Friday, March 30, 2012

Utusan dari adik

Ambil bantal, tepuk-tepuk untuk membaringkan kepala. Tiba-tiba hubby terjumpa kertas di bawah bantal. Kemudian hulur pada aku kertas itu. Aku ambil dan letak dalam bakul sikat di atas almari bersebelahan katil kami. Dalam hati siapa lagi kalau bukan adik sebab semalam balik kerja aku nampak dia ada di dalam bilik aku sambil membaca buku - peperiksaan sekolah agama minggu ini.

Pagi hendak sikat rambut jumpa kertas malam tadi. Bagaikan postcard yang berlipat. Aku buka dan membaca apa yang ditulisnya - senyum sendiri.  Kemudian aku hulur pada hubby. Kami senyum. Tidak cukup setiap kali hendak ke sekolah "Mama/Papa doakan adik periksa hari ini tau".

Lipat dua - Inilah cara penyampaian yang asal

Buka - Bila dibuka ianya adalah postcard Angry birds

Utusan dia - Lihatlah gambar lukisan tangan adik. Anak aku kesemuanya tidak ada bakat melukis macam mama-papanya juga.

 ~~ Anak juga punya perasaan mahu isi hatinya dibaca dan diambil berat. Tidak cukup dengan kata-kata ia mahu juga disampaikan melalui tulisan.~~










Thursday, March 29, 2012

Sambal belacan

Aku dengan sambal belacan tidak boleh dipisahkan. Tetapi anak-anak aku walau dari celik mata telah melihat sambal belacan bagaikan irama dan lagu dalam keluarga kami, belum ada lagi seorang pun yang pandai makan sambal belacan. Kalau sayur kangkung goreng belacan atau kailan goreng belacan pandai pula mereka makan. Bapak pula macam aku kalau timun, kacang botol, ulam raja atau apa saja ulam cecah sambal belacan itulah yang membuka selera kami.

Bapak siap berpesan lain kali kalau tumbuk sambal belacan guna cili besar kalau mahu anak-anak makan sama. Itulah bapak seboleh-boleh mahu cucu-cucunya menikmati sambal belacan, sedangkan mama dia bila menumbuk sambal belacan andai tidak ada cili padi tidak puas.


Sebekas - Aku bila membuat sambal belacan penuh satu bekas ini tahan 3-4 hari. Selepas makan, tidak habis masuk dalam peti-ais. Bekas ini azian yang bagi. Bila makan mesti ingat pada Muiz dan Muaz hero-hero dia.

Itu dia - Sambal belacan ini aku perahkan limau kasturi. Aromanya menangkap lubang hidung.

Sampingan - Ini 'sambal belacan' anak-anak aku. Berulam juga dengan timun tetapi cecahnya dengan yang ini.


Taman rekreasi Hutan Bandar - Sengaja aku tepek gambar ini. Makan di sini pun ada sambal belacan juga. Kalau ingin mencuba silakan ke sini. Dekat saja dengan RTM Johor.



~~Makan tengahari atau malam andai ada ulam dan sambal belacan sudah cukup membuat selera aku terbuka selalu. Namun bagus juga anak aku tidak pandai makan sambal belacan bila baru-baru ini doktor melarang dia makan belacan dan karangan laut.~~




Wednesday, March 28, 2012

WW - Bila melihat kawan sudah dapat wang lebih bayar

Tinggilah tinggi, tinggi-tinggi burung di awan
bulan-bulan ambil gaji, cukup tahun cepat selesaikan


Tuesday, March 27, 2012

Bibik-bibik ku...

Maaf agak panjang N3 ini walau seboleh mungkin aku mengolah terpendik yang boleh.

Cerita mengambil pembantu rumah dari zaman anak pertama aku masih bayi sehingga kini dia sudah masuk 16 tahun cerita yang aku dengar lebih kurang sama. Apa yang membezakan pertama kali aku menggunakan pembantu rumah dulu gaji sebulan baru RM350. Bayaran kepada agen hingga selesai semuanya hanya empat ribu saja. Terakhir aku menggunakan perkhidmatan bibik dua tahun lepas bila adik masuk tahun satu dengan bayaran gaji baru RM550 sebulan dan bayaran kepada agen baru enam ribu. Bibik pertama aku tidak ada masalah langsung.

Sebelum bibik pertama balik kami sudah memohon untuk mendapat bibik baru. Waktu itu anak kedua dalam lingkungan setahun lebih. Bibik ini juga baik dan bekerja dengan kami tanpa banyak kerenah. Cuma dia suka tidur - tidak jadi maslah buat kami. Sebaik lepas makan malam biasanya dia suka menonton televisyen (waktu ini anak-anak belum bersekolah jadi menonton tv bagaikan rutin setiap malam buat bibik). Boleh dikatakan setiap tiga tahun sekali aku terpaksa mengambil bibik baru kerana permit diberi biasanya untuk tempoh 3 tahun. Boleh sambung permit hingga 5 tahun tetapi kena balik dulu ke Indonesia sebulan. Aku pula kalau bibik bercuti sebulan siapa mahu menjaga anak-anak. Oleh itu sebelum bibik ini balik aku akan pastikan bibik baru telah sampai dulu.

