Monday, February 28, 2011

Kem Waja Diri

Pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad yang baru lalu seluruh kakitangan warga Sekolah Agama Senai Utama menjalankan aktiviti Kem Waja Diri. Pelajar yang memegang jawatan sebagai Pengawas, Pengawas Perpustakaan, Ahli Jawatankuasa Persatuan, Ketua dan Penolong Kelas diwajibkan untuk turut-serta. Pembayaran sebanyak RM 65/- dikenakan pada setiap murid. Pembayaran itu meliputi segala-galanya termasuk makan, tempat tinggal dan peralatan aktiviti.

Oleh kerana ibu-bapa tidak terlibat dan murid-murid tidak dibenarkan membawa kamera dan telefon bimbit, tiadalah rakaman aktiviti yang dapat dipaparkan.

Fail - Setiap murid dibekalkan fail lengkap dengan senarai aktiviti yang akan dijalankan sepanjang 3 hari 2 malam

Kepulangan - Melibatkan 3 buah bas, kepulangan anak-anak dinanti oleh penjaga masing-masing

Sibuk - Masing-masing turun dari bas dengan keletihan


Penjaga - Mencari anak masing-masing memandangkan waktu sudah hampir maghrib

Dedikasi - Memastikan jumlah murid yang kembali seperti jumlah yang pulang. Bertungkus-lumus ustaz & ustazah walau bukan anak mereka.

Senyum - Bersalam dengan ustazah yang dikasihi sebelum pulang.

Letih - Walau letih masih mahu berposing dengan teman disayang

Baju kotor - Bau hapak dan hangit dari pakaian kotor yang dikumpul selama 3 hari di kem.

Walaupun letih dan penat sepanjang 3 hari 2 malam menjalankan aktiviti yang disusun, kem ini bertujuan membina sifat jati diri setiap murid. Kalau para kakitangan awam diarah menghadiri kursus biro tatanegara, tetapi anak-anak ini telah diasuh dari usia 9 tahun lagi yang mana motifnya adalah sama, mahukan anak-anak yang cemerlang ilmu dunia dan akhirat.


Friday, February 25, 2011

Mari Berpantun

Sewaktu di alam persekolahan dulu kegiatan berbalas pantun sering menjadi salah satu agenda persatuan. Apabila menyambut sambutan Hari Guru satu daripada aturcara majlis ialah berbalas pantun antara guru dengan murid-murid. Seronok juga bila mengenang itu semua. Kini ada seorang teman blogger menggelar diri sebagai My Little Diary menjual pantun untuk kita sama-sama menjawabnya. Atas permintaannya juga jawapan mestilah dijawab dalam blog masing-masing. Mahu turut serta silalah ke halamannya http://cikidis.blogspot.com/ .

Kalau tuan ke pekan sari
belikan saya sebungkus kari
kalau tuan bijak bestari
siapakah dia my little diary?

Menyulam sendu tertinggal bahtera
didakap sesal semalam-malaman
pangilan RIMA selalu tertera
klik http://cikidis.blogspot.com/ jumpalah halaman


Kain songket bunga bersilang
jarum disimpul seurat benang
kalau tuan tak bilang sayang
tidaklah saya terkenang-kenang

Jiwa-raga gelisah tak tenang
relakanlah bahtera menjauh pergi
baru luahan sayang sudah terkenang
belum kupeluk dan kucium lagi


Pergi ke hulu berjalan kaki
singgah sebentar mencari mayang
kalau tuan sudi diuji
apakah beza cinta dan sayang

Gelisah mengenang jiwa lara
bahtera menjauh nun di lautan
cinta dan sayang sentiasa membara
usah dipisah ianya berpautan

Sekadar memenuhi raung-ruang persahabatan yang jauh. Teman-teman blogger sekelian, apalah kiranya kalau kita sama-sama mengasah bakat membalas pantun My Little Diary ini. Bukan balasan yang kita mahukan tetapi ikatan dan jalinan sesama insan.

