Friday, September 30, 2011

Hujan pagi Jumaat

Payung sudah sedia dibuka untuk mengelak dari simbahan air hujan yang bagai limpahan air terjun. Adik sudah berbungkus dengan jacket dari kepala hingga paras lutut. Dalam kereta tuala pun dibawa sebagai persediaan untuk mengelap mana yang patut. Lebat sungguh!! Kakak Yasmien masih terkedek-kedek menyarung setoking. Aku suruh dia naik kereta papa. Panahan sinar lampu kereta masih tidak cukup terang dek air hujan yang mencurah. Sebaik adik masuk aku pun reverse... bang!! belakang kereta aku melanggar kereta hubby dibelakang. Sungguh aku tidak nampak. Masa bila pula hubby parking JEU 892 di belakang kereta aku.


Hubby geleng kepala. Aku tidak keluar kerete, tetapi hubby bagi isyarat jalan, aku pun bergerak. Mungkin tidak kemek sebab aku reverse pun perlahan. Teman pejabat aku kata kalau 'kancong-kancong' itulah jadinya. Tahu apa itu 'kancong' macam tergesa-gesalah maksudnya.

Hari ini juga sepanjang perjalanan aku ke pejabat ditemani curahan hujan lebat. Banyak jalan hanya boleh digunakan separuh lane saja. Lebih teruk di Taman Mount Austin, simpang menuju ke Taman Daya dan simpang ke Bengkel MBJB dipenuhi air. JMY982 aku terus meredah juga. Apa yang membuat aku sedikit jengkel teksi depan yang bagai tidak tahu trick kalau meredah air, mana boleh tukar gear sebaliknya dia boleh bermain dengan break. Tidak takut air masuk dalam ekzoz. Mujur ada wagon tinggi memotongnya dan air terkuak lalu aku mengekor di belakang wagon tersebut. Selamat.



~~ Setiap kali hujan lebat apa yang merisaukan aku banyak laluan dari rumah ke pejabat sering dinaiki air yang boleh membuat kereta sedikit berendam dalam banjir kilat. ~~



Thursday, September 29, 2011

Penutup Aidilfitri 1432H

Situasi beramah-mesra, menjeling baju cantik-cantik, menikmati beraneka juadah dari berbagai negeri, memberi duit raya pada anak-anak, mencatat resepi kuih dan anak-anak berbaju Melayu telah berakhir malam tadi di taman perumahan aku. Marhaban penutup untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun 1432hijri sudah berakhir. Malam tadi juga terpaksa kami habiskan sebanyak sepuluh buah rumah kerana syawal 1432H telah berakhir. Lihatlah beberapa paparan gambar yang sempat anak aku ambil buat paparan di sini.

Anak-anak - Tiada apa yang paling menggembirakan anak-anak yang bak kain putih. Mereka turut sama bermarhaban dan saat paling dinantikan bila mendapat duit raya. Ada yang menggantikan duit raya dengan jajan yang dibungkus dengan plastik.

Doa - Selesai marhaban doa dibacakan oleh sesiapa sahaja kerana text doa telah disediakan. Hanya bila tiba pada nama siapa tuan rumah tersebut perlu ditukar. Lihatlah aku tidak sempat hendak ambil t-shirt futsal Yasmien yang tersangkut di pintu pagar.

Ucapan - Setiap kali habis berdoa tuan rumah akan memberikan sepatah dua kata. Biasanya adalah mohon kemaafan salah-silap ahli keluarga dan mohon semoga dipertemukan lagi di tahun hadapan sebagaimana doa yang telah dibaca.


Ibu dan anak - Keseluruhan jumlah yang hadir aku rasa mencecah hampir seratus orang. Aku dapat mengagak dari jumlah air kotak yang aku sediakan tidak berbaki langsung.



~~ Selalu habis saja Hari Raya anak-anak lelaki menjadikan baju Melayu mereka sebagai baju tidur. Kalau yang bujang atau yang dewasa jadilah baju raya tersebut dipakai untuk bersolat ke masjid, itu pun tidak lengkap bersamping. Elok saja bagi kaum hawa sentiasa di pakai selalu. Sebab itu jangan hairan mengapa orang perempuan selalu membeli kain untuk membuat baju.~~



Ada peristiwa tidak dapat dilupa malam terakhir marhaban tersebut. Akan aku kisahkan pada minggu hadapan.

