Wednesday, April 30, 2014

Kenny Rogers buat semua


~~ Sebagai tanda bersyukur customer yang hampir 'bercerai' dengan syarikat sudah 'rujuk' kembali.~~

Tuesday, April 29, 2014

Jauh di mata dekat di hati, titipan di terima dari Yati

Sudah aku terima bingkisan ini pada hari Sabtu yang lepas. Sebagai menghargai sebuah pemberiannya aku titipkan ia menjadi sebuah entri di Titisan Nurani hari ini. Terima kasih Mama Nabila, Najeeha dan Nabil.

Poslaju - Adik yang tolong mengambilkan dari posmen
Bila sudah jatuh cinta 
serah segala jiwa dan raga
titipan teman jauh di mata
membawa bahagia seisi keluarga

Selamat - Lihat bungkusan yang dibuat teman pengirim begitu teliti.
Walau halangan cuba menyekat
tersungkur sanggup gagal tidak sekali
sungguh keduanya sangat memikat
ikan pangkor dan setem Itali

Cantik - Sirip ikan pun duduk cantik sebab pembungkusan yang teliti sekali. Setem menepati hobby aku sebagai pengumpul setem sangat membahagiakan.
Bulan pun sanggup di petik 
bintang di langit sebagai habuan
melekat di fridge sangat cantik
buat Yati jazakallahukhaira kathiran

Berkumpul - Telah bersatu dengan teman-teman yang lain di dapur rumah.
Indah cinta dengan amalan 
iman dibaja jangan dilupa
buat teman yang ingin berkenalan
Yati di sini jemputlah semua

~~ Walau berjumpa tidak sekali, terasa erat di dalam hati. Terima kasih sekali lagi buat Yati.~~

 

Monday, April 28, 2014

Kenny Rogers & Mahabbah IKIM fm

Sebaik dia bersalam dan mencium pipi sewaktu bersalam, mata aku sudah terperasan ada yang tidak kena. Boleh pula dia tersenyum-senyum. "Cermin-mata Reen tertinggal dekat Tanjung Piai Resortlah mama". Baru aku sedar apa yang lain. "Macamanalah mata pun boleh tertinggal" aku hairan. Menurutnya malam itu mereka yang mengambil bahagian ihtifal-ilmiah diraikan oleh guru mereka dengan makan malam di sana. Sewaktu berwudhuk untuk solat Isyak dia membuka cermin-mata dan lupa langsung cerminmatanya. Biasa kalau makan dan tidak membaca atau ke kelas Nurienne memang boleh jika tidak bercermin-mata, tidak seperti dua adik-adik memang tidak pernah lepas. Itulah akibatnya sehingga balik ke sekolah baru sedar cermin-matanya tertinggal. Balik rumah minggu ini semata-mata kerana mahu membuat cermin-mata baru. 

Papa & Mama punya sama - Selepas mengambil cermin-mata baru yang sudah di tempah sehari awal itulah kami keluar untuk makan malam sekali. Sambil itu juga meraikan sempena ulangtahun kelahirannya yg ke 18
Nurienne punya - Oleh kerana menanti cermin-mata yang belum siap, lama juga berada di Skudai Parade. Keluarga kami sesuai dan serasi membuat cermin-mata cawangan Focus Point di sini. Selesai dari Skudai Parade ini barulah kami ke Plaza Angsana.
Mak Zah &adik punya sama - Niat asal mahu makan di Secret Receipe tapi sudah mahu tutup katanya, masuk pula di Immano Restaurant sama juga. Akhirnya destinasi kami ke Kebny Roger. Itu pun kami menjadi pelanggan terakhir.
Tambahan - Ini juga diminta birthday girl. Selesai Papa membaca doa kami pun makan. Sayangnya Yasmien tidak ada sama kerana minggu lepas dia sudah balik
Ramli Sarip - Selesai makan baru kami semua menapak ke booth Mahabbah IKIM fm. Mendengar suara penyanyi ini kami sangkakan dari corong radio, sekali baru sedar live ada penyanyinya di atas pentas. Kira inilah kali pertama nampak penyanyi menyanyi di atas pentas secara live begini. Adik tetapi kurang berminat - maklumlah penyanyi dia tidak begitu kenal
Krew IKIM - Kami lalu di belakang krew ini untuk ke booth jualan yang banyak.
Membeli - Aku membeli sepasang blouse, adik sepasang jubah, Nurienne membeli tudung di butik Prof. Muhaya dan Yasmien aku belikan juga sepasang jubah. Motto di booth Prof Muhaya yang buat aku suka "Jangan jual mahal-mahal, nanti mak marah". Siapa yang ke booth ini mesti senyum melihatnya.
~~ Barrack Obama berkunjung ke Masjid Negara semalam. Mana tahu ada hidayah membuat hatinya mendapat Nur menjadi saudara Islam kita. Sajalah itu sembang antara aku dan hubby.~~


