Showing posts with label Ulangtahun kelahiran. Show all posts
Showing posts with label Ulangtahun kelahiran. Show all posts

Friday, February 3, 2017

Sanah Helwah Mak Zah

Pada hari Sabtu dimana kaum Cina meraikan Tahun Baru Cina mereka, kami pula meraikan hari ulangtahun Mak Zah. Anak-anak aku biasalah sebab sedari mereka lahir Mak Zah merupakan satu-satunya mak saudara yang sentiasa bersama kami, oleh itu kasih mereka kepada Mak Zah sudah seperti mama mereka juga. Tepat jam 12 tengah malam  sebaik keliling rumah kami berdentam-dentum dengan bunyi mercun, anak-anak mengejut Mak Zah yang sudah lena semata-mata untuk mengucapkan "Sanah Helwah Mak". Terpisat-pisat mata Mak Zah melayan kerenah anak-anak buahnya. "Hadiahnya esok ye mak". Aku hanya tahu kisah mereka pada keesokan pagi bila Mak Zah memberitahu aku apa yang anak-anak buat kepadanya tengahmalam itu.

Doa - Papa tolong baca doa kami semua menadah tangan amin. Penuh pengharapan kami semua berdoa semoga usia yang Allah bagi pinjam ini dapat dipergunakan dengan sebaik-baiknya. 
Hidangan - Kami tahu Mama Leha sibuk jadi kami membawa apa yang patut. Mama Zakie paling senang beli kek Indulgence secret receipe dan KFC. Ada juga buat puding roti. Pulut kuning ini Mama Leha yang masak.
Dellisya - Cucu kami yang paling kecil pada hari tersebut. Dell suap mohon semoga usia nenek terus diberkati hingga ke jannah. Cucu saudara kami (cucu mama Leha)
Sebenarnya kami meraikan ulangtahun Mak Zah di rumah Mama Leha. Oleh itu dapatlah semua berkumpul di satu tempat sambil berziarah abang Haikal sepupu kepada anak-anak kami yang terlantar. Jika di rumah kami sudah pasti Mama Leha tidak dapat menghadirkan diri. Oleh sebab itulah kami adik-beradik sepakat untuk meraikannya di rumah Mama Leha.

~~ Bila berkumpul adik-beradik ingatan kepada almarhum bapak dan almarhumah emak kian terasa. Buat mak dan bapak Al-fatihah... ~~




Thursday, September 8, 2016

100 WISH list before I die ...

Mari kita lihat seorang gadis yang punyalah banyak wish list bersempena ulangtahun kelahirannya pada tahun 2016 ini. Sila lihat di sini. Selepas itu renung ke dalam diri apakah pula harapan diri kita sebelum Izrael datang menjemput. Sebenarnya sebaik selesai membaca entri ini aku jadi kabur sebab aku di tag. Apa wish list aku kalau sampai 100?

Bingung juga aku kalau mahu menyenaraikan 100 wish list sebab di usia tua ini rasanya beberapa kerat sajalah harapan aku sebelum mati. Dari 100 yang dimahukan aku rangkumkan sajalah menjadi lima sebagaimana Rasulullah bersabda "Ambillah peluang yang lima,sebelum datang yang lima" - Diriwayatkan oleh Al-Hakim dan Al-Baihaqi.

1. Masa mudamu sebelum datang masa tuamu
2. Sihatmu sebelum sakitmu
3. Kayamu sebelum fakirmu
4. Lapangmu sebelum kesempitanmu
5. Hidupmu sebelum matimu.

Sebenarnya sekarang pun aku sudah tua. Cuma selagi Allah masih bagi peluang boleh beribadah dengan baik aku mahu berusaha semampu boleh sebelum datang masa lebih tua dari sekarang. Lumrahnya bila semakin dipanjat usia bimbang kesihatan menurun dan beribadah jadi kurang khusyuk. Mohon aku diberi kesihatan yang baik.

