Thursday, January 26, 2017

Warna merah di sana-sini

Jika di negara saudara kita merah kerana darah berhamburan kerana perjuangan yang tiada kesudahan. Tetapi di negara kita ini lain pula merahnya. Masuklah di mana-mana mall atau shopping complex kini warna merah di sana-sini. Bukan saja pakaian yang dijual berwarna merah, bahkan banner, karpet, ruang legar masuk, perhiasan di lobby semuanya merah belaka. Ketika menemankan anak dara aku membeli barang pencuci muka kami bertembung dengan persediaan kumpulan yang mahu membuat persembahan Lion-dance. Bergema seluruh bangunan dengan muzik rancak mereka. Dulu masa usia muda aku tidak kisah tetapi bila sudah berusia kini entahlah mengapa boleh rasa bingit dan pening pula.

Bersedia - Mereka sedang membuat persiapan. Ini di kawasan lobby mall. Niat mahu makan di tingkat ini aku batalkan. Anak dara aku pun tahu mama dia sudah tidak tahan.
Wrap - Naik ke atas sedikit lega bolehlah menikmati makan. Niat asal mahu makan nasi terpaksa dibatalkan dek bunyi bingit tidak tertahan
Kak Reen punya - Setelah didigit inilah wrap pilihan anak dara mama
Kenyang - Mama makan ini. Lengkap juga sebab  ada semua keperluan samalah dengan nasi dan lauk-pauk.
Kami sekeluarga tidak ada cadangan untuk makan angin. Tapi tetap ceria menghirup udara pinjaman Allah buat kita. Mengharap baik-baiklah semuanya. Sementara dapat berkumpul bersama seisi keluarga syukuri nikmat yang diberikan. Buat anak-anak di Johor hari ini merupakan hari akhir persekolahan sebelum bercuti sempena Tahun Baru Cina. Selamat bercuti buat semua.

~~ Bersusun kotak oren di pejabatku sekarang. Aromanya berlawanan dengan air-freshner yang sedia ada.~~

Wednesday, January 25, 2017

Warna-warni hidangan

Somtam
Spaghetti aglio olio
Pizza
Acar buah
Cekodok ikan bilis+carrot+taugeh

~~ Dua bawah saja yang homemade.~~

Tuesday, January 24, 2017

Dairi 2017 tokidoki

Punyalah gigih Kak Reen mengumpul setem untuk mendapatkan diari comel tokidoki. Bermula dari akhir tahun lepas sudah mula membeli kudapan/jajan yang yang mana bila membeli itulah akan mendapat setem. Untuk memenuhi ruang itulah dia membeli lagi dan lagi sehingga memenuhi ruang setem yang ada. Setiap kali lalu di depan 7eleven dibelinya kudapan yang memberi setem tersebut. Malam minggu lepas penuh semua ruang. Pagi ketika menemankan mama untuk membuat physiotherapy di hospital singgah untuk menebus diari yang diidamkan. 

Penuh - Ada disediakan 24 ruang untuk ditampal dengan setem. Mama pun kurang pasti berapa harga membeli untuk mendapat satu setem. Yang mama tahu anak-anak mama suka benar singgah di sini sebab tempat laluan bila balik ke rumah.

Diari 2017 - Inilah diari yang diidamkan olehnya
Buku - Bagikan buku exercise sekolah biasa pada mama. Cuma sebab design kulit yang tebal. Itu sajalah yang menariknya.
Saban tahun sebenarnya mama memperolehi banyak diari dan kalendar yang diberikan oleh supplier, forwarding agent, syarikat insurance, bank dan sebagainya. Tetapi tahun ini amat terasa kurangnya berbanding tahun-tahun lepas. Amat ketara semua organisasi telah mengurangkan apa juga kos yang boleh dikurangkan. Tahun 2017 ini bagaikan kita akan melihat bermulanya keperitan ekonomi kepada siapa juga jika tidak berwaspada. Paparan akhbar bukan berbahasa Melayu sering memaparkan isu ini berbanding akhbar kita yang lebih kepada hiburan, kemalangan dan bencana alam. Bencana ekonomi mungkin kurang menarik perhatian pembaca akhbar bangsa kita atau mungkin wartawan kita yang kurang berminat membuat liputan itu.

~~ Diariku biasa penuh dengan catatan berkaitan kerja saja.~~



Monday, January 23, 2017

Umat Muhammad di akhir zaman

Forum bersempena bulan rabiul-awwal malam Ahad yang lalu menjentik banyak hati-hati kami sebagai jemaah malam itu. Kupasan yang dibawa oleh ustaz-ustaz jemputan kami bukan saja membuka kedua mata kami bahkan juga mata hati kami dengan seluas-luasnya. 