Friday, April 25, 2014

Nilai RM100/- dan biskut kering

Hari Rabu aku terpaksa bercuti kerana duit Yasmien yang diberikan sewaktu balik asrama Sabtu lepas tertinggal di rumah. Terpaksalah aku menghantarkan duit itu kerana rombongan sekolah bermula semalam. Pihak sekolahnya ada membuat lawatan sambil belajar. Marahlah juga sebab sewaktu diberikan duit di rumah aku sudah dinasihatkan " Meen, duit tu selit di novel nanti terlupa. Baik simpan terus dalam dompet". Tetapi pesan mama dijawab dengan kata "Duit mana boleh lupa mama".  Masin mulut mama betul tertinggal di rumah dan masih terselit di celah-celah novel yang dibaca. Kalau tidak kerana ada lawatan memang akan aku hantar pada hari Sabtu ini. Kasihan pula kalau berjalan berbekal duit 50 ringgit saja yang ada di tangan.

Namun malam tadi sewaktu sama-sama menanti untuk melelapkan mata hubby berkata "Bayangkan RM100/- hari itu M pinjam katanya untuk kegunaan hingga gaji. Anak tiga semuanya bersekolah. Isterinya pula tidak bekerja, nampak sesaknya hidup mereka". Aku mula membayangkan kalau anak-anak mereka duduk di asrama mungkin tersepit macam zaman aku dulu. Makan betul-betul dari apa yang dihidang oleh pihak asrama. Tidak ada makanan sampingan sendiri. Biskut kering dengan air sejuk adalah. Sedih bila terkenang itu semua. Mengikuti rombongan sekolah jauh sekali. Bukan bimbang tidak ada duit bekal tetapi untuk membayar duit rombongan itu sendiri bapak tidak mampu waktu itu untuk menyara kami lapan beradik.
Biskut kering - Ini biskut fibre Jacob mama sarapan pagi ini. Dulu lebih kurang biskut ini tepi size lebih kecil dan bukan jenis fibre. Sedih bila terkenang semula.

~~ Mama harap anak-anak yang membaca entri ini boleh menjadikannya sebagai iktibar. Sekarang masih ada orang yang susah kehidupannya seperti zaman mama dulu.~~

Thursday, April 24, 2014

Sekelumit rasa hiba ketika menikmati donut

** Maaf kakak agak sibuk sehari-dua ini. Mana-mana yang belum kakak kunjungi akan kakak cuba jejaki perlahan-lahan hari ini.**