Berkaitan dengan kaya pula sebagai manusia biasa rasa tidak puas sudah pasti tidak dapat disingkirkan. Melihat mereka yang lebih susah aku dapat merasakan yang aku ini kaya sebab masih mampu memberi infak dan sedekah. Tetapi melihat yang lebih kaya sesungguhnya aku masih jauh tertinggal di belakang. Apa lagi melihat mereka yang kaya iman, kaya pekerti, kaya ilmu, kaya harta semua ini ingin aku gapai. Itulah sebolehnya biarlah sebelum sakratulmaut datang menjemput. Apa lagi bila memandangkan terasa terlalu pantasnya masa berlalu. Mengharap aku mampu melakukan yang terbaik sebelum disempitkan waktu. Semoga ada kelapangan waktu untuk aku terus menerjah setiap yang mahu dilakukan. Berharap tidak ada penyesalan di penghujung usia.

Pukal aku senaraikan semua wish list kerana jika dihuraikan semua itu sudah pasti lebih dari 100. Semoga aku diberi masa untuk melihat anak-anak berjaya dan hidup bahagia bersama pasangan masing-masing yang mampu memberi keseimbangan bahagia dunia dan akhirat. OK selesai! 

Sebagai memenuhi syarat cik adik manis yang mahu tag tiga sahabat maka dengan rendah hati aku tag tiga adik comel ini: - 


Tidak ketinggalan dijemput juga semua teman Titisan Nurani yang memberi komen dalam entri ini untuk sama-sama memeriahkan segmen ini. Silakan dengan segala hormatnya.

~~Apa-apa pun selamat ulangtahun kelahiran buat Huda. ~~


Monday, August 8, 2016

Usia adik berganjak lagi satu angka

Jumaat lepas sebenarnya ulangtahun anakanda bongsu kami. Nasib adik agak baik sebab hari Khamis itu hari balik rumah dapatlah papa pergi menjemputnya balik. Oleh itu untuk makan malam pada hari itu adiklah yang memilih tempat makan. Mama, papa dan kakak-kakak ikut saja. Pejam-celik-pejam-celik adik sudah 13 tahun. Sudah belajar merantau di tempat orang. Sebulan sekali dapatlah menjejak kaki di rumah. Mengharap minda semakin terbuka dan mampu menghadapi cabaran demi kebahgaiaan di dunia dan akhirat.
Air minuman pilihan - Sebelum air sampai sudah beberapa piring yang diambil dari meja bergerak dan masuk ke dalam perut 
Menanti - Melihat piring yg berpusing ini agak kurang lalu kami memilih duduk di meja dan membeli yang set saja.
Favourite - Semua anak-anak mama suka betul yang satu ini
Pilhan Kak Reen dan Kak Mira
Semua juga menikmati ini
Puteri yang diraikan memilih set ini
Mama punya set
Papa punya set
Selain set Kak Meen dan semua juga mengambil dari piring yang bergerak sehingga tinggi begini.
Semoga adik semakin bijak mengendali diri dalam melayari kehidupan sebagai hamba Allah dan anak mama/papa yang sebaik-baiknya. Mampu menilai yang mana baik dan buruk demi kelangsungan hidup di dunia dan seterusnya bahagia di akhirat kelak. 

~~ Sanah Helwah adik.~~

Monday, December 28, 2015

Sehari masa berlalu meninggalkan kita

Puas juga bila sesekali ada cuti yang bersambungan seperti empat hari yang lepas. Bertemu sanak saudara, berkumpul dengan masyarakat sekeliling dengan berbagai majlis di hujung-hujung tahun 2015 ini bagaikan satu terapi sanubari buat diri. Tangan pula sentiasa basah sehingga lupa pada hari Jumaat lepas kuku pun tidak berpotong, sedar-sedar hari ini bila memakai lotion nampak kuku sudah menjerit mohon dipotong,

