Tuesday, January 31, 2012

Tukar bahasa

Cuti baru-baru ini kedua-dua anak yang besar mengeluh sebab matapelajaran matematik dan sains telah mula menggunakan bahasa Melayu. Menurut mereka, cikgu juga masih kekok lagi sebab sudah lama mengajar menggunakan bahasa Inggeris. Tetapi yang aku hairan adik di sekolah rendah masih menggunakan bahas Inggeris yang masih boleh membuat adik senyum tidak ada masalah.

Bersama anak-anak aku yang besar ini beranilah aku mengeluarkan protes . Tetapi hakikatnya bila ini terjadi amat menyusahkan anak-anak kami yang sejak tadika berumur 4 tahun telah menggunakan bahasa Inggeris untuk matapelajaran ini sekarang diubah menggunakan bahasa Melayu.

Bukan aku menentang penggunaan bahasa Melayu tetapi mengubah sesuatu di pertengahan pembelajaran aku rasa amat tidak rasional. Kalau pun mahu dimulakan seharusnya pada mereka yang baru masuk ke Tadika bukan masuk tingkatan satu atau empat. Mungkin ramai yang bersetuju menggunakan bahasa Melayu, tetapi maaflah pandangan aku di sini hanya menjurus pada anak aku saja. Aku baru bercadang untuk membeli kamus matematik/sains untuk mereka berdua.


~~ Menanti bilalah tulisan jawi mahu digunakan sepenuhnya dalam peperiksaan matapelajaran Agama Islam. Ada yang dapat A tapi menulis jawi tidak pandai. Perkara ini tidak ada pula ura-ura mahu diterapkan.~~


Monday, January 30, 2012

Singgah di Tutti Frutti

Pada hari isnin, 23-01-2012 itu kami pulang dari Batu Pahat ke JB. Gerimis petang tidak mematahkan kehendak anak-anak mahu menikmati Tutti Frutti. Kami lewat sebab anak-anak khayal bermain dengan sepupu baru mereka. Tiba di Tutti Frutti terus bergegas masuk, ambil mangkuk yang sedang, picit isi apa yang dikehendaki terus ke kaunter membayar.

Adik punya - Setelah ditimbang adik punya 13.52 sen.

Yasmein pula - Banyak sikit dari si adik. Harga RM 15.90 sen.

Pilihan Nurienne - Banyak buah-buahan dipilih. Harga dikenakan RM 25.18 sen.

Bawa keluar - Memandangkan kami bertolak pun selepas solat asar, jadi selepas membayar kami terus bawa keluar.

Dalam kereta - Bertiga menikmati tutti frutti. Dalam perjalanan yang gerimis, dalam kereta ber airconditioner tetapi mereka boleh makan licin. Lihatlah mulut adik sampai muncung-muncung.

Resit - Keseluruhan RM 54.60 sen untuk tiga mangkuk. Aku rasa mahal sebab kalau beli aiskrim Magnum boleh dapat berganda-ganda banyaknya dan lagi sedap. Tapi anak-anak kata Tutti Frutti lagi sedap dari Magnum.


~~Ada juga yang tidak begitu digemari oleh kami mama-papa mereka tetapi menjadi kegemaran anak-anak pula.~~


Friday, January 27, 2012

Anak itu amanah Allah diberikan kepada kita

Penghujung 2011, cuti Hari Krismas kakak ipar aku yang dahagakan kasih-sayang anak akhirnya dikurniakan seorang puteri. Kalau dulu dia pernah merasa sekadar sehari menjadi ibu kerana diambil semula sebelum proses ke mahkamah lagi, moga yang ini akan kekal hingga ke akhir hayat hendaknya. Rahmat dan rezeki Allah diberikan pada kakak ipar aku tanpa di duga. Cuti Tahun Baru Cina yang lepas baru kami berpeluang menemui si comel tersebut. Kami juga mohon dapat menjaga amanah yang Allah berikan ini sebaik mungkin.

