Wednesday, February 29, 2012

WW - Terserempak di perjalanan




Masih ada sambutan dimana-mana
perjalanan kami diberhentikan RELA seketika
baju sedondon berbagai warna
seronok melihat ukhuwah mereka


~~Sallallahu ala Muhammad, Sallallahu alaihi wasallam~~

Tuesday, February 28, 2012

Hendak mengeja jawi pun susah...

Kelas tambahan celik jawi dan bahasa Arab di sekolah agama adik tahun ini baru bermula sabtu lepas. Kelas dibuka setiap hari Sabtu minggu ke2 dan ke4 setiap bulan. Menurut adik ramai yang hadir dan turut-serta. Tetapi sebenarnya aku telah memberi pencerahan pada anak aku sedari usia mereka 4 tahun lagi. Aku juga menghantar anak-anak ke Tadika Islam, walau tidak pandai pun apabila diajar saban hari bolehlah juga akhirnya mereka membaca dan menulis jawi sebaik masuk tahun satu sekolah rendah (walau kelihatan bagaikan tulisan trengkas).

Kecoh - Turun kelas ada yang muntah mungkin tidak sihat. Nasib baik si bapa telah menanti.

Adik - Pantas sebab hendak ikut papa-mama pergi jenguk kakak di asrama.

Begitupun pendedahan oleh sekolah agama di mana anak aku belajar dibuat setiap tahun namun masih lagi ada anak-anak yang tidak dapat mengusainya. Itu yang diberitahu oleh pihak sekolah. Anak-anak diajar untuk mengenal huruf hijaiah satu-persatu. Diajar untuk membunyikannya. Juga diajar huruf-huruf mana yang boleh dicantum dan tidak boleh. Kalau dilihat sebenarnya anak sekarang lebih beruntung kerana guru-guru semakih gigih tidak mengenal penat dan jemu mengajar. Buku-buku panduan yang murah-murah pun banyak. Huruf jawi sekarang juga bukan seperti zaman aku dulu. Kalau dulu mahu mengeja FALSAFAH atau PENYAPU huruf awal tetap 'fa' tetapi kini huruf 'fa' dan 'pa' telah diaplikasikan sepenuhnya.

Begitu juga dulu mana ada huruf 'V'? Satu yang menyedihkan bila mahu mengeja atau menulis nama bapak. Waktu itu biasanya huruf 'v' akan diganti dengan huruf 'ba' lalu bunyi akan jauh lari dari yang sebenar. Seingat aku (kalau tidak silap) tidak lama sebaik melahirkan anak sulung barulah diperkenalkan huruf 'va'. Sejak itu barulah nama bapak dapat dieja dengan betul. Pa, Wau, Ro, Va, Ya dan Ta jadilah PURVIT (ramai yang kata nama bapak unik).

Huruf hijaiah dan jawi - hasil carian google (Huruf yang dibulatkan tidak ada di dalam al-quran ye anak-anak...)

~~Anak-anak sudah memberi kata keinginan minta papa membeli keyboard yang ada huruf-huruf jawi. Gembira juga andai ianya dipenuhi kerana bolehlah mama tumpang sekaki.~~




Monday, February 27, 2012

Pentingnya sekufu dalam berumahtangga

Suara halus memberi salam dikala waktu kian menghampiri maghrib. Muncul ibu muda dengan anak dikelek tanpa suami. Kelihatan sedang bersedih. Telah dua bulan sewa rumah tidak dibayar tetapi kami belum ada masa untuk menagih. Sambil duduk dan memberi botol susu pada si anak dia mula bercerita. "Mulai sekarang saya sudah tidak ada ikatan dengan suami bang. Dia dah ceraikan saya. Saya nak keluar dari rumah. Kaunseling Jabatan Agama pun dia dah tak nak dengar. Tapi saya harap dia boleh berubah demi anak ini." Dia memulakan bicara. Aku dan hubby beristighfar panjang. Terdetik dalam hati aku kalaulah kesempitan hidup selama ini menjadikan sebab keluarga yang masih mentah bercerai-berai alangkah kesihannya pada si anak kecil dalam pangkuan itu.