Sedikit pun tidak terlintas mahu ambil tahu. Tetapi sebaik mata terpandang situasi itu cepat saja menjadi tumpuan kami sekeluarga. Seorang wanita dalam lingkungan 30an. Berpakaian ala-kadar dan kaki pula beralaskan selipar yang aku rasa lebih-kurang selipar dalam bilik air rumah kami. Berdiri di tepi tiang yang berhampiran dengan meja yang satu keluarga duduk menikmati hidangan donut seperti kami juga. Perasaan sayu menyelubungi kami sekeluarga. Adik cepat saja bermulut celupar minta aku ajak bibik itu makan dan duduk dengan kami. Mana mungkin kerana apa pula kata majikannya. Tergamak mereka membiarkan bibiknya berdiri di tepi sedangkan mereka menikmati minuman dan donut sambil ketawa-ketawa. Kami sekadar mampu melihat tetapi tidak mampu memberi walau sebiji donut.
Tiga - Bukan donut ini yang kami makan waktu itu. Ini donut beli di warung makcik di Taman Daya. RM1/- dapat tiga ketul. Donut yang kami makan waktu itu ada banyak perisa dan warna yang pasti bibik itu mesti teringin merasa. Namun apa daya dia kepunyaan orang lain.
Masuk ke dalam kereta dalam perjalanan pulang hubby membuka mulut. Agaknya kes-kes seperti mendera anak semua disebabkan hal-hal remeh begini. Apalah salahnya ajak bibik tersebut duduk bersama dan makan. Aku pasti bibik itu pun tahu dia tidak akan makan sehingga dua-tiga biji donut. Sedihnya bila kami nampak satu wanita (kami rasa isteri majikannya) memberi duit RM2/-. Untuk apa tidak pula kami tahu. Tetapi bibik itu tidak bergerak. Bila mereka selesai makan kami lihat bibik itu membawa beberapa beg plastik yang berisi kotak-kotak (mungkin kasut) berjalan dibelakang mereka. 

Kami membandingkan dulu bibik kami sudah kami anggap bagaikan saudara. Bila aku membeli baju, bibik pun aku belikan juga. Kalau aku membeli kasut, bibik pun aku belikan juga. Memilih pun biasa kami serahkan padanya. Tetapi bibik biasa sedar, dia tidak akan memilih yang mahal atau sama dengan kita. Kami makan pun sama-sama agar dia tidak merasa tersisih atau makan sisa kami. Begitu pun layanan kami ada juga yang buat hal tetapi kebanyakan yang buat hal adalah bibik yang baru sampai. Bibik yang lama dengan kami akan mesra dan menangis bila mahu balik ke negara asalnya.

~~ Mereka pun manusia. Hargailah mereka kerana yang pasti dia banyak membantu ketika kita bekerja.~~



Wednesday, April 23, 2014

Cuba tengok dulang ini

~~Sementara menanti name tag tempahan adik siap kami minum disini tapi berakhir dengan gelak ketawa anak beranak melihat dulang comot begini.~~


Tuesday, April 22, 2014

Singgah Selalu tempat kami selalu singgah

Terlanjur mahu keluar membeli keperluan, aku tidaklah masak malam itu. Kami sepakat mahu mengisi perut di  tempat persinggahan kami selalu iaitu di Restoran Singgah Selalu. Selain dekat dengan rumah, menunya memenuhi citarasa kami sekeluarga.

Menu biasa kami - Air lemon ini papa kata tidak sama macam di rumah sendiri. Mestilah tidak sama sebab di rumah buat dengan madu di sini mesti dengan gula. Tapi yang pasti udang butter, sweet-sour kerapu dan brokoli ini mesti lagi sedap dari mama punya style. Butter prawn dia memang selalu menjadi pilihan kami sebab mama tidak pernah menjadi untuk buat begini.
Kenyang perut senang hati - Adik makan tidak seberapa. Boleh dia order Tokoyaki dan sate lagi. Shark-fin soup belum dijamah lagi tapi sudah sibuk untuk ke tempat permainan. Memang biasalah mesti ada baki yang dibungkus bawa balik. Tambahan pula kakak Nurienne tidak balik dan Mak Zah balik kampung. Makan berempat lagilah tidak meriah.
Berdua - Adik mengusik kakak. Semakin  kakak kata jangan ambil gambar dia lagilah adik kata "cepat mama, cepat mama".
Model - Konon mahu menjadi model coklat Pepero favourite dia. Yasmien kata model coklat mestilah coklat itu letak dimuka. Sebab biasa orang tengok muka dulu. Jadi tepekkan coklat di mukanya.
Pepero - Setiap kali masuk kedai coklat tidak pernah lupa membeli ini. Sekali beli 4 kotak. Nasib baik sekotak mungkin dalam RM5/-.
Kadang terasa letih mahu keluar makan malam tetapi kerana anak dilangkahkan juga kaki dan badan yang lesu. Makan pun bukanlah motif utama tetapi kerana membeli keperluan anak yang akan balik ke sekolah esoknya. 

