Showing posts with label Al-Quran. Show all posts
Showing posts with label Al-Quran. Show all posts

Monday, November 7, 2016

Makan ubat ingat tauhid

Demam masih bersisa tetapi tetap ku gagahkan diri untuk menjalankan tanggungjawab yang perlu digalas. Seandainya anak-anak yang bertongkat, berpapah juga masih mampu berjuang ke dewan peperiksaan demi masa depan mereka, mengapa tidak aku yang masih mampu memandu dan duduk di kerusi empok di bilik berhawa dingin lagi. Semoga ujian ini mampu menambah keimanan diri yang amat tipis ini.




Usaha - Allah memberikan kita akal dan anggota untuk terus berusaha. Pil-pil sebagai perantaraan saja. Bila tidak ada perubahan mencuba pula alternatif membeli kelapa muda sebab bimbang keracunan mungkin petua orang tua betul lalu mencubalah aku dengan minum air kelapa muda. Tetapi kesembuhan itu milik Allah. DIA saja yang tahu akan segala-galanya.
(Dia Allah) yang telah menciptakan aku, maka Dialah yang menunjukki aku. (78). Dan Dia tuhanku yang Dia memberi makan dam minum kepadaku (79) Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku (80) dan yang akan mematikan aku, kemudian akan menghidupkan aku kembali (81) - Asy Syu'araa: (ayat 78-81)

~~ Selamat berjuang di medan SPM buat anak-anak yang terlibat. Doa mamacik padu buat kalian semua.~~


Wednesday, October 19, 2016

Doa murah rezeki

Apa yang dimaksudkan rezeki bukanlah wang-ringgit semata-mata. Tetapi ia meliputi keseluruhan yang diperlukan di dalam kehidupan kita. Mengharap jika bahagia di dunia sementara ini juga biarlah bahagia juga di dunia yang kekal abadi di sana kelak.

Suroh Sodh -Seperti biasa anak-anak perlu kita yang mengingatkan kebaikan ayat tersebut supaya dia boleh tandakan untuk diingat bila-bila diperlukan. Sekarang masih kecil mungkin dia tidaklah ambil pusing sangat. 

Ayat 54 - Pendik saja ayatnya. "Innahaazaa larizqunaa maalahuu minnafaad" (membaca yg dua huruf bermaksud 2 harkat)- Sesungguhnya ini adalah pemberian Kami kepada kamu pemberian yang tidak akan habis-habis. Amalkanlah dan bacalah setiap kali berdoa selepas solat lima waktu.

~~ Satu-satunya ilmu yang tidak akan habis untuk digali ada di dalam kitab Allah ini.~~



Tuesday, September 6, 2016

Walyatalattof

Hari: Jumaat lepas 
Masa: Waktu mengajar anak-anak mengaji selepas maghrib 
Surah: Al-Kahfi 

Menjadi anak yang belum baligh bertemu dengan ayat apa pun jua sekadar membaca seandainya kita tidak memberikan pendedahan. Bertemu ayat yang disunatkan bersujud/sajadah pun kenalah kita terangkan, jika tidak pasti dia akan membaca terus tanpa bertanya itu-ini. Apa yang penting padanya bacaan memenuhi tajwid yang dimestikan oleh orang yang mengajarnya. Tetapi bila bertemu yang pastinya hanya sekali di dalam Al-Quran tentulah menjadi tanda-tanya pada anak-anak.

Terhenti - Sebaik bertemu perkataan ini dia terhenti dan senyum. "Kenapa ini merah mama?". Pandai juga bertanya sebab bukan dia seorang yang musykil bila bertemu ayat ini. Rata-rata anak yang menggunakan Al-Quran cetakan Malaysia akan bertemu begini. 
Walyatalattof - Inilah perkataan yang duduknya betul-betul di tengah-tengah kitab Al-Quran. Duduknya di juzuk ke 15, pada surah Al-Kahfi. Maksud perkataan ini "hendaklah bersikap lembut". Latif bermaksud lembut. Samalah dengan ini. Cuma ada kata kerja "hendaklah"  nahu bertukar bunyi tapi maksud tetap sama. Tetapi jika kita menggunakan Al-Quran yang kita beli di Mekah/Madinah biasanya kita tidak akan jumpa perkataan ini dibold atau diwarnakan. 
Adik - Walaupun sudah 9 tahun tetap adik juga. Ada satu kakak dan satu abang. Berharap boleh katam tahun depan. Itu penyapu lidi di belakang sebagai 'jaga' aku takut Jojo, kucing anak aku dari menceroboh masuk.
Anak-anak kecil ibarat perisian komputer baru. Banyak boleh diisi dan tidak mudah tepu. Berbanding mendidik yang sudah dewasa lebih mudah mendidik anak-anak yang baru belajar mengenal bacaan. Tetapi menjadi tanggung-jawab mendidik kepada yang memerlukan tidak kira anak kecil mahupun dewasa. Ada tanggungjawab di situ jika tidak dilakukan akan ditanya di akhirat kelak.

~~ Setiap manusia selagi masih bernyawa ada tanggung-jawab kena jalankan.~~

Monday, June 20, 2016

Airmata di bulan ramadhan

Semalam...

Selesai solat zuhor tidak sampai satu jam aku sudah berhenti membaca Ql-Quran. Bila berada di rumah sendirian mood untuk membuat apa pun agak kurang apa lagi di bulan ramadhan ini. Naskah Al-Quran aku simpan dan keluar bilik untuk mengangkat kain di ampaian. Sebaik melabuhkan punggung, boleh pula tangan segera mencapai remote televisyen. Rancangan Nona. Menarik juga. Tetapi entah mengapa siaran semalam telah membuat airmata aku luruh tidak berhenti apatah lagi menontonnya sendirian. Kisah anak yatim, kisah anak yang berpenyakit HIV, rumah kediaman warga emas semua itu sungguh meruntun hati ku sebagai seorang mama, seorang anak dan pasti satu hari juga akan menjadi tua (andai Allah panjangkan usia).

