Thursday, March 14, 2013

Mohon kemaafan dan doa

Ini juga entri auto-published. Terima kasih di atas segala komen yang diberikan pada entri yang semalam. Mohon maaf kerana kunjung balas tidak dapat dilakukan.

Aku sebagai pengarang blog TITISAN NURANI dengan rasa rendah diri, merapak dan menyusun sepuluh jari, mengambil kesempatan untuk memohon kemaafan dari semua yang berkunjung ke blog ini. Bermula esok blog akan menyepi sehingga akhir bulan March 2013 ini. Doa dari kalian aku pohonkan semoga aku sekeluarga diberi kesihatan yang terbaik untuk menjalankan ibadah dengan sempurna, tenang dan diterima Allah hendaknya.

Beg adik - Dalam sibuk mengemas beg-beg untuk dibawa aku terperanjat bila dalam beg adik ada kura-kura ini. Boleh dia masih mahu membawa mainan dia ke tanah suci. Masya-Allah... Mak Zah ketawa sampai terkeluar airmata. Mungkin belum puas bermain sebab baru membelinya di Air Hitam tempohari.

~ Sekali lagi aku memohon kemaafan atas segala apa juga keterlanjuran yang membuat hati terguris, tidak senang dari apa yang tersirat atau tersurat hasil dari penulisan enti-entri di TITISAN NURANI ini. Maaf zahir dan batin.~~


Wednesday, March 13, 2013

Kursus umrah parktikal di rumah mutawif

Terlebih dahulu terima kasih atas segala komen yang diberikan oleh teman-teman pada entri di blog ini semalam. Mohon maaf aku terlalu sibuk menyelesaikan tugasan sebelum pejabat ini akan aku tinggalkan sementara waktu.

Benar kata mutawif kalau belum pernah pergi kita tidak dapat membayangkan di mana kedudukan rukun yamani, hajar aswad, hijir ismail, maqam ibrahim dan sebagainya. Macam adik sangat teruja bila kami bersama-sama 'melakukan' tawaf berpandukan kotak kecil di tengah-tengah. Seronok juga sebab aku teringat kali terakhir aku melakukan tawaf lima tahun lepas sewaktu menunaikan ibadah Haji. 

Ustaz Helmi - Mutawif yang sangat berdedikasi. Pergi menunaikan Haji sama tahun dengan aku dulu.
Khusyuk - Mendengar taklimat ustaz.
Praktikal - Belajar saie. Ada juga yang belum ingat doa . Tidak mengapa asal jangan lupa berniat sudah. Tidak perlu menggunakan bahasa Arab, apa bahasa pun boleh yang penting perbuatan kena betul. Lihat di atas meja itulah mock-up kaabah untuk dijadikan panduan di mana mula berniat dan tempat terbaik untuk berdoa.
Penerangan - Sebelum 'tawaf' penerangan diberikan.
Khusyuk - Adik sangat teruja. Syukur banyak yang adik belajar di sini.

 ~~ Beruntung bekerja sebagai mutawif boleh dikatakan setiap bulan pasti berpeluang untuk menjejakkan kaki ke tanah suci.~~

Tuesday, March 12, 2013

Masih aku ingat lagi - Kisah 5

Aku rasa detik dan masakini susah untuk kita melihat anak-anak bermain hujan. Gerimis sedikit ibu-bapa sibuk berlari mencari pelindung untuk anak-anak. Semua dilakukan semata-mata takut anak demam, selsema atau batuk. Jauh berbeza dengan aku dulu bila hujan bagaikan satu pesta. Di rumah embah (atuk) ada satu drum (bukan drum pancaragam) tetapi ini tong seperti bekas isi diesel agaknya, akan diletak di bawah cucur air. Drum ini telah dibersihkan dan dicat pada bahagian dalam dan luar. Cantik dan bersihlah kira airnya bila musim kemarau boleh digunakan. Biasanya apabila hujan berhenti drum akan ditutup dengan dulang besar.


Dari google - Contoh drum itu macam inilah yang mana  bahagian atas akan ditebuk dan buang. Kalau kami berdiri baru paras setengah ketinggian drum itu.
Berbalik pada cerita - Bila hujan air akan mencurah masuk ke dalam tong drum ini. Aku, sepupu aku (kini lecturer di UTM, Skudai) dan adik aku (kini di Poliklinik Selayang) pasti akan berdiri di tebing tong drum. Seronoknya menikmati limpahan terjunan air dari drum itu ke atas kepala kami. Wah... bagaikan menikmati mandi di air terjun Kota Tinggi. Mandi pun sekadar memakai seluar kecil, kalah mat salleh. Mana ada malu-malu. Sejuk hingga menggigil-gigil. Sepupu aku itu (lelaki) suka buat sampan menggunakan kertas buku-buku lama. Kami letak 'sampan' kami mengarah ikut arus mana air mengalir pergi. Seronok tidak terkata. Sampan yang terkulai dulu dikira kalah.

