Showing posts with label Ulam. Show all posts
Showing posts with label Ulam. Show all posts

Thursday, December 1, 2016

Benih yang baik..

... kalau dicampak di mana pun hasilnya baik juga.
Tua - Punyalah tidak ada masa Mak Zah sehingga ulam raja ini rancak berbunga tidak dicantas. Sudah sama tinggi dengan pokok bunga kantan dan lengkuas.
Benih - Biarkan yang satu ini menjadi tua tapi bila ditabur di atas tanah akan meriah jadinya.
Satu lagi - Ini pun di simpan untuk dijadikan benih.
Menjalar - Pokok labu air ini walaupun sekadar bergayut/menumpang pokok mangga dia masih mampu memberikan tuannya hasil. Sewaktu kecil kelihatan bagaikan buah mangga sebab duduknya di atas pokok mangga tetapi bila sudah sebesar buah kelapa lihatlah di bawah.
Harapan - Sengaja ditinggalkan sebiji ini tidak dipetik kerana mahu dijadikan benih juga. Semua sudah menempah mahu benihnya. 
Tuai- Yang muda ini sudah menjadi hidangan.  Sebiji kalau dimasak tidak boleh masak semua. Sebahagian  di masak lemak, sebahagian pula masak tumis air pun sedap juga. Boleh diagih ke jiran juga.
Segugus - Ikut kata adik segugus ini jangan dipetik tunggu sehingga dia balik. Bersyukur jugalah sebab ia tidak menjadi perhatian anak-anak yang selalu ada dan burung yang selalu hinggap.  Memang rezeki adik yang ini terlindung di sebalik daun. Dapatlah adik merasa sebaik balik bercuti sekarang.

~~ Seperti juga kita manusia untuk mendapat anak yang baik kita sendiri sebagai ibu-bapa juga kena jadi baik dahulu. ~~




Monday, September 5, 2016

Ulaman dan tanaman

Tinggal di kawasan perumahan yang halamannya hanya sekangkang kera tidak menghalang untuk aku bercucuk-tanam apa yang termampu. Tidak dapat banyak sedikit pun jadilah. Walaupun duduknya rata-rata di dalam pasu dan berasak-asak tetap juga gigih mahu menjadikan apa yang ditanam dapat dinikmati.
Daun kesom - Anak Johor kalau tidak kenal daun kesom rasanya pasti janggal. Daun yang memberi aroma menyelerakan setiap kali periuk di dapur ada masak asam pedas dan laksa inilah dia. Walau berkongsi pasu dengan pokok bunga ros tetapi ia tidak menghalang untuk kedua-duanya memberikan yang terbaik buat tuannya.
Pucuk beruas - Salah satu ulaman yang anak-anak juga pandai makan. Mungkin sebab ketika dalam pantang aku juga menjadikan pucuk ini sebagai sayuran. Salah satu tips untuk membanyakkan air susu inilah juga. 

Pucuk beruas 2 - Ini juga sama tetapi lagi muda. Ada kalanya aku masukkan ke dalam masakan ikan asam pedas. Buat keluarga kami memang salah satu pembuka selera. Aku tanam pokok ini juga bersama dengan kelompok pokok bunga tetapi di tanam terus di atas tanah bukan di dalam pasu.  Semakin di cantas semakin banyak pucuk muda akan berhasil.
Sambung nyawa - Jangan pula ingat dengan makan ulam ini usia kita akan panjang. Tetapi entah dari mana dapat nama ini aku pun tidak tahu. Tetapi ianya sudah menjadi salah satu ulaman dalam keluarga kami. Boleh dikatakan setiap rumah adik-beradik kami ada tanam pokok ini. Ada dikatakan ulaman ini dapat mengurangkan kolesterol dan darah tinggi. Sejauh mana kebenarannya tidaklah aku ketahui. Mudah ditanam. Kerat saja batangnya cacakkan pasti akan bertunas.
Belalai gajah - Pokok Belalai gajah ini (sebelah kanan) aku tanam berkongsi pasu dengan pokok bunga puding (sebelah kiri). Bagaikan pelindung pokok bunga puding ini membuatkan pokok belalai gajah kian galak suburnya. Mudah saja tanam belalai gajah ini. Potong batangnya dan cacakkan. Tidak sampai seminggu sudah bertunas. Sedap untuk dijadikan ulaman walau dikatakan boleh mencegah cancer. Namun tidaklah aku tahu akan kebenarannya.
Ada orang makan kerana khasiatnya, tetapi sejujurnya aku makan kerana aku suka akan rasanya. Mungkin sebab aku anak jati kampung sudah dididik makan berulam, Sebab itulah ulaman merupakan salah satu hidangan sentiasa ada di dalam set hidangan meja makan kami walaupun sekadar timun atau daun salad. 

