Wednesday, September 28, 2011

Hujung Bulan

Ada beberapa blog teman blogger yang aku cuba komen tidak dapat masuk kotak komen sebagaimana yang kakcik alami semalam. Geram juga sebab teman blogger sudah memberi komen di blog kita tetapi kita tidak berupaya untuk berkunjung blog mereka. Apa agaknya masalah blogspot sekarang?

Tambah menjengkelkan setengah hari semalam aku kehilangan kalkulator. Hujung-hujung bulan selalu benar kalkulator boleh berjalan-jalan dari satu meja ke meja lain. Boleh keluar bilik lagi. Lebih musykil bila kalkulator bertukar brand dan saiz. Bukan tidak ada nama tapi entah hantu mana yang membawanya berjalan aku pun hairan. Masing-masing bukan tidak punya kalkulator tetapi seringkali bila hujung bulan saja kalkulator boleh berubah rupa macam staff-staffnya juga yang merudum hujung bulan menantikan gaji yang belum masuk akaun masing-masing.


Pagi ini pandai pula kalkulator aku duduk cantik di atas meja siap dengan pembaris panjang yang telah seminggu hilang dari pandangan. Aku geleng kepala sambil senyum sendirian.



~~ Sampai bila agaknya baru aku dapat memberikan komen di blog teman blogger yang gagal aku tinggalkan komen tidak tahulah~~



Monday, September 26, 2011

Jodoh itu ketentuan Allah

Teknologi canggih jika digunakan untuk kebaikan akan menjadi baik. Tujuan mencari teman sekolah yang lama ditinggalkan melalui facebook menjadi kenangan manis buat mereka berdua. Majlis berlangsung pada hari Sabtu yang lalu. Kami sebagai sahabat bersyukur sama kerana jodohnya dipertemukan di saat masing-masing akan menunaikan ibadah Haji pada tahun ini yang dijangkakan penerbangannya pada Oktober depan. Siapa sangka yang pada mulanya pasrah akan beribadah di sana berteman kumpulan yang solo akhirnya mereka dijadikan pasangan suami-isteri. Kedua mereka juga adalah teman satu kampung, satu sekolah dan kini mempunyai karier masing-masing tinggal bersebelah taman. Perancangan Allah maha hebat!!


Pagi - Sebelum majlis bermula sebahagian sahabat yang telah tiba. Lihatlah reben adik besar gedabak, dibelikan oleh si kakak yang pergi ke I-City minggu lepas.


Ayam masak merah


Rendang daging lembu

Kambing masak kurma



Hidangan lain - Ada lontong + kuah sate, otak-otak (Kak Ita & Abang Din) jiran sebelah rumah pengantin lelaki menderma ini sepanjang majlis berjalan. Otak-otak pun dibakar di porch rumahnya. Kuih-muih juga dihadiahkan oleh hamba Allah juga sepanjang majlis. Tukang masak pun dari taman kami juga. Kambing golek juga ada tapi aku tidak sempat merakam. (orange dalam bekas itu aku yang potong tau. hikhik.....)


Gotong-royong - Sepanjang majlis dari hal-ehwal rewang, kendarat dan cuci pinggan-mangkuk semuanya kami sahabat-handai satu taman berganding bahu sebagimana biasa dilakukan oleh orang kampung, kami lakukan secara bergotong-royong. Hanya pelamin saja pihak pengantin tidak mahu kerana malu katanya.



Kendarat - Sebelum balik petang itu kami bersama-sama bergambar sebagai kenang-kenangan. Mohon semoga jodohnya berkekalan. Buat Azmi dan Fairuz kami mengucapkan Selamat Pengantin Baru. Selamat menunaikan ibadah Haji dan diberi kesihatan yang cemerlang agar dapat beribadah dengan selesa dan sempurna. Doa kami juga moga ibadahnya diterima Allah dan mendapat Haji yang mabrur. Selamat pergi dan kembali bersama kami masyarakat Taman Damai. Terima kasih pemberian cenderahati tudung buat kami semua.



~~ Sungguh benar sekali hidup, mati dan jodoh pertemuan itu telah tertulis di Loh Mahfuz. Selalulah bersangka baik bahawa setiap kita pasti akan menemui jodohnya (dengan izin Allah) hanya cepat atau lambat saja. Dalam Suroh An-Nuur ayat 26 yang bermaksud - "Wanita-wanita yang buruk itu untuk lelaki yang buruk, dan lelaki yang buruk untuk wanita yang buruk; sedangkan wanita yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik"~~