Thursday, February 24, 2011

Berpusing-pusing dapat Rempeyek

Meniti kekalutan hari semalam akibat kehilangan dompet mambuatkan aku hampir seharian berpusing-pusing. Pusing stereng kereta tanpa henti. Kepala aku sememangnya sudah pusing kerana itulah aku diberikan cuti sakit. Pusing bank untuk batalkan kad kredit, kad ATM, pusing lagi ke petrol stesen kerana tanpa disedari minyak kereta sudah menunjukkan signal tank sudah hampir kosong. Kotak fikiran sudah membayangkan selepas ke Balai Polis aku kena pusing pula ke pejabat pendaftaran untuk membuat mykad baru dan seterusnya ke Jabatan Pengangkutan Jalan membuat lesen baru. Kad-kad memberships lain aku sudah tidak hirau.

Segalanya berpunca kerana walaupun aku dalam cuti sakit (pening kepala) aku mengambil peluang untuk menghantar makanan buat anak dara aku di sekolah. Memandangakan dia mempunyai dua orang sahabat karib dan selalu bertandang ke rumah jadi aku pun siapkan tiga bekas makanan berserta tiga botol air minuman. Keluar pagar aku letakkan dompet di atas bumper dan masukkan makanan di tempat duduk sebelah. Sebaik memasukkan makanan tersebut terus start kereta berlalu tanpa menoleh lagi yang dompet aku di atas bumper. Apabila hampir tiba di sekolah kerana niat di hati hendak menambah petrol yang kian tipis baru tersedar dompet aku hilang.

Ujian apa kiranya yang Allah berikan pada aku hari ini. Dalam kekalutan itu juga aku selesaikan dulu niat untuk memberi makanan buat anak dara aku dan dua temannya itu. Kemudian aku tunaikan dulu solat zuhor dan mohon Allah bukakan pintu hati sesiapa juga yang menemui dompet aku dikembalikan segala dokumen walau tanpa duit. Selesai solat hajat hubby sudah terjengul di pintu bilik dan bermulalah ceritera pusing itu.

Betapa Allah maha pengasih dan maha mendengar, keluar dari petrol stesen telefon bimbit aku mengalun lagu Maher Zain. Seorang wanita tionghua bertanya namaku dan berkata dompet aku berada ditangannya. Ketika itu aku sudah hampir di pintu pagar Balai Polis. Ya Allah doa solat hajat aku telah termakbul jua kiranya. Stereng kereta terus saja berpusing menuju alamat yang diberikan. Syukur biarpun aku mahu memberi sedikit ganjaran tetapi wanita dan keluarganya tidak membenarkan. Aku cuba menghulur jumlah yang lebih kecil RM50 buat di anak yang dalam kendongan juga tidak diterima. Kembalilah aku ke rumah walau dalam keadaan kepala yang masih pusing tetapi kelegaan yang aku hadapi hanya Allah jua yang tahu.

Tiba di rumah aku terus menuju bilik air untuk membersihkan diri, berwuduk dan aku sujud syukur kerana tidak secalit pun berlaku kerosakan pada dompet aku. Segala dokumen kembali seperti asal tanpa cacat cela. Kesyukuran ini juga terpancar dengan penerimaan tag dari nurkass pemunya blog http://ilahihediya.blogspot.com/ kerana GA rempeyek yang diberikan pada aku. Terima kasih nurkass. Kakak hendak menikmatinya puas-puas sebab kepala pun sudah tidak pusing lagi.

Bagi mensyukuri GA yang diberikan juga aku ingin berkongsi sama dengan 3 orang blogger yang disyaratkan untuk sama menerima GA rempeyek ini. Aku rasa ada baiknya bagi blogger lelaki kerana mereka tidak pandai untuk membuat sendiri (agaknya- jangan pulak mereka lebih expert dari yang perempuan). Kalau pilihan rempeyek aku mestilah yang banyak ikan bilisnya. Rempeyek ikan bilis boleh ke tuan tanah? Apa-apa pun relakan aku tag lelaki Malaysia yang gagah perkasa tersebut: -

4. sahromnasrudin - http://www.sahromnasrudin.com/


Keterangan lanjut demi kesempurnaan GA ini kenalah kunjungi blog http://i-made-my-cuppies.blogspot.com/. Sebelum rempeyek istimewa ini habis baik segera bertindak kerana tarikh tamat tempoh pada 01-03-2011.