Hidangan 1 - Semuanya dimasak pihak catering. Acar, ayam goreng, dalca dan ayam masak merah. Semua ini dimakan bersama nasi putih dan nasi tomato
Hidangan 2 - Ayam masak pecal juga ada. Sebahagian kuih yang sempat aku ambil. Pulut panggang, nagasari dan kuih berlauk. Ada juga kih-kuih lain tetapi bukan kuih tradisi seperti kek kukus dan cup-cakes coklat.
Hidangan 3 - Satu-satunya hidangan yang kami masak bersama. Sebab merasa kurang jika tidak ada sayuran.
Goodie - Bekas ini kami sedikan dimasukkan ke dalam plastik bekas nasi yang telah siap dibuat oleh pihak catering. Lupa pula aku mengambil gambar bekas nasi/lauk yang catering buat.  Isi di dalam adalah kurma, kismis dan jajan budak-budak.
Salah satu majlis - Yasin dan tahlil kaum wanita. 
Satu lagi majlis kami - Membuat persiapan majlis ulangtahun kelahiran dua cucu kakak/abang kami
Tuan rumah - Inilah abang dan kakak ipar hubby yang mengadakan majlis tersebut. Abang sudah bersara tahun lepas dan kakak pula akan bersara Januari 2016 ini diusianya ke 56 tahun.
Semakin menuju ke hujung tahun semakin sibuk aku rasakan. Terkejar sana-sini dengan majlis pertunangan, perkahwinan, kenduri tahlil, bersara dan tidak kurang juga majlis maulid kini boleh dikatakan setiap malam ada. Terkejar-kejar tanpa sedar usia juga berganjak dari sehari ke sehari.

~~ Keletihan di dunia jika kebaikan yang dicari tidak menjadi kerugian, Tetapi akan rugi jika terkejar-kejar di dunia akhirat dilupakan.~~


Monday, September 7, 2015

Sehari berganjak semakin dekat dengan mati

Mereka bertiga adalah anugerah terindah dari Allah buat kami suami isteri. Selalu aku berpesan biar tidak cantik tetapi hati mesti baik. Biar tidak lawa tapi perbadi biar yang Allah redha. Biar tidak cantik tapi otak kena cerdik. Walau kulit tidak melepak tapi ilmu biar melambak. Mereka jauh beruntung berbanding ketika zaman mama-papa di alam persekolahan dulu. Untuk atuk menghulur duit sepuluh ringgit pun payah di rasa. Kalau ada pun sebab untuk membayar sesuatu keperluan. Cuma agak beruntung dulu ada biasiswa Dato' Onn dan disebabkan mama mereka ini bolehlah dikategorikan pandailah sedikit maka biasiswa itulah yang banyak meringankan keperluan sekolah. 

Puteri-puteri aku tidak merasa itu semua dan mama-papa tidak mahu anak-cucu keturunan kami merasai susahnya untuk melayari hidup di tanahair sendiri. Oleh kerana mama-papa tidak punya harta untuk ditinggalkan jadi kena pastikan ilmu dan iman kena ada di dalam diri sebagaimana didikan atuk mereka juga

Mama tahu apa yang mama dapat sempena satu angka berganjaknya usia mama adalah hasil dari pemberian duit mama-papa. Alunan "Sanah helwah ya jamilah... sanah helwah ya jamilah... sanah helwah ya jamilah mama... sanah helwah ya jamilah" buat mama terharu. Moga mama mereka ini masih berpeluang melihat mereka semua membina hidup masing-masing dan mampu mendoakan mama-papa mereka walau kami sudah tiada di dunia ini.

Dari mereka bertiga - Masa bila mereka membeli kain pasang ini pun aku tidak tahu sebab ada kalanya mereka bertiga akan berkata kepada mama-papa mereka untuk jalan dulu dan mereka akan ke tempat lain. Mungkin masa itulah mereka sepakat membelinya.  Duit mereka sebenarnya pun dari kami juga sebab rutin aku setiap kali mendapat gaji pasti mereka juga mendapat habuan. Bermula bulan lepas juga aku tambah RM50/- dari jumlah biasa sebab syarikat aku memberi kenaikan gaji kepada semua staff, maka anak-anak pun mendapat kenaikan RM 50/- bermula bulan lepas.
Apalah yang lebih menggembirakan kita sebagai mama-papa selain melihat anak-anak gembira. Rezeki yang ada semuanya milik Allah. Berkongsi selagi hayat masih ada. Selain kepada keluarga sendiri kepada mereka yang ada di luar sana juga usah dilupa. Banyak hak kita perlu dikongsikan bersama.

