Wednesday, December 31, 2014

Berlabuhnya tirai 2014

Keriangan yang panjang terpana seketika
MH370 menghilang tanpa diduga
ujian besar melanda!
pelupuk mata digenangi air
longlai tubuh yang sedia kerdil
tersedar dari lena yang panjang
menadah tangan, sujud, tafakkur
lama berperang antara percaya dan tidak
cerita-cerita rekaan berawangan tanpa sekatan



Dalam kekaburan MH370 kian menyepi
MH17 menyusul membawa cerita luka
irama yang hampir serupa
sisa luka yang belum sembuh bertambah parah
hancur berderai, putus berkecai 
apa masalah terselindung di sebaliknya
tiada jawapan pasti

Jasad terkumpul kembali ke tanahair
sanak-saudara berkabung menangisi nasib
QZ8501 menyusul membawa cerita sama
apakah ada tangan yang mahu menunjuk kuasa
menanti tindakan kita yang nyata lemah
sengaja mencari dimana ada kekuatan
terleka siapa pun tidak punya kuasa
Kunfayakun DIA siapa mampu menepis

Hidupnya insan ada peraturan
biar tinggi mana mahu mendabik dada
bila tentera Allah datang menerjah
lumpuh segalanya  bagai lautan samudera
usaha apa lagi perlu dilakukan
ayuh kembalikan iman yang luntur
amar makruf nahi mungkar
wamakaru wamakarallah
rancang sebaik mana pun
sesungguhnya perancang terbaik itu Allah

 

Kalendar tirai 2014 penuh warna-warni
membuka tirai 2015 dengan harapan
taqwa dan iman bertambah kental
sesungguhnya kami sedar bumi kian uzur
kami tidak punya apa tanpa kasihMu
mohon kami padaMu Ya Robb
ampuni kami yang sering terlalai
kasih dan sayangMu kami pohon selalu
Amin....


~~ Dalam meniti perjalanan ke depan (2015) renung ke belakang (2014) untuk bermuhasabah. Warna-warni suka-duka terlalu banyak untuk dijadikan iktibar dan pengajaran bersama.~~


* gambar diperolehi dari google

Tuesday, December 30, 2014

Sebelum menjelang sessi persekolahan 2015

Walaupun tarikh mula persekolahan telah ditangguh tapi tarikh pembelian buku semuanya sudah berakhir untuk sekolah adik. Ahad lepas adalah tarikh membeli buku-buku untuk sekolah agama adik. Sekolah kebangsaan minggu lepas adik pergi dengan Mak Zah sebab papa outstation dan mama pula kerja yang tidak boleh dielakkan. Pagi Ahad lepas mama dan adik menjadi orang terawal tiba di sekolah tetapi ustazah yang menjaga kaunter untuk darjah 6 belum tiba seperti yang dijanjikan.

Sewaktu menunggu itulah satu kejadian yang tidak diduga terjadi. Seorang ibu anak darjah satu atau dua sebab kedudukan hujung dari tempat aku menunggu, yang juga mahu membeli kitab dan buku anaknya telah terduduk di atas simen ketika mahu melabuhkan punggung di kerusi. Memandangkan keadaan wanita tersebut yang obesiti beliau tidak dapat bangun sendiri. Tiga orang yang berdekatan segera memberi bantuan dan dibawa untuk didudukkan di batu tiang bendera yang berhampiran. Kasihan sebab sakit dan malu yang tidak terkata.


Menunggu giliran - Kerusi plastik ini tidak dapat menampung berat wanita tersebut. Kasihan. Mungkin kalau berdiri lagi selamat. Tetapi siapa sangka mahu terjadi begitu.
Buku dan kitab adik - Sebelum disampul dengan plastik.  Malam itu kesemuanya sudah pun selesai ditulis nama dan disampul dengan sempurna.
Tahun 2015 ini adik akan diperkenalkan pelajaran baru, Jenayat. Sewaktu darjah 4 dan 5 diperkenalkan perkara Mu'amalat dan Munakahat, masuk darjah 6 perkara Jenayat bula diperkenalkan. Pada pandangan aku kalaulah undang-undang dijalankan mengikut syariat Islam akan indah dan lebih sistematik. Namun bila syariah terpaksa diselaraskan dengan civil agak bercelaru jadinya. Apa lagi bila timbul kes yang boleh melibatkan kedua-dua jalan syariah dan civil. Itulah yang kini Kak Reen kena menghadam perkara seperti Malaysia Law, Islamic Law, Law of Conract dalam pembelajarannya. Doa kami moga dipermudahkan buat Kak Reen yang sedang menghadapi peperiksaan dalam minggu ini dan minggu hadapan.
Minnie - Balik dari membeli buku mengikut papa ke projeknya dan singgah di Air Hitam membeli Minnie yang kepalanya jauh lebih besar dari kepala adik.
Atas katil - Minnie sudah duduk di atas katil. Papa kata patung adik cacat sebab lengan, peha dan betis kecil tapi kaki dan tapak tangannya besar. Adik ketawa mengekek.

Anak-anak yang tidak terkena banjir pasti tidak sabar untuk ke sekolah tetapi anak-anak yang tinggal di tempat pemindahan banjir tidak sabar untuk pulang ke rumah masing-masing. Bersama kita berdoa semoga banjir segera surut dan tidak ada gelombang ketiga yang lebih buruk terjadi.

