Friday, March 25, 2011

Tinggi-tinggi belaka

Pokok mangga yang di depan rumah sudah tinggi
Kena tebang kerana bimbang terjadi yang tidak diingini

Bangunan dibina tidak cukup tinggi
100 tingkat dalam perancangan akan dibina

Harga minyak melambung tinggi
Subsidi dibagi katanya bagi meringankan beban rakyat

Harga barangan yang melambung tinggi
Keadaan ekonomi dunia tergugat dijadikan alasan

Hendak jadi pramugari mesti tinggi
Supaya mudah masukkan barang atas tempat duduk penumpang

Anak tidak cukup tinggi
Berjumpa doktor, nasihat dan multivitamain diberikan

Markah peperiksaan hendak yang tinggi
Khuatir jika gagal cita-cita tidak kesampaian

Bila mencari kerja minta gaji tinggi
Bimbang tidak kecukupan wang yang diperlukan

Main layang-layang pun hendak terbang tinggi-tinggi
Tidak mahu layang-layang terjunam jatuh ke bawah

Berpantun pun tinggi-tinggi si matahari
walaupun tahu kalau matahari rendah cair kita semua


itu............

ini.............

begitu.......

begini........






Bila di wajah terpancar "hidung tinggi"
Semua tidak mahu, semua tidak suka

Apakah punca? Siapakah angkara?






Titisan: seri indah memujuk hati dari terus terluka angkara bentara benua kecil yang buncit perut; berbisik naluri menanti masa tanpa lelah bila panorama benua kecil akan berubah.

Wednesday, March 23, 2011

Anak Orang

Gambar colek dari En. google

Cerita cuti sekolah yang baru lalu. Duduk sebelah-menyebelah dengan mata masing-masing menatap monitor.

“Comel kan budak ini. Mama suka tengok. Kalau kat pejabat pun mama mesti tengok blog emak dia. Ada lagi satu budak lagi kecik tapi yang ini blog nenek dia yang selalu buat cerita.”

“Ialah mama. Kalaulah Yasmien ada adik lelaki montel macam ini mesti best kan ma”

“Alaaah… mama dah malas nak mengandung lagi. Asyik nak kena ambil bibik je.”

“Yasmien copy ajelah gambar budak ini. Jadi dapatlah kita tengok dia selalu. Emak dia bukan tahu ye mama. Nak letak sebelah budak yang lagi satu.”

“Dulu kan Yasmien dah ada copy budak kecik yang ni. Suka hatilah. Tapi jangan masuk dalam FB nanti orang lain baca. Kalau emak atau nenek dia tahu lagi haru. ”

Nampak wajah anak itu saja bibir aku sudah boleh mengorak senyum. Walau ia bukan anak yang aku kandung tetapi entah mengapa hati terasa rindu untuk melihatnya selalu. Selalu aku melihat sekadar melalui blog ketika blog-walking. Kedua-dua tuan punya blog itu pun tidak tahu yang aku selalu merindui budak itu. Boleh dikatakan setiap hari atau ada ketikanya bila aku dalam kebosanan atau tension pasti dua blog itu aku terjah walau tidak aku tinggalkan jejak.

Melihat jari-jemari yang mulus, pipi yang montok dan raut mukanya yang bulat mengundang rasa gembira. Selalu aku berangan-angan kalaulah aku mempunyai anak lelaki seperti itu. Pasti seronok kalau aku dapat dipertemukan walau hanya di dalam mimpi. Agaknya kalau aku bermimpi mendukung anak itu termengah sebaik sedar kerana anak itu sangatlah montel.

Tapi sayangnya kedua-dua budak yang aku minati itu anak orang. Mempunyai emak-ayah yang penyayang. Bukan seperti anak-anak terbuang di merata-rata tempat hingga mengundang rasa amarah masyarakat ramai. Mengenang keluarga aku ada yang susah mendapat zuriat terbayang-bayang anak-anak yang dibuang. Apa-apa pun aku bersyukur dikurniakan tiga anak perempuan berbanding kakak dan abang yang hanya mempunyai satu anak dan ada yang tidak punya zuriat langsung.