Isu fahaman mazhab yang berbeza sehingga mampu memporak-perandakan silaturrahim sesama umat Muhammad kian menjadi-jadi. Pertelagahan bukan saja dikalangan rakan-taulan, keluarga, di dalam rumah ibadah bahkan menular sehingga ke media alam maya. Contohnya masalah letak tangan selepas takbiratul-ihram. Ada yang mengatakan terbaik letak di atas dada. Ada juga kata letak di atas pusat. Ada juga yang kata tidak perlu letak tangan di atas. Semua ini kalau kita perhatikan boleh dilihat ketika kita berada di masjidil-haram atau masjidin-nabawi. Mengapa isu remeh ini yang disibukkan. Letak tangan mana pun tidak menjadi masalah. Tapi yang menjadi masalah sebenarnya kaki. Tahu mengapa dikatakan kaki yang jadi masalah. Sebab sebaiknya bawalah kaki itu bersolat di masjid bukan di rumah (bukan bermakna solat di rumah tidak boleh tetapi ganjaran solat di masjid 27 kali ganda). Letak tangan selepas takbir itu tidak menjadi masalah. Sebaik ustaz berkata demikian sudah pasti ramai jemaah yang tergelak dan menggangguk setuju akan kebenarannya.

Umat Islam hari ini kian tercabar dan dicabar keimanannya. Mereka yang dikatakan ilmuan tapi ada kalanya bila godaan syaitan tidak dapat ditangkis dengan hal yang sedikit mampu menjerumus ke lembah hina. Seorang agamawan yang telus pun boleh dipersendakan hanya dengan hujung jari sehingga akhirnya kerjaya disandang terjejas. Contohnya seorang ustaz yang gigih berdakwah memberi contoh cara bersyukur kerana dikurniakan rezeki dengan mencium buah epal. Tetapi bila keluar gambar di alam maya gambar ustaz mencium gambar wanita. Semua ini tidak mustahil di era zaman ini apa pun boleh dilakukan janji mendapat kepuasan. Dosa pahala semua tidak menjadi soal. 

Jika mahu dikupas isu umat Muhammad di akhir zaman terlalu banyak hingga ada kalanya bagai menggugat keimanan yang terlalu nipis. Berlai-lari ke sana-sini saban hari sambil dalam hati berfikir akan bertaubat tahun hadapan. Tahun hadapannya begitu juga azam dibuat. Akhirnya azam dari usia belasan tahun berpanjangan sehingga usia pencen. Bila pencen dengan kudrat sudah tidak segagah dulu mahu membuat ibadah berlebihan sudah tidak mampu. Akhirnya ketika izraeil datang menjemput roh menjerit mohon dikembalikan kerana terasa bekalan belum mencukupi. Allahurobbi!!
Forum - Ustaz-ustaz inilah yang menyampaikan tazkirah di malam tersebut. Lontaran suara ustaz Datuk Dr. Izhar dan Ustaz Mohd Rifqi tidak perlu dipertikai. Khusyuk para jemaah sehingga suara anak-anak kecil juga tidak kedengaran. Semua tekun mendengar dari awal hingga akhir. Ustaz Mohd Rifqi merupakan ustaz yang mendapat anugerah Maal Hijrah Johor pada tahun lepas. Ustaz Dr. Izhar siapa pun kenal manakala Ustaz Luqman merupakan ustaz di Jab. Agama Islam Johor dan selalu memberi tazkirah kami selepas solat maghrib.

~~ Ilmu, musyawwarah dan taqwa tiga yang perlu ada dalam diri kita semua sebagai umat Muhammad di akhir zaman. Moga kita menjadi umat yang mendapat syafaatnya. Allahumma solli 'alasayyidina Muhammad.~~



Friday, January 20, 2017

Di mana nilai kemanusiaan itu?

Biarpun sama-sama binatang tetapi berlainan habitat dan kebolehan. Oleh sebab itulah ada yang menjadi mangsa kerana ada yang kuat berlagak menunjuk kebolehan. Akibatnya yang lemah terkulai tanpa bantuan dan pembelaan. Itulah kucing dan merpati di belakang rumah kami. Melihat kucing jantan yang garang membaham merpati yang sedang leka menikmati taburan sisa nasi yang kami tabur membuat Kak Meen marah. Sayangnya merpati sudah berada di mulut kucing lalu akibatnya merpati terkulai kesakitan.