~~ Luahan hati seorang lelaki di tempat pemindahan banjir yang terpaksa memakai baju wanita kerana bekalan baju diberi kebanyakannya adalah baju wanita. Berharap moga lebih banyak baju lelaki juga disedekahkan. Sedihnya...~~

Monday, December 29, 2014

Big food di Nong Chik Height

Sasaran utama untuk keluar malam itu sebenarnya untuk mencari beg sekolah. Adik sudah lengkap segala keperluan tetapi Kak Meen yang asyik 'merayap' melihat banyak instagram akhirnya terpikat dengan bag disalah satu kedai online melalui instagram yang dilayarinya. Kedudukan kedai di Jalan Dhoby. Kalau dulu jalan inilah yang terkenal tempat lelaki berwatak perempuan, tetapi kini tidak lagi. Jalan sudah tidak suram lagi lantaran kedudukan yang agak sibuk apa lagi bila hujung minggu yang bertambah sesak dengan adanya Bazar Karat. Selesai membeli itulah kami beredar keluar untuk mencari makan yang agak jauh sikit dari bandar. Menyusur keluar menuju jalan Kolam Air kami akhirnya berhenti di Nong Chik Height gara-gara anak-anak terlihat banner butik Sincerely By Us yang akan dibuka di JB tidak lama lagi. Bergambar di bannernya kemudian hashtag kembali ke instagramnya membolehkan kita diberi hadiah shawl. Itu yang anak-anak suka. Kedudukan banner yang bersebelahan dengan Big Food yang agak dikenali itu membuat kami melabuhkan punggung di sini akhirnya.


Besar - Gelas dan pinggan yang digunakan besar-besar belaka. Sementara menanti hidangan dipesan adik dan Kak Meen membeli dua kek ini. Tetapi akhirnya boleh dia kata kek mama buat siang tadi lagi sedap. Aku senyum saja.
Menjadi pilihan juga - Atas lasagna pilihan Kak Meen tidak habis bungkus bawa balik sebab sudah berkongsi spagheti dengan adik sebelum lasagnanya tiba. Udang butter untuk semua. 
Pilihan adik dan papa - Adik makan spaghetti yang lazat tetapi tidak terhabis sebab portion yang banyak lalu dikongsi bersama Kak Meen. Papa punya mutton apa entah. Licin papa makan. Sebenarnya walau apa pun pilihan masing-masing kami biasanya akan merasa juga sesudu-dua apa pun hidangan yang dipesan.
Mama & Mak Zah - Kami sudah tahu hidangan disini banyak-banyak belaka oleh itu kedua-dua ini kami kongsi bersama. Nasi goreng tomyam dan ayam parmesan. Itu pun masih tidak terhabis sehingga dan boleh diagih sikit pada adik dan Kak Meen juga.
Satu yang perlu diingat makan di sini kena membayar menggunakan duit cash. Sedikit sukar sistem kredit kad tidak disediakan.  Seandainya mahu makan beramai-ramai sila pastikan duit cash disediakan.Tetapi yang pasti buat kami sekeluarga hidangannya boleh diterima kami. Kepada yang berkeinginan sila ke No. 2, Jalan Kolam Air, Nong Chik Height, JB.

~~ Benar-benar ujian Allah tidak terjangkau dek akal kita. Kalau kita diuji dengan musibah banjir yang hebat, Indonesia pula diuji dengan kehilangan pewasat Air-Asia QZ8501 semalam. Tunduk dan sedar betapa kerdilnya kita.~~


Saturday, December 27, 2014

Festival Kraft Johor 2014

Mengunjungi Festival Kraft yang diadakan di hadapan dataran Plaza Angsana, aku lihat rata-rata mereka yang terlibat adalah saudara-saudara kita dari pantai timur. Satu kebanggaan yang tidak boleh dinafikan kebolehan berniaga bangsaku yang berasal dari pantai timur timur jelas di mata kita semua. Kelembutan bahasa dan dialek yang digunakan jelas terpancar asal-usul mereka bukan dari Johor walaupun festival diadakan di Johor Bahru. Festival akan berlangsung sehingga 31-12-2014 ini.


Pentas utama - Berbagai program diadakan tetapi pentas ini kurang menarik minat kami sekeluarga kerana kami lebih suka mengunjungi booth-booth yang ada menjual beraneka jenis barangan kraft.
Tradisi  - Dapur yang digunakan oleh pakcik pembuat peralatan parang, pisau, sabit dan sebagainya. Masih menggunakan cara lama.
Lembut tutur katanya - Lihat pakcik yang berasal dari Kelantan ini. Beliaulah tuan empunya booth ini. Cantik, unik dan menarik semua hasil tangannya. Semuanya dibuat secara tradisi.
Dalam kemelut saudara-mara dan sahabat-handai yang kini sedang bergelut dengan ujian dari Allah di pantai timur, mereka yang kini berada di JB tetap berhati walang memikirkan keadaan rumah dan keluarga yang ditinggalkan. Hanya doa dan harapan yang tinggi moga semua kembali pulih dengan segera.

