Airmata dan perempuan dikatakan tidak boleh dipisahkan walaupun tidak
kurang ramai juga lelaki yang mengalirkan airmata. Tetapi
aku dapat merasakan semakin kita berusia semakin mudah mengalirkan
airmata. Bercerita dengan anak-anak kisah susah dulu-dulu pun boleh
mengalirkan airmata. Membaca blog ibu yang bersalin bayinya demam tidak
ada siapa membantu pun mengalir airmata. Menonton televisyen yang
memaparkan kisah hamba Allah yang diuji dengan penyakit dan kesusahan
juga mengalir airmata. Apalagi melihat anak-anak kecil dan wanita
saudara seIslam yang dianiaya dengan rakusnya pastinya mengundang
airmata yang tidak boleh dikawal lagi.
Sewaktu anak-anakku kecil sering aku melihat airmata mereka. Bila
bergaduh salah satu menangis maka berjuraianlah airmata. Bila kena marah
juga airmatalah yang menjadi penepis untuk mama berhenti dari memarahi.
Tidak dapat apa yang dikehendaki juga menangis. Berbeza bila mereka
sudah remaja. Susah untuk melihat airmata anak-anak sekarang. Kalau ada
pun adik sajalah. Itupun sekadar airmata yang mengalir tapi bunyi
menangisnya tidak kedengaran langsung. Anak-anak aku semuanya perempuan.
Bila mendapat keputusan peperiksaan kurang baik pasti airmata yang
menjadi peneman. Bila ada cerita sedih mereka juga mudah mengalirkan
airmata. Apakah ini genetik warisan dari aku yang mana sebenarnya tidak
aku suka atau lumrah sebagai seorang perempuan. Aku mahu anak-anak
menjadi lebih kuat. Mereka hidup tidak dibelenggu kesusahan seperti
mamanya ini.
|
| Dari google - Airmata dengan kehidupan yang tidak boleh dipisahkan |
~~ Apa yang pasti bila seseorang menghadapi ujian berat pasti akan menangis ketika merapak sujud dan memohon doa kepada Allah agar ujian segera dileraikan olehNya.~~