Friday, August 28, 2015

Tasbih dan kepercayaan agama masing-masing

Dua hari lepas aku mendapat tasbih dari Yana Yani blogger Diari Seorang Mama. Mendapat tasbih ini buat aku teringat kisah aku di pejabat sebelum puasa yang lepas.

Waktu makan tengahari aku di pejabat tidak ada ketetapan masa. Bila-bila masa saja boleh makan tetapi biasanya aku lebih suka untuk makan agak-agak dalam setengah jam sebelum masuk waktu solat zuhor. Mudah bila selesai makan sebaik mencuci periuk, pinggan dan bekas bekal terus boleh berwudhuk. Tetapi pada hari itu kerana aku tidak boleh bersolat aku keluarkan tasbih untuk berzikir sambil melayan mata melihat monitor PC. Tanpa sengaja ketika supplier masuk aku terlupa tangan aku masih memegang tasbih. Sepontan mereka mengatakan yang agama mereka juga menggunakan tasbih ketika beribadat. Ketika itu kami berempat. Dua lelaki bangsa Cina, seorang India dan aku sebagai customer mereka. 

Menurut supplier aku yang Cina tasbih dalam agama mereka yang menggunakan biasanya adalah sami-sami dan jumlahnya 108 biji/beads. Secara kebetulan kawan mereka yang Hindu juga mengatakan yang sami Hindu pun menggunakan tasbih 108 biji/beads. Tetapi kawan mereka yang seorang lagi neneknya Kristian tetapi bila ibunya menikah dengan ayahnya Buddha lalu ibunya turut menjadi Buddha. Dia melihat neneknya juga menggunakan tasbih tapi tidak tahu berapa kuantiti beadsnya. Jujur menurutnya dia tidak pernah bersembahyang. Bergegar bilik aku dengan gelak-ketawa tiga lelaki dek kerana seorang insan dengan jujur mengatakan dia tidak pernah bersembahyang. Masing-masing tempelak menempelak sebab semuanya belum berumahtangga. Jelas cara mereka tidak sama dengan cara kita. Apa yang pasti Islam agama syumul.

Coretan bingkisan - Dengan penuh terharu aku mendapat titipan ini dari teman blogger yang menggelarkan dirinya Yana Yani
Menarik - Aku mendapat tasbih yang 33 beadsnya (jangan kira juntaian ekornya) dengan hati penuh gembira. Niat di hati selepas solat maghrib hari itu mahu digunakan, tetapi terlupa sebab sudah terbiasa dibelakang tempat aku bersolat tersedia di button almari tasbih yang banyak, jadi capai sajalah satu.
Bersatu - Masukkan ke dalam bekas cerminmata bersatu dengan tasbih putih yang selalu aku bawa walau kemana aku pergi. Mudah kalau di dalam bekas ini memang tidak akan tertinggal. Dalam bekas ini juga ada jarum,  sedikit benang dan pin. Boleh digunakan masa terdesak seperti jika ada kain yang terkoyak atau zip rosak.
Ketika di rumah biasanya aku menggunakan tasbih yang 99 biji termasuk hujung yang besar jadi 100. Tetapi yang tersimpan di dalam handbag biasanya yang 33 biji ini. Pergi majlis tahlil pun aku bawa yang di atas itulah. Lepas ini bolehlah aku bergilir menggunakan apa yang Yana Yani bagi. Moga ganjaran dapat dikongksikan bersama. Pastinya telah dicatat oleh Raqib akan kebaikan ini. Terima kasih Yana Yani.

~~ Itu tasbih untuk bezikir. Mari kita baca tasbih kafarah bersama : Subhanakallahumma wabihamdika asyhadu allailahailla  anta astaghfirukawa atubu ilaik. Akhiri dengan membaca suroh Al-Asr. ~~

Thursday, August 27, 2015

Keselamatan anak-anak pergi/balik sekolah

Anak-anak dulu ke sekolah menapak atau menaiki basikal tidak ada rasa cuak di hati ibu-bapa. Pasti selamat pergi dan balik. Luka jatuh basikal atau baju kotor kerana bermain selepas balik sekolah sudah menjadi perkara biasa. Amat jauh jika dibandingkan anak-anak sekarang. Hati ibu-bapa tidak kiralah yang duduk di rumah mahupun yang bekerja, selagi anak belum tiba di rumah selepas waktu persekolahan pasti ada rasa kebimbangan. Sebab  itu rata-rata sanggup menyewa van, bas atau kenderaan khas untuk anak-anak ke sekolah. Pergi sendirian dengan berjalan kaki atau berbasikal sudah amat jarang kelihatan.

Muruku keping - Sementara menanti adik keluar sekolah aku duduk di dalam kereta menikmati kudapan muruku ini.  Biar kita yang menunggu jangan dia yang menunggu kita.
Adik ke sekolah kebangsaan (pagi) aku hantar. Balik sekolah kebangsaan dan pergi sekolah agama  (tengahari) adalah rutin Mak Zah mengambil dan menghantar. Balik sekolah agama papa ambil. Itulah tugasan biasa aku, Mak Zah dan papa selagi anak masih di sekolah rendah. Mengapa semua ini dilakukan? Paparan media tentang pelbagai kejadian buruk yang bukan sekali-dua terjadi, membuat ramai ibu-bapa rasa tidak selamat membiarkan anak pergi-balik sendiri, termasuklah aku.