 ~~ Belum ada keperluan buat aku membeli sebilah pisau dapur yang berharga RM75/-.~~

 

Friday, December 26, 2014

Hanya seminit

Begitu cepat masa berlalu. Detik 26-12-2004 sudah 10 tahun kita tinggalkan yang mana waktu itu Tsunami meratah beratus-ratus ribu nyawa dalam sekelip mata. Hari ini 26-12-2014 kita melihat situasi saudara dan sahabat kita yang sedang diuji Allah dengan keadaan banjir begitu dahsyat sekali. Bersyukur kerana tidak lagi merasai situasi berada di tempat-tempat pemindahan banjir. Tidak pernah merasa betapa sedihnya melihat rumah yang ranap akibat rempuhan banjir yang melanda, kehilangan keluarga yang terkorban, peritnya menanti bekalan makanan dan bantuan ketika di tempat pemindahan. 

Sambil menadah tangan bersama berdoa peruntukkan sedikit masa yang kita ada ini moga Allah mendengar doa-doa kita dalam menghadapi ujian dan dugaan dariNya.

Dari WhatsApp keluarga - Detk-detik berlalu yang ditinggalkan pasti lebih bermanfaat andai inilah yang dijadikan amalan

~~ Izrael yang menjenguk kita 70 kali sehari juga tidak pernah menangguh walau seminit andai perintah Allah tiba untuk membawa kita ke alam yang satu lagi. ~~ 

 

Thursday, December 25, 2014

Mohon doa buat YAM Tunku Jalil

Kasih sayang seorang bapa tidak ada batasnya. Melihat gambar ini buat hati aku sayu dan terharu. Begitulah kasih seorang bapa. Biarpun tinggi mana darjatnya baginda Sultan Johor tetap tidak mahu ketinggalan untuk menziarahi anakanda baginda yang sedang diuji. Tidak dapat aku bayangkan bagaimanalah perasaan sedihnya Permaisuri Zarith Sofia, sedangkan aku yang sekadar rakyat biasa pun boleh mengalir airmata apalagi bonda yang melahirkannya.

Sayu - Luruh airmata aku hanya kerana melihat gambar ini. Ini sekembalinya YAM Tunku dari China.
Kami seluruh rakyat Johor menadah tangan berdoa moga Allah memberikan kesembuhan buat YAM Tunku Jalil. Kami juga berdoa moga Tunku Panglima Johor ini diberikan kekuatan dan kesabaran yang tinggi dalam menghadapi ujian Allah ini. Melalui blog ini aku memohon doa dari semua yang membaca entri ini. Terima kasih.

~~ Kasih seorang bapa akan dilihat dari tindakannya walau tidak ada suara yang terluah. Sedih.~~
 

Wednesday, December 24, 2014

Johorean - Pengantin, zapin & telur pindang

 ~~ Penutup majlis perkahwinan untuk tahun 2014. Tiada lagi kad jemputan.~~ 



Tuesday, December 23, 2014

Abang pizza makan pizza

Aku bekerja tidak sampai setengah hari semalam. Duduk di pejabat pun hati tidak tenang memikirkan Kak Meen. Telefon sudah dibawa mohon dia memanggil balik tetapi bagaikan menanti buah yang tidak gugur dia tidak memanggil. Mahu menelefonnya bimbang cikgu tahu dia membawa telefon bimbit ke sekolah. Akhirnya aku mengalah keluar pejabat sebaik selesai memberi sepatah dua kata kepada staff di pejabat. Tiba di rumah fahamlah aku mengapa dia kurang gembira walau dalam hatiku sudah lebih dari besyukur. Membandingkan keputusan dengan Kak Reen pastilah tidak boleh sebab PMR dan PT3 adalah dua sistem yang jauh berbeza. Aku tahu kalau boleh dia mahu A semuanya tetapi kini ada 4B tercatat. Tambah mendukacitakan teman rapatnya mungkin tidak akan dapat duduk di kelas aliran science sepertinya. Apa pun Kak Meen masih tersenarai pelajar terbaik di sekolah walau tahun ini peratus di sekolahnya menurun. Aku tetap bersyukur walau apa pun juga keputusan yang diperolehi. Sujud syukurku  padamu Ya Allah!


Pilihan Kak Meen - Mama sduah letih oleh itu tiba saja rumah terus telefon Pizza Hut untuk menghantar. Beli yang saiz besar sebab semuanya sudah kelaparan. Tetapi sebenarnya tidak habis.
Pilihan adik - Sama size keduanya juga besar. Nasib baik bila malam ada anak-anak yang datang mengaji untuk dikongsi bersama. Anak-anak mengaji aku makan dengan nasi tenghari yang Mak Zah masak dijadikan nasi goreng.
Deli Wing Chickens - Makan sama-sama. Sebenarnya ada juga mushroom soup sebab semalam tengahari bandar JB disirami hujan yang sangat lebat. Menikmati soup dulu sehingga habis baru teringat untuk ambil gambar.
Kasihan dengan anak remaja yang meredah hujan lebat untuk menghantar hidangan di atas. Aku membayangkan kalaulah dia anak aku. Aku suruh dia masuk terus ke verandah rumah dan membuka baju hujannya lalu mempersilakannya duduk. Mula-mula dia enggan tetapi aku berkata "Jangan takut, makcik dengan anak makcik aje. Tunggulah bagi hujan reda sikit." Sementara remaja itu duduk aku ke dapur menyediakan air nescafe panas. Bekas biskut yang biasa anak-anak mengaji makan aku suakan juga. Memandangkan tidak ada yang lain anak-anak berkata "Bagi ajelah abang tu pizza ini mama". Satu potong pizza dan chicken juga kami beri padanya. "Abang pizza makan pizza hihi...." Boleh pula adik gelihati. Bila hujan agak reda baru remaja itu keluar dengan sopan. Moga dia selamat sampai.