~~ Ulaman makan dengan sambal belacan pasti terangkat!~~



Tuesday, August 2, 2016

Tinggi kedudukannya, nama diberi ulam raja

Walaupun tidak ditanam di halaman
berjasa terus tanpa halangan
bunganya cantik dijadikan hiasan, 
daunnya dijadikan ulam hidangan.
Segar - Pink dan kuning gabungan dua warna yang menarik mata memandang
Pudar - Lumrahnya bunga akan tiba waktunya akan layu dan pudar
Gugur - Kelopak gugur, namun perginya kelopak meninggalkan baka
Benih - Sudah sedia untuk disemai. Sekuntum bunga asal mampu memberi lebih dari 10 pokok.
Subhanallah, walhamdulillah
Walailaha illallah
sungguh maha kasih Allah
rezeki diberi melimpah ruah

~~ Pokok ulam raja merupakan pokok ulam yang paling mudah membiak walau tanpa dijaga rapi.~~


Friday, November 20, 2015

Jangan pandang pada rupa

Lama juga membelek ruang freezer yang menempatkan ikan-sotong-udang-ayam-daging dan yang seangkatan dengannya. Tetapi kotak minda jadi buntu bila sudah tidak tahu mahu menggayakannya. Bila ditanya pada ahli rumah yang lain amat susah bila jawapan di beri "tak kisah". Jawapan yang tidak membantu langsung.

Cencaru bakar - Inilah jadi akhirnya. Lumurkan dengan garam kunyit kemudain bakar. Siap bakar letak atas daun pisang dan curahkan sambal dia. Sediakan limau kasturi.  Bila mahu makan perahkan limau.

Nostalgia - Anak-anak tidak tahu sambal ini salah satu resepi masakan arwah nenek mereka. Mama dan mak-pak saudara mereka dulu sering makan berlaukkan ini. Dulu arwah mak ambil cili yang ditanam sendiri untuk ditumbuk kasar. Tumis dengan bawang besar yang dihiris kasar dan bawang putih yang dititik. Kemudian masukkan ikan bilis yang telah digoreng lebih awal. Masukkan sedikit garam dan gula. Perahkan lemon. Kalau tidak meleleh airmata tidak tahulah. 

Sambung nyawa - Rangup dan ada aroma istimewa. Inilah gandingan dengan sambal di atas. Bukan semua orang tahu nikmat ulaman ini. Apa lagi kalau bukan orang kampung memang susahlah. Mahu membeli di pasar bagai tidak pernah aku jumpa. Baik tanam sendiri sebab ia mudah ditanam. Potong batangnya kemudian cacak di atas tanah. Anak-anak walau dari lahir sudah selalu melihat tetapi belum pandai menikmatinya lagi. 
~~ Memasak bukanlah susah tetapi yang susah memikirkan resepi apa yang mahu dimasak. ~~


Wednesday, January 14, 2015

Timun tikus







~~ Rasanya seperti timun biasa juga.~~

Monday, December 22, 2014

Mengisi ruang waktu

Hari Sabtu dan Ahad sejak cuti sekolah peneman aku beriadah selepas subuh bertambah lagi seorang. Tetapi selepas beriadah kena terus singgah di pasar pagi bagi membolehkannya untuk mencuci mata. Semalam tidak ada pula hajat yang dikehendaki olehnya. Adik teringin membeli nasi lemak Pakcik Rani tetapi mungkin sebab musim orang kenduri kahwin, Pakcik itu pun tidak ada berjual. Mama saja yang sempat membeli serai dan nenas. Semalam mama masak nasi serai selepas mengidam melihat resepi yang dipaparkan oleh auntie Yana Shaifu.

Sabtu dan Ahad - Semalam adik hanya menukar seluar saja tetapi baju masih berbaju tidurnya lagi. Sementara menanti mama berlari-anak, adik bermain di sini. Mama berkawan dengan nyonya-nyonya dan amoi-amoi yang ada. Sebab yang sama bangsa dengan mama sangat kurang kelihatan.
Balik beriadah - Seperti biasa balik rumah tidak terus masuk. Adik membantu mama bawa masuk serai dan nenas yang mama beli. Sementera itu mama lalai di luar rumah mencari apa yang patut untuk di tuai. Pucuk bebuas dan ulam raja menjadi sasaran kali ini.