Ada ibu tua yang kulit muka sudah berkedut-kedut menangis kerana tidak dikunjungi anak-anaknya. Mengharap suatu yang tidak pasti. Termangu dan termenung. Berkata kepada Uyaina (penyampai Nona) ada yang membuat aku tersentuh bila si ibu tua itu berkata "Satu hari dia pun akan tua juga". Ada juga yang menangis memeluk/mencium Uyaina bagaikan anaknya sendiri. Syahdu bila pastinya dia mengharap mahu anaknya mampu diperlakukan seperti apa yang dibuat kepada Uyaina. Airmata siapa pun yang menonton pasti akan luruh. Menonton adegan seperti itu pastinya membuat aku rindu kepada almarhumah mak dan mak mertua aku. 

Malam pula selepas solat terawih boleh pula aku terjebak dengan program Qari Junior. Aku hanya dapat menonton beberapa peserta yang hampir habis siaran. Tetapi malam tadi menajdi hari akhir anak yang cacat penglihatan (Haikal) dan seoarng anak perempuan Khaira (peserta termuda) gagal untuk meneruskan perjuangan dalam program itu membuat hati aku juga tersentuh. Tangisan Khaira dan Haikal dalam pelukan sahabat mereka juga mengundang airmata aku luruh. Sebenarnya anak-anak ini sudah hebat berbanding kita yang dewasa. 

~~ Bersyukur atas segala nikmat kita tetapi jangan lupa kepada mereka yang memerlukan. Kelak di 'sana' kita akan ditanya sebab di situ ada tanggungjawab yang perlu kita pikul bersama.~~


Thursday, April 21, 2016

Itulah dikatakan anak tidak matang

Sambil duduk di sebelah aku dia memerhati. "Ekeleh... fatihah pun tak pandai" itu yang keluar dari mulutnya. Langsung tidak teringat awal tahun lepas dia pun sama. Abang yang pada awal tahun lepas satu huruf hijaiah pun tidak tahu malam tadi sudah mengakhiri bacaan Iqra' 5. Mesti dia rasa perkara semudah itu pun budak ini tidak tahu. Kanak-kanak tidak ada rasa bersalah hatta dulu dia lebih payah berbanding anak yang ada di depan aku ketika dia berkata demikian. Malam ini abang sudah bolehlah mulakan membaca Iqra' 6, itu yang mungkin padanya fatihah satu bacaan paling mudah sebab sudah dibacanya setiap hari.

Sebenarnya malam tadi aku menerima dua anak comel, kira mendaftarlah untuk sama-sama menimba pembelajaran seperti kawan-kawannya yang lain. Seorang berusia 7 tahun dan seorang berusia 5 tahun. Biasalah bila belum pernah mendapat pendedahan seperti abang yang 'berlagak' di atas itu anak ini agak berat lisannya untuk membaca suroh al-fatehah. 

Mia - Baru bermula malam tadi. Ibunya ada membawakan rehal tetapi aku sedari kecil sudah terdidik dengan bapak mengaji beralas bantal jadi dari dulu juga aku memang menggunakan dua biji bantal sebagai alas membaca.
Akhir Iqra' 5 - Abang yang dulu sampai menangis-nangis kata susah mengaji dengan mama Zakie sehingga siibu menunggu di rumah aku kerana tidak mahu mengaji,  kini baru setahun sudah hampir habis membaca Iqra'. Sebelum ramadhan rasa aku abang sudah boleh tamat membaca Iqra' kerana pembacaannya sudah benar-benar lancar. Alhamdulillah.
Baru bermula - Malam tadi bertambah dua naskhah Iqra' masuk di dalam almari. Satu kepunyaan si kakak Syasya dan satu lagi siadiknya Mia. Mereka sebenarnya menyewa rumah kami yang baru kami beli atas nama Kak Reen.

Iqra' - Lihatlah perbandingan dua yang di atas dengan yang di bawah. Bawah sekali itulah abang yang dulu punyalah susah membaca. Naik lunyai Iqra'nya. Budak lelaki tidak sama budak perempuan. Walaupun membaca Iqra' tetapi mereka semua menggunakan penunjukseperti kakak-abang yang membaca AlQuran. Aku gunakan chopstik sebab keras dan pasti tidak patah. Semua anak-anak yang mengaji dengan aku menggunakan chopstik pemberian  Huda Cik Minah Lesing (CML). Melekat sudah nama ini dengan Huda (marah kalau ketahuan si abahnya En. Sani yang memberi nama cantik-cantik diubah hihi...)
Sebenarnya Kak Meen mahu aku berehat dari menerima anak-anak baru. Melihat mamanya tidak cukup rehat itulah dia mahu selepas semua sudah khatam dia mahu aku berhenti. Tetapi malam tadi datang lagi dua yang baru. Sebenarnya aku rasa tidak ada jariah untuk ditinggal bila mati kelak. Itu yang aku katakan pada anak-anak. Buat kerja inilah saja yang aku rasa benar-benar ikhlas, berbanding kerja-kerja lain. Mungkin juga sebab aku suka pada kanak-kanak dan merasakan mereka ini bagaikan terapi bila keletihan. Mohon Allah kurniakan aku kesihatan yang baik itu saja.

~~ Jangan mengira berapa usia untuk terus mentadabbur kitabullah.~~


Thursday, April 7, 2016

Doa, nun sakinah dan makan kuku

Gelagat anak-anak yang belum ada dosa selalu membuat kita bahagia. Biarpun ada kalanya tindakan dan tingkah-laku mereka boleh membangkit rasa geram atau marah. Begitulah juga dengan anak-anak yang mengaji dengan aku. Malam tadi sebelum memulakan bacaan aku bacakan dulu doa panjang umur buat Caca kerana semalam ulangtahunnya yang ke 9 buatnya.  Sebaik aku memulakan bacaan "Allahuma towwil-umurona wasahhih ajsadana..." Budak Danish boleh ikut membaca Allahumma towwil-umurona juga. Manalah yang lain tidak gelak. Kenalah aku baca semula minta dia jawab amin saja hingga akhir. Malam tadi juga Danish mula mengenal hukum dan cara membunyikan nun sakinah. Begitu juga tanwin bila bertemu dengan huruf 'RO".

Nun Sakinah - Bertemu dengan perkataan Sakinah inilah dia yang sudah gelihati dek kerana ikut mama membaca doa tadi bertambah lebar senyumnya. Sebab ada kawannya bernama Nurul Sakinah.