~~ Setiap detik berlalu semakin hampir detik Izrael akan datang menjemput pergi.~~



Monday, August 10, 2015

Meraikan ulangtahun di kelas

Kalau yang sudah dewasa pun mudah ikut-ikut apa lagi dengan anak-anak yang masih mentah. Adik pun sama. Bagaikan menjadi kebiasaan sedari tadika lagi bila hari ulangtahun pasti mahu membawa ole-ole buat teman sekelas. Melihat setiap kali ulangtahun kawan-kawan semua ada membawa sesuatu untuk diagih dengan kawan-kawan dia pun mahu. Tetapi oleh kerana dua tahun berturut-turut ulangtahunnya jatuh pada bulan ramadhan tidak dapatlah dia memberi ole-ole buat kawan sekelasnya.

Tahun ini ulangtahun adik jatuh pada bulan syawal oleh itu  dari awal lagi mama sudah diingatkan apa yang dia mahu. Adik kurang suka kek jadi mencadangkan untuk membuat triffle. Aku buat 42 bekas kerana jumlah ini termasuk cikgu yang mengajarnya sekali.

Gula-gula - Anak-anak mana boleh dipisahkan dengan gula-gula dan coklat. Ini yang kami masukkan ke dalam sampul duit raya. Bersatu dengan duit raya sekali untuk kawan-kawan adik. Apa lagi memang duit raya yang kami sedia untuk budak-budak masih banyak lagi.

36 sampul - Kak Reen yang tolong buatkan semua ini. Siap semua masukkan ke dalam beg untuk memudahkan adik mengagihkan di dalam kelasnya.
Triffle - Potong pandan kek untuk lapisan bawah, basahkan dengan air koktail, Lapis kedua adalah custard dan atas sekali jelly yang sudah aku masukkan buah-buah dari koktail. Simpan satu malam di dalam fridge esok pagi susun bawa ke sekolah.

Mungkin tahun ini peluang terakhir untuk adik berbuat seperti ini. Tahun depan adik sudah 13 tahun tidak tahu bersekolah di mana. Kalau ikut kakak-kakak bermula 13 tahun tidak ada lagi peluang untuk mama berbuat begini. Apa pun tetap mengharapkan segala yang baik-baik buat semua.

~~ Anak kian membesar, mama-papa kian dipanjat kesunyian.~~

Thursday, July 30, 2015

Ceria di Aidilfitri - 2

Secara kebetulan 1 Syawal tahun ini jatuh pada hari ulangtahun  Kak Long, anak adik aku dan suami anak buah aku, maka kami raikan bersama. Ayam goreng dibeli oleh si isteri. Anak menantu pula membeli domino pizza buat mummy mertuanya aka Kak Long aku. Adik aku pula membeli kek untuk anak heronya. Sungguh meriah tetapi kena pantas sebab tatamu bapak tidak putus berkunjung itu yang banyak moment tidak dapat dirakamkan dengan sempurna.

Kek - Kalau biasanya kek agak kurang digemari tetapi kerana ramai yang ada pada waktu itu, selesai majlis kek pun selesai berurusan untuk dikhadamkan di dalam perut.


Domino pizza - Tiga keping saiz besar akhirnya tidak mampu dihabiskan. Sekeping ini masih berbaki sebab sebelum solat Aidilfitri sudah bersarapan dengan ketupat.
Bapak - Seronok bapak dikelilingi anak-cucu-cicit. Makan walau sedikit tetapi semua yang kita beri akan dijamah juga. Hanya ayam goring bapak kurang suka. Tetapi pizza satu slice hamper habis juga bapak makan.
 