Benarlah syariat Islam menggalakkan dalam pemilihan jodoh sekufu tidak boleh dipandang sebelah mata. Baru kami tahu selama ini yang menanggung sara hidup adalah si isteri yang aku sangkakan tidak bekerja itu sebenarnya mempunyai butik pakaian wanita. Si suami aku tahu bekerja menjual roti menggunakan van. Van pun adik si isteri (seorang kontraktor) yang membelikannya. Namun dimana salah-silapnya kami pun tidak tahu, jualan roti pun tidak menjadi. Kami diberitahu juga tiga bulan lepas duit untuk membayar 5 bulan sewaan rumah yang tertunggak juga hasil dari si isteri. Ini lantaran si suami sudah tidak bekerja sebaik si anak lahir (si anak kini sudah berusia 9 bulan). Sehingga entry ini di buat si suami belum lagi bertemu dengan kami kerana menurut si isteri segala barang akan dikeluarkan dari rumah yang aku sewakan sebelum 28 Februari ini.

Pelik bin ajaib pada akulah kerana ada juga manusia yang sudah beristeri tidak mahu bekerja. Menurut si isteri dia tidak kisah walau si suami itu bekerja sebagai operator kilang. Apa yang penting dia mesti bekerja, kerana dia malu pada keluarga bila suaminya langsung lepas tangan dalam hal menguruskan keperluan keluarga. Buat masa ini kelihatannya masing-masing tidak balik ke rumah yang aku sewakan itu. Hubby meletakkan salah satu dari kereta buruk kami yang jarang digunakan di depan pintu pagar rumah tersebut agar sekiranya dia mahu mengambil barang bolehlah dia menelefon kami dulu. Bukan bimbang tidak mendapat bayaran tapi kami bimbang segala kunci dibawa pergi yang pasti boleh menyusahkan kami untuk menukar segala kunci-kunci seluruh rumah.


~~Apabila perceraian berlaku anaklah yang menjadi mangsa - sedih. Sebaik-baiknya ikutlah garis panduan yang diberikan dalam agama kita ketika mahu membuat pemilihan jodoh. Sesungguhnya sekufu juga tidak boleh dipandang ringan.~~


Thursday, February 23, 2012

20 tahun yang lalu....

Petang 24 Februari 1992 kejap di ingatan kami. Waktu itulah Izrael yang tidak pernah gagal menunaikan perintah Allah menjemput emak pulang ke alam barzakh. Emak pergi dengan tenang tanpa lama berbaring di pembaringan. Perginya dia di saat kami adik-beradik semuanya sedang berkumpul kerana waktu itu adalah perayaan Tahun Baru Cina. Tidak seorang pun anak emak yang tiada waktu itu. Maha cantik peraturan Allah.

Aku masih ingat lagi. Tengahari itu kakak ipar dan kakak-kakak aku di dapur. Aku, adik dan emak di ruang tamu menikmati kerepek pisang di dalam tin milo. Sebaik makanan terhidang didapur kakak memberitahu untuk kami makan bersama. Oleh kerana mahu ke dapur mak sambil bangun mahu menutup tin milo yang berisi kerepek pisang tetapi terduduk semula di sofa. Kemudian emak bagai tidak bermaya. Kami ramai-ramai memapah emak ke atas tilam bujang yang kami bawa keluar dari bilik. Kami panggil doktor datang ke rumah. Macam-macam wayar dan alat sambungan pernafasan di buat pada emak.

