Showing posts with label Bahasa. Show all posts
Showing posts with label Bahasa. Show all posts

Friday, December 19, 2014

Bila berguru dengan ustaz/ustazah google

Kuliah yang kami hadiri bersama selepas maghrib dibawa oleh seorang ustaz arab. Jarang kita melihat mereka yang lahir dan membesarnya di tanah Arab tapi dengan sedikit masa boleh menguasai salah satu dialek bahasa di negara kita, Malaysia. Ustaz Sheikh Mohamed Abdel Aziz Mohamad Ghonim itulah ustaz yang kami undang ke masjid kami. Biarpun menggunakan dialek negeri Kelantan kami semua tidak berganjak. Anak dara aku saja agak lambat sikit tangkap sebab ada perkataan yang tidak dapat ditangkap maksudnya.

Khusyuk - Sheikh Mohamed Abdel Aziz Mohamad Ghonim
Membuka banyak mata hati dan minda kita apabila dikatakan zaman serba canggih ini manusia kian ego. Tidak mahu belajar atau berguru dengan pala ulama' dan guru-guru yang alim. Menganggap semua ilmu boleh dicari dan diperolehi di hujung jari. Itulah timbulnya sheikh-sheikh atau ustaz-ustazah google. Google menjadi rujukan ilmu yang tidak diketahui. 

Benar kalau mahu mencari resepi apa juga seluruh pelusuk dunia boleh dipelajari dengan menggoogle. Mencari cara belajar cemerlang, mencari ubat-ubatan sesuai dengan penyakit jika bertepatan akan diperolehi dengan menggoogle. Tetapi bagaimana mahu berguru dengan google bab hukum-hakam seperti membunyikan huruf-huruf ikhfa',  izhar, iklab dan sebagainya. Itu baru bab belajar tajwid. Hadith pula semakin berleluasa quotes yang direkacipta kemudian dikatakan ianya sabda rasulullah atau riwayat abu hurairah dan sebagainya. Lebih dangkal yang menggoogle pula mengikut lalu dari sinilah  kian berkembang hadith palsu dan tidak sohih. Hadith-hadith yang maudhu' sekarang terlalu banyak berlegar di laman-laman web. Sudah bagaikan rojak apabila yang membaca dan mengambilnya tidak dapat membezakan antara yang mana benar dan yang mana palsu - bercampur-aduk akibat tidak berguru dengan orang yang sepatutnya.

Itulah sebabnya mengapa pembelajaran mestilah berguru. Sebagaimana imam As-Syafie berjalan merantau ratusan batu semata-mata mahu belajar walhal beliau bukan calang-calang orang. Sekali belajar semuanya sudah tercatat di dalam mindanya. Mengapa kita yang jika mahu dibandingkan dengan beliau tidak ada setitik perbandingan ilmunya masih enggan belajar. Sesunguhnya bila kian hampir ke hujung dunia akhir zaman, para ulama' akan kian terpinggir dan menjadi sasaran fitnah. Moga kita tidak termasuk golongan yang begitu.

~~ Belajarlah selagi Allah beri kita peluang untuk bernafas. Sekurang-kurangnya bila sudah tidak ada upaya tidak adalah penyesalan di dalam diri. Khas untuk diri dan keluargaku juga.~~


Friday, October 10, 2014

Jawa itu adalah bangsa dan bahasa

Sekadar menitipkan apa yang ada di dalam WhatsApp group keluarga kami. Bolehlah membaca sambil senyum-senyum tetapi jangan sampai berdekah-dekah pula. Ketika menghayati tiap patah perkatan yang dittitipkan benar-benar membuat aku tersenyum sendirian. Selamat membaca:-

Hai jawa..
bangsa yg berwibawa
kerja lebih, sedikit ketawa
biar tidak bergaya, tapi lawa
kebun banyak, rumah macam singgahsana
rancang sikit tapi pasti terlaksana
kerja berat tiada hal punya
sembang lebih tapi kerja jalan
pantang orang ganggu nak diparangnya
kahwin banyak sebab mahu besarkan ahli keluarga
ramai anak bukti memang power