Gembira 1 - Hero dua ini dan anak dara kecik sebelah adik itu adalah cucu Kak Long aku jadi aku pun nenek kepada mereka. Gembira tahun ini sebab abuyah mereka tahun ini dapat cuti balik ke Malaysia tidak seperti tahun lepas ayah di Riyadh mereka di KL.


Gembira 2 - Anak-anak yang ceria. Lihatlah anak-anak dan anak buah aku yang sudah jadi ayah & ibu pun ada. Kasih sayang kami amat erat. Walau pun aku bekerja tapi anak buah aku tetap memberi aku duit raya. "Kaya mama" kata adik sebab kalau memberi pada sepupu yang masih belajar jumlah setakat RM20/- tapi pada mama mereka bagi nilai ratusan ringgit.

 
Indahnya di Aidilfitri yang jauh akan menjadi dekat yang jarak akan menjadi erat.  Syawal pertama itulah kami sekeluarga semampu boleh beraya keluarga sebelah Allahyarhamah mak. Hujan petang tidak membataskan perjalanan kami kerana sudah di dalam perancangan Syawal ke dua kami akan bertolak ke kampung hubby pula. Kasihan keluarga hubby bukan macam keluarga aku yang ramai. Jika anak-anak aku tiada memang sunyilah rumah pusaka itu. Anak yang ada sekadar Aisyah (anak angkat kakak ipar aku).

~~ Masa bergembira semua tersenyum tanpa sedar sebenarnya ada saudara seagama kita yang berduka dikala kita dalam kegembiraan. ~~

Monday, September 8, 2014

Sehari berganjak sehari juga kematian menghampiri

Tiada siapa mampu menahan detik pergerakan jam mahupun masa dan hari-hari yang berlalu untuk berhenti. Setiap hari pasti siang dan malam silih berganti seiring usia meningkat tanpa disedari. Kehidupan perlu diurus dan diteruskan selagi Allah memberikan peluang untuk menikmati dunia sementara ini. 

5hb Sept lepas - Ucapan dari google  di skrin monitor PC di rumah yang buat adik sibuk mahu mamanya melihat
Rezeki - Selagi masih diberi pinjam nyawa dan badan olehNya. Syukur Alhamdulillah masih berpeluang menikmati keenakkan dan rezeki pemberianNya.
Nikmat - Akan tiba masanya nikmat ini tidak lagi dapat dinikmati.
Keluarga - Sekadar memenuhi kehendak seisi keluarga tidak ada apa yang lebih menggembirakan selain kebahagiaan bersama keluarga. Doa-doa sering dipanjat moga kebahagiaan dinikmati hingga ke Jannah.
 
~~ Sehari usia berganjak sehari juga kematian kian menghampiri diri.~~

Monday, June 23, 2014

Cepatnya 15 tahun itu berlalu

Jauh di sudut hati sebaik disahkan mengandung lagi mulakan memasang angan-angan moga kandungan kali ini dapatkan anak lelaki. Sedari awal tidak lepas membaca Al-Quran setiap hari dengan suroh-suroh pilihan seperti Suroh Muhammad, Luqman dan Yusuf. Suroh yang lain di baca setelah suroh ini dibaca. Masuk bulan ke empat mengandung ketika scan disahkan lagi anak perempuan. Ada segaris rasa kecewa tetapi pujuk balik hati ini betapa bersyukurnya aku berbanding dengan ipar-ipar aku yang diuji tanpa seorang pun zuriat (ujian Allah - kasihan mereka). Ketika itu mak mertua dan keluarga hubbylah yang paling seronok kiranya aku yang paling produktif dalam keluarga. Itupun setelah tiga tahun Kak Reen membesar barulah Kak Meen duduk di dalam rahim. Hari ini genaplah Kak Meen 15 tahun sebagai anak mama/papa.

