Tiga perkara yang tidak digalakkan untuk berlebihan dalam kehidupan seharian kita iaitu makan, tidur dan bercakap. Bila berlebihan usah dipertikaikan andai ianya mengundang keburukan.
Makan bila perlu atau sebelum lapar atau bila tiba masanya diperlukan. Contohnya telah tiba waktu untuk berbuka puasa maka makanlah walau sekadar dengan seulas kurma. Tetapi berhentilah sebelum kekenyangan sebab bila kekenyangan pasti buruklah padahnya. Saiz perut kita bukanlah besar mana pun. Cuba lihat saiz perut berbanding dengan makanan yang kita makan untuk ditampung perut kita. Lagi parah bila sedang bersolat tiba-tiba sendawa terasa apa yang dimakan tadi. Apa jadinya?
Begitu juga dengan tidur. Maha kaya Allah dijadikan kita siang dan malam. Siang untuk menjalankan tanggungjawab seperti bekerja, belajar, membantu dan sebagainya. Tiba waktu malam berehatlah. Tetapi janganlah tidur yang berlebihan sehingga matahari tegak di atas kepala pun mata masih belum dibuka lagi. Jika ini yang terjadi jangan menyesal andai ada keburukan menanti. Mereka yang ditugaskan untuk menjalankan tanggungjawab di malam hari pula jangan jadikan alasan waktu siangnya terus-terusan tidur hingga lupa zuhor dan asar dengan alasan bekerja di malam hari. Tidak salah bekerja di malam hari dan tidak salah tidur di siang hari tetapi berpadalah.
Bercakap pula jika dirasakan tidak ada perkataan yang baik adalah lebih baik mendiamkan diri. Bercakap bila perlu dan bercakaplah yang baik-baik. Kunci mulut itu lebih baik daripada menimbulkan kekecohan. Tetapi bila ada ketikanya kita diperlukan untuk bercakap kenalah bercakap. Contohnya sebagai guru jika tidak bercakap bagaimana anak murid mahu menimba ilmu. Memberi usrah/tazkirah/tabligh jika tidak bercakap pasti misi tidak tercapai. Namun setiap butir percakapan biarlah menepati yang dikehendaki syarak. Mengumpat adalah racun dari syaitan yang paling dahsyat perlu segera kita jauhi.
~~ Setiap yang dijadikan Allah untuk kita pasti ada hikmah tersendiri. ~~