyum sinis ke arah dua orang anak yang sedari tadi sibuk mengganggu bacaan tadarus ku. "Kuih apa tu? Mama nak tahu. Kalau macam ni mama boleh rileks hari ini tak perlu masak, papa tak perlu pergi bazar". Aku berkata sinis. Si kakak menerangkan kuihnya hanya menggunakan tepung beras dengan santan saja. Dia nampak nenek-nenek di kampung buat. Kemudian dia pun mula memberi penerangan kepadaku yang mana tepung beras itu dicampur sedikit tepung gandum, campur santan, garam dan langkah-langkah seterusnya. Aku akur dan terbayang kuih yang dinyatakan tersebut itu. Aku tahu kuih apa yang dimaksudkan itu.

"Buatlah kalau pandai, mama nak tengok." Papa mereka tersenyum mendengar kata-kata ku. Sejurus kemudian semua sudah sibuk berada di dapur. Sebenarnya waktu itu baru jam 3:00 petang. Buat diriku masih terlalu awal untuk membuat persiapan berbuka. Tapi kerana hendak ambil hati anak-anak ikutlah saja. Satu persatu bahan dikeluarkan. Aku sebut tepung beras, pantas dia mencari. Santan guna creamer saja. Lain-lain sebenarnya mereka tidak tahu pun. Tapi aku perintah mereka ambil semua bahan-bahan diperlukan. Kemudian aku suruh si kakak tuang tepung beras dalam besen. Si adik aku perintah curahkan creamer perlahan-lahan ke dalam besen dan si kakak mengacaunya. Hebat juga mereka ni. Papa mereka menjenguk tersenyum (aku tak tahu apa maksud senyuman itu). Perencah aku blender sendiri. Tugasan mereka mengacau apa juga yang dicurah ke dalam besen

Pendikkan cerita akhirnya semua siap untuk di kukus. Gembira macam lagak seorang chef. Menunggu kukusan masak. Set masa 40 minit. Bila bunyi saja "ting" dari mesin pengukus masing-masing terjerit. "Ha.... kak dah masak!" Si adik gembira memanggil si kakak. Takut dengan wap panas. Aku keluarkan tray dari dalam pengukus dan letak di atas meja. "Kak.... macamana atasnya? Kan ada daging, telur entah apa-apa lagi atasnya". Mudah si kakak menjawab "Ala..... itu kakak tak nampak nenek-nenek tu buat macamana. Sebab masa itu kan kita tengok Pak Usu masak air mata kucing. Alih-alih dah ada macam-macam atasnya. Mama buatlah...." Akhirnya aku juga yang menyudahkan kuih yang kononnya mereka yang buat. Siap tabur semua hirisan telur goreng, bawang goreng, daun sup, hirisan daging burger dan lain-lainnya mereka melonjak gembira (Tak ada cili kerana anak-anak ku tidak suka pedas). "Papa kuih kita orang dah siap". Gembira anak-anak ku tidak terhingga.

Berbuka hari itu sentuhan makanan kedua selepas kurma ialah kuih talam berlauk yang kononnya merekalah yang buat. He....he....he.... anak.... anak......

semalam telah berlalu
hari ini kita nikmati
moga esok jumpa lagi
meniti kehidupan
melihat zuriat membesar
tanpa henti, tanpa lelah
ku bimbing dikau
menjadi insan diredhai


















Thursday, August 12, 2010

SMS Sempena Ramadhan 1431H

1. *Selamat Menyambut Ramadhan*
Semoga Allah SWT memberkati kita
dangan Iman &Taqwa,
Kebahagiaan & Kesabaran,
Kesihatan dan Rezeki yang tiada putusnya.
Salam Ramadhan dan maaf zahir batin dari kami sekeluarga.

2. Selamat menaiki penerbangan RAMADHAN AIR,
bernombor 1431H dengan tujuan AidilFitri....
Kita akan terbang dengan ketinggian 29/30 hari
ke atas permukaan haus dan lapar...
Para penumpang diwajibkan untuk memasang niat PUASA
dan menegakkan kerusi SOLAT....
Penerbangan ini bebas asap PERSELISIHAN...
Saya selaku anak kapal yang bertugas
mengucapkan SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH PUASA.
Dari kami sekeluarga.