~~ Sungguh benar dunia Islam sentiasa diduga. Moga ulama' Yusof Qardawi terus mendapat perlindungan dari Allah dan kuat menggalas fitnah Yahudi yang kini sedang melanda. Bersama kita mendoakan keselamatan beliau.~~


Thursday, May 22, 2014

Fotosintesis dan gandingan pernafasan kita

Biar pun semua pasu berasak antara satu-sama lain namun aku tetap usahakan juga apa yang boleh hidup di tanah sekangkang kera kediaman kami. Sementara cuaca tidak panas dan pasu baru pula sudah dibeli jadi usahakanlah mana yang patut. Cantas sana, cantas sini, alih sana, alih sini bagi membuat sedap mata memandang. Mana yang boleh ditukar baru, pokok lama dibuang (kesian dia).
Sambung hayat - Dari mana dapat nama ini aku pun tidak tahu.  Makan raw dengan sambal belacan. Ada mint, aroma special dan rangup itu yang menambah selera makan. Semua pucuk aku petik dan sulam kembali untuk mendapat pokok yang baru.
Pucuk bebuas - Keluarga aku memanggilnya daun singkel. Bukan sikil - salah pronounce sangat jauh beza maknanya. Masak dalam hidangan ikan asam pedas pun sedap sebab ada aroma yang sukar digambarkan. Buat botok-botok salah satu daun ramuan inilah dia.
Sisa pokok - Sulam baru untuk pokok sambung hayat tadi. Semua tanaman aku memang di dalam pasu sebab rumah kami punya tanah secoet kecil saja. Sangat mudah untuk kembali bercambah pokok ini seperti ros jepun juga, cantas dan cacak mesti hidup subur.
Daun Kari - Cantas bagi menghalang pokok menjadi tinggi.  Maklumlah tanam pun di dalam pasu. Bila pokok mula melebihi ketinggian kita kenalah cantas.
Menanam pokok di kawasan rumah kita sekurang-kurangnya dapat menyumbangkan oksigen keperluan kita sebagai manusia. Tidak dapat menyumbangkan banyak, dapat sedikit pun sudah memadai. Maha kaya Allah dihidupkan kita dengan adanya oksigen untuk pernafasan dan karbon diaoksida untuk fotosintesis dedaun pokok. Mari kawan-kawan kita bercucuk-tanam mana yang kita mampu.

~~ Bayangkan andai proses pernafasan atau fotesintesis Allah hentikan.~~ 


Thursday, November 22, 2012

Mengkudu

Pokok mengkudu yang sentiasa berbuah tanpa henti ini berada di belakang rumah peninggalan mertua aku. Buahnya jarang digunakan tapi pucuknya kami makan jadikan ulam.

Aku panggil buah ini buang mengkudu. Daun mudanya kami buat ulam. Buahnya yang masak boleh dibuat jus tetapi kenalah campur dengan lemon atau epal. Kalau tidak keluarga aku belum mampu meminumnya tanpa perisa lain. Tetapi melalui kajian saintifik buah ini mempunyai konsentrasi yang tinggi dan ia didapati mengandungi sebatian catechin yang tinggi serta dapat merencatkan proses pengoksidanan dalam badan. Lambatlah sedikit untuk kelihatan tua.

Walaupun buah mengkudu sudah menjadi makanan kesihatan sejak bertahun-tahun tetapi jarang kelihatan dibuat kajian saintifik. Jadi kenalah minum secara blender dengan buah-buahan yang ada perisa dan bau yang enak seperti lemon, strawberri dan epal hijau (epal manis tidak mampu menghilangkan bau maung mengkudu). Kini banyak syarikat pengeluar produk kesihatan yang menjadikan mengkudu sebagai salah satu produk mereka.

Sebatian antioksida yang dikenal pasti itu dikatakan dapat mengurangkan risiko penyakit kronik seperti kanser, penyakit berkaitan jantung, diabetes dan penuaan. Justeru pengambilan antioksida dalam diet dapat mengurangkan risiko berkenaan. Walaupun mempunyai kandungan sebatian yang baik dan mempunyai pokok yang lebat buahnya kami tetap tidak mampu minum selalu kerana kelazatan dan nikmatnya belum pandai kami nikmati lagi. Mudah kata tidak sedap. Tetapi daunnya selalu menjadi mangsa keluarga kami untuk dijadikan sebagai ulam makan atau kerabu.


~~ Hari ini negeri Johor bercuti sempena hari keputeraaan Sultan. Blog aku pun turut bercuti sama.~~