Jawa juga pandai dan ahli agama
tak kurang juga yang jadi ketua
aku jawa kau pun jawa
jangan selalu putus asa
biar kita cakap jawa orang tak suka
cakap jawa itu sekadar bahasa
janji kita berbudi bahasa
jawa Bandung halus budi pekerti
jawa barat pantang dikasari
jawa timur rajin cari rezeki
jawa tengah suka merantau seantero negeri

Jawa oh jawa
jawa kan cuma bangsa
yang penting memperjuangkan agama
bangsa-bangsa di dunia
agar kita saling sama mengenal
itu yang termaktub dalam kitabNya
"Tidaklah aku ciptakan kamu dengan sia-sia."
Inilah coretan anak jawa

Jika membaca titipan demi titipan WhatsApp Group keluarga kami bermacam-macam isu ada. Sehingga soalan-soalan buat anak-anak menjawab peperiksaan menggunakan bahasa Jawa pun ada. Anak-anak manalah faham, masing-masing semua akan geleng kepala. Menyebut perkataan (pronounce) pun tidak tepat inikan pula untuk memahaminya.

~~ Bukan hasil ciptaan aku tapi sekadar tatapan dan pembacaan bersama.~~


Thursday, August 21, 2014

Tukarkan 'gila' kepada 'jiddan'

Mendengar anak-anak apabila mahu menyatakan sesuatu yang lebih-lebih akan ditambah hujungnya dengan perkataan gila. Panas gila, geram gila, sedap gila, benci gila, cantik gila dan macam-macam lagi gila. Hal ini sebenarnya buat aku dan papa anak-anak aku kurang gemar. Entah bagaimana suatu hari bila mama/papa tegur tiba-tiba Kak Meen mencadangkan "OK... Mulai hari ini kita tukarlah perkataan gila ke jiddan". Kak Reen dan Kak Meen memang belajar di kelas aliran agama (KAA) sebab itu mereka bolehlah faham sedikit-sebanyak bahasa Arab.
Pink - Jangan kata cantik gila sebaliknya tukar kepada cantik jiddan (sekadar hiasan semata-mata. Bunga di halaman rumahku)
Merah+kuning - Sama juga dengan yang ini jangan kata besar gila, sebaliknya tukar kepada besar jiddan. (juga bunga raya di halaman rumahku sebagai hiasan entri semata-mata)
Sejak hari itu dalam keluarga kami tidak ada lagi penyalahgunaan perkataan gila. Mana mungkin kalau yang cantik pun dikatakan cantik gila. Kalau pandai pun dikatakan pandai gila. Kepada anak-anak yang mahu ikut cara makcik sekeluarga marilah tukar perkataan gila itu kepada jiddan. Sedap didengar telinga.

~~ Anggapan setiap kita tidak sama. Ada yang mendengar perkataan kasar adalah perkara biasa. Ada juga yang terasa bagaikan terlalu kesat di pendengaran telinga. Terpulanglah.~~

Tuesday, June 24, 2014

Walaupun jauh masih mampu belajar bersyair

Keluar dari bilik air telefon berdering tetapi tidak sempat disambut sudah putus. Tahulah siapa pemanggilnya kerana biasa kalau begitu siapa lagi kalau bukan anak dara sendiri. Sayup kedengaran di hujung talian bertanya tentang alunan bersyair.

Malam - Catatan syair yang dihantar oleh Kak Reen (Nurienne Hot tu maknaya dia guna line hotlink - dia ada dua line satu lagi celcom - bukan hot apa pun hihi...) . Adik baru balik dari kelas tuisyen pun kehairanan mendengar mama sedang bersyair di dalam bilik. Syyy.... cepat memberitahu supaya senyap hingga papa pula sengih-sengih hairan mengapa mama buat rakaman bersyair dan untuk tujuan apa.
Syair - Inilah rangkap-rangkap syair tersebut. Lecturernya memberi guna versi sebelum mama lahir lagi. Huruf 'e' masih ada tanduk di atasnya. Kak Reen diminta pihak pentadbiran untuk bersyair. Ada majlis katanya tetapi lama sudah dia tidak bersyair walau dulu pernah memasuki pertandingan  (belajar dengan mama juga). Jadi panggilan kali ini kerana mahu mengembalikan ingatan lama. Itu yang malam-malam mama bersyiar. Papa dan adik pun ketawakan mama.
~~ Walau jauh beribu batu dengan teknologi canggih banyak membantu.~~