 ~~ Mungkin kerana nama dia Restoran Singgah Selalu itu yang membuat kami selalu singgah di sini.~~

Monday, April 21, 2014

Basmati, daging, ayam dan sayuran diolah menjadi hidangan

Hari Sabtu lepas dua dari tiga anak dara aku berada di rumah. Sengaja aku mengambil cuti sehari untuk bersama mereka. Kakak sulung ada majlis Ihtifal Ilmiah antara sekolah-sekolah agama negeri Johor. Satu acara saja dia masih layak masuk iaitu musabaqah al-Quran. Acara ini termasuk dibawah usia 20 tahun. Lain-lain seperti tahun-tahun sebelum dia masih boleh memasuki pertandingan syarahan, bahas dan nasyid. Tetapi semua acara ini dibawah kategori bawah 18 tahun. Sebab itu tahun ini dia tidak layak untuk masuk bertanding lagi. 

Sementara anak-anak ada masaklah mengikut kehendak mereka.
Dalam rice-cooker - Nasi butter yang aku masak dengan kismis. Masuk kismis lebih dua genggam.
Kurma daging - Masak juga kurma daging. Oleh kerana aku juga buat ayam pencen goreng berempah, kaki ayam yang keras kematu aku masukkan dalam kurma daging. Ini masih dalam pressure cooker lagi.
Satu mangkuk besar - Buat juga coleslaw favourite anak-anak. Hubby dan anak-anak suka makan nasi arab atau yang seangkatan dengannya dengan coleslaw buatan isteri/mama mereka.
Sepinggan - Ayam pencen aku rebus dan goreng berempah. Ketumbar+jintan+halia+bawang putih+garam gaul sedikit rempah+serai dan daun kari. Letak daun kari lebih sikit semasa menggoreng. Lengkap hidangan tengahari Sabtu itu. Agihkan juga pada anak-anak yang bertandang ke rumah dan bekal ini juga  yang di bawa Yasmien balik asrama petang Sabtu itu.
Bersyukur kerana aku masih diberi peluang menyediakan hidangan buat orang-oarang tersayang. Sedih melihat bibik yang terpaksa meninggalkan anak-anak dan suami tetapi memasak hidangan buat keluarga orang lain demi mencari rezeki mereka.

~~ Sedap bagaimana pun makanan yang dinikmati selepas itu akan berlalu pergi. Namun gambaran keenakkan syurga Allah tidak ada tolok bandingnya dengan yang ada di dunia sekarang.~~


Friday, April 18, 2014

Semua perlu licin dan lancar

Bila menggosok baju, menggosok periuk, mencuci lantai mesti mahu licin. Bahkan bila mengemas katil, cadar pun mesti mahu kelihatan licin. Berkali-kali tangan memastikan alas cadar kelihatan rata dan licin. Bila sudah terasa licin barulah keluar bilik. Puas. Apa lagi bila menggosok pakaian untuk ke pejabat atau ke sekolah selagi tidak licin terus dihayun tangan yang kian letih semata-mata mahu melihat pakaian yang digosok licin. Sama juga bila mengoles krim muka, sapu foundation dan sebagainya pun sebab mahu nampak pipi atau senang kata muka kelihatan licin.Kalau boleh tidak mahu ada kelihatan jerawat atau garisan yang mencacatkan wajah. Betapa terlalu menitik-beratkan hal-hal mahu licin.

Bila memandu paling tidak suka bila terasa perjalanan tidak lancar. Apa lagi perkataan jem rasanya paling tidak suka didengari. Kalau jem yang sapu di roti itu siapa pun suka. Ini jem yang membuat kepala tidak pening pun menjadi pening. Berusaha mencari alternatif jalan lain hingga sanggup membayar tol semata-mata tidak mahu menempuh perjalanan yang tidak licin dan lancar.