Sekotak - Air ini sebagai membasahkan tekak. Biasanya aku bawa air masak tapi air kotak ini lama ada dalam fridge tidak berusik, sayang aku bawalah sementara menanti adik keluar boleh juga membashakan tekak. Masa di rumah buat tak pandang tetapi bila masuk kereta nampak ini adik sambung tolong habiskan. 
Biarpun dikatakan kadar index jenayah negara berkurangan tapi aku rasa rata-rata ibu-bapa tetap bimbang untuk melepaskan anak-anak pergi-balik sekolah sendiri. Bila ini dirasakan apakah tanda negara kita sudah tidak aman atau tidak selamat buat anak-anak?

~~ Kita jaga anak kita, anak jiran kita dan anak-anak yang belum mengerti apa depan mata kita selagi mampu. Selain itu serah pada Yang Esa. ~~


Wednesday, August 26, 2015

Hidangan kami di hari Ahad

Hari Ahad kegiatan tiada
anak sekolah, suami bekerja
nasi dagang pula terbayang di mata
lalu ke dapur bersilat seketika

Beras + pulut rendam lebih kurang setengah jam sebelum di kukus
Ikan tongkol + asam gelugor + halia  rebus sekejap dan sejukkan.
Santan kelapa untuk kukus beras dan gulai ikan tongkol
Nasi setelah dikukus -  Bahan digunakan termasuk bawang merah, halia, daun pandan, halba, garam dan santan.
Gulai ikan - Apa pasal kuning pula bila difotokan. Warna sebenar merah sebab aku guna cili giling, kari daging, bawang-bawang, halia, lengkuas, serai. Air rebus ikan jgn buang gunakan balik utk gulai ini.
Citarasa sendiri - Anak-anak tanpa timun dan carrot tidak boleh. Jadi aku olah menjadi acar ini. Entahlah pucat pula bila difotokan warnya tidak hijau dan oren. Mana ada carrot kuning kan..kan...
Gambar kabur - Jemput makan:)

~~ Biarpun tinggal di JB tapi sebenarnya kami suka masakan ala-ala hidangan pantai timur.~~


Tuesday, August 25, 2015

Simpati dengan warga JB

Terasa benar krisis kewangan melanda negara apabila nilai matawang Malaysia terus merudum. Buat aku yang bekerja 100% melibatkan matawang asing terasa benar kecilnya Ringgit Malaysia. Melihat angka pada nilai pertukaran wang asing di atas borang kastam terasa alahai kecilnya pendapatan yang aku terima kalau ditukar kepada matawang mereka. Apa pun alasan dikatakan USA mengukuhkan nilai matawangnya apalah kemampuan rakyat kerdil seperti aku ini.

SGD - Ini duit GST customer aku. Mereka yang tidak ada account Giro kena bayar cash. Setiap hari aku mampu memegang SGD tapi tidak mampu memilikinya.

Jika memasuki perkarangan parkir di mall atau pusat membeli belah di sini kita boleh melihat dengan jelas banyak kereta yang mempunyai pendaftaran negara jiran. Senyum lebar buat mereka untuk membeli-belah atau menikmati hidangan di sini. Murah-murah-murah itu yang terdetik di hati mereka. Keluarga aku sebelah bapak 100% warganegara seberang tambak. Sebab itulah buat mereka bila hujung minggu datang ke JB adalah suatu yang menguntungkan. Biar sesak di jambatan Tanjung Puteri semua itu di tolak ke tepi. Sebaik tiba di JB penjimatan berlipat kali ganda yang diperolehi dapat menghilangkan rasa letih di kesesakan jalanraya. Pergi rumah bapak, angkut bapak keluar makan di Kukup kemudian balik rumah bapak rehat-rehat. Lepas solat asar mereka balik semula ke Singapore.

Begitu juga yang melalui jalan Tuas - Gelang Patah. Menikmati hidangan sea-food yang 5-6 ratus pun masih murah buat mereka. Apa lagi untuk membeli ikan-udang-sotong yang baru naik ke pantai. Setakat sekilo RM20-30/- masih teramatlah murah buat mereka. Mahu service kereta seperti aircond atau tinted glass semua buat di JB. Murah! Kami warga JB hanya mampu melihat dan tunduk.  Sekali hulur pada adik RM50/- tidak ada masalah sebab jika di tukar SGD sebenarnya tak sampai pun RM20/-.