~~ Penetapan senarai harga ubat-ubatan yang mahal akan dikeluarkan selaras dengan pelaksanaan GST. Sebagai rakyat marhaen kita sekadar mampu melihat, menggangguk dan menunggu keberkesanannya.~~

 

Monday, December 22, 2014

JOM JOIN SEGMEN AZIE - ambil iktibarnya

Syarat diberikan salin cerita diberikan bukan tajuk, lalu aku tukarkanlah tajuk menjadi seperti di atas. Cerita yang diberikan oleh AZIE adalah seperti berikut: -


Tersebut kisah tentera Iskandar Zulkarnain melalui sebuah terowong yang tersangat panjang dan gelap. Terpijak oleh mereka batu-batu yang menyakitkan kaki. Ada orang berkata sebenarnya terowong itu dipenuhi oleh emas, intan dan berlian. Ada yang percaya, tetapi ada yang lansung tidak percaya.

Yang percaya mula mengutip apa sahaja yang tercapai oleh tangan sehingga penuh kedua-dua tangan mereka. Ada yang membuka baju masing-masing dan membuat bunjut sehingga penuh bunjut, dimasukkan pula ke dalam mulut-mulut mereka. Yang tidak percaya tidak mengutip apa-apa berlalu begitu saja.

Bila hampir sampai ke hujung terowong, cahaya samar-samar yang menyuluh hujung jalan itu sehingga ternampaklah oleh mereka betullah di dalam terowong itu dipenuhi intan berlian. Ada yang meminta kebenaran dari Iskandar Zulkarnain untuk berpatah semula untuk mengutip segala khazanah berharga tersebut tetapi tidak dibenarkan. Semuanya menyesal, menyesal yang amat sangat...






Yang paling menyesal adalah mereka yang lansung tidak percaya. Yang percaya tapi hanya mengutip sedikit pun menyesal. Yang mengutip banyak sehingga penuh baju dan mulut mereka pun menyesal.." kenapa aku tak pinjam baju kengkawan, boleh isi banyak lagi. Dan yang paling menyesal juga adalah mereka yang mengutipnya tetapi dek penat oleh perjalanan yang jauh itu lalu dibuang kembali apa yang dikutip itu.

Gambar yang Azie google - Kalau aku dapat ini semua kaya aku hihi....

IKTIBAR YANG INGIN DI ULAS DARI ADMIN TITISAN NURANI
Begitulah gambaran bagaimana manusia yang mempunyai sifat tamak-haloba, tidak percaya, menyesal bila masa sudah berlalu, tidak mudah bersyukur apa yang ada bahkan tidak kurang juga manusia sering lupa apa yang dalam sakit yang Allah berikan ada hikmah yang tidak kita ketahui ada manisnya. Bayangkan dalam kesakitan tapak kaki menginjak batu-batu sebaliknya ianya adalah rezeki mewah yang tidak ada tolok bandingnya.

Begitu pula sudah diberi peluang masih tidak mahu dipergunakan dengan sebaik-baiknya. Usia dan kegagahan yang ada langsung tidak dimanfaatkan. Mengapa tidak saja diambil sedikit sebagai menghargai nasihat yang diberi dari orang yang mengatakan ianya adalah batu berharga. Sekurang-kurangnya seandainya batu itu tidak berharga pun masih boleh digunakan sebagai menutup mana-mana lubang perjalanan yang mereka lalui. Tidak guna menyesal bila nasi sudah menjadi bubur.  Ironi dalam kehidupan kita pula percayalah pada Rukun Iman yang enam, amalkan rukun Islam yang lima moga tidak ada penyesalan di akhirnya kelak. Carilah bekalan untuk kehidupan hari ini dan di sana kelak. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Sedihnya kepada mereka yang sudah memperolehi banyak tetapi masih tidak berpuas hati. Sifat tamak-haloba manusia sampai bila pun tidak akan berakhir. Bersujud syukur tidak terlintas di minda sebaliknya masih menyesali kalau boleh mahu memiliki lebih lagi, lagi dan lagi. Begitulah banyak mana pun kekayaan yang kita ada, kepuasan memang tidak pernah ada. Bagaikan manusia yang sentiasa lapar dan dahaga. Bila makan terasa kenyang, selepas 5-6 jam kemudian pasti akan lapar dan dahaga semula. Mengapa yang berpuasa boleh bertahan? Itulah ajaibnya iman dalam benteng kehidupan. Bersama kita renungkan kisah tersebut untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita.

~~Marilah meriahkan segmen kawan kita Azie ini. 
Klik saja di sini sebab syarat diberi terlalulah mudah.~~ 


Mengisi ruang waktu

Hari Sabtu dan Ahad sejak cuti sekolah peneman aku beriadah selepas subuh bertambah lagi seorang. Tetapi selepas beriadah kena terus singgah di pasar pagi bagi membolehkannya untuk mencuci mata. Semalam tidak ada pula hajat yang dikehendaki olehnya. Adik teringin membeli nasi lemak Pakcik Rani tetapi mungkin sebab musim orang kenduri kahwin, Pakcik itu pun tidak ada berjual. Mama saja yang sempat membeli serai dan nenas. Semalam mama masak nasi serai selepas mengidam melihat resepi yang dipaparkan oleh auntie Yana Shaifu.