Monday, March 21, 2011

Pesan Guru

Bila sampai waktu cepat saja dia tunaikan
usai solat maghrib cepat dicapai pula Al-Quran
hatta walau pun dalam percutian
Al-Quran kepunyaannya jangan ketinggalan
mesti dibawa kerana hendak ingat ayat sambungan
mama-papa, kakak-kakak jadi kebingungan
semenjak cuti sekolah ada banyak perubahan
walau jauh perjalanan dan kepenatan
semuanya tidak pernah ditangguhkan
tidak juga menunggu arahan

Baru mama-papa dan kakak-kakak tahu
semuanya untuk direkod dalam buku
arahan diberi oleh guru
tidak boleh culas walau satu waktu
pesan guru sebelum cuti sekolah hari itu
naik sekolah buku ini kena hantar dulu
mahu melihat siapa yang ingkar melulu
walau guru tidak nampak tapi Tuhan tahu
itulah katanya baru kami tahu
wahai anak jujurnya kamu

Buku - Inilah dia buku rekod yang dibekalkan guru sebelum cuti sekolah

Jadual - Rekod pembacaan Al-Quran.

Solat - Rekod menunaikan solat fardhu

Thursday, March 17, 2011

Bercukur Rambut vs Aqiqah

Salah satu agenda percutian yang aku lalui bersama keluarga tempohari adalah berkunjug ke rumah abang ipar. Aku sekadar menghormati dan melihat acara majlis cukur rambut secara tradisi di jalankan di kampung hubby bersempena majlis aqiqah yang diadakan. Majlis ini dirai sempena kelahiran cucu sulung kepada Abang Uda hubby aku. Walau cucu perempuan kerana jemputan ramai, ianya sudah seperti majlis kenduri kahwin. Kambing tumbang pun sudah dua ekor. Belum lagi daging lembu (dibeli) dan ayam sebagai lauk-pauk.

Kelapa muda berukir dimasukkan kedalamnya air, tepung beras dicampurkan air dimasukkan ke dalam mangkuk kecil, gunting, air mawar, bunga rampai dan daun sipulih adalah antara yang diperlukan dalam majlis. Semuanya disusun rapi di dalam dulang.

Pembukaan majlis dimulai dengan majlis Yaasiin dan Tahlil. Kemudian dituruti dengan pembacaan rawi berzanji. Tiba di rawi empat (walamma tammamin.... hingga pertengahan dan sebelum ayat wamuhayyangkassyamsi.....), semua hadirin akan berdiri untuk marhaban. Pada masa marhaban inilah bayi akan di bawa kepada orang-orang tertentu untuk digunting rambutnya. Menggunakan daun sipulih yang dicecah ke air tepung beras kemudian dicecah kepada ubun-ubun, tangan dan kaki, mengambil sedikit bunga rampai dan di teraburkan sekeliling bayi dan direnjis air mawar. Kemudian sedikit rambut bayi akan di gunting. Cebisan rambut akan dimasukkan ke dalam kelapa muda yang tersedia. Pada masa ini juga aku diberi tugasan menabur wang siling, gula-gula bermacam jenis dan bermacam jenis anak-anak patung ditabur di tengah-tengah ruang membuat anak-anak berebut megutipnya. Ada juga ibu-ibu yang turut sama mengutip. Anak aku dapat patung smuff biru putih disamping gula-gula dan duit. (gambar tidak dapat dipapar sebab cameragirl pun turut sibuk mengutip duit).

Selesai bermarhaban bacaan rawi empat berzanji disambung. Aku diberi tugasan membaca doa iaitu rawi terakhir dalam berzanji. Majlis doa penutup kemudian dibaca diikuti jamuan makan. Semua yang datang akan dibekalkan dengan nasi dipanggil berkat. Lihatlah paparan gambar-gambar yang berjaya anak aku tolong ambilkan. Aku kena hormat majlis tidak bolehlah kehulu-hilir. Jaga juga maruah hubby aku, tambahan pula di kampung orang. Konon macam perempuan Melayu terakhir. (Jangan ketawakan aku - malu).