Wednesday, September 28, 2011

Hujung Bulan

Ada beberapa blog teman blogger yang aku cuba komen tidak dapat masuk kotak komen sebagaimana yang kakcik alami semalam. Geram juga sebab teman blogger sudah memberi komen di blog kita tetapi kita tidak berupaya untuk berkunjung blog mereka. Apa agaknya masalah blogspot sekarang?

Tambah menjengkelkan setengah hari semalam aku kehilangan kalkulator. Hujung-hujung bulan selalu benar kalkulator boleh berjalan-jalan dari satu meja ke meja lain. Boleh keluar bilik lagi. Lebih musykil bila kalkulator bertukar brand dan saiz. Bukan tidak ada nama tapi entah hantu mana yang membawanya berjalan aku pun hairan. Masing-masing bukan tidak punya kalkulator tetapi seringkali bila hujung bulan saja kalkulator boleh berubah rupa macam staff-staffnya juga yang merudum hujung bulan menantikan gaji yang belum masuk akaun masing-masing.


Pagi ini pandai pula kalkulator aku duduk cantik di atas meja siap dengan pembaris panjang yang telah seminggu hilang dari pandangan. Aku geleng kepala sambil senyum sendirian.



~~ Sampai bila agaknya baru aku dapat memberikan komen di blog teman blogger yang gagal aku tinggalkan komen tidak tahulah~~



Monday, September 26, 2011

Jodoh itu ketentuan Allah

Teknologi canggih jika digunakan untuk kebaikan akan menjadi baik. Tujuan mencari teman sekolah yang lama ditinggalkan melalui facebook menjadi kenangan manis buat mereka berdua. Majlis berlangsung pada hari Sabtu yang lalu. Kami sebagai sahabat bersyukur sama kerana jodohnya dipertemukan di saat masing-masing akan menunaikan ibadah Haji pada tahun ini yang dijangkakan penerbangannya pada Oktober depan. Siapa sangka yang pada mulanya pasrah akan beribadah di sana berteman kumpulan yang solo akhirnya mereka dijadikan pasangan suami-isteri. Kedua mereka juga adalah teman satu kampung, satu sekolah dan kini mempunyai karier masing-masing tinggal bersebelah taman. Perancangan Allah maha hebat!!


Pagi - Sebelum majlis bermula sebahagian sahabat yang telah tiba. Lihatlah reben adik besar gedabak, dibelikan oleh si kakak yang pergi ke I-City minggu lepas.


Ayam masak merah


Rendang daging lembu

Kambing masak kurma



Hidangan lain - Ada lontong + kuah sate, otak-otak (Kak Ita & Abang Din) jiran sebelah rumah pengantin lelaki menderma ini sepanjang majlis berjalan. Otak-otak pun dibakar di porch rumahnya. Kuih-muih juga dihadiahkan oleh hamba Allah juga sepanjang majlis. Tukang masak pun dari taman kami juga. Kambing golek juga ada tapi aku tidak sempat merakam. (orange dalam bekas itu aku yang potong tau. hikhik.....)


Gotong-royong - Sepanjang majlis dari hal-ehwal rewang, kendarat dan cuci pinggan-mangkuk semuanya kami sahabat-handai satu taman berganding bahu sebagimana biasa dilakukan oleh orang kampung, kami lakukan secara bergotong-royong. Hanya pelamin saja pihak pengantin tidak mahu kerana malu katanya.



Kendarat - Sebelum balik petang itu kami bersama-sama bergambar sebagai kenang-kenangan. Mohon semoga jodohnya berkekalan. Buat Azmi dan Fairuz kami mengucapkan Selamat Pengantin Baru. Selamat menunaikan ibadah Haji dan diberi kesihatan yang cemerlang agar dapat beribadah dengan selesa dan sempurna. Doa kami juga moga ibadahnya diterima Allah dan mendapat Haji yang mabrur. Selamat pergi dan kembali bersama kami masyarakat Taman Damai. Terima kasih pemberian cenderahati tudung buat kami semua.



~~ Sungguh benar sekali hidup, mati dan jodoh pertemuan itu telah tertulis di Loh Mahfuz. Selalulah bersangka baik bahawa setiap kita pasti akan menemui jodohnya (dengan izin Allah) hanya cepat atau lambat saja. Dalam Suroh An-Nuur ayat 26 yang bermaksud - "Wanita-wanita yang buruk itu untuk lelaki yang buruk, dan lelaki yang buruk untuk wanita yang buruk; sedangkan wanita yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik"~~

Friday, September 23, 2011

Tak malu ke?....