Nur Qistina - Berusia setahun lebih, mempunyai adik-beradik yang ramai dan seorang lagi adik lelaki berusia 2 bulan. Namun dia yang dipilih oleh keluarganya untuk diserahkan pada keluarga kami. Bagaikan bulan jatuh ke riba kami sujud syukur padamu Ya Allah....

Comel - Melihat senyumannya pun cair hati. Buat masa ini dialah yang paling muda dalam keluarga sebelah hubby aku. Dalam usia begini baru belajar minum susu. Belas sungguh. Namun percayalah walau hidup dhaif, tanpa losyen, tanpa minyak yuyi, tanpa susu yang sempurna, dia sihat dan punya kulit yang putih mulus tanpa ruam. Syukurlah dia diserahkan pada kami. Kami juga tidak putuskan hubungannya dengan keluarga sebenar.

Di rumah Mak Long - Malam itu kami berkunjung ke rumah Kak Long (kakak hubby) di Taman Koperasi, Batu Pahat. Sudah boleh bermesra dengan sepupu-sepupunya (anak-anak aku). Melihat flash kamera pada mulanya takut, bila diberikan kemera pada tangannya baru tersenyum kerana ada banyak wajahnya.


~~Beruntunglah mereka yang dikurniakan anak yang ramai. Ujian bagi yang belum memperolehi kerana ia adalah ujian dari Allah. Doa yang telah berpuluh tahun ada kalanya makbul di saat-saat tanpa kita duga.~~



Thursday, January 26, 2012

Cuti Tahun Baru Cina di Secret Recipe

Kebanyakan ibu akan memasak sedap-sedap bila bercuti. Tidak pada aku. Bila bercuti sekolah aku lebih banyak makan diluar dari memasak. Tetapi kalau hari sekolah walau letih sekalipun aku akan memasak apa saja. Malam pertama sebaik anak-anak kumpul di rumah kami ke Secret Recipe.



Kek coklat - Aku tidak ingat nama kek ini. Di pilih oleh Nurienne sebelum makanan yang dipesan tiba. Ramai-ramai menjamah kek ini.



Satu lagi - Juga tidak aku tahu nama kek ini. Ini pilihan adik. Apa yang aku tahu rasa cheese dia mantop sungguh.



Karipap - Besar betul kripap ini. Tersalah pilih sebab dulu pernah papa membeli di dalam ada telur sebiji, kali ini tiada. Yasmien tersalah order. Tapi tetap di makan juga.


Mee Nyonya - Pilihan Nurienne. Tidak habis separuh lagi dibawa balik.


Mee kari - Adik setiap kali ke SR mesti order mee kari. Dulu pernah merasa Mak Zah dia punya sekali, sejak itu sudah jadi favourite dia. Separuh juga dibawa balik.


Nasi goreng - Inilah pilihan aku dan Mak Zah. Ada sampingan kuah tomyam dan sambal untuk hidangan ini.


Lamb chop - Ini pilihan Yasmien dan papa. Selera mereka sama. Tapi kentang goreng Yasmien masuk ke dalam pinggan papa. Papa kena makan 2 kali ganda kentang ini. Aku ada juga menjamah.


Bercerita - Baru bertemu setelah 2 minggu berpisah. Entah apa yang diceritakan adik masa itu sehingga buat mereka ketawa. Kalau tidak silap aku teka-teki cikgu adik beri dia tanyakan pada si kakak.


~~ Cuti kali ini kami banyak berada di kampung. Tetapi sebaik aku naik bertugas, anak-anak bercuti di rumah.~~


Wednesday, January 25, 2012

Wednesday, January 18, 2012

Mengapa resah jadinya

Setiap kali Mak Zah bertanya mahu masak apa aku kebuntuan. Tinggal empat mulut sekarang yang ada di rumah. Hubby, aku, Mak Zah dan adik. Malas benar hendak mengolah. Hubby juga aku lihat semakin hilang selera makan sejak dua anak daranya tidak ada di rumah. Ambil masa sebab hampir dua bulan cuti sekolah mereka sentiasa berada di depan mata.