Se dulang - peralatan bergunting. Siapa yg menggunting akan diberi duit saguhati (dalam sampul hijau)

Nur Aira - Sebelum di gunting dan semasa acara menggunting rambut.

Longgokkan - Bunga telur pink & merah serta beg yang penuh dengan set nasi bukhara, kuih, bubur merah dan tuala tangan sebagai buahtangan atau disebut berkat

Hadirin - Memabaca yasiin diikuti dengan bacaan berzanji , marhaban dan doa.


Menikmati - Jamuan makan kaum lelaki sebelum balik


Bubur merah - Masuk ke dalam mangkuk-mangkuk kecil kemudian dimasukkan ke dalam beg berkat



Periuk besar - Nasi bukhara, daging kambing, daging lembu, ayam masak merah, pajeri adalah hidangan pada hari itu (sebahagian lauk tidak dipapar kerana anak aku tak ambil gambarnya)


Pulang - Petang itu kami meninggalkan kampung hubby dan meneruskan perjalanan percutian kami.





Tuesday, March 15, 2011

Segmen apa kata cinta

Mendapat tag dari http://mutiarabernilai2.blogspot.com/ waktu makan tengahari tadi. Jejari menari mencari ruang menuju destinasi diperkatakan. Segmen dianjur oleh seorang insan juga teman blogger bernama Hakimi di http://pilihanhati.blogspot.com/. Syarat seperti berikut telah diberikan olehnya: -

1.Buat satu entry tentang apa itu cinta.(tak de limit)
2.Letak banner ni di atas entry anda
3.Letak link entry yang dah dibuat di ruangan komen ini
4.Tag 2 orang rakan anda
5.Tarikh akhir 16.3.2011(cepat!)
6.Entry yang menarik akan di review


Mencuri seketika masa yang ada inilah dia hasilnya: -

Bila hati dibanjiri cinta kudus
telaga hati mekar membunga tanpa rasa walang
indah dalam rangkulan sayap-sayap cinta
senyuman melebar tanpa henti
menadah tangan sujud tafakur
mohon tidak alpa atas pemberianNya

Saat cinta merasuki jasad
merapak kesyukuran pada sang pencipta
belaian kasih dan sayang
alam semesta nan luas terbentang
rindu-rinduan sesama insan
sesekali dengan tangis-sendu
bayangan wajah-wajah tercinta
hilai-tawa meriah
"Adam" sebagai pasangan
zuriat pewaris zaman
di mana saja ada cinta
mohon diberi pengukuhan
dalam meniti alam ini sebelum berkesudahan

Ketika cinta kian mereput
andai ada untaian yang mahu terlerai
bilah-bilah masa dicucuk onak dan duri
puas meratap sembah merafak pencipta
biarlah cinta dibajai menyubur
membuai mesra kekal cinta di sanubari

Kelelahan berlari mencari cinta
walau berlari dengan cinta yang buta
mahu dilontar kebutaan cinta itu
di penuhi celiknya cinta hakiki
mohon berakhir dengan kalimat yang panjang
kalimah syahadah terucap di bibir
sehingga gerak nadi menjauh di jasad

Cinta pengakhirannya tidak dapat diketahui
mohon syafaat bisa dirangkul sama
menghirup al- jannah yang abadi
Ya-Allah Ya-Robbi.
.
.
.
.

Itulah yang termampu dititip sementara tarikh akhir adalah pada hari esok, 16-03-2011. Oleh itu adalah tidak adil sekiranya aku tag sesiapa. Tetapi sekiranya ada yang masih punya ruang masa dipersilakan dengan sesungguh-sungguhnya. Silakan........

Monday, March 14, 2011

Allah the Almighty

The incident happened on October 26, 2010 at our neighbour country Indonesia, open my eyes that volcano eruption caused fatalities. Honestly from my own perception, the news that published widely through media shown how great Allah Such a big mountain can explode and carry huge lava non-stop almost two weeks. But it is sad moment when published that few Muslim/Islamic villagers still believe that the eruption is due to a spiritual case. Again these couple a day we received great shock when Japan was attacked by the silimar disaster just after a few weeks ago New Zealand facing the disaster. Latest, Japanese nuclear plant has been hit by another hydrogen explosion. Just imagine if these photos happened to us? Na'uzubillah Himinzalik.

