Friday, September 30, 2011

Hujan pagi Jumaat

Payung sudah sedia dibuka untuk mengelak dari simbahan air hujan yang bagai limpahan air terjun. Adik sudah berbungkus dengan jacket dari kepala hingga paras lutut. Dalam kereta tuala pun dibawa sebagai persediaan untuk mengelap mana yang patut. Lebat sungguh!! Kakak Yasmien masih terkedek-kedek menyarung setoking. Aku suruh dia naik kereta papa. Panahan sinar lampu kereta masih tidak cukup terang dek air hujan yang mencurah. Sebaik adik masuk aku pun reverse... bang!! belakang kereta aku melanggar kereta hubby dibelakang. Sungguh aku tidak nampak. Masa bila pula hubby parking JEU 892 di belakang kereta aku.


Hubby geleng kepala. Aku tidak keluar kerete, tetapi hubby bagi isyarat jalan, aku pun bergerak. Mungkin tidak kemek sebab aku reverse pun perlahan. Teman pejabat aku kata kalau 'kancong-kancong' itulah jadinya. Tahu apa itu 'kancong' macam tergesa-gesalah maksudnya.

Hari ini juga sepanjang perjalanan aku ke pejabat ditemani curahan hujan lebat. Banyak jalan hanya boleh digunakan separuh lane saja. Lebih teruk di Taman Mount Austin, simpang menuju ke Taman Daya dan simpang ke Bengkel MBJB dipenuhi air. JMY982 aku terus meredah juga. Apa yang membuat aku sedikit jengkel teksi depan yang bagai tidak tahu trick kalau meredah air, mana boleh tukar gear sebaliknya dia boleh bermain dengan break. Tidak takut air masuk dalam ekzoz. Mujur ada wagon tinggi memotongnya dan air terkuak lalu aku mengekor di belakang wagon tersebut. Selamat.



~~ Setiap kali hujan lebat apa yang merisaukan aku banyak laluan dari rumah ke pejabat sering dinaiki air yang boleh membuat kereta sedikit berendam dalam banjir kilat. ~~



Thursday, September 29, 2011

Penutup Aidilfitri 1432H

Situasi beramah-mesra, menjeling baju cantik-cantik, menikmati beraneka juadah dari berbagai negeri, memberi duit raya pada anak-anak, mencatat resepi kuih dan anak-anak berbaju Melayu telah berakhir malam tadi di taman perumahan aku. Marhaban penutup untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun 1432hijri sudah berakhir. Malam tadi juga terpaksa kami habiskan sebanyak sepuluh buah rumah kerana syawal 1432H telah berakhir. Lihatlah beberapa paparan gambar yang sempat anak aku ambil buat paparan di sini.

Anak-anak - Tiada apa yang paling menggembirakan anak-anak yang bak kain putih. Mereka turut sama bermarhaban dan saat paling dinantikan bila mendapat duit raya. Ada yang menggantikan duit raya dengan jajan yang dibungkus dengan plastik.

Doa - Selesai marhaban doa dibacakan oleh sesiapa sahaja kerana text doa telah disediakan. Hanya bila tiba pada nama siapa tuan rumah tersebut perlu ditukar. Lihatlah aku tidak sempat hendak ambil t-shirt futsal Yasmien yang tersangkut di pintu pagar.

Ucapan - Setiap kali habis berdoa tuan rumah akan memberikan sepatah dua kata. Biasanya adalah mohon kemaafan salah-silap ahli keluarga dan mohon semoga dipertemukan lagi di tahun hadapan sebagaimana doa yang telah dibaca.


Ibu dan anak - Keseluruhan jumlah yang hadir aku rasa mencecah hampir seratus orang. Aku dapat mengagak dari jumlah air kotak yang aku sediakan tidak berbaki langsung.



~~ Selalu habis saja Hari Raya anak-anak lelaki menjadikan baju Melayu mereka sebagai baju tidur. Kalau yang bujang atau yang dewasa jadilah baju raya tersebut dipakai untuk bersolat ke masjid, itu pun tidak lengkap bersamping. Elok saja bagi kaum hawa sentiasa di pakai selalu. Sebab itu jangan hairan mengapa orang perempuan selalu membeli kain untuk membuat baju.~~



Ada peristiwa tidak dapat dilupa malam terakhir marhaban tersebut. Akan aku kisahkan pada minggu hadapan.