Wednesday, August 29, 2012

Mohon doa saudara-mara-sahabat-handai-rakan-taulan

Semalam sebaik tiba di pejabat telefon berdering memberitahu bapak kemalangan jalanraya di kampung. Airmata aku tidak dapat dibendung dan tiba-tiba hati aku terasa kosong. Langkah masuk kereta untuk balik pun bagaikan tidak berdaya. Teman-teman menasihati perlu kuat kerana aku memandu kereta tanpa teman. Aku membaca suroh Yaasin sepanjang jalan balik ke kampung. Adik aku serah pada Mak Zah untuk menguruskannya. Kerana waktu masih pagi lagi masing-masing baru tiba di pejabat. Oleh itu tidak ada masa untuk berkongsi kereta. 

Aku anak pertama tiba di Hospital Pontian. Melihat muka bapak yang bengkak dan tidak ada rupa bapak lagi serta kepala berbalut membuat hati aku luruh tidak keruan. Bapak muntah darah lagi. Aku menangis tanpa segan silu di depan dua orang doktor dan dua orang jururawat. Menurut kata doktor terpaksa di bawa ke Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru kerana peralatan di Hospital Pontian tidak lengkap.

Abang-kakak-adik aku yang belum pun tiba di Hospital Pontian aku arahkan untuk terus ke JB. Sebaik hubby sampai Hospital Pontian bapak baru dimasukkan ke ambulan untuk dibawa ke JB. Aku dan hubby dengan kereta masing-masing memandu mengikut belakang. Tidak terkejar aku tapi hubby dapat mengikut sama sebelum ambulan tiba.

Cerita selanjutnya akan aku paparkan kemudian-kemudian. Mohon doa dari semua saudara-mara-rakan-taulan-sahabat-handai moga bapak diberi kekuatan menghadapi ujian ini dan segera sembuh.

Aku bercuti lagi sehingga bapak sembuh kerana bibir babak hanya menyebut nama aku dan abang di Pasir Gudang. Mohon doa dari kalian sekali lagi. Sekarang aku perlu ke hospital lagi bagi menggantikan abang aku yang menjaganya malam tadi. Terima kasih semuanya.

~~Ya Allah moga doa-doa kami anak-anak-cucu-cicit bapak dimakbulkan Allah hendaknya. Amin.~~

Monday, August 27, 2012

Menjelang Hari Raya 1433H

Selamat Hari Raya semuannya. Aku mulakan N3 hari ini bermula pada 28 Ramadhan 1433 tempohari kami sekeluarga berpeluang berpuasa di Pontian (rumah bapak). Pagi 29 Ramdahan setelah membelanjakan segala keperluan bapak kami sekeluarga mula bertolak ke Batu Pahat pula.

Azhar Foods - Kami singgah di sini untuk membeli biskut-biskut dan kerepek untuk rumah sendiri dan juga untuk diagihkan pada keluarga dan saudara-mara.

Sarung ketupat  - Biasalah tengahari itu kami mula membuat sarung ketupat. Anak-anak saban tahun belajar tapi bila tiba Hari Raya tahun berikutnya lupa lagi.

Rebus ketupat - Sebenarnya ada dua periuk seperti ini. Satu merebus ketupat dan satu lagi merebus daging/tulang untuk dibuat sup.

Di dapur - segala perencah dibuat di dapur. Aku dibantu anak-anak sendiri dan satu-satunya bujang kakak ipar aku.

Bujang kakak ipar - Boleh diharap. Balik pun membawa banyak kek lapis sarawak untuk diagihkan kerana dia bertugas di sana. Engineer di pejabat tapi bila berada di kampung sama seperti anak aku juga membantu di dapur.

Semua persiapan - Giliran aku menggayakan untuk diolah. Tidak ramai ahli keluarga hubby kalau mahu dibandingkan dengan keluarga aku. Keluarga hubby masih boleh lagi makan di atas meja tapi kalau keluarga aku kena bentang tikar duduk di atas lantai.
Berbuka hari terakhir itu kami menikmati juadah yang kami masak bersama-sama. Sup tulang dilawankan dengan ketupat. Ada juga lepat, rendang, ayam masak merah, lodeh, sambal goreng, sate dan tidak kurang pemberian jiran-jiran yang memberi. Selesai solat maghrib kami bertahlil, tahmid dan takbir bersama-sama.


~~ Entah mengapa malam itu hati aku dipagut rasa rindu pada kedua emak. Emak sendiri dan mak mertua yang aku rasa bagaikan baru lagi dia pergi walau telah bertahun lamanya mereka meninggalkan kami.~~