Samalah dengan perjalanan kehidupan kita ini kalau boleh mahu licin dan lancar. Jadi kenalah mencari jalan apakah yang membolehkan agar kehidupan di sana kelak terjamin licin dan lancar. Apalah gunanya lancar dan licin di dunia tetapi di akhirat kelak tersangkut-sangkut. Kalau mahu periuk kelihatan licin dan kilat pasti ada alatnya. Mencuci lantai ada sabunnya, muka bersih ada peralatan sesuainya, jadi sebagai manusia yang hanyalah hambaNya kenalah patuh segala perintah. Berada di Padang Mahsyar kelak licin dan lancar perjalanannya. Bersama kita mencari alat sebagai 'melicinkan dan melancarkan' perjalanan itu.


~~Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia disoal mengenai umurnya pada perkara apakah ia habiskan, ilmunya untuk apakah ia gunakan, harta bendanya dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia belanjakan, mengenai tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan serta kecergasannya.” (Hadis Riwayat Tarmizi).~~


Thursday, April 17, 2014

Betulkah "customer are always right"

* Terlebih dahulu mohon maaf seandainya banyak perkataan yang menggunakan bahasa inggeris untuk kali ini*
Kisah terjadi sebulan yang lalu....

Sebaik masuk pejabat saja sudah kelihatan mukanya muram. Atas dasar simpati aku bertanya masalah apakah gerangan yang menimpa. Belum lagi bersuara airmatanya sudah luruh. Mujur juga jenis yang tidak bermake-up tidak adalah yang luntur bersama airmata. Aku urut belakangnya mengharap ada kelegaan untuk membolehkan dia bercerita masalah yang menimpa. 

"I rasa sudah sampai masa agaknya I tender resign. Penat lelah I tidak dihargai langsung. Mahu buat kerja hari ini pun I rasa bagaikan tidak mampu." Dia menangis lagi. Perlahan-lahan aku dengar dari awal hingga akhir dan tahulah aku masalah yang menimpa sewaktu ketiadaan aku sebelah petang itu. Seminggu itu  (sebulan lalu ketika Mak Zah sakit) setiap selang sehari aku bekerja 3-4 jam saja bergilir dengan hubby. Tanpa aku ketahui ada isu yang membuat seorang insan terguris hati. Mahu mengadu pada aku katanya dia tahu aku sendiri sedang dilanda masalah di rumah pada waktu itu. Aduhai kasihan sungguh.

Kerani akaun aku bukan bangsa aku tetapi seorang yang baik dan pandai menjalankan tugas. Walau selalu datang lambat tetapi itu tidak mengganggu kerja-kerja harian dan aku juga tidak pernah ambil pusing. Pada aku janji kerja selesai semuanya tidak menjadi kudis. Hanya kerana dia diarahkan untuk chase payment (mengejar bayaran - boleh guna perkataan ini agaknya) ianya menjadi isu bila pihak customer menghantar complaint kepada director kami. Kerani akaun aku inilah yang menjadi sasaran kerana akibat complaint tersebut customer mengatakan tidak akan membeli barangan kami lagi. Memandangkan ini salah satu customer terbesar ianya memang akan menjejaskan sales syarikat. Namun aku kenalah memberi perlindungan kepada kerani aku ini. Kalau dia resign patahlah sayap aku.

Bukanlah kerena mahu membela tetapi aku rasa kerani aku tidak bersalah kerana payment terms diberikan kepada syarikat tersebut adalah 60 hari. Oleh itu setelah lebih dari 3 bulan tidaklah salah dia chase payment. Namun conversation melalui telefon itulah yang tidak aku ketahui dan mungkin telah mengguris hati orang di sana. Aku pun tidak tahu siapa yang betul dan salah. Untuk tidak mengeruhkan keadaan jadilah tanggung-jawab aku untuk console the customer dari berjauh hati. Susahnya kalau ada dua-tiga customers macam ini boleh cepat beruban rambut:) Sebulan juga aku menjadi perayu dan meraih dengan cara aku dan akhirnya misi aku berjaya. Syukur, semalam aku sudah mendapat Sales Contract dari customer tersebut. Kerani aku tersenyum gembira tetapi sebenarnya aku lebih gembira kerana nasib baik dia tidak berhenti kerja. Kalau dia berhenti pasti aku dilanda kesibukan yang tidak terkata. Kami saling memerlukan.