Sunday, February 20, 2011

Puzzle.....

Semakin difikir-fikir semakin kusut. Buntu kepala aku memikirkan mana pergi pokok daun sup yang aku tanam dalam pasu belakang rumah. Hari sebelumnya satu pasu hilang dan semalam hilang lagi satu. Masa bila diambilnya membuat aku jadi puzzle. Bukanlah subur sangat pokok daun sup yang aku tanam itu. Sekadar boleh untuk aku gunakan bila memasak. Apa yang menghairankan aku kenapa daun sup yang sangat diminati. Pokok halia, kunyit, serai dan pokok kari pun ada juga tapi yang diminatnya pokok daun sup aku. (Jangalah hari ini aku kehilangan pasu lain pula). Puzzle juga kotak fikiran aku memikirkannya. Kalau pun hendak daun sup ambil sajalah pokoknya janganlah dengan pasu-pasunya sekali. Aku sayangkan pasu dan tanahnya.


Puzzle aku tidak dapat diselesaikan. Tapi kalau adik punya puzzle duduk dalam bilik dia boleh selesaikan puzzle dia. Khusyuk dan tenang tanpa gangguan sebab kakak pergi tuisyen.




Berselerak - Buat atas katil dia lagi......



Menyusun - Jejari dan akal bekerjasama mencari ruang sesuai

Khusyuk - Dalam kotak fikirannya hendak melihat kesudahannya

Selesai - Puzzle Cinderella satu dari himpunan hobby adik.

Wednesday, February 16, 2011

Tiada Notis

Bulan Februari telah 15 hari berlalu.
Minggu pertama (1 - 5 Februari) dilalui tanpa kacau.
Minggu kedua (6-12 Februari) banyak syarikat bercuti.
Masuk minggu ketiga (baru 2 hari bekerja) banyaknya pertanyaan
Mengapa ada cukai 6% tertera di dalam invoice?

Siapa yang seharusnya dipersalahkan.
Tiada notis pemberitahuan.
PM kan sudah bentang dalam belanjawan.
Penatnya membuat penerangan.
Cara terbaik fotokopi notis banyak-banyak
kepilkan setiap statement untuk bulan Februari kelak.

Melihat pertambahan 1% kecil jumlahnya
Kepada yang jumlahnya sedikit akan berkata ok.....
Tetapi kalau yang jumlahnya mencecah lima angka,
boleh lepas membayar gaji seorang pekerja
sakit juga melihat lebihan jumlah tersebut.


Ramai termangu juga
melihat angka-angka tertera
kalaulah ia menjadi milik hamba
alangkah baiknya.....



Monday, February 14, 2011

Bila Telefon Berdering


Cerita semalam. Kring....kring..... kring.... bunyi telefon yang duduknya di sebelah televisyen menjerit mohon diangkat. Sebaik gagang dicapai terdengar sayup suara anak aku yang tinggal di asrama.

"Assalamu'alaikum mama."

"Wa'alaikumussalam.... Nurin sihat? Tak pernah telefon mama waktu macam ini."

"Cikgu dah bagi suroh pilihan untuk musabaqoh. Mama tolong pilih yang mana satu sesuai buat Nurin ye. Pertama Al-Baqoroh dari ayat 189, Kedua suroh Al-Imran dari ayat 1, Ketiga suroh An-Nisa' dari ayat 58 dan terakhir suroh At-Taubah dari ayat 73. Agak-agak mama yang mana satu sesuai untuk Nurin?"

Terdengar sayup suara manja anak pertama aku. Aku mencatat pantas.

"Bila musabaqoh tu? Mama tak ada wudhu' sekarang ini nanti lepas solat Asar call mama balik."