Bapak masa itu pergi jemputan kahwin di kampung sebelah. Bagai tahu dia akan pergi hari itu bapak pergi jemputan kahwin tanpa ditemani emak sebagimana selalu. Alasan emak sebab semua anak-anak di rumah dia tidak mahu ikut. Mak masih boleh bergurau lagi dengan bapak ketika dia menyikatkan rambut dan memakaikan bapak dengan minyak wangi sebelum bapak pergi ke majlis perkahwinan hari itu. Untuk pengetahuan semua arwah mak selalu sikatkan rambut bapak dan anak-anak. Kami adik-beradik waktu itu gelak sebab bapak mulanya tidak mahu dipakaikan minyak wangi kerana katanya pergi sekejap dan mak tidak ikut. Rupanya itulah gurauan terakhir emak dengan suaminya sebelum dia pergi untuk selama-lamanya.

Mak menghembuskan nafas terakhir di pangkuan bapak pada petang 24 Februari 1992 sambil dikelilingi lapan anak-anak yang semunya tidak uzur (boleh membaca al-quran dan yaasin) walaupun anak emak 7 darinya adalah perempuan - maha pengasih Allah. Hari ini genap sudah 20 tahun emak pergi meninggalkan kami. Doa kami tidak pernah putus selepas solat, moga emak ditempatkan di kalangan mereka yang beriman. Khususan ila ruhi almarhumah Hjh. Neema Bt. Hj. Latif al-fatihah....

Surah alfatihah - sumber dari google

~~Hargai ibu-bapa selagi hayat mereka ada. Sedih bila semalam bapak menelefon yang dia membeli sayur dan ikan tercicir di jalan tidak sedar sehingga tiba rumah. Hubby ambil cuti emergency untuk balik membelanjakan apa yang patut buat bapak hari ini. Aku dan anak akan menyusul pula esok.~~



Gagal menggoogle

Kepada teman-teman yang bertanyakan pokok apakah penghasilan dari WW - Bergayutan di Hutan Bandar Johor Bahru bertarikh 22-02-2012, inilah dia pokoknya.

Ulang tayang - Pokok ini telah dipublish dalam N3 sebelum ini

Semalam - Ini yang tertayang pada N3 tersebut

Setelah cuba menggoogle seharian semalam tidak berhasil sehinggalah aku berlayar ke laman web Hutan Bandar Johor Bahru. Namun pokok yang dinyatakan hanyalah pokok pulai, merawan, tiup-tiup, akasia, siput jantan dan kelat paya. Bila aku menggoogle kesemua yang disenarai bukan seperti gambar di atas.

Kepada mereka yang tinggal di Johor Bahru andai melalui Taman Adda Height pokok ini juga kelihatan ditanam berjejeran di tepi jalan berhampiran lampu isyarat. Sekarang sedang musim berbunga dan kelihatan amat menarik kerana ianya bagaikan tanglung kuning bergayutan di atas pokok.


~~ Keindahan alam untuk kita nikmati segalanya adalah ciptaan Allah jua.~~


Wednesday, February 22, 2012

WW - Bergayutan di Hutan Bandar Johor Bahru

Terbang merpati kelihatan lelah
bersama nikmati ciptaan Allah



Monday, February 20, 2012

Selagi hayat di kandung badan

Bila mempersoalkan hal tanah pusaka masing-masing tidak mahu ambil peduli. Bapak tahu semua anak bapak tidak sehebat bapak mampu menguruskan tanah-tanah yang ada. Emak dan bapa saudara aku yang tinggal di Singapura juga kesemuanya telah sepakat menjual tanah-tanah mereka dan menggantikan pembelian rumah di sekitar Johor Bahru. Boleh dikatakan kesemua mereka mempunyai rumah di Johor Bahru. Bapak selaku anak lelaki sulung dan merupakan satu-satunya yang tinggal di Malaysia kini kian lega kerana tidak lagi dipertanggung-jawabkan untuk menjaga tanah-tanah mereka. Namun dalam hal begitu aku puji bapak (maklumlah anak bapak kan) tidak pernah terlintas dihatinya untuk menjual tanah pusaka yang dia ada.