Kakak: Mama Hari Sabtu ini kawan Mien nak datang beraya rumah kita mama masak spegetti mushroom boleh tak?

Mama: Boleh. Berapa ramai yang nak datang?

Kakak: Kawan Mien yang 7 orang dah confirmed tapi yang lain belum lagi. Kena tahu program mama-papa mereka.

Aku angguk saja untuk membuat hati dia senang. Adik yang duduk mengulek angry birds dia sedari tadi walau mata kelihatannya mengadap membaca novel tetapi rupanya memasang telinga.

Adik: Kakak tak malu ajak kawan kakak datang rumah? Tengok sofa di luar tu dah koyak kena cakar dengan kucing?

Mama: Kenapa nak malu, mama dah tampal koyaknya. Ala... bukan nak duduk tempat koyak tu dik. Mama sayang sofa lama tu. Sofa tu ada sejak adik belum lahir lagi tau...

Tampal - Kalau dilihat dari posisi atas ok lagi.

Alas - Lagi pula ada alas ini kalau duduk tidak perasan pun tampalan itu.
Tampalan - Tetapi kalau di lihat dari sisi jelas kerana aku tampal menggunakan kain warna purple. Hendak cari warna maroon yang sama dengan warna sofa itu tidak ada. Inilah dek cakaran entah kucing siapa boleh masuk tanpa kami sedari kerana sofa ini aku letak di porch saja.
Jelas - Itu dia sofa koyak yang adik malukan. Aku tetap menggunakannya lagi sebab bila bertanya di kedai tempohari kalau hendak tukar tidak termasuk material dia kenakan harga RM 1500/- untuk semua sekali termasuk yang single seat ada empat. Aku kata pada hubby "Tak payahlah, selagi boleh duduk kita duduk aje"......



~~ Aku bukan jenis yang cerewet sangat dengan perabut-perabut di rumah. Kalau hendak tahu rumah aku kosong agar mudah kalau ada ramai saudara-mara yang datang hendak lepak-lepak. Kalau yaasiin-tahlil pun senanglah tidak perlu hendak memungah perabut sakan (tapi yang sebenarnya aku tidak mampu hihihi...)~~~

Thursday, September 22, 2011

Aneh pada mereka

Tangga - Rumah lama yang masih ada tangga ini. Penghuninya bukan orang miskin. Tetapi kalangan orang professional semuanya. Tapi entah mengapa masih mengekalkan rumah nenek mereka ini hingga kini. Susah mahu mencari rumah sebegini lagi sekarang.
Tinggalan lama - Tulisan ini peninggalan arwah kiyai Hj. Abdul Jalil yang dulunya surau ini tempat belajar mengaji dan majlis keagamaan. Surau masih boleh digunakan untuk bersolat walau telah terlalu usang. Wujud sebelum aku lahir lagi. Bayangkanlah.....

Nilai estetika - Anak aku mestilah terpegun bila papa katakan benda inilah dulu digunakan untuk menyeru penduduk kampung untuk berbuka puasa, bersahur atau jika ada kematian seseorang.

Beduk - Kalau orang jawa sebut "kentong". Bukan boleh sebarang palu. Jika paluan bertujuan memanggil untuk solat atau pemberitahuan kerana ada kematian nadanya berbeza. Aku pun sebenarnya tidak tahu membezakannya, tetapi kalau bapak aku pro.

Parit - Kalau dulu aku berkubang di parit seperti ini. Waktu beraya hari itu di sebelah surau yang kami singgah ada parit. Anak-anak mestilah hairan kerana airnya sama warna macam air teh-o. Mencecahkah kaki terasa kedinginannya.

Adik - "Bestlah mama... kalau ada swimming suit boleh mandi kat sini"

Air parit - Jernih walau telah cetek kerana tanah dipersekitarannya adalah tanah gambut yang mudah jerlus. Kalau pakai hills memang jerluslah hills masuk tanah. Parit ini masih ada anak-anak ikan. Dulu aku panggil ianya ikan cupang.

Lopak - Anak aku kata tapak kaki jin sebab terlalu besar hingga boleh menakung air. Entah dari mana anak aku ambil gambar ini aku pun tidak pasti.Tapi apa yang nyata katanya sewaktu kami beraya di salah satu rumah di kampung itu.