Mendapat bibik ke tiga hinggalah bibik yang keberapa entah aku mula mengalami masalah. Macam-macam hal terjadi. Aku cerita bibik yang membuat kami sekeluarga gempar. Baru 3 hari sudah merayap membawa anak aku keluar rumah mencari public telefon , walaupun di rumah aku tidak pernah menghalangnya untuk dia menggunakan telefon. Apa yang menjadi masalah pintu pagar dikunci tapi sliding door tidak dikunci, bila si kakak balik sekolah terpaksa memanjat pagar. Pagar rumah aku pula lebih tinggi dari kita kerana hampir mencecah awning. Sliding pula tidak di kunci. Bila masuk ke dalam rumah dicari kesemua bilik, bibik dan adiknya tidak ada mulalah si kakak menangis menelefon aku. Aku apa lagi sebab baru 3 hari, tanpa fikir panjang tutup komputer, kunci bilik terus balik dan telefon hubby kata bibik tidak ada di rumah dengan adik sekali. Bayangkan jantung aku bagaikan berhenti. Culik - takutnya aku. Hubby siap telefon kawan-kawan satu taman suruh tutup (perhatikan) semua jalan keluar-masuk taman perumahan kami.

Sebaik sampai rumah, bibik dan adik telah ada di rumah. Katanya dia sedang mencuci baju sebenarnya. Pembohongan ini langsung tidak boleh kami terima sebab si kakak kata dia sudah mencari diseluruh rumah sambil menjerit-jerit memanggil bibik, mana mungkin dia tidak mendengar. Kakak juga nampak bibik balik membuka pintu pagar sambil mendukung adik. Akhirnya penipuan tidak boleh disembunyikan lagi. Petang itu juga aku kemas semua baju dan hantar balik ke agen minta tukar.

Cerita lain bibik aku yang baru seminggu telah melarikan diri siap membawa baju-baju yang baru aku belikan (sebab waktu datang semua pakaian adalah singlet dan seluar pendik) periuk dan beberapa makanan segera seperti kicap, garam, maggi dan lain-lain. Aku rasa bibik ini sudah 'pasang kaki' untuk melarikan diri. Mujur waktu itu kakak aku berada di rumah. Adik masih di dalam buai. Aku masih bersyukur barangan lain tidak hilang dan terpaksa buat laporan polis kerana passport dia masih dalam simpanan kami. Batalkan visa dan permit satu kerja.

Ada juga bibik aku yang bila datang haid baunya bagaikan ada bangkai tikus mati dalam biliknya. Dia pula tidak boleh bekerja sepanjang datang bulan - bergolek atas katil, memang kesihan. Orangnya baik tapi kesihatannya tidak mengizinkan. Masuk bulan kedua bila dibawa ke klinik baru aku tahu sakit 'tumbong' bila datang bulan rahimnya bagaikan terkeluar dari alat sulitnya. Sebaik dia sihat aku kembalikan semula pada agen. Menangis-nangis dia kata dia sudah sayang dengan family aku tapi mengikut nasihat doktor penyakit ini merbahaya oleh itu dengan baik kami pujuk dia bila telah sembuh bolehkah kerja semula dengan kami.

Satu bibik pula sangat baik, pandai buat kerja, solat tidak perlu diingatkan. Tapi masuk tahun kedua untuk baharui permit keputusan fomema dia ada VDRL plus (biasanya diperolehi melalui jangkitan secara sex). Tidak terjangkau dek akal kami apa yang bibik buat sebelum dia datang ke Malaysia. Bagaimana dia boleh lepas medical check-up sebelum ini tidak kami ketahui. Tapi kami tidak sampai hati memberitahunya. Bimbang dia malu pun juga lalu kami katakan khidmatnya tidak diluluskan imigresen. Airmata lagi bila perpisahan terpaksa dilalui.

Banyak rentetan cerita bibik-bibik aku kalau mahu disenaraikan satu-persatu. Namun aku tetap berterima kasih kerana semua bibik yang bekerja dengan aku tidak adalah kes yang besar-besar. Kalau setakat terambil duit seringgit-dua itu kami sudah halalkan. Begitu juga kalau brooch/butang yang kecil-kecil itu mungkin dia suka lalu biasanya kami berikan saja walau sebenarnya kami ada belikan mana yang dia suka sewaktu pergi shopping bersama. Baik-buruk mereka dengan tangan itulah juga yang membantu dan meringankan bebanan keluarga kami selama mereka bersama. Apa yang penting anak aku semuanya tidak dipengapakan sepanjang ketiadaan orang dewasa di rumah. Bahkan ada juga yang masih membuat panggilan ke rumah setelah pulang ke negara asalnya.


~~Mendapat bantuan Mak Zah sekarang 100% lebih baik kerana dia ada pertalian darah. Kasih sayang kami tidak kemana. Moga kasih kami berkekalan sehingga ke akhir hayat. Selagi dia masih sendirian akan kami jaga dia disamping dia dapat menjaga anak aku kini.~~


Monday, March 26, 2012

Malam itu kami bermarhaban

Pada malam Sabtu yang baru lalu salah seorang penduduk taman perumahan kami mengadakan majlis kenduri cukur rambut cucunya. Majlis dimulakan dengan bacaan berzanji, marhaban dan diakhiri dengan bacaan doa selamat. Sewaktu marhaban bayi telah didukung oleh siibu untuk diperkenalkan kepada setiap para hadirin. Comel, montel, cerdik dan menggeramkan siapa saja yang melihat bayi tersebut.

Comel - inilah bayi yang diraikan pada malam tersebut

Brrr.... - Suka bermain dengan bibir hingga menyembur-yembur. Bersama dengan ibunya.