Tuesday, June 17, 2014

Degan itu panggilan keluarga kami

Kelapa muda kurang tepat kalau ikut perbendaharaan kata bahasa keluarga aku. Ini kerana biasanya kalau kelapa muda enak untuk dijadikan serunding atau inti kuih. Kelapa muda ini biasanya kerak dibahagian belakang kelapa belum berwarna hitam/coklat. Serunding atau inti kuih akan lebih sedap. Sebelum ianya menjadi kelapa ada banyak perbendaharaan kami gunakan. Bermula dari putik yang kami panggil belolok, kemudian dipanggil cengkir, diikuti pula degan dan kemudian barulah kelapa. Bermakna degan ini adalah proses sebelum ianya menjadi kelapa yang boleh mengeluarkan santan.


Pokok kelapa - Lihatlah di sebelah kanan itulah kelapa yang mana kalau mahu mendapatkan isi kenalah kopek dahulu sabutnya. Manakala di sebelah kiri atas itu adalah cengkir yang mana buah kelapa hanya ada air tetapi belum ada isinya lagi. Berada di sebelah kiri bawah itulah degan. Degan inilah yang kami petik untuk dijadikan minuman tengahari yang panas.
Percubaan - Kena cuba dan mencuba. Kalau menjadi bererti tandan tersebut semuanya akan mempunyai isi yang sama.
Lubang - Tujuan ini adalah untuk memudahkan untuk memasukkan air ke dalam jug yang telah disediakan. (terlupa pula menunjukkan cara). Bagaimanapun tonggeng saja arah lubang ini ke mulut jug.
Degan - Inilah degan yang kami katakan. Belum menjadi kelapa dan isinya yang masih berjelly itulah yang sedap. Bila sudah tahu begini, ambil saja sudu dan sudukan isinya masuk ke dalam jug yang sudah diisi dengan air kelapa sebelum ini.
Degan tua - Ini yang sudah hampir menjadi kelapa tua. Sebab itu dikatakan kena mencuba dari tandan. Kalau begini biasa akan menjadi rezeki ayam sajalah.
Bila bulan ramadhan biasa ramai yang menjual air kelapa tetapi sayangnya isi diberikan kurang menepati tekak kita sebab ada yang sudah terlalu tua dan hampir menjadi kelapa. Kurang sedap tetapi bila susah untuk mendapat yang berjelly, tua pun tetap dibeli juga.

~~ Beberapa kali asyik tertulis KEPALA saja ketika mengetuk keyboard untuk entri kelapa ini.~~
 

Thursday, December 19, 2013

Belajar bahasa Inggeris

Walau belum pernah bersua muka. Namun jalinan ukhuwah melalui blog erat terasa. Bertambah lagi apabila mendapat email mahukan alamat aku bagi membolehkannya mengirimkan buku yang sangat baik sebagai panduan dan pembelajaran anak-anak yang sedang meniti ilmu. Siapa lagi teman atau sahabat itu kalau bukan Mila. Teman blogger yang membuat jualan buku ini.

Sampul kiriman - Tidak terucap dengan sekadar terima kasih buat Mila. Sungguh adik sangat gembira apa lagi mood mahu naik sekolah sudah ada sekarang.
Mudahnya Belajar Bahasa Inggeris - Inilah bukunya. Kini adik bukan saja ada beg sekolah, kasut dan baju baru tetapi juga ada buku baru yang tidak diduga dapatnya.Terima kasih adik buat auntie Mila.
Buku 1 - Grammar (tatabahasa) & Latihan Pengukuhan. Sangat berguna buat anak-anak dari usia 6-12 tahun kalau mengikut pandangan aku. Namun kepada mereka yg agak lemah yang usia bawah 15 pun boleh saja.
Kandungan buku 1 - Lihat kandungannya. Kepada ibu-bapa boleh menjadikan buku ini sebagai rujukan asas ketika sama-sama duduk mengajar anak mengulangkaji pelajaran.
Buku 2 - Vocabulary (Perbendaharaan Kata). Aku rasa anak yang berada di tadika pun boleh menggunakannya. Banyak perbendaharaan yang boleh diberikan tunjuk ajar buat anak-anak yang baru bertatih. Kepada anak yang sudah berada di sekolah rendah pula boleh dijadikan pengukuhan pembelajaran.
Kandungan buku 2 - Lihatlah sendiri kandungan yg tercatat untuk kandungan buku 2. Sebagai penjaga seperti guru-guru tadika atau taska buku ini pada aku sangat baik dijadikan panduan. Tidak kurang yang berada di sekolah rendah boleh dijadikan rujukan. Buat ibu-bapa yang selalu duduk mengajar anak ketika mengulangkaji buku ini juga boleh membantu.
2 dalam 1 - Sebenarnya buku ini dibuat dalam satu buku. Bukan syampu rambut saja ada 2 dalam 1. Buku ini juga dibuat begitu teliti. Beli satu dapat dua pembelajaran yang sangat baik.
Bertemu muka entah bila
tetapi buku sudah diperolehi
Jzakallahu Khairan buat Mila
dari kami satu famili

