Monday, May 30, 2011

Kampung lagi

Tempohari telah balik ke kampung hubby. Seharusnya cuti sekolah ini balik pula ke kampung aku. Tapi cuti sekolah ini mungkin kami tidak dapat balik disebabkan beberapa jadual anak-anak yang tidak dapat dielakkan. Oleh itu minggu ini kami balik dulu jenguk bapak dan bibik (mak saudara yang telah menjadi isteri bapak). Sekadar memapar beberapa gambaran ketika berada di kampung.


Motor Atuk - Cuti sekolah akhir tahun lalu belajar naik motor ini dengan sepupu-sepupunya. Tidak sangka sekarang dia sudah pandai. Mama dia terjerit-jerit takut tapi dia selamba. Sungguh dia memang sudah pandai menunggang motor. Aku basikal pun belum pandai lagi.


Berdua - Dalam pandai itu berani dia menunggang bersama-sama adiknya tanpa pengetahuan aku. Atuk dia tidak pernah berkata tidak. Boleh saja. Jantung aku dup-dap dup-dap sebaik nampak adik dengan kakaknya naik motor. Mulut aku apa lagi pot-pet pot-pet. Papanya bangga melihat dua anaknya menunggang motor. Gambar ini papa mereka yang snap. "Best mama...." kata adik. Dia tidak tahu betapa jantung aku bagai hendak gugur.


Dahaga - Setelah penat bermain dan kena marah ikut ke belakang. Masya-Allah adik kehausan. Air kelapa muda dalam jug kecik itu dia togok berdua dengan kakak dia. "Ada gas dialah tuk...." Atuk gembira bila cucu suka dengan apa yang diberikan.

Lagi - Mak Zah dia sibuk menadah air kelapa muda dengan bekas baru. Satu lagi sudah dikongsi anak aku dua beradik. Langsai setengah jug.

Togel - Inilah saja yang tinggal di atas pokok yang paling rendah.

Mangga - Semua tempat kena jelajah, mangga muda ini lebat pulak dan turut menjadi mangsa tangan-tangan yang menurut kata hati dan mata.

Daun Kesom - Gemuk dan membiak macam semak. Kalau di rumah sendiri aku tanam dalam pasu. Ini merebak bercampur dengan rumput. Tidak pernah dijirus air pun gemuk. Hairan bin ajaib kenapalah engkau gemuk sangat kesom....Geram punya pasal aku pun gunting pucuknya banyak-banyak bawa balik.


Cili padi - Lagi satu menjadi mangsa. Nasib baik engkau muda dan hijau semua orang tidak pandang lagi. Kalau tidak mesti dah jadi mangsa macam kawan-kawan engkau yang lain kena sapu bersih. Apa boleh buat, bila banyak sangat bapak dengan bibik berdua pun tidak termakan. Selalu diberikan kepada pekerja kebun bapak untuk mangambilnya.




Jauh di sudut hati berdetik kalaulah tempat aku mencari rezeki berada di kampung alangkah bahagianya. Selain dapat sentiasa bersama bapak dan bibik, banyak tanah yang boleh diusahakan. Tunggulah tidak sampai pun 20 tahun lagi. Kalau aku pencen bolehlah aku lakukan itu semua. Bila berkira-kira pula larat lagikah aku waktu itu?


Friday, May 27, 2011

Keluarga Sakinah

Sekadar meringkaskan beberapa butiran kata dari kehadiran di majlis tersebut. Penghuraiannya pasti masing-masing telah tahu kerana perkara ini sering dihuraikan dimana-mana majlis yang seumpamanya. Saranan kepada kaum lelaki untuk mencari isteri.

1. Isteri yang solih adalah perhiasan yang terindah bagi suami
2. Keluarga baik - dari lingkungan kalangan mereka yang baik-baik
3. Anak dara – belum pernah menikah dengan mana-mana lelaki
4. Mempunyai nilai kesabaran yang tinggi
5. Menggembirakan hati - Kalau asyik sakit selalu mesti suami tertekan
6. Amanah – bertanggungjawab menjaga harta ketika ketiadaan suami
7. Cantik ketika di rumah – tidak berhias untuk orang lain
8. Sekufu – sama taraf; sebab kalau darjat tidak sama sukar dan menyeimbangi cara hidup
9. Bukan materialistic – tidak mementingkan dunawi
10. Mementingkan ikatan silaturrahim - kenalah hormat saudara-mara suami juga
11. Tidak suka membuat cerita – pandai simpan rahsia
12. Subur – boleh memberi zuriat. Kena rela bermadu kalau suami mahu mendapatkan zuriat kerana kadaan diri yang tidak subur.
13. Redha – sedia bersama suami dalam apa juga hal susah dan senang.