3. Selamat berPUASA.
Semoga 1 bulan penuh keIMANan,
30 hari penuh keINSAFan,
720 jam penuh keIKHLASan,
43,200 minit penuh pengHARAPan,
2,592,000 saat penuh keGEMBIRAan.
Salam RAMADHAN buatmu sekeluarga.
Semoga Ramadhan kali ini membawa
1000 erti dalam kehidupanmu.

4. Tiada hari seindah JUMAAT
Tiada kata seindah ZIKIR
Tiada ibadah seindah SOLAT,
Tiada bulan seindah RAMADHAN
Salam Ramadhan Al-Mubarak dan
Selamat Berpuasa dari kami sekeluarga.

5. Salam.....
Nama saya SYAABAN
Saya ingin mengingatkan anda bahawa jiran saya RAMADHAN
akan datang mengujungi anda tidak lama lagi
bersama isterinya iaitu REZEKI
dan kedua-dua anaknya iaiatu SAHUR dan IFTAAR
Mereka akan ditemani cucu-cucunya iaitu RAHMAT, BARAKAT & KEAMPUNAN...
Mereka akan pulang selepas 29 atau 30 hari
dengan menaiki pesawat penerbangan EIDUL-FITRI airlines....
Hargai mereka dan anda akan mendapat berkat! Insya-Allah.... Amin....
RAMADHAN AL-MUBARAK

Tuesday, August 10, 2010

Hadiah Ramadhan 1431H

Syaaban kian mengundur
meninggalkan umat
memberi ruang Ramadhan
menjenguk
saban tahun
setia menurut giliran
tanpa jemu

Kehadiranmu ku tunggu
tunduk tawadhuk
mohon keberkatan
keimanan yang kental
bermunajat
di setiap ruang waktu
merapak sujud

Tanpa ku duga
kemunculan Ramadhan esok
menghadiahkan seribu rahmat
NADZIPAH ISMAIL
muncul sebagai insan pertama
bertapak sebagai teman lamanku
syukur padamu Ya Allah

Thursday, August 5, 2010

Ramadhan Al-Mubarak

SELAMAT BERPUASA

Semoga kedatangan ramadan kali ini akan menambah taqwa kita kepada ALLAH agar kita lebih Berakhlak, Berilmu, Bertaqwa dan Beriman.
PUASA (Petikan dari Kitab Tuntutan Ibadah: Perukunan Ibadah Sepanjang Zaman oleh As-Shaikh Ali b. Abdullah)

Ertinya: Menahan diri dari makan dan minum atau apa-apa jua yang boleh membatalkan puasa, sepanjang hari mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari dalam sebulan bulan Ramadhan.Perintah wajib puasa turun pada bulan Sya'ban Tahun 2 Hijrah. Dalil perintah wajib puasa : Surah Al-Baqarah Ayat 183:Bermaksud: Hai orang-orang yang beriman diwajibkan atasmu berpuasa, sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa

Wajib Puasa:
1) Islam
2) Mukalaf
3) Berkuasa/Mampu untuk berpuasa, tidak uzur
4) Telah melihat anak bulan Ramadhan atau mensabitkan bulan Ramadhan dengan menggenapkan bulan Sya'ban 30 hari.

Sah Puasa:
1) Beragama Islam sahaja, lelaki, perempuan dan kanak-kanak yang telah mumaiyyiz.
2) Suci dari haid dan nifas.
3) Sempurna akal fikirannya sepanjang hari itu.
4) Bukan pada hari yang tidak sah puasa eg. Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji dan Hari Syak (30hb Sya'ban).

Rukun Puasa:
1) Niat, di waktu malam mulai selepas Maghrib sampai sebelum terbit fajar.
2) Meninggalkan semua perkara-perkara yang membatalkan puasa sejak terbitnya fajar sampai terbenamnya matahari.

Membatalkan Puasa: Sekiranya
1) Memasukkan benda/sesuatu ke dalam jauh rongga seperti mulut, hidung, telinga, atau lubang-lubang kemaluan dengan sengaja.
2) Muntah dengan sengaja.
3) Mengeluarkan mani dengan sengaja.
4) Haid atau nifas.
5) Bersetubuh di siang hari (selain membatalkan puasa ia juga ada hukum tersendiri iaitu diwajibkan membayar kifarah).
6) Murtad (keluar dari Islam).
7) Gila (hilang akal).

