Monday, January 31, 2011

Ibu-Bapa Gemilang Anak Cemerlang

Sabtu yang lepas aku tidak melepaskan peluang untuk menghadirkan diri dalam satu sessi motivasi anjuran sekolah bersama anak yang ke dua Yasmien Izyani. Beberpa fakta diberikan oleh pihak penceramah yang begitu kuat daya tarikan buat penjaga anak-anak yang hadir. Biarpun selingan kata-kata sesekali disulami dengan senyuman dan derai tawa yang hadir ternyata penceramah tidak ketandusan idea.

Satu persatu dihurai dengan tujuan membimbing penjaga menjadikan anak jagaannya mencapai transisi yang diharapkan. Kegemilangan rohani dan jasmani setimpal kehendak dan impian setiap ibu-bapa atau penjaga. Beberapa entiti yang perlu dititik-beratkan oleh penjaga antaranya yang sempat tercatat buat renungan bersama: -

1. Belajar secara berkumpulan. Anak perempuan tidak digalakkan belajar berkumpulan berbanding anak lelaki. Ego lelaki lebih tinggi dari perempuan. Oleh itu bila melihat teman lebih berjaya anak lelaki akan lebih berusaha. Berbanding anak perempuan bila bertemu akan lebih kepada perbualan dari perbincangan terhadap pelajaran.

2. Kekuatan mata dan telinga. Jika anak perempuan terletak pada telinga berbanding anak lelaki pula pada matanya. Katanya lagi oleh sebab itu anak lelaki biasanya lebih suka bermain di luar seperti layang-layang, basikal, gasing, bola dan sebagainya. Manakala anak perempuan kekuatannya pada telinga. Oleh sebab itu sewaktu belajar ada lebih baik kalau dibaca kuat-kuat. Contoh diberi; kalau memerintah anak perempuan cuci baju. Kalau sekali dipanggil tidak dengar mungkin dua atau tiga kali ia akan lakukan. Tetapi anak lelaki kalau disuruh kena berkali-kali disamping penjaga perlukan alasan kukuh supaya kerja dapat dilakukan dengan sempurna.

3. Pengorbanan dari semua isi keluarga. Sebagai penjaga tidak boleh meletak beban belajar pada anak dan guru semata-mata. Jika pada tahun tersebut ada anak yang mahu mengambil peperiksaan besar ia sebenarnya melibatkan seluruh isi rumah. Kalau waktu belajar bermula jam 8:30 malam contohnya, bererti semua harus patuh. Ibu-bapa dan sesiapa juga tidak digalakkan menonton televisyen sama.

4. Bersarapan sebelum ke sekolah. Ini harus menjadi amalan semua penjaga jika mahu mendapat anak yang mempunyai badan yang sihat dan minda yang cerdas.
5. Membawa bekalan air masak. Nasihat diberi adalah lebih baik membawa air masak berbanding air manis. Kandungan oksigen dalam air membantu otak anak-anak dan ini menghindarkan dari mengantuk.

6. Sunnah nabi yang boleh diikuti. Contohnya Nabi s.a.w ada menggantungkan rotan di dinding. Ini bukanlah untuk merotan anak tetapi sekadar memberi ajar agar anak takut dan turut. Begitu juga dengan menggantung ayat-ayat baik seperti Surah Sajadah, Asma-Ul-Husna dan sebagainya agar setiap kali sewaktu hendak ke sekolah dia boleh terpandang dan membacanya. Lintasan otak membaca akan manjadikan otak dapat berfungsi dengan lebih baik. Begitu juga makan sebelum maghrib. Banyak amalan sunnah ini tidak diamalkan oleh kita tetapi kalau kita lihat amalan seperti ini banyak dilakukan oleh bangsa Cina. Rotan, makan sebelum maghrib memang amalan mereka.

Sebelum majlis berakhir anak-anak diperdengarkan lagu yang amat syahdu hingga mengundang tangisan bergema. Masing-masing mencari ibu-bapa dan penjaga. Yasmien tidak ketinggalan mencium dan memeluk rasa macam aku hendak pergi buat selamanya. Sayu juga ibu-bapa diperlakukan begitu. Ibu-bapa juga tidak kurang turut luruh juga airmata bila raungan bergema dalam dewan. Memang hebat penceramah itu. En. Norhisham (lupa nama ayahnya) tetapi beliau adalah penceramah dari Vision Consultant yang berpejabat di Ulu Tiram, Johor.

