Showing posts with label jiran. Show all posts
Showing posts with label jiran. Show all posts

Friday, July 22, 2016

Semua di luar kemampuan kita bila....

ada kalanya tanpa diduga ianya datang tanpa disangka-sangka.

Coklat - Apa pun jenis coklat di rumah kami tidak pernah ditolak. Peti sejuk di rumah tidak pernah tidak ada coklat. Baru-baru ini sewaktu ulangtahun Kak Meen salah satu hadiah yang dia dapat adalah coklat yang mirip Ferrero Rocher. Sebaik coklat itu hampir habis aku bersuara pada hubby bila shopping mahu membeli Ferrero Rocher yang original. Tetapi belum sempat pergi membeli sebab esoknya kerja boleh pula driver syarikat aku bekerja memberi ini. "Kak, ini dari Sharmine". Beliau adalah pelanggan syarikat aku di Singapore bukan supplier.  Mestilah aku terkejut. Alhamdulillah...

Orange - Sejak ramadhan berakhir aku belum membeli buah orange untuk dimakan di rumah.  Pada hari Sabtu lepas merupakan hari akhir kami berpuasa sunat syawal 6 hari. Aku bersuara kepada hubby sewaktu berbuka puasa  kerana tekak tiba-tiba teringin mahu makan orange.  Niat di hati boleh membelinya pada hari pasar malam di tempat kami.  Tetapi sedang aku berwirid selepas  solat  Isyak boleh pula jiran rumah kami memberi salam menghulur sup tulang dan orange ini.  Bagaikan dia mendengar apa yang aku inginkan. Cepat sungguh hanya beberapa minit saja Allah mahu memberi. Miracle bukan?
Tetapi ada satu yang tidak disangka-sangaka juga. Hari Khamis semalam makan malam aku masak asam pedas ikan pari dan sayur brokoli. Adalah lauk-lauk lain sebagai sampingan seperti udang aku rendang dan ikan goreng sedikit. Tengahari sebab tidak berpuasa dan tidak membawa bekal minta budak bawah tolong belikan. Sebaik dibuka bungkusan, buat aku tersenyum sebab lauk yang dibelikan adalah ikan asam pedas dan sayur brokoli juga. Hanya berbeza pada ikan yang dibeli asam pedas ikan kembung. Jadi makan malam dan tengahari aku semalam adalah menu yang sama.

~~ Allah maha pengasih dan maha mengetahui apa yang tidak kita ketahui.~~


Wednesday, June 22, 2016

Pemberian Jus Barney dari tanah suci




~~ Menikmati ini teringat Masjidilharam dan Masjid Nabawi.~~


Saturday, June 4, 2016

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan

Biarlah kotak Tupperware itu mengucapkan Selamat Hari Raya. Aku dari TITISAN NURANI mahu mengambil kesempatan kepada semua yang sama-sama akan menjalankan ibadah berpuasa Ramadhan 1437H ini dengan ucapan Selamat menyambut kedatangan Ramadhan Al-Mubaraq.

Cantik - Bekas dan kotak sama-sama hijau
Kotak dan tupperware - Ada anak yg mengaji dengan aku ibunya pengedar tupperware memberi ini buat keluarga kami
Terima kasih - Memberilah walau dengan sebiji tamar, Beruntung ibu yang memberi kepada kami kerana setiap kali kami makan kurma yang diberi berganda-ganda ganjaran Allah berikan kepadanya.
Mengambil kesempatan ini, aku menyusun sepuluh jari memohon kemaafan di atas apa juga perlakuanku sehingga menimbulkan rasa tidak senang hati atau apa juga, melalui TITISAN NURANI memohon keampunan dan kemaafan.

~~ Selamat menjalankan ibadah puasa dan ibadah sampingannya. ~~


Wednesday, March 2, 2016

Mama teka apa ini?

Masuk bilik sebelum mengaji tunjuk plastik ini suruh mama teka

Mama pura-pura tidak tahu walhal bau  jagung rebus yang sangat menggoda sudah dapat dihidu.

"Mama jagung pun nak ambik gambar" - katanya.
"OK meh sini mama ambik gambar Danish"
~~ Anak-anak tidak ada dosa luhur dari hati bila memberi mengharap yang menerima menghargai. ~~

Friday, February 19, 2016

Sesal kemudian tidak berguna

Pasangan yang brutal. Ganas. Garang.  Bila semua itu ada di dalam diri masing-masing, penyesalan pasti menjadi berganda-ganda apabila salah satunya pergi meninggalkannya untuk selama-lamanya. Setiap kali terjadi pertelingkahan bukan saja jiran turut takut sehingga menutup pintu, tetapi polis pun sudah letih mahu melayannya. Siapa menduga apabila tiba-tiba Allah perintahkah Izrael mencabut nyawa salah satunya. Innalillah. Kami jiran-jiran semua terpempan. Masih terlalu muda bagi pasangan ini yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 2 tahun dan pagi itu sah anak tersebut menjadi yatim. Isteri terkedu. Hilang semua brutal, ganas dan garang yang selama ini bersarang. Airmata yang luruh membuat kami jiran-jiran turut sama bersedih. 