Pocket file - Dalam file ini ada dua buku dan sehelai kertas A4 diberikan kepada semua yang turut hadir.


Dua buku panduan - Inilah buku yang duduk di dalam pocket file tersebut. Aku suka doa-doa yang tercatat di dalamnya. Boleh diamalkan hari-hari.




Bila menghadirkan diri dalam majlis seperti itu walau telah banyak kali diulang-ulang ianya bagaikan satu tamparan buat diri aku kerana banyak perkara yang perlu dibaiki. Untuk keluar bekerja tanpa solekan, itu yang pasti tidak pernah dapat aku lakukan. Bila aku bertanya kepada hubby, ada rasa kurang selesa atau tidak andainya aku bersolek ketika keluar bekerja ? Hubby aku hanya senyum "suka hati, I've no comment" itu katanya. Tetapi ketika aku membeli peralatan solek semuanya ditemani olehnya dan yang pasti dia juga tahu waktu-waktu bila aku menggunakannya. Hati aku yang jahat ini berkata "Ala…. Siapalah nak muka orang dah tua ni….” Tapi tua-tua pun hendak juga kelihatan cantik. Setakat mencalit lipstick dan menepuk compact powder bagaikan tidak selesa sebelum keluar. Tunggu aku pencen agaknya. Itu pun kalau dipanjangkan umur. Allah berilah aku peluang itu.

Wednesday, May 25, 2011

Cerita Dalam Perjalanan

Perjalanan balik dari kampung macam-macam cerita terluah.

Cerita satu: -

Yasmien: Papa selalu jadi tukang sembelih tahu tak di mana tempat nak sembelih untuk binatang itu supaya daging di makan tidak dikira bangkai? Ustaz kata kalau yang leher panjang kena sembelih dekat atas dadanya.

Adik: Kalau dada tu tikam la namanya kan papa, bukan sembelih. Jadi mana boleh makan.

Papa: Bukan boleh sembarangan sembelih. Kalau yang binatang leher pendik sembelih mesti di leher tempat dimana dipanggil urat mereh dan mesti putus. Kalau yang leher panjang dipanggil tempat itu sebagai labbah tempat di mana bahagian lembut bahagian atas sedikit dari dadanya bukan tepat pada dada. Tidak boleh sembelih di lehernya.

Adik: Oh... Habis papa dah pernah sembelih zirafah ke?

Yasmien: Adik nak makan zirafah ke? Ingat macam unta agaknya? (Adik kebingungan......)

Semua dalam kereta: Hahaha......

Kami pun tidak terfikir dia boleh membayangkan yang leher panjang itu zirafah. Angsa yang selalu dijumpai di kampung tidak pula terlintas di kepalanya.

Cerita dua:-

Penjual durian: Pilihlah encik (sambil menunjukkan harga berlainan setiap longgok yang ada)

Hubby: Manis ke ini?

Penjual durian: Ini semuanya manis jangan takut. (Sambil mengambil sebelah buah durian yg telah ternganga supaya hubby merasa).

Hubby: Saya suka yang pahit ada?

Penjual durian: Ha... ini memang semua pahit. (membuka sebiji lagi durian buat hubby merasa).

Hubby: Ok cari yang macam ini dua-tiga biji.

Adik: Tadi dia kata manis, lepas tu kata pahit. Mana satu yang betul papa?

Hubby: Memang manis tapi ada rasa pahit sikit.

Penjual dan pembeli serupa membuat anak yang mendengar keliru. Logiknya mana ada durian yang pahit. Sebenarnya pahit bukan macam peria atau ubat. "Kalau panadol itu baru pahit." Itu kata adik.

Cerita 3:

Adik: Kakak tengok tu, dia naik motor sampai empat orang. Kalau kita mesti tak muat.

Yasmien: Kenapa dik

Adik: Tengoklah motor dia kecik. Kalau mama dengan papa duduk berdua kita dah tak boleh naik.

Mama: Siapa besar, mama ke papa?

Dua beradik ketawa tidak menjawab soalan. Papa mereka jeling sinis pada mamanya. Aku sengih saja. Siapa yang anak maksudkan besar, mamanya atau papanya.


Inilah anak-anak papa itu.


Perjalanan yang tidak sejauh mana banyak cerita terungkap. Apatah lagi perjalanan hidup kita yang bertahun-tahun lamanya. Mengharap pengisian hidup lebih bermakna kerana nokhtah perjalanan dunia dari satu destinasi ke satu destinasi dengan kenderaan cukup selesa. Berharap destinasi kita menemui Allah dipermudahkan jua hendaknya.