Sabtu dan Ahad - Semalam adik hanya menukar seluar saja tetapi baju masih berbaju tidurnya lagi. Sementara menanti mama berlari-anak, adik bermain di sini. Mama berkawan dengan nyonya-nyonya dan amoi-amoi yang ada. Sebab yang sama bangsa dengan mama sangat kurang kelihatan.
Balik beriadah - Seperti biasa balik rumah tidak terus masuk. Adik membantu mama bawa masuk serai dan nenas yang mama beli. Sementera itu mama lalai di luar rumah mencari apa yang patut untuk di tuai. Pucuk bebuas dan ulam raja menjadi sasaran kali ini.

~~ Sungguh benar dunia Islam sentiasa diduga. Moga ulama' Yusof Qardawi terus mendapat perlindungan dari Allah dan kuat menggalas fitnah Yahudi yang kini sedang melanda. Bersama kita mendoakan keselamatan beliau.~~


Friday, December 19, 2014

Bila berguru dengan ustaz/ustazah google

Kuliah yang kami hadiri bersama selepas maghrib dibawa oleh seorang ustaz arab. Jarang kita melihat mereka yang lahir dan membesarnya di tanah Arab tapi dengan sedikit masa boleh menguasai salah satu dialek bahasa di negara kita, Malaysia. Ustaz Sheikh Mohamed Abdel Aziz Mohamad Ghonim itulah ustaz yang kami undang ke masjid kami. Biarpun menggunakan dialek negeri Kelantan kami semua tidak berganjak. Anak dara aku saja agak lambat sikit tangkap sebab ada perkataan yang tidak dapat ditangkap maksudnya.

Khusyuk - Sheikh Mohamed Abdel Aziz Mohamad Ghonim
Membuka banyak mata hati dan minda kita apabila dikatakan zaman serba canggih ini manusia kian ego. Tidak mahu belajar atau berguru dengan pala ulama' dan guru-guru yang alim. Menganggap semua ilmu boleh dicari dan diperolehi di hujung jari. Itulah timbulnya sheikh-sheikh atau ustaz-ustazah google. Google menjadi rujukan ilmu yang tidak diketahui. 

Benar kalau mahu mencari resepi apa juga seluruh pelusuk dunia boleh dipelajari dengan menggoogle. Mencari cara belajar cemerlang, mencari ubat-ubatan sesuai dengan penyakit jika bertepatan akan diperolehi dengan menggoogle. Tetapi bagaimana mahu berguru dengan google bab hukum-hakam seperti membunyikan huruf-huruf ikhfa',  izhar, iklab dan sebagainya. Itu baru bab belajar tajwid. Hadith pula semakin berleluasa quotes yang direkacipta kemudian dikatakan ianya sabda rasulullah atau riwayat abu hurairah dan sebagainya. Lebih dangkal yang menggoogle pula mengikut lalu dari sinilah  kian berkembang hadith palsu dan tidak sohih. Hadith-hadith yang maudhu' sekarang terlalu banyak berlegar di laman-laman web. Sudah bagaikan rojak apabila yang membaca dan mengambilnya tidak dapat membezakan antara yang mana benar dan yang mana palsu - bercampur-aduk akibat tidak berguru dengan orang yang sepatutnya.

Itulah sebabnya mengapa pembelajaran mestilah berguru. Sebagaimana imam As-Syafie berjalan merantau ratusan batu semata-mata mahu belajar walhal beliau bukan calang-calang orang. Sekali belajar semuanya sudah tercatat di dalam mindanya. Mengapa kita yang jika mahu dibandingkan dengan beliau tidak ada setitik perbandingan ilmunya masih enggan belajar. Sesunguhnya bila kian hampir ke hujung dunia akhir zaman, para ulama' akan kian terpinggir dan menjadi sasaran fitnah. Moga kita tidak termasuk golongan yang begitu.

~~ Belajarlah selagi Allah beri kita peluang untuk bernafas. Sekurang-kurangnya bila sudah tidak ada upaya tidak adalah penyesalan di dalam diri. Khas untuk diri dan keluargaku juga.~~


Thursday, December 18, 2014

Pakai sajalah baju yang sama setiap hari

Sementara cuti sekolah yang panjang masih bersisa ini dan apabila Mak Zah bercuti hampir dua minggu. Anak dara kenalah membantu mama mengambil alih kerja-kerja Mak Zah sementara cuti sekolah. Pada awalnya setiap pagi aku akan menyediakan sarapan dan hidangan makan tengahari. Masuk hari ke tiga dek naluri anak perempuan, kasihan pada mama mungkin itu yang dikatakan, "Mama tak payahlah masak-masak. Biar Meen buat sendiri".

Kain-baju pun terpikul sepenuhnya untuk dibuat apa yang perlu. Masuk ke dalam mesin mama tolong buat setiap pagi sebelum masuk ke bilik air. Selepas mesin berhenti berpusing, menyidai, melipat, menggosok dan susun di dalam almari kenalah disempurnakan. Tetapi ada satu juga sifat yang menurun dari mamanya. Malas melipat kain-baju. Setiap hari pasti akan ada satu-dua helai baki yang tidak selesai. Akibatnya mama setiap hari sejak ini kena memakai baju tidur yang sama. Papa pun pergi masjid memakai baju Melayu yang sama. Jimat masa untuk melipat katanya. Baju tidur mama dan baju Melayu papa yang sudah kering dibawa masuk dengan penyangkutnya sekali gantung di dalam bilik mama. Selepas mandi petang mama dan papa kenalah akur pakai semula baju yang digantung itu. Kalau rasa mahu tukar selera mama kenalah lipat sendiri.