~~ " Kalau adik dah besar,  adik nak kerja di Bruneilah mama" itu kata adik bila aku katakan nilai matawang Brunei sama dengan Singapore.~~


Monday, August 24, 2015

Jangan bandingkan tanduk dan gading

Bukan saja Syawal sibuk dengan jemputan makan-makan, tetapi Zulkaedah juga tidak kurang rancaknya. Setiap hujung minggu pasti ada yang menempah untuk majlis tahlil dan doa selamat. Doa selamat termasuk aqiqah, menunaikan ibadah haji, bertunang dan sebagainya. Apa yang menjadi masalah bila ABC atau suara aku serak dan batuk. Namun bersyukur juga untuk musim cuti kali ini anakanda Reen ada di rumah dapat menjadi pengganti aku jika aku tidak dapat menunaikan hajat mereka. Kak Reen sudah boleh menggalas tempat mamanya.

Yasiin, tahlil & doa selamat - Semua sedang khusyuk membaca aku yang sekadar boleh berzikir sempat mengambil gambar sebagai tatapan bersama.

Marhaban - Johor dan marhaban tidak dapat dipisahkan. Biasanya selesai membaca yasiin, tahlil dan doa selamat kami bermarhaban beramai-ramai. Anak-anaklah yang paling gembira.
Balik malam ada kelegaan di hati kerana anakku kini mampu menggalas tanggungjawab aku sekiranya aku sudah tiada. Dua minggu berturut-turut aku serahkan majlis dibawah pimpinan Kak Reen. Hakikat sebenarnya semua boleh menjadi imam untuk memimpin majlis kerana sudah setiap minggu kami membaca bersama-sama dan tahu susunatur, tajwid dan sebagainya tetapi masing-masing masih tidak mahu memikul lagi - mungkin malu. Beberapa kali juga ketika belajar sudah aku katakan kena mencuba mana tahu seperti yang sering terjadi hanya kerana keuzuran aku majlis ditunda. Bukankah itu suatu yang menyusahkan. Seperti kata Kak Reen bila tidak ada gading, tanduk pun boleh juga. Tapi aku kata dalam hal ini jangan bandingkan tanduk dan gading. Apa yang penting majlis tuan rumah berjalan lancar.  Mama dan Kak Reen bukan tanduk dan bukan juga gading.

~~ Sedih melihat kemalangan yang menimpa keluarga yang maut di  Jalan Sungai Rengit, Kota Tinggi. Moga roh-roh mereka ditempatkan bersama kalangan umat yang beramal solleh.~~


Friday, August 21, 2015

Rezeki Allah beri amat luas

Syawal sudah berlalu tetapi biasalah penduduk di JB ini menjadikan bulan Zulkaedah bagaikan bulan Syawal juga. Jemputan untuk makan-makan masih berpanjangan. Bila siang sudah ke majlis makan-makan disangkakan boleh bertahan hingga ke malam. Tetapi perut pula bagaikan tidak faham masih menagih untuk diisi juga.

Namun ada kalanya bila sudah lewat keluar dengan berbelanja barangan keperluan harian lagi hajat mahu mengisi perut di restoran yang dihajati tidak kesampaian. Masuk Chicken Rice Shop dikatakan ayam tinggal seekor. Masuk Kenny Rogers ada set tidak lengkap sehinggakan dua anak dara ke Chattime katanya sudah berkemas tidak jual lagi. Keluar shopping kompleks terdengar dari corong pemberitahuan dia pun sudah mahu tutup.  "Semoga berjumpa lagi esok hari" katanya. Aduhai...

Menuju ke tempat parkir, masuk kereta terus ke restoran belakang rumah kami akhirnya. Restoran ini dibuka malam sehingga dinihari. Untuk bersahur pun boleh. Siapa dapat dulu dia makan dulu sebab masing-masing sudah lapar dan letih.

Sedap - Nasi goreng tomyam buat mama

Adik kacau papa punya - Mee Hongkong, sup daging dan air cikong

Pedas tapi sedap - Kwee-teow tomyam favourite Kak Reen. Mama menjamah tak tahan. Pedas jiddan!

Lambat - Adik punya nasi goreng kampung belum siap. Sambil suap sesudu-dua mama dan papa punya boleh baca dulu buku lawak kampusnya. 
Biarpun di sana tidak mendapat dan di tempat yang dituju tidak ada namun banyak lagi pilihan untuk menjadi tempat mengisi perut yang lapar selagi negara masih aman. Jauhkanlah bom-bom yang tidak disangka-sangka.  Moga keamanan ini mampu bertahan. Susah hati juga melihat harimau dan gajah yang bertelagah bimbang banyak rusa-pelanduk pula (walau sebenarnya cerdik) yang menjadi mangsa.

~~ Bila kepercayaan ramai sudah tercalar untuk memulihkannya bukan suatu perkara mudah.~~

Thursday, August 20, 2015

Penjara seumur hidup atau sampai mati

Sejak sehari-dua ini berita media tidak dapat lari dari isu di Thailand. Terbaru pengeboman di Kuil Irawan, Bangkok. Sebelum ini paparan berkaitan tiga tahun penjara yang dikenakan ke atas Andre Xavier Justo oleh mahkamah jenayah Thailand. Kedua kejadian ini secara tidak langsung memberi tempias kepada negara kita sebagai jiran.  Kematian warganegara luar termasuk negara kita sedikit mencalar imej Thailand. Begitu juga isu menjatuhkan hukuman tiga tahun ke atas Justo. Pada pendapat aku bagai tidak setimpal dengan ugutan yang dibuat olehnya. Bayangkan dia boleh memeras ugut bekas majikannya Petro Saudi International Ltd sebanyak 2.5 juta Swiss yang rentetan kisah ini jugalah timbul isu 1MDB di negara kita.