~~ Kisah berlaku sudah sebulan dan semalam baru misi aku berjaya dan jadilah N3 ini. Director tidak berkata apa pun. Biasalah nama pun kami hanya kuli.~~

Wednesday, April 16, 2014

Oh zip sweater adik Mercedes

  
 
~~Sudah bertahun pakai baru mama perasan.~~

Tuesday, April 15, 2014

KWSP - Jaminan bila sudah tidak bekerja

Hari Ahad adalah hari bekerja bagi kakitangan awam di negeri Johor. Sebaik hubby menghantar adik ke sekolah, kami mengambil peluang untuk membawa Mak Zah ke KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) bagi pengeluaran wang. Jalan kelihatan sangatlah lengang. Belum pun jam 8:00 pagi kami sudah tiba di bangunan KWSP. Namun jumlah manusia yang beratur menunggu giliran sudah berjela-jela. Aku beratur juga menemankan Mak Zah. Jam 8:15 sebaik pintu dibuka masing-masing mengambil nombor giliran. Beruntung kerana yang mahu berurusan seperti Mak Zah tidak ramai berbanding mereka yang mahu mengeluarkan akaun ke dua untuk tujuan membeli rumah.

Bangunan KWSP negeri Johor - Terletak bersebelahan dengan bangunan Wisma Persekutuan negeri Johor. Sudah banyak kali aku menjejakkan kaki di sini.  Menurut petugas seminggu saja wang akan dimasukkan ke akaun. Seronok betul aku mendengar. Bila melihat keadaan begini rasa tidak sabar untuk sampai usia pencen. Semoga aku berpeluang seperti Mak Zah, Allah panjangkan usia sehingga usia pencen untuk menikmati duit tabungan KWSP.
Menuju ke Hutan Bandar - Niat asal selepas ke KWSP kami mahu ke KipMart untuk membeli barang dapur tetapi memandangkan jam baru pukul 8:45 pagi kami ke Hutan Bandar untuk mengisi perut. Motif mengambil gambar tiang ini teringat seperti di Hudaibiyah yg batu merah-merah. Tetapi ini sebagai tiang menongkat jambatan di Hutan Bandar.
Mee Rebus Tulang ZZ - Aku dan hubby makan ini tetapi Mak Zah makan mee soto.
Kuih tradisi - Kami suka kuih tradisi. Membeli juga kuih ini. Kuih koci pulut hitam, kosui dan tako. Sedap tapi kerana perut kenyang kami tambah lagi membeli lagi koci dan bungkus semuanya untuk dibawa balik.
Tahukah anda apa ini? - Sebenarnya selepas dari Hutan Bandar kami menuju ke Pasar Larkin. Tidak mahu menunggu KipMart dibuka jam 10:00 pagi kami berbelanja di sini. Terjumpa 'benda' ini yang tidak pernah aku ketahui. Menurut kata makcik yang menjual ini adalah sejenis ulaman seperti jering dan petai. Kerdas nama dia. Aku sangkakan asam jawa. Mesti ada yang ketawakan aku seperti makcik yang menjual itu. Sudah tua tapi tidak kenal lagi.
Kalau tidak kerana aku berbelanja di sini samapi bila pun aku belum kenal lagi kerdas. Oleh kerana tidak pernah merasa jadi aku sekadar mengambil gambar saja. Belum berkeinginan untuk mencubanya. Mungkin dimasa akan datang akan aku mencubanya.

~~ Setiap hari yang kita lalui adalah satu pembelajaran. Cuma kena renungkan sejauh mana kita belajar pada hari tersebut.~~

Monday, April 14, 2014

Audit diri kita untuk bahagia di dunia dan akhirat

Mendapat titipan istimewa dari seorang teman blogger. Rezeki untuk siraman rohani yang sentiasa perlu dibaja. Terima kasih nhhas. Boleh juga membaca entrinya di sini. Semoga nhhas mendapat ganjaran dari Allah dari semua ilmu yang dapat dikongsikan bersama sesama umat Islam.