Sebahagian yang hadir - Minta untuk posing mak-mak dara selepas majlis sebelum makan. Maklumlah masing-masing bekerja bila ada majlis begini dapatlah bersua muka.


Jamuan - Hidangan nasi ambeng. Lengkap dengan nasi putih, mee goreng, daging masak kicap, ayam masak merah, sayur campur/sambal goreng, serunding, ikan masin dan bermacam-macam jenis kuih-muih (tidak berkesempatan snap gambar sebab sentiasa ramai yang mengelilingi makanan malu pula untuk mengganggu).

Ole-ole - Balik dibekalkan dengan satu beg penuh dengan jajan-jajan dan satu bunga telur. Aku mendapat lebih berkat sebab kononnya menjadi imam pada malam itu. Aku balik dibekalkan dengan set lengkap nasi ambeng dan kuih-muih hingga bawa balik rumah bapak esoknya .


~~ Apabila selalu diadakan pencerahan oleh ustaz/ustazah yang datang ke surau, malam tersebut dikira kali pertama majlis cukur rambut di taman kami hal-hal seperti biasanya yang ada kelapa ukirlah, tepung tawar, beras kunyit dan sebagainya tiada lagi.~~


Friday, March 23, 2012

E-mail dari seorang sahabat

Assalamualaikum kakzakie,

Baru-baru ini, saya selesai membaca sebuah buku. Perangai saya yang tidak baik adalah jika saya sudah asyik dengan jalan cerita sebuah buku, saya akan susah untuk meletakkannya selagi ia tidak habis. Setiap kali saya terpaksa meletakkannya, kepala saya akan berfikir tentangnya sehingga saya memegang buku tersebut semula. Sebab itu saya sangat berhati-hati dengan bahan bacaan saya supaya ianya mestilah bermanfaat dan tidak hanya menghabiskan masa saya. Untuk pengetahuan kakzakie, buku-buku yang telah saya baca dan saya fikir menarik, telah saya masukkan ke e-shop Islamic Parenting Network. Jemputlah jenguk buku-buku tersebut ya!. Buku terbaru yang saya baca adalah sebuah Novel bertajuk Mustapha Kamal Attartuk. Buku ini menyebabkan saya rasa sedih dan termenung sambil membuat perbandingan dengan buku-buku yang telah saya baca sebelumnya. Kesimpulan yang boleh saya buat adalah..

"3 nama iaitu Imam Shafie, Muhammad Al Fateh dan Kamal Attartuk mempunyai ibu yang kuat agama dan kuat beribadat. Ketiga-tiganya selalu berdoa untuk anak mereka dan selalu menyatakan harapan mereka kepada anak mereka supaya mereka menguasai al Quran. Tetapi kenapa 2 jadi kenyataan (Imam Syafie dan Muhammad Al Fateh) dan seorang lagi (Mustapha Kamal Attartuk) tidak? Malah dialah penghapus sistem kekhalifahan Islam di muka bumi, menukar azan, menghapuskan sekolah agama, menutup masjid dsb."

Sesiapa yang tidak tahu tentang 3 tokoh ini saya perkenalkan disini serba sedikit, Imam Syafie yang dimaksudkan adalah Imam Mazhab kita yang menghafal seluruh al Quran pada umur 9 tahun, Muhammad Al Fateh adalah penakluk Kota Konstantinopal yang diberitakan dalam hadis Rasulullah 800 tahun sebelumnya, dan Mustapha Kamal Attartuk adalah Presiden Turki yang pertama. Cita-cita ketiga-tiga ibu mereka ini adalah untuk melihat anak mereka menjadi penghafal al Quran namun saya telitikan banyak bezanya antara ibu-ibu yang berjaya dengan seorang ibu yang agak malang ini. Didalam setiap kejadian yang telah berlalu, memang Allah sematkan pengajarannya bagi orang yang berfikir dan mengambil pelajaran darinya. InsyaAllah saya akan kongsikan di emel yang akan datang. Namun saya ingatkan, bahawa sesuatu cerita, akan di nilai lain bagi orang yang berlainan. Maka, sama jugalah seperti buku ini. Saya mungkin menilainya lain dari kakzakie. Jika saya membaca buku seseorang tokoh (seperti 3 tokoh diatas), saya sentiasa ingin menyelidik orang dibelakang tabir yang membentuk ketokohannya iaitu ibubapanya dan saudara serta kawan-kawan sekelilingnya. Penumpuan saya tidak fokus pada subjek yang dibincangkan. Maka jika ianya berlainan dari pendapat orang lain pada buku yang sama, ia adalah kerana sebab-sebab tersebut.

Bagi saya, membaca 3 buah buku ini adalah seolah membaca kisah berkisar cara mendidik anak dalam bentuk sebuah novel yang menarik dan terbukti hasil kisahnya dan bukan seperti membaca sebuah buku peraturan panduan mendidik anak yang biasa-biasa di pasaran. Saya pasti tentu ada sebab Allah mempertemukan saya dengan buku-buku ini. Alhamdulillah.. Semoga saya mengambil pengajaran daripadanya.

InsyaAllah kita akan berjumpa lagi di emel yang akan datang..

Ikhlas dari,

Lina Karim


~~Setiap ibu sentiasa berdoa mahu zuriat mereka menjadi insan yang terbaik. ~~

Thursday, March 22, 2012

Pernahkah terjadi begini?

Cerita semalam dipaparkan hari ini.