Bagaimanapun menurut Kak Reen "Seumur hidup pun mama kalau panjang umur sampai masa dia keluar dapat happy-happy lagi.  Bukan penjara sampai mati pun". Bila diterangkan oleh Kak Reen maksud seumur hidup bermakna jumlah penjaranya mengikut berapa usia dia sewaktu jatuh hukum. Jika berumur 30 tahun bermakna 30 tahun saja dia dipenjara. Berbeza kalau jatuh hukum sampai mati. 

Menurut Kak Reen juga, apa lagi seperti hukuman ke atas Justo ini tolak itu-ini mungkin akan kurang dari tiga tahun hukuman sebenar yang dijatuhkan ke atasnya. Sekali lagi aku baru memahaminya. Namun itulah hakikat hukuman rekaan manusia pasti ada lompongnya yang boleh dipertikaikan.

~~ Perundangan hukum yang digariskan dalam Al-Quran jugalah yang terbaik.~~

Wednesday, August 19, 2015

Masak sendiri, makan sendiri

Hidangan makan tengahari semalam
untuk tatapan di hari ini
ada ikan asam pedas dan juga ulam
tempe cili+bilis goreng kicap & tumis carrot+brokoli



Nasi masak di dalam pejabat
panas-panas makan sungguh nikmat
selain aku dapat berjimat
malas mahu turun panas teramat

~~ Hari ini aku bawa sayur bening kobis+kentang+suhun, ikan goreng dan terung masak pajeri. Jam 11:45 nanti baru aku tanak nasinya.~~



Tuesday, August 18, 2015

Bertingkat-tingkat mangkuk baru kenyang

Sudah beberapa kali sejak syawal minggu ke dua lagi merancangnya untuk ke sini tetapi tidak terlaksana. Setiap kali mahu keluar sebaik anak-anak habis mengaji ada tetamu bertandang mahu beraya. Ada juga bila melihat kita sudah siap berpakaian ada anak mengaji yang mahu ikut sama. Kalau makan di sini dengan budak-budak yang lebih kecil dari adik rasanya kurang sesuai kerana majoriti hidangannya pedas.  Jumaat kami bawa anak-anak yang mahu ikut kami makan ke Restoran Singgah Selalu dan hari Sabtu baru kami sekeluarga saja ke Restoran Boat Noodle ini.

Kerabu mangga - Sudah tinggal separuh baru teringat mahu difotokan. Pedas menyengat tapi sedap.
Lobster - Melihat dari buku menunya besar tetapi sekali datang biasa saja. Sebab itu kami sangkakan lobster di sini murah iaitu RM 89.90/- tapi baru tahu murah dari biasa sebab sizenya tidaklah sebesar mana. 
Habis - Ini mangkuk mama, Kak Meen dan papa. Kami makan mee sup dan mee tomyam.
Ada lagi - Ini mangkuk adik, Kak Reen dan papa. Setiap mangkuk kalau tidak ada meatball mesti ada udang. 
Anak mama - Sebenarnya mereka bertiga inilah yang merancang tempat makan. Mama-papa biasa ikut saja. Apa yang penting bila mereka puas dan kenyang.

Balik - Alhamdulillah... tertunai sudah apa yang dimahukan. Sebelum ini makan tanpa Kak Reen kini sementara Kak Reen cuti sem lagi gunakan masa bersama dengan sebaik-baiknya.
Semalam sekali lagi kami dikejutkan berita menyedihkan. Anakanda Amani binti Jamil, jiran sederet rumah aku meninggal dunia di usia baru 10 tahun. Seorang anak yang bijak, lemah-lembut dan pandai menghormati orang. Pengawas sekolah sessi sekolah agama dan kebangsaan. Sakitnya sekadar batuk yang bermula pada hari Jumaat, semalam di bawa ke hospital oleh cikgunya apabila kelihatan sesak nafas, tetapi petang lebihkurang jam 3:30 petang sudah menghembuskan nafas terakhir. Tidak ada yang menziarahi tidak mengalirkan airmata termasuk semua guru-gurunya. Salam takziah buat Mariani dan Jamil dari kami semua. Allahyarhamah menantimu di pintu syurga. Al-fatihah.

~~ Sesungguhnya mati itu benar, tidak ada yang hidup tidak menemui mati. Innalillahi wainnailaihi roji'uun. ~~

Monday, August 17, 2015

Bila bersembang dengan anak-anak

Malam itu sambil Kak Reen mengemas dan memilih mana baju yang mahu di tinggal di rumah dan mahu dibawa yang baru balik sambung belajarnya (bukan baju baru tapi yang belum pernah dibawa awal September ini) kami berbual. Bersembang itu-ini sehingga timbul kisah anak 11 tahun yang melahirkan anak. Aku dan anak-anak sangat terbuka walau dalam hal seksual. Bagaimana susahnya proses melahirkan bayi kami sama-sama bercerita sehinggalah tahap bila doktor menggunting *'bunga' sebaik bukaan sedia untuk memberi laluan bayi. Anak-anak mendengar pun ngeri dan membayangkan budak 11 tahun itu melahirkan anak. Kasihan, sedih dan hairan semuanya bercampur-baur. 