Kami adik-beradik tidak pernah pun ambil tahu kepada siapa bapak mahu memberikan tanah-tanah tersebut sehinggalah pada suatu Hari Raya ketika kami berkumpul bapak bersuara mahu salah seorang mengambil cuti menguruskan pemindahan nama untuk tanah-tanah yang ada. Waktu itu kesemua kami lapan beradik berkata abanglah kena menguruskan kerana dialah satu-satunya anak lelaki bapak. Tetapi oleh kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya ianya berlanjutan sehinggalah aku melahirkan adik (anak bungsu aku). Kesempatan cuti 60 hari itulah bapak bersuara lagi mahu aku bertindak melaksanakan kerja yang tertangguh. Persetujuan dicapai adik-beradik lalu kini tanah itu telah dipindah-milik ke atas nama anak-anak bapak.

Selalu bapak berkata dia telah tua dan dia tidak mahu kelak bila dia telah tiada akan menjadikan hal-hal tanah pusaka susah untuk diuruskan. Sehingga kini tanah tapak rumah pun masih bapak duduki dan kesemua hasil-mahsul yang diperolehi dari tanah-tanah itu bapak juga yang memperolehi. Kami lapan beradik tidak pernah mempersoalkan kerana tahu betapa peritnya bapak dulu mahu memberikan kami pendidikan dunia dan akhirat. Kini bapak goyang kaki kerana selain tanah kami disewa oleh orang lain ada juga tanah-tanah itu yang diupahkan kepada orang Indonesia untuk menjaganya. Walau pendapatan bapak mengalahkan pendapatan kami tapi kami tetap menghulur buatnya (sebagai tanda terima kasih kami dan restunya). Selalunya wang yang kita hulur akan kembali diberikan pada cucunya semula.


~~Selagi ada hayat dikandung badan kami lapan beradik tetap mahu menjaga bapak sebaik mungkin. Walau keindahan dikecapi tanpa aruah mak namun doa kami tidak putus buat mak. Moga mak tenang dan ditempatkan dikalangan mereka yang beriman.~~




Friday, February 17, 2012

Harta dan saham kita

Mendengar radio IKIM petang dalam perjalanan balik dari pejabat. Harta dan saham kita yang bernilai sebenarnya tidak banyak kata ustaz tersebut.

1. Makanan yang kita makan dan habis. Kalau yang basi, dibuang semua bukan harta kita.
2. Pakaian/rumah/kereta dan sebagainya yang kita pakai sehingga buruk dan tidak boleh digunakan lagi. Kalau yang masih elok tapi tidak dipakai dan sebagainya ia bukan harta kita jadinya.
3. Sedekah jariah kita walau sedikit. Walau sedikit kalau nilai itu dapat membantu itulah saham di akhirat kelak. Kalau duit di bank kita bertimbun tetapi apabila kita mati ianya akan ditinggal dan dipergunakan tanpa kita ketahui caranya - alangkah sayangnya.

Sebab itulah hanya 3 yang membantu bila kita telah tiada di dunia ini.

1. Segala amalan yang kita lakukan sepanjang hidup di dunia
2. Ilmu dan jariah yang dipergunakan dan diamalkan oleh mereka yang masih hidup
3. Anak yang soleh/solehah yang mendoakan kita

Sama-samalah kita renungkan.


~~Terkejar-kejar mencari kebahagiaan di dunia lupa ada yang susah di sebelah mata. Kelak akan dipertanggung-jawabkan juga ke atas kita. Muhasabah mencari yang terbaik selagi nyawa diberi pinjam sementara Izrael belum datang menjemput.~~