Terkocoh-kacah turun kereta
pantas kaki melangkah naik tangga
buka beg tangan mencari kunci pejabat
minda kosong seketika
kemana pergi semua kunci-kunci?
otak ligat berputaran baru teringat
semalam masukkan dalam dashboard kereta
mujur kereta yang sama digunakan

Masuk waktu solat pergi berwuduk
membetulkan getah ikatan rambut
selesai ikat rambut tercari-cari serkop kepala
kemana menghilang?... jadi bingung seketika
mana mungkin baru sekejap dipegang boleh hilang
malu bila tersedar ada dikepit di celah-celah peha

Semua orang pun banyak kerja
masuk solat zuhor terus bergerak pantas
baru dua rokaat terus bagi salam
tersedar niat bersolat zuhor bukan solat qobliah
berdiri sekali lagi untuk bersolat zuhor
itulah akibatnya.....
tidak mahu qobliah sebab kerja banyak konon
tapi tidak ada kekhusyukan
kenalah solat zuhor semula...


~~ Usah kata yang ada alzheimer saja yang lupa, ada waktu tertentu aku pun sama juga.~~

Wednesday, March 21, 2012

Ujian datang lagi

Malam selepas makan di Old Town White Coffee, selsema Nurienne bertambah teruk. Pagi itu hubby terpaksa mengambil cuti untuk membawanya ke Hospital. Aku bekerja seperti biasa. Baru seketika di pejabat aku mendapat panggilan dari hubby mengatakan doktor menyarankan agar Nurienne menjalani pembedahan segera. Selsema yang dihidapi bukan selsema biasa tetapi adalah sinusitis - betul kata Daddy Ziyyad. Tetapi oleh kerana sebelum ke hospital dia telah bersarapan, pembedahan terpaksa dilakukan di waktu petang. Mendengar keadaaan itu segera aku batalkan semua appointment/kerja sepanjang Jumaat hingga Isnin. Aku mengambil cuti segera. Hati tidak tenang. Sungguh ujian Allah datang tidak mengira waktu dan perancanganNya diluar minda kita, kena redha.

Petang itu Nurienne telah dimasukkan ke dalam bilik operation. Anggaran aku dalam satu jam setengah berada di bilik operation Nurienne telah dibawa keluar untuk masuk ke wad. Aku, hubby dan adik sudah sedia menanti. Tidak sampai setengah jam di wad dia telah sedar kerana bila aku panggil ada airmata meleleh dari pelupuk matanya, hanya mata masih tidak mampu dibuka lagi.
Sementara Nurienne tidur aku membaca buku Dajjal 2012 yang Yasmien beli tempohari. Biasalah aku jadi pembaca terakhir selepas anak-anak tamat membaca. Hubby melayan adik yang kian resah berada di dalam wad dengan game dia.

Hidangan makan malam untuk pesakit. Tetapi Nurienne tidak mampu makan kerana tekaknya sakit - bubur nasi mama lagi sedap. Perkara biasa bila operation ada saluran dimasukkan melalui tekak dan kesannya ada perit dan sakit.

Align CenterAda nasi putih+ sayur batang saleri, sayur bening kobis+karot, ayam rebus+lemon dan puding custard jagung.


Hubby menasihatkan adik yang tidak mahu makan nasi itu betapa kita kena bersyukur kerana ada ramai orang yang tidak punya makanan untuk dimakan. Tidak mahu membazir aku makan sebahagian dan memang tekak aku pun tidak lalu bukan kerana tidak sedap tapi hati aku yang tidak 'sedap' melihat anak terlantar.

Syukur Nurienne telah keluar dari wad. Hingga hari ini Nurienne masih berada di rumah. Surat cuti telah aku hantar ke sekolahnya. Hari Jumaat hingga Ahad minggu ini pula dia akan menghadiri kem motivasi perwakilan pelajar di Tanjung Piai Resort. Kata-dua telah kami berikan padanya andai ada melibatkan aktiviti lasak kami tidak benarkan tetapi kalau sekadar duduk mendengar ceramah tidak menjadi masalah buat kami.


~~ Sesekali menjadi penjaga kita pasti diuji. Dalam kita ketawa-riang bersama dan menikmati kehidupan keluarga yang bahagia ada kalanya senyuman kita direnggut seketika untuk kita kembali muhasabah diri - hidup tidak selalu indah tapi kena redha dan tabah.~~



Tuesday, March 20, 2012

Pedasnya tidak terkata

Pada malam itu kami sekeluarga pergi makan di luar lagi. Biasalah apabila cuti sekolah saja dapur rumah aku jarang berasap. Tambahan pula cuti sekolah ini kami tidak bercuti ke mana-mana. Hanya Sabtu/Ahad hari cuti bermula kami ada balik ke kampung menjenguk bapak. Malam 15-03-2012 itu kami keluar lagi. Sebelum membeli kemahuan Nurienne dan Yasmien kami makan dulu.

Air minuman - Dalam gelas pilihan mama, papa, Yasmien dan adik. Dalam cawan milo siapa lagi kalau bukan Nurienne punya sebab dia selsema tidak boleh minum air sejuk.

Pilihan Nurienne - Berkali-kali Nurienne mengatakan meehoon tomyam yang dimakan terlalu pedas namun bila aku rasa seperti biasa saja. Makan hingga bagaikan selsema teruk sekali. Aku suruh dia berhenti makan dan tukar makan roti.

Roti bakar - Inilah roti yang dibeli untuk menggantikan mee tomyam yang pedas buat Nurienne. Satu telah masuk ke mulut dua adiknya.