Dengung - Danish sudah tahu apa itu dengung. Biasa aku ajar anak-anak kalau dengung cuba rasa dahi dan pangkal hidung ada rasa nnnnggggg....  itulah dengung. Masing-masing sudah arif bab ini. Jadi kalau tidak dengung tahulah  dia bagaimana utk membacanya.
Iqrak 5 - Dari tidak mengenal apa-apa bermula tahun lepas sebaik masuk tadika kini masih di tadika juga Danish sudah boleh membaca kerana kini dia sudah sampai Iqrak 5. Lihatlah jari Danish yang gebu selalu aku pegang dan letak dipipi aku jarinya ini. Pipi dia lagilah aku gomol-gomol. Montel - itu yang geram.
Sodaqallahul'azim... sebaik habis membaca tiba giliran Caca membaca. Senyum yang belum habis kerana ikut membaca doa dan bertemu perkataan 'Sakinah' bertambah menjadi gleak ketawa yang panjang gara-gara budak Danish ini selepas membaca doa akhir membaca Quran tiba-tiba duduk membelek kuku kaki dan mahu digigitnya. Belum sempat mengigit kuku kepalanya aku dongakkan. "Abang lapar ke? Nah ambil kuku kaki mama lagi besar. Puas boleh kenyang." Bila aku berkata begitulah sudahnya masing-masing tergelak termasuk si Caca yang baru memulakan bacaan.

Caca gelak sambil mengaji - Bila aku marah suruh berhenti gelak bagaikan tidak boleh. Setiap kali waqaf dari yang di baca akan tergelak. Marah aku sudah tidak mempan untukmenghentikan mereka tergelak. Aku sebenarnya gelihati juga tapi terpaksa pura-pura bertahan.  Aku gelihati melihat mereka gelak bukan kerana apa pun.

~~ Anak-anak memang boleh membuat sesebuah rumah lebih ceria.~~


Friday, March 25, 2016

Cerminmata dengan anak-anak

Focus Point di Skudai Parade merupakan optical shop yang sering menjadi kunjungan keluarga kami. Tuan empunya kedai sehinggalah kepada pembantunya semua sudah mengenali kami termasuk Mak Zah juga. Kunjungan kali ini bagi memperbaharui cerminmata adik. Semua masing-masing sudah mencecah 400+ jangkit mama juga. Puas dari semasa di dalam kandungan mama menjaga pemakanan tetap semuanya terpaksa bermata empat seperti mama juga sebaik saja masuk usia 9 tahun. 

Cuci - Bila ke sini semua mesti akan mencuci bersih cerminmata. Terutama bahagian hidung. Bila masuk di dalam periuk khasnya keluar bagaikan cerminmata baru

Sun-glasses - Anak-anak sibuk minta papa membeli satu untuk dipakai ketika memandu atau visit project site.

Terjebak - Akhirnya papa akur membeli pilihan ketiga-tiga anak daranya. 

Cantik - Papa bergurau dengan anak-anak mahu membeli yang ini akhirnya bukan saja kami yang tergelak bahkan tuan punya kedai pun berdekah-dekah membayangkan kalau papa memakai ini.
Cerminmata adik dapat pada hari yang sama selepas menunggu dalam lebih kurang satu jam. Mama punya mengambil masa 2-3 hari. Biarpun anak-anak sibuk mahu memakai contact-lens tetap mama belum memberi kebenaran. Tidak mengapa masa ini tidak cantik. Tunggu besar sudah bekerja pandai-pandailah jika mahu memakainya mama tidak ada halangan. Boleh juga berjumpa Prof. Dr. Muhaya buat lasik lagi baik.

~~ Salah satu ayat Al-Quran yang berkaitan dengan mata. " Bilakah hari kiamat itu? " "Maka apabila mata terbelalak ketakutan" - Ayat 6-7 Surah Al-Qiyyamah.~~


Friday, March 18, 2016

Menghindari himpitan alam kubur

Sambil memandu pulang sambil menghayati butir tazkirah oleh ustaz  Ahmad Dusuki Abdul Rani, di radio IKIM fm berkaitan dengan alam kubur. Terasa ngeri pula bila disebut perihal tidak ada satu pun umat yang akan terlepas dengan himpitan kubur sebaik masuk ke dalam liang lahad. Sesungguhnya solat, sedekah jariah dan amalan lain tidak dapat membantu hal yang satu ini melainkan dengan amalan membaca kitabullah, Al-Quran. 
Al-quran anak-anak - Sekadar hiasan untuk entri hari ini.

Bersama kita renungkan kalau kita boleh membaca blog, whatsapp dan sebagainya saban waktu, sesekali apa salahnya kita heret bahkan kalau boleh paksa pun kita paksa mata kita untuk menatap dan membaca titipan baginda rasulullah buat kita umat yang amat dikasihi ini. Beruntung kita dikurniakan mata untuk melihat. Selagi peluang masih diberi kita gunakan sebaik-baiknya.

Daripada Abu Musa Al Asy'ari r.a telah berkata, Rasulullah sallallahu alaihiwasallam bersabda, "Perumpamaan orang mukmin yang membaca Al-Quran seperti buah Utrujjah (seperti limau yang besar) yang ada berbau wangi dan sedap rasanya. Perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca Al-Quran seperti buah tamar tidak ada bau dan rasanya manis, dan perumpamaan orang munafik yang membaca Al-Quran seperti Raihanah (sejenis tumbuhan/pokok) baunya wangi dan rasanya pahit. Manakala perumpamaan orang munafik yang tidak membaca Al-Quran seperti buah labu yang tidak ada bau dan rasanya pahit*." - Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.

~~ Mukmin yang membaca Al-Quran umpama buah yang harum dan sedap rasanya.~~ 

* tidak tahu kenapa dikatakan labu pahit, sebab aku rasa labu sedap:)

Wednesday, March 9, 2016

Tuding mengaji

Peristiwa 21 tahun berlaku sekali lagi pada hari ini. Putaran alam yang dibawah qudroh dan irodah Allah kini sedang mengalami fenomena gerhana matahari. Bersama kita dirikan solat gerhana selepas solat dhuha. Peluang ini 21 tahun sekali saja. Apa pun aku ingin memaparkan salah satu tradisi keluarga kami. Bila mengaji tuding mesti ada di tangan masing-masing. Bahasa keluarga kami tuding adalah alat penunjuk digunakan ketika belajar mengaji Al-Quran.