Begitulah juga dengan manusia di bumi Allah ini. Ada manusia yang gagah tetapi rasa belas ihsan hilang dari dalam diri sehingga dengan rakusnya menghenyak golongan yang lemah tanpa sedikit pun diberi ruang. Siapa yang mampu membela seandainya yang mahu membantu juga sudah kelelahan dek bantuan tidak menembusi misi sebenar. Bantuan diberi disekat sewenang-wenangnya. Lebih sadis bila sesama saudara bercakaran. Hancur lumat nilai kemanusiaan sejagat.

Jinak - Benar jinak-jinak merpati senang di dekat ditangkap lari. Tapi kini dengan rela hati terpaksa menyerah diri mohon bantuan hubby.

Sakit - Kini merpati pasrah kerana tidak mampu terbang bila sayapnya terkulai dan kaki tidak mampu berdiri seperti biasa.

Mengharap - Penuh mengharap mampu terbang lagi. Dua hari juga menanggung derita.
Ramai sebenarnya saudara kita kini berada di dalam kelompok golongan yang tertindas bagai merpati di atas dan kawan-kawannya. Sering diburu kucing liar yang berkeliaran. Tetapi sekurang-kurangnya merpati ini masih ada yang menghulur bantuan tanpa sekatan sebab yang membantunya lebih berkuasa. Tidak seperti saudara kita terus tertindas kerana mereka yang mahu memberi bantuan tidak punya kuasa besar. Berada dalam zon selesa/aman kita sekarang ini, masih mampu melompat menari-nari tanpa sedar ramai saudara kita yang kini sudah tidak lena tidur, makan tidak terurus, pendidikan terabai; bahkan untuk beramal juga tidak tenteram. Harta-benda musnah tanpa jejak. Andai kita terus berkhayal dengan mimpi indah-indah dan bercakaran, tidak mustahil satu hari akan terjadi, kelompok kita yang dikatakan dalam 'zon aman' ini akan menjadi kelompok minoriti yang kocar-kacir dan akhirnya dihalau keluar dari zon aman ini. Na'uzubillah...

~~ Berpeganglah pada tali Allah dan ikat ukhuwah seerat yang termampu sesama ummah untuk terus bersatu.~~


Thursday, January 19, 2017

Ragam penyewa rumah

Benar - kita melihat orang lain tetapi lagi ramai orang lain yang melihat kita. Kita merasakan dia bersalah tetapi lagi ramai yang nampak akan kesalahan kita. Oleh sebab itulah sebelum bertindak kami suami-isteri berbincang baik-baik mencari penyelesaian terbaik agar ukhuwah sesama umat Islam tidak terputus begitu saja. Seminggu, dua minggu, sebulan dan kini dua bulan tetap tiada kata putus. Panggilan tidak dijawab. Whatsapp dihantar juga tidak dibalas. Kami buntu. Seminggu sebelum menghilang awal November itu dia ada mengirimkan whatsapp mengatakan yang dia akan keluar hujung bulan November. Kami akur bermakna dia tidak perlu membayar sewa untuk bulan tersebut. Tetapi sehingga akhir November 2016 sehingga kini bayangnya pun tidak kelihatan. 

Menjadi masalah kami sebab rumah tidak terurus. Daun-daun kering sudah kian berserakan. Barangan milik mereka masih ada di dalam. Orang pula sudah berpuluh-puluh bertanya mahu menyewa. Kami tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Beranggapan penyewa menghadapi masalah tetapi sayangnya sedikit balasan melalui pesanan ringkas atau whatsapp langsung tiada. Mahu menelefon kami mungkin malu walaupun sebenarnya kami tidak kisah seandainya benar dia tidak mampu. Siapa lagi yang mahu membantu saudara sesama agama kita kalau bukan kita ini. Tekanan ekonomi siapa tidak tahu.

Dua minggu lepas seorang kakitangan awam beruniform datang memberi salam bersungguh-sungguh mahu menyewa. Lebih terkejut dia mengenali penyewa kami itu hingga meminta kebenaran untuk memanjat pagar kerana mahu mengambil topi keledar yang dipinjam oleh penyewa rumah kami itu. Topi itu ada disangkutkan di tepi pengampai baju. Dia minta aku melihat apa yang dia ambil sebab bimbang dikatakan pencuri pula. Minta juga aku memberitahunya bila penyewa itu balik kerana mahu menagih sesuatu darinya. Aku tidak mahu tahu itu kisah di antara mereka.