"Ok tak apalah mama. Doakan Nurin ya mama. Kirim salam papa dan adik semua."

"Wa'alaikumussalam..... Insya-Allah."

Selepas solat Asar. Jam 5:15 petang sekali lagi telefon menjerit kring....kring..... Aku pasti mesti dia telefon lagi. Aku terlupa membuka Al-Quran selepas usai solat Asar tadi. Terpaksa memberitahu yang aku belum lagi mencari ayat itu. Sedih kedengaran di hujung sana. Aku turut kesal. Berjanji selepas solat Maghrib nanti. Selepas maghrib ditunggu telefon tidak berdering. Hati ku mula diserang rasa gelisah. Lebih kurang 8:45 malam sekali lagi telefon berdering. Aku sudah bersedia dengan jawapan yang harus diberikan pada buah hati aku yang pertama itu.

"Suroh Al-Baqoroh ayat 189 bermula dari Yasalunaka.... mama rasa ramai yang memilih ayat ini. Kedua Al-Imran dari Alif Laaam, miiiim.... pun sama mesti ramai yang pilih, Ketiga suroh An-Nisa' agak susah nak melagukannya di bahagian hujung ayat sebab pada ayat 58 berakhir dengan basiro..., ayat 59 berakhir dengan ta'wila, ayat 60 berakhir dengan ba'iida, ayat 61 berakhir dengan sududaa dan ayat 62 berakhir dengan wataufiqo. Jadi mama pilihkan suroh At-Taubah dari ayat 73 hingga 79. Ikut Ql-Quran resam Uthmani muka surat 199 dari mula sampai akhir. Bermula dari Ya aiyuhalladzi.... dan berakhir dengan 'adzabun aliim.... Kalau hendak bawa lagu bayati, hijaz dan ras pun boleh digabungkan. Biasa kan kena 3 lagu kalau untuk tempoh 8 minit yang diberi."

Panjang aku memberi kata nasihat. Selebihnya aku tidak dapat lakukan seperti dahulu sewaktu masih tinggal bersama. Adik-adiknya masih berpeluang lagi mendapat tunjuk-ajar aku terus-terusan sehingga hari tilawah. Tetapi kini dia tinggal di asrama kenalah mengasah dari apa yang pernah dipelajari dahulu sewaktu masih tinggal bersama.

Sebenarnya apabila bulan Rabiu'-Awwal bermula bererti perujian musabaqoh Al-Quran di kebanyakkan sekolah juga bermula. Sebagai ibu-bapa kita pun kenalah bersama-sama mengalun ayat-ayat suci dan bertilawah juga walau hanya di rumah. Dari Abdullah bin Mas'ud r.a. berkata, Rasulullah s.a.w bersabda " Barangsiapa membaca satu huruf dari Al-Quran, maka ia akan memperolehi pahala satu amal kebajikan, dan satu pahala amal kebajikan dilipatgandakan sepuluh kali. Saya tidak mengatakan Alif-Lam-Miim itu satu huruf, tetapi Alif adalah satu huruf, Lam adalah satu huruf dan Miim juga satu huruf" - Hadith riwayat At-Tarmidzi dan Ad-Darimi, menurut At-Tarmidzi hadith ini sohih.




- hanya sementara di sekolah saja memasuki perujian tilawah al-quran. sekurang-kurangnya dapat juga mendidik anak-anak generasi akan datang. Faham dan tahu ayat Al-Quran bukan untuk dipertandingkan -





Saturday, February 12, 2011

My Favourite Blog dari adzreil.bogspot


Aku memang sengaja membiar halaman Titisan Nurani tanpa bintang dan bulan. Mudah bagi mata aku yang sedia rabun ini terus menjelajah ke dalamnya. Namun dalam kekosongan ruang yang sebegini ada juga yang berminat memberi award dan tag aku. Blogger dari Citarasa Rinduan nampaknya mahu aku turut serta juga. Ingin tahu lanjut apa ada di Citarasa Rinduan persilakan jejari itu menari dan mengetik ini http://rahayurazali.blogspot.com/ Aku pasti anda juga akan terpikat.
Sebagai memenuhi syarat lihatlah: -