Adik: Agaknya dia tak belajar munakahat kan mama
Mama: Susah nak kata dik. Ada juga yang belajar tapi tidak faham.
Kak Meen: Bukan semua budak mudah faham dik. 
Kak Reen: Kasihan dia tak tahu walau dah berbulan-bulan mengandung.
Mama: Kalau dia tahu mesti dia beritahu mama dia dan hal ini tak terjadi
Adik: Dia tak pernah sakit perut ke selama dia mengandung mama?
Mama: Ada budak dia sakit perut sapu minyak sendiri bukan macam anak mama semua mama yang tolong sapu dan urut. (Adik sengih).
Kak Meen: Adik memanglah sikit-sikit mama.. mama..mama..
Adik: Habis, masa peluk-peluk salam pun mama dia tak tahu ke mama?
Mama: Entahlah dik. Mungkin mama dia tak perasan atau tak peluk selama dia mengandung.
Kak Reen; Budak itu kena jaga macam orang dewasa bersalin ke mama?
Mama: Eh.. mestilah. Mama atau nenek dia ada mesti tahu. Cuma kasihan dengan persekolahannya.

Begitu-begini boleh timbul hal berbengkung. Kak Reen mahu melihat macamana orang berbengkung. Aku keluarkan dan tunjuk bengkung Amway yang aku masih simpan lagi. Bengkung jahit sendiri yang 6 meter itu aku tidak kuasa mahu keluarkan. Panjang berjela! 

Berbengkung - Ini adik. Angkat tangan untuk ambil gambar. Teringin sangat mahu merasa berbengkung rasakan.  Perut kecik mestilah tercantum talian kanan dan kiri. Selepas siap masing-masing tergelak:) Bayangkan budak 11 tahun itu bagaimana? Sedihnya:(
Sudah tiba masanya kita kena kena alert dengan anak-anak terutama waktu *ABC mereka. Aku pun sebagai mama amat bimbang dengan kejadian-kejadian seumpama ini - godaan syaitan di sana-sini. Penekanan didikan agama kena sering diulang-ulang. Moga anak-anak lebih terdedah dalam hal ini dan tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk sehingga boleh merosakkan masa depanya.

~~ Tanggungjawab ibu-bapa bukan bagi makan-pakai saja. Kelak di sana akan ditanya semua tanggungjawab termasuk didikan agama apa yang telah kita berikan.~~


*bunga - alat sulit wanita
*ABC - Allah bagi cuti

Saturday, August 15, 2015

Semailah demi untuk hari mendatang


Merenung sebahagian kata-kata yang diucapkan oleh President Lee Shian Loong, president Singapore bersempena hari kemerdekaan negara mereka 9 Ogos lepas, buat aku terfikir sama. Pre-National Day itu diraikan di Botanical Garden negara mereka yang disiarkan secara langsung di semuala saluran televisyen Singapore. Kami yang tingga di JB sebagai jiran boleh menonton sama. Katanya generasi dulu menanam banyak pokok yang banyak dan nikmatnya dirasai kita generasi kini. Menurutnya juga ada pokok yang mereka semua lihat ketika itu mencecah usia ratusan tahun. Bukan sepuluh atau dua-puluh orang boleh berteduh di bawah pokok yang banyak itu, tapi ribuan rakyat mereka dapat berteduh pada hari tersebut. Mereka dapat menikmati kesegaran taman hasil semaian datuk-nenek-moyang mereka dulu.

Mendalam maksud president itu sehingga aku merenung dari kata-katanya. Oleh itu sebagai manusia kenalah kita terapkan dan mencari jalan di dalam minda kita untuk memberi hasil yang boleh ditinggalkan sebagai warisan terbaik buat anak-cucu-cicit kelak. Keamanan, keharmonian, kekuatan bangsa kena kekalkan sebaik-baiknya.

Ibarat juga kita menanam pokok, jika benih yang baik tidak mustahil hasil benih tersebut akan melahirkan pokok yang sihat. Namun pokok yang sihat jika dirosak oleh parasit atau racun tidak mustahil pokok akan musnah dan tidak berjaya menghasilkan apa yang diharapkan oleh penyemai benih yang asal. Usaha kena ada untuk menghalang parasit dan racun dari singgah pada benih yang kita semai sehingga pokok benar-benar mengikuti spesifikasi yang kita mahukan. Bukan mudah tapi kena ada usaha. Begitulah jika meninggalkan zuriat biarlah yang memenuhi spesifikasi yang sekurang-kurangnya mampu mendoakan kita bila kita tiada kelak.