Pilihan Yasmien - Biasa dia suka lasagna tapi kali ini dia mengubah selera

Adik punya - Makan nasi lemak ini tanpa protes kerana sambal telah diasingkan pada satu pinggan lain. Bersih adik makan - yang tinggal hanya tulang ayam.

Pilihan papa - Sering menjadi intipan anak-anak untuk merasa sesudu-dua.

Dua keping- Balik kerja mama telah makan bubur nasi dengan ikan bilis goreng, tetapi tetap ambil sandwich ini sebagai pilihan.

Selepas makan kami membeli keperluan rumah dan juga keperluan untuk anak-anak dibawa balik ke asrama pada hujung minggu. Namun dalam pada kami bershopping sering diganggu oleh ketidak-selesaan Nurienne yang selsema. Tidur malam kami dikejutkan oleh Nurienne yang mengatakan sakit kepala yang tidak tertanggung. Oleh kerana malam telah larut kami memberinya pil selsema dan paracetamol yang ada dalam simpanan. Sebaik Nurienne kelihatan selesa, kami masuk bilik dan hubby bertekad esoknya Nurienne mesti dibawa berjumpa pakar.


~~Sakit kepala dan selsema yang kelihatan biasa-biasa ada kalanya adalah amat serius yang tidak kami ketahui. Ada cerita seterusnya rentetan dari N3 ini.~~


Thursday, March 15, 2012

Bila tiba cuti sekolah - indahnya dulu....

Cerita balik kampung baru-baru ini....

Kakak, abang, ipar-duai dan anak-anak saudara semuanya berkumpul. Sambil makan sambil bercerita. Kakak mengimbau nostalgia zaman anak-anak. Pondok aku di bawah pokok belimbing. Pondok Kak Ha di bawah pokok manggis. Pondok Adik Lin di sebelah rumah salai kelapa dan pondok Adik Ida sebelah setor simpan barang. Semua pondok-pondok ini bapak yang bina. Pondok yang dibina sekadar dengan atap daun kelapa kering dan berlantaikan susunan pelepah daun kelapa sudah cukup membuat kami senyum lebar dan ralit bermain sepanjang cuti sekolah. Kami tiada alat permainan canggih seperti anak-anak sekarang. Tempurung kelapa itulah jadi pinggan mangkuk. Kalau agak-agak hendak makan betul-betul kami akan menggunakan pinggan arwah emak yang diambil dari dapur.

Bila ada benggali (kami panggil bai) junjung bakul rotan pastinya kami lari bertempiaran balik ke rumah. Paling kami takut bila ternampak bai dan pasti ada yang bertempik "ada bai!!" Cukuplah dua patah perkataan itu sebagai informasi. Apa saja yang diulek pasti ditinggalkan tanpa menoleh lagi. Peluh usah dikata pastinya memercik satu badan. Apa yang membuat kami takut sebab dikatakan bai itu juga memenggal kepala budak-budak, itu yang kami takut sungguh. Malam itu kami semua gelak mengenang kembali cerita lapuk tetapi indah bila dikenang. Realitinya tidak pernah terjadi pun budak kena penggal kepala waktu itu. Tapi sekarang berada di depan rumah pun boleh hilang sekelip mata.