Tuesday, May 24, 2011

Beg baru

Orang kata beg James Bond. Puas benar hati apabila dapat memiliki beg kotak yang begitu cantik, siap dengan pengetap di bahagian atasnya sebagai pengunci. Kunci diikat ketat dengan tali halus di bahagian tangkai beg. Sebelum masuk tidur pun masih tidak puas membelek beg baru itu. Susun lagi sekali buku-buku dengan cermat. Ada sedikit ruang ditepi buku diselitkan tempat pensil yang isinya hanya sebatang pensil, pemadam yang tinggal secoet dan pengorek bulat yang telah tumpul pisaunya. Tapi rasa sayang begitu kental. Tidur malam pun bermimpi pergi ke sekolah membawa beg baru.

Bangun pagi tidak perlu dikejut. Bagai ada saraf automatik sebaik aroma cekodok bawang menembusi lubang hidung. Faham pasti subuh sudah masuk waktu. Terpisat-pisat berebut mandi. Sejuk menggigil tetap dilalui juga tanpa banyak kerenah. Mana ada shower atau heater. Selesai solat, tukar baju sekolah, terus masuk ke dapur. Pasti ada sebotol air dan cekodok bawang yang siap untuk dimasukkan ke dalam beg. Melangkah ke sekolah tanpa bas atau van tapi semangat begitu berkobar. Pasti kawan-kawan mahu melihat beg baru ini. Senyum lagi. Puasnya tidak terhingga.

Kini beg bentuk begitu sudah tidak kelihatan lagi.

Balik dari outstation tempohari hubby membelikan anak-anak beg sekolah. Dua buah beg nilainya mencecah ratusan ringgit. Aku tahu mereka gembira sebab dapat memiliki apa yang dikehendaki. Baru lima bulan sekolah beg yang dibeli menjelang 2011 telah koyak. Tetapi itulah membuat aku terkenang pada masa dulu beg sekolah aku boleh bertahan bertahun-tahun. Kalau setakat lubang sidikit janji buku tidak cicir akan digunakan sepenuhnya. Itu pun menanti wang terkumpul barulah dapat memilikinya. Kini sebelum membeli kena tahu dulu brand yang dikehendaki, warna apa, berapa compartment didalam, ada tempat isi botol air dan ciri-ciri yang dia mahu. Bersyukurlah anak atas nikmat ini.


Gambar kucing - Beg adik yang baru RM 49.90/-



Hitam - Kakak suka Silver Planet 69.90/-



Berharap dengan beg baru dapat memberi suntikan semangat baru untuk mereka berdua yang sedang menjalani peperiksaan minggu ini.




Monday, May 23, 2011

Kuning kedua-duanya

Balik dari outstation. Tangan menjinjing beberapa beg plastik. Bibir adik telah mampu tersenyum lebar bila matanya dapat memandang muka papa yang ditunggu-tunggu sudah kembali.

"Apa yang adik dengan kakak hendak semua ada". Sambil menghulur mana beg plastik untuk anak-anak dan satu lagi untuk aku. Anak-anak senyum lebar mendapat apa yang dihajatkan. Tiada langsung keinginan melihat apa yang aku jinjing ke dapur. Masing-masing sudah duduk mengepit papanya.

Mencapai beg plastik agak berat ada 2 biji mangga dan sebiji cempedak. Inilah rupanya yang menghuni beg plastik yang dijinjing tadi. Aku yang di dapur sepatutnya masak nasi terliur pulak hendak makan cempedak dan mangga. Menurut hubby penjual itu begitu pasti isi cempedak itu banyak. Sebaik ternganga cempedak yang besarnya mengalahkan betis hubby isinya hanya beberapa ulas saja. Alang-alang hubby aku sudah terpedaya dek cempedak itu biar aku pula memperdaya buah-buahan itu.




Kuning - Sebiji cempedak dan mangga. Sebiji mangga sudah dikupas dulu baru snap gambar ini.



Besar - Hampir sama besar saiznya dengan kepala adik



Semangkuk - Hasil sebiji mangga yang siap untuk dimakan. Banyak isinya.



Pertama - Inilah saja ulasan yang ada tersembunyi disebalik kulit



Kedua - Buang biji, siat dan campur dengan tepung buat cekodok



Ketiga - Cekodok cempedak. Kesukaan kami sekeluarga


Malam itu kami tidak makan nasi. Adik dan kakaknya mengisi perut malam itu dengan burger dan bubur ayam yang dibeli oleh papa mereka. Manakala aku dan hubby makan cekodok cempedak dan mangga ini.