Ikrar - Anak-anak berikrar untuk belajar bersungguh-sungguh

Janji - Para pendidik komited dengan tanggung-jawab dipikul dibahu mereka

Hadirin - Ibu-bapa tidak kurang berjanji berjuang bersama

Tandatangan - Perjanjian wakil guru, wakil ibu-bapa dan wakil murid untuk kegemilangan




Thursday, January 27, 2011

Air Jus Lempoyang

Bahan ekstrak halia hutan atau lempoyang boleh digunakan sebagai penawar kanser pangkal rahim iaitu penyakit kedua paling ditakuti wanita selepas barah payu dara. Penemuan itu adalah hasil penyelidikan selama 10 tahun Makmal Penyelidikan Kanser Makna, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mendapati tumbuhan herba liar tersebut terbukti mampu melawan sel kanser pangkal rahim pada peringkat awal. Penyelidiknya, Dr. Ahmad Bustamam Abdul berkata, kajian makmal menunjukkan penggunaan spesies halia itu dalam dos yang betul boleh menyembuhkan penyakit dalam tempoh tidak sampai 72 jam. Katanya, kajian praklinikal membuktikan sebatian semula jadi herba tempatan itu mampu menghalang perkembangan kanser sehingga fasa tiga.
-------------------------------------------------------------
Aku terjumpa artikel ini dari akhbar kosmo 20-11-2011.
--------------------------------------------------------------

Membaca kenyataan itu sebenarnya membawa ingatan aku kepada zaman akau masih anak-anak. Dulu kami adik-beradik paling kurang sebulan sekali mesti diperintah untuk meminum air jus lempoyang. Lempoyang akan diparut, dicampur dangan sedikit air dan kemudian ditapis. Sebelum minum akan dicampur dengan seketul garam jantan (garam kasar disebut garam jantan, mungkin garam betina garam yang halus. He...he....he.....). Menurut emak supaya tidak ada cacing dalam perut. Hidup dalam kekangan kewangan yang amat sempit membuat kami tidak mampu membeli ubat cacing.

Kalau di sekolah pula bila ada pihak kementerian kesihatan datang dengan ambulan dan murid-murid beratur akan disuap sesudu ubat cacing. Aku lebih suka minum ubat cacing ini sebab rasanya manis. Jadi bulan tersebut selamat tidak perlu minum air jus lempoyang. Ada satu kenangan disebalik minum ubat cacing yang tidak dapat aku lupakan. Ada seorang rakan sekelas aku punyalah takut dengan jururawat hingga terkencing dalam seluar. Itu bukan lagi kes bila beratur untuk suntikan. Tangisan mesti akan kedengaran.

Anak sekarang, lahir saja segalanya telah terhidang. Suntikan, ubat-ubatan mudah untuk mendapatkannya. Walau bagaimanpun betapa anak-anak dahulu begitu kuat antobodinya berbanding anak-anak sekarang. Dulu aku walau bermain air hujan tidak pun demam. Siap boleh main kejar-kejar lagi. Anak sekarang baru kena gerimis demamnya memanjang. Tidak dapat aku bayangkan kalaulah ibu-bapa aku yang mempunyai lapan orang anak silih berganti sakit-demam bagaimana agaknya. Kalau disuruh minum air jus lempoyang banyak alasan diberi. Rasanya bukanlah pahit sangat. Ianya adalah rasa payau dan sedikit pahit.
Keluarga aku memang masih mempraktikan minum air jus lempoyang. Pokok itu juga masih aku tanam dan selalu juga mereka yang dalam pantang selepas bersalin akan minta untuk dijadikan jamu. Buat aku sebulan sekali selepas ABC (Allah beri cuti) air jus lempoyang menjadi satu kemestian. Segelas saja sudah cukup untuak membuat badan kembali segar. Hendak melihat cara menyediakannya sila lihat paparan gambar di bawah ini.

Membiak - Pokok lempoyang ini membiak tanpa penjagaan. Hubby tanam di luar pagar sewaktu mula membeli rumah yang kini kami sewakan kepada orang lain untuk memdudukinya.

Lempoyang - Inilah hasil yang telah dicabut. Penuh diselaputi tanah.

Akar - Lempoyang muda terikut sama. Aku tidak menggunakan yang muda.

Letup-letup - Tanda pokok lempoyang tidak berjaga. Pokok menjalar ini menumpang hingga boleh menghasilkan banyak buah.

Kekuasaan Allah - Cantik pulak kelihatan pokok letup-letup ini. Maha kaya Allah menjadikan berbagai-bagai jenis tumbuhan yang tidak terjangkau di akal fikiran kita.

Bersih - Lempoyang yang telah dibuang akar dan kulit akan kelihatan seperti halia.

Parut - Setelah dibersihkan lempoyang diparut. Aku masih mengekalkan tradisi keluarga menggunakan parut bukan blender.

Campuran - Setelah diparut tuangkan dengan sedikit air dan kacau-kacau.

Saring - Setelah dicampur dengan sedikit air bolehlah disaring atau tapis.

Siap - Segelas air jus lempoyang untuk diminum. Sebelum minum ambil seketul garam jantan (garam kasar), kacau (kerana jus akan mendak) barulah boleh minum.