Makan malam tadi - Ini saja yang kami lawankan dengan nasi putih. Itu pun masih tidak habis. Sudah seminggu juga aku tidak masak pagi sebab tengahari adik tidak balik. Dari sekolah kebangsaan adik akan terus ke sekolah agama. Malas dan kerinduan menjeruk rasa diri aku sekarang. Aku yang teruk atau anak entahlah. Mujur juga dia rajin membuat panggilan telefon.

Adik punya - Untuk adik mee goreng style mamak dengan nugget.

~~ Betapa dulu agaknya ini yang orang tua aku rasai bila 8 dari anaknya satu-persatu keluar meninggalkan rumah yang riuh-rendah akhirnya ditinggalkan mereka berdua.~~



Tuesday, January 17, 2012

Pagi yang hening

Telah dua hari perjalanan aku ke tempat kerja di waktu pagi diselubungi kabus tebal bagaikan malam sayang mahu melepaskan waktunya. Jam kereta sudah menunjukkan pukul 7:20 pagi tetapi masih gelap bagaikan baru azan subuh.

Gelap – Highway yang tenang kerana menghampiri Tahun Baru Cina, mungkin telah ada yang telah mengambil cuti untuk membuat persediaan, maklumlah Tahun Baru Cina jatuh pada hari Isnin. Memandu sambil mendengar radio yang mengalunkan alunan nasyid mendayu-dayu membuat hati bertambah sayu.

Malu – Cahaya matahari bagaikan malu-malu untuk memunculkan diri. Subuh pun bagaikan resah mahu meninggalkan waktu sebagaimana hati aku yang masih belum biasa ditinggalkan anak untuk bersekolah jauh dari pandangan mata.



~~Tidak sabar menanti hari Jumaat ini untuk mengambil anak pulang ke rumah. Cadangan mungkin aku mengambil Yasmien dan hubby akan mengambil Nurienne.~~

Monday, January 16, 2012

Mereka perlukan bantuan

Minggu pertama Yasmien ke sekolah telah diadakan orientasi untuk pelajar tingkatan satu. Biasalah aku mengerti, kakak Nurienne pun dulu begitu juga. Masuk hari ke tiga boleh dikatakan setiap hari telefon aku mesti berdering. Oleh kerana kedudukan dorm dia di tingkat tiga sering berlaku tekanan air yang rendah dan terpaksalah dia turun ke bawah untuk mandi dan mencuci. Sudahlah anak aku ini tidak pernah membuat kerja-kerja mencuci kerana sedari kecil semua kerja mencuci dilakukan oleh pembantu dan kalau dia membantu pun sekadar menyidai di ampaian. Lainlah kalau bab memasak bolehlah juga.

Tangisan di hujung talian membuat aku sayu bertimpa-timpa dengan kerinduan yang mencengkam. Malam Jumaat yang lalu kebetulah hubby menjemput ustaz yang juga merupakan guru HEM dan GPK sekolah anak aku membuat tazkirah di surau. Berpeluanglah hubby bertanya masalah sebenar. Baru kami tahu masalah tersebut telah berlanjutan lebih tiga tahun sejak dinaiktaraf bangunan asrama. Pihak kontraktor juga telah dipanggil berkali-kali untuk memperbaiki. Berbincang mohon diberi kebenaran hubby pun pergilah membawa staffnya untuk melihat situasi sebenar pada hari Sabtu. Apa yang penting kami tidak melibatkan wang pihak sekolah.

Beratus lampu kalimantang dan wire yang bermacam warna hubby beli dan angkut ke asrama Yasmien. Semua kerja dilakukan dengan bantuan staff hubby. Menurut hubby DB (distribution board) yang digunakan untuk sistem mengepam air dan lampu hanya satu. Sistem wiring juga ada masalah. Aku tidak tahu apa yang dibuat oleh hubby dengan staffnya sepanjang hari itu. Bab-bab teknikal, mekanikal dan elektrikal aku tidak tahu. Sesiapa yang bertugas sebagai M & E Engineer pasti tahu.