~~ Banyak juga penemuan baru yang menjentik sedikit hati anak-anak ketika beraya di kampung ini kerana situasi ini dulu adalah perkara biasa buat aku anak kampung yang hidup serba kekurangan.~~



Wednesday, September 21, 2011

WW - Today's Lunch


~~ Lama berpuasa terasa kekok hendak makan nasi di waktu tengahari.~~










Tuesday, September 20, 2011

Angry Birds

Merengek. Asyik-asyik hendakkan angry birds. Bila dijanjikan andai keputusan peperiksaan baik pasti akan dibelikan masing-masing tidak mahu. Mereka tetap mahu novel bagi hadiah setiap kali keputusan peperiksaan keluar. Angry birds sekadar permintaan tanpa sebab dari mama-papa katanya. Kadang-kadang hati cair juga dek pujuk-rayu anak.

Dua ekor - Sewaktu shopping di Maidin, Bandar Baru Uda bulan ramadhan tempohari ada offer. Seekor cuma RM 39.90/- Kalau sebelum ini saiz sebegini berharga RM 45/- seekor. Belilah aku 2 ekor burung tak bernyawa tapi bagaikan ada nyawa kalau di rumah aku sebab masih ada teman mahu berbual dengannya.
Garang - Muka garang ini yang disukai itu yang aku tidak faham. Balik kampung pun ikut masuk dalam kereta juga dua ekor burung ini. Hitam kakak punya, adik punya yang merah.
T-Shirt - Tidak cukup dengan burung dibelai, siap mahu yang boleh dipakai lagi. Nasib baik murah, sehelai RM 23/- saja. Beli di TJ Mart, Saleng.
Kemaruk - Kalau kering saja t-shirt ini dari cucian mesti adik akan pakai lagi. Ulang-ulang baju yang sama, kalau orang yang tidak tahu mesti ingat adik tidak ada baju lain. Sebab aku memang beli sehelai saja. Pencil case - Pergi makan semalam kerana kakak sudah habis periksa singgah di Kipmart jumpa ini. Sekolah sudah hampir ke penghujung tahun tetap hendak beli juga. Nasib baik cuma RM4.50/-





~~ Aku perhatikan sejak akhir-akhir ini anak-anak gemar betul dengan angry birds. Kalau ikut pemerhatian aku mukanya hodoh berbanding dengan twittie atau hello kitty yang manis dan penuh dengan senyuman.~~

Monday, September 19, 2011

Hari Terakhir UPSR 2011

Tiga hari aku berkampung di sekolah bersama-sama berjuang dengan anak yang menduduki peperiksaan. Taklimat akhir para guru untuk murid-muridnya di hari akhir peperiksaan menjentik perasaan. Aku terharu sungguh dengan tumpuan penuh para guru hingga di saat akhir sebelum masuk ke dewan murid-murid masih diberikan peringatan. Aku yang jadi ibu pun boleh faham bagaimana besarnya harapan para guru tersebut seperti kami ibu-bapa mereka.

Tekun - Semua tekun mendengar butiran kata-kata cikgu Kasmah mereka


Sekali lagi - Cikgu ini pun sama juga


Selesai - Habis peperiksaan bagai tidak dapat di kawal kegembiraan mereka


Taklimat - Sebelum bersurai semua mendengar taklimat penerangan tentang borang kemasukan ke sekolah berasrama


Lega - Jelas terpancar kelegaan di muka masing-masing
Harapan - Borang kemasukan sekolah asrama berada dalam genggaman masing-masing
Bersurai - Selepas ini ada acara lawatan sambil belajar yang dianjurkan pihak sekolah untuk mereka pula.


Harapan cikgu - Insya-Allah segala usaha kita dimakbulkan Allah, terima apa sahaja apa yang akan diberikan olehNya kerana kita telah berusaha. Itu kata cikgu mereka Cikgu Fuziah - Guru kesayangan mereka ini. Yasmien, Izzah, Fathia, Aida, Alia dan Najwa masih mahu berbincang sesuatu dengan cikgu kesayangan sebelum balik.





~~ Menjadi harapan setelah segala usaha di curah kenalah redha apa juga keputusan yang diperolehi. Tambah berdebar-debar bila ada yang mengatakan pelajaran Mathematic ada soalan bocor dan mungkin peperiksaan akan diulang untuk matapelajaran ini membuat jiwa aku kacau. Harap-harap tidaklah terjadi hendaknya. ~~