Pertama: Salin gambar di atas dan tepeklah di entri yang dibuat.
(Lihat gambar di atas telah tertera dengan gahnya)

Kedua: Dari mana dapat tag dan award ini.
(Mohon aku selitkan sedikit apa yang aku tahu tentang blogger yang tag aku - Maaf Ayu sekiranya ada yang terlebih/terkurang)

Wanita ini bukan sahaja seorang blogger. Kurniaan Allah didudukkan beliau hidup bersama seorang kaum Adam bernama En. Razali sebagi suri di hatinya. Mencanai kebahagiaan hidup dikongsi bersama seorang puteri yang dipanggil Umai. Tugasan mengurus sebuah hakmilik persendirian membolehkan dirinya dipanggil usahawan juga. Citarasa Rinduan bukan saja tempat mencurah idea, tetapi juga adalah tempat disandarkan hidup lebih selesa disamping dapat memberi peluang kepada mereka yang memerlukan untuk mencari nafkah. Sabar dalam mengharungi hidup bersama mereka yang ada disampingnya samada yang tua mahupun yang muda. Itu yang membuat pasangannya turut berbangga memiliki insan bernama Rahayu.

Ketiga: Senaraikan lima blog yang menjadi kegemaran anda dan sebab-sebabnya: -
(Wah.... banyak blog yang aku suka sebenarnya. Terutama yang berkaitan agama, cerita anak-anak, perjalanan, masakan, jenaka dan tugasan harian)

1. Seorang wanita gigih, seorang ibu dan juga seorang guru yang berdedikasi. Tuisyen dia tidak gemar. ckLah nama digemarinya. Mendidik anak murid dikalangan perempuan begitu cekal sekali kerana tubuh badan sendiri sebenarnya diuji Allah dengan suntikan yang terpaksa dilalui saban hari. Ingin melabuhkan jejari melihat siapa suri itu silalah klik ke http://xiiinam751.blogspot.com/ .

2. Seorang wira yang telah banyak berjasa kepada negara, bangsa, agama dan keluarga khasnya. Bererti memang dia lebih banyaklah makan garam. Sekilas iar di laut dia sudah tahu jantan dan betinanya. Kini berbahagia melayari hidup bersama permaisuri yang sering disebut sebagai Mak Ngah. Wira ini bernama Tn Hj. Hamzah bin Abd. Hamid empunya blog http://al-lavendari.blogspot.com/. Membawa halaman yang diberi nama komensen ada waktunya aku bagai dibuai leka membaca apa yang tertera di dalam halamannya.

3. Wanita ini gigih mentarbiah dan memberi tazkirah sesiapa jua yang sudi menginjak halaman yang diberi nama Nota Untuk Diri. Werdah nama tertera. Aku selalu menumpang menikmati dan mentarbiah diri dari apa yang beliau titipkan. Menikmati kehidupan sebagi pesara memang membanggakan kerana beliau tidak sahaja duduk goyang kaki sebaliknya menyebar ilmu untuk tatapan bersama. Sesekali relakanlah jejari anda menari atas huruf-huruf ini http://harmoniinn.blogspot.com/

4. Ini dia teman blog yang sebangsa dan seagama dengan aku. Boleh berbicara hanya melalui blog. Aku memanggilnya Aby. Mungkin itu panggilan putera-puterinya. Apa yang aku tahu beliau mempunyai hobby satu keluarga yang sama. Menjengah halamannya pasti akan disogok dengan pandangan mencerlang mata-mata kucing kesayangan keluarga beliau. Ada yang bernama Damia, manja, romeo dan paling aku ingat ada Shah Rukh Khan. Macam bintang filem hindu. Ingin menikmati halaman Hidup Bagaikan Satu Perlumbaan larikanlah sesekali membawa mata anda ke http://satuperlumbaan.blogspot.com/

5. Puteri ini solo lagi. Buah hatinya bimbang menonjol diri atau mungkin masih mencari itu aku kurang pasti. Menjengah halaman http://kilauancintasangratu.blogspot.com/ pasti mengundang rindu untuk kembali lagi. Stori Mori Terkonang Juo itu dia kepunyaan empunya diri dipanggil sebagai Adinda Amy Sensei. Aku menggemari muka comel baby di halamannya. Terbaru baby ini diletkkan dalam satu kiub dan bergolek-golek, sangat cantik.