Kakak dan adik - Kelihatan amat letih kerana segala keperluan diri perlu disediakan sendiri selain terpaksa mengikuti program minggu ukhuwah/orientasi yang diadakan.

Hari Ahad kami ke asrama lagi untuk menjenguk Yasmien. Alhamdulillah ramai pelajar yang telah mengenali kami secara tidak langsung. Sebaik saja melihat kami datang, tidak lama Yasmien sudah dipanggil dan datang menemui kami. Mereka memberi khabar gembira. Bilik air sudah berfungsi. Lampu juga sudah menerangi dorm, bilik menggosok pakaian dan juga bilik air. Aku tumpang gembira dan senang hati kerana tidaklah mereka yang duduk di tingkat tiga kena turun andai mahu ke bilik air. Sebagai habuan hari itu limau mandarin yang aku dapat pemberian suppliers tempat aku bekerja aku bawa ke asrama untuk mereka berkongsi sama.

Limau Mandarin - Sinonim buah ini dengan perayaan Tahun baru Cina. Selain aku agihkan pada anak-anak yang mengaji, yang empat kotak ini aku bawa ke asrama anak untuk diagihkan pada teman-teman di sana.


~~Anak-anak orang bagaikan anak kita juga. Bila melihat mereka tersenyum kita dapat merasakan mereka bersyukur atas kemudahan yang telah diberikan. Minggu hadapan sementara cuti Tahun Baru Cina hubby akan membantu untuk memperbaiki asrama lelaki pula. ~~



Friday, January 13, 2012

Sarapan bersama - Ahad sebelum ke asrama

Hari Ahad 08-01-2012 sarapan terakhir bersama Yasmein sebelum dia ke asrama. Kami menyusur Jalan Wong Ah Fook dan masuk lorong yang menjual sarapan lengkap dengan nasi beryani sekali - malu hendak ambil gambar restoran sebab orang ramai. Niat asal untuk makan nasi beryani tetapi sementara menanti hidangan mata melihat ramai yang makan roti canai dan tosei. Apa lagi kami order dan menikmatinya juga. Sedap...

Tosei - Betul atau tidak ejaan aku ini. Ini aku kongsi dengan Mak Zah sebab sudah order nasi bimbang tidak habis.

Roti canai - Yasmien makan roti canai. Hampir habis baru dia suruh ambil gambar.


Habis makan roti canai dan tosei hidangan nasi beryani kami sampai. Di sini ada menjual beryani ayam, kambing dan lembu. Terdapat juga sayur-sayuran pelbagai pilihan. Oleh kerana kedudukan di tengah bandaraya ramai orang bukan Melayu turut menikmati. Aku lihat ramai 'mat salleh' makan di sini.

Beryani kambing - Aku, hubby dan adik makan beryani kambing. Dagingnya seketul sahaja tidak seperti daging lembu agak banyak sedikit

Beryani daging - Mak Zah dan Yasmien makan beryani daging lembu.

Acar - Rangup, masam-manis acar dia buat. Sedap mengikut selera kami sekeluarga. Kami habis tiga pinggan acar. Disediakan juga kuah daging dan kambing tidak ada gambar.

Papedom - Disediakan keropok ini untuk lebih menyelerakan. Krup-krap-krup-krap rangup. Tapi disebabkan angin sepoi-sepoi bertiup cepat betul dia menjadi lemau.

Adik & Kakak - Bermesra sebelum esoknya mereke terpaksa berpisah seketika. Di tangan adik nasi dia yang tidak habis dimakan dengan majalah upin&ipin. Hari ini hampir seminggu Yasmien sudah berada di sekolah barunya. Adik juga sudah biasa ke sekolah sendirian tanpa kakak. Aku masih sayu lagi teringat anak dara yang ini....