Dribble dribble....

Oozing lava into ocean.......

Commotion in the ocean....

Fireworks at Stromboli volcano
Enter at your own risk.....

Downpour.....

Big splash......

You would never have seen this..... amazing

A volcano is an opening, or rupture, in a planet's surface or crust, which allows hot magma, volcanic ash and gases to escape from below the surface. "Kunfayakun" Allah no one can aspect the disasater happen similarly on what has happened at Indonesia, New Zealand dan recent now at Japan. Ya-Allah we believe all these are to show us You the Almighty.




Friday, March 11, 2011

Duit Tabungan

Bila dividen KWSP diumumkan ramai (termasuklah aku) yang mencongak-congak berapa banyak tabungan untuk hari tua yang boleh dinikmati nanti. Sepanjang aku bekerja dan menabung ada sekali aku mengeluarkannya untuk melangsaikan hutang bank buat rumah ke dua. Lega rasanya bila hutang sudah tidak membeban kepala. Bekerja di syarikat swasta kenalah menabung lebih kerana kami tiada wang pencen selepas bersara.

Setiap bulan wang tabungan mesti diambil kira apatah lagi anak-anak masih meniti alam persekolahan dan panjang lagi perjalanan yang hendak dilalui. Selalu aku menasihati anak-anak belajar menabung. Dari kecil aku sudah sediakan tabung setiap seorang. Bila ada sesiapa saja memberi walau seringgit-dua wang mereka tidak pernah aku gunakan. Bila masa sesuai aku masukkan ke dalam akaun bank masing-masing. Untuk pengetahuan teman semua, anak-anak aku tidak pernah tahu berapa banyak wang simpanan mereka. Ada kebimbangan sifat suka bercerita pada kawan itu yang kami rahsiakan. Biarpun yang sulung punya pendapatan bulanan sewaktu usianya 9-12 tahun kerana rakaman rancangan "Mari Mengaji" di radio Johor FM, kami tidak pernah memberitahu berapa jumlah terkumpul. Pernah mereka bertanya tetapi kami katakan duit digunakan untuk perbelanjaan pergi Mekah, melancung dan sebagainya.

Semalam aku terperasan duit tabung adik yang seringgit-seringgit nampak berkurangan. Bila ditanya pantas dia menjawab. Dia tidak pandai berbohong malah tidak tahu itu satu kesalahan pada kami.

"Adik beli manila card, gunting dan pencil colour. Cantik mama tak macam pensil colour yang mama beli kat Badan Book Store"

"Kenapa adik tak minta izin mama atau papa dulu?"

"Kakak kata itu kan duit kita, boleh guna kalau nak beli apa-apa. Tak boleh ke mama?"

"Lain kali kalau adik hendak beli apa aje mesti beritahu mama atau papa dulu."

Akur tunduk mengerti . Betapa aku culas memberitahu apa yang sepatutnya dibuat pada duit tabung yang dia ada. Oleh kerana marah aku biarkan papanya yang menasihati. Jelas ada kalanya aku tidak terlintas kesalahan itu berpunca dari aku sendiri sebagai penjaga kerana tidak menerangkan bahawa duit itu adalah untuk simpanan bukan untuknya berbelanja sesuka hati. Aku juga tidak suka kalau anak bermewah menggunakan duit bukan pada perkara yang penting. Kalau mahu membeli sesuatu minta saja duit pada kami penjaganya. Anak aku belum tahu membezakan mana satu yang penting atau sebaliknya. Tindakan aku semua ini juga mungkin kerana aku dilahirkan dari keluarga yang susah.



Happy Bear - Inilah tabung kepunyaannya yang dibeli di Air Hitam suatu masa dulu.



Wednesday, March 9, 2011

Tampalan Along

Jarum jam menunjukkan waktu untuk solat maghrib tinggal beberapa minit lagi. Oleh kerana itulah hubby sudah berada di Masjid pada waktu begini. Kalut aku dibuatnya. Hendak membuat pusingan U dari taman perumahan aku dan menuju ke tempat yang diberitahu pastinya mengambil masa paling tidak setengah jam. Maghrib kian menghampiri.