Thursday, February 16, 2012

DJ Razak Radio IKIM meninggal dunia

Pagi tadi sebaik DJ radio IKIM, Cik Siti dan En Supian menamatkan tugasan pagi hati aku disentap rasa sayu. Berita disampaikan DJ Razak Arbain telah kembali ke rahmatullah. Aku sebenarnya pendengar tegar radio IKIM. Samada di rumah, di kereta bahkan di pejabat pun sentiasa berkumandang dengan siaran radio IKIM. Oleh itu aku memang amat mengenali DJ Razak Arbain yang juga di kenali sebagai Ustaz Razak. Mendengar suaranya yang lembut dan sabar melayan kerenah pendengar dengan nasihat dan contoh teladan diberi kini tinggal nostalgia. Airmata luruh tidak semena-mena dan rasa sebak memenuhi ruang hati. Entah mengapa amat terasa sekali walau sebenarnya Allahyarham tidak pun mengenali aku. Allahyarham terlibat dalam kemalangan motosikal pagi tadi kerana rutin dia menghantar anak ke sekolah setiap pagi.

Salam takziah buat keluarga Allahyarham dan seluruh warga kerja IKIM. Moga allahyarham tenang di pusara dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Khususan ila ruhi almarhum Ustaz Razak bin Arbain, Al-fatihah....

“Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan menemui ajal. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian/dugaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu akan dikembalikan.” (Al-Anbiya’ :35)~~


* Kali pertama aku membuat dua N3 dalam sehari. Hati aku benar-benar sayu....

Musim Mulidur-Rasul di sekolah-sekolah

Setiap tahun sudah menjadi kebiasaan apabila tiba bulan Rabi'ul-awwal sambutan maulidur-rasul pasti akan di sambut dikebanyakan sekolah. Sekolah Nurienne tidak ketinggalan bahkan ada menganjurkan pertandingan nasyid, marhaban, berzanji, musabaqah dan sebagainya. Tahun ini seperti biasa diadakan majlis Ihtifal Ilmiah di sekolahnya. Nurienne gagal dalam pertandingan berzanji. Apa yang membuat aku gelihati pada hari pertandingan itulah dia membuat panggilan telefon bertanyakan nada ke empat untuk taranum ras. Pada waktu itu clients ada di depan mata. Mana mungkin aku mahu mengalunkannya. Bila aku kata panggil semula selepas 15 minit, masa untuk dia membaca sudah berlalu. Dapat panggilan semula katanya dia hentam membaca seperti nada kedua cuma dia panjangkan sedikit alunannya. Itulah dia kecundang. Tambahan pula kalau al-quran memang dibaca setiap hari, tetapi berzanji dibaca sesekali saja.

Bahas Bahasa Melayu - Bahas bahasa Arab dan bahasa Inggeris gagal, Melayu mendapat Johan.

Tilawah - Alhamdulillah setiap tahun masih kekal lagi sebagai Johan.

Choral speaking - Tahun ini gagal mempertahankan diri. Sekadar dapat tempat ke tiga.

Johan nasyid - Kemenangan ini sebenarnya diraih pada tahun lepas, tetapi hadiah baru diberikan tahun ini kerana ianya dikendalikan ke peringkat sekolah-sekolah Menengah Agama Negeri Johor.


~~ Sebenarnya anak aku lebih suka hadiah berupa buku dari piala seperti ini. Buku boleh disimpan di asrama tapi kalau ini kena bawa balik sebab locker disediakan di asrama tidak mencukupi. Semakin sesak almari rumah dengan hadiah piala anak-anak. Sekadar hiasan semata-mata dan jadi tatapan mata.~~


Wednesday, February 15, 2012

Nasi sudah menjadi bubur

Janganlah merasakan kita orang terpenting di sesuatu organisasi hingga mencari jalan berhenti kerja secara terburu-buru. Mengapa beranggapan organisasi akan menghadapi masalah bila ketiadaan kita dan merasakan kita bagaikan tunjang segalanya. Bagaimana pun pandai dan bijaknya kita mengurus sesuatu organisasi tidak bermakna tanpa kita organisasi itu akan lumpuh.