Kalau diikutkan oleh naluri aku ramai lagi blogger yang mahu saja aku bagi award dan tag kerana semuanya amat aku suka. Tapi syarat diberi oleh tuan asal http://adzriel.bolgspot.com/ membenarkan 5 sahaja maka itulah yang mampu aku berikan. Sahabat sekelian, mohon ambillah award dan tag ini sebagai ikatan ukhuwah antara blogger. Aku percaya ramai teman blogger yang telah mendapatnya.


Friday, February 11, 2011

Cenderahati Dari Kakcik

Dari mana harus ku mula
menerima sesuatu tidak disangka
sudah seminggu berita diterima
membuat hati berbunga gembira

Sekembali aku dari kerja
terlihat pos express di atas meja
hati berdetik inilah dia
pemberian kakcik sudah pun tiba

Hari itu kakcik sakit dua-tiga hari
dia berada di hospital sendiri
walau sakit tidak dipeduli
sebolehnya mahu menunai janji

Nyata 09-02-2011 walaupun sibuk

kakcik tetap buat tak kekok
dijamin sampai dihari esok
10-02-2011 benar-benar dah masuk


Tangan merobek sampul dibuka
jauh di sudut hati tetap teruja
walau dah tahu apa isinya
tetap berdebar hendak tahu juga



Terurai sedikit debaran di dada
aku keluarkan isi di dalamnya
masih berbungkus kertas pula
hebat betul kakcik kita

Wah !! ini dia cenderahatinya
ku terima dengan syukur kepadaNya
Kakcik huluran darimu sudah ternyata
syukran, terima kasih tidak terhingga

Mengambil kesempatan melalui Titisan Nurani ini benar-benar naluri ku mahu mengucapkan jutaan terima kasih kepada kakcik di atas segala inisiatifnya melaksanakan apa yang dihajati olehnya. Aku sebagai teman maya mendoakan kesejahteraan buat diri beliau sekeluarga semoga sentiasa mendapat limpahan rahmat dan hidayah dari Yang Esa dan ganjaran di akhirat hendaknya. Terima kasih Kakcik!!....




Wednesday, February 9, 2011

Demi Sebuah Syarikat

Masuk hari kedua selepas bercuti agak panjang. Tidak perlu menoleh belakang lagi kerana semua tugasan telah menunggu. Sakit mata melihat susunan buku yang rasanya sesekali saja diselak untuk mencari sesuatu. Sebelum susun ambil gambar dulu sebab masih pagi lagi.
Banyaknya buku panduan dalam kabinet
hendak simpan masuk setor takut masih diperlukan
susun sajalah dalam kabinet
walau tidak diselak nampak cantik juga
tersusun dengan warna-warna yang tidak sama
panduan engineering ada
panduan dari super pages
panduan akitek dan design pun ada
panduan arah jalan dan tempat pelancungan tidak ketinggalan
panduan dari Kastam Di Raja Malaysia mesti juga
yang ini memang kena rujuk sentiasa
walau ada kalanya akan diminta yang lain
dan tidak tersenarai di dalam buku panduannya

Ada juga yang tidak puas hati takut buku tidak dibuka
siap bagi kalender lagi walau kini sudah menginjak bulan Februari
terpapar 150 buah syarikat mengiklan
hanya di dalam sekeping kalender
berharap akan ada perhubungan perniagaan
yang berpanjangan

Lagi dahsyat lagi sanggup pikul kotak oren

hantar pejabat kerana hubungan perniagaan sekian lama
"Sorry itu hari banjir lori sangkut tak dapat hantar ke JB.
Semalam ada call kawan kata you cuti ye? Ambilah ini."
"Oh... thank you. Thank you."
Kenduri oren lagilah pejabat aku......
..
..
..
Entah mengapa hatiku berdetik
mengapa mesti takut
kalau baik perkhidmatan dan pembayaran
pasti syarikat itu tetap menjadi pilihan
walau tiada oren dan tiada iklan
aku sendiri akan menghubungi kalian.