Memandangkan tiada penyelesaian akhirnya hubby terpaksa membuat laporan polis bercadang untuk memotong mangga dan masuk rumah sewa kami itu. Barang-barang mereka akan kami pindahkan ke rumah corner lot kami yang kosong. Rumah corner lot sengaja tidak disewakan sebab menjadi tempat aku dan hubby bercucuk-tanam dan membela ayam. Barangan projek hubby juga banyak simpan di rumah ini. Harapan kami sebenarnya kalau mahu keluar ambillah barang-barang milik mereka. Katil, almari, dapur dan mesin basuh semuanya amat diperlukan oleh si isteri. Mungkin tidak menjadi masalah kepada isteri pertamanya sebab anak-anak sudah besar. Tetapi isteri kedua ini anak masih bayi lagi - sungguh kami kasihan sebab itu sebenarnya kami amat memahami kesulitan yang dihadapi. Tidak perlu malu dengan kami. Hal laporan kepada polis dibuat juga sudah kami whatsapp kepadanya dengan harapan dia akan ambil semua barangannya tetapi tetap tiada. Mungkin hujung minggu ini terpaksalah kami bertindak sebagaimana yang disarankan oleh pihak polis.

~~ Melihat saudara seagama tersepit kita yang melihat terasa peritnya sama.~~

Wednesday, January 18, 2017

Jojo bergaya dengan setokin baru




~~ Kak Reen dan Kak Meen punya kerja semua ini.~~

Tuesday, January 17, 2017

Makan di tepian pantai Mersing

Sekarang menjenguk adik dua minggu sekali sebab itu janji yang termetri sebelum sessi persekolahan 2017 bermula. Oleh itu sabtu lepas kami semua pergi bertemu adik selepas menghadirkan diri di majlis perkahwinan anak sepupu dan jiran sebelah taman. Pergi ke majlis sebelum tetamu lain hadir dan hidangan pun belum keluar. Tetapi kami memaklumkan kepada sepupu mengapa kami datang awal. Selepas berbual seketika kami pun bersalam dan terus bergerak untuk berjumpa adik. 

Selepas mendapat kebenaran warden asrama terus bawa adik keluar. Singgah di masjid untuk solat zuhor, kemudian bawa adik ke klinik. Ada banyak ruam di badannya. Dapat krim untuk disapu. Selepas itu barulah kami beredar mencari tempat makan. Minta bantuan wase untuk mencari lokasi dipertemukan dengan tempat berhampiran pantai. Cantik juga.

Sambal belacan - Lihat dalam set ada sambal belacan. Hanya hubby, mama dan Mak Zah saja yang makan ini. Anak-anak timun yang terkena sambal pun dia sudah tidak mahu.

Set - Nasi putih, siakap tiga rasa, tomyam campur, kailan ikan masin, telur dadar dan sotong goreng tepung.

Bolehlah - Telur dadar dan sotong goreng tepung

Lagi - Kailan ikan masin dan telur dadar

Siakap - Pilihan anak-anak masak tiga rasa. OK juga dan ini salah satu dish yang licin kami makan.
Selepas makan mencari keperluan adik. Belikan air mineral, susu, net cuci baju, ubat tambahan bimbang kalau demam/batuk dan lain-lain. Membantu juga kawan adik mengambilkan duit di ATM sebab tanpa ibu-bapa mereka tidak boleh keluar. Menumpang ibu-bapa orang lain juga tidak dibenarkan. Kasihan pada mereka itu lalu aku berikan anak-anak itu jajan. Dari rumah juga aku sudah rebus jagung yang Mak Zah bawa dari kampung. Puas mereka makan jagung😀. Sesekali makan sedap tapi adik dan kakak-kakaknya sudah puas. Kami menghantar adik balik ke asrama selepas asar. Naikkan semua keperluan adik, salam-peluk-cium-doa kami pun bertolak balik JB.

Bertahun lagi aku kena berulang-alik menziarahi adik selagi mampu. Hujung bulan ini mungkin papa akan menjemputnya dan balik untuk cuti Tahun Baru Cina dan balik sana semula ke sana kenalah mama yang menghantarnya sebab Isnin 30 Januari papa bekerja dan mama masih bercuti.

~~ Rutin selagi ada anak belum habis bersekolah beginilah.~~

Monday, January 16, 2017

Pejabat aku kena masuk pencuri!