"Kalau akak ambil lepas solat boleh?"

"Tak apalah kak Nisak cuba cari petrol kiosk untuk solat maghrib dulu. Lepas solat nanti Nisak call kakak balik"

Menyelusuri lebuhraya second link dari Tuas untuk ke Johor Bahru membuat dia sesat ditambah pula persimpangan lampu isyarat untuk menuju ke rumah aku telah tiada kerana projek menaik-taraf sistem jalan sedang dijalankan. Papan-papan tanda yang selalunya menjadi pandu-arah banyak yang telah tiada. Tambah menyakitkan papan-tanda taman-taman perumahan yang dialih ke tepi jalan tulisannya tidak dapat dilihat lagi. Hilang dari pandangan kerana tampalan-tampalan sticker pinjaman segera atau lebih baik dipanggil Along.



Papan tanda - Lihatlah bagaimana mahu membaca kalau hampir keseluruhan papantanda penuh dengan tampalan . Inilah sebenarnya papan tanda yang tertera nama taman perumahan tempat aku tinggal. Nampak ke taman apa ni? Hahaha..... memang sesat baratlah sebab sudah penuh tampalan yang tunggang-langgang.


Apa yang menyakitkan hati tampalan Along yang menunjukkan nombor-nombor telefon mereka terlalu gah dan berani tanpa rasa bersalah. Aku rasa kerana tiada tindakan maka bertambahlah sticker menutupi banyak papan-papan tanda.

Malam itu sampai juga sepupu aku dari Singapore setelah sesat-barat mencari rumah aku yang sebenarnya telah dilintasi olehnya. Mengekori dari belakang kereta aku sebagai pandu arah lebih mudah bagi mereka. Walau semasa bertemu kami ketawa tetapi rasa marah menyelinap dalam hati. Ketiadaan persimpangan lampu isyarat tidak membuat kami marah kerana bertujuan untuk menaik-taraf jalan, tetapi gara-gara papan-tanda ditutupi dengan tampalan hodoh Along itu yang membuat hati panas.



-Sekadar mangambil kata-kata along: "Kami bukan Along, kami cuma nak tolong. Kalau ada masalah CTOS atau blacklist jangan bimbang segala pinjaman tetap beres." Masih ada yang percaya kata-kata ini.-


Tuesday, March 8, 2011

Muhamammad Rasulullah

Sebelum menginjak tarikh 12 Rabiul-Awwal lagi di dalam mesyuarat AJK surau menetapkan 6hb Mac, 2011 akan diadakan majlis Maulidurrasul. Sebagai memenuhi ketetapan itu maka pada hari tersebut berpusu-pusulah umat Islam kawasan sekitar hadir meraikannya. Selepas solat Maghrib para qariah taman dijamu dengan nasi beryani disertai dengan lauk-pauk seperti biasa; ayam masak merah, daging lembu masak kurma, daging kambing masak beryani dan sebagainya.

Ustaz jemputan adalah Al-Ustaz Mohamad Abas Bin Abd. Latif. Penyampaian menjurus kepada sunnah nabi dan amalan harian kita. Antara yang mampu membekas dalam kotak fikiran aku adalah seperti berikut: -

1. Ramai yang menyambut sambutan Maulidur-Rasul bukan sebagai menginsafi untuk sama-sama mengamalkan sunnah rasul tetapi lebih kepada majlis makan-makan. Selepas itu pulang tanpa kesan di hati untuk merubah ke arah kebaikan.

2. Berzikir dan berdoa kepada Allah mohon dijauhkan/dihindarkan dari penyakit yang kronik, buta dan lumpuh. Tiga penyakit ini jika melanda membuat seseorang itu sukar untuk beribadah.

3. Kalau mengaku Allah itu ada bererti kita harus sujud kepadaNya. Katanya lagi orang yang meninggalkan solat itu lebih baik dia mati daripada terus menanggung dosa yang berpanjangan. Sungguh menakutkan.