-tidak pernah pilih kasih dalam mengagih kekuatan syarikat walau diberi kuasa kerana tahu bahawa ada yang lebih berkuasa dari kita yang pengadilannya lebih saksama suatu hari kelak-




Monday, February 7, 2011

Teman Lama

Semenjak hari pertama Tahun Baru Cina sehingga malam tadi aku tidak langsung melayari internet. Empat hari berseronok dengan keluarga dan teman lama amat berbekas di hati. Hari pertama cuti aku bertemu adik-beradik kerana berkumpul di rumah ayahanda tercinta. Hari berikutnya ke rumah majlis perkahwinan sepupu aku. Malam berikutnya aku bertemu teman lama satu sekolah yang pernah menuntut di Sekolah Sri Kukup. Pertemuan ini melibatkan senior dan junior yang dapat dihubungi sahaja. Usia tidak mengira asalkan berasal dari sekolah yang sama. Ada yang aku tidak kenal kerana selain lebih senior mungkin jumlah pelajar yang terlalu ramai waktu alam persekolahan itu.

Sekolah Sri Kukup merupakan sekolah yang memberikan aku didikan dari Tingkatan Satu sehingga ke Tingkatan Lima. Sewaktu melanjutkan pelajaran di Tingkatan Enam aku berpindah ke Sekolah Dato' Penggawa Barat. Bererti Sekolah Sri Kukup lebih lama aku tinggalkan berbanding Sekolah Dato' Penggawa Barat. Sempena cuti Tahun Baru Cina kami telah merancang untuk bertemu setelah sekian lama tidak bertemu. Pertemuan bermula dari facebook dan dilanjutkan ke sebuah restoran dikenali sebagai Restoran Mandela.


Pertemuan - Masing-masing mengambil tempat duduk ditempat yang telah ditempah awal.
Siakap 3 rasa - Menu pertama keluar sebagai santapan. Menu-menu lain terlupa hendak memfoto kerana mulut lebih banyak berbicara bila pertemuan yang telalu lama membuat hati dibuai rasa rindu

Menikmati hidangan - Masing-masing terleka seketika menikmati hidangan yang sederhana tetapi enak rasanya.
Menu - Siakap 3 rasa, udang goreng tepung, baby squid goreng, puyuh masak hitam manis, kailan goreng ikan masin dan telur dadar.
Makanan - Makanan sudah terhidang tetapi selera bertemu teman lama lebih memberi erti dari makanan yang terhidang. Sabirin Ahamd (T-Shirt hijau gelap) kini pengusaha MLVK di JB

Sahak Ahmad - Ketua Pelajar kami dulu (berdiri sambil memegang kerusi) masih segak lagi dan merupakan GM di salah sebuah syarikat di Ampang
Sood - Berdiri kemeja lengan panjang hingga kini masih tidak banyak bercakap. Bekerja di Majlis Perbandaran Pontian merangkap bilal di kampungnya.
Zulkifli Ismail - Duduk di bahagian depan kini mempunyai syarikat guaman yang dibuka bersama-sama isterinya di Taman Tampoi Indah dan Gelang Patah.


Hashimah Mustafa - Dulu merupakan Penolong Ketua Pelajar (bertudung hijau). Kini ibu tunggal gigih sebagai pengusaha catering
Hendon Ahmad - Cik kakak ini (bertudung merah) pula pengusaha kain songket.
Norsiah, Zainab, Norzila dan Rosyatimah walau dulu tidak satu kelas tetap sudi bersama memeriahkan...