~~Pagi tadi mendengar teka-teki radio IKIM - siapa orang yang memulakan memberi salam kepada rasulullah saw dan seterusnya menjadi ikutan umat Islam sehingga kini. Sungguh aku tidak dapat menjawab sehinggalah Siti dan Pian memberikan jawapan yang tidak aku duga. Aku ingatkan Malaikat Jibril sebab dia yang menurunkan wahyu - tapi salah. Jawapan kawan-kawan apa agaknya.~~


Thursday, January 12, 2012

Maafkan aku tidak sengaja membuat kau menemui ajal

Sepanjang menuju ke tempat kerja ditemani hujan gerimis yang agak kasar. Wiper terpasang sesekali saja bergerak bagi memberi pandangan lebih jelas. Jam kereta sudah menunjukkan aku terlewat sedikit kerana lalai menggoreng keropok untuk dibawa ke pejabat. Lajulah sedikit pemanduan aku hari ini. Mata aku nampak jelas setiap kali mengelak bangkai yang terlenyek di atas jalan. Banyak pula yang mati di atas jalanraya di musim hujan ini.

Tiba di lampu isyarat Taman Austin Perdana, sementara lampu masih hijau segera aku tekan minyak supaya tidaklah perlu menunggu ianya menjadi merah. Mengelak juga bangkai di atas jalan. Skreetttt..... aku cuba membrek tetapi tidak berupaya. Tidak boleh juga membrek serta-merta kerana di belakang aku sedia ada kereta lain juga mahu segera melepasi lampu isyarat. Burung gagak pagi ini menjadi mangsa dentuman kereta aku. Menggelupur burung itu aku lihat dari cermin sisi. Dada aku berombak kencang sambil mulut beristighfar. Kenapalah burung itu tiba-tiba saja terbang mahu mematuk bangkai yang cuba aku elak. Telah tertulis pagi ini ajal kau telah tiba wahai gagak. Maafkan aku kerana tidak sempat mengelak. Apa lagi kereta di belakang aku turut sama melenyek gagak itu. Jadi penyumbang pertambahan bangkai di atas jalanraya di musim hujan ini.


~~Walau sekadar burung gagak tapi hati aku masih tidak tenang sehingga aku membuat entry ini. Masih teringat bunyi dentuman burung gagak berlaga dengan kereta aku. Maafkan aku gagak.~~




Wednesday, January 11, 2012

Memujuk hati ini...

Duhai hati
Mengapa walang menjeruk rasa
Dia pergi meneruskan satu perjuangan
Demi kebahagiaan dunia dan akhirat
Impian setiap umat
Ku pujuk lagi…

Duhai hati
Mengapa dibiar luruh airmata
Tukarlah segera dengan senyuman
Di medan itu kental waja dirinya
Meredah menimba ilmu dipinta
Ku pujuk lagi…

Duhai hati
Relakanlah dia menjadi tetamu di sana
Bergelumang di taman-taman ilmu
Sebagaimana sabda baginda
“Taman ilmu adalah taman menuju ke syurga”
Ku pujuk lagi…

Duhai hati
Hingga kini masih terasa lagi
Puteri melangkah gagah dengan senyuman
Namun walangnya hati terus bertakhta
Dalam tidur pun dia menjelma
ketika berjaga terdengar suara
berlegar kelibat menerawang di mata
Sungguh hati masih resah
Sabarlah hati
Ku pujuk lagi...


~~ Entah mengapa hatii ini terlalu sedih berpisah dengan anak yang mahu meneruskan perjuangannya untuk menuntut ilmu. Bukan tidak boleh dijenguk tapi hati tetap tidak mampu dipujuk. Ciuman, lambaian dan senyuman ketika berpisah terasa sayunya hati.~~








Monday, January 9, 2012

Makan tengahari tadi

Kawasan di sekitar tempat aku bekerja ramai kalangan pekerja bukan rakyat Malaysia walau syarikat tempat aku bertugas tidak ada. Keadaan sekeliling begitulah yang membuat aku jarang membeli makanan di luar apabila kaki telah menginjak di pejabat. Biasanya aku membawa bekal dan akan aku pre-heat di pejabat. Bilik aku juga ada rice-cooker, biskut, gula, garam, quaker oat, peralatan minuman, cereal berbagai jenama dan sebagainya kerana aku malas untuk keluar turun sekadar mencari makanan.