Friday, May 20, 2011

Adzan

Merapak kesyukuran kepada Allah kerana hari ini aku dinobatkan oleh Cikgu Imanshah lihat N3 di sini sebagai pemenang pertama. E-mail juga telah aku hantar buat Cikgu Iman untuk tindakan selanjutnya. Kepada Cikgu Iman dan teman-temannya yang bertungkus-lumus membaca semua penyertaan amat dihargai. Semoga akan ada lagi idea-idea seumpama ini di masa-masa akan datang. Terima kasih cikgu.



Untuk hari Jumaat yang indah ini bersama-samalah kita penuhi perjalanan hidup sepanjang hari dengan hati yang penuh terbuka. Titisan Nurani kali ini tercetus rentetan dari kesilapan anak aku ketika menyambut seruan adzan ketika dilaungkan.


Bila ada kelahiran baru
adzan dan qamat berkumandang di telinga
bila mahu menunaikan solat
adzan dan qamat berkumandang di telinga
bila musibah menimpa
adzan berkumandang mohon bencana terhenti segera

Bila tiada kelahiran
tiada solat didirikan
tiada musibah datang melanda
tiada doa mahu dipinta
ketika adzan berkumandang
diri sendiri membuat cerita
alpa dari segala tanpa rasa

Ketahuilah oleh semua
adzan menjadi terapi minda
meluntur elemen negetif yang ada
hormatilah selagi bernyawa
tunduk dan taqwa kepadanya
hayati walau hanya seketika
atas pemberian olehNya
yang tidak terhitung banyaknya

Sesiapa yang mendengar adzan hendaklah mengulangi kalimah yang diucapkan muazin
kecuali ketika tiba pada bacaan ini:


dan




Ketika itu sebutlah:



"Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah". .......


Sekadar hiburan sejenak *_*

"Bang, bang .... dah bang. Bila abang nak bang, anak-anak dah tunggu nak solat, cepatlah bang, radio pun baru berhenti bang. Tunggu apa lagi bang, cepatlah bang". Antara ayat yang boleh kita dengar bila panggilan kepada suami diganti dengan abang/bang dan adzan diganti dengan bang. Mana satu panggilan isteri kepada suami dan mana satu bermaksud adzan hanya dengan intonasi lontaran nada penyampaian baru nampak perbezaannya.





Wednesday, May 18, 2011

Lontaran nada dan irama

Cuba renungkan sejenak bunyi yang rata-rata lebih kurang sama tidak kira bangsa, agama ataupun darjat. Apa yang membezakan hanya lontaran nada samada kuat atau perlahan dan irama lembut atau sebaliknya.

Bila ketawa

Bila sendawa

Bila bersin

Bila berdehem

Bila batuk

Bila menjerit

Bila menangis

Bila tersedu-sedu

Bila buang angin (kentut – hehehe…. Maaf ye)

Oleh itu tidak perlulah memandang rendah pada orang lain kerana sesungguhnya kita sama di sisi Allah. Apa yang membezakan antara kita adalah amal kebajikannya.

Allah swt berfirman: “Wahai manusia, kami ciptakan kamu dari laki-laki dan perempuan, dan kami jadikan berbagai suku dan qabilah agar kamu saling kenal-mengenal antara satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling taqwa.” – (Surah Al-Hujuraat: 13)



Monday, May 16, 2011

Rindu....

Hampir tiga minggu tidak bersua muka dengan kakak sulung mereka. Pagi hari Sabtu mereka ada kelas tambahan. Petang pula pergi ke Plaza Angsana membeli hadiah buat guru-guru yang disayangi. Persediaan tambahan hadiah masing-masing yang akan diberikan pada Hari Guru yang akan disambut pada hari ini di sekolah.

Semalam pagi sebaik saja usai solat suboh aku telah memulakan perbersilatan di dapur menyediakan makanan untuk dijadikan makan tengahari. Ayam kampung masak lemak cili padi, ikan kerapu goreng, sayur campur, sambal tumis sotong dan ulam timun cukup rasanya membuka selera anak-anak. Menjenguk di dalam peti sejuk buah-buahan yang ada hanyalah belimbing bintang, jambu air dan epal. Buah-buahan ini aku potong dan masukkan ke dalam bekas. Dalam perjalanan hubby membeli bubur Marry Brown, ayam goreng dan mixed vegetable.