Rasa tidak puas hati dengan kenaikan gaji yang diterima membuat dia menghantar surat perletakan jawatan. "Saya sudah fed-up dan biar dia tahu bila saya tak ada siapa akan buat kerja itu semua." Itu yang terkeluar dari bibir bila diajukan mengapa mahu berhenti kerja. Nasihat sudah tidak mahu diguna-pakai bila emosi menguasai. Puas di pujuk tidak berjaya lalu tinggallah segalanya sebagai nostalgia. Mahu nasihat kuatkan iman dia bukan seagama dengan aku.

Tidak pun sampai sebulan berlalu, telefon berdering mengatakan samada jawatan dia masih kosong lagi kerana mahu kembali semula. Tidak serasi dengan tempat dan teman-teman baru dijadikan alasan... Aku? Bukan tidak mahu mengambilnya bahkan dia juga amat berpengalaman, tetapi pandangan orang atasan kenalah didengar juga. Nasi sudah menjadi bubur. Surat perlantikan pegawai yang baru sudah pun ditandatangani. Sekadar rasa simpati yang boleh aku katakan padanya.

Tidak berkenaan dengan N3 - Jangan marahkan tuan pembuat cendol kerana lazatnya dia membuat kita terkenang-kenang untuk menikmatinya lagi. (Cendol pulut+durian+kacang merah memang umphhh...)


~~Usah bertindak ketika emosi menguasai diri. Sebagai orang Islam jadikan iman sebagai benteng mengawal sifat amarah kita. Rasulullah bersabda " Orang-orang yang kuat bukanlah orang yang mampu mengalahkan lawannya. Sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang mampu menguasai dirinya ketika marah." (H.R : Ahmad, Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a).~~



Monday, February 13, 2012

Adik menghadiri kem

Menangis aku dalam bilik dulu kerana bapak tidak punya duit untuk aku turut serta dengan teman-teman lain pergi ke rombongan lawatan. Tetapi kami adik-beradik sudah lali dengan kesusahan itu. Zaman aku sekolah rendah dulu tidak pernah pun terdengar apa benda itu kem motivasi. Masuk sekolah menengah baru aku mengenali perkataan motivasi. Anak-anak sekarang dari tadika lagi sudah kenal apa itu motivasi. Kalau boleh aku tidak mahu anak-anak merasa susah seperti aku dulu. Namun bukanlah bererti memberi apa jua kehendak mereka tanpa timbang-tara.

Tiga hari - Kem anjuran seperti ini mestilah aku tidak keberatan untuk memberi kebenaran buat adik menghadirinya. Tambahan pula pengawas, pengawas perpustakaan, ketua/penolong kelas dan AJK kelab Ansar diwajibkan untuk pergi. Murid biasa yang berada di darjah 5 dan 6 juga dialu-alukan untuk turut-serta.

Lengkap - Semuanya ada dalam dua beg ini. Baju kurung 3 helai, pakaian sukan 3 helai, telekung, tuala, suroh Yaasin, buku nota dengan peralatan menulis, kasut sukan, selipar, berus dan ubat gigi, sabun mandi, bedak, sikat, lampu picit, tikar, sedikit jajan (biskut) dan garam (semua dikehendaki membawa garam kasar) .

Ceria bersama teman - Pengawas berbaju seperti ini. Pengawas perpustakaan berwarna ungu, kelab Ansar berwarna oren dan ketua/penolong kelas berwarna hijau. Adik dan Mohd. Wahyu yang termuda diantara mereka.

Sebelum naik bas - Gambar-gambar diambil oleh Mak Zah kerana hari Jumaat aku bekerja. Mak Zah yang menghantar adik ke sekolah.

Balik kem - Oleh kerana mama/papa pergi menghantar Kak Nurienne balik asrama, adik balik semalam diambil oleh Mak Zah. Tiba di pintu pagar rumah sudah kelihatan begitu letih.

Fail - Inilah fail yang memuatkan pelbagai khazanah adik. Lunyai sebab disumbat dalam beg sandang yang sedia penuh dengan pelbagai barangan.