Tidak tersusun - Setiap hari selepas Isyak salah satu tugas aku menyusun ini semua. Ada kala bila letih sangat aku biarkan saja. Anak-anak biasalah siapa siap dulu dia letak dulu. Akibatnya begini. Lihat tuding dalam Iqra' terjulur keluar sebab kakak/abang yang membaca Al-Quran menggunakan chopstik yang Huda bagi dulu dia pun tidak mahu ketinggalan sama menggunakan chopstik pemberian Huda. Kalau di dalam Al-Quran sebab besar tidaklah terjulur.

Pemegang rotan - Dulu aku gunakan rotan ini. Rasanya hampir setahun sudah aku gantung saja. Adalah sesekali bila mahu membuat anak-anak senyap.

Hujung rotan - Lihatlah sudah pecah. Kasihan dinding dan lantai selalu jadi mangsa libasan rotan ini. Itulah sebabnya pecah-pecah. Mencecah anak-anak belum sekali. Tetapi biasa anak-anak melihat ini pun sudah kecut tidak perlu dicecahkan pada mereka. 

Pensil gergasi - Sudah setahun lebih aku menggunakan ini. Anak pertama yang menghadap sudah tahu dimana mahu diambil pensil ini. Anak pertama mengambil dan anak yang terakhir akan menyimpannya. Masing-masing sudah tahu bekas tembikar letak bunga aku letak pensil ini.
Semoga gerhana matahari ini tidaklah membawa musibah kemarau yang panjang yang membawa kepada wabak penyakit dan tumbuhan tidak subur seperti 21 tahun yang dulu. Itu yang dikatakan oleh Us. Hj Hanafiah Abd. Razak, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Falak, Johor Bahru.

~~ Takut dengan Allah itu lebih baik dari takutkan rotan.~~


Thursday, January 21, 2016

Sandaran kehidupan

Barangsiapa yang bertaqwa pasti Allah memberikannya jalan keluar. Bersandarlah dalam apa pun juga hal kepadaNya. Jangan bersandar selain daripada Allah.  

Daripada google - Terima kasih kepada yang memuat-turun 

Walau merasa diri bijak-pandai, sihat-afiat, berharta-mewah semua tidak mampu kita miliki andai tidak ada izinNya. Usah juga sesekali bersandar hanya kepada doa/ayat tanpa usaha dilakukan. Pantau usaha dengan doa tidak menjadi kesalahan. Mencari dan menggali semampu boleh. Rasulullah juga berusaha tanpa mengenal erti putus asa dan lelah. Baginda tidak pernah terus-terusan memohon kepada Allah walhal baginda boleh meminta apa saja dariNya. Malunya kita kerana dengan iman yang sedikit tapi memohon berbukit-bukit. 

Namun ingatan buat kita bahawa Allah lebih suka kepada hambaNya yang meminta-minta kepadanNya kerana bila seseorang hamba itu meminta/bermunajat jelas sandaran hanya kepadanya yang wahid/satu. Itulah dikatakan iman di dalam diri. Itu lebih baik. Renungkan.

~~ Bersandar kepada doa tidak sama dengan menyerahkan segalanya kepada doa. ~~


Friday, November 6, 2015

Usaha untuk mengelak sihir

Ada kalanya apa yang ibu-bapa kita ajar kita mengikut tanpa banyak soal. Itu anak-anak dulu. Mengamalkan tanpa mengetahui kebaikan dari mengamalkannya. Baru-baru ini mendapat video whatsapp dari group keluarga tazkirah oleh Dato' Haron Din Al-Hafiz barulah aku tahu akan kebaikan ayat yang selalu dibaca selepas solat. Apa lagi bila majlis Yasiin dan tahlil juga sering kita baca sehingga rata-rata kita semua sudah hafal. Malam semalam aku ambil telefon sebaik selesai budak-budak mengaji untuk aku ambil paparan ayat-ayat yang dimaksudkan sebagai amalan bersama.

Dikatakan oleh rasulullah " Barang siapa membaca lima ayat yang pertama dari surah Al-Baqaroh kemudian disambung dengan ayatul-kursi dan tiga ayat terakhir suroh Al-Baqaroh setiap menjelang malam, selamatlah dia dari angkara sihir pada malam tersebut".  Oleh itu mudah kata selepas solat maghrib selepas membaca doa yang biasa kita baca Allahumma attassalam... sehingga ghufronakarobbana wa-ilaikalmasir, teruslah baca ayat-ayat ini. Jika malam tersebut ada yang cuba membuat sihir dan sebagainya Insya Allah tidak akan terlaksana bahkan mungkin akan kembali kepada sipembuat sihir tersebut

Begitu juga barang siapa membacanya setiap selepas menjelang siang, mudah kata subuh maka jika ada yang mahu membuat sihir dia akan terselamat sepanjang hari tersebut. Jika ada aral atau sebagainya pada hari tersebut pun mudah dilalui kerana akan ada jalan penyelesaiannya yang terbaik. Contohnya jika kemalangan teruk pun sempatlah dibawa ke hospital dan mengucap kalimah syahadah sebelum ajal.

Al-Fatihah - Selesai membaca doa biasa selepas solat sebelum zikir seperti selalu sehingga Al-fatihah ini terus baca 5 ayat yang di bawah
Al-Baqaroh 1-5 : Kemudian baca ini. Rasanya anak-anak pun hafal kalau 5 ayat yang ini.

Ayatul-Kursi - Ini juga ayat yang bagaikan mainan bibir kepada kita semua umat Islam tidak kira yang kecil mahupun yang sudah hampir menemui ajalnya. Selapas membaca ini baru baca yang bawah.
Tiga ayat terakhir Al-Baqaroh - Ayat yang selalu kita baca dalam doa tahlil. Mudah semuanya cuma ada kalanya kita tidak tahu kebaikan disebalik apa yang kita baca.  Baca sehingga 'alalqoumilkafirin. 
Jika mahu ayat terpendik apa yang bapak ajarkan kepada anak-cucu untuk menghindarkan diri dari pukau, hasad, sihir dan membantu bila kebingungan contohnya anak yang menangis bagai ada yang tidak kena (ini yang aku buat ketika anak-anak baby dulu) juga boleh dibaca ayat ini - Bismillahillazi layadhurru ma'asmihi syaiunfilardhi walafissama'i wahuwassamiun'alim. Namun jika mahu ayat yang lebih panjang amalkanlah membaca ayat ruqyah juga boleh. Bacalah selalu tidak rugi. Moga dapat dimanfaatkan bersama. Segala yang baik dari Allah dan kita sebagai hambaNya sekadar berusaha.