Sebekas - Nasi putih, sayur baby spinach dan seketul ayam goreng. kalau teman-teman mahu tahu, tupperware ini adalah pemberian kakcik yang baik hati. Saban hari aku guna. Panjang jariah kakcik selagi aku menggunakannya.

Lagi satu - Makan nasi putih aku harus disertai dengan sambal belacan dan ulam. Aku jenis tidak kisah ulam jenis apa pun boleh saja dilayan. Hari ini kacang botol (kalau bangsa aku panggil kecipir).

Satu lagi - Kalau tidak ada kuah bimbang tersekat makan, kadang aku bawa sayur bening saja. Kuah singgang ikan parang aku masak tapi ikan tidak aku bawa sebab malas hendak melayan tulang yang banyak ketika makan di pejabat. Bawa kuahnya saja dengan kacang buncis dan tomato. Aku suka tomato.

Set lengkap - Inilah set makan tengahari aku tadi. Sesiapa yang belum makan baiklah pergi makan. Buat diri aku semua ini sudah selamat bersemadi dalam perut.



~~ Aku lebih rela makan roti atau biskut cecah dengan air milo panas andai tidak membawa bekal. Sesekali ada juga minta tolong kawan yang rajin membeli dan bungkuskan untuk aku makan di pejabat, namun sebulan sekali pun payah untuk aku berbuat begitu.~~


Friday, January 6, 2012

Dia itu emak....

Menjejakkan kaki di pusat membeli-belah. Sementara menanti anak membeli swiss-roll di outlet roti aku melabuhkan punggung di tempat rehat bersebelahan dengan escalator. Tiba-tiba mata terpandang sepasang suami-isteri dan sepasang anak cukup bergaya. Tidak jauh dari langkahan mereka ada seorang wanita berusia lingkungan 60an menyorong trolley. Tangan menolak sambil bahagian dada diletakkan di atas pemegang trolley. Kaki diseret perlahan, kelihatan kurang sihat.

Entah mengapa hati aku jadi pedih bila si lelaki gagah boleh menjerit memanggil si ibu. "Mak cepatlah sikit, dah lambat ni". Tidak ada rasa malu, tidak ada rasa bersalah malah bangga bila ramai yang menoleh sikap biadap seorang anak atau menantu tidaklah aku tahu. Cucu-cucu pula masih boleh tersengih-sengih tanpa ada sekelumit rasa belas melihat si nenek menolak trolley sambil mengheret kaki. Mengucap panjang dan beristighfar aku dalam hati. . Mahu membantu bimbang dikata kepoh pula. Aku tahu makcik itu malu dengan anak, menantu dan cucu yang dia ada.


~~Buat anak-anak sekelian, ketahuilah kudrat gagah kita tidak lama mana. Sampai masa kita pun akan jadi seperti nenek itu. Buanglah sedikit rasa keegoan itu. Gagah perkasa tanpa budi bahasa akan hancur bukan sahaja oleh agama bahkan juga dipandang mata.~~



Thursday, January 5, 2012

Bermulanya langkah di awal 2012

Malam 2hb Januari sekeluarga pergi makan malam di luar. Kehendak adik makan di steam-boat telah tertunai. Masa sudah suntuk untuk menunaikan kehendak Nurienne dan Yasmien. Malam itulah kami sekeluarga makan di The Newsroom, Puteri Pan Pacific menunaikan kehendak Nurienne sebab 3hb dia sudah kena balik ke asrama.

Lobby Puteri Pan - Setiap kali ke sini mesti patung boncit ini yang adik peluk.