Puas mandi hujan baru kami mandi betul-betul. Kami juga tidak demam. Antibodi kuat. Senario seperti ini semua ini tidak akan dapat dilihat lagi. Tidak ada lagi rumah yang menyediakan tong untuk simpan air hujan. Bahkan kalau salah simpan boleh kena denda sebab ada jejentik


~~ Adik baru kena gerimis sudah mc dua hari tidak dapat ke sekolah, batuk sudah seminggu tidak sembuh lagi.  Hinggakan sewaktu rakaman di RTM beberapa kali juruteknik kena edit sebab ada suara batuk adik berkali-kali.~~

Monday, March 11, 2013

Cerita hari Sabtu kami

Hari Sabtu seperti biasa kami ke masjid. Sebaik mahu melangkah kaki masuk untuk solat tahiyyatul masjid ramai wanita yang berpakaian cantik-cantik tidak kurang yang bling-bling dan sarat dengan barang kemas yang kilat memancar-mancar di ruang solat wanita. Ada majils pernikahan yang kami tidak ketahui. Agak lewat majlis tazkirah kami pagi itu.

Booth yang banyak - Kami singgah di Plaza Angsana kerana ada Mahabbah IKIM fm di sini. Lihat Aman Palastine pun ada berkempen di sini. Hubby membeli mafla di booth sini.

DJ IKIM fm - Dapat sekali lagi melihat DJ Siti di sini. Lihat dari jauh saja


Panas - Bapak , Mak Zah, Hubby dan adik ada bersama-sama. Selepas membeli sehelai jubah putih buat bapak kami masuk ke Plaza Angsana bagi sejuk sikit badan.
Adik punya - Setiap kali ada booth Ana Muslim mesti adik singgah. Tidak membeli semua yang dia kehendaki tapi dua ini saja sebab minggu ini minggu peperiksaan buat adik.

~~ Sebaiknya walau kita tidak bertudung tapi hormatilah bila berada di tempat ibadah seperti masjid. Raikan orang tersayang dengan kasih kepada Allah juga. Pesanan buat anak-anak mama juga.~~

Saturday, March 9, 2013

Pemberian dari Vietnam

Semangat waja kental disanubari 
senjata kukuh mereka genggam
 ieja sweetmama datang memberi 
cenderahati fm dari Vietnam 

Sampul surat - Melihat sampul di atas almari siapa sangka di dalamnya ada fm cantik memikat hati
Sejarah lama telah tercatat 
ianya milik mutlak peribumi
buka sampul mata membulat
melihat fm eija buat kami

Pemberi - Inilah dia teman maya yang baik hati. Balik dari percutian ada ole-oleh diberikan buat teman alam mayanya. Terima kasih ieja.
Keturunan pun tidak pasti 
hikayat pula tidak diketahui 
syukran jiddan dari kak zakie

Melekat di dapur - Semalam juga aku tepek bersama-sama teman yang lain di peti sejuk kami.
Walau pengganas enggan berundur 
wira negara tidak gentar 
sungguh aku sangat bersyukur 
melihat susunan FM sentiasa bertukar 

FM Vietnam - Cantik, sejuk mata memandang dan menarik.
Doa di panjat setiap waktu
pulihlah kembali keamanan itu
eija sungguh kakak terharu
moga ukhuwah terjalin jitu

~~ Buat teman-teman yang mahu berkenalan dengan ieja silalah klik di sini.~~

Friday, March 8, 2013

Phaleria Macrocarpa (Scheff) Boerl aka Mahkota Dewa

Mahkota Dewa salah satu tanaman herba yang ada di rumah Mama Leha. Nama saintifiknya yang aku dapat dari menggoogle ialah Phaleria Macrocarpa (Scheff) Boerl, susahnya hendak pronounce. Sewaktu berkunjung majlis walimatul-urus puteri ke duanya minggu lepas aku lihat pokok Mahkota Dewa ini telah berbuah dan ada yang telah masak. 

Buah yang ada - Sewaktu aku datang dulu baru berbunga. Datang lagi telah menjadi buahnya.

Masak - Dikatakan cara menggunakan buah ini adalah dengan memetik dan simpan sehari-dua. Kemudian hiris tipis seperti asam keping dan jemur sehingga kering. Setelah kering baru boleh digunakan sebagai ubat. Rendam sekeping/dua kedalam gelas dengan air panas. Minum ketika suam-suam kuku. Boleh menyembuhkan kencing manis dan darah tinggi katanya. Namun semua juga atas izin Allah jua.