CD Mufti Ismail Menk dan chopsticks -  Alhamdulillah satu CD sudah selesai didengar bersama hubby sewaktu dalam perjalanan untuk pergi shopping. Banyak yang menarik sebenarnya isu yang dikupas. Ramai yang sibuk mencari kebahagiaan di dunia lupa untuk mencari kebahagiaan di akhirat. Ingat jangan sampai kebahagiaan di tarik balik (perkataan snatch) yg digunakan sangat menarik sebab seolah-olah andai kita lalai Allah rampas balik kebahagiaan itu.
Chopsticks - Sebahagian sudah diagih tapi yg tidak datang belum dapat lagi sebab di JB ini setiap lewat petang membawa ke senja hujan. Anak-anak bila hujan biasalah mengaji pun cuti juga. Ole-ole yang adik blogger ini sudah pesan untuk diberikan kepada anak-anak yang mengaji.
Titipan - Kasihan sebenarnya CD ini sudah 2 kali Huda cuba kirimkan tetapi untuk kali pertama dikembalikan kepadanya semula. Insya-Allah malam ini dan seteruskan akan diagihkan kepada semua chopstick ini sebagai penunjuk mereka waktu mengaji.
Set dua keping CD - Menghayati CD yang penuh bersemangat terasa kerdilnya diri. Sebagimana dikatakan audit diri sendiri setiap hari demi mencari kebahagiaan. Cari dimana kelemahan diri dan berusaha untuk memperbaiki mana yang perlu. Benar apa dikatakan beliau. Ingin aku memberi pendapat juga yg hidup kita ini bukan sekali tatapi dua kali iaitu di dunia dan akhirat. Kerana kematian akan kita tempuhi hanya sekali tapi selepas mati kelak akan dihidupkan semula di akhirat kelak. Mestilah kita mahu bahagia hidup di dunia dan di akhirat.
Depan CD - Lihat benar kata-katanya. Semakin kita mendalami agama kita semakin kita akan rasa sayang pada agama kita begitulah sebaliknya kalau ilmu cetak. Mohon dijauhkan dari kelalaian.
Satu - Bujang kecik ini dapat sudah. Khusyuk mengaji dengan penunjuk baru. Atas kanan itu penunjuk si adik comelnya yang sudah patah hujungnya. Itu mamazakie yg beli dulu di pameran batik & kraft di Plaza Angsana.
Nakal tapi cerdik - Satu adik punya. "mama cakap terima kasih pada kakak itu ye" itu pesannya. Makan lengkung mamazakie buat bawa masuk bilik sebab di luar dia tidak ada kawan. Tergugat si abang yang mengaji. Dia sudah siap mengaji menggunakan penunjuk baru. Penunjuk mamazakie beli letak tepi:)
Adik juga ini - Semua anak bongsu yang mengaji dengan aku dipanggil adik. Suka juga dapat penunjuk baru. Sudah dua malam mengaji menggunakan penunjuk baru. Penunjuk mamazakie punya pun dia letak tepi:)
Moga susah payah nhhas mengirimkan semua ini buat aku mendapat ganjaran dari Allah. Sesunguhnya pemberian ini sangat bermakna buat diri kami sekeluarga. Anak-anak yang di asrama belum lagi mendengarnya. Tunggu mereka balik. Pagi tadi dalam perjalanan ke tempat kerja aku ulang kembali mendengar CD pertama kerana sudah berjanji dengan hubby untuk mendengar CD ke dua bersama. 

 ~~Ingin berkenalan dengan teman blogger yang menitip CD ini silalah ke sini.~~

Friday, April 11, 2014

Terlajak kata mohonlah maaf

Cuaca panas terik ketika itu. Sebaik keluar dari kereta bahang panas yang menyucuk kulit terasa perit sekali, apalagi sewaktu di dalam kereta pendingin hawa diset yang paling sejuk. Bayangkan di pandang Mahsyar kelak, matahari berada sejengkal di atas kepala. Melangkah sambil mata masing-masing mencari gerai yang paling memikat. Aku akur saja di mana langkah hubby pergi di situ juga langkah kaki aku menapak. Gerai-gerai di tepi pantai biasalah ikan di sini semuanya segar-bugar belaka.