Kunfayakun Allah tidak siapa mampu membendung. Bayangkan baru beberapa jam bertelingkah hingga cebisan-cebisan tilam yang dicincang masih belum berkemas salah satunya sudah pergi buat selama-lamanya. Tidak perlu lagi lari meninggalkan rumah seperti selalu dengan berkaki ayam tanda protes dari apa yang terjadi. Kini ternyata Allah mahu melihat betapa tidak berkuasanya kita sebagai hamba. Mati tidak perlu dibunuh atau diterajang. Mati itu milik Allah. Sihat-segar-bugar kalau Izrael sudah mendapat perintah maka tercabutlah nyawa.

Lebih sadis apabila berlaku perebutan jenazah pula. Biar sewaktu hidup sering bertelingkah tetapi apabila pasangan sudah terbujur kaku tetap mahu pasangan dikebumikan di tempat berhampiran dengan rumahnya. Namun keluarga si mati berkeras mahu membawanya pulang ke tanah tumpah darahnya memandangkan si isteri juga bukan warga Malaysia. Aku sebagai jiran sebaik mendapat berita kematian terus tutup komputer balik untuk tujuan ziarah. Namun sebaik tiba di rumahnya, kosong tidak ada satu pun manusia. Setelah diberitahu salah satu kakak jiran tahulah jenazah terus dibawa ke lapanganterbang dan dibawa balik ke tanah tumpah darahnya atas arahan keluarga. Si isteri yang tidak mampu apa-apa akur turut terbang ke sana.

Pengajaran sebagai pasangan suami-isteri, bertolak-ansurlah dalam apa pun juga hal. Tidak ada gunanya penyesalan bila begini jadinya. Sebagai manusia biasa tidak dapat lari dari tergigit lidah tetapi ingatlah besar mana pun silap cuba cari kelebihan yang ada bukan mencari kekurangan. Kullunafsin zaa iqotulmaut. Setiap yang hidup pasti merasai mati. Jadi jangan beranggapan kita dan pasangan kita yang sihat ini pasti akan hidup lama. Mati tidak semestinya dek kerana tua atau sakit.

~~ Hidup di dunia ini sementara saja. ~~



Wednesday, February 17, 2016

Orang memberi kita merasa

Beginilah bila hidup di Malaysia yang penuh warna-warni bukan saja kerenah birokrasi. Tetapi ada juga kerenah politik. Tidak kurang kerenah masyarakat. Tetapi ada yang indah perlu kita hayati bersama juga. Kasih-sayang dan saling hormat-menghormati masih ujud di kalangan kita.

Jiran - Bila berjiran dengan pengedar tupperware. Anaknya mengaji dengan aku
Merah - Datang masuk bilik untuk mengaji tetapi ini yang dihulurkannya dulu 
Maroon - Dua bekas tupperware penuh dengan biskut CNY
Botol kacang - Sebagai tanda terima kasih cenderahati yang ada di dalam goodie bag. Majlis motivasi pun ada goodie bag. 
Kacang lagi - Sudah menjadi trend sekarang balik dari majlis dapat kekacang yang diisi di dalam botol beraneka jenis.
~~ Rezeki di tempat kita ada di mana-mana. ~~

Monday, December 14, 2015

Peranan kelapa dengan kuih tradisi

Zaman mak-nenek kita dahulu membuat kuih-kuih tradisi tidak lari dari kelapa. Bila kenduri-kendari pula kerja memecah, memarut dan memerah kelapa untuk mendapatkan santan sudah menjadi perkara biasa. Namun kemajuan dunia hari ini selaras manusia kian sibuk berbagai cara digunakan untuk menggantikan santan dan kelapa parut. Soya, creamer dan susu sudah sering digunakan sebagai alternatif pengganti. Untuk lebih dekat dengan rasa santan kelapa kini kelapa di dalam kotak juga sudah menjadi perkara biasa. Kukur kelapa dan mesin parut kelapa pun ada anak generasi kini yang sudah tidak kenal. Pergi muzium baru tahu.

Rumah aku ada lagi mesin parut kelapa. Namun hanya sesekali saja aku gunakan apabila timbul keinginan. Tetapi Kak Reen juga sudah pandai menggunakannya, itu pun pertama kali mencuba kelapa sudah terpelanting dari tangan. Adik-adiknya jangan haraplah. Baru-baru ini aku gunakan kelapa parut untuk membuat agar-agar, rendang dan kuih kaswi.

Kukus - Terlanjur pengukus besar ini belum tersimpan selepas mengukus pulut tempohari aku kukuslah kuih ini
Tujuh - Ini untuk jiran yg menyewa rumah kami. Pasangan muda anak satu. Dia memberi kami apam, jadi pulangkan pinggan ganti dengan kuih ini. Anak-anak pula kalau kuih yang ada tabur kelapa kurang minat tetapi kali ini bila mama masak sikit suka pula. Mungkin aroma daun pandan dan gula melaka yang harum memikat selera. Namun adik tetap tidak makan dengan kelapa. Togel-togel dia makan begitu saja.
Cheese - Kalau topping begini anak-anak memang sukalah. Entah apa di buatnya di dapur ada 4 ketul ini. Dua untuk yang memasak (Kak Meen) dan dua lagi adik punya.
~~ Walau canggih mana sekalipun sehingga kini belum ada yang boleh menggantikan kerisik kelapa untuk rendang masakan tradisi Melayu.~~


Friday, November 27, 2015

Tradisi melahirkan rasa kesyukuran

Ini adalah salah satu tradisi bangsaku yang tidak boleh dielak. Melahirkan rasa kesyukuran di atas nikmat yang Allah berikan dengan cara tersendiri. Ada yang melahirkan rasa kesyukuran dengan memasak bubur pulut merah. Pulut yang dimasak dengan air gula merah dan santan. Kemudian apabila mahu dihidang atau diagihkan diletak sejemput pulut putih di bahagian atas/tengah pulut merah tersebut. Ada juga yang melahirkannya dengan membuat pulut kuning. Walaupun untuk masa kini pulut kuning sudah mudah diperolehi apa lagi sudah ada yang membuka kedai/business menjual pulut kuning dengan berbagai jenis padanan, namun aku tetap melegasikan kesyukuran dengan membuat pulut kuning.