~~ Anak-anak yang mengaji pun tahu piala Suzuki AFF. Malam ini mesti masing-masing bercerita tentang kekalahan yang dialami Harimau Malaya. ~~

Wednesday, December 17, 2014

Bunga di halaman rumah


~~ Sudah biasa panggil bunga raya rasa lebih mudah berbanding hibiscus.~~ 


Tuesday, December 16, 2014

Nursery Herba Pak Ali

Sekali datang dan tahu khasiatnya pasti kita akan teruja untuk datang kembali ke sini. Lokasi yang terasa ala-ala berada di kampung menambah rasa seronok untuk membawa kaki terus melangkah dari satu kawasan ke satu kawasan yang ada berbagai jenis tumbuhan ciptaan Allah. Apa lagi apabila diterangkan kegunaan disebalik pokok tersebut membuat kami tambah teruja. Namun keluasan tanah yang ada di rumah membantutkan niat mahu menanamnya.

Menarik - Tempat pembakaran daun-daun yang berguguran. Nun di sudut satu lagi kami lihat ada tasik. Cantik sekali. Pokok mahkota dewa yang masih kecil itu pun sudah mampu menghasilkan buah (lihat gambar ke dua sudut kanan).
Pokok mangga - Pokok ini aku rasa sudah berpuluh tahun jika melihat dari pohonnya yang nun tinggi dengan akar-akar yang timbul sudah sebesar peha kita. Di bawah pokok inilah pondok didirikan buat Pak Ali berurusan.
Herba - Inilah sebahagian deretan herba yang ada di pondok tersebut.
Ilmu baru - Kalau aku baru tahu gambar di atas adalah pokok telinga kera anak dara aku pula baru tahu pokok di bawah ini adalah pokok jambu bol yang mereka makan bila balik kampung. Telinga kera dikatakan boleh dijadikan herba sebagai mencuci buah pinggang. Ambil 7 helai daunnya, cuci,  blend dan minum. Itu yang dikatakan makcik (isteri Pak Ali). Sebelum ini aku sangkakan ini adalah pokok bunga. Anak dara aku pula boleh kata daun pokok jambu bol itu pokok daun jerawat. Mengekek-ngekek gelihati mereka dua beradik.
Anak mama - Sebenarnya kami singgah di nursery ini selepas balik dari butik CalaQisya membeli apa yang dihajatkan oleh kakak Reen yang kini nun tinggal di Terengganu.
 
Sementara cuti sekolah ini ambil peluang untuk memperkenalkan anak-anak dengan pelbagai jenis pokok herba. Kelak tidaklah ianya menjadi seperti mama dan papa mereka banyak tidak tahu tentang pokok-pokok herba yang kebanyakannya sangat bermanfaat. 

~~ Manusia dan tumbuhan perlu beriringan. Itulah perlunya menjaga kebersihan alam demi kepentingan bersama.~~




Monday, December 15, 2014

Perubatan alternatif batu karang

Maaf lewat bersiaran hari ini. Kepada teman yang telah membaca entri aku pasti masih ingat bagaimana kami mencuba alternatif lain bagi mengelakkan pembedahan batu karang yang ada pada hubby. Tempoh dua minggu yang diberikan oleh pihak doktor sungguh memberi kami peluang untuk mencuba alternatif kami. Langkah yang kami jalankan adalah dengan memberi hubby minum satu liter jus epal hijau (aku blend 3 biji epal + air) setiap hari sehingga hari ke lima. Malam pula selepas makan minum segelas jus lobak putih. Masuk hari ke enam, pagi minum lagi satu liter jus epal dan selepas pukul 1:30 tenghari hubby tidak boleh makan apa-apa. Balik dari kerja lebih kurang jam 6:00 petang itu aku beri hubby minum125ml air campur dengan sedikit (5ml) garam epsom. Jam 8:00 malam ulang lagi sekali dengan jumlah yang sama. Pukul 9:30 malam aku bancuhkan jus lemon 125ml campur dengan 125ml olive oil untuk diminum. Jam 10:30 setelah habiskan jus lemon dan olive oil tadi terus tidur. Kasihan aku tahu hubby lapar pada hari itu. Maklum dari tengahari sehingga esok paginya berpuasa. Pagi esoknya baru makan yang aku hidangkan dengan siakap stim limau, telur dadar dan nasi putih. Itu saja.

Disamping itu ingin aku katakan bahawa kami juga mengamalkan ini serentak. Semua air yang aku gunakan untuk blend epal hijau dan lobak putih dan air yang dicampur dalam garam epsom adalah air zam-zam yang telah aku bacakan ayat-ayat dari suroh Al-Anbiya' - ayat 74-81 (dibaca waktu lepas solat maghrib sebanyak 3 kali), suroh Al-Qasas - ayat 61-75 (dibaca selepas solat subuh sebanyak 3 kali) dan diikuti suroh Al-Mukminun - ayat 75-100 dan suroh Al-Ma'idah - ayat 48 hingga 55. Hubby juga kena baca sendiri sebagai amalan. Masuk 11-12-2014 adalah tarikh terakhir usaha kami. Malam sebelum esoknya berjumpa doktor tetap berpuasa manalah tahu usaha kami belum diterima Allah kerana andai memerlukan untuk dibedah sekurang-kurangnya hubby sudah bersedia.