Makan malam - Kami raikan lebih awal kerana kebetulan Kak Reen ada pada hari Jumaat lepas. Malam esoknya Kak Reen sudah mahu bertolak pulang. Asparagus, udang, siakap dan brokoli scallop menjadi pilihan keluarga.
Pilihan juga - Ketam, satey, sharkfin soup dan daging black-pepper. Semua ini kami makan dengan nasi putih.
Keluarga - Lupa pula apa di kiri atas ini - tapi kalau tak silap kwee-teow (aku tak merasa pun). Sebelahnya anak dara yang kami raikan. Setelah papa membacakan doa kami pun makan. Mula-mula adik kata dia yang mahu membaca doa panjang umur (Allahuma towwil umurona.... seterusnya) manakala doa selamat biar papa yang baca, tapi kemudian malu bila ada org pandang, lalu papalah juga yg membaca seperti biasa. Kak Reen kepenatan sebab baru balik dari Maahad selepas MUET. Sementara kami masih lagi santai-santai dia sudah terlentuk. Kesian dia...
~~Doa kami moga Kak Meen mampu menjadi hamba Allah yang tawaddhuk dan sentiasa berada di landasan kebenaran.~~

Monday, February 17, 2014

Bermarhaban di hari ulangtahun

Malam Sabtu yang baru lalu kami dijemput untuk meraikan hari ulangtahun kelahiran teman merangkap jiran di taman perumahan kami. Kakak Hamidah meraikan majlis ulangtahun dengan menjemput anak-anak didik aku mengalunkan bacaan berzanji pada malam tersebut. Seronok juga melihat anak-anak kian berani tampil ke depan. Sudah boleh di bawa ke majlis orang dewasa.  

Malam itu (gambar ikut putaran jam) - Kak Midah sedang memotong kek, Firdaus membaca rawi 1, Nusroh rawi 3, Mak Zah rawi 2, adik rawi 4, Nurienne rawi 5 (lupa pula gambarnya). Mereka ini yang membaca rawi berzanji malam itu sebelum aku membacakan doa pada rawi terakhir.
Meraikan (gambar ikut putaran jam) - Kak Midah bersama jiran-jiran, kek red velvet, makanan pilihanku, hidangan juadah pada malam itu dan marhaban kami bersama-sama pada malam tersebut.
Sebenarnya biasa apabila aku ABC (Allah bagi cuti) dari membaca Al-Quran aku tukar mengajar anak-anak ini membaca berzanji. Walau sekadar sebulan sekali tetapi lama kelamaan dapat juga anak-anak tersebut mempelajarinya. Tarranum yang aku ajar pada mereka pun yang mudah seperti tarranum sikah. Kalau Nurienne sudah boleh mengalun tarrarum ras sebab sudah biasa memasuki pertandingan untuk sekolahnya.

~~Doa kami semoga Kak Hamidah jiran kami ini dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, diberi kesihatan terbaik untuk terus beribadah.~~

Thursday, November 7, 2013

Haluan kami tidak kesampaian

Sebelum malam menjelang mama dan papa memberi peluang anak-anak menggoogle tempat makanan yang mereka mahu. Apa yang penting cari restoran halal. Maka setelah menggoogle restoran makanan halal di JB keputusan sebulat suara masing-masing bercadang untuk ke Restoran Bamboo di Taman Sentosa. Walau tidak jauh tapi kami tidak pernah pergi lagi ke tempat itu. Selepas solat maghrib, set GPS kami pun menuju ke destinasi dirancang.