Sebelum tengahari memunculkan wajahnya kami telah tiba di perkarangan asrama. Adik-adik sudah mengeletik tidak sabar menanti kakak mereka turun sebaik pengumuman berkumandang mengatakan kami berada di bawah menanti. Bila bibir mengucap salam, pipi berlaga dan tangan memeluk antara satu sama lain cukup memberi makna tanda rindu telah terlerai. Kakak mereka sedang menjalankan latihan choral speaking. Melihat seketika mereka berlatih kemudian kami menikmati juadah untuk makan tengahari bersama.



Latihan - Teman-teman Nurienne berlatih choral speaking


Kondakter - Tidak menyangka Nurienne menjadi juara Conductress terbaik antara sekolah-sekolah agama pada tahun ini.


Senyuman - Masing-masing tersenyum berharap persembahan untuk Hari Guru akan berjaya

Makan tengahari - Adik-adik menikmati bubur MB tapi Nurienne tetap mahu makan apa yang mama dia masak. MB dia bawa naik atas dorm.

Ayam - Yasmien dan Adik menjelajah hingga terjumpa ayam ini di belakang sekolah kakak mereka



Selepas solat Zuhor kami bertolak meninggalkan Nurienne seperti biasa. Pesanan demi pesanan di tinggalkan walaupun itulah juga yang selalu terucap oleh kami sebelum meninggalkannya. Kebimbangan sentiasa ada di jiwa setiap insan yang bergelar ibu-bapa bila berjauhan dengan anak tetap tidak dapat lari dari hati.




Saturday, May 14, 2011

Warga Pencipta bukan Pengguna

~ Semalam sehari suntuk blog aku tidak boleh di access dan malam tadi aku dapati entry in telah hilang dari blog aku. Masuk ke draf seolah-olah ia belum di "publish". Segala komen teman-teman hilang dari kotak komen. Di sini aku "publish" sekali lagi apa yang telah aku "publish"kan pada 12-05-2011.~


Saranan pemimpin menerusi berita baru-baru ini mahu rakyat kita menjadi warga pencipta bukan warga pengguna semata-mata. Terkenang dulu masa sekolah kita disogokkan dengan perekacipta ulung banyak benda yang menjadi kegunaan kita seharian.

Sistem telekomunikasi tidak selancar kini
jika Alexander Graham Bell tidak mencipta telefon

Agaknya lilin menjadi peneman kegelapan
seandainya Thomas Edison tidak mencipta mentol

Sudahlah gelap yang kedengaran hanya sahutan cengkerik
kalaulah Guglielmo Marconi tidak merekacipta radio

Bahkan ramai yang masuk bilik tidur awal
sekiranya Philo Taylor Farnsworth tidak mencipta televisyen elektronik sepenuhnya


Perjalanan dari satu tempat ke satu tempat juga mesti memakan masa
seandainya Hendry Ford tidak mencipta kereta

Mungkin tidak ramailah dapat berbulan madu keluar negara
seandainya Orville Wright/Wilbur Wright tidak mencipta kapalterbang

Jangan haraplah hendak ada sms atau ber 3G
kalau Dr. Martin Cooper tidak memulakan mencipta telefon sellular

Banyak lagi yang menjadi pereka terawal kalau hendak disenarai. Tetapi yang amat ketara terkini dengan adanya e-mail, blog, FB, twitter dan yang seangkatan dengannya menjadikan insan lebih terbuka. Terbuka minda dan segala-galanya membuat dunia menjadi huru-hara hingga bumi seolah-olah bukan saja berjoget caca tapi menjadi carca-marba.

Nuklear dan robot dijadikan seperti sesuatu yang membanggakan kebolehan negara masing-masing. Risiko akhirnya ditanggung insan sejagat. Kita masih diberi peluang untuk melihat hasil pereka-pereka dan hasil penciptaan dulu dan sekarang. Dunia yang semakin gah juga sudah semakin bongkok tanpa sedar.



~"Sesungguhnya Tuhan kamu hanya Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia, yang meliputi pengetahuan-Nya akan tiap-tiap sesuatu." (Al-Quran, Thoha: 98). Sesuatu ciptaan tidak akan terlaksana tanpa redha Allah.~



Tuesday, May 10, 2011

Hidayah bukan milik kami

Hari Ahad lepas selepas solat subuh lagi aku telah mendapat ucapan selamat menyambut Hari Ibu dari anak yang tinggal di asrama. Bermalas-malasan di atas katil sementara menanti masuk dhuna bersama hubby kami berbicara kisah semalam. Zuriat yang dilahirkan dalam keluarga serba kekurangan. Mereka kaya zuriat tetapi kemampuan untuk memenuhi tuntutan seperti anak-anak lain terlalu jauh sekali. Sambil itu hati mula dipaut sayu terkenang allayharham ibu mertua yang telah lama pergi meninggalkan kami.

