Saturday, June 9, 2012

Pizza anak mama

Hari Khamis lepas dapur rumah dijadikan tempat ujikaji anak-anak dara. Balik kerja mama sudah dihidangkan aroma yang pastinya ada seseorang sedang menggunakan oven mama. Berpandukan resepi dari internet dia aplikasikan untuk membuatnya. Mana bahan yang tiada dia tinggalkan. 

Sebelum - Cheesdale yang selalu digunakan untuk makan roti dia gunting bagi menggantikan mozarella yang tidak ada dalam stok. Capsicum mama jarang beli sebab itu memang tiada di dalam simpanan. Lain-lain dia buat buat ikut suka.
Selepas - Sendiri buat sendiri makan masa berbuka puasa. Papa menjamah juga kerana mahu membakar semangat anak yang bercita-cita menjadi Chef. Adik yang jujur pula berkata "Tak sedaplah kak. Baik kita beli dekat pizza."

~~ Aku jarang membuat resepi yang mudah didapati - beli lagi mudah, namun tidak pula pada anak-anak dara aku walau resepi yang dibuat selalunya tidak begitu menjadi tetapi tetap tidak pernah membuat mereka putus asa. Ahad ini masing-masing akan balik ke asrama, dapur mama akan sunyi kembali.~~



Friday, June 8, 2012

Kolam Air Panas Gersik

Perjalanan balik ke JB hari itu kami singgah di sini. Walaupun tidak jauh dari Muar dan Batu Pahat yang selalu kami lalu-lalang tapi belum pernah sekali pun kami singgah. Ini kali pertama kerana membayangkan boleh mandi-manda. Baju-baju mandi memang biasa ada bila kami bercuti.  Tetapi bila menjejak kaki baru kami tahu tempat ini sekadar untuk rendam-merendam kaki. Adik saja tukar baju mandi. Kakak-kakak tidak tukar baju mandi sebaliknya sekadar memakai t-shirt dan track-suit. Boleh pakai apa saja. Kebanyakan yang datang sekadar merendam kaki.

Papantanda - Ini terletak di tepi jalan

Lagi signboard - Menunjuk arah masuk, hubby memandu pakai redah saja sebab tidak ada simpang dan merupakan jalan kampung. Kereta pun tidak banyak . Ada ejaan Gerisek ada yang Gersik tapi biasa kami sebut Gersik.
Pintu Masuk - Inilah pintu laluan untuk masuk ke dalam. Tidak ada bayaran dan aku juga tidak nampak sebarang kakitangan yang menyelenggara tempat ini.
Dari jauh - Sebaik kami tiba kelihatan sudah ramai yang duduk mengelilingi kolam sambil merendam kaki masing-masing.

Adik - Selalu kalau mandi adik suka tapi di sini adik kurang sikit. Cuaca hari itu sangat panas. Mestilah dengan air yang hangat dicampur dengan cuaca panas adik lebih suka ke pool biasa di sebelah. Tetapi ada bau yang kurang senang. Aku & hubby pula yang duduk di tepi kolam bagaikan dalam sauna dan itulah yang membuatkan kami tidak lama di sini.
Kak Yasmien - Dia ceduk dengan dua tapak tangan air di belakang yang panas itu untuk mencuci muka.
Ini kaki papa - Tak apa boleh tunjuk bukan aurat pun buat papa.

Hangat - Telaga di belakang Nurienne ini kelihatan wap panasnya. Kepanasan juga lebih tinggi. Tapi aku nampak ada satu pakcik cuba mencelup kakinya ke situ kemudian dia sengih. Ramai juga yang melihat keberanian pakcik itu.

Surau - Selain taman permainan, bilik air, ruang untuk bersantai, ada juga surau untuk mendirikan solat. Kami tidak bersolat di sini sebab belum masuk waktu lagi kami sudah meninggalkan tampat ini . 


~~ Aku membayangkan sedang enak merendam kaki tiba-tiba kolam berasap itu memuntahkan lahar gunung berapi. Itu yang aku asyik bertanya pada anak-anak "dah puas belum? nak balik tak".Ada perasaan takut dan tidak selesa.~~