Buah letup-letup - Kami adik-beradik dulu makan buah merayap tepi jalan ini tanpa rasa ragu. Bila masak ia akan berwarna kuning. Manis. Agak-agak kalau aku bagi anak aku mahukah dia merasa?


~~~Sekarang anak-anak bermain pondok-pondok di bawah pergola siap ada payung cendawan yang sempurna. Ada lagi beli rumah plastik dan permainan plastik bermain di beranda rumah. Kena pastikan pagar berkunci untuk keselamatan. Tidak trill langsung, walau kelihatannya mereka juga gembira. ~~~


Wednesday, March 14, 2012

WW - Keluar makan malam tadi

Melihat-lihat selepas makan
beli ini untuk kegunaan harian

Anak mama mana boleh tidak membeli
setiap kali keluar mesti ada saja dikehendaki

Tuesday, March 13, 2012

Anjakan didalam meniti kehidupan

Zaman masih solo-solo:-
Setiap kali membeli baju mesti kena padankan dengan kasut dan beg tangan.
Walau berkereta kecil tetapi kilat mengalahkan kereta bos besar.

Zaman bercinta: -
Bila hendak keluar siap berjanji dengan pasangan baju warna apa yang mahu dipakai
Guna kereta pun boleh bergilir-gilir. Masih sayang kereta sendiri dari kereta pasangan.

Zaman baru bernikah: -
Kalau keluar mesti hendak sesuaikan agar nampak sama padan sama segaya
Menggunakan kereta pun memilih yang mana lebih bersih.

Zaman punya anak kecil: -
Citarasa baju, beg dan kasut anak pun mesti segaya dengan mama dan papa.
Peralatan anak pun mesti sempurna dengan warna senada
Kalau boleh anak mesti boleh tidur dengan selesa di dalam kereta

Zaman punya anak remaja: -
Berhenti dari bergaya dengan segala beg dan kasut senada.
Bimbang anak-anak menjadikan mama sebagai contohnya.
Pilihan anak-anak selalu diberi keutamaan.
MVP sajalah sering jadi sasaran bila mahu ke mana-mana.

Zaman tidak bekerja dan bila beruban kelak:-
Masih belum ada dalam kepala ini lagi
Harapnya tidak pandang duniawi sangat.
Moga anak-anak berjaya juga.
Mungkin tukar kereta kecil untuk kegunaan berdua saja.
Entah mampu berblog lagi entahkan tidak ketika itu.


~~ Semakin menginjak usia seringkali keperluan pelajaran anak-anak akan lebih menjadi tumpuan dari yang lain-lain.~~


Monday, March 12, 2012

Sudah kenyataan

Semalam di rumah bapak aku tercari-cari telefon bimbit merata tempat tetapi tidak berjumpa. Menggunakan telefon anak dara aku mendail nombor, nada dering berbunyi dari arah beg tangan buruk itu tapi di kedua-dua compartment diteliti tidak ditemui. Melalui cahaya tahulah ia memang ada di dalam beg. Baru tersedar poket beg sudah bocor ia telah menyorok di lapisan bawah antara kulit beg dengan kain pelapis. Biarpun tidak semua barang yang murah itu tidak berkualiti dan yang mahal biasanya berkualiti tetapi beg aku ini kenyataannya memang jenis murah dan tidak berkualiti.

Inilah begnya - Aku suka patternnya yang besar. Dibeli 2 bulan lalu. Banyak benda boleh masuk tapi itulah harga pun hanya RM25/- mana boleh tahan lama. Hari ini aku masih menggunakannya lagi kernaa belum ada masa hendak keluarkan segala tetek-bengik di dalamnya.

Jumpa ini juga - Sewaktu aku pergi ke Jakel mencari kain tempohari Nurienne punya contact-lens pun dimasukkan di dalam poket yang sama. Kami sangkakan ianya hilang di Jakel, bila aku jumpa telefon bimbit aku didalam lubang inilah ia bersembunyi sama. Ada syiling-syiling lagi menyorok di sini.


~~ Aku jenis membeli bukan kerana jenama tetapi kerana cantik dipandang mata. Apalagi kalau murah aku tidak kisah memang itulah pilihan aku.~~


Cerita Dua bulan tinggal di asrama

Aduan demi aduan diterima
kena timbang balik dimana berat dan ringannya

Sudah di kemas katil yang telah tegang dan licin katanya
menjadi berkedut tidak enak dipandang mata

Di rumah pula dia tidak kisah
kalau sendiri membuat sepah

Selipar yang disusun di atas rak yang ada
hilang ketika mahu diguna

Sudah diulang berkali-kali
duduk ramai-ramai kenalah bertoleransi

Duit di celah kotak seluar kecilnya
habis disapu tidak ditinggal walau seringgit dua

Nasihat diberi suruh simpan berkunci
tapi lupa itu alasan diberi

Nasi di masak keras katanya
lauk-pauk pula diulang resepi yang sama

Manalah sama kita makan sekeluarga
mulut tidak ramai bolehlah sesedap rasa

Gayung mandi di dalam baldi
hilang tidak dapat dicari

Kalau ramai begitulah biasanya
kami bekalkan hos sebagai alternatifnya

Sabun basuh baju ada sedikit lagi
bila mahu diguna habis tiada baki

Bukan mudah mahu membendungnya
jadi simpanlah sebotol di dalam lockernya

Paling berjurai siairmata
bila mahu menyidai baju terserempak hantu katanya

Pihak sekolah telah memberitahu
jangan bersendirian kebelakang, sekarang baru dia tahu

Apa yang boleh dibuat mama/papa
setiap minggu menjengah tidak pernah lupa

Macam-macam nasihat diberikan
inilah dia lumrah kehidupan

Apalah lagi yang kita mampu
mengharap dia dapat terus belajar di situ

Berbagai cara untuk membuat dia selesa
papa berhabisan mencari cara

Setiap minggu papa ke sana
membawa pekerjanya membuat kerja



~~Baru aku terasa silapnya kerana sedari kecil anak aku jarang membuat kerja di rumah bila berada berjauhan segalanya kena lakukan sendiri. Kelihatan susut betul susuk badan membuat hati menjadi sayu. Aku kena kuat demi masa depannya juga.~~