~~ Tidak ada suatu apa pun hasil boleh diraih dengan jalan mudah. ~~

Friday, August 14, 2015

Hebatnya aura dan peranan guru

Pada bulan ramdahan lepas setiap hari ke sekolah kebangsaan adik mesti membawa telekung. Biasanya hanya ke sekolah agama saja sebab sebelah petang masuk waktu asar sebelum waktu balik sekolah.  Sebagai mama mestilah suka sebab adik bila bercuti di rumah amat payah untuk bersolat dhuha. Oleh itu bila pihak sekolah telah menjadikan solat dhuha sebagai rutin pada waktu rehat makan (ramadhan mereka berpuasa) lalu secara tidak langsung ia telah menjadi satu kebiasaan pada anak-anak. Pujian memang harus diberikan kepada pihak sekolah. Sekarang setiap hari walau bukan bulan ramadhan adik membawa telekung ke sekolah. Dhuha dapat dibuat setiap hari waktu rehat.

Pendekatan sahsiah diri kadang-kadang jika di rumah agak sukar tapi melalui sekolah ia akan menjadi lebih mudah. Apa yang aku perhatikan ada kalanya cara didikan kita di rumah agak susah diadaptasi oleh anak-anak tetapi atas asuhan guru di sekolah anak-anak lebih mudah mengikut. Itulah hebatnya aura dan peranan seorang guru. Sebab itu menghormati guru itu penting sepertimana anak-anak menghormati ibu-bapa juga. Terima kasih cikgu.

Sekadar hiasan  - Sama macam mama juga adik pantang jumpa baby kalau boleh mahu diangkut bawa balik. Ini anak sepupu adik, kira adik sudah jadi auntie usu dan mama jadi nekma Zakie.

~~ Betullah melentur buluh biar dari rebung.~~


Thursday, August 13, 2015

Bila mengemas dan letih

Semenjak balik dari kampung pada minggu pertama Syawal lagi peti sejuk tidak berkemas. Mengambil kesempatan selepas subuh kerana hujan, Sabtu lepas aku tidak berjoging. Setiap rak yang dikemas aku jumpa macam-macam jenis coklat. Coklat bulat, leper, lonjong, hitam, coklat, putih bahkan yang bercampur pun ada. Rasa yang pahit, manis, mint, entahlah aku pun tidak tahu.

Satukan - Semua coklat-coklat aku masukkan bekas. Tunggu masa anak-anak mengaji menggelidah peti sejuk.  Kalau mereka jumpa adalah yang tolong makan. Sekarang mereka asyik makan biskut yang ada di atas meja.  

Selepas mengemas siap-siap ke Plaza Angsana untuk mencari pencuci muka anak dara pula. Adik mahu membeli novel pun aku tidak benarkan. Rehat dari membaca novel untuk masa ini sehingga habis UPSR. Selepas itu mahu tidur, menggulai, rebus atau makan novel pun mama dan papa tidak kisah.

Hj. Wahid Mee Rebus -  Berhenti di sini. Boss sendiri yang mengendalikannya. Bukan senang melihat Hj Wahid sendiri yang melayan. Bertuah hari itu juga sebab tidak berderet yang menanti mungkin sebab sudah agak lewat. Kalau tidak pasti berderet sehingga ke  laluan celah meja-meja makan.

Mee Rebus - Ini aku punya.
Bersyukur kita masih diberi peluang untuk menikmati apa yang kita mahu. Apa juga resepi hatta yang bukan origin dari Malaysia pun sekarang sudah mudah diperolehi di negara kita. Apa yang penting kenalah tahu memilih yang halallan toyyiban.

~~ Bila berpuasa sedikit saja makanan masuk ke dalam perut sudah kenyang dan bertahan lama. Tetapi bila tidak berpuasa dari pagi jejak ke malam perut sentiasa di isi. Kasihan perut.~~


Wednesday, August 12, 2015

Badak berendam


Jus air pandan+tepung pulut+santan+sedikit garam. Uli rata.

Gula melaka diracik kecil untuk dijadikan inti doh di atas.

Siap doh dan inti buat bulat masukkan dlm air mendidih. Bila timbul angkat

Santan dimasak bersama sedikit garam. Ambil biji hijau yang timbul tadi dan masukkan dalam santan ini, siap!

~~ Hasil airtangan Kak Reen. ~~

Tuesday, August 11, 2015

Majlis dialog dan jamuan Hari Raya

Majlis dialog prestasi UPSR bersama ibu-bapa bersempena mengambil keputusan percubaan UPSR adik berlangsung Ahad lepas. Keputusan adik menurun kerana peperiksaan sebelum ini adik mendapat tempat pertama mengalahkan semua pelajar tahun 6 yang ada, tetapi kini jauh terus ke nombor lapan dan juga ke lapan seluruh tahun 6. Walaupun cikgu berkata pada aku jangan bimbang tetapi sebagai mama pastilah ada sedikit rasa cuak. Peperiksaan UPSR sudah paras hidung kerana akan berlangsung  7, 8, dan 9 September ini. Sudah terlalu dekat.