~~ Berusaha sebelum terkena untuk menghindarkan diri dari sihir dengan ayat Al-Quran itu lebih baik. ~~



Friday, October 23, 2015

"Rancangan tergendala sebentar"

Hari ini 10 Muharram. Tarikh yang terlalu banyak tragedi dalam sejarah Islam. Sekadar sama-sama mengingat betapa hari ini kita sudah terlalu banyak nikmat yang Allah berikan. Tidak mahu membariskan rentetan yang banyak terjadi aku kisahkan hal dua hari lepas.

Rutin biasa selepas maghrib akan kedengaran satu persatu suara anak-anak memberi salam. Masing-masing sudah arif siapa yang masuk dulu dialah yang akan duduk bersila di hadapan mama ini. Mereka juga tahu sementara menunggu giliran mereka membaca dulu apa yang akan dibaca nanti. Sedang khusyuk mendengar salah seorang anak membaca tiba-tiba ada suara "terkencinglah mama." Kakak sepupunya sudah masam muka. Sebab ini bukan kali pertama terjadi. Kakak sepupunya pula anak perempuan baru berusia 9 tahun merupakan anak bongsu.  Kalau sebelum ini ada kakak lebih besar boleh membantu, kali ini sudah pasti dia tidak tahu. Terpaksa memanggil Kak Meen menguruskan bujang cilik baru berusia 4 tahun itu. Ambil gayong cuci kaki lap lepas itu masuk dalam bilik air mandikan. tersipu-sipu Kak Meen memandikan sebab biasa adik-beradik semuanya 'bunga' belaka, kali ini kena mandikan budak ada 'kuntum'. Alahai mahu mengharapkan siapa lagi. Mak Zah di bilik sebelah pun sedang khusyuk membaca Al-Quran juga.
Seluar/baju lama - Malam tadi datang mengaji dipulangkan baju ini walaupun aku sudah kata tak payah pulang boleh bagi adik pakai sebab dia ada adik perempuan yang kini berusia 2 tahun lebih.
 "Rancangan tergendala sebentar" Itu kata anak-anak. Senyum kami semua dibuat si Danish. Selesai memandikan Kak Meen serah pada mama. Semua kena keluar bilik sebab mama mahu pakaikan hero satu ini 'baju baru'. Bongkar kotak baju lama. Jumpa seluar panjang entah Kak Reen, Kak Meen atau adik punya. Tanpa berseluar dalam terus pakaikan seluar lama yang masih elok. Mana ada seluar dalam lelaki kecil di rumah kami. T-shirt adik tentulah ala-ala perempuan terpaksa disarungkan juga. Mujurlah dia masih kecil tidak malu lagi. Selepas dibedak dan disikat terus senyum. Tapi ada kawan-kawan yang melihat yang mahu ketawa aku jegilkan mata. Tidak berani mahu mengejek. Selesai kerja mama baru sambung 'rancangan yang tergendala'. Danish bercuti membaca Iqra'. Santai-santai bagai tidak ada apa yang berlaku. Boleh main-main lagi sedangkan Kak Meen masih dengan kerja mambersihkan kencing dia di lantai. Lihatlah itu dikatakan budak.

Lengan baju - Sudah aku kata baju anak aku semuanya anak dara. Mujur bujang cilik masih tidak malu lagi. Mana boleh pakai balik jubah yang sudah kena kencing. Terpaksalah memakai baju lama ini.
Sesekali tergendala tidak mengapa. Biar tergendala sekarang jangan tergendala kelak ketika meniti titian as-sirot. Lain kali dia tahu sebelum datang rumah mama dia akan buang air dulu. Itu janjinya. 

~~ Biarpun pelat dan susah pada awalnya tapi kini dia sudah mampu mengenal huruf dan makhrojal jauh lebih baik berbanding pada awalnya dulu. Sudah masuk Iqra' 3 pun. ~~


Friday, October 16, 2015

Penyalahgunaan doa/ayat

Dahulu ketika menunggu keputusan SPM aku bekerja di Singapore. Currency waktu itu tidaklah sehebat sekarang. Kalaulah waktu itu seperti hari ini alangkah mewahnya. Hari ini saja bila melihat borang kastam nombor 2 yang aku declare currency SGD sudah 3.0151. Tinggi sungguh. Kerani akaun aku ada buat part-time akaun dengan sebuah syarikat di Singapore dengan pendapatan sebulan SGD 1000/- Dia buat kerja setiap hari Sabtu dan jika banyak kerja sambung lagi di hari Ahad. Mudah kata sebulan kerja dalam 4-8 hari saja. Bayangkan bila diconvert sudah menjadi lebih RM3K. Senyum lebar anak dara itu.

Sebenarnya sewaktu aku bekerja di Singapore jawatan aku adalah sebagai Quality Controller di sebuah kilang di Sembawang. Tidak tahulah kilang itu ada lagi atau tidak sekarang. Tetapi apa yang tidak selesa tidak ada bilik solat. Bilik air juga tidak ada paip untuk istinjak. Mahu bersolat minta tempat dengan makcik cleaner tempat mereka simpan penyapu/mop dan peralatan mereka. Istinjak kena bawa botol air siap-siap untuk membersihkan diri. Oleh itu walaupun pihak management tidak membenarkan aku resign belum sampai sebulan bekerja aku sudah tidak sanggup. Kerja aku mudah kerana sekadar membuat laporan yang line-leader berikan dan key-in dalam computer dan submit ke pihak pentadbiran. Usia baru 17-18 tahun dapat kerja begitu sudah selesa benar waktu itu.

Ada kisah tidak baik yang ingin aku paparkan di sini. Membeli barang ada yang kena cukai tetapi aku tidak declare. Sengaja memang aku nekad mahu bawa balik JB. Dalam hati kalau tertangkap aku tinggalkan saja, biarlah pegawai imigresen itu ambil . Sebaik aku tiba di check-point mulalah aku pasang ayat. Waja'alna mimbaini aidihim saddaw waminkhalfihim sadda faaghsyainahum fahumlayubsiruun..