1. Pengukus dua tingkat ini setakat 10kg beras pulut boleh muat lagi
Bukan selalu aku gunakan pengukus ini kerana biasa yang aku gunakan pengukus Amway yang comel. Setakat untuk kami sekeluarga sudah cukup. Tetapi untuk mengukus banyak kenalah gunakan yang besar ini.


2. Pulut kuning yang sudah siap. Setelah direndam dengan serbuk kunyit. Bersihkan sebelum masuk di pengukus yang dialas dengan daun pisang. Sebelum itu sediakan sedikit halia, bawang putih dan garam - tumbuk saja dengan lesung. Masukkan kesemua yang ditumbuk tadi ke dalam santan yang akan digunakan untuk disiram/renjis ke atas pulut yang akan dikukus. Lakukan selalu sehingga pulut betul-betul masak.
3. Sambal goreng dengan masyarakat Johor tidak boleh dipisahkan. Bahan digunakan bukanlah susah. Tauhu, tempe, suhoon, fucuk, udang, kacang panjang, kobis, kentang dan boleh juga kalau mahu ditambah apa juga sayuran yang digemari. Blend cili kering, halia, lengkuas, serai, bawang kecil, bawang putih dan udang kering. Hiriskan cili merah dan bawang besar . Tumis yang diblend tadi dan bila sudah naik minyak baru masukkan cili dan bawang besar yang dimayang tadi. Tauhu, kentang dan tempe yang telah digoreng awal tadi masukkan  semua satu persatu. Curah santan sedikit masukkan sayuran, suhoon dan fucuk yang telah direndam awal. Gaul-gaul sehingga sebati, masukkan garam & gula. Siap!
4. Rendang tok. Pasti bila sudah jadi mak-mak sudah arif bahan untuk rendang tok. Sama seperti biasa. Apa yg penting daun kunyit dan daun limau purut jangan lupa. Cili kering,, bawang-bawang, halia, serai, ketumbar, jintan, 4 sekawan, rempah kari semua kena ada. Begitu juga kerisik bila sudah agak pekat masuk kerisik barulah terasa enaknya.
5. Agara-agar santan. Terlanjur banyak santan masak sekali agar-agar santan ini. Rebus agar-agar tali tiga peket masukkan gula melaka 4 ketul dan sedikit gula pasir. Bila sudah masak sepenuhnya masukkan santan sampai mendidih agak lama. Tuang dalam loyang bila sejuk akan jadi dua lapisan.
6. Masukkan dalam bekas kesemuanya
7. Siap untuk diedarkan kepada jiran tetangga.
Ada juga yang menzahirkan kesyukuran ini kerana menunaikan nazar yang telah dipasang. Oleh itu kesyukuran yang diniatkan nazar bukan sekadar amalan tradisi bahkan sudah menjadi wajib. Semoga apa juga tindakan dan perlakuan mendapat redhaNya.

~~ Tradisi yang tidak melanggar syari'at tidak menjadi masalah asal saja perlakuan di atas landasan lagi. ~~

Thursday, October 22, 2015

Sama-sama merasa hasilnya

Salah seorang anak malam itu datang membawa sesikat pisang. Ada yang masak dan ada yang belum. Memandangkan masak tidak serentak itulah yang susah untuk dibahagi-bahagikan budak yang ramai. Kenalah jadikan kuih kalau tidak dijadikan kuih tidak semua dapat menikmatinya sedangkan sewaktu pisang itu dijinjit masuk banyak mata yang nampak.  Dulu sewaktu aku kanak-kanak allahyarhamah Mak juga buat begini. Contohnya jika durian yang ada setakat sebiji-dua kami tidak boleh makan begitu saja. Tunggu Mak akan masak buat bubur kacang. Jadi dengan cara ini semua dapat merasa.

Sedap atau tidak tolak tepi. Anak-anak bila makan bersama pasti seronok. Apa lagi bila dikatakan kuih pisang itu hasil dari pisang yang kawan mereka bawa semalam. Sekurang-kurangnya mereka tahu sama-sama dapat merasa pisang tersebut.

Pukul-pukul telur dengan butter, gula, letak baking powder dan tepung, masukkan pisang yang telah diblender. Letak juga setitik-dua vanila dan banana flavour.

Lapik loyang dengan baking paper. Tuang dan  tutup dengan aluminium foil. Kemudian  kukus.
Tidak sampai satu jam siap sudah.