Pokok Mahkota Dewa - Inilah pokoknya. Di rumah Mama Leha ini terdapat 5 pokok. Aku teringin mengambil benih yang telah dia semai di dalam beg plastik hitam, tetapi hubby kata kalau besar ke mana mahu dialih. Kalau boleh hidup atas bumbung rumah boleh juga ditanam. Keluasan tanah rumah aku sangat-sangat terhad.

Sudah kering - Inilah gambaran yang telah kering, tetapi gambar ini aku ambil dari google sebab buah yang aku ambil belum kering lagi.

~~ Kalau tidak dikhabarkan kegunaannya aku juga tidak tahu yang ini merupakan pokok herba. Pada aku ianya bagaikan pokok hiasan kerana buahnya yang merah dan cantik dipandang mata.~~


Thursday, March 7, 2013

Aneka daun, aneka bau dan aneka guna

Tidak disangka daun pokok bunga puding pun boleh dijadikan bahan masakan. Itu yang aku perolehi dari komen melalui entri semalam. Akan cuba menggoogle resepinya bila senang. Namun ada banyak lagi daun yang punya warna, bau, rasa dan bentuk berbeza yang kita gunakan dalam kehidupan harian kita. Macam-macam petua diturunkan dari daun-daun juga. Buat masakan pula entah berapa ribu jenis daun boleh digunakan selain dimakan mentah mahupun dimasak.

Ini antara daun yang aku selalu guna sebagai pelengkap menu. Daun pandan, daun kesum, daun kari, daun limau, daun cekor, daun kunyit dan tidak kurang daun pucuk betik. Tapi buat masa ini pucuk betik sayang untuk dipetik sebab pokoknya sedang menghasilkan buah yang banyak.

Daun kunyit - Bakar ikan bungkus daun kunyit pun sedap. Kalau masak rendang pula aku pasti hiris daun kunyit. Begitu juga bila masak singgang masukkan sedikit daun kunyit.

Daun kari - Kalau masak kari mesti hendak ada 2-3 keping daun kari baru aromanya menyengat. Goreng ayam berempah pun aku campur daun kari ini. Goreng udang dengan butter campur sedikit daun kari pun sedap.

Pandan - Masak nasi lemak, masak nasi ayam, goreng ayam balut pandan, buat sirap, buat pengat semua pasti daun pandan akan jadi sasaran.

Daun Kesom - Kalau orang Johor mesti kena tahu ini sebab kami amat sinonim dengan masak asam pedas. Begitu juga bila masak laksa daun kesum pun diguna juga.
Misai Kucing - Asyik daun aje baik tengok bunga pula. Ini pula bunga yang digunakan. Keringkan dan bila hendak minum bancuh dengan air panas. Minum bila sudah suam-suam.

~~ Sungguh terlalu banyak nikmat yang Allah berikan buat hambaNya.~~

Tuesday, March 5, 2013

Dua minggu dua anak buah baru

Hari Jumaat kedua-dua anak yang tinggal di asrama balik. Aku menyangkakan bolehlah mereka turutserta ke Kota Tinggi untuk sama-sama meraikan majlis persandingan anak ke dua Mama Leha anak-anak kami. Tetapi nampaknya tidak dapat sebab kedua-duanya ada kerja sekolah yang perlu diselesaikan. Terpaksa tinggalkan mereka berdua di rumah. Aku, Mak Zah, hubby dan adik saja yang pergi. Bapak bertolak dari Muar dengan Kak Uda. Ahad itu kami menerima satu lagi anak buah baru untuk tahun 2013 ini. Nurawirda (anak saudara kami) disatukan dengan ikatan suci bersama pasangannya Hairul Rosley Harahap (anak buah baru kami).

Dari kamera Mak Zah - Oleh kerana aku dan hubby balik sebelum majlis persandingan ini saja yang aku ambil dari kamera Mak Zah.

Sempat membuat ini - Masih dapat membantu sebab buat ini diwaktu pagi.

Tempe dan nasi impit - Sate istimewa ini cecah dengan sambal kicap dan kuah kacang

Popia teratai - Ini Mummy Long yang buat (kak long aku)

Udang memanjt bersama sosej - sebahagian lagi yang dapat dibuat sebelum balik.
Memandangkan aku perlu menghantar balik anak-anak dara ke asrama ini saja yang ada dalam kamera aku. Ada juga melihat gambar-gambar yang dicaptured melalui FB anak-anak buah. Buat Awin dan Jo Selamat Pengantin baru dari Mama Zakie.

~~ Melihat anak-anak buah kian membesar terasa diri kian dimamah usia. Cucu juga kian bertambah. Walau bukan dari anak sendiri tapi mereka juga adalah anak-anak dari dari darah daging keturunan aku juga.~~


Monday, March 4, 2013

Kodomo Lion ke sekolah adik

Kalau zaman aku sekolah dulu apabila melihat doktor dan jururawat tiba dalam hati masing-masing menjangka yang suntikan pasti akan dijalankan. Bahkah tidak kurang ada yang cuak hingga sanggup berlari meninggalkan sekolah untuk balik rumah. Berbeza anak-anak hari ini penjagaan rapi pihak sekolah tidak sewenang-wenangnya boleh keluar pagar sekolah kalau belum tiba masa untuk balik. Mereka juga dapat membezakan jururawat datang untuk suntikan immunisasi atau untuk memberi pendedahan berkaitan kesihatan.