Ayat inilah yang aku baca berulang-ulang sebab bapak selalu kata kalau mahu selamat dari pandangan orang yang cuba kacau kita baca ini. Aku salah gunakan ayat ini demi kepentingan diri sendiri. Namun apa yang jadi? Betul-betul aku selamat tetapi kawan aku punya kena ambil pihak imigresen. Kasihan kawan aku. 

Buat anak-anak jangan ikut apa yang makcik lakukan. Makcik sudah bertaubat dan memohon ampun. Moga Allah ampunkan kesalahan makcik. Hakikatnya kalau dari segi muamalat bukanlah salah membeli barang tetapi ianya menyalahi undang-undang. Dulu membeli kain pasang di Singapore amatlah murah berbanding di Malaysia. Sekarang juga jika membeli tidak ada cukai dikenakan. Jakel, Nagoya semua belum ada lagi di JB waktu itu.

~~ Cerita lama tinggal kenangan, tetapi jika ada membuat kesalahan rasa kekesalan yang dirasa itulah yang berpanjangan. ~~


Friday, May 15, 2015

Fadhilat surah Al- Ahqaaf ayat 15

Kadang-kadang apabila ianya menjadi kelaziman dibaca selepas solat kita tidak tahu kebaikan sepenuhnya dari mengamalkannya. Apa lagi jika ianya hasil dari yang orang tua kita yang mengatakan ianya doa yang baik untuk dibaca selepas solat. Bila aku melihat program tv petang jumaat lepas baru aku tahu ayat yang selalu meniti dibibir ini amat baik untuk diamalkan.

Al-Ahqaaf - Pendik saja ayatnya untuk diamalkan buat kita semua tidak kira yang jadi ibu-bapa mahupun anak-anak yang baru belajar membaca doa selepas solat. 
Menurut uztaz yang memberikan tazkirah petang itu ayat 15 dari suroh Al-Ahqaaf ini amat baik diamalkan kerana boleh membantu untuk dimurahkan rezeki. Memudahkan bibir mengucap kalimah Allah di saat menuju alam kematian kerana sudah pasti kita semua mahu mati dalam husnul-khotimah. Satu lagi yang aku pasti semua kita mahu dihormati dan disayangi anak-anak, jadi ayat ini juga dapat membuat anak-anak akan sayang dan hormat kepada kita ibu-bapanya.

Maksudnya - Perhatikan ayat 15.  Bermula dari Dan Kami wajibkan manusia berbuak baik kepada kedua ibubapanya; ibunya .... sehingga baca gambar di bawah

Sambungan - Pengakhiran ayat 15 tersebut sehingga sesungguhnya aku dari orang Islam yang tunduk patuh kepadaMu.
Sebagai hamba kita terus berdoa dari ayat-ayat yang telah diberikan kepada kita untuk dijadikan amalan. Samada ianya diterima atau tidak kita kena istiqomah kerana kita semua tahu sesungguhnya Allah itu sangat Ar-rohman dan Ar-rohim.

~~ Terlalu banyak petunjuk diberi melalui kitab Allah ini.~~


Thursday, May 14, 2015

Aku dan kerenah anak-anak

Walaupun guru merupaka kerjaya pertama aku sandang tetapi aku bukanlah seorang guru yang baik lalu bertukar kerjaya. Mungkin sebab itulah akhirnya Allah jadikan aku kuli seperti sekarang ini yang lebih sesuai dengan kemampuan yang aku ada. Biarpun begitu aku masih ada peluang menjadi 'guru' bukan saja pada anak-anak sendiri tetapi juga kepada anak-anak jiran yang masih mahu memberi kepercayaan. Apa lagi anak-anak bagaikan sudah biasa dengan aku. Bukan aku tidak pernah marah pada mereka. Tetapi mereka masih tidak segan-silu mahu bercerita itu-ini kepada aku. Ada satu anak yang kami panggil Abang baru bertatih membaca Iqra'. Lidah masih belum lembut lagi. Bila mahu menyebut "tha' berkali-kali aku mahu dia keluarkan hujung lidah ke gigi atas tetapi gagal. Sehinggakan aku ambil tangan dia untuk merasa angin yang keluar dari mulut aku bila menyebut huruf 'tha' tetap masih tak berjaya. Papa yang biasa tidak balik selepas maghrib entah mengapa hari itu balik dan mencuba nasib konon sebelum mahu ke dapur.

Papa: Cuba abang tengok papa sebut "tha"
Abang : Huwaaa..... (menangis)

Kalut papa bila tetiba saja abang menangis. Berkali-kali dengan aku tidak menjadi masalah, bila papa bersuara abang sudah menangis. Papa pun bukan tinggikan suara sekadar mahu mencuba nasib mana tahu dengan papa boleh menjadi tapi sebaliknya suara tangisan yang meledak. Nampak benar walau garang macam mana pun aku anak-anak masih boleh bergelak dan bercerita itu-ini. Mereka tahu rotan yang aku pegang sekadar menakutkan saja. Sebaliknya macam mana lembut pun papa budak masih takut lagi sebab tidak biasa.

Sekarang setiap hari sebelum membaca Iqra' selain membaca doa - Allahummaftah'alaina ---> sehingga ar-hamarrohimin dan Robbisyrohli ---> sehingga yafqohuqouli, aku juga ajar abang baca "Ya-Fattah" suruh dia ulang berkali-kali. Nampaknya sudah lembut sikit lidahnya. Ada kalanya dia akan letakkan tapak tangannya untuk merasa angin yang keluar dari huruf yang disebut. Comel sangat. Satu lagi tektik aku guna sebab abang baru berusia 5 tahun, jika dia boleh membaca dengan betul aku akan katakan "Abang pandai, macam inilah mama sayang." Budak kena puji macam ini pun muka sudah berseri-seri gembira. Semakin bersemangat dan rajin. Daokan aku boleh mendidik abang comel ini seperti anak-anak lain.

Selepas mengaji - Nama pun budak-budak dapat makan beehoon soto simple macam ini pun licin bila makan sesama mereka. 

~~ Kerenah anak-anak macam-macam gaya ada kalanya menagih kesabaran yang tinggi.~~



Tuesday, May 5, 2015

Jauhi fitnah dekati hikmah

Untuk mencari penceramah agama kini bagaikan cendawan tumbuh. Pilih sajalah ustaz atau ustazah mana yang mahu. Golongan yang mahu menderma atau membuat jariah juga tidak kurang ramainya. Katakan saja penceramah mana yang mahu dijemput pasti ada saja yang akan menghulur memberi berapa bayaran diperlukan. Tidak mampu ditanggung seorang akan dikongsi dengan teman-teman. Apa yang penting hajat untuk mendapatkan ilmu dari penceramah itu tercapai. Ilmu pula dapat dikongsi bersama masyarakat yang hadir.