Pantang-larang puasa:Iaitu perkara-perkara yang membatalkan pahala puasa, maknanya berpuasa tidak mendapat apa-apa pahala kecuali lapar dan dahaga (puasa yang sia-sia).
1) Berdusta, berbohong.
2) Mengumpat, mengata orang.
3) Membuat sesuatu yang boleh mendatangkan permusuhan.
4) Melihat benda-benda yang mendatangkan keinginan.
5) Marah.

Rasulullah s.a.w. bersabda:Bermaksud: "Barangsiapa yang tidak meninggalkan cakap dusta (batil) dan perbuatannya, maka Allah tidak berhajat padanya dalam meninggalkan makan minumnya".(Hadis Riwayat Muslim)Bermaksud: "Bukan dinamakan puasa bila hanya sekadar menahan makan dan minum, tetapi puasa yang sungguh-sungguh itu adalah menahan diri dari percakapan yang tidak ada gunanya dan kata-kata yang keji".(Hadis menurut Sahih Muslim)

Sunat-sunat Puasa:
1) Menyegerakan berbuka puasa apabila telah yakin waktu berbuka.Rasulullah s.a.w. bersabda:Bermaksud: "Allah berfiman: Hambaku yang lebih Aku cintai adalah mereka yang menyegerakan berbuka".
2) Makan sahur walaupun sedikit. Rasulullah s.a.w. bersabda:Bermaksud: "Makan sahur itu berkat, oleh kerana itu jangan kamu tinggalkan, walau hanya sekadar meneguk seteguk air, kerana Allah merahmati orang-orang yang makan sahur dan malaikat mendoakannya".
3) Melambatkan makan sahur iaitu lepas daripada tengah malam dan sebelum waktu imsak.
4) Berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis.
5) Memperbanyakkan membaca Al-Quran.
6) Memperbanyakkan sedekah.
7) Beriktikaf siang hari dalam masjid.
8) Menghadiri majlis-majlis ilmu.
9) Menyediakan makanan untuk berbuka untuk orang-orang berpuasa.
10) Jangan bersugi setelah tergelincir matahari ke arah barat sehingga terbenamnya matahari kerana boleh memakruhkan puasa. Golongan Yang Harus (Dibenarkan)

Berbuka Puasa:
1) Orang yang di dalam (perjalanan - musafir), tetapi wajib di qada'.
2) Orang sakit, wajib di qada'.
3) Ibu yang menyusukan anak, jika takut mudharat bagi dirinya, maka wajib qada' dan jika takut mudharat bagi anaknya maka wajib qada' dan fidyah.
Bacaan Niat Puasa:
1) Lafaz niat puasa Fardhu Ramadhan"Sahaja aku berpuasa esok hari menunaikan Fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala".

Bacaan Hendak Berbuka Puasa:"Ya Tuhanku, keranaMu jua aku berpuasa, dan denganMu aku beriman dan di atas rezekiMu aku berbuka dengan belas kasihMu Ya Allah Ya Amat Mengasihi".

SEMBAHYANG TARAWIH
1. Hukum Sembahyang Tarawih:
a) Hukumnya sunat muakkad (yang sangat dituntut) bagi dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadhan samada secara berseorangan atau berjamaah.
b) Sunnat dikerjakan di masjid, surau dan lain-lain tempat sembahyang orang-orang Islam.

2. Waktu Sembahyang Tarawih:
Waktu sembahyang Tarawih ini ialah selepas menunaikan sembahyang Fardhu Isya'.

3. Rakaat Sembahyang Tarawih:
a) Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan sembahyang Tarawih ini sebanyak 20 rakaat, tetapi ada juga yang hanya menunaikan sekadar 8 rakaat sahaja.
b) Pada zaman Rasulullah s.a.w. sembahyang Tarawih dikerjakan sebanyak 8 rakaat saja supaya tidak menimbulkan sesuatu keberatan.
c) Pada zaman Khalifah Umar bin Al-Khattab pula beliau menambah lagi menjadikan 20 rakaat kerana beliau berpendapat bahawa orang-orang Islam pada zamannya itu tidak keberatan lagi menunaikan sembahyang sebanyak itu.
d) Sembahyang Terawih hendaklah ditunaikan dua rakaat, pada tiap-tiap satu kali takbiratul-ihram kemudiannya dilakukan lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki.

4. Lafaz Niat Sembahyang Tarawih:
Bermaksud: Sahaja aku sembahyang Tarawih dua rakaat ma'mum kerana Allah Taala
5. Rukun Sembahyang TarawihRukun sembahyang sunat Tarawih ini sama sahaja dengan rukun sembahyang yang lain juga.

SEMBAHYANG WITR1.

Sembahyang Sunat Witr
a) Menurut kebiasaan umum orang-orang Islam di Malaysia menunaikan sembahyang Witr selepas sunat Tarawih ini sebanyak 3 rakaat sahaja. Sunat Witr ini ditunaikan secara berjamaah.
b) Salam selepas dua rakaat yang pertama.
c) Lafaz niat sembahyang sunat Witri- bagi dua rakaat yang pertama:Bermaksud: Sahaja aku sembahyang Witr dua rakaat ma'mum kerana Allah Ta'ala.
ii- bagi rakaat yang akhir:Bermaksud: Sahaja aku sembahyang Witr satu rakaat ma'mum kerana Allah Ta'ala.
d) Pada malam 16 hingga akhir Ramadhan adalah sunat dibaca [doa] Qunut pada rakaat yang akhir. Lafaz Qunut di sini sama juga dengan lafaz Qunut semmbahyang Subuh. Dan jika tidak membaca Qunut ini adalah disunatkan Sujud Sahwi.

Kelebihan Ramadan
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: ...Dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu.

Kelebihan berpuasa.
Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya di dalam Syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorangpun selain mereka. Kelak akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya.

Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap hamba yang berpuasa di jalan Allah, Allah akan menjauhkannya dari api Neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.

Akhlaq sewaktu berpuasa.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah bercakap tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a..w bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan perbuatan tidak baik, Allah tidak inginkan tindakannya menahan diri dari makan dan minum (yakni Allah tidak menerima puasanya).

Kelebihan bersahur.
Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Hendaklah kamu bersahur kerana di dalam bersahur itu ada keberkatannya.

Kelebihan menyegerakan berbuka.
Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Seseorang itu sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka selalu menyegerakan berbuka puasa.

Kelebihan Sembahyang Tarawih dalam bulan Ramadan
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Saya telah mendengar sabda Rasulullah s.a.w. mengenai Ramadan: Sesiapa yang mendirikan sembahyang (Tarawih) dalam bulan itu dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu.

Kelebihan Lailatulqadar dan galakan untuk mencarinya.
Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Carilah Lailatulqadar pada sepuluh hari yang terakir di bulan Ramadan. Ganjaran untuk amalan yang dilakukan pada malam Lailatulqadar. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang mendirikan sembahyang pada malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu.

Beri'tikaf pada sepuluh hari terakhir Ramadan.
Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w biasanya beriktikaf pada sepuluh hari yang terakhir dalam bulan Ramadan. Menambahkan amal ibadah pada sepuluh hari terakhir Ramadan. Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bermujahadah pada sepuluh hari yang terakhir bulan Ramadan tidak seperti bulan-bulan lain.

Makan dan minum kerana terlupa tidak membatalkan puasa.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a..w bersabda: Sesiapa yang terlupa sedangkan dia berpuasa, lalu dia makan atau minum, hendaklah dia terus menyempurnakan puasanya kerana dia telah diberi makan dan minum oleh Allah.

Tidak Batal Puasa Orang Yang Bangkit Dari Tidur Di Waktu Pagi Dalam Keadaan Berjunub.
Diriwayatkan daripada Aisyah dan Ummu Salamah r.a, kedua-duanya berkata:: Nabi s.a.w bangkit dari tidur dalam keadaan berjunub bukan dari mimpi kemudian meneruskan puasa.

Janganlah berpuasa sehari dua sebelum Ramadan.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a..w telah bersabda: Janganlah kamu berpuasa sehari atau dua hari sebelum tiba bulan Ramadan melainkan orang yang biasa berpuasa dengan puasa yang tertentu maka bolehlah dia berpuasa

KELEBIHAN SEMBAHYANG SUNAT TARAWIH

Diriwayatkan oleh Saiyidina Ali (r.a.) daripada Rasulullah S.A.W., sebagai jawapan dari pertanyaan sahabat-sahabat Nabi S.A.W. tentang fadhilat (kelebihan) sembahyang sunat terawih pada bulan Ramadan:

Malam 1 - keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama sepertimana ia baru dilahirkan, mendapat keampunan dari Allah.

Malam 2 - diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang sembahyang terawih serta kedua ibu bapanya (sekiranya mereka orang beriman).
Malam 3 - berseru Malaikat di bawah 'Arash supaya kami meneruskan sembahyang terawih terus menerus semoga Allah mengampunkan dosa engkau.

Malam 4 - memperolehi pahala ia sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan AL-Quran.
Malam 5 - Allah kurniakan baginya pahala seumpama orang sembahyang di Masjidilharam, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.

Malam 6 - Allah kurniakan pahala kepadanya pahala Malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul Ma'mur (70 ribu Malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah-tanah mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang terawih pada malam ini.

Malam 7 - Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa serta menolong Nabi 'Alaihissalam menentang musuh ketatnya Fir'aun dan Hamman.
Malam 8 - Allah mengurniakan pahala orang sembahyang terawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Allah Ibrahim 'Alaihissalam.
Malam 9 - Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W.

Malam 10 - Allah swt mengurniakan kepadanya kebaikan di dunia dan di akhirat.
Malam 11 - Keluar ia daripada dunia (mati) bersih daripada dosa seperti ia baru dilahirkan.

Malam 12 - Datang ia pada hari Qiamat dengan muka yang bercahaya (cahaya ibadatnya).

Malam 13 - Datang ia pada hari Qiamat dalam aman sentosa daripada tiap-tiap kejahatan dan keburukan.

Malam 14 - Datang Malaikat menyaksikan ia bersembahyang terawih, serta Allah tiada menyesatkannya pada hari Qiamat.

Malam 15 - Semua Malaikat yang menanggung 'Arasy, Kursi, berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

Malam 16 - Allah swt tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga.

Malam 17 - Allah kurniakan orang yang bertarawih pahalanya pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.

Malam 18 - Seru Malaikat: Hai Hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha kepada engkau dan ibu bapa engkau (yang masih hidup atau mati).

Malam 19 - Allah swt tinggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.
Malam 20 - Allah kurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang solihin.

Malam 21 - Allah binakan sebuah istana dalam Syurga daripada Nur.

Malam 22 - Datang ia pada hari Qiamat aman daripada tiap-tiap dukacita dan kerisauan (tidaklah dalam keadaan huru hara di Padang Mahsyar)..

Malam 23 - Allah swt binakan kepadanya sebuah bandar di dalam Syurga daripada Nur.

Malam 24 - Allah bukakan peluang 24 doa yang mustajab bagi orang berterawih malam ini, (elok sekali berdoa ketika dalam sujud).

Malam 25 - Allah Taala angkatkan daripadanya siksa kubur.

Malam 26 - Allah kurniakan kepada orang bertarawih pahala pada malam ini seumpama 40 tahun ibadat.

Malam 27 - Allah kurniakan kepada orang bertarawih pahala pada malam ini ketangkasan melintas atas titian Siratulmustaqim seperti kilat menyambar.

Malam 28 - Allah swt kurniakan kepadanya 1000 darjat di akhirat.

Malam 29 - Allah swt kurniakan kepadanya pahala 1000 kali haji yang mabrur.

Malam 30 - Allah swt beri penghormatan kepada orang berterawih pada malam terakhir ini yang teristimewa sekali, lalu berfirman: "Hai hambaKu: makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingini hendak makan di dalam syurga, dan mandilah engkau daripada air syurga yang bernama Salsabila, serta minumlah air daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang bernama 'Al-Kauthar'"..


*****Selamat menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini. *****



Tuesday, August 3, 2010

Cerita Emak

Aku masih kabur
atas segala perancanganNya
biarpun tahu ini adalah ketentuan
yang mana satu harus dituju
kayuhan ini tiba-tiba terhenti
dari menyorot satu cerita
merobek rasa
membuat gugur airmata
bagai tiada nilai
tiada kuasa untuk menahan
kini dia pergi buat selamanya.

Banyak cerita yang belum sudah
akhirnya terhenti
tanpa pengakhiran
aku termangu....
menanti yang sudah pasti
tiada penyambung cerita itu

Emak.....
aku amat merinduimu
suara yang hilang masih terngiang
namun tidak kecapaian
ianya menggamit resah
yang tiada kesudahannya
barisan kalam Allah ku titip
bagi menyapu kelelahan rindu ini
bersemadilah di sana
damailah di sana

Cerita ini akan aku akhiri jua
biarpun penghujungnya tinggal begitu saja.