Masuk gerai ke tiga mata sudah terpikat melihat ikan banyak tulang yang menjadi kegemaran aku. Hubby bertanya harga dan merasakan murah kami pun setuju. Sebaik membayar harga hubby tercengang dan bertanya. "Eh! tadi abang kata RM16/-?" Si adik yang memulangkan duit baki tidak mencukupi itu bertanya kepada abangnya "Berapa engkau kata tadi?" Boleh si abang menjawab "Mana saya ada kata RM16/-". En hubby biasalah bila sudah begitu dia malas mahu bersoal-jawab. Sambil mengambil duit baki hubby berpesan juga "Lain kali berhati-hati bila letak harga pada pembeli ye bang. Harap abang tidak silap lagi." Terpinga-pinga dia dan kelihatan malu sebab kami tahu dia bersalah atau tersilap. Namun yang pasti gerai ini tidak akan kami jejaki lagi. Sebenarnya boleh dikatakan setiap dua minggu sekali kami akan ke sini kerana menjenguk anak di asrama. Janganlah kerana biasa kami terus membayar berapa pun harga diletak senang-senang pula dia mahu menipu.

Apalah salahnya memohon maaf katakan tersilap. Mungkin boleh dijawab dengan cara berseloroh tidaklah pelanggan rasa tertipu. Kami yang membeli bila berkehendak tidak kisah berapa pun harga asal saja jangan berdolak-dalik. Cara dia itu telah membuat kami serik.

~~ Niat di hati mahu membantu saudara sebangsa tapi begini pula jadinya. Hubby kata peniaga begini kena hantar ke kem motivasi:) ~~

Thursday, April 10, 2014

Kemeriahan bunga di sana-sini

Selepas dilanda musim panas yang panjang; sebaik hujan mula turun menyimbah bumi kelihatan di sana-sini bunga-bunga dan pokok buah-buahan mula memberi habuan kepada tuan masing-masing. Hikmah yang Allah berikan setelah panas yang panjang. Kalau kebun buah bapak rata-rata mula menampakkan putik untuk menjadi buah, tetapi halaman comel aku meriah dengan bunga.

Bunga raya tissu pink - Bunga rayaku juga meriah termasuk yang ini
Putih - Bunga raya putih tidak kurang memberi kepuasan kepada tuannya.
Peach - Sama juga dengan yang ini
Sulung - Kuntuman pertama. Benih diperolehi dari jiran Cina aku. Dia dapat benih dari Cameron Highland.
Pertama kali - Lihat inilah bunga sulung tersebut. Besar saiznya hampir sama dengan saiz piring cawan. Mestilah aku senyum puas bila melihat pertama kali kembang di pagi hari. Berwarna merah dengan bahagian tepinya berwarna kuning. Cantik!
Digandingkan - Bunga raya merah ini juga lebih besar saiznya tetapi tidak sebesar yg diatas. Warna semuanya merah. Lihatlah jika dibandingkan dengan bunga raya putih. Sungguh aku puas melihat semua bunga raya aku berbunga buat masa ini.
Meriah - Gambar ini aku captured ketika aku mengikut hubby mengambil pembayaran projek dia di Kluang. Kanan-kiri jalan meriah dengan bunga putih dan pink. Lambakan bunga di atas jalan bagaikan terapi buat mata yang memandang.
~~ Jika Allah mahu memberi apa pun boleh jadi. Hinggakan sehelai daun yg gugur di dalam hutan pun atas ketentuannya inikan pula di depan mata untuk kita renungkan bersama.~~

Wednesday, April 9, 2014

Ada rotan tidak salah bukan seperti ada pistol tanpa lesen


~~ Bunyi rotan dipukul ke lantai, dinding dan meja pun sudah kecut, jadi tidak perlulah merotan.~~