Apa yang penting jangan sesekali menjadi pemecah-belah rumpun yang telah sekian lama aman harmoni. Seandainya kehadiran kita membuat yang aman damai rasa tergugat dari apa yang kita lakukan sebaiknya berundurlah. Tidak ada yang lebih baik seandainya jika kerana mahu berbuat amal tetapi sebaliknya dosa pula yang diperlolehi. Berhati-hatilah dalam membuat kebajikan. Jika ilmu disampaikan boleh melaga-lagakan umat sebaiknya kita hentikan. Islam itu indah tetapi sayangnya ada manusia-manusia yang kononya tinggi ilmu agamanya bercakaran pula. SiArif A menuding siBijak B, manakala siBijak B pula menuding siCerdik C. Masyarakat yang mendengar bercelaru jadinya. 

Adalah tidak menjadi kesalahan seandainya apa yang kita ikuti tidak bercanggah dengan hukum-hakam agama. Apa lagi seandainya ikutan itu membuat yang jauh silaturrahim dapat dirasakan dekat di dalam hati. Keluarga disayang pula menikmati bersama hikmah dari apa yang diperolehi itu. Tidak salah juga mempelajari yang baru sekiranya ia menjadi penambah-baik suasana atau perencah kehidupan jadi lebih menarik. Samalah dengan resepi di dapur setiap rumah. Corak hidangan akan berubah selalu tetapi kena pastikan ianya adalah halalan toyyiban. Tidak salah orang Johor yang sinonim dengan asam pedas sesekali buat nasi dagang. Apa yang penting jauhi fitnah dan cuba mencari hikmah dari apa yang diperolehi.

Nasi dagang - Seperti nasi dagang yang aku masak semalam.  Walaupun aku org Johor tapi aku ikut style Terengganu. Guna ikan tongkol yang aku gulai. Sedikit kelainan sebab aku regukan dengan acar timun-carrot dan daun salad.  Apa yang penting halalan toyyiban, hubby dan anak-anak pun suka. Tidak semestinya duduk di Johor kena makan makanan Johorean saja. Buka minda dan hati seluas-luasnya. Mana yang baik kita ikut, yang tidak baik kita tinggalkan.

~~ Islam itu indah. Ikut sajalah perundangan yang digariskan di dalam Al-Quran.~~


* Agak sibuk, mohon maaf mana yang belum sempat aku jenguk rumahnya.

Thursday, April 2, 2015

Dia ibarat kain putih

Rutin biasa selepas solat maghrib anak-anak akan mula bertandang ke rumah dan satu-persatu memberi salam. Masing-masing dengan misi untuk meneruskan pembacaan Al-Quran atau Iqra'. Mereka juga tahu siapa yang sampai dulu dialah yang akan duduk di depan aku bersila sebaik melihat kawan mereka selesai. Malam tadi aku ada anak baru. Seorang anak lelaki berusia 5 tahun. Comel dan montel sedap mata memandang. Aku dan anak-anak aku sama naik, kami suka bila ada budak comel. Sentuhan pertama kami mestilah pipinya yang gebu.  

Aku: Mama nak panggil apa ni?
Anak: Abang (senyum malu-malu). 
Aku: Oohh.. abang pernah tengok dan baca Iqra' ini?
Anak: Tak (geleng kepala sambil bersuara perlahan).

Ibarat kain putih, sebagai anak yang tidak mengerti apa-apa ingin aku berpesan kepada semua yang bergelar ibu-bapa, tolonglah didik sedikit-sebanyak huruf-huruf yang digunakan di dalam Al-Quran. Alif, Ba, Ta dan seterusnya sebaik anak sudah boleh bercakap. Tidak kenal huruf nga, pa, cya dan ga itu tidak mengapa kerana bila masuk alam persekolahan mereka akan belajar jawi. Kasihan kepada anak yang tiada pendedahan langsung ketika memulakan membaca kerana rata-rata anak sekarang bila masuk usia 5 tahun sudah mengenal huruf-huruf hijaiah. Cuma membunyikan bila yang sudah bertanda perlukan asuhan seterusnya dari yang mengajar mengaji. Ini kali pertama aku dipertemukan dengan anak yang begini sehingga membaca basmallah pun tidak tahu.

Aku: Bismillahirrohman
Anak: Bissila... (tidak mampu sudah untuk menyambung)
Aku: Cuba sebut milo macam mama, mil.. mil...
Anak: Milo, mil..mil...
Aku: Bismillah
Anak: Bismillah

Malam tadi itu saja yang mampu dia dapat. Hairan sebab sekarang di televisyen pun selalu terpapar bacaan Al-fatihah. Lebih memeranjatkan bila aku mahu dia ikut ibu solat/sembahyang, dia mengatakan ibu tidak solat. Menyesal bertanya tapi dalam hati aku sangat sedih. Renungkanlah..

~~ Tidak mengapa abang (anak tersebut), mama Zakie akan didik abang menjadi seperti kawan-kawan yang lain. Mama percaya abang pun boleh.~~


Friday, November 14, 2014

Bacalah wadah iman seluruh umat

Selepas solat maghrib seperti biasa anak-anak akan mula memberi salam masuk rumah untuk mengaji. Hari Jumaat lambat sedikit sebab mereka tahu hari Khamis biasa orang berbuka puasa dan membaca Yasiin dahulu. Tetapi ketika anakanda Haziq hampir habis mengaji Hafiz, kakak dan adiknya datang membawa hidangan untuk dijamu kepada rakan-rakan sempena dia baru khatam membaca Al-Quran hari Rabu minggu lepas. Jadi malam tadi hanya Haziq seoarang saja yang belajar mengaji manakala yang lain balik rumah semula mahu tukar baju cantik-cantik seperti Hafiz. Gelihati juga sudah macam beraya anak-anak.

Doa - Muhammad Hafiz sedang membaca doa Khatam Al-Quran yang telah aku berikan sejak minggu lepas agar pembacaan lebih lancar.
 