Sudah dipotong walau masih panas. Bukan budak saja yang tidak sabar tapi ada juga yang sudah dewasa tidak sabar dek kerana aroma pisangnya yang semerbak.
Kamu tidak akan memperolehi kebaikan, sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa pun yang kamu infakkan, tentang hal itu sungguh, Allah maha mengetahui. (Suroh Ali-Imran :92)

~~ Orang memberi kita merasa. Moga dimurahkan rezeki keluarga anak yang memberi pisang itu buat kami semua.~~

Monday, August 24, 2015

Jangan bandingkan tanduk dan gading

Bukan saja Syawal sibuk dengan jemputan makan-makan, tetapi Zulkaedah juga tidak kurang rancaknya. Setiap hujung minggu pasti ada yang menempah untuk majlis tahlil dan doa selamat. Doa selamat termasuk aqiqah, menunaikan ibadah haji, bertunang dan sebagainya. Apa yang menjadi masalah bila ABC atau suara aku serak dan batuk. Namun bersyukur juga untuk musim cuti kali ini anakanda Reen ada di rumah dapat menjadi pengganti aku jika aku tidak dapat menunaikan hajat mereka. Kak Reen sudah boleh menggalas tempat mamanya.

Yasiin, tahlil & doa selamat - Semua sedang khusyuk membaca aku yang sekadar boleh berzikir sempat mengambil gambar sebagai tatapan bersama.

Marhaban - Johor dan marhaban tidak dapat dipisahkan. Biasanya selesai membaca yasiin, tahlil dan doa selamat kami bermarhaban beramai-ramai. Anak-anaklah yang paling gembira.
Balik malam ada kelegaan di hati kerana anakku kini mampu menggalas tanggungjawab aku sekiranya aku sudah tiada. Dua minggu berturut-turut aku serahkan majlis dibawah pimpinan Kak Reen. Hakikat sebenarnya semua boleh menjadi imam untuk memimpin majlis kerana sudah setiap minggu kami membaca bersama-sama dan tahu susunatur, tajwid dan sebagainya tetapi masing-masing masih tidak mahu memikul lagi - mungkin malu. Beberapa kali juga ketika belajar sudah aku katakan kena mencuba mana tahu seperti yang sering terjadi hanya kerana keuzuran aku majlis ditunda. Bukankah itu suatu yang menyusahkan. Seperti kata Kak Reen bila tidak ada gading, tanduk pun boleh juga. Tapi aku kata dalam hal ini jangan bandingkan tanduk dan gading. Apa yang penting majlis tuan rumah berjalan lancar.  Mama dan Kak Reen bukan tanduk dan bukan juga gading.

~~ Sedih melihat kemalangan yang menimpa keluarga yang maut di  Jalan Sungai Rengit, Kota Tinggi. Moga roh-roh mereka ditempatkan bersama kalangan umat yang beramal solleh.~~


Thursday, August 20, 2015

Penjara seumur hidup atau sampai mati

Sejak sehari-dua ini berita media tidak dapat lari dari isu di Thailand. Terbaru pengeboman di Kuil Irawan, Bangkok. Sebelum ini paparan berkaitan tiga tahun penjara yang dikenakan ke atas Andre Xavier Justo oleh mahkamah jenayah Thailand. Kedua kejadian ini secara tidak langsung memberi tempias kepada negara kita sebagai jiran.  Kematian warganegara luar termasuk negara kita sedikit mencalar imej Thailand. Begitu juga isu menjatuhkan hukuman tiga tahun ke atas Justo. Pada pendapat aku bagai tidak setimpal dengan ugutan yang dibuat olehnya. Bayangkan dia boleh memeras ugut bekas majikannya Petro Saudi International Ltd sebanyak 2.5 juta Swiss yang rentetan kisah ini jugalah timbul isu 1MDB di negara kita.

Bagaimanapun menurut Kak Reen "Seumur hidup pun mama kalau panjang umur sampai masa dia keluar dapat happy-happy lagi.  Bukan penjara sampai mati pun". Bila diterangkan oleh Kak Reen maksud seumur hidup bermakna jumlah penjaranya mengikut berapa usia dia sewaktu jatuh hukum. Jika berumur 30 tahun bermakna 30 tahun saja dia dipenjara. Berbeza kalau jatuh hukum sampai mati. 

Menurut Kak Reen juga, apa lagi seperti hukuman ke atas Justo ini tolak itu-ini mungkin akan kurang dari tiga tahun hukuman sebenar yang dijatuhkan ke atasnya. Sekali lagi aku baru memahaminya. Namun itulah hakikat hukuman rekaan manusia pasti ada lompongnya yang boleh dipertikaikan.

~~ Perundangan hukum yang digariskan dalam Al-Quran jugalah yang terbaik.~~

Saturday, August 15, 2015

Semailah demi untuk hari mendatang


Merenung sebahagian kata-kata yang diucapkan oleh President Lee Shian Loong, president Singapore bersempena hari kemerdekaan negara mereka 9 Ogos lepas, buat aku terfikir sama. Pre-National Day itu diraikan di Botanical Garden negara mereka yang disiarkan secara langsung di semuala saluran televisyen Singapore. Kami yang tingga di JB sebagai jiran boleh menonton sama. Katanya generasi dulu menanam banyak pokok yang banyak dan nikmatnya dirasai kita generasi kini. Menurutnya juga ada pokok yang mereka semua lihat ketika itu mencecah usia ratusan tahun. Bukan sepuluh atau dua-puluh orang boleh berteduh di bawah pokok yang banyak itu, tapi ribuan rakyat mereka dapat berteduh pada hari tersebut. Mereka dapat menikmati kesegaran taman hasil semaian datuk-nenek-moyang mereka dulu.

Mendalam maksud president itu sehingga aku merenung dari kata-katanya. Oleh itu sebagai manusia kenalah kita terapkan dan mencari jalan di dalam minda kita untuk memberi hasil yang boleh ditinggalkan sebagai warisan terbaik buat anak-cucu-cicit kelak. Keamanan, keharmonian, kekuatan bangsa kena kekalkan sebaik-baiknya.