Nombor giliran - Oleh kerana sudah ada temujanji tidak perlu lama menunggu.  Nombor ini sekadar mengikut procedure / protokal saja.
Ultrasound - Tawakkal dengan seribu pengharapan suami-isteri di dalam bilik ini sementara menanti doktor datang
Keputusan - Doa dan usaha kami diterima Allah. Inilah keputusan yang diberikan. Bukan miracle kerana sesungguhnya tiada yang lebih berkuasa melainkan Allah jua.
Kelaparan - Kami sama-sama berbuka jam 11:30 pagi. Aku sebenarnya turut tidak makan apa-apa sebab hati tidak tenang. Tetapi apabila keputusan sudah diperolehi, semangkuk mee sup ini habis aku makan hihi...
 
Balik rumah tidak ada apa yang lebih utama kami lakukan selain sujud syukur menadah tangan di atas kasih dan sayangNya kepada hambaNya yang kerdil ini. Sungguh kami kena lebih berhati-hati kerana menurut doktor sekali kena ianya mudah untuk berulang lagi. Sekarang aku 'paksa' hubby membawa bekal 4 liter air, bukan saja 3 liter. Jus epal menjadi minuman selang sehari dengan air dari daun pecah beling. Bulan depan adalah bulan kena buat pemeriksaan tahunan keseluruhan buat hubby. Aku punya giliran pada setiap bulan April. 

~~ Kesihatan yang baik perlu untuk menjalankan tanggungjawab duniawi dan ukhrawi juga. ~~




Thursday, December 11, 2014

Kasih-sayang seorang bapa

Salah satu majlis pengantin yang dapat aku raikan bersama, bahkan turut sama turun tangan membantu majlis adalah majlis keluarga yang menyewa rumah kami. Menikahkan anak ketiganya. Pernikahan berlangsung pada hari Jumaat petang dan majlis resepsi pula pada keesokkan hari Sabtunya.

Mempelai - Moga berbahagia dan mampu menggalas tanggungjawab sebagai suami dan isteri yang berlandaskan hukum-hakam agama
Apa yang membanggakan persiapan ini dijalankan dengan sederhana tetapi meriah. Dari hal-ehwal masak-memasak, barang hantaran, cenderahati tetamu dan khemah untuk tetamu semuanya dibuat secara bergotong-royong jiran dan sanak-saudara. Lihat pada singgahsana pelamin dan bilik nampak cantik sekali. Tetapi tahukah kawan-kawan bahawa yang melengkapkan keseluruhan persiapan bilik pengantin adalah si ayah yang usianya sudah melebihi 50 tahun. Beliaulah yang menjahit, memanjat dan menyusun bunga-bunga yang ada. Lebih membanggakan pilihan warna tepat sangat dengan warna pelamin yang dipilih oleh si anak. Ketika aku masuk ke bilik sebelum majlis si anak bertanya pada aku. "Cantik tak?" Mestilah aku kata "Cantik!". "Semua ni abah yang buat tau." Terharunya aku kerana tidak aku sangka abang itu pandai menjahit kemas dan cantik sekali. 

Tidak rugi andai ada kelebihan begini. Sekiranya isteri tidak mahir tetapi si suami yang mahir inilah kelebihan yang perlu dihargai. Selain berjimat mereka mendapat satu kepuasan yang sukar diucap dengan kata-kata. Menurut si pengantin selepas majlis selesai, kain tirai itu akan diminta si bapa untuk dijahitkan menjadi langsir rumahnya. Beruntunglah anak.

~~ Menjalin wayar pandailah papa anak-anak ku. ~~

Wednesday, December 10, 2014

Bila sudah terpikat


~~ Butik Calaqisyajb akan buat jualan murah pada hujung minggu ini.~~



Tuesday, December 9, 2014

Berhati-hatilah...

Prejudis? Betul ianya tidak baik, tetapi sebagai umat Muhammad SAW perlu ada perasaan berhati-hati. Kami hormati tindakan dan cara mereka. Kemampuan kesatuan mereka yang gigih melawat dari satu wad ke satu wad, menghulur cenderahati, mendendangkan lagu-lagu keagamaan mereka yang mendayu-dayu dan ramah-tamahnya semuanya jelas terpancar. Senyuman manis dan tanda simpati mereka amat dihormati. Mengapalah aku dan teman serta saudara-mara aku tidak mampu berbuat begitu? Alangkah indahnya andai aku dan saudara seagamaku yang datang berkumpulan begini lalu berkata "Mari sama-sama kita menadah tangan berdoa untuk kesembuhan anda". (Mungkin ini anganan aku belaka).

Berkumpulan - Sebaik meminta izin mereka mendendangkan 'nasyid' mereka. Kepada yang tidak memahami bahasa inggeris mungkin tidak merasa apa tetapi apabila dihayati benar-benar semuanya adalah 'nasyid' yang memuja ketuhanan mereka. Berhati-hatilah.....
Semua itu terjadi di hari Ahad lepas ketika aku menziarahi adik iparku di Hospital Selayang. Wad yang hanya menempatkan adik ipar dan seorang lagi warga tua berbangsa Sikh didendangkan dengan 'nasyid' mereka. Anak buah aku yang belum matang/baligh diajak untuk 'join' sama tapi segera dengan baik tidak dibenarkan oleh ibunya (adik aku). Anak-anak melihat penampilan mereka yang baik, cantik dan ramah-mesra mudah benar mahu mengikut. Apa lagi kertas alunan 'nasyid'nya ada disediakan. Berhati-hatilah.