Kepada sahabat semua samada mahu berkenalan atau ingin mengetahui lebih lanjut tentang buku ini silalah ke blog Mila  atau boleh email my.milakamila@gmail.com. Moga tahun baru buku ini dapat membantu anak kita lebih cemerlang. Buat Mila sekali lagi terima kasih dari kakak.

~~ Buku yang baik sampai bila-bila pun boleh dimanfaatkan sebagai rujukan.~~


Thursday, October 18, 2012

Bukan boleh suka-suka menggandakannya

Ada kalanya perkataan yang kita gunakan bila digandakan akan membawa maksud berlainan.

Curi dan curi-curi. Mata dan mata-mata. Kuda dan kuda-kuda. Hati dan hati-hati. Jangan dan jangan-jangan. Guna dan guna-guna dan banyak lagi.

"Cuba awak perhatikan, otak-otak mereka tidak sama dengan otak-otak orang tempatan." Otak-otak yang dimaksudkan adalah daya pemikiran tetapi bukan otak-otak yang selalu kita makan. Mungkin sebab adanya perkataan 'mereka' yang menunjukkan ramai jadi dia menggunakan perkataan 'otak-otak'.Namun bila penjelasan diberikan dia pun turut ketawa. Namun dari hari ke hari aku perhatikan dia semakin bijak menggunakan perkataan yang sesuai walau ada kalanya membuat kita senyum. Orang luar semakin suka mempelajari bahasa kita tetapi sayangnya 'orang kita'  bagaikan mahu melupakan bahasa sendiri bila berbahasa dengan 'orang sendiri'. Akibatnya bila berucap keluarlah pengucapan seperti "para-para hadirin sekelian..." tanpa di sedari para-para adalah rak-rak dan perkataan 'para' itu tidak perlu digandakan.

~~Alah bisa tegal biasa. Belum lagi belajar bahasa dari rumpun Melayu yang berbagai seperti yang terdapat di Sabah/Sarawak. Beruntung mereka yang pandai berbagai bahasa/dialek.~~


Tuesday, July 17, 2012

Majlis Ihtifal adik

Sabtu lepas hari yang agak sibuk. Seharusnya aku bekerja setengah hari tapi tidak dapat dielakkan bila adik mahu papa dan mama turut ke Sekolah Kebangsaan Indahpura 2 di mana dia ada turutserta dalam tilawah Al-Quran di majlis ihtifal anjuran J-Qaf seluruh sekolah-sekolah kebangsaan daerah Kulaijaya. Adik dan Firdaus menjadi wakil sekolah mereka. Firdaus ini juga mengaji dengan aku. Baru berusia tujuh tahun dan comel saja suaranya

Ustazah adik - Comel masih anak dara lagi. Adik pun manja bukan main dengan ustazah dia.

Dewan perempuan - Aku menemani adik di dewan perempuan dan papa di dewan lelaki.  Keseluruhan ada 30 buah sekolah kebangsaan.

Adik dan Firdaus - Ummi dan abah Firdaus tidak dapat datang. Dia ikutlah mama Zakie ini. Tapi semuanya tidak mahu naik kereta mama. Memilih kereta ustazah mereka. Selesai membaca di Sek Keb Indahpura 2 ini kami ke TJ Mart kerana acara lain berlangsung di sana pula. Tetapi aku pujuk adik tidak boleh tunggu hingga selesai kerana Kak Yasmien  tidak sihat. Titipkan Firdaus pada ustazah.