Ibarat juga kita menanam pokok, jika benih yang baik tidak mustahil hasil benih tersebut akan melahirkan pokok yang sihat. Namun pokok yang sihat jika dirosak oleh parasit atau racun tidak mustahil pokok akan musnah dan tidak berjaya menghasilkan apa yang diharapkan oleh penyemai benih yang asal. Usaha kena ada untuk menghalang parasit dan racun dari singgah pada benih yang kita semai sehingga pokok benar-benar mengikuti spesifikasi yang kita mahukan. Bukan mudah tapi kena ada usaha. Begitulah jika meninggalkan zuriat biarlah yang memenuhi spesifikasi yang sekurang-kurangnya mampu mendoakan kita bila kita tiada kelak.

~~ Tidak ada suatu apa pun hasil boleh diraih dengan jalan mudah. ~~

Monday, August 3, 2015

Duka di Aidilfitri - 2

Innalillahi Wainnailaihi rojiuun. Kullunafsinzaa Iqotulmaut. Begitulah sebagai manusia kerdil kita kena akur ketentuan yang telah tertulis sedari loh-mahfuz lagi. Dari Dia kita datang kepadaNya juga kita akan kembali. Setiap yang bernyawa pasti akan menemui mati. Dua hari balik dari kampung ke rumahku syurgaku whatsapp group kami digemparkan dengan pemergian teman setaman. Menggigil aku menerima berita itu walau mulut tidak putus beristighfar. Sejak ramadhan lagi aku tidak bersua muka mahupun berwhatsapp sebab masing-masing dengan rutin ramadhan. Namun tetiba belum sempat berjabat tangan di Syawal yang mulia ini (sebab masing-masing balik kampung) dia telah dijemput izrael untuk bertemu rabul-jalil. Hubungan aku dengannya sangat baik apa lagi kedudukan rumah kami berhampiran.
 
Melihat 5 anak yang ditinggal menambah deras airmata mengalir. Tapi sungguh aku kagum dengan suami dan anak-anak lelaki beliau yang semuanya tidak pun mengalirkan airmata. Kuat betul iman mereka. Hanya yang bongsu kelihatan teresak-esak dalam pelukan si ayah dan merupakan satu-satunya anak perempuan dari 5 adik-beradik.
 
Melihat jenazah yang bagaikan tersenyum biarpun hati kami pilu tapi kami dapat rasakan Allahyarhamah NurAisyah Bt. Hassan teman kami itu tenang di sana. Meninggalkan kesemua anak-anak yang hafiz dan hafazah Al-Quran sedikit sebanyak membuat sejuk hati kami sahabat yang ditinggalkan. Siapa sangka dia yang menghidap diabetic tetapi meninggalnya kerana darah tinggi yang menyerang tiba-tiba. Saluran darah sudah pecah di dalam otak. Perginya terlalu cepat. Hampir jam 9:00 malam masuk hospital belum pun jam 11:00 malam dia sudah dijemput Izrael. Suami pula bagaikan digamit rasa mahu pulang walaupun beliau sebenarnya ada urusan tabligh/penyampai dakwah yang sepatutnya tiga hari tetapi boleh baru sehari sudah balik ke rumah. Allah bagi peluang untuk mereka bermesra sebelum pergi untuk selama-lamanya. Hikmah Allah juga mahu dia pulang untuk melihat isterinya pergi di hadapan mata sendiri.
 
~~ Khususon ila ruhi almarhumah NurAisyah Binti Hassan, Al-fatihah.~~
 
 

Tuesday, June 23, 2015

Tersepit di celah kemajuan

Lumrah biasa terkadang kita tidak sedar apa yang terjadi kepada insan-insan terdekat dengan kehidupan harian kita. Jiran adalah saudara terdekat walaupun bukan darah daging. Aku terpana apabila diberitahu salah satu rumah jiran berhampiran rumah kediaman aku akan diperintah lelong oleh pihak bank. Terkedu. Terperanjat. Kasihan. Sedih.  Semua rasa itu berbaur menjadi satu di dalam minda aku suami-isteri. Bila pihak bank menyatakan sejak membeli tidak dibayar aku dan hubby terkedu betul. Apa yang kami tahu rumah tersebut juga dibelinya dari orang lain. Tidak lama selepas itu dia menyewakan pula kepada orang lain. Aku tidak ambil tahu berapa dia sewakan dan berapa banyak harga yang perlu dibayar kepada pihak bank setiap bulan.

Mahu membantu dengan jumlah yang melibatkan angka agak besar tentulah tidak kami mampu, apa lagi bukan darah-daging walaupun ianya jiran. Serba-salah. Pernah terjadi sebelum ini yang akhirnya rumah itu aku dan hubby sepakat membelinya. Kini sekali lagi terjadi. Perbincangan terpaksa dibuat. Sepakat kami membeli saja rumah tersebut. Bayaran yang perlu dibayar kepada pihak bank sudah hubby langsaikan melalui pihak peguam kami. Seterusnya rumah tersebut kini sudah dicavietkan ke atas nama anak dara sulung kami. Tindakan kami sekurang-kurangnya dapat memberhentikan perintah lelong yang akan dibuat. Daripada rumah jatuh ke tangan bukan bangsa aku lebih baik kami membelinya. Kalau anak-anak tidak mahu duduk kelak (anak-anak aku semuanya perempuan, manalah tahu suami masing-masing tidak mahu) rumah-rumah yang kami ada dijadikan homestay. Teringin juga mengikut jejak-langkah anak Melayu pantai timur yang rata-rata mempunyai homestay. Tidak dapat 7 buah sementara ini dapat  3-4 buah pun jadilah. Sementelahan anak kami pun tiga saja.