4. Sebagai umat Islam wajib patuh kepada ajaran Al-Quran kerana segala panduan dan pedoman dunia dan akhirat telah tercatat di dalam Al-Quran. Contoh diberi; Rasulullah berkata kepada Sayidina Ali "Siapa yang membaca Al-Quran, dia menghalalkan kepada yang haram dan mengharamkan apa yang halal orang ini seolah-olah telah melemparkan Al-Quran ke belakang".

5. Peraturan manusia boleh dipinda dan diubah tetapi tidak kepada ajaran Islam. Contoh diberi; walau solat di mana ceruk dunia solat yang lima waktu sama jumlah rakaatnya. Begitu juga isi kandungan Al-Quran dari azali lagi ianya begitulah malah sekiranya terdapat salah percetakan ianya akan dikira tidak sah/reject.

6. Sebagai umat Islam adalah lebih baik kita mencegah kemungkaran yang terlalu banyak daripada melakukan hanya untuk satu kebaikan. Contoh diberi sangat sensetif oleh itu lebih baik kita fikirkan sendiri.

Banyak lagi isi syarahan yang memberi contoh terkini diselangi dengan senyuman sebagai penawar mata agar tidak terlelap. Tetapi ada dua daripada beberpa nasihat ustaz sebelum mengakhiri syarahannya yang melekat di minda aku: -

1. Jangan menjadi seperti burung kakak tua yang bijak berbicara tetapi tidak ada satu pun kata terluah yang dia tahu makna dan maksud yang tersirat.
2. Menuntut ilmu bukan untuk kesombongan/bongkak dengan paparan sijil dan anugerah diperolehi kalau rohani jahil dengan amalan-amalan untuk bekalan akhirat.

Aku paparkan sedikit gambaran ketika majlis seperti gambar-gambar di bawah.

Nasyid - Majlis dimulakan dengan persembahan oleh anak-anak Tadika 4-5 tahun

Jamuan - Makan secara buffet. Ada yang makan di Verandah kerana khemah tidak mencukupi.

Muslimah - Berjemaah solat Isyak sebelum syarahan bermula.

Syarahan - Al-Ustaz Mohamad Abas bin Abd Latif.
Lapar - Adik masa sampai katanya tidak mahu makan tetapi bila kita khusyuk mendengar syarahan dia lapar.

Selesai - Pulang membawa seribu harapan dan garapan untuk yang terbaik di dunia dan akhirat.



Saturday, March 5, 2011

'Contest Resepi Pilihan' Sinar Raudah

Merenung gambar di atas sejenak
Sinar Raudah mencabar kewanitaan kita
walaupun rasa belum tentu enak
resepi diberi sebagai suka-suka
Mahu tahu apakah syaratnya
larikan jejari di http://www.sinarraudah.blogspot.com/ segera
tempoh diberi seminggu cuma
lambat sedikit tidak diterima


SIAKAP STIM ASAM PEDAS
Bahan-bahan mesti disediakan
kalau tidak macamana jadinya
lihatlah gambar di dalam pinggan
kira dan perhatikan apa bahan-bahannya


1 ekor ikan siakap (sederhana saja saiznya)
11 tangkai cili kering (buang biji, gunting dan kisar)
5 ulas bawang merah (kisar)
5 ulas bawang putih (kisar - sedikit diguna untuk dilumur pada ikan)
1/2 labu bawang besar (mayang)
1 cm halia (kisar - sedikit dilumur pada ikan)
1/2 cawan air asam jawa (pekat sikit sebab ikan stim mengeluarkan air)
1 keping asam gelugor
1 kuntum bunga kantan (belah dua)
1 biji tomato (potong empat)
sedikit daun kesom
5 biji kacang bendi
garam dan perasa (kepada yang suka menggunakannya)
sedikit minyak untuk menumis


Langkah kedua kena lihat juga
mana yang perlu dikisar kisarlah
mana yang tidak perlu kena cuci saja
aku tidak tanggung kalau tersalah

