Friday, October 14, 2011

Dari Sibu

Adik menanti papa yang pergi untuk AGM di Sibu Ahad lepas. Tengah malam baru tiba di Lapangan terbang Senai. Pergi satu beg balik pun satu beg juga tidak macam selalu beg papa bertambah bila balik. Melihat dari jadual baru kami tahu jadual padat untuk mesyuarat suntuk tiga hari. Mesyuarat yang sepatutnya berakhir jam 4:30 petang selalu berlanjutan hingga 5:30 petang. Malam pula banyak kedai yang telah tutup, tidak macam di Kucing malam pun banyak lagi shopping kompleks yang dibuka sama macam di Johor Bahru.

Lepas ... Diluar dugaan 12 kg daging rusa ini lepas juga tidak macam selalu Air Asia tidak benarkan membawa daging. Papa adik ada ayat dibaca. Ada dalam suroh Yaasiin. Rezeki untuk diberikan kepada staff-staffnya. Kami ambil 3kg saja

Fridge Magnet.... biasalah kalau kemana-mana ini seolah-olah yang paling mudah untuk mendapatkannya

Koleksi.... ini juga kena beli sebab sudah menjadi koleksi keluarga untuk digantung dalam almari.

Bukan telur burung.... papa adik tidak tahu nama buah ini tapi ramai yang pergi mesyuarat tersebut membeli. Papa adik yang teruja pun turut membeli. Yang di dalam bakul ini agak kuning-kehijauan sedikit kulitnya - membeli 2 kilo

Buah yang sama..... yang ini berwarna coklat gelap, pun dibeli 2 kilo. Harga sama masih RM10/- sekilo. Kulitnya terlalu keras. kalau guna gigi palsu kena berhati-hati takut kulit tak pecah gigi yang patah.

Kenyal..... inilah dia isi buah tersebut. Manis dan seakan-akan buah mata kucing atau rambutan.

Biji.... aku cuba tanam mana tahu boleh tumbuh aku boleh business buah ini (betul tau aku semai hendak lihat boleh cambah atau tidak). Pokok pun tidak tahu macam mana bentuknya. Aku membayangkan macam pokok kedondong sebab saiz dia macam buah kedondong

Kulit.... macam cengkerang kelihatannya.



~~ Ada juga lain-lain hubby beli untuk anak-anak. T-shirt anak-anak dan kain songket sarawak, ikan masin dan lain-lain buat staffnya pun ada dibeli. Namun yang terkesan buah yang aku paparkan sebenarnya tidak pernah kami temui seumur hidup, baru kali ini dipertemukan. Maha kaya Allah buah sekeras ini pun boleh dimakan dan sedap rasanya.~~

Thursday, October 13, 2011

Hantu

Semalam ada bunyi yang menggugat keamanan aku di pejabat. Mahu dikata aku jenis penakut tidak juga - tapi memang ada kalanya kalau ada perasaan takut di rumah, hubby atau anak-anak akan dipanggil sebagai teman. Namun bila di pejabat aku rasa kurang selesa pula jika ada gangguan seperti ini berulang-ulang. Bagai mahu menguji keberanian aku. Radio aku kuatkan tapi kurang selesa bila mahu berkomunikasi di telefon.

Bunyi sekali aku toleh tidak ada bayang. Bunyi lagi aku berdiri mencari apa punca tiada apa yang kelihatan. Aku tunggu sambil dalam debaran membaca segala ayat-ayat yang ada di kepala bagi melawan apa dan siapa gerangan mahu mencabar keberanian aku.

Kenapa nie?

Tak ada apalah...

Habis macam ada tak kena? Awak tak sihat ke?

Aku ceritakan pada yang bertanya. Belum habis aku bercerita bunyi itu datang lagi. Pantas aku halakan jari telunjuk pada yang bertanya.

Ya Tuhan... itu cicaklah. Ekor dia yang buat bagai mengetuk pintu. Hahaha.....

Untuk mempastikannya kami berdua cuba mengintai di balik pintu, betul ada seekor cicak besar. Besar sungguh!! kami berdua melompat - geli bercampur takut. Tetapi seumur hidup aku yang dulu membesar hidup di kampung dan selalu nampak cicak tidak pernah pula ada cicak yang ekornya boleh berbuat begitu. Hairan sungguh....


~~ Kalau kita takut benda remeh pun kita sangkakan hantu. Sebenarnya kita adalah makhluk Allah yang paling mulia berbanding makhluk lain.~~



* conversation aku translate sebab itu kena guna Ya Tuhan - teman aku itu bukan Islam