Apakah 'orang yang duduk di atas' tidak nampak masalah yang kita rakyat marhaen ini hadapi. Rumah yang harga tidak sampai RM200/- pun masih ada yang tersepit tidak mampu membayarnya apa lagi jika mencecah jutaan ringgit. Semput hingga akhirnya tersepit. Bila sudah tersangkut akan disenarai hitam pula dan langsung tidak boleh membuat pinjaman bank. Kasihan golongan seperti mereka ini. Tindakan kami sekurang-kurangnya dapat membantu pasangan ini dari disenarai-hitamkan pihak bank. 

~~ Kerana rumah itu dua pembayaran projeknya hanya berbaki RM 2000/- saja. Kasihan hubby.~~





Monday, April 27, 2015

Keikhlasan dalam sebuah kehidupan

Sebagai manusia biasa terasa malu juga bila asyik menerima pemberian dari anak-anak. Aku tahu pemberian anak-anak ini adalah dari ibu-bapa mereka. Serba-salah jadinya. Kita memberi dari kemampuan kita atas dasar ikhlas dan sedikit sebanyak mahu membuat pelaburan di dunia yang satu lagi. Begitu pun aku rasa mereka (ibu-bapa anak-anak itu) juga rasanya ikhlas serta mempunyai rasa seperti apa yang aku rasakan. Memberi atas dasar ikhlas. Aku memberi dengan cara aku, mereka memberi dengan cara mereka.

Sesisir - Pisang ini diberi oleh Adik Caca. Sekarang sudah benar-benar lancar dan faham yang mana waqaf, ibtida', iklab, izhar, ikhfa' dan sebagainya. Datuknya memang banyak menanam pisang dan memberi aku sesisir. Besar buahnya hampir menyamai pisang tanduk. Tapi itulah aku sangkakan tunggu hingga kulit kuning, tetapi baru aku tahu pisang ini jenis walau masak kulitnya hijau.

Satu bekas - Sayang dengan pisang tersebut, dua biji Kak Meen goreng kemudian letak cheese. Mama/papa memang kuranglah suka pisang bertabur cheese.  Kami lebih suka cecah sambal kicap (style Johor). Tiga biji blend kemudian tuang ke dalam mixer yang telah aku mixed dengan telur+gula+butter+tepung dan baking powder. Letak banana flavour  kemudian masuk oven 45 minit.

Siap - Bila siap agih semula kepada adik Caca yang memberi pisang itu juga teman-temannya. Gambar atas ini aku bawa ke pejabat sebekas.
Indahnya bila keikhlasan terpancar di hati-hati umat manusia. Sebenarnya bukan saja makanan yang aku terima dari anak-anak yang datang. Ada juga yang berupa kain pasang, telekung, sejadah, bekas makanan dan sebagainya. Malu memang malu. Selalu sudah aku pesan sebaiknya sedekah pada mereka yang lebih memerlukan tetapi hati manusia dan kehendak mereka tidak kita ketahui. Tabarokallah... mereka punya hati-hati yang sungguh ikhlas. Allah juga yang membalas mereka semuanya. Sementara itu aku juga berharap keikhlasan aku tidak dinilai dengan semua pemberian itu.


~~ Mendidik hati untuk berbuat sesuatu dengan ikhlas bukan mudah bila kadang riak pula datang menjenguk sama. Kena segera ingat dan putarkan niat di hati dengan segera.~~


Monday, November 24, 2014

Majlis pertama cuti sekolah akhir tahun 2014

Hari Sabtu lepas yang merupakan hari pertama cuti sekolah bermulalah majlis di sana-sini. Kami sempat menghadirkan diri di majlis khatam Al-Quran, berkhatan dan aqiqah di rumah jiran belakang rumah. Empat sekeluarga berkongsi majlis kelihatan sangat berbaloi dan meriah. Dua keluarga untuk mengkhatankan anak, satu untuk aqiqah dan satu lagi dua anaknya khatam Al-Quran.

Majlis dimulai dengan tazkirah oleh anak tadika yang membawa tajuk Pentingnya Membaca Al-Quran. Agenda majlis seterusnya diikuti dengan pembacaan suroh-suroh untuk khatam Al-Quran. Kemudian kami semua berzikir munajat. Selesai berzikir itu diadakan tazkirah buat kaum ibu-bapa dan akhir sekali marhaban dan majlis cukur rambut bayi yang diaqiqahkan. 

Yang diraikan - Mereka sedang membaca suroh-suroh ayat lazim.
Pada pandangan aku majlis begini wajar dicontohi. Selain menjimatkan masa jiran-jiran untuk mengagih masa andai majlis dibuat berasingan hari, ia juga menjimatkan kos perbelanjaan kerana mereka berkongi segala kos perbelanjaan catering. Untuk majlis ini kami hanya perlu menghadirkan diri di satu tempat saja tetapi dapat merangkumi ke empat-empat keluarga yang berhajat. Kami hanya perlu menyediakan wang dalam empat sampul berbeza. Mudah dan tidak perlu membazir kerana pastinya andai dibuat di rumah masing-masing,  singgah di rumah terakhir pastinya perut sudah tidak mampu untuk diisi lagi.
Ole-ole buat yang hadir -  Selain daripada pulut kuning dan air mineral dalam goodie bag juga ada bunga telur dan bunga rampai ini.
Hari Sabtu ini pula tiga majlis walimah sudah menanti untuk dikunjungi. Majlis pula berasingan tempat. Apa pun kami sentiasa berusaha untuk menunaikannya jika ada izin Allah. Begitulah bila cuti sekolah yang pasti kita tidak dapat lari dari menerima kad jemputan berbagai jenis majlis terutamanya majlis pernikahan.