Anak sulung dalam keluarga mertuaku hanya mampu memperolehi seorang anak lelaki selepas 15 tahun usia perkahwinan mereka. Itulah satu-satunya anak yang dia ada sehingga kini. Anak kedua pula mempunyai zuriatnya setelah usia perkahwinan menginjak ke lima tahun juga itulah satu-satu waris yang dia ada. Manakala anak ke empat pula berkali-kali cuba mencari anak angkat tetapi pencarian seakan-akan menemui kegagalan. Setelah menjadi ahli dalam keluarga itu baru aku tahu bahwa aku harus bersyukur kerana mampu melahirkan zuriat sehingga tiga orang.

Bunyi telefon bimbit hubby pagi itu menghentikan bicara kami. Aku hanya mendengar perbualan singkat itu dan menanti cerita lanjut. Hubby bersiap katanya rezeki hari ibu buat keluarga kami. Aku menanti di rumah dengan penuh debaran. Selang beberapa jam hubby menelefon mengarahkan aku bersiap untuk turut ke sana. Anak-anak aku melompat-lompat kegembiraan. Hubby balik semula ke rumah. Tukar kereta. Kami bawa MPV agar lebih selesa menuju ke destinasi yang belum pernah kami jejaki.

Di rumah inilah mereka tinggal. Masya-Allah kedudukan zink yang hanya beberapa jengkal dari atas kepala amat dirasai. Panasnya mengalahkan dalam sauna. Maha kaya Allah anak ini punya kulit yang mulus walau tidak menggunakan lotion atau krim seperti anak-anak kita. Ketika mahu melepaskan ke tanganku lelaki itu menangis tidak rasa malu. Hati aku bertambah-tambah sebak hingga akhirnya aku bisu tanpa kata.


Nur Hidayah - Lihatlah dia amat selesa dalam ribaan anak ku. Aku dodoikan di buai yang hubby buat menggunakan kain pelikat sementara menanti kakak ipar dan suaminya berbelanja membeli segala keperluan untuk si kecil ini.

Hingga kini masih terbayang di ruang mata lambaian dari datuk, nenek, abang dan kakak Nur Hidayah sekeluarga. Detik itu sesungguhnya amat menyayat hati aku dan anak-anak dengan juraian airmata. Tetapi sebagaimana janji hubby pada mereka kami akan jadikan mereka sebagai saudara kami. Rumah dimana Nur Hidayah dilahirkan ini pasti akan akan kami kunjungi lagi.

Munajat saban hari seluruh keluarga, Hari Ibu tahun ini memberi seribu makna buat kakak ipar aku. Pada Hari Ibu tahun 2011 ini jugalah akhirnya dia mampu membahasakan dirinya sebagai ibu. Namun nikmat ini hanya dapat dirasai sekadar dua hari apabila malam tadi aku terpaksa mengharungi tengah malam pulang ke kampung untuk mengambil Nur Hidayah kembali ke pangkuan keluarganya. Perancangan yang sepatutnya ke pejabat peguam hari ini langsung terbatal. Kakak ipar dan suami yang telah berbelanja ribuan ringgit akhirnya tidak dapat lagi menikmati hidup rumahtangga dengan cahaya-mata. Besar sungguh ujian ini.

Malam tadi lebih kurang jam 12:30 Nur Hidayah kembali kepangkuan keluarga asal. Permohonan maaf dari keluarga itu kami terima dengan hati terbuka dan pasrah dan kami percaya ini adalah ketentuan Allah bahawa Nur Hidayah bukan milik kami.

Renungan bersama:-

Mengambil contoh apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w, sewaktu baginda mengambil anak angkat iaitu Zaid bin Haritsah sejak zaman jahiliah (pada masa ini amalan pengambilan anak angkat tersebar luas), Zaid waktu itu seorang anak muda yang ditawan sejak kecil dalam salah satu penyerbuan jahiliah, yang kemudian dibeli oleh Hakim bin Hizam untuk diberikan ibu saudaranya yang bernama Khadijah dan selanjutnya diberikan oleh Khadijah kepada Nabi Muhammad s.a.w sesudah Khadijah berkahwin dengan Rasulullah. Setelah ayah dan bapa saudara Zaid mengetahui tentang hal tersebut, mereka datang kepada Nabi dan meminta anaknya kembali tetapi Nabi Muhammad s.a.w menyuruh Zaid sendiri yang membuat keputusan. Namun Zaid lebih senang memilih Nabi sebagai ayah daripada ayah dan bapa saudaranya sendiri. Nabi Muhammad mengisytiharkan Zaid sebagai anak angkat baginda di hadapan orang yang ramai pada masa itu.