Sebaik menutup pintu kereta dan memicit remote kereta, tet! kereta terkunci aku melangkah ke hadapan, tiba-tiba pak guard berlari datang menghampiri aku. Memandangkan biasa aku adalah orang pertama masuk ke pejabat sudah pasti aku dapat merasakan pasti ada sesuatu yang tidak kena. Satu-satu diceritakan kepadaku bagaimana sebelum subuh, sosok tubuh seorang lelaki melompat dari tingkat dua (pejabat kami) menuju dan memanjat keluar pintu pagar. Seberkas kunci tercicir ada dikutip pak guard. 

Masuk ke pejabat seperti biasa aku memberi juga salam walaupun tiada sesiapa "Assalamualaina wa'ala ibadillahissoliin". Kemudian membaaca juga surah Al-Ikhlas sambil mata terus melihat sepahan fail-fail di atas lantai. Laci-laci berserakan. Tingkap banyak yang ternganga. CCTV sudah tidak berfungsi. Talian telefon termati tetapi talian fax masih berfungsi. Laci meja aku terkopak. Album setem aku berserakan di atas lantai. Sedih. Apa yang aku risau duit SGD untuk GST dari customer aku semua aku letak saja di atas meja. Maha kaya Allah tidak disentuhnya semua dokumen di atas meja. Mungkin kerana dokumen GST itu aku masukkan di dalam sampul courier DHL kelihatan bagaikan kertas biasa. Dia tidak tahu setiap helai GST copy belakangnya aku kepilkan sampul surat berisi cash SGD. Selamat!

DHL - Di dalam sampul DHL inilah semua SGD itu aku simpan dan hanya terletak begitu saja di atas meja tetapi alhamdulillah Allah tutup hatinya untuk membuka sampul ini.
Kemudaian aku menuju ke meja kerani akaun aku. Berserakan. Sampul-sampul duit berwarna merah untuk diagihkan kepada staff sempena Tahun Baru Cina dibuka satu-satu. Sungguh bernasib baik sebab duit belum kami masukkan lagi walaupun sepatutnya sudah dimasukkan minggu lepas. Lebih bersyukur, boleh pula kerani aku itu membawa balik cash-box kerana kami baru memberinya petty cash untuk dikira dan diagih sebelum dimasukkan ke dalam sampul duit tersebut. Bermakna cash money juga selamat.

Bincang-bincang, lihat keliling akhirnya kami tahu pencuri itu tidak dapat apa-apa pun dari pejabat kami. Main switch untuk CCTV dan telefon saja yang ditutup. Oleh itu bila di on semua kembali pulih. Hanya kerosakan pada roofing, ceiling, tingkap dan meja-meja kami yang rosak. Sehingga kini laci meja kami semua terlopong bahagian atas. Tidak perlu dikunci lagi. Tunggulah untuk dibaiki atau kalau tidak pun biar sajalah.

~~ Alhamdulillah kami masih diberi perlindungan Allah.~~




Friday, January 13, 2017

Allah mengasihi setiap hambaNya

Semalam tidak makan seharian seharusnya diteruskan untuk makan sedikit hari ini, barulah beroleh banyak kebaikan. Boleh juga dikurangkan lemak yang singgah. Tetapi sebaliknya lihatlah apa yang aku bawa bekal hari ini. Bagaikan untuk makan dua hari. Seandaikan boleh dikirimkan kepada saudara kita, pelarian etnik Rohingya pastinya mereka akan makan berkongsi ramai-ramai. Subhanallah.

Sarapan 
Makan tengahari
Buah dengan aku susah berpisah itu yang susah mahu kurus
Minum petang
Sebenarnya sejak Kak Reen bekerja aku semakin gigih balik menyediakan semua ini bagai masa anak-anak bersekolah rendah dulu. Selalu juga Kak Reen berkata "Mama tak payahlah susah-susah nanti Reen buat sendiri". Tapi aku bagaikan tidak percaya kalau tidak disediakan belum tentu dia akan bawa bekal semua ini. Membeli di tempat kerjanya tahulah tempat exclusive memanglah mahal. Sebab itu aku bawakan dia bekal setiap hari. Gaji pun tidak sampai dua ribu mana mampu kalau makan di tempat exclusive begitu. Kalau ada warung bolehlah juga.