~~ Bersyukur dengan keamanan dan kemampuan yang masih boleh digapai.~~

Monday, November 10, 2014

Hormati dan kasihanilah jenazah

Sebagai renungan bersama di atas apa yang terjadi di hadapan mataku baru-baru ini .

Innalillahi-wa-inna-ilaihi-rojiuun. Ucapan sunnah yang biasa terkeluar dari bibir sebaik mendapat berita kematian seseorang Islam. Jika lokasi jenazah itu dekat mampu untuk kita berziarah apalah salahnya pergi berziarah. Semoga dengan ziarah tersebut dapat mengingatkan kita kepada mati seterusnya mendekatkan diri kita kepadaNya. Selain itu dapat juga menghormati dan tanda takziah serta kesedihan sama kepada keluarga yang ditinggal.

Kepada keluarga yang sedang menerima ujian diharapkan redha dan sama- sama menghormati si mati. Pengurusan perlu dibuat walau bagaimana pun sedih dengan kehilangan orang tersayang. Sebaiknya kepada keluarga yang ditinggal berpakaianlah seperti yang digariskan didalam Islam walaupun ia bukan pakaian biasa ketika tiada kematian dalam keluarga.Terlebih kasihannya sebalik diselak kain penutup jenazah (seorang gadis) dengan keadaan rambutnya terdedah. Aku terpaksa memohon bantuan kakak si mati agar di tutupkan aurat tersebut. Tanggungjawab begini terpikul kepada semua yang berziarah sebernarnya kerana kita kena beranggapan keluarga mereka tidak tahu. Kasihanilah jenazah tersebut. Walaupun sudah tidak bernyawa dia punya aib. Begitu juga ketika memandi dan mengkafankan. Sebaiknya jika ada yang lebih arif serahkan kepada yang lebih arif. Pihak keluarga boleh saja membantu dengan tunjuk ajar yang lebih arif. Jenazah perlu diurus dengan selembut dan sesopan yang boleh. Pengurusan dari membuka pakaian asal yang dipakai sebelum meninggal sehingga selesai dikebumikan perlukan pengurusan yang lembut dan kasih sayang. Hormati dan kasihanilah jenazah tersebut.

Menutup aurat kepada si mati adalah wajib. Haram bagi orang yang memandikan jenazah atau selainnya melihat aurat si mati begitu juga menyentuhnya. Bagi mereka yang hendak memandikan jenazah apabila sampai kepada aurat si mati hendaklah mengalas tangannya sama ada dengan menggunakan sarung tangan atau seumpamanya. Sebab itu sebaiknya gunakanlah sarung tangan getah yang lembut ketika memandikan jenazah kerana biasanya pihak masjid atau surau sudah ada kelengkapan tersebut.

Perkara utama yang diperlukan untuk orang yang memandikan jenazah ialah amanah. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW :لا يغسل موتاكم الا المأمونون - Riwayat Ibnu Majah yang bermaksud : “ Jangan kamu memandikan orang mati kecuali kepada orang yang amanah.” Jangan jadi seperti cerita yang aku jadikan entri sebelum ini - tangan pemandi mayat melekat pada mayat. Sebagai peringatan bersama termasuk mama dan anak-anak mama serta cucu-cicit mama kelak, belajarlah menguruskan jenazah. Kena ambil tahu fardhu kifayah yang satu ini. Aku jadi takut menanti saat aku dimandikan ketika menjadi jenazah suatu hari yang pasti akan tiba, adakah anak-anak aku mampu melakukannya.

~~Di mana saja kamu berada , maut pasti akan mendatangi kamu sekalipun kamu bersembunyi di atas mahligai yang kukuh  - (An- Nisa' :78)~~

Thursday, July 17, 2014

VEP mereka naik harga, kita percuma lagi

Bermula awal bulan ini setiap kenderaan yang masuk ke negara jiran kita, Singapore akan diberi kertas notis berkenaan kenaikan harga kenderaan yang mahu memasuki negara tersebut. Berbanding negara kita yang tidak mengenakan apa-apa bayaran kepada mereka. Jika mengikut pendapat aku kenderaan dari sana rasanya jauh lebih banyak yang memasuki negara kita tapi tidak pun dikenakan apa-apa bayaran. Pagi ini mendengar berita dari radio IKIM FM barulah ada ura-ura negara kita juga akan membuat seperti itu. Namun ini pun dikatakan masih dalam pertimbangan. Kita tunggu dan lihatlah apa pelaksanaannya kelak.