Monday, May 9, 2011

Hari Sabtu itu....

Pada hari Sabtu lepas menghadirkan diri ke majlis Mesyuarat agung PIBG dan Anugerah Cemerlang 2010 di sekolah agama anak. Bermula dengan persembahan nasyid, diikuti beberapa ucapan alu-aluan dan seterusnya rombakan ahli jawatankuasa untuk sessi 2011-2013. Sewaktu pemilihan entah bagaimnamana dua orang ustazah telah berpakat melantik aku sebagai ajk dan sungguh diluar dugaan mendapat sokongan ramai yang hadir. Terkejut aku terus bingkas bangun dan terpaksalah aku menggenggam mikrofon. "Sesungguhnya saya amat berbesar hati dan berterima kasih dengan perlantikan ini. Tetapi dengan seikhlas hati juga saya memohon maaf kerana saya tidak dapat memikul commitment ini." Itulah yang dapat aku tuturkan.

Aku tahu di mana tahap kemampuan aku. Aku takut sekiranya aku menerima perlantikan itu tetapi akhirnya aku gagal menjalankan tanggung-jawab yang diberi. Kalau sekadar menderma itu suatu yang mudah tetapi janganlah kerana derma itu dijadikan medium sebagai alasan orang itu dilantik sebagai ajk. Manusia berbagai ragam. Kita melihat orang lain sebaliknya orang pula melihat kita.

Agenda akhir majlis dimeriahkan dengan penyampaian hadiah kepada murid-murid yang berjaya dalam peperiksaan akhir tahun lepas. Adik mendapat nombor dua dari darjah 1 Abu Bakar. Darjah satu dibahagi kepada empat kelas Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali.

Tengahari hampir mencecah waktu zohor kami pun tiba di rumah. Dalam keletihan untuk membuang tin laici yang aku kumpulkan di belakng rumah kedengaran kucing mengeow miang. Hati aku tiba-tiba menjadi jengkel apabila melihat pasu tempat aku menyemai halia, daun kesum, cili dan lainnya menjadi gelanggang kucing jantan mahu mengawan. Dikejar si betina oleh si jantan yang pada pandangan aku si betina tidak suka padanya bagai hendak gila. Seakan-akan memaksa si jantan membuat kepala aku membayangkan mungkin begitu kalau kejadian rogol terjadi. Hubby aku ketawa tapi aku geram kerana pokok semaian aku dijadikan tempat kucing jantan itu menerkam dan si betina cuba bersembunyi.
















Keterangan gambar - Adik berada di atas pentas, hadiah yang diperolehi, di luar pintu pagar sekolah dan akhir sekali kucing jantan sedang menunggu masa mahu menerkam si betina.




Friday, May 6, 2011

Contest Selamat Hari Guru

Imanshah - Seorang guru bujang penganjur contest ini



Terkedek-kedek dan terdencut-dencut dengan punggong besar macam itik baru keluar dari reban. Susah betul untuk tiba di pertengahan sebab membawa punggong dan kasut yang berat. Hati sebenarnya kecut. Gemuruh tepuk tangan mengiringi sama langkah kaki ketepak...ketepek..... tak putus-putus. Tubir mata yang asalnya digenangi airmata akhirnya berjuraian bagai air hujan. Sebaik berada betul di bahagian tengah pentas terdengar suara huwa…hwa…hwa… seiring juga esakan berterusan tanpa henti.

Selama majlis berlangsung esakan masih belum reda. Bila pengumuman penyampaian hadiah diumumkan …"pemenangnya ialah itik gembo-gembo!!” esakan berbaur dengan rasa terkejut. Cikgu sibuk mendukung aku supaya naik ke pentas mengambil hadiah tersebut. Piala hampir sama tinggi dengan aku. Perasaan takut masih menguasai.

Itulah peristiwa pertama kali aku naik ke pentas sempena sambutan Hari Guru. Betapa tanpamu guru aku amat na├»f sekali. Naik pentas untuk acara pakaian beragam membuat aku benar-benar menangis bukan lakonan. Hahaha….. Kini aku merindui saat-saat itu. Apa juga sebutan atau panggilan insan bernama guru itulah yang berjaya memberi transformasi peribadi ke arah yang lebih positif.