Sebaik tiba lokasinya, kelihatan tempatnya kurang sesuai untuk keluarga kami. Tulisan dan hiasan semuanya amat asing buat kami. Bila sudah ada rasa syak, dzan dan waham maka kami berpatah balik ke tempat kami selalu, di Restoran Singgah Selalu di Danga Bay. Di sini kami amat pasti akan halalan toyyibannya tidak ada rasa musykil lagi.
Hidangan - Satu persatu hidangan tiba.  Ramai betul umat manusia memenuhi ruang restoran kanan dan kiri. Kami pula tiba sudah hampir jam 9:00 malam. Pilihan seperti selalu juga.
Bersih - Sebenarnya tidak habis pun makanan terhidang. Semua baki kami bungkus bawa balik mana yang tidak mampu dihabiskan. Sayang pun juga sebab meraikan papa tapi papa juga yang membayar.
Untuk makan keluar lagi nampaknya kena tunggu selepas 03-12-2013 iaitu hari akhir Kak Nurienne habis peperiksaan. Pagi ini mata pelajaran Bahasa Inggeris kertas 1 dan 2. Petang pula Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah Kertas 1. Moga Kak Nurienne dipermudahkan. 

~~ Kurang menjejaki teman blogger sebab selagi anak di dewan peperiksaan, hati kurang tenang. Mohon maaf.~~


Thursday, September 19, 2013

Nikmat bersama keluarga sebelum Izrael menjemput

Steamboat & BBQ - Tidak dapat diraikan pada -05-09-2013 sebab dua anak belum balik. Cuti Hari Malaysia itulah kami berkumpul dan mengikut kehendak anak-anak kami makan di sini. Pilihan dua kuah sup and tomyam.
Adik - Selain sotong, udang, ketam dan kerang adik juga suka mee. Tapi yg bebebola semua anak-anak kurang gemar.
Pertemuan - Sedang menikmati hidangan ada suara menegur. Terkejut bercampur gembira bila dipertemukan dengan teman blogger Azian Iskandar. Anak-anak Azian dan keluarga juga ada. Ambil kesempatan berposing sama. Yasmin (anak ke dua aku) dan Muiz & Muaz (anak Azian) tidak ada sama pula. Buat hal masing-masinglah mereka.
Malay Steamboat & BBQ - Inilah tempatnya.
Hadiah dari papa - Terima kasih pada en hubby hadiahkan mama ini pada malam tersebut. Belum mahir dan masih belajar lagi dengan gadget baru ini. Aku belajar dengan adik sebab anak-anak menggunakan S3, sama saja applikasinya.
~~ Sehari meniti usia bererti sehari juga meniti arah kematian yang akan tiba bila-bila masa saja. Moga aku masih diberi peluang untuk melihat anak-anak boleh berdikari sebelum Izrael datang menjemput pergi.~~


Friday, May 3, 2013

Usia berganjak ke 17 tahun

Pagi cuti Hari Pekerja  itu kami menuju ke sekolah Yasmien. Sehari sebelum itu telah meminta kebenaran asrama untuk mebawa dia keluar untuk meraikan hari ulangtahun Kak Nurienne. Tiba di sekolah Nurienne pula nampaknya dia tidak mahu keluar kerana belum meminta kebenaran pihak sekolah untuk keluar. Jadi mama, papa, adik dan Kak Yasmien keluar semula membeli apa yang diinginkan.

Nasi goreng paprik - Beli sebungkus saja.

Pizza idaman adik - Beli regular size satu saja

Spaghetti bolognese -  Papa yang suka ini

KFC - Beli snack plate 3 kotak. Tidak habis Nurienne ambil sekotak dan Yasmien sekotak untuk dimakan kemudian. Masing-masing lebih suka makan pizza dan burger.


Kantin sekolah - Makan di sini. Ambil satu ruang sudut. Selepas papa habis memebaca doa kami semua menjamu selera. Nasib baik ada bekas yang selalu mama bawakan bekal mereka untuk dijadikan mangkuk makan sebab kami jangkakan mahu makan di luar mama tidak membawa pinggan-mangkuk.

Bakso yang diminta - Tarikh ulangtahunnya pada 23 April tetapi kekangan masa kami terlewat sedikit meraikannya. Moga menjadi anak solehah yang tahu tanggungjawab sebagai Muslimah.
~~ Anak Adam (manusia) menjadi dewasa bersamaan dengan matangnya dua sifat yang ada pada dirinya, iaitu tamak dan harapan yang tidak habis-habisnya (HR Bukhari). Bersama kita renungkan.~~