Pemberian - Ini bukan pemberian mereka tetapi ini apa yang aku perolehi dari pelanggan syarikat. Lihatlah coklat dibungkus indah dan diagih bersempena perayaan mereka tidak lama lagi. Coklat aku ambil tapi 'nasyid' mereka tidaklah aku hiraukan. Aku boleh berbuat begitu kerana usia tuaku, bagaimana dengan anak-anak 7-8 tahun? Anggapan anak-anak mungkin ianya sekadar lagu-lagu yang indah bait-baitnya. Berhati-hatilah....
Sebagai ibu-bapa-penjaga berhati-hati dalam mendidik-lepas anak-anak. Biarlah kita dikatakan sebagai mengongkong sebab ada ketikanya pengongkongan itu perlu demi mendidik keimanan anak-anak yang masih 'putik' dalam memahami kerenah dunia licik hari ini. Jarum halus mereka amat mudah menyusup rapi tapi hakikatnya merodok dan akan memusnahkan keimanan secara tidak disedari.

~~ Cantik-mesra-habuan-lagi dan lagi mampu menjadi gula-gula yang merobek dan mencalar keimanan. Berhati-hatilah..~~


Monday, December 8, 2014

Belalai Gajah dan Senduduk Putih

Sejak mengenali nursery herba yang ada berdekatan semakin kerap kami berminat untuk mengetahui kebaikan tanaman herba untuk kegunaan seharian. Pak Ali dan isterinya sangat berbudi-bahasa dan tidak jemu memberikan penerangan setiap satu pokok ke satu pokok. Sedikit apa yang kami timba ilmu darinya.
Dari google - Pokok belalai gajah

 Daun belalai gajah dikatakan mampu membantu mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti buah pinggang, kanser, kolesterol, tekanan darah tinggi. prostat, gout, diabetes, melancarkan pengaliran darah, toksin dalam badan serta kelesuan. Cara menyediakan amat mudah hanya blend daun, campur sedikit halia kalau mahu dan perahkan lemon sebagai penyedap rasa dan bau. Sebaik siap terus minum.
Dalam paket - Selain menjual pokok-pokok yang sedia ada untuk ditanam, pihak nursery herba juga ada menjual daun-daun yang telah dikeringkan. Tanda 2X itu bermaksud ambil dua cubitan untuk direndam dalam air panas. Jika menggunakan daun yang dipetik terus dari pokok perlu direbus.
Dari google - Pokok senduduk putih
 Pokok senduduk putih pula daunnya yang dilumatkan dikatakan boleh menghentikan pendarahan luka. Selain itu air dari rebusan daunnya boleh membantu untuk menghindarkan dari darah tinggi, diabetic dan sakit jantung. Untuk wanita yang mengalami keputihan senduduk putih ini juga boleh membantu dengan meminum air rebusan daunnya. Teringat dulu-dulu zaman aku kanak-kanak buah senduduk tidak kiralah senduduk putih atau ungu bila telah pecah kelopaknya kami akan makan. Manis dan akan terasa digigi biji-biji kecik seperti makan buah tin. Hingga biru-birat bibir dan lidah gara-gara makan buah senduduk ini. Itu semua menjadi memori indah buat aku. Anak sekarang diminta untuk merasa pun tidak mahu. Apa yang aku ingat juga dulu-dulu dikatakan senduduk putih ini bunga kegemaran orang bunian tinggal. Tetapi kalau dilihat di belakang rumah bapak banyak senduduk putih tumbuh liar. Cantik bila berbunga serentak.

Petua Pak Ali apabila mahu mengambil teh herba yang dibeli darinya rendam di dalam air panas daun dari cubitan yang pertama saja. Kalau dari cubitan pertama itu hanya mendapat 3-4 helai maka jumlah itulah saja yang digunakan. Tapi kalau mendapat lebih, jumlah itu juga yang harus digunakan.Oleh itu jika dua kali bermakna dua kali cubitan - berapa yang dapat itulah jumlahnya.

~~ Herba dan petua yang diberi bagaikan berjalan seiring.~~


Friday, December 5, 2014

Doa terhindar dari kemudaratan

Rasulullah s.a.w. mengajarkan kepada umatnya satu doa yang jika dibaca tiga kali di waktu pagi dan tiga kali di waktu petang maka akan terhindarlah kepada yang membacanya daripada segala kemudaratan disepanjang hari tersebut. Doa yang dimaksudkan di atas adalah seperti berikut: -

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh2p_gb2JFHj25QI18lSuaugjXfbN2Ahn8TUgtGL_5NP2NT10zWwT5TGwufT3O3e7zPbozQRbdNYT9rAvz1f4Titu54vikUyR3vfjcHtJHZLJkPmcL5aPFbsX4RAVHD9bpGlBqNL7352WNy/s1600/doa+pengelak+sihir.jpg
Bacalah - Jadikan doa ini sebagai zikir setiap kali ada masa senggang kerana ia juga dapat menghindarkan diri dari gangguan sihir.

~~ Dunia bukan milik kita, betapa gagah pun seseorang itu, ajal tetap akan datang jua.~~

* Aku tertinggal handset hari ini, manakala semua gambar untuk entri berada di dalam handset itu. Susahnya:(