Apabila tiba tanggal 8 Zulhijjah gemersik suara-suara jemaah mengalunkan talbiah - labbaikallah humma labbaik sepanjang menuju ke padang Arafah tidak dapat dilupakan kepada siapa juga yang pernah menunaikan ibadah haji. Jika berada di Mekah pada hari itu merupakan hari dimana kami semua akan bersama-sama bertalbiah ketika menuju ke Padang Arafah untuk berwukuf. Berwukuf merupakan rukun haji ke dua selepas niat haji dan ihram. Sebaik berniat ini secara langsung terpasang sudah 13 larangan yang perlu dituruti. Masa berwukuf adalah selepas gelincir matahari 9 Zulhijjah (hari ini) sehingga sebelum fajar 10 Zulhijjah. Boleh belajar kepada yang mahu pergi.
Semoga para jemaah yang kini mungkin di dalam perjalanan menuju ke Padang Arafah atau mungkin waktu ini sudah berada di Arafah berada dalam perlindungan Allah. Terlalu banyak ujian diberikan buat jemaah tahun ini. Selain insiden kren tumbang, ribut pasir, hujan, ada juga kes seperti siling masjidilharam yang bocor. Melihat limpahan air turun melalu lampu cendeliar sedih terasa di hati walaupun sekadar dari whatsapp. Aku terkenang dulu ketika kali pertama masuk masjidilharam melihat lampunya yang cantik sudah menggamit mahu mempotretkan. Tetapi waktu itu kamera tidak dibenarkan. Selepas tahun 2009 bila pergi lagi barulah tidak ada larangan. Oleh sebab itulah ketika pergi bersama anak-anak untuk umrah tahun 2013 semuanya terakam menjadi kenangan indah.
|
Umrah 2013 - Anak-anak semua belum pernah lagi menunaikan haji. Sudah diregisterkan dari baby tetapi belum ada peluang lagi. Ini kenangan adik di Bin Dawood suap papa makan baskin robbin |
Rukun haji ada 6:-
- ihram (niat haji)
- wuquf di Arafah
- tawaf ifadhah
- sa'i
- bercukur
- tertib
Apabila tidak melaksanakan salah satu dari rukun haji tersebut, maka ibadah hajinya tidak sah.
Wajib haji ada 6:
- ihram haji dari miqat
- mabit di Muzdalifah
- mabit di Mina
- melontar jamrah
- menghindari perbuatan yang dilarang selama ihram
- thawaf wada' bagi yang meninggalkan Makkah
Apabila meninggalkan salah satu dari wajib haji, maka ibadah hajinya tetap sah tetapi wajib membayar dam. Khusus untuk ibadah tawaf wada', apabila seorang jamaah ada halangan seperti haid atau sakit, maka jika meninggalkannya tidaklah dikenakan dam. Cukup sekadar melambaikan tangan ke arah baitullah. Kena ambil tahu bab dam dengan lebih lanjut untuk lebih faham apakah dam yang patut dibayar bagi setiap kesalalahan yang dibuat.
|
Kak Reen di Hudaibiyah - Salah satu tempat miqat. Ini juga ketika umrah.bukan Haji. Salah satu larangan sebaik berniat umrah /haji adalah menutup muka. Jadi kalau lihat di sini Kak Reen berpurdah, sebaik berniat kena buka penutup muka. Musolla rijal itu utk lelaki (Rijal bermakna lelaki). Kak Reen sekadar mengambil gambar di tangga bukan solat di situ ye:) |
|
Kenangan umrah juga - Makan di tepi Laut Merah berkongsi semangkuk kecil adik dengan Kak Meen |
Bersama kita mohon kepada Allah semoga semua jemaah yang berlindung di bawah khemah-khemah di Arafah berada di dalam peliharaan Allah sebelum mereka bergerak menuju ke Muzdaifah dan seterusnya ke Mina. Harapan semua tiada lagi ribut pasir dan sebagainya melanda. Selesai melontar jamrah pada 13 Zulhijjah mereka akan pulang ke Mekah (jika buat nafar thani sebab jika nafar awal akan balik ke Mekah pada 12 Zulhijjah). Selepas itulah kepada jemaah yang sudah ke Madinah sebelum ke Mekah pasti akan bersiap untuk berkemas pulang ke Malaysia. Kepada yang belum ke Madinah akan ke sana dulu dalam lebihkurang seminggu selepas itu baru akan bertolak pulang ke tanahair.
~~ Melalui TITISAN NURANI ini aku ingin mengucapkan selamat berpuasa hari ini, selamat menjalankan ibadah qurban dan Selamat Hari Raya Aidil-Adha buat semua muslimin dan muslimat. ~~