Buffet - Tidak tahulah mungkin sebab tekak aku selera kampung aku lebih suka makan ulam-ulam dan sambal belacan yang beraneka. Anak-anak pula ke setiap meja buffet di jamahnya. Tidak ada ikan/udang/sotong bakar seperti biasa.

Adik & kakak - Adik siap panjat kerusi minta tolong waiter buatkan dia ABC. Aku suka sup ini cecah dengan bun yang beraneka.

Dewan sekolah Nurienne - Mendaftar dan pengagihan asrama pelajar

Tertunai hajat Nurienne. Siang 3hb Januari menghantar dia balik asrama. Balik menunaikan pula kehendak Yasmien untuk makan di Singgah Selalu di Lido. Makan shark-fin sup, Ketam sweet sour, sayur kailan dan nasi putih. Bila sudah ditunai lega hati mama-papa.

Bermain - Bukan lapar sangat pun mereka makan sedikit yang lebih bermain. Lihat kaki adik saja yang nampak sebab kena timbus bebola warna-warni oleh si kakak.

Semalam - Hari pertama adik ke sekolah. Niat di hati mahu buat N3 untuk jadikan Rabu bisu tapi sibuk betul di pejabat sebab awal tahun. Steamyx pula buat hal bagaikan siput merangkak, lalu jalan terbaik aku biarkan blog menyepi seketika.



~~Aku percaya ramai yang dilanda kesibukan di awal tahun ini. Walau kerja banyak tetapi anak-anak perlu juga diurus. Masa bercuti untuk anak kita uruskan betul-betul, masuk pejabat buat kerja sungguh-sungguh, cepat selesai cepat dapat bonus.~~



Monday, January 2, 2012

Pertunangan Nurawirda dan Joe

Petang 31-12-2011 ketika sedang berkemas beg-beg baju untuk menuju ke rumah kakak aku, panggilan dari Ayu Citarasa Rinduan menjemput kami sekeluarga untuk makan malam bersama. Maaf sungguh kerana jemputan Ayu tidak dapat kami penuhi kerana 01-01-2012 ada majlis pertunangan anak gadis kakak aku. Petang itu kami bertolak dalam kegelapan mendung pekat tetapi terpancar sinaran mentari dan fenomena itulah yang membuat anak-anak teruja dapat menikmati keindahan alam. Lakaran pelangi indah di kaki langit terbentang jelas di Senai-Desaru Expressway. Tapi keindahan itu kemudian hilang ditelan hujan yang turun mencurah-curah hingga pemanduan terpaksa diperlahankan.

Maha besar Allah - Indah pelangi yang telah lama tidak dapat kami nikmati.

01-01-2012 - Majlis disempurnakan petang semalam. Perbincangan dibuat dan yang nyata tahun ini akan ada dua majlis pernikahan berlaku dalam keluarga kami. Satu anak bujang kakak Uda aku di Muar dan satu lagi anak gadis kakak yang ini.

Majlis - Beberapa gambaran ketika majlis pertunangan berlangsung.

Atuk dan nenek - Bapak dengan bibik juga gembira dihari pertuangan cucunya.

Senja 01-01-2012 - Petang lebih kurang jam 6:30 petang kami bertolak pulang. Pemanduan lebih lancar kerana tidak banyak kereta di lebuhraya walaupun gerimis. Menyaksikan keindahan alam sekali lagi ketika berada di jambatan lebuhraya. Mentari yang hampir terbenam di ufuk barat menandakan menjelang maghrib jarang benar dapat dinikmati. Ketika lalu di surau taman perumahan kami kelihatan jemaah sedang bersolat maghrib. Kami sudah lewat....


~~Dalam kata segala keperluan sekolah anak-anak telah lengkap surat terbaru dari pihak asrama sekolah Yasmien tertera cadar dan sarung bantal ada dalam senarai. Esok aku bercuti kerana menghantar Nurienne ke asramanya dan petang bolehlah aku menjahit sekejap. Pendaftaran Yasmien pada 09-01-2012.~~