Notice - Inilah notis yang diberikan kepada setiap kenderaan yang memasuki Singapore. Berkuat-kuasa dari 01-08-2014 semua VEP (permit kemasukan kenderaan)  sudah dinaikkan dan hanya motosikal saja yang kekal.  Nilai setelah di gandakan lebih dua kali ganda Ringgit Malaysia kiralah berapa yang perlu dibayar rakyat Malaysia yang mahu memasuki negera mereka.
Syiling baru - Selalu bila customer membayar GST jarang menggunakan cash. Baru-baru ini ada pula yang menggunakan cash dan baru aku perasan mereka sudah ada syiling SGD 1/- yang baru. Cantik juga dengan dwi-warna.
Lama - Dulu syiling SGD 1/- dia begini tapi masih boleh digunakan lagi buat masa ini. Pasti lama-lama syiling ini tiada lagi dan jadilah sejarah buat negara mereka.
~~ Mengikut pemerhatian aku banyak hal negara kita selalu mengalah dengan negara luar.~~


Tuesday, July 1, 2014

Bagi anak-anak menikmati keindahan Ramadhan

Selamat berpuasa dan beribadah di bulan yang mulia. Aku agak kesibukan dengan tugasan sekembali ke pejabat hari ini. Bercuti sejak hari Jumaat hingga semalam blog pun terabai sama. Sepatutnya aku bercuti pada hari Khamis tetapi oleh kerana telah ter'pergi' kerja akhirnya aku teruskan juga dan ganti pada hari Jumaat terus hingga semalam. Dapatlah membuat beberapa aktiviti dengan keluarga.

Sehari sebelum berpuasa - Di sebabkan hari Khamis cuti umum buat kerajaan Johor (JDT menang) majlis dijalankan pada hari Jumaat. Pantas dan cepat mengejar masa sebab kena selesai sebelum tiba solat Jumaat.
Jiran lama - Anak-anak ini semua memanggil aku mama lagi sebab dulu mereka adalah jiran kami. Juga mendapat anugerah cemerlang. Kedua mereka mendapat tempat pertama walau markah agak terkebelakang sedikit dari adik sebab semua mereka tidak duduk satu kelas. Masa inilah adik mula berkata mahu duduk kelas ke dua aau ke tiga boleh dapat nombor satu. Nama pun budak yang dikejarnya adalah hadiah.
Kisah Rasulullah - Ada 60 kisah yang boleh dibaca dan boleh membuat adik terleka. Walau ada cerita yang sudah diketahui tatapi bila membaca kisah di dalam buku ini boleh re-fresh kembali ingatan. Sangat sesuai buat anak-anak seusia adik. Pandai ustaz/ustazah memilih buku ini. Lagi menggembirakan tidak perlu lagi aku mencari novel buatnya di bulan Ramadhan ini.
Tambahan - Semalam belikan juga dia buku-buku ini. Tidak adalah masa senggang kata masa iftar lambat benar. Bagi adik semua ini agar tanpa sedar masa iftar sudah tiba.
Pagi semalam - Semua buku latihan adik di atas tidak sampai RM50/- selepas diskaun berbanding kalau membeli novel agaknya baru dapat dua buah saja. Jimat duit mama:)
Tidak perlulah lagi mama membeli novel baru. Cukuplah semua itu untuk melayan masa adik berlalu selama sebulan berpuasa bila ada masa lapang. Buku-buku latihan juga pilihannya sendiri. Tidak ada alasan untuk membuat adik berkata bosan. 

~~ Sebagai ibu-bapa macam-macam cara dibuat bagi membuat anak-anak lebih selesa ketika berpuasa sementara menanti masa iftar. Carilah jalan yang mana mereka suka.~~

Friday, April 25, 2014

Nilai RM100/- dan biskut kering

Hari Rabu aku terpaksa bercuti kerana duit Yasmien yang diberikan sewaktu balik asrama Sabtu lepas tertinggal di rumah. Terpaksalah aku menghantarkan duit itu kerana rombongan sekolah bermula semalam. Pihak sekolahnya ada membuat lawatan sambil belajar. Marahlah juga sebab sewaktu diberikan duit di rumah aku sudah dinasihatkan " Meen, duit tu selit di novel nanti terlupa. Baik simpan terus dalam dompet". Tetapi pesan mama dijawab dengan kata "Duit mana boleh lupa mama".  Masin mulut mama betul tertinggal di rumah dan masih terselit di celah-celah novel yang dibaca. Kalau tidak kerana ada lawatan memang akan aku hantar pada hari Sabtu ini. Kasihan pula kalau berjalan berbekal duit 50 ringgit saja yang ada di tangan.

Namun malam tadi sewaktu sama-sama menanti untuk melelapkan mata hubby berkata "Bayangkan RM100/- hari itu M pinjam katanya untuk kegunaan hingga gaji. Anak tiga semuanya bersekolah. Isterinya pula tidak bekerja, nampak sesaknya hidup mereka". Aku mula membayangkan kalau anak-anak mereka duduk di asrama mungkin tersepit macam zaman aku dulu. Makan betul-betul dari apa yang dihidang oleh pihak asrama. Tidak ada makanan sampingan sendiri. Biskut kering dengan air sejuk adalah. Sedih bila terkenang itu semua. Mengikuti rombongan sekolah jauh sekali. Bukan bimbang tidak ada duit bekal tetapi untuk membayar duit rombongan itu sendiri bapak tidak mampu waktu itu untuk menyara kami lapan beradik.
Biskut kering - Ini biskut fibre Jacob mama sarapan pagi ini. Dulu lebih kurang biskut ini tepi size lebih kecil dan bukan jenis fibre. Sedih bila terkenang semula.

~~ Mama harap anak-anak yang membaca entri ini boleh menjadikannya sebagai iktibar. Sekarang masih ada orang yang susah kehidupannya seperti zaman mama dulu.~~