Letih - Sudah tidak mampu hendak angkat muka. Buka baju, selepas mandi masih sempat lagi dia jadual buku untuk hari ini. Kemudian aku suap dia makan sambil dia membuat sedikit kerja mathematic. Selepas itu terus bum... tidur. Bersolat pun aku rasa dia sudah tidak khusyuk.


~~Mendedahkan anak untuk lebih berdikari pada zaman sekarang tidak seperti zaman aku dahulu yang lebih kuat mental dan fizikalnya.~~

Saturday, February 11, 2012

Pasu bungaku pecah...

Aku penggemar bunga. Aku juga suka menanam pokok bunga walau selalunya hasil yang diperolehi lebih banyak daun dari bunga. Orang tua-tua kata jenis 'tangan panas'. Namun panas-panas aku tetap juga gigih menanam. Hari Selasa yang lepas sebaik pulang dari menghantar anak balik ke asrama, anak jiran mengadu pasu bunga aku telah pecah dilanggar budak merempit motor. Biasanya di sebelah pokok-pokok ini aku parking kereta kerja aku, tetapi kerana hubby membawa keluar kereta untuk berjalan lalu dialih kereta aku tadi. Akibatnya lapang dan memudahkan buat laluan budak-budak merempit. Aduh... untuk mengganti memang telah suntuk. Hari Rabu di pejabat lagi ingatan pada pasu pecah masih kejap. Aku telefon hubby untuk membeli pasu baru. Alhamdulillah hari Rabu jugalah aku alihkan pokok dari pasu yang pecah ke dalam pasu baru. Lega rasa di hati.

Lihatlah beberapa pokok yang menghasilkan bunga. Lain-lain banyak daun saja.

Balung ayam - Pokok ini kalau budak yang menanam pun pasti berbunga.

Orange - Aku tanam bunga ini sebagai menutup tanah di pasu supaya tidak keluar kalau di timpa hujan.

Putih - Ini juga spesis yang sama dan ditanam juga untuk tujuan sama.

Merah jambu - Cerah aku suka bila ia kembang. Tetapi biasanya pada waktu pagi ianya kembang, bila panas layu jadinya.

Bunga raya - Aku sekarang sedang mengumpul spesis bunga raya yang berbagai warna dan rupa. Ini aku ambil dari rumah kakak aku di Kota Tinggi dan baru kali pertama berbunga.


~~Wanita amat sinonim dengan bunga. Ada bunga yang cantik tetapi berbau busuk tetapi ada bunga yang tidak cantik dipandang mata namun harum baunya.~~



Friday, February 10, 2012

Sementara adik membuat rakaman

Pada hari Sabtu yang lalu adik ada rakaman lagi di Johor FM. Sebaik dia masuk ke konti rakaman kami tinggalkan dia untuk menuju ke Hutan Bandar yang berada tidak sampai lima minit dari RTM Johor. Tujuan asal sekadar untuk menghabiskan masa sementara adik membuat rakaman, tetapi entah mengapa boleh melabuhkan punggung di tempat makan-makan pula.

Adik dengan Mohd. Hafiz - Mereka sedang menuju ke konti rakaman.

Hutan Bandar - Inilah dia papan tanda di tepi jalan untuk masuk ke Hutan Bandar.

Air tempayan - Unik terletak di luar bangunan sebaik masuk bangunan. Bukan untuk cuci kaki tatapi sekadar hiasan kerana air keluar-masuk disetiap tempayan tempayan...

Pokok pinang - Yasmien snap ini ketika kami menikmati mi rebus sebab tidak tahu bagaimana pokok ini boleh tumbuh di sini.

Bertanggungjawab - Jabatan inilah yang memantau keindahan persekitaran segalanya.

Cantik - Kalau beriadah diwaktu pagi dan petang di Hutan bandar pasti melalui kawasan ini.

Bergantungan - Maha kaya Allah di cipta bunga yang indah untuk kita nikmati. Terletak bersebelahan tasik di Hutan Bandar ini.