Berus gigi + ubat gigi - Masa aku dulu ubat gigi yang terkenal hanyalah colgate. Anak-anak sekarang boleh memilih berbagai jenis ubat gigi di pasaran masakini. Ini adik dapat dari sekolahnya secara percuma. Sayangnya adik sekarang sudah menggunakan berus gigi saiz dewasa. Berus ini terlalu comel buat adik.  Ubat gigi ini pun adik kurang gemar sebab manis katanya.

Penerangan - Diberikan brochure percuma untuk semua murid agar mengetahui bagaimana cara penjagaan gigi.
~~ Minggu lepas juga setiap murid perempuan tahun 4 mendapat dua keping tuala wanita dan diterangkan cara menggunakannya. Adik tahu kerana adik mempunyai dua kakak yang menggunakan setiap bulan tapi belum tiba masanya buat dia menggunakannya lagi. Pendedahan awal yang baik.~~

Friday, March 1, 2013

Apakah bapak sudah berubah?

Sewaktu bertolak pergi tidak ada tanda-tanda yang dia demam. Tetapi dalam perjalanan kelihatan bapak sudah ada tanda tidak sihat.Malam Jumaat itu terpaksalah kami bermalam di Batu Pahat, kampung hubby. Pagi sabtu bapak masuk bilik air pun sekadar cuci muka dan gosok gigi. Sarapan sudah tidak berselera tetapi kami terpaksa juga bertolak ke Muar sebab majlis Kak Uda pada hari itu. Kami sudah tidak dapat menghadirkan diri pada majlis akad nikah dan berinai malamnya jadi kalau boleh biarlah majlis resepsi itu kami dapat menghadirkan diri.

Tiba di Muar aku sudah sepakat dengan hubby yang bapak tidak boleh berada di rumah Kak Uda sebab pasti ramai tetamu. Kami menyewa homestay terdekat. Syukur hanya dua pintu jarak dari rumah Kak Uda. Tengahari selepas solat zuhor bapak masih mahu mengikut kami ke majlis persandingan. Masuk ke dewan bapak sudah tidak larat. Dengan bertemankan hubby bapak duduk saja di meja tetamu bukan yang dikhaskan buat keluarga kami. Sewaktu majlis berlangsung pun bapak kelihatan tidak seceria selalu. Selesai majlis lebih-kurang kami mohon beredar dulu.

Menjelang mahgrib bapak sudah kelihatan pucat tidak bermaya. Ubat yang ada kami berikan. Hubby urut seluruh badan sebab bapak tidak mahu orang lain mengurutnya. Mungkin sudah biasa dengan urutan tangan hubby. Abang, kakak-kakak, ipar-ipar aku semua kebingungan tapi buat aku, Mak Zah dan hubby sudah biasa sebab bapak kalau tidak sihat akan begitu sejak dia sembuh dari kemalangan dulu. Malam itu dari satu anak ke satu anak, dari satu cucu ke satu cucu menjaga bapak. Akhirnya bapak tidak mahu tidur di bilik sebaliknya di hall. Mudah bagi anak-cucu-cicitnya menjaga. Malam itu aku dan hubby tidak bersama bapak dan memberi peluang abang/kakak/ipar-ipar menjaga bapak. Ramai yang berkumpul di homestay yang aku sewa.

Esoknya bapak boleh berkata " Tak sama juga usop, zahrah dan zakie, bapak lagi selesa." Tersirap aku dan hubby dengan kata-kata bapak. Percayalah bapak bukan jenis yang begini. Bapak terlalu menjaga sensiviti anak-anak tapi pagi itu bapak boleh berkata begitu. Sebaik bapak terlena mungkin penangan ubat, Mak Zah bersuara "Bapak dah tua kena ingat, biarlah kita yang rasa kecik hati asal jangan dia yang kecik hati." Masing-masing akur. Aku sebagai adik diam tidak tahu mahu berkata apa. 
Bapak dengan menantu dan cucunya - Inilah satu-satu gambar bapak  yang ada pada majlis tempohari.

~~ Kenapa bapak jadi begini? Adakah ini sindrom Alzheimer sebab arwah embah (atok) dulu ada penyakit itu. Aku takut tapi redha andai ianya terjadi pula pada anak embah iaitu bapak aku kini. Tapi doa kami adik-beradik moga bapak terus diberi kesihatan yang terbaik bagi memudahkan dia beribadat.~~