Ada pulut kuning yang lengkap dengan rendang, kek marble minyak warna-warni dan pau inti kacang merah. Mak Zah keluarkan air sarsi dan air oren sebagai pelangkap. Aku tidak menyediakan apa-apa sebab tidak diberitahu lebih awal. Niat dihati mahu sediakan bunga telur buat anak-anak sebab banyak bunga telur yang aku perolehi ketika balik dari majlis kahwin aku simpan rapi. Tahun ini maulidurasul tidak digunakan jadi masih terkumpul banyak. Makanlah mereka apa yang ada. Syukur rezeki buat anak-anak.

Alhamdulillah - Lega bila anak-anak menjadikan Al-Quran sebahagian dalam hidup mereka. Moga ilmu yang dipelajari terus diamalkan dalam kehidupan seharian mereka sehingga akhir hayat. Itu yang diharapkan.
Menurutnya sebagaimana dijanjikan cuti sekolah ini akan dilangsungkan majlis khatam sebelum ia akan dikhatankan. Mama Zakie tidak dapat pergi sebab majliskan diadakan dikampung neneknya di Sabak Bernam. Moga semuanya berjalan lancar dan Hafiz cepat sembuh. 

Ceria - Mak Zah sibuk mengarahkan buat love betul-betul tetap tak menjadi. Macam-macam gaya anak-anak bila Mak Zah melayan buat  mereka tambah ceria. Melihat kembali gaya-gaya mereka buat aku senyum sendiri.  Sekadar tepek beberpa keping di sini. Ada yang sudah main badminton pun.
Adik-beradik - Inilah Muhammad Hafiz bersama kakaknya Yana  dan adiknya Caca.
Membaca al-Quran dengan tartil dan fasihah iaitu tajwid, memahami serta mengamalkan ajaran yang ada di dalam al-quran adalah digalakkan dan mendapat pahala. Sebagai umat Islam berusahalah membaca, memahami dan mengamalkan al-quran dengan baik walaupun tidak mengkhatamkannya. Sekiranya membaca sehingga khatam , itu adalah yang lebih baik.
اقْرَØ£ْ بِاسْÙ…ِ رَبِّÙƒَ الَّذِÙŠ Ø®َÙ„َÙ‚َ 
~~ Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan.~~


Tuesday, November 11, 2014

Manusia mana yang kebal

Kemahiran dan daya ingatan setiap anak tidak sama. Ada yang membuat pergantungan banyak kepada yang mendidik atau yang mengasuh. Ada yang cepat boleh berdikari. Begitulah dengan anak-anak didik mama ini. Bila tahu anak yang lambat tangkap biasanya di akhir doa mama akan membaca sama-sama sebab mahu cepat panggil giliran yang lain pula. Tetapi bila suara mama sudah hilang dan sakit tekak, beginilah jadinya.

Selesai membaca - Biasa mama akan sama-sama menadah tangan berdoa dan membaca dengan alunan dilagukan. Anak-anak lebih mudah bila doa dibuat secara berlagu. Bila mama sakit tekak kenalah buat alunan sendiri. Itu yang terpaksa keluarkan kertas yang sentiasa terselit di dalam Al-Qurannya. Bacalah sendiri dan mama tadah tangan aminkan doanya.
Doa - Sebenarnya doa selepas habis membaca Al-Quran saja pun tetapi biasa mereka keliru yang mana dulu antara minhuma -nasina denga minhuma-jahilna.  Ada juga yang nakal akan ketawakan bila si kawan membuat silap. Nama pun anak-anak tidak matang.

~~ Berdetox macam mana sekali pun kalau Allah mahu bagi sakit tekak, batuk dan selsema tetap kena juga. Mana ada manusia yang kebal.~~


Friday, September 5, 2014

Mari membaca Al-Quran - Hukum Saktah

Hari ini makcik khususkan entri makcik untuk anak-anak yang baru belajar membaca Al-Quran. Dua hari lepas sewaktu makcik mengajar salah seorang anak mengaji terjumpa hukum saktah. Tetapi sebab jarang bertemu dilanggar semacam oleh anak tersebut. Membaca Al-Quran sudah hampir khatam tetapi masih tersilap juga. Secara kebetulan malam tadi hari membaca Yaasin terjumpa lagi hukum saktah ini. Jadi kenalah makcik jelaskan kepada semua tentang hukum saktah yang hanya ada satu dalam suroh Yasin.

Ayat yang ditemui dua hari lepas  - Pembacaan hendaklah berhenti sebentar pada ayat 28 tetapi tidak mengambil nafas bahkan hendaklah diteruskan untuk membaca ayat seterusnya (ayat 29).
Petunjuk - Biasanya akan ditunjukkan di sebelah ayat tersebut seperti ini. Jelas dinyatakan sebagai peringatan ketika membaca. Semua Al-Quran resam Uthmani pasti ada.
Suroh Yasin - Satu-satunya hukum saktah di suroh Yasin yang malam tadi makcik jelaskan. Anak-anak yang belum membaca Yasin bolehlah membukanya sekarang. Kalau kini sedang membaca suroh Al-Kahfi habiskan dulu pembacaannya. Selepas ini buka pula suroh Yasin ini untuk melihatnya sendiri.
Huruf sin yang kecil - Lihat anak panah yang makcik tunjukkan itu. Itulah tempat hukum saktah diaplikasikan. Ini terdapat jelas di dalam suroh Yasin.
Tanda di tepi ayat - Lihat anak panah pink -  kotak kecil tersebut memberitahu dimana hukum saktah perlu dibaca.
Sekali lagi ingin makcik tekankan di sini bahawa saktah bukanlah waqaf dan bukan ibtida'. Kalau waqaf terus berhenti dan akan mengambil nafas baru bagi meneruskan pembacaan. Begitu juga ibtida' pula membaca tidak berhenti dan tidak mengambil nafas. Tetapi saktah ini ialah pembacaan berhenti seketika tetapi tidak mengambil nafas dan sambung meneruskan bacaan. Makcik harap anak-anak faham. Kalau kurang jelas sila bertanya kepada ustaz/uztazah anak-anak ye sayang. Wallahu'alam.

 ~~ Belajar di waktu kecil bagai mengukir di atas batu. Belajar sesudah dewasa bagai mengukir di atas pasir. Tapi andai ada kesungguhan pasti tidak mustahil.~~