~~ Sungguh Allah masih mengasihi kita yang tidak pernah kebuluran. ~~


Thursday, January 12, 2017

Berurut, berbekam dan akupuntur

Tuan empunya kedai mempunyai dua lot kedai yang berhampiran adalah strategi mereka yang pandai kerana memudahkan pelanggan. Satu kedai perkhidmatan untuk kaum lelaki dan satu lagi untuk perempuan. Tetapi untuk perkhidmatan mata hanya di lot kedai yang diusahakan oleh si lelaki. Aku berurut di kedai yang perempuan ditemani Kak Meen manakala papa ke kedai untuk lelaki bertemankan Kak Reen sebab di sini boleh membuat therapy mata. Sementara menanti mama dan papa berurut kak Reen membuat perkhidmatan mata. 

Kak Reen - Sedang dipasang alat bagaikan google (bukan google internet ye😁). Ini google cerminmata. 
Pejamkan mata -  Sedang dalam rawatan. Power mata sudah mencecah 500 memang agak susah tapi hendak buat macam mana, terpaksa juga memakai cermin mata. Bukan boleh buat selalu di sini. 
Macam-macam - Banyak jenis perkhidmatan diberikan terpulang kepada pelanggan  mahu memilih yang mana satu. Sebenarnya aku pergi ke Bandar Baru Uda pada asalnya tetapi kerana sudah terlalu ramai dia minta datang keesokan  hari. Memandangkan tidak ada masa di hari lain itulah akhirnya kami ke sini. Harga lebih kurang saja. 
Cendol - Balik dari berurut makan cendol. Sedap juga sebab sejak ramadhan, baru ini kami semua menikmati kembali makan cendol.  Boleh pilih mahu tambahan apa. Aku pilih pulut dan jagung. Ada juga kacang dan lain-lain.
Mungkin aku akan mencuba perkhidmatan berbekamnya. Belum pernah berbekam seumur hidup walaupun berbekam sangat baik. Aku takut melihat darah tetapi mungkin sudah sampai masanya untuk aku mencuba. Mana tahu itu salah satu perubatan yang boleh mengubat belikat kanan aku dan ibu jari kanan yang tidak selesa. Akupuntur aku masih takut lagi bila melihat banyak jarum tercucuk sana-sini😅. Berubat sekadar usaha sebab penyembuhan tetap atas redha Allah juga.

~~  Berbekamlah. Jangan membiarkan darah yang berlebihan melimpah, maka ia akan membunuhmu - Hadith riwayat Bukhari dan Muslim. ~~


Wednesday, January 11, 2017

Physiotherapy ibu-jari

Physiotherapy ibu-jari tangan kanan kini sudah menjadi rutin yang terpaksa aku hadapi setiap dua minggu sekali. Bertemu dengan insan yang sabar dan teliti dalam menjalankan tugas setiap kali bertemu dengan makcik yang satu ini. Bertemu mengikut temujanji yang sudah disusun-atur. Sekiranya aku atau dia yang tidak dapat memenuhi tarikh dan waktu ditetapkan, kami akan berhubung semula. Tetapi setelah dua bulan menjalani physiotherapy masih belum ada perkembangan yang positif. 

Senaman 1 - Boleh buat seperti gambar di atas selalu ketika berada di rumah mahupun pejabat. Tetapi jika di pejabat memanglah tidak ada masa panjang.

Senaman 2 - Ini juga satu cara yang boleh diikut. Ada juga membeli alat seperti plaster yang doktor anjurkan di phamacy tetapi aku kurang suka sebab setiap kali mahu berwudhuk menjadi masalah pula.

Bola elastik - Bagaikan mainan anak-anak juga diberikan untuk aku picit 'love' merah ini. Dulu di rumah ada 'love'merah ini dapat ketika kempen derma darah pejabat hubby. Setiap seorang diberi sebungkus makanan juga pen dan 'love' merah ini. Tetapi waktu itu kami tidak tahu kegunaannya entah kemana sudah perginya. 
Sudah agak lama juga ibu jari tangan aku ini tidak boleh buat 'good' seperti jari tangan kiri. Sebelum ini bila aku buat 'good' jari boleh melentik ke belakang tapi kini tegak saja. Menggenggam boleh. Ada ketikanya berdenyut sakit dibahagian palm. Itulah sebabnya aku berjumpa doktor dan akhirnya terpaksalah menjalani physiotherapy sejak bulan lepas.  Temujanji seterusnya pada 22-01-2017.