Tekun- Anak-anak lelaki tahun 6 yang duduk sebelah kiri kami. Di bahagian aku duduk semuanya murid perempuan.

Kerjasama - Selepas mengambil fail keputusan peperiksaan duduk semula ke dewan ini untuk acara seterusanya. Pihak sekolah mengadakan majlis jamuan Hari Raya.
Telefon bimbit adik - Sementara menanti semua sedia adik kena menghafal hafazan tiga suroh ('Ammayatasa alun, 'abasawatala dan  satu lagi lupa pulak aku) sebab 9, 10 dan 11 hb  (hari ini) adalah hari peperiksaan hafazan untuk peperiksaan SDEA (Sijil Darjah Enam Agama) Negeri Johor.

Senang - Budak sekarang mahu menghafal mudah sebab boleh ke hulu-hilir bawa handset. Alhamdulillah adik sudah hafal semuanya. Aku sendiri yang menjadi tukang semak sebenarnya pun tidak hafal.

Masa makan - Anak-anak dan ibu-bapa dijamu dengan hidangan enak. Nasi impit/lontong, lodeh, kuah kacang, rendang ayam dan kuih-muih  serta buah-buahan disediakan pihak sekolah. Ada caterer yang menghantar. 

Marhaban - Sebenarnya sebelum makan kami ada bermarhaban dipimpin oleh ustaz sekolah adik.
Moga tahun terakhir UPSR ini adik dan kawan-kawannya mampu meraih impian mereka dan tidak kurang harapan ibu-bapa dan para guru yang dedikasi. Sudah terlalu banyak usaha dan cara pihak sekolah lakukan semata-mata demi kejayaan anak-anak. Ibu-bapa dan anak-anak sendiri kena lebih prihatin demi kejayaan yang mahu diraih.

~~ Usaha sudah, doa kena panjat selalu sebelum berperang ke medan peperiksaan yang tinggal beberapa hari saja lagi.~~


Monday, August 10, 2015

Meraikan ulangtahun di kelas

Kalau yang sudah dewasa pun mudah ikut-ikut apa lagi dengan anak-anak yang masih mentah. Adik pun sama. Bagaikan menjadi kebiasaan sedari tadika lagi bila hari ulangtahun pasti mahu membawa ole-ole buat teman sekelas. Melihat setiap kali ulangtahun kawan-kawan semua ada membawa sesuatu untuk diagih dengan kawan-kawan dia pun mahu. Tetapi oleh kerana dua tahun berturut-turut ulangtahunnya jatuh pada bulan ramadhan tidak dapatlah dia memberi ole-ole buat kawan sekelasnya.

Tahun ini ulangtahun adik jatuh pada bulan syawal oleh itu  dari awal lagi mama sudah diingatkan apa yang dia mahu. Adik kurang suka kek jadi mencadangkan untuk membuat triffle. Aku buat 42 bekas kerana jumlah ini termasuk cikgu yang mengajarnya sekali.

Gula-gula - Anak-anak mana boleh dipisahkan dengan gula-gula dan coklat. Ini yang kami masukkan ke dalam sampul duit raya. Bersatu dengan duit raya sekali untuk kawan-kawan adik. Apa lagi memang duit raya yang kami sedia untuk budak-budak masih banyak lagi.

36 sampul - Kak Reen yang tolong buatkan semua ini. Siap semua masukkan ke dalam beg untuk memudahkan adik mengagihkan di dalam kelasnya.
Triffle - Potong pandan kek untuk lapisan bawah, basahkan dengan air koktail, Lapis kedua adalah custard dan atas sekali jelly yang sudah aku masukkan buah-buah dari koktail. Simpan satu malam di dalam fridge esok pagi susun bawa ke sekolah.

Mungkin tahun ini peluang terakhir untuk adik berbuat seperti ini. Tahun depan adik sudah 13 tahun tidak tahu bersekolah di mana. Kalau ikut kakak-kakak bermula 13 tahun tidak ada lagi peluang untuk mama berbuat begini. Apa pun tetap mengharapkan segala yang baik-baik buat semua.

~~ Anak kian membesar, mama-papa kian dipanjat kesunyian.~~

Saturday, August 8, 2015

"Rania Turn's 1 GiveAway!"

Sekali pandang sudah terpikat. Comel bukan? Siapa pun melihat sekali akan pandang sekali lagi. Bersempena usianya yang menuju ke satu tahun ada paparan istimewa melalui blog umminya.



Ini dia baby comel yang selalu aku suka lihat. Bagi memeriahkan suasana marilah join GA ini. Mahu tahu lebih lanjut sila klik di sini.