Norlidah Md Radi - Kini bertugas sebagai Sales & Marketing di salah sebuah Hotel di Kota Tinggi.

Abu Bakar Rashid - Orang kuat UMNO sekarang. Mempunyai syarikat kontraktor sendiri. Directorlah kiranya. Bolehlah memberi kerja kepada mereka yang memerlukan.

Ibu - Semua telah menjadi ibu dan pastinya mahu menjadi ibu yang terbaik buat anak-anak

Perpisahan - Bila bertemu perpisahan tetap tidak dapat di elak. Mengharap akan bertemu lagi di masa-masa akan datang. Mudah apabila nombor telefon dan e-mail telah bertukar-tukar tangan.

Cenderahati - Sebahagian cenderahati yang dibawa pulang. Nilainya amat berbekas di hati.
-
-
-
Biarpun gambar-gambar yang diambil kurang memuaskan (anak teman lama yang menjadi cameraman) tetapi ingatan tetap terpahat di sanubari. Hari ini aku masih lagi bercuti kerana mengemas segala yang telah digunakan dan perlu pembersihan dan kemas di sana-sini sambil merehatkan badan. Anak-anak telah memulakan alam persekolah mereka seperti biasa. Aku akan memulakan tugasan aku sebagai kuli sebuah syarikat di Johor Bahru esok.






Wednesday, February 2, 2011

Siapa cantik

Seminggu bercuti sempena menyambut Tahun Baru Cina disambut dengan hati berbunga-bunga. Kerja sekolah yang cikgu berikan pun tidak banyak mana. Dua-tiga hari cuti kerja sekolah sudah selesai. Peluang untuk membaca novel yang tersusun di almari terbuka luas. Walau telah dibaca tetapi lebih menyeronokkan membaca novel dari membuat ulangkaji buku-buku pelajaran. Puas membelek novel, mula terdengar sedikit suara berbalas-balas kata. Akhirnya terdengar pula suara tangisan.

"Kakak memang dengki. Adik tak ada buat apa pun kat kakak."

"Ala.... kakak saje je. Bukan apa."

"Habis kenapa kakak buat muka adik macam tu?"

"Ha...ha....ha.... ok kakak padam nanti. Macam tu pun nak nangis"

Tangisan masih kedengaran. Hati mamanya sudah tak boleh tahan. Keluar dari dapur dengan mata terjegil. Mancari jawapan dari keduanya. Seorang tersengih macam kerang busuk dan seorang lagi masih menangis berlagu sendu.

"Kenapa tak boleh cakap baik-baik adik-beradik. Kenapa ni? Mama masak pun tak senang tau."

"Kakak tu dengki dengan adik." Tangisan masih kedengaran.

"Ala... mama, adik macam tu pun nak nangis. Bukan apa lukisan je. Takut sangat dia tak cantik"

"Habis kakak ingat kakak tu cantik sangat ke?"

"Lahawlawala quwwata illa billa hil'aliyyul'aziiiimmmmm...." itu yang aku termampu. Baru cuti empat hari sudah begini jadinya. Dalam hati tersenyum tetapi muka kena tunjuk marah bila tahu punca angkara.

Menangis - Hati sudah tidak boleh tahan. Remuk redam dibuat si kakak.


Tutup Muka - Hati bertambah sakit bila ada pula camera shoot

Bantal - Tutup muka dengan bantal baginya lebih selamat.

Whiteboard - Inilah yang menjadi punca segalanya. Pantang bila whiteboard ada banyak ruang pasti ada tangan yang akan menjadi artis.

Lakaran - Ada ke patut dilukis muka adik dia macam ini? Sengaja bertujuan menyakitkan hati



-biar hilai-tawa dan tangisan itu kedengaran, ada waktunya memang membingitkan, tapi bila terkenang ia membuahkan satu senyuman, sebelum mereka membesar meninggalkan kami akhirnya berdua, seperti anak yang pertama, hanya sesekali bersua dan berbicara ketika cuti, terasa kemesaraan itu. -