Selesai - Belum dapat keputusan lagi aku sudah tahu dua anak didik aku ini pasti tidak boleh meraih terbaik sebab tarranum dibawa rekaan sendiri. Masa di rumah/sekolah boleh ikut nada yang diajar tetapi naik pentas lain alunannya. Tajwid keduanya boleh membanggakan aku. Ustazah kata masih boleh diasuh lagi.

Sampai di TJ Mart - Alunan dikir barat dengan bahasa Arab. Sungguh mengkagumkan. Aku pun terpegun dengan kebolehan anak-anak yang masih terlalu muda. Gigih betul-cikgu-cikgu sekarang. Masa zaman aku dulu tidak ada dikir barat bahasa Arab.

Choral speaking - Juga dengan bahasa Arab. Murid tahun 5 kesemuanya sebab cikgu tidak mahu mengganggu murid tahun enam yang akan menduduki UPSR. Boleh aku kata pada adik "Teacher Sathiabama yang mengajar ke dik? Sebab biasa kalau peresembahan Bahasa Inggeris cikgu berbangsa Hindu  itulah yang mengajar. Apa jawapan adik "Mama ini bahasa Arablah mestilah ustazah adik yang ajar." Oh... boleh aku tidak terfikir majlis ini anjuran J-Qaf.

Sebelum majlis selesai aku mohon pada ustazah untuk berundur diri kerana mahu ziarah Yasmien di asrama. Sudah dua hari demam katanya. Hati mama mana boleh tenang bila dapat tahu anak tidak sihat. Kalau tidak kerana adik ada majlis pagi itu aku sudah terus ke sana.


~~ Melihat kebolehan anak-anak sekarang dapat aku lihat betapa cikgu-cikgu sekarang amatlah gigih mendidik anak-anak murid. Beruntunglah menjadi guru kerana saham akhirat berpanjangan kerana ilmunya dipergunakan.~~


Thursday, May 10, 2012

Tidak ada jodoh

Adik membaca risalah rumah dari satu pemaju perumahan yang terselit di celah pagar.

Adik: Kenapa rumah kecil hanya untuk bumiputera saja  mama. Jadi rumah yang besar ini untuk bumiputeri ye mama (sambil menunjukkan  risalah tersebut).

Mama: Apa dik? (Aku terkejut)

Adik: Mama tengok dia tulis di sini. Bererti orang lelaki saja yang boleh membeli rumah kecil ini dan yang besar-besar agaknya untuk orang perempuan.

Mama: Adik pernah dengar perkataan bumiputeri ke?

Adik: Tak pernah. Oh... ada juga perkataan yang tidak ada jodoh ye mama.

Adik  masih belum mahir. Bukan semua perkataan boleh dipasangkan antara lelaki dan perempuan alahai anak.  Walaupun ada putera/puteri, olahragawan/olahragawati, peragawan/peragwati dan sebagainya tapi contohnya kalau pustakawan, hartawan dan banyak lagi tidak ada perkataan penentuan samada lelaki atau perempuan. Begitu juga cikgu mana ada cikgi walau selalu benar kita mendengar 'cikgu-cikgi' digunakan.


~~Betullah kata teman bukan Melayu aku - bukan mudah mahu belajar bahasa Melayu.~~


Tuesday, January 31, 2012

Tukar bahasa

Cuti baru-baru ini kedua-dua anak yang besar mengeluh sebab matapelajaran matematik dan sains telah mula menggunakan bahasa Melayu. Menurut mereka, cikgu juga masih kekok lagi sebab sudah lama mengajar menggunakan bahasa Inggeris. Tetapi yang aku hairan adik di sekolah rendah masih menggunakan bahas Inggeris yang masih boleh membuat adik senyum tidak ada masalah.

Bersama anak-anak aku yang besar ini beranilah aku mengeluarkan protes . Tetapi hakikatnya bila ini terjadi amat menyusahkan anak-anak kami yang sejak tadika berumur 4 tahun telah menggunakan bahasa Inggeris untuk matapelajaran ini sekarang diubah menggunakan bahasa Melayu.

Bukan aku menentang penggunaan bahasa Melayu tetapi mengubah sesuatu di pertengahan pembelajaran aku rasa amat tidak rasional. Kalau pun mahu dimulakan seharusnya pada mereka yang baru masuk ke Tadika bukan masuk tingkatan satu atau empat. Mungkin ramai yang bersetuju menggunakan bahasa Melayu, tetapi maaflah pandangan aku di sini hanya menjurus pada anak aku saja. Aku baru bercadang untuk membeli kamus matematik/sains untuk mereka berdua.


