Empat tahun lepas tiga orang anak bersekolah. Semua pakaian sekolah aku jahit sendiri dengan tabah. Cuba bayangkan jika seorang anak tiga pasang baju, ada tiga anak mestilah kena sembilan pasang. Untuk sekolah agama juga tiga pasang bermakna tahun sebelum ini berbelas pasang baju sekolah aku kena jahit. Belum termasuk tudung yang selalunya setiap seorang juga tiga helai. Sekolah kebangsaan dan pagi pula tidak sama warna. Pengawas sekolah pagi warna biru muda tapi pengawas sekolah agama warna pink. Masuk tahun 2014 tinggal Kak Meen dan adik saja. Ada yang aku jahit dan ada yang aku beli siap. Malangnya baju beli siap biasanya jahitan tidak kukuh/mudah tetas.
Tetapi untuk tahun ini hanya adik seorang, aku sudah jadi malaslah pula. Kalau dulu tabah menjahit sebab mahu berjimat. Tapi bila tinggal adik seorang mulalah terdetik beli saja baju yang sudah siap lebih senang. Untuk tudung sajalah aku jahit😃. Dari dulu jika tudung anak-anak lebih suka mama jahit sendiri. Kenalah mama bertabah sebab tudung beli biasanya bahagian hujung depan akan terjongkit tidak sama jika jahit sendiri nampak terletak elok.
|
Ukur - Mudah saja jahit tudung. Selepas di segtigakan kain bertindan, gunting keliling dan pin paras mana untuk ruang muka. Macam kita buat telekung solat. Ini lagi mudah sebab kecil dan tidak perlu kekek di dagu dan pelapik atas kepala. |
|
4 helai - Siap sudah bergunting dan berjahit untuk ruang muka tinggal jahit tepi keliling saja. Aku letih sebab baru balik dari menjenguk anak buah yang masih koma. Tetapi memandangkan sudah tidak ada masa aku gigih luangkan sejam juga buat ini. Hujung minggu ini kena balik Batu Pahat pula sebab ada kenduri aqiqah. |
|
Mama Leha - Tabah dan cekal kakak aku seorang ini. Ujian terlalu besar buat orang yang baik sepertinya. Business Amway/shaklee/Avon/ serbanika/benih pokok bunga dan sayur semuanya terpaksa ditanggalkan untuk sementara. Mujur juga orang bawahannya cergas dan mampu menggalas. Duduk di hospital pun masih mendapat panggilan pelanggan yang mahukan produknya. Untuk nursery pokok bunga pula jiran sebelah pun pandai tolong jual bila ada pelanggan datang. Abang ipar pula sentiasa ulang-alik ke HSI saban hari. |
Sudah sebulan dan seminggu kini anak buah aku terlantar. Majlis pengantin anak buah pada minggu lepas Mama Leha sekeluarga saja yang tidak ada. Sewaktu di meja hidangan kami semua sama-sama teringat sehingga masing-masing mengalirkan airmata. Doa kami semua titipkan setiap waktu buat anakanda Muhamad Haikal ini. Anak yang baik, besar pula ujiannya. Walaupun Mama Leha punya kewangan yang kukuh tapi setiap bulan sebaik mendapat gaji tidak kurang RM700/- dia beri pada mamanya ini. Selepas solat maghrib setiap hari tidak lepas dengan Al-Quran, tetapi itulah apabila Allah mahu menguji siapa pun tidak mampu menepisnya.
~~ Semoga keluarga kami mampu dan redha atas ujian ini semua.~~