~~ Penyeri mahligai rumahtangga yang sekian lama dinantikan dengan penuh kesabaran.~~

Friday, August 7, 2015

Mencari hala tuju kehidupan

Ramadhan lepas. Sebaik dokumen dihulur terus berkata, "Tumpang rehat sekejap ye kak." Tentu saja aku membalas. "Eh, silakan dik. Duduklah rehat dulu sejukkan badan." Selepas aku tandatangan dan cop slip penerimaan dia masih duduk lagi. "Rehatlah dik, cuaca tempat kita sekarang tak menentu." Remaja lelaki itu tersenyum tapi jelas terpancar keletihan dimukanya. Dugaan sebagai penghantar surat begitulah. Kalau hari-hari biasa bila dia tiba di meja aku pasti sebiji gula-gula atau apa yang ada di atas meja aku dapat dijamah tapi bulan ramadhan apalah yang dapat diberi selain mendoakan semoga remaja ini kuat dan sabar dalam menjalankan tugasannya. Semalam sebaik menghulur dokumen muka ceria dan tidak nampak keletihannya. "Selamat Hari Raya Kak." Senyum sambil menanti slip dicop. Sementara itu dapatlah dia merasa kuih tart dan duit raya RM10/- dari aku. 

Dalam balang - Biskut tart yang aku bawa dari rumah
Berpuluh tahun aku bertugas belum pernah aku berjumpa tugas sebagai penghantar surat yang disandang oleh orang bukan bangsaku. Sebaliknya jika yang menjadi jurujual produk untuk kegunaan syarikat hampir 90% bukan bangsaku. Ada sedikit terkilan namun apalah kemampuan aku sebagai insan kerdil. Bekerja pula dilingkungan 99% bukan bangsa sendiri.

Biskut Tart - Masih berbaki lagi

Merenung masa depan anak-anak alangkah baiknya jika kita mampu untuk membuka empayar dari sekarang. Tidak salah menjadi perintis untuk anak-anak kita supaya tidak menjadi seperti kita (kepada yang tidak punya apa-apa seperti aku). Tidak kiralah empayar apa yang mahu dilakukan kita kena mulakan dari sekarang. Menternak, membuat kek/kuih, menjual pakaian atau apa juga yang mungkin kita rasa waktu ini sebagai hobi atau pendapatan tambahan, cuba kekalkan dan luaskan pasaran. Sebagai pengguna pula, kita bantu saudara dan bangsa kita. Sedikit terlebih mahal abaikan dan anggap ini jihad untuk saudara kita maju ke hadapan.

~~ Untuk diri sendiri masih terkial-kial. Anak-anak perempuan pula tidak tahulah mereka mampu untuk meneruskan legasi yang papa sudah lakukan kini atau tidak. Mama pula tidak ada kelebihan yang boleh dibanggakan.~~


Thursday, August 6, 2015

Sepi kian terasa tanpa anak-anak beraya

Apa yang aku catat adalah melalui pemerhatian aku sendiri. Jika mengikut pendapat bapak rumah yang sentiasa dikunjungi tetamu tanda murah rezeki. Apa lagi jika dikunjungi anak-anak yang belum baligh. Nostalgia zaman aku kanak-kanak dulu jika berhari raya kami sepakat ramai-ramai beraya keliling kampung. Dulu untuk mendapatkan duit raya bukan macam anak-anak zaman sekarang. Kalau dapat dari rumah mereka yang bergelar cikgu adalah 20-50 sen seorang. Itu sudah dikira amat besar nilainya buat anak seperti aku ini yang lahir dari keluarga miskin. Rumah orang-orang biasa kami dijamu dengan air dan biskut saja.

Dunia era globalisasi kini untuk melihat anak-anak berjalan berkumpulan beraya dari satu rumah ke satu rumah aku perhati kian kurang. Untuk tahun ini bertambah suram. Tiga-empat tahun lepas masih lagi meriah sedikit, tahun lepas juga masih dikira sederhana bila melihat jumlah ringgit yang kami agih pada anak-anak yang bertamu. Tetapi tahun ini terasa sunyi benar untuk melihat kemeriahan tersebut. Duit raya yang kami sediakan bagaikan tidak susut-susut.

Nasi goreng tomyam - Kalau disediakan begini pun di rumah mereka ada dan satu yang tidak menghairankan buat mereka
Betapa anak-anak semakin tidak ghairah untuk beraya. Untuk mendapat duit mudah dapat dari ibu-bapa masing-masing. Kuih-muih dan makanan juga, apa saja mahu mudah diperolehi dari rumah sendiri. Anak-anak lebih erat berkawan melalui gadjet berbanding dengan kawan secara live. Ibu-bapa pula sentiasa dalam kebimbangan bila anak-anak berada diluar, terlalu banyak isu anak kena culik. Kerja sekolah pula sentiasa menanti anak-anak walau cuti untuk beraya. Semua ini menjadi penyumbang ukhuwah anak-anak kian longgar hatta di bulan syawal yang mulia ini.

Domino pizza - Ini pun sering dapat itu yang tidak menggugat anak-anak untuk rajin beraya.
Oleh sebab itulah juga sewaktu aku menjaga hubby di hospital setiap kali aku bertemu anak-anak tidak kiralah bangsa apa pun aku hulur duit raya. Nasiblah ada yang sampul RM2/- saja pun. Ada yang RM5/-. Sebab aku dapat merasakan semakin kurang anak-anak yang mahu beraya tahun ini.


~~ Samada kita mahu atau tidak tetapi itulah realitinya hari ini.~~