Dating - Papa dengan Yasmien duduk di bangku tasik menikmati kesegaran alam, tidak tahu aku snap mereka dari belakang.

Ikan hiasan - Kaloi pun ada di sini tetapi tidaklah makan sayur keladi macam cerita Bawang Putih/Bawang Merah. Makanan ikan dijual RM 2/- sebungkus. Terletak di pesisir laluan pejalan kaki untuk menuju ke bahagian dalam tempat beriadah dan berlipur.

Mi rebus ZZ - Aku kurang pasti sama ada ini cawangan yang ada di belakang Hospital Tun Aminah atau bukan tetapi basic juga adalah mi rebus tulang. Kami tidak ambil tulangnya.

Balik - Sekadar melabuh punggung sementara. Sebaik diberitahu adik telah selesai rakaman kami balik semula ke RTM untuk pulang. Adik dengan Hafiz hendak makan mi rebus tadi tetapi restorannya telah tutup. Selepas solat Asar di surau RTM kami terus menuju ke Plaza Angsana menunaikan hasrat adik untuk makan mi rebus juga, tetapi kali ini mi rebus Haji Wahid.


~~ Bila masuk bulan Rabiul-Awwal bermulalah majlis maulidur-rasul di sana-sini. Musabaqah di sekolah-sekolah pun bermula. Anak-anak mulalah bertaranum bila mengaji. Aku tumpang gembira bila mereka boleh mengalunkannya.~~


Thursday, February 9, 2012

Anak jiran

Bukan anak aku tetapi selalu berada di ruang tamu rumah setiap kali ada cuti dan masa terluang. Bangun pagi walau belum mandi lagi sudah menjengah-jengah pintu pagar rumah aku. Tidak boleh nampak kelibat hubby.

Mohd. Fauzan - Anak jiran aku yang manja dengan kami. Panggil aku Mama Mien. Hubby pula Papa Mien. Berusia 2 tahun lebih. Masih pelat lagi.

Bersepah - Habis dipunggah apa saja yang dia nampak di depan mata. Tapi aku puji dia selepas bermain mesti disusun semula walau susunan tidaklah seperti asal.


Waktu ini aku baru keluar dari bilik air untuk menunaikan solat Dhuha. Nampak aku bertelekung dia bertanya aku hendak bersembahyang. Mak Zah bertanya padanya pula.

Mak Zah: Fauzan tak sembahyang?
Fauzan: Sembahyanglah (pelat dia kami faham).
Mak Zah: Sembahyang apa?
Fauzah: Sembahyang suraulah macam papa. (Mudah betul jawapan dia).

Mak Zah: Fauzan tak mandi lagi kan, balik dulu mandi, lepas tu datang lagi.
Fauzah: Bibi tunggu bonda cuci pinggan (membahasakan diri baby tapi bunyinya bibi)
Mak Zah: Minta tolong kakak mandikan.
Fauzah: Tak nak.
Mak Zah: Bonda cuci pinggan apa lama sangat?
Fauzan: Pinggan masak-masaklah (jawapan dia spontan tidak perlu befikir lagi).

Kami suka melayan dia. Walau pelat tetapi bahasa dia telah kami fahami. Namun yang membuat kami seronok, apa juga yang kita tanya pasti akan dijawab. Cerdik. Apa yang tidak baik seandainya ada kala cerita yang sepatutnya menjadi rahsia keluarga pun akan diceritakan. Kita sebagai orang dewasa yang kena berhati-hati.


~~Anak-anak pada usia begini sedang membina akal. Apa yang dilihat itulah yang akan diikutinya.~~




Wednesday, February 8, 2012

WW - Cuti saja makan di luar

Satu - Ketam black pepper

Dua - Sea cucumber dengan cendawan dan kacang peas (nama sebenar lupa)

Tiga - Shark-fin soup

Empat - Brokoli dengan scallop

Lima - Udang goreng butter

Enam - Keseluruhan makanan

Akhir - Boleh makan lagi Banana split (kongsi berdua)


~~