Buta menjadi celik
malas menjadi rajin
keruh menjadi jernih
benci menjadi kasih
takut menjadi berani
rendah menjadi tinggi
leka menjadi peka
alpa menjadi ulama
cuai menjadi tawadhuk
dangkal menjadi lembut
merangkak menjadi raja pecut
dipimpin menjadi pemimpin
Kejayaan kami keranamu guru

“Selamat Hari Guru, cikgu”

Kepada teman-teman yang sudi memeriahkan contest ini silalah klik di sini




Wednesday, May 4, 2011

Jangan geleng-geleng.......

Perjalanan menghantar puteri sulung balik asrama
waktu tengahari berhenti mengalas perut yang sudah berirama
bukan perut yang menjerit mohon diisi saja
mulut anak-anak turut memberi isyarat yang sama
bila perut telah di isi mata mahu terlelap kian terasa
anak-anak di belakang sudah tidak kedengaran suara
bagi menghalang agar pemandu tidak terlena
sama-sama kami berbicara

Tiba-tiba dikibar ditepi jalan ada bendera
berhentilah kereta sebagimana dipinta
mata yang lesu kembali cerah semula
pengendali bendara bukan sembarangan orangnya
berpakaian putih bersih jelas kelihatan oleh mata

Mengarah kereta dipandu memakir ke tepi jalan
mesti ada kesalahan yang telah dilakukan
talipinggang keledar di sisi kerusi sedia mentertawakan
kenapalah bila perut kenyang aku tidak digunakan
bukan salahnya kerana mengeluarkan saman
alasan kami tidak diendahkan
redha dan pasrah dengan arahan
bergerak lagi meneruskan tujuan
senyum semua kerana kelalaian.....











Geleng kepala - Hubby mengambil surat saman yang diserahkan walau geleng kepala tak mahu tetap kena angguk dan menerimanya.....

Monday, May 2, 2011

Bukan Mimpi...

Menjadi seorang penanti telah lama tiada lagi dalam kamus hidup. Keterujaan untuk menemui itu kian membuak-buak. Seminggu perkhabaran telah diberi bahawa pertemuan itu mahu juga dilakukan. Hati melonjak gembira berbaur bimbang impian tidak terlaksana.

Tik-tok… tik-tok… putaran jam terasa lambat benar menunjuk detik yang ditetapkan. Ah… memang benar hati dirasuk ketidak-sabaran yang maha tinggi. Mana mungkin gunung itu bisa beralih tempat. Sudah dijadikan perumpamaan tidak akan lari gunung dikejar. Tetapi ini bukan gunung yang mahu dikejar, sebaliknya merasakan waktu itu yang terlalu lambat berputaran. Huh… sabarlah hati tidak lama lagi segalanya akan tercapai. Kalau beribu detik masih boleh menanti kini hanya tinggal beberapa detik tidak bolehkah kesabaran itu dibajai sedikit agar menyubur di hati.

Nah…. Telah tiba masa ianya tersergam mengapa terpaku kaku. Bisu tanpa suara namun riak, rona dan ombak dada mengerti nurani bercengkerama gembira. Langkah derapan kaki berlari anak atas keterujaan itu jelas tidak dapat dibendung.

“Yan!!... En. Muhamad, Muiz, ala...Muaz tak ikut” itulah yang mampu terucap.

Hati pantas berdoa moga pertemuan ini bukan mimpi. Bibir pantas membait barisan ucapan kesyukuran kepada Allah atas tautan ini. Bertaut dua insan dari alam maya ke alam realiti hanya kerana beberapa susunan ayat di sini. Cukupkah sekadar ungkapan terima kasih tidak terhingga buat Pn Azian dan En. Mohamad bin Adam. Sesungguhnya kami pasti merindui detik-detik ini lagi.

Kasih sayang dibaja dibelai
mewarnai hidup saban hari
kunjungan itu sangat bernilai
kekal di ingatan dan sanubari

Pn. Azian - Menjejakkan kaki di rumah kampung hubby aku demi hasrat yang begitu kuat

Mesra - Hubby kami deolah-olah sudah kenal lama. Rancak mereka berbual hingga ke beranda rumah cerita masih tak habis lagi.

Muiz - Anak-anak aku sayang benar dengan bujang comel ini. Boleh dikata "kita pinjam dulu boleh ke mama?"

Ronda-ronda - Sempat lagi tetamu aku ini meronda belakang rumah bermain dengan anak aku melihat ayam, itik, angsa dan ayam turki. Lihat adik pun dah mesra benar dengan tetamu aku.