Semakin kita mendekatkan diri kita kepadaNya maka kita akan semakin sedar betapa bersyukurnya kita kerana masih mampu menikmati kehidupan dengan serba mewah. Mewah dalam ertikata sihat tubuh badan, mampu mencari rezeki, menjalankan ibadah, menikmati makanan yang lazat yang diperlukan dan seterusnya melewati hari-hari tanpa halangan atau masalah-masalah yang besar.
Pada 31 Ogos 2010 yang lalu qariah surau taman tempat aku tinggal menunaikan tanggung-jawab sebagai hambaNya dengan menziarahi mereka yang kurang bernasib baik. Masing-masing membawa hasrat dan tujuan yang sama iaitu menunaikan zakat harta dan bersedekah. Ada hamper, biskut raya, beras, tepung, gula dan sebagainya serta tidak ketinggalan wang ringgit untuk diberikan kepada yang hak. Mereka ini adalah golongan asnaf yang layak mendapat zakat.
Menjenguk destinasi pertama hati telah diusik kesyahduan. Sedih dan pilu bercampur-baur. Rasanya tidak terjangkau dipemikiran kita dalam menyambut kemerdekaan ke 53 tahun masih ada lagi insan-insan kerdil yang hidup dengan penuh kedaifan. Aku rasa jangan kata muslimah sahaja yang menyeka airmata; rasanya para ketua keluarga yang menyerah zakat pun tidak dapat menahan rasa kesedihan Terik mentari pagi 31-08-2010
diterjah tapak-tapak gagah
membawa sepohon keimanan
melunas apa jua yang terabai
menyorot hati-hati yang lesu
membasahi kekeringan jiwa
bungkam tanpa suara
Benih-benih keimanan
kental dibajai ayat-ayat suci
menerjah kekosongan hati insan
sama mengerti keperitan
kerdilnya sebuah kehidupan