Thursday, March 8, 2012

Jangan memandang rendah pada sebuah doa

Baru-baru ini saya mendengar keluhan seseorang... sudah bertahun-tahun saya berdoa benda yang sama tetapi masih belum terkabul. Yang paling terbaru, ada seseorang berkata dengan saya, sudah 4 tahun dia mengamalkan satu doa yang dikatakan untuk kaya dan sihat, tetapi tetap tidak kaya dan masih sakit. Sepatutlah seseorang itu bersyukur dengan apa yang ada. Namun manusia tetap mahukan lebih. Bagi saya, untuk mata pelajaran 'BERDOA' sahaja, ianya satu subjek perbincangan yang panjang yang antara senarainya :
  1. Bagaimana berdoa,
  2. Hari mustajab untuk berdoa,
  3. Keadaan dan masa terbaik untuk berdoa,
  4. Perkara yang membuat sebuah doa tertolak,
  5. Siapa yang lebih baik berdoa untuk siapa dan sebagainya.
Ia bukanlah hanya satu perbuatan menadah tangan dan mengeluarkan kata-kata yang sama setiap hari. Maka siapa yang serius mengharap doanya terkabul, carilah ilmu berdoa itu. Dan jangan lupa, selepas berdoa kita perlu berusaha dan bertawakkallah selepas itu. Contoh mudah, jika saya berdoa untuk anak saya boleh menghafal al Quran ketika kecil, anak saya tidak akan menghafal 'dengan tiba-tiba' atau 'dengan sendirinya' (magic) jika tidak saya berusaha untuk mengajarnya untuk menghafal. Dan jangan pula berkata jika kita berusaha, tentulah kita dapat! Ia tidak begitu. Contohnya dalam perniagaan, ramai manusia berusaha tetapi gagal kerana tidak mendapat izinNya.

Seperti yang kita tahu, beberapa hadis Rasulullah s.a.w. yang menyatakan doa ibu adalah antara doa yang mustajab. Maka janganlah kita ambil ringan dengan kelebihan yang diberikan kepada kita ini. Ramai ibu modern yang kesibukan, terlupa untuk berdoa untuk diri sendiri apa lagi berdoa untuk anak-anak. Jangan tunggu anak kita bermasalah dan memeningkan kepala, baru kita teringat untuk berdoa. Berdoalah seawal yang boleh. Jika berkesempatan, yang terbaik adalah berdoa sebelum mereka lahir lagi ke dunia ini. Jika tidak, berdoalah ketika mereka masih suci belum lagi dipertanggungkan dosa. Jika itu pun sudah terlepas, jangan putus asa dengan rahmat Allah. Wahai ibu-ibu, berdoalah..

Saya ungkapkan semula kata-kata imam Syafie :
"Tidak ada salahnya kamu berdoa samada diwaktu siang atau malam. Renungkanlah, malam memiliki batas yang pasti berakhir tetapi doa itu tiada batas sempadannya. Doa yang ikhlas itu akan masuk ke dalam jiwa mereka bagaikan anak panah menembusi tubuh. Maka, janganlah kamu menganggap kecil dan memandang rendah pada sebuah doa."

Berdoalah dengan ikhlas untuk kejayaan anak kita. Buanglah rasa cemburu dan dengki pada kejayaan orang lain kerana ia akan menghilangkan keikhlasan itu dan menyebabkan doa kita sukar untuk dikabulkan.


sumber: email dari teman (Lina Karim) di www.islamicparentingnetwork.net


~~ Berdoa dan berusaha dua perkara yang perlu diseiringkan dalam mencapai impian.~~

Kasih yang datang dari Christchurch

Semalam aku bercuti kerana follow-up masalah sakit perut aku yang berlanjutan. Namun pada hari semalam jugalah aku mendapat perkhabaran gembira kerana sebaik pulang dari hospital aku menerima sepucuk warkah indah dari Christchurch hingga membuat hati benar-benar terharu.

Ungu sampul indah sekali
titipan pengirim sahabat maya
terharu sungguh hati ini
kerana ku tahu siapa pengirimnya

Mieza-POSCODE 7647 bagaikan tahu diriku ini
ciptaan Allah diaplikasikan
menjadi potret indah sekali
di dinding pejabat ingin ku abadikan

Pink, kuning dan putih warnanya
menambat hati yang melihat
walau sekadar di alam maya
kasih terpaut hati tertambat

Jazakumullah itu yang terucap
moga ada balasan Allah
dikejauhan ini kakak berharap
Mieza mendapat mawaddah wa rohmah



~~Bila mendapat sesuatu dari teman alam maya hati akan diusik rasa terharu yang sukar digambarkan. Biar jauh di mata namun ingatan bagai pernah bersua muka.~~


Tuesday, March 6, 2012

Maulid atau Maulud

Majlis maulidurrasul di surau taman perumahan kami berlangsung pada 03-03-2012. Ada yang menyebut maulud dan ada juga yang menyebut maulid. Kalau mengikut bahasa arab maulud sebenarnya bererti bayi atau anak dan maulid adalah hari kelahiran. Tidak mengapalah apa yang penting kita faham maksud sambutan adalah tanda kasih dan sayangnya kita pada baginda. Selepas solat maghrib hari itu masing-masing mengisi perut dengan nasi beryani lengkap dengan segala lauk-pauk. Kehadiran kariah bukan setakat taman perumahan kami tetapi melewati beberapa buah taman bersebelahan

Hidangan - Boleh memilih apa saja lauk yang disukai

Anak tadika - Inilah acara paling aku sukai. Persembahan nasyid dari anak-anak tadika. Anak lelaki berbaju maroon yang berdiri di tengah itu sangat keletah. Kerana terlalu bergaya hingga lace biru di songkok pun boleh tertanggal. Tapi suaranya amat merdu mendayu-dayu sebab itulah dia dipilih mengetuai kumpulan tersebut.

Remaja - Kumpulan nasyid lelaki remaja membuat persembahan.

Uztaz Mohamad Rifqi - Berasal dari Kelantan. Menjadi imam solat isya' kami malam itu. Bersuara lantang, bijak menarik pendengar sehingga anak-anak yang sibuk berlari pun boleh terdiam dan turut masuk ke dalam untuk mendengar syarahannya. Aku puji segala intipati syarahannya meliputi segenap golongan dari bayi hingga golongan tua. Banyak sunnah-sunnah rasulullah dibentangkan malam itu untuk diaplikasikan dalam hidup kita.