~~ Menanti bilalah tulisan jawi mahu digunakan sepenuhnya dalam peperiksaan matapelajaran Agama Islam. Ada yang dapat A tapi menulis jawi tidak pandai. Perkara ini tidak ada pula ura-ura mahu diterapkan.~~


Wednesday, December 7, 2011

Cuti lagi - Perjalanan Pergi

Pada hari Khamis 01-12-2011 aku bekerja setengah hari dan pada petang yang sama juga kami sekeluarga telah meninggalkan Johor Bahru menuju ke destinasi yang dirancang. Memandangkan badan masih letih kami bermalam di Muar, rumah Kak Uda aku. Selepas sarapan bersama kami menyambung perjalanan menuju ke Terengganu. Doa kami dimakbulkan Allah kerana tiada hujan turun walaupun cuaca awan mendung mengiringi sepanjang perjalanan kami.

Bersarapan - Juadah sarapan pagi yang disediakan oleh Kak Uda dan anaknya Nurul yang juga masih bercuti dari kolejnya.
Al-Quran - Ada juga yang suka bila bercuti tidak perlu datang untuk mengaji dan ada juga yang sentiasa bertanya berapa lama cuti mengaji (jenis yang rajin)Bandar Muazam - Kami berehat di bandar Muazam untuk makan tengahari dan solat jamak zuhor dan asar. Aku membeli buah berangan sekilo RM 24/- sebagai kudapan Indah - Menikmati keindahan sepanjang perjalanan dilalui sehinggalah kami terperangkap di Kemaman kerana sistem jalan sedang dinaiktaraf. Tiba - Jam 5:15 petang kami tiba di Homestay yang telah ditempah lebih awal oleh anak saudara aku yang bekerja di Petronas, Kertih




~~ Menikmati keindahan negeri yang rata-rata berbangsa Melayu. Dialek digunakan seronok didengar membuat adik sentiasa tersenyum simpul. Pelat kata adik.~~





Thursday, November 3, 2011

Mari kita belajar Bahasa Arab

Bila musim peperikasaan tiba aku percaya ramai ibu-bapa turut belajar sama. Kalau setakat Sains, Matematik, Bahasa Melayu, Inggeris dan sebagainya (sekolah kebangsaan) termasuk Ibadat, Tauhid, Tajwid, Sirah dan sebagainya (sekolah agama) aku tidak ada masalah, tapi bila bab Bahasa Arab aku selalu benar jadi gelabah dan akan ditertawakan. Kali ini aku sudah atur strategi, sebaik dapat saja jadual periksa aku akan lihat dan belajar dulu. Untuk kali ini aku kena belajar lagi banyak sebab sudah akhir tahun tapi adalah yang sebelumnya masih lekat dalam ingatan. Perkara baru yang aku belajar Isim, fe'el dan huruf.

Aku belajar untuk darjah dua (murid tahun dua) - terasa jauhnya tertinggal sebab dulu aku tidak ambil berat Bahasa Arab. Sekarang sebab hendak buat soalan untuk adik menjawab kenalah aku belajar dulu sebelum ditertawakan olehnya. 'Isim' tu nama khas atau nama am, 'fe'el' adalah perbuatan dan 'huruf' pula sendikata atau sendinama.

Contohnya:-
Ringkas- haha.... jelas tak bagaimana cara menggunakan ayat tersebut. Ini dari dalam buku bahasa arab adik untuk sekolah agama.

Buku bahasa arab adik - Buku ini untuk kegunaan sekolah kebangsaan.


~~ Terkenang peristiwa di Masjidin Nabawi selesai solat asar sementara menanti maghrib ada gadis Arab yang mengajar membaca Al-Quran. Kerana sayang tempat duduk untuk beralih (sebab susah kalau mahu dapatkan semula tempat ketika musim haji kalau sudah beralih tempat) jadi gadis itu suruh kami membaca. Mereka hairan kerana rakyat Malaysia boleh membaca dengan baik malah tajwid yang mantop tapi tidak boleh/faham bahasa arab.~~~ .