Lumurkan ikan dengan halia dan bawang putih kisar. Masukkan ikan ke dalam stimmer lebih kurang 10 minit. Sementara ikan dalam stimmer tuang minyak dalam kuali. Tumis cili, bawang merah, bawang putih dan halia yang telah dikisar. Biarkan tumisan nampak betul-betul masak baru masukkan bunga kantan, daun kesom, asam gelugor dan air asam jawa. Bila mendidih masukkan kacang bendi dan tomato. Masukkan garam dan perasa (jika suka). Renihkan sebentar jangan sampai kacang bendi dan tomato terlalu masak. Kemudian tuanglah ke atas ikan dalam stimmer. Stimmer set masa seminit-dua lagi. Bila stimmer sudah berbunyi "tingggg" masaklah sudah dan sedia untuk dimakan. Hidangan ini untuk aku berdua dengan hubby saja. Anak aku lebih suka stim halia tanpa cili. Tidak boleh tunjuk di sini kerana ia melanggar syarat Sinar Raudah.


Nampak seekor ikan siakap
10 minit berada dalam stimmer
bila ikan lembut tumisan pun siap
tuang bahan tumisan biar mesra rasanya
Siapa hendak bertandang ke Johor
aku masak buat resepi ini
walaupun anda tidak kecur
resepi dipapar gara-gara si Amy

Wednesday, March 2, 2011

Lembu oh Lembu

Pada hari Sabtu lepas aku berpeluang mengikut hubby ke ladang menternak lembu kepunyaan seorang doktor veterinar bertempat di Simpang Renggam. Kerana keadaan jalan yang agak ala-ala ranger maka kami pergi menggunakan 4WD. Aku pergi berdua saja. Lebih kurang satu jam setengah kami telah tiba di ladang tersebut.

"Wangi tau. Nak ikut I turun ke tak?" hubby bertanya sebelum melangkah turun.

"Hm... I tak kisah. Ikutlah." Aku tidak mahu mengalah.

Turun dari 4WD ternyata baunya sudah cukup menusuk lubang hidung aku yang memang sudah cukup besar. Rasa bagai tidak tertanggung. Mahu saja aku menutup lubang hidung tetapi bimbang mengguris hati pekerja-pekerja ladang yang ada. Jadi dengan senyum aku turut menapak di belakang hubby bertemu tuan punya ladang, Doktor Isa. Kembang-kuncup lubang hidung lama-kelamaan terasa kurang pula bau menyucuk itu mungkin sudah jadi immune. Cuaca panas terik membuat aku berlari dan berteduh di bawah pokok kelapa sawit. Ladang lembu kepunyaan doktor ini bukan saja menernak lembu kerana dari jauh kelihatan kandang kambing dan ayam. Oh.... kaya doktor ini hatiku berdetik. Kalau seekor lembu yang kecil pun harganya RM 2700/- berapa pendapatannya kalau terjual beratus ekor sebulan. Mahu tidak dia sanggup berhenti jadi doktor.

Sewaktu hubby berbincang untuk memilih lembu yang akan dijadikan sedekah buat Maulud Nabi aku mencuri peluang snap sana-sini setelah meminta izin dari doktor tersebut.
Mesin pengisar - Bukan kisar pasir tapi rumput/pokok jagung yang dijadikan campuran pada makanan lembu-lembu tersebut

Berlonggok - Pokok jagung ini akan dikisar dan dicampur dengan makanan sintetik

Putih Sekawan - Walau begitu banyak tapi semuanya jantan dan tidak bergaduh.

Hitam dan belang - Kandang ini kebanyakannya hitam dan bertompok hitam-putih. Lebih kecil saiznya.

Sembelih - Ada juga penjualan daging kerana doktor itu sendiri yang menjadi tukang menyembelih. Hubby tolong snapkan gambar ini (aku belum kuat untuk melihat adegan itu). Mendengar rintihan lembu pun sudah rasa sayu.

Besar - Lembu ini harganya RM 6500/- Tak pernah aku melihat lembu sebesar ini

Perhati - "Jangan main-main lembu hubby aku tengah perhatikan engkau tu."

Pilihan - "Itulah engaku tak percaya buat apa jeling-jeling." Inilah lembu pilihan hubby yang akan disembelih dan dijadikan hidangan bersama nasi beryani untuk sambutan maulud nabi nanti.