Jam 11:00 malam - Majlis bersurai. Sedih sahabat sebelah taman perumahan aku kehilangan selipar. Ustazah Alawiyah mulanya berkata tidak mengapa dia bersetokin saja. Namun aku tidak sampai hati. Mahu diberi selipar aku tidak muat sebab kaki aku sedikit kecil lalu aku beri selipar hubby kepadanya. Masih ada lagi kes begini di malam mencari amal namun kami menganggap mungkin tidak sengaja


~~ Ada petua buat para suami untuk menghilangkan stress kata uztaz Rifqi. Ini juga merupakan sunnah rasulullah. Berbaringlah di peha isteri seketika. Selain mendapat kelegaan dapat ganjaran pahala. Mudah bukan? Tetapi janganlah si isteri membebel sewaktu suami merebahkan kepala kerana ia akan menambah lagi serabut di kepala.~~



Monday, March 5, 2012

Tidak mencukupi untuk membeli lembu

Petang Jumaat lepas hubby membawa bungkusan plastik yang mengandungi duit tabung surau tempat kerjanya. Menurut jangkaannya duit ini bolehlah digunakan untuk membeli seekor lembu bagi kegunaan majlis maulid. Seperti selalu kalau kurang pun sedikitlah untuk ditambah bagi membeli seekor lembu. Tetapi alangkah terkejut bila dituang saja mata pun sudah dapat menjangka wang tidak sampai seribu.

Dalam tabung - Bukan saja ada duit di dalam tabung tersebut tetapi ada juga getah gelang, plastik gula-gula, pensil , duit Thailand dan sampah.

Duit RM10 - Adik kata kalaulah ini duit dia alangkah bagusnya

Ikat jadi satu - Duit 100, 50, 10, 5 dan 1 ringgit dijadikan satu

Syiling - Kumpulkan yang 50 sen, 20 sen dan 10 sen

Jumlah terkumpul - Lihat dihujung angka ada 06 sen itu tercatat di kertas kerana ada sekeping duit 5 sen dan satu sen juga di dalam tabung tersebut yang perlu dikira juga.

Memandangkan duit terkumpul terlalu sedikit mereka kenalah mengeluarkan derma sedikit untuk menampung perbelanjaan membeli seekor lembu tersebut. Hanya diharapkan kepada mereka termasuk anak-anak yang berani memancing duit di tabung surau itu insaflah kerana ini adalah wang jariah umat Islam yang diharap dapat dimanafaatkan kepada perkara yang baik-baik. Tidak mahu bersedekah tidak mengapa tapi janganlah dicuri pula hasil sedekah jariah orang ramai.


~~ Majlis Maulid masih diraikan di negeri Johor hampir setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad di mana-mana saja. Situasi begini boleh dilihat sehingga bulan rejab. Berselawatlah kita ke atas junjungan baginda Rasulullah saw.~~


Friday, March 2, 2012

Sejenak di Jakel, Tampoi

Tarikh 25-02-2012. Sementara anak-anak yang duduk di asrama diberi kelepasan untuk balik ke rumah pada hujung minggu aku bersama anak-anak telah pergi ke Jakel, Tampoi. Sungguh rambang biji mata melihat beraneka warna dan corak kain berderet-deret. Tujuan asal mahu mencari tudung buat Yasmien sebagai basahan di asrama tetapi akhirnya kami terjebak membeli kain bahan. Bila tiba di kaunter baru sedar lima ratus juga kami berhabis. Tapi dengan jumlah terkumpul itulah membolehkan kami layak untuk menyertai cabutan bertuah. Kalau ada tuah itu bolehlah dapat sebuah kereta Myvi atau paling tidak dapat laptop (berangan dulu hihihi....). Mereka yang berbelanja seribu ke atas boleh masuk ke peti cabutan bertuah yang ganjarannya dapat melancung ke Paris (hebat kan....).

Kini telah ada dua pasang kain yang belum berjahit setiap seorang. Niat di hati untuk dipakai dihari pernikahan sepupu anak-anak yang bertunang pada tahun lepas. Dijangkakan dapatlah dipakai pada pertengahan tahun. Tudung Yasmien pula telah siap berjahit dan akan dihantar pada hari Ahad ini.
Memilih - Anak-anak yang rambang mata memilih. Bila satu pilih polkadot semuanya ikut sama. Satu pilih berbunga semua pun ikut juga.

Pilihan masing-masing - Atas kiri (mama), bawah (Mak Zah), atas kanan (Nurienne) tengah kanan (Yasmien) dan bawah kanan (Adik)

Gambar atas - Dari kiri ke kanan untuk Mama, Nurienne, Yasmien dan adik.
Gambar bawah - Tudung Yasmien (masa gambar ini diambil sudah berjahit tapi bahagian tepi belum dililin lagi).



~~ Kena pergi sekali lagi untuk persediaan awal sebelum menjelang puasa. Lama sudah aku praktikkan tidak menjahit di waktu bulan Ramadhan. Terasa lebih tenang.~~



Thursday, March 1, 2012

Shintamet dan Hydrosil

Shintamet dan Hydrosil - Kita berusaha yang menyembuhkannya tetap Allah.

Gastrik - Minggu ini sudah masuk 2 minggu aku tidak berpuasa mana mungkin gastrik tetapi itulah yang dikatakan doktor. Angin - juga aku rasa makan tidak pernah tinggal bahkan bukan sepinggan dua tapi lebih dari itu. Kalau 'hangin' mungkin juga sebab tugasan hujung bulan biasalah semua yang bekerja pasti merasai sama.

Meniti hidup seharian tidak selalunya indah belaka. Sesekali kena harungi ujian yang diberikan olehNya. Cuba bertahan masih gagal. Menuju ke klinik sebagai usaha selain bermunajat moga diberi kesembuhan segera. Apa yang nyata hari ini aku akan berada di atas tilam melebihi masa dari waktu biasa.


~~Minda tetap ingat tugasan yang belum selesai.~~