~~ Sedikit nikmat Allah sudah ditarik balik pada diriku sebagai peringatan.~~


Tuesday, January 10, 2017

Ragam anak menagih kesabaran

Masa: Malam waktu belajar mengaji
Hari: Semalam

Ketika anak pertama yang mengaji duduk di hadapan aku, si comel itu sudah keluar bilik. Aku menjangkakan dia mahu ke bilik sebelah.Tidak seperti biasa dia akan cuba membelek dulu Iqra' dia sementara menanti gilirannya. Aku pula yang sudah tua ini tidak menduga ada sesuatu yang mahu dibuat olehnya tapi tidak kesampaian. Masuk anak kedua mengaji dia masih juga tidak masuk. Tidak lama dia masuk bilik dan mendapatkan kakak sepupunya yang sudah selesai membaca. Ada satu bau sudah dapat ditangkap ke hidung. 

"Siapa kentut? kena ambil wuduk balik." Boleh itu yang mama Zakie mereka ini bercakap dan sambung lagi menghadap anak yang duduk di depan untuk membaca. Tapi tiba-tiba Kak Meen masuk bilik "Mama, Icha terberak." Masya-Allah kenapa pula dengan si comel satu ini. Terpaksalah berhenti seketika. Kalau dulu si abangnya pernah terkencing ini si adiknya pula lagi dahsyat. Tapi anak kecil siapalah boleh menduga. Terpaksalah Kak Reen jadi tukang mandikan sementara Kak Meen mengambil tuala manakala aku selongkar kotak baju-baju kecil yang sudah lama tersimpan. Hujung tahun ini umur Icha akan masuk 4 tahun tapi mungkin sudah tidak tertahan terlepas juga. Cuma bernasib baik dia terbuang di depan toilet tidak di dalam bilik seperti abangnya dulu.

Upin-Ipin - Ini baju tidur adik sewaktu adik kecil dulu. Boleh ngam-nagm bila disarungkan ke badan Icha yang buat hal tanpa di duga oleh semua. Malam itu dia tidak mengaji sebab baru  siap dimandikan ibunya sudah datang menjemput.
Anak belum baligh menduga kesabaran mereka yang baligh inilah salah satunya. Kena ejek pun tidak berkesan dihatinya. Senyum saja siap boleh bertanya lagi bila aku sarungkan baju. "Baju siapa ni mama?" Tidak malu pun dia berbogel di depan mama Zakie dia ini. Boleh lagi berkata sabun mandi mama wangi. Alahai anak...

~~ Ragam anak tidak membawa apa-apa dosa tapi ragam orang dewasa boleh mengundang dosa.~~


Monday, January 9, 2017

Anugerah PBSM dan tanggungjawab

Punyalah lama dari sebelum masuk IPTA sampai sudah keluar baru dapat sijil yang satu ini.

Ucapan - Sebelum majlis penyampaian sijil dimulakan dengan ucapan presiden PBSM Johor dan diikuti oleh ucapan presiden PBSM Pontian.
Semua - Bergambar kenangan bersama mereka yang dianugerahkan
Penyampaian - Alhamdulillah akan sentiasa di praktikkan
Banyak sijil Kak Reen berkaitan dgn PBSM (Persatuan Bulan Sabit Merah) kerana dari dulu dia mempunyai wawasan mahu bersama-sama dengan NGO yang terlibat dengan misi membantu saudara di Palestine tetapi sehingga kini masih belum kesampaian. Kini sudah mula bekerja pun. Belajar undang-undang tapi kerja lain dari yang diimpikan. "Sementara belum bertemu yang dituju duduk dululah bagi meraih pengalaman". Itu kata aku. Mama dia pun dulu bukanlah mengambil bidang PA tetapi melompat dari satu syarikat ke satu syarikat akhirnya begini jadinya. Tetap menjadi kuli sehingga pencen mungkin sebab sudah malas mahu melompat lagi. Biarlah anak-anak pula belajar melompat.

Siang hari bekerja jadi kuli orang lain malam hari jadi kuli papa pula. Siapa lagi yang mahu membuat quotation, delivery order dan invoice yang papa mahu. Dapat juga papa mengurangkan kos membayar gaji. Dulu mama kena buat sekarang ada anak sendiri yang buat boleh bayar ikut suka tidak perlu EPF/Socso😉

~~ Selagi masih bernafas ada tanggungjawab yang perlu digalas.~~

Friday, January 6, 2017

Nasi penyet, bakso dan cekodok

Biarpun sudah disenaraikan penduduk Malaysia di dalam rangking ke 10 tertinggi rakyatnya mengidap diabetes dan darah tinggi, tetap juga mahu mencari nasi. Nasi pilihan pula nasi penyet sebab hanya di sini yang ada nasi putih.  Di shopping mall yang kami singgah ini rata-rata menjual makanan segera yang waktu itu tidak pula membuka selera kami. Sebab itulah kami masuk di restoran nasi penyet ini.

Kak Reen - Iwak lele goreng. (iwak lele itu bermakna ikan keli).  Bukan di Bali saja disebut begitu, tetapi di Johor pun ada juga😁. Ini pilihan Kak Reen.

Mama punya - Pada menu dikatakan ayam kampung tetapi lidah aku tidak boleh ditipu jika ianya bukan ayam kampung. Sudah selalu menikmati ayam kampung sebab itu aku tahu apa yang dikatakan itu tidak betul. Apa yang dikatakan ayam kampung sebenarnya ayam pencen yang direbus kemudian digoreng. Aku kena tipu😥

Set - Inilah set hidangannya bersama nasi dan sup simple. Harga lupa pula sebab biasalah yang menjadi tukang bayar 'king' di rumah kami😀
Adik - Menjadi kegemaran adik hidangan yang berkuah. Bakso ini terlebih masin lalu tidaklah habis dimakan.

Cekodok - Biarpun tidak cantik tetapi sedap. Ada carrot dan ikan bilis. Cuma minyak yang menyerap boleh berganda kolestrol dibuatnya. Kena serapkan dengan tisu beberapa kali baru boleh suap ke mulut. Tapi sedap!
Apa yang kami makan ini sewaktu balik ke Batu Pahat baru-baru ini kerana meraikan majlis aqiqah anak buah en hubby yang mendapat baby baru. Memandangkan majlis dibuat waktu siang dan makanan semua ditempah catering jadi malam sebelum itu kami jalan-jalan cari makan di luar.

~~ Terus bersyukur kerana rezeki di tempat kita ada di sana-sini.~~


Thursday, January 5, 2017

Seketika singgah di Plaza Larkin

Bersama Kak Meen dan adik ke Plaza Larkin ini kerana mahu membayar yuran dan segala pembayaran MRSM adik untuk tahun ke dua. Adik sebenarnya sudah tingkatan dua sebab ada kawan yang ingat adik baru masuk, tidak. Selepas membuat pembayaran semua kami melangkahkan kaki sambil mencuci mata. Kedai kain-baju-tudung sudah tentu menjadi tumpuan anak dara. Mama ikut saja. Selepas membeli seorang sehelai terus menuju ke medan selera.

Macam-macam - Untuk mereka yang tidak pernah ke sini mudah saja sebenarnya. Jika tiba di terminal bas Larkin buka saja wase sebab kedudukannya di belakang terminal dan pasar Larkin. Medan selera ini menyediakan berbagai menu. Setiap kedai menyajikan berlainan hidangan. Boleh pilih. 
Pedas - Kak Meen menikmati kacang pool Haji hampir habis baru pesanan mama & adik tiba. Mama dan adik memilih kwee-teow goreng basah tetapi aduhai pedasnya sampai berasap telinga dibuatnya. Pada asalnya tidak membeli air sebab sudah menjadi kebiasaan kami membawa ada air masak tapi sebab pedas terpaksa KakMeen membeli air kedondong asamboi.  Tidak cukup segelas beli lagi segelas. Gelihati sebab bagaikan terbakar lidah tapi sedap😁
Ada satu scenario kurang manis dipandang mata. Ketika ramai umat manusia leka menikmati hidangan tiba-tiba ada seorang jejaka sihat-walafiat, berambut panjang, seluar jean lusuh dan berselipar jepun memberi salam "Kak, boleh mintak seringgit?" Terkejut aku. Selepas menjawab salam hati aku jadi beku untuk tidak memberi. Aku perhatikan dari satu meja ke satu meja dia meminta dengan tidak malunya. Adalah juga yang berhati mulia memberi. Apa yang membuat hati aku beku sebab aku dapat merasakan dia sudah memperolehi lebih dari pendapatan makcik pencuci pinggan di medan selera itu. Lebih baik aku hulur sedekah pada makcik pencuci pinggan yang sudah uzur. Entahlah... mengapa hati aku tidak bersih dalam hal ini. Ramai anak muda yang bagaikan tidak jumpa air (macam tidak mandi) dengan tidak malunya menadah tangan begitu. Tidak malukah dengan warga asing yang datang di tempat kita bekerja mencari rezeki?

~~ Mungkin ini pendapat 20 sen aku tapi jujurnya aku menjadi kedekut bila ditemukan insan-insan yang begini.~~