Tuesday, May 31, 2016

Menggamit keindahan bersama - 2

Satu yang amat membanggakan rata-rata usahawan di pantai timur adalah orang bangsaku. Itu yang bila membayar ada rasa kepuasan lain di hati. Kami tabik hormat kepada mereka yang menaikkan peratus ekonomi bangsa. Pandang tepi, kanan-kiri pasti akan dilihat bangsaku menjana ekonomi setaraf mereka yang menguasai ekonomi negara. Syabas buat mereka!

Barokallahumma - Merakam detik terpetri ikatan sebagai suami isteri di Masjid Kristal.  Ibu-bapa pengantin lelaki kawan kami suami-isteri. Memandangkan keluarga dari JB hanya nenek dan adiknya saja yang ada lalu dia menelefon kami untuk sama-sama memeriahkan majlis sebaik tahu kami berada di Kuala Terengganu. Selepas menikah kami dijamu di rumah pengantin perempuan tidak jauh dari Masjid Kristal ini dengan nasi dagang yang sangat sedap. Tidak ada gambar makanan sebab malu di tempat orang. Bimbang disalah-tafsir "apa kena orang JB ini sibuk mengambil gambar makanan" pula.
Beef blackpepper - Pilihan Kak Meen. Malam itu kami ke restoran NR Seafood. Tempat yang biasa kami jejaki setiap kali ke Terengganu

Sayur kailan - Biasalah kalau sayuran pastinya pilihan mama. Tidak perlu order sayur lebih lagi sebab kami sudah tahu di sini setiap ikan/sotong yang dimasak pasti akan dihias dengan daun salad yang banyak.

Tomyam - Keluarga kami bila makan di luar tidak lari dari pilihan tomyam begini. Apa lagi jika tomatonya berenang-renang lagilah aku suka.

Butter prawn - Walaupun tidak setanding dengan Restoran Singgah Selalu tetapi tetap boleh dimakan kerana kesegaran udangnya tidak boleh dinafikan

Sotong tepung - Sama juga dengan yang ini. Rangup di luar lembut di dalam. Setanding dengan celup-celup di Pok Nong 

Idaman Kak Reen - Sotong goreng kunyit saja pun tapi sedap. Lihat daun saladnya:)

Ikan - Sweet sour. Semua ikan kami pilih sendiri di satu bahagian yang disediakan pihak restoran untuk kita memilih sebelum ianya dibawa masuk ke dapur. 

Stim halia - Ikan lain masak cara lain. Biasalah sebab kami sudah tahu di sini murah kami tidak teragak-agak untuk memilih apa yang dikehendaki anak-anak.

Ikan lagi - Ini ikan stim limau. Biasalah tiga anak tiga jenis ikan dan tiga citarasa. Mama-papa ikut saja. Tetapi memang kami makan sungguh-sungguh.  Macam Kak Reen langsung tidak ambil nasi. Kami ratah lauk-pauk saja. Berbaki udang dan sotong bungkus bawa balik villa penginapan kami.

Sekeluarga - Rezeki dari Allah buat kami pada malam tersebut

Alhamdulillah - Kenyang sudah lain kali kami datang lagi. Bungkus mana yang tidak habis.
Jika mahu dibandingkan dengan harga restoran di JB aku percaya pasti tidak dapat harga seperti yang dikenakan itu. Semua yang kami makan tidak sampai RM200/- berbanding biasa kalau kami makan di JB pasti dua kali ganda harga tersebut.

~~ Bercuti dengan shopping dan makan-makan di luar tidak dapat dipisahkan.~~


Monday, May 30, 2016

Menggamit keindahan bersama - 1

Bersisa beberapa hari lagi kita diberi peluang untuk menikmati makan di siang hari sebelum menjelang ramadhan tahun 1437 ini. Tidak ketinggalan mensyukuri nikmat untuk bersama keluarga atau sahabat handai yang mana bolen dijejaki untuk silaturrahim atau ukhuwah yang terjalin. Begitu juga kami sekeluarga dapat menikmati dan mensyukuri peluang yang masih  diberikan oleh Allah rabbul-jalil. 
Villa Sri Mayang -  Jalan masuk ke tempat kami sekeluarga bermalam ketika berada di Pantai Timur 
Simple - Tuala, sabun mandi dan shampoo yang disediakan

Comel - Sebenarnya ini kali ke dua kami bermalam di sini memandangkan kedudukannya yang berhampiran dengan tempat Kak Reen belajar. Dekat dengan tempat makan yang kami suka termasuk fish-food celup-celup tepung Pok Nong.
Syrup & Soda - Merupakan tempat makan malam pertama kami sebaik tiba di sana. Mencari destinasi bergantung dengan alamat yang diberikan oleh teman blogger Yaya Azura.
Pilihan mama - Punyalah banyak Masya-Allah kalau makan sendirian pasti tidak terhabis. Agih sedikit kepada Kak Meen dan banyak pada papa.
Starter kami - Sebenarnya kami menikmati ini sebelum semua hidangan tiba. Sehinggakan apabila Yaya Azura tiba dengan suami dan hero comelnya hidangan ini sudah selesai berenang-renang di dalam perut kami.
Pilihan papa - Aglio-Oleo lengkap dengan sea-food. Banyak udang dan sotong dalam dish ini sebaik digaul. Ini  belum lagi digaul rata sebab aku mahu lihat pinggan keliling bersih.
Adik dan Kak Reen - Spaghetti aglio-oleo juga tapi ada tambah lamb lupalah apa nama diberikan. Kak Meen makan black-pepper lamb chop tetapi sebab liat dan banyak lemak Kak Meen tidak mahu di rekomenkan untuk kita (mohon maaf sebab kenalah jujur dalam hal ini).
Mama dan Adik - Fresh orange dan water-mellon 
Papa, Kak Reen dan Kak Meen - Entah air apalah ini aku pun tidak pula ambil tahu. Sebab manis akhirnya masing-masing meminta air masak suam bagi menghilangkan rasa manis yang teramat sangat. Bukan tidak sedap tetapi kerana keluarga kami jenis kurang makan manis bila kena ini surrender jadinya.
Pertemuan - Malam yang indah. Dalam kepenatan menuju destiniasi Pantai Timur aku dipertemukan dengan teman blogger yang comel bersama suami dan anak bongusnya (buat masa ini sebab akan datang mungkin akan menjadi abang). Anak sulung Yaya Azura ada kelas teakwondo berhampiran dengan tampat kami menikmati hidangan ini.
Comel - Hero comel Yaya Azura yang banyak bercakap. Setiap pertanyaan pasti akan dijawab. Tetapi kerana duduk dalam jagaan tokma pastilah dialek Terengganu tidak boleh lari dari lidahnya. Cute bila mendengar butir perkataannya. 
Ole-ole - Semoga Allah memberi ganjaran sebaik-baiknya buat Yaya dan keluarga. Dua bungkus keropok ini diberikan sebagai ole-ole darinya untuk dibawa balik ke JB
~~ Keindahan sebuah perjalanan bersama keluarga dan dipertemukan dengan teman blogger pasti menggamit kenangan indah.~~ 


Thursday, May 26, 2016

Sebuah perjalanan dalam kehidupan

Ketika entri ini bersiaran aku sedang dalam perjalanan keluar dari kesibukan JB. Sekolah adik hari ini ada mesyuarat PIBG tetapi sayangnya kami tidak dapat menghadirkan diri. Perancangan awal mahu bertolak selepas mesyuarat tetapi memandangkan Kak Reen kurang sihat kami tukar perancangan dengan pergi lebih awal. Selepas menjemput adik nanti kami akan terus bertolak menuju ke asrama penginapan Kak Reen. Harap-harap sebelum maghrib bolehlah tiba di Terengganu.

Demam - Masa ini waktu malam dengan ada lagi dua paper untuk final examnya waktu itu mama mana tidak bimbang.

Ubat - Dari kejauhan mama menasihatkan untuk pergi ke klinik terdekat untuk mendapatkan bekalan ubat. Bimbang juga dengan demam, batuk, selsema siap pakej suara hilang untuk menghadapi exam yang belum selesai

Nab - Sejak lahir hingga sudah besar panjang baru kali ini kena nab begini mama/papa pun terkejut. Kelihatan agak serius sebab katanya mahu bernafas pun susah. Mama hanya mampu doa-doa-doa dari jauh. Mohon Allah jaga anak yang jauh. Macam-macam pesanan diberikan.
Apa pun peperiksaan sudah berakhir. Kini misi untuk balik bercuti sementara menanti untuk sambung belajar. Doakan perjalanan kami sentiasa dalam redha Allah. Dua adik-adiknya pun sudah tidak sabar mahu bertemu dengan kakak mereka. Lama sudah Kak Reen tidak balik kerana final exam yang dihadapi baru-baru ini. Susah mahu merancang cuti buat keluarga kami bila cuti hujung minggu dalam satu keluarga tidak sama.

~~ Setiap apa juga perjalanan sebuah kehidupan pasti ada ujiannya.~~


Wednesday, May 25, 2016

Asalkan dia bahagia biarkan saja

 Ini tengah khusyuk benar. Jadi walau apa pun gaya dia duduk biarkan saja. Apa yang penting setiap huruf yang ditunjuk betul bunyinya. Jangan pandang sebelah mata. Usia bukan penghalang untuknya mengenal dan membaca dengan baik.
Gaya apa pun ikutkan saja. Budak belum tiga tahun ikut suka dialah. Hendak membaca sambil baring pun boleh. (tidak sempat pula mengambil gambar dia baring). Innallaha ma'assobiriin. Kena banyakkan bersabar. Satu hari satu muka sudah memadai. Kalau dia mahu ke muka-surat sebelah ikutkan tetapi jika dia sudah membaca "sadaqollahul'aziim" tutuplah dengan membaca doa penutup. Habis membaca saja sudah melompat-lompat terus ke dapur untuk mencari bekas apa yang ada makanan boleh disuap ke mulut. 
~~ Jangan sesekali marah menghadapi kerenah anak ketika mereka sedang belajar.~~


JDT Coffee




~~ Aku ada alahan jika minum kopi jadi tidak tahulah keistimewaan kopi ini.~~

Tuesday, May 24, 2016

Sekadar menjadi wakil

Pada hari Sabtu lepas aku dengan hubby sengaja melewat-lewatkan untuk hadir ke majlis anugerah cemerlang di Sekolah Agama adik. Sekadar menjadi wakil memandangkan pada hari khamis ini sudah hari akhir persekolahan di Johor jadi tidaklah perlu mengambil adik balik untuk majlis ini. Kali ini adik mendapat anugerah cemerlang untuk keputusan peperiksaan akhir tahun 2015 di kelas dan SDEA (Sijil Darjah Enam Agama - di bawah Kementerian Pendidikan Agama Johor) tahun 2015.

Hadirin - Rata-rata ibu-bapa yang hadir adalah untuk sama-sama merakam detik indah anak-anak mengambil hadiah masing-masing. Apa yang menakjubkan ramai kalangan mereka yang cemerlang lahir dari ibu-bapa bukan warga Malaysia. Nasib baik adik tidak tewas dengan mereka semua.
Papa - Mahu tak mahu kena juga papa naik pentas menjadi wakil adik untuk kali pertama. Pemberi hadiah wakil kepada ADUN kawasan.  Aku guna kamera telefon zoom dari tempat duduk. Malu.
Kawan - Lagi lucu untuk kedua kali naik pentas yg memberi hadiah adalah kawan sendiri yang merupakan pengerusi badan kebajikan sekolah agama adik. Sebenarnya sebelum ini sudah cuba meminta kebenaran pihak sekolah untuk mengambil saja di belakang pentas tanpa di umumkan tapi cikgu mohon kerjasama kami untuk naik ke pentas juga.
Hadiah adik - Inilah hadiah terakhir adik untuk pembelajaran tahun 2015. Satu untuk hadiah keputusan dalam kelas dan satu lagi SDEA (Sijil Darjah Enam Agama). Sjilnya ada di dalam kereta hubby lagi lupa mahu keluarkan. 
Tahun ini adik akan menduduki peperiksaan SDKA (Sijil Darjah Khas Agama) pula. Sambung belajar untuk sekolah agamanya di MRSM belajar sekarang. Jabatan Pendