Friday, July 29, 2016

Sedikit ilmu bertani

Sejak bapak terlantar semua urusan kebun sepenuhnya di bawah kelolaan Abah Din. Kami bersyukur walaupun bapak hanya dikurniakan seorang anak lelaki tetapi kami anak-anak perempuan bapak bangga punya abang yang cekal, kuat dan bertanggung-jawab. Setelah urusan kami semua anak perempuan selesai baru dia uruskan miliknya. 

Kini boleh dikatakan 99% Abah Din berada di kampung menjaga bapak. Bila kami balik adalah peluang untuknya balik ke rumah sendiri. Mujur juga dia sudah tidak bekerja. Sebelum ini ada juga membantu syarikat perkapalan anaknya, tetapi tumpuan kini lebih kepada bapak. Kerja-kerja di kebun sebenarnya Abah Din kurang arif apa lagi dulu sewaktu kami belajar, bapak belum ada kebun kelapa sawit, Dulu semuanya majoriti kebun ditanam kelapa biasa, nenas dan getah saja. Bila kami semua sudah bekerja baru sebahagian kebun bapak ditanam dengan kelapa sawit. Bagaimanapun semua kerja-kerja kebun dibuat oleh pekerja bapak. Bapak sekadar memantau kerana kami anak-anak tidak mahu bapak bekerja seperti waktu kami belajar dulu. Kami keluarga susah dulu.

Background - Lihat sepupu kami dari Singapore dan Brunei pun suka berposing dengan background kebun kelapa sawit
Baru-baru ini sewaktu Abah Din mahu membantu pekerja bapak konon sebaik pelepah dikumpul mahu dibakar tetapi pekerja bapak bersuara " Ngak usah dibakar pak. Ini bukan belarak (daun kelapa biasa yang sudah kering orang Indon panggil belarak). Daun kelapa sawit ini akan hancur menjadi tanah. Ngak payah bakar nanti rosak pokok kelapanya." Senyumlah Abah Din bila jelas ilmu anak bapak tidak seperti ilmu bapaknya. Balik dari kebun itulah Abah Din berbual dengan kami disambut dengan ketawa kami yang panjang. Ini merupakan ilmu baru bagi kami anak-anak bapak walaupun kami sudah lama hidup dalam keluarga orang kampung tetapi ilmu bertani kami sangat cetek. 
Rindu saat ini - Bapak raya tahun lepas (1436H)
Sayu - Bapak raya tahun ini (1437H)
Begitu juga dengan tanaman jagung. Setiap pokok jagung sebaik mengeluarkan buah walau ada banyak mana pun hanya ditinggalkan satu saja. Anak jagung yang lain akan dibuang (boleh saja dibuat sayur). Sewaktu tempoh jagung membesar jika ada lagi putik keluar tidak mengapa. Tetapi hanya yang sebiji asal itu saja yang akan dijual/ekspot ke Singapore. Sebab itulah bagi kami jagung yang kelihatan tidak sebesar yang pertama, tetap besar di mata kita. Agihkan saja kepada sesiapa yang mahu sebab yang gred ke dua ini lebih banyak dari yang gred pertama. Bayangkan kalau satu pokok boleh mengeluarkan 3-5 biji pastilah beribu-ribu jagung boleh dihasilkan. Ayam rumah bapak pun sudah tidak mahu makan jagung yang masih melekat di tongkol lagi. Jemu agaknya. Boleh tahan nakal juga ayam-ayam bapak hihi...

~~ Sedikit ilmu bertani untuk kami anak orang kampung.~~


Thursday, July 28, 2016

Pelangi pagi

Meredah pagi Ahad yang lepas sendirian memandu untuk menjenguk bapak. Biasalah hari Ahad hubby bekerja. Boleh dikatakan setiap minggu sekarang ini aku akan balik kampung. Ceria pagi itu bila perjalanan ku bertemankan awan yang disulami pelangi indah. Sambil telinga menikmati tazkirah dari ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani, di radio Ikim mata pula dijamu dengan pelangi yang melingkari kaki langit. Subhanallah... lama sungguh mata  ini tidak melihat pelangi indah.





Perjalanan begitu lancar apalagi aku melalui jalan potong. Seronok bagaikan menjadi raja di jalan raya sebab hanya dua-tiga buah kereta saja yang aku temui. Mungkin ramai yang masih di atas katil atau di dapur menikmati sarapan. Tidak sampai dua jam aku sudah tiba di rumah kampung bertemu bapak yang belum lagi mandi pagi. Masih berselimut di atas katil. Kami adik-beradik yang lain tidak mampu berada di sisi bapak sepanjang masa disebabkan bekerja dan jauh, berbanding Mak Zah (retired awal) dan Abah Din (sudah retired). Semoga Mak Zah (kakak ku) dan Abah Din (abang ku) terus kuat dan sabar menjadi wakil mata/telinga/hati kami adik-beradik yang lain menjaga bapak.
Gunung Pelangi di China Adalah Fakta Kebenaran Al Qur'an
Dari google - Kalau melihat sejalur pelangi pun sudah kagum apa lagi andainya aku berpeluang melihat Gunung pelangi di Cina ini. 

~~"Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan kami di segenap penjuru dan kepada diri mereka sendiri. Sehingga jelaslah kepada mereka bahawa Al-Quran itu benar. Dan apakah tidak cukup bagi kamu bahawa sesungguhnya dia menyaksikan segala sesuatu.- (Suroh Fussilat:53)" ~~


Wednesday, July 27, 2016

Setokin istimewa

Niat asal bukan mahu membeli tetapi oleh kerana sipenjual bagaikan tersepit dicelah serba-salah dek hutang yang agak lama tidak terbayar sekurang-kurangnya jika diambil ini dapat ditolak sedikit wang pinjaman itu. Hubby sebenarnya memberi pinjam sedikit kewangan kepadanya bukan kerana mahu membeli ini, tetapi kasihan melihat bebanan yang ditanggung olehnya. Memberi pinjam pun dengan kata bila-bila ada duit bayarlah kalau tidak pun hubby sudah halalkan kerana tahu duit itu bukan untuknya sendiri tapi untuk keluarganya. 

Yes to V-Ken - Ketika hubby membawa balik dan menunjukkan kepadaku aku pun hairan. Kali pertama melihat dan tidak sangka isinya adalah sepasang setokin
Hitam - Sepasang setokin yang nilainya melebihi RM200/- Kali pertama aku memakai setokin yang semahal ini. Gelihati jugalah sebab dipakai pun bila mahu tidur saja.
Brochure - Kebaikan yang dinyatakan melalui borchure di dalam kotak tersebut
Baru menggunakannya dua hari aku belum nampak lagi apa kebaikannya. Tetapi yang jelas aku tidak boleh simpan wudhuk lama. Biasa selepas solat subuh terus aku simpan wudhuk sehingga solat dhuha . Tetapi sehari-dua ini asyik ada saja angin yang tidak sabar-sabar mahu keluar sebelum aku bersolat dhuha. Hubby kata andai ianya baik mungkin kami akan membeli untuk pergelangan tangan pula yang harganya tidak sampai RM200/- lebih murah dari setokin ini.

~~ Membeli dengan tujuan membantu tidak sama dengan membeli sebab diperlukan.~~


Tuesday, July 26, 2016

Bersatu hati pasti indah kesudahannya

Jumaat lepas dengan bertemankan hubby aku mencari pejabat Suruhanjaya sumpah. Surat sumpah yang bertandatangan dan cop ketua kampung tidak boleh diterima oleh pejabat tanah. Tempoh diberikan kepada abangku (Abah Din-  panggilan oleh anak-anak aku) hanya dua minggu. Sebab tidak mahu bertangguh itulah aku mengambil cuti bagi menyelesaikan kerja tertunggak. Kami adik-beradik sudah sepakat/bersetuju untuk memberikan semua tanah allahyarhamah mak kepada satu-satunya anak lelaki mak-bapak kami aka adik-beradik kami. Manakala tanah bapak pula dibahagikan kepada kami anak-anak perempuan. Itulah persetujuan kami adik-beradik. Tidak ada pembahagian secara faraidh sebab semuanya dibuat secara kompromi dan seikhlas hati. Selain mudah semuanya juga indah jadinya. Biar bapak pun gembira melihat kami bersatu hati dan sudah diuruskan sebagaimana permintaannya dari dulu lagi.

Cheese Nan - Balik dari pejabar Suruhanjaya sumpah itulah singgah di Setia Tropika mencari restoran arab. Sejak ramadhan lama sudah tidak menikmati cheese nan ini.

Nasi Mandy - Kami berdua makan ini juga. Mandy kambing dengan texture dagingnya yang lembut dan gandingannya sangat menyelerakan  apa lagi sedari pagi belum makan,, jam 3:30 petang baru kami makan.

Minum - Makan berdua tetapi air ada tiga gelas sebab selain memesan air teh arab kami juga meminta apple asam boi. Puas hati sebab lama mengidam tapi tidak ada kesempatan singgah. Bukan jauh mana pun dari rumah tapi bila ramadhan masa untuk keluar sangat terhad.
Syukur alhamdulillah hari Ahad lepas semuanya sudah selesai, hanya menanti geran dikeluarkan dengan nama abang. Berita ini disampaikan oleh abangku pada bapak dengan sambutan doa oleh bapak. Bapak walaupun uzur tapi ingatan masih waras. Semua doa-doa masih boleh dibaca dengan lancar. Cuma tenaga saja yang lemah. Sebab itu walaupun solat dan berzikir di atas kerusi roda tetapi solat/zikir bapak masih panjang walau tidak sepanjang dulu.

~~ Semoga anak-cucu kami melihat apa yang kami adik-beradik lakukan dan menjadikan ikutan pada keluarganya kelak. Bersatu hati dalam apa pun hal mudah jadinya.~~


Monday, July 25, 2016

Remaja kini vs telefon bimbit

Zaman kanak-kanak dulu untuk aku membeli pensil warna jenama Luna yang saiz kotak kecil sekadar 6-8 warna pun mengambil masa berbulan. Bila sudah dapat pula, kena berkongsi adik-beradik. Ikut jadual sekolah masing-masing hari apa yang memerlukan membawanya ke sekolah dialah yang boleh membawa. Kami tidak ada rasa iri hati atau marah kerana almarhumah mak sangat pandai mendidik kami untuk saling bertolak-ansur. Mungkin juga sebab kami semuanya perempuan. 

Anak hari ini seperti adik, telefon J7 yang baru dibelikan selepas UPSR tempohari hilang sibuk mahu membeli yang baru. Tercicir di shopping mall pada cuti sekolah sebelum puasa tempohari. Terpaksa papa ke Celcom membuat laporan untuk menghentikan transaksi nombor itu. Beli simkad baru tetapi masih mengekalkan nombor yang sama sebab kami sekeluarga menggunakan sistem subsidiary yang semuanya post-paid. Masukkan simkad baru ke dalam telefon S3 Kak Meen yang sudah tidak digunakan lagi tetapi masih boleh berfungsi. Kak Meen kini menggunakan iphone. Melihat seorang kakak menggunakan iphone dan seorang lagi menggunakan Oppo mestilah S3 sudah jauh ketinggalan. S3 Kak Meen ini adalah hadiah atok sewaktu Kak Meen darjah enam dulu lalu sedia maklum sudah terlalu lama.

Melihat telefon lama itulah adik bersuara "kalau keputusan periksa adik ok mama belikan adik telefon baru ye mama". Mama tidak mahu berjanji sebab rasanya mungkin adik belum sesuai membeli telefon macam kakak-kakak. Oleh itu sewaktu shopping mencari kasut raya, akhirnya hati mama/papa cair juga lalu membelikanlah juga buat adik telefon baru. Bimbang pisang berbuah dua kali belikan saja yang setanding dengan usianya tidak lebih dari RM1300/-.

OPPO - Inilah telefon adik bagi menggantikan J7 yang hilang.  Walaupun lebih banyak tinggal di rumah tanpa digunakan tetapi sekurang-kurangnya dia tahu ini hak dia.  Melihat icon digunakan semuanya minion. Sesekali aku buka melihat  dan charging bila bateri sudah hampir habis. Sesekali saja bertemu tuannya.

~~ Tidak hairanlah statistik menunjukkan setiap rakyat Malaysia dianggarkan mempunyai satu hingga dua telefon. Jumlah telefon dimiliki lebih banyak dari jumlah penduduk. Fantastik!~~


Friday, July 22, 2016

Semua di luar kemampuan kita bila....

ada kalanya tanpa diduga ianya datang tanpa disangka-sangka.

Coklat - Apa pun jenis coklat di rumah kami tidak pernah ditolak. Peti sejuk di rumah tidak pernah tidak ada coklat. Baru-baru ini sewaktu ulangtahun Kak Meen salah satu hadiah yang dia dapat adalah coklat yang mirip Ferrero Rocher. Sebaik coklat itu hampir habis aku bersuara pada hubby bila shopping mahu membeli Ferrero Rocher yang original. Tetapi belum sempat pergi membeli sebab esoknya kerja boleh pula driver syarikat aku bekerja memberi ini. "Kak, ini dari Sharmine". Beliau adalah pelanggan syarikat aku di Singapore bukan supplier.  Mestilah aku terkejut. Alhamdulillah...

Orange - Sejak ramadhan berakhir aku belum membeli buah orange untuk dimakan di rumah.  Pada hari Sabtu lepas merupakan hari akhir kami berpuasa sunat syawal 6 hari. Aku bersuara kepada hubby sewaktu berbuka puasa  kerana tekak tiba-tiba teringin mahu makan orange.  Niat di hati boleh membelinya pada hari pasar malam di tempat kami.  Tetapi sedang aku berwirid selepas  solat  Isyak boleh pula jiran rumah kami memberi salam menghulur sup tulang dan orange ini.  Bagaikan dia mendengar apa yang aku inginkan. Cepat sungguh hanya beberapa minit saja Allah mahu memberi. Miracle bukan?
Tetapi ada satu yang tidak disangka-sangaka juga. Hari Khamis semalam makan malam aku masak asam pedas ikan pari dan sayur brokoli. Adalah lauk-lauk lain sebagai sampingan seperti udang aku rendang dan ikan goreng sedikit. Tengahari sebab tidak berpuasa dan tidak membawa bekal minta budak bawah tolong belikan. Sebaik dibuka bungkusan, buat aku tersenyum sebab lauk yang dibelikan adalah ikan asam pedas dan sayur brokoli juga. Hanya berbeza pada ikan yang dibeli asam pedas ikan kembung. Jadi makan malam dan tengahari aku semalam adalah menu yang sama.

~~ Allah maha pengasih dan maha mengetahui apa yang tidak kita ketahui.~~


Thursday, July 21, 2016

Black Canyon Coffee

Sehari sebelum ramadhan 1437H kami menikmati makan malam di luar. Sudah menjadi tradisi keluarga sepanjang bulan ramadhan kami tidak akan keluar makan malam atau berbuka di luar Oleh itu, bagi memenuhi kehendak anak-anak yang waktu itu cuti sekolah dan semuanya  ada di rumah kami ke Black Canyon Coffee di Aeon Bukit Indah. Belum sempat disiarkan sebagai entri sebab bulan ramadhan aku kurang selesa mahu mempaparkan makanan sebagai entri.
Mama punya 
Pilihan papa
Kak Reen pilih ini
Kak Meen pilih ini
Adik punya
Papa dengan kopi tidak boleh dipisahkan
Air kami berkongsi
Ada petua yang boleh dipercayai bagi menghilangkan rasa takut dan cemas. Kajian dibuat pada lemon balm mampu menenangkan dan menghilangkan stress, rasa letih, lesu, penat, pening, takut dan cemas. Boleh buat sendiri dengan cara percikkan titisan lemon balm/oil kemudian sapu pada tangan kita dan hidu. Lihat kesannya pasti melegakan.

~~ Alhamdulillah masih boleh makan dengan selesa.~~


Wednesday, July 20, 2016

Terima kasih, Alhamdulillah



~~ Raya sudah dua minggu tapi masih ada yang memberi ini lagi.~~


Tuesday, July 19, 2016

Tidak sesuai ke seberang tambak

Setiap hari bertan-tan makanan laut dan sayuran dideclare untuk masuk ke Singapore. Jika mahu ekspot hidup kenalah ianya masih hidup ketika membuat declaration di kastam. Udang dan ikan yang sudah mati pun tidak boleh di ekspot bila borang yang dideclare udang dan ikan hidup. Siapa yang untung bila penjual memberikan sebahagian udang dan ikan yang sudah hampir mati. Kami di tambak sinilah yang beruntung diberinya percuma saja. Kalau kita ke pasar pun biasa udang yang kita beli memang sudah mati, ini masih boleh bergerak tetapi sudah tidak sihat tetap tidak boleh masuk ke sana.
Melingkar - Dua ekor lobster ini memenuhi kuali besar rumah kami
Siap! - Buka penutup dan hidang ketika masih panas baru dapat menikmati keenakkannya.
Penjual lebih rela memberikan percuma kepada kita daripada kena saman pihak kastam kerana melanggar syarat yang dikenakan. Biasa kalau makan di Senibong atau Singgah Selalu dua ekor begini tidak kurang dari RM1xx. Sedangkan waktu itu ada beberapa ekor yang sudah diagihkan kepada kami tanpa mengenakan sebarang bayaran. 

~~ Rezeki orang menerima habuan di dunia. Rezeki yang memberi habuannya di akhirat.~~


Monday, July 18, 2016

Nikmati keamanan dengan kesyukuran

Melihat paparan media berkaitan cubaan rampasan kuasa kerajaan Turki benar-benar membuat mata dan minda kita semua terbuka luas. Agenda penggulingan yang berjaya digagalkan kerajaan mereka menggegar dunia seketika. Hari ini dunia barat sudah tidak dapat menidakkan dan pasti mengakui kehebatan kerajaan Turki. Tidak kurang paparan sempena dua tahun MH17 ditembak jatuh yang sehingga kini tiada jawapan. Usaha JIT (Joint Investigation Team) bagaikan tiada jawapan jitu untuk melegakan keluarga mangsa yang terlibat.

Dua scenario ini saja sudah pastinya membuat diri kita bersyukur kerana dalam pergolakan dunia hari ini kita masih mampu tidur lena, keluar pergi kerja dengan aman damai, anak-anak masih boleh berada di bangku sekolah, berada di shopping mall memilih/membelek idaman hati, menikmati hidangan sehingga tidak kurang yang tidak terhabis hidangan lalu dilontar begitu saja. 

Mengharap apa pun juga paparan mampu membuka mata dan minda kita seluas-luasnya sejauh mana kita kena bersyukur. Lihatlah saudara kita di Syria dan Palestine yang tidak lena tidur, sentiasa dalam kelaparan dan kesakitan yang entah bila akan berakhir. Selagi masih ada penghormatan kepada golongan ulama' kita masih bersyukur, tetapi andai ulama' dan agama dipinggirkan tidak mustahil suatu yang tanpa diduga akan berlaku kepada kita. 

Menumpang - Cendawan liar ini tumbuh di pasu tempat aku menanam pokok bidara. Tentunya cendawan ini bersyukur dapat hidup dengan aman tanpa gangguan

Besar - Biarpun menumpang tetapi tidak ada ganggunan. Membayangkan tumbuhan di Syria semuanya musnah. Sehingga dipaparkan kepada kita bagaimana mereka mencari rumput yang bersisa untuk dijadikan sup dan dimakan sebagai hidangan bersama. 

Pokok bidara - Di bawah pokok inilah cendawan itu tumbuh. Menumpang tanpa mengganggu tidak perlu dijadikan isu sehingga boleh mencetuskan huru-hara. 
~~ Buka dua mata dan mata hati untuk menilai sejauh mana kita bersyukur di atas segala nikmat yang ada kini.~~


Friday, July 15, 2016

Aidilfitri 1437H - berkunjung dan dikunjungi

Bukan saja hidangan untuk Hari Raya saja yang banyak rencahnya. Kehidupan kita seharian juga penuh dengan rencah dan ragam. Semua pergerakan kena pantas sebelum tetamu datang untuk berziarah. Apa lagi setelah lebih dua bulan bapak tidak ada di kampung tetamu bapak berkunjung sedari kami baru mahu menyiapkan hidangan sarapan pagi sehinggalah malam kami mahu melelapkan mata. Tetapi beruntungnya sebab bapak dikurniakan anak-anak perempuan yang ramai. Masing-masing juga sudah menjadi mummy/mak/mama melainkan Mak Zah yang masih sendirian. 

Kunjungan sahabat-handai-rakan-taulan bapak termasuk saudara-mara yang jauh dan dekat tidak menjadi masalah buat kami. Masak tidak boleh sedikit. Sebab sudah menjadi tradisi bapak tetamu datang bukan saja dijamu biskut raya tetapi kena makan berat tidak kisah walau sekadar makan nasi berlauk sayur tumis dan ikan goreng. Oleh itu kami anak-cucu bapak kena pantas. Masing-masing sudah tahu apa perlu dibuat. Kalau ada yang sudah menggoreng beehoon, seorang lagi boleh membuat nasi lemak, perintah anak-anak blend cili, kopek bawang, siang taugeh, potong sawi dan sebagainya. Sebahagian yang lain pula boleh siap-siaga masak untuk makan tengahari. Sebab itu sebaik hidangan sarapan siap, hidangan untuk makan tengahari juga siap. Mudah bila tetamu datang semua sudah sedia.

Sepupu - Ini sebahagian saudara kami dari Brunei dan Singapore yang datang berkunjung. 
Saudara kandung - Pakcik aka adik bapak tidak ketinggalan melawat abangnya. Walaupun biasanya seminggu selepas raya baru datang tapi tidak pada tahun ini. Majoriti saudara kami di S'pore datang pada raya pertama dan kedua pada tahun ini.
Bapak/atok -  Biarpun selera makan bapak sangat berkurang tetapi dengan anak-cucu-menantu selera berkasih-sayang tidak pernah luntur. Peluk-cium buatnya tidak pernah putus.
Keluarga - Nun dari Perlis sehingga ke JB tahun ini semua berkumpul. Ini sebahagian yang sudah siap pada pagi raya pertama sebab masih ada yang di bilik air dan di dapur.
Kami (1) - Biarpun hari pertama kami sekadar melayan tetamu tetap mahu mencari sunnah berbaju baru mengikut kemampuan kita. Adik kena turunkan badan sebab dia tidak bersetokin waktu ini. Tinggi adik kini sudah sama dengan Kak Meen.
Kami (2) - Sudah bersiap untuk bertolak balik kampung hubby pula sebab keluarganya ada membuat Hari Keluarga. Hubby pun sebenarnya sedih sebab bapak suka memanggil hubby dan abah Din (abang aku) bila mahu solat atau mandi. Tinggalkan juga rumah bapak bertolak ke Batu Pahat. Tetapi kami balik semula dua hari kemudian .
Mak Zah - Kasih sayang anak-anak ku dengan Mak Zah seperti juga kasih-sayangnya pada mamanya sendiri. Mak Zah duduk dengan aku sedari aku belum menikah sehinggalah adik 13 tahun. Inilah satu-satunya kakak aku yang banyak jasanya kepada aku adiknya, juga keluarga besar kami kerana bermula 2016 kemana bapak pergi di situ pasti ada Mak Zah.
Setiap apa juga yang terjadi pasti ada hikmahnya. Tahun ini merupakan tahun paling ramai saudara-mara baik yang dekat mahupun yang jauh datang ke rumah kampung kami. Ruang parking kereta sentiasa penuh sehingga ada ketika terpaksa menanti kereta yang mahu keluar baru boleh masuk dengan mengundur. Tahun ini juga tahun paling lumayan untuk bersedekah buat kami yang mampu menghulur dan terbaik buat anak-cucu-cicit untuk menambah wang simpanan. 

~~ Kelangsungan hidup kena teruskan terutama dalam soal beribadah tidak kira sihat ataupun sakit. Semua ada tanggungjawab untuk merealisasikannya.~~



Thursday, July 14, 2016

Aidilfitri 1437H - kasih sayang

Syawal kami tetap disambut dengan sempurna biar pun ada sedikit sendu di hati. Tetapi kami redha kerana semua ini adalah ujian bukan buat bapak sahaja tetapi kami sebagai anak-cucu termasuk menantunya juga. Sejauh mana kami mampu menjaga/menatang bapak yang dulu bertungkus-lumus demi kejayaan anak-anaknya. Inilah masanya kami benar-benar dicabar kesabaran, keimanan dan kasih sayang yang ada. Bapak sudah tidak mampu berjalan. Bergantung sepenuhnya kepada kami semua.

Jojo terpaksa ikut balik kampung
Solat subuh di Hari Raya pertama. Kami bertakbir penuh dengan linangan airmata. Untuk pertama kalinya anak-cucu-cicit berimamkan abah Din satu-satunya anak lelaki bapak. Bapak sudah tidak mampu menjadi imam kami. Sedih.
Makan songkok - Kali pertama mendapat songkok

Sayang - Usah dicuit songkoknya. Menjerit bagaikan songkok itu ada emas.

Marah - Masih ada yang sengaja mahu mendengar jeritannya
Ceria - Biar apa pun keadaan sebagai cicit bapak yang paling muda pada syawal kali ini dia masih tidak mengerti ada kesedihan di hati kami. Inilah salah satu cicit bapak yang memberi sedikit keceriaan kami sekeluarga. Bertukar dari satu tangan ke satu tangan. Bila keletihan, dapat susu terus lena sampai pagi. 
Mencabar - Tidak kira menantu pun anak juga. Masa inilah kami perlu menjaga bapak bagaikan baby. Kami sepakat tidak akan mengabaikan bapak walau apa pun terjadi.  Kami akur ujian Allah ini mahu melihat sejauh mana kami mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan. Kami sayang bapak.
Bila ujian Allah turunkan, sekelip mata semuanya berubah. Benar sihat sebelum sakit itu perlu dihargai sepenuhnya. Walau bapak tidak mampu melakukan ibadah sunnah tetapi sekurang-kurangnya sewaktu sihatnya puas sudah dilakukan. Bapak, atok dan onyang pada keluarga kami kini sedang diuji. Kalau dulu dialah pembimbing kami tetapi kini berwuduk dan bersolat pun perlukan bantuan anak-cucu-menantu yang ada. 

~~ Semoga bapak dan kami semua tabah dengan ujian Allah ini.~~


Wednesday, July 13, 2016

Iftar kami sebelum balik beraya








~~ Menikmatinya di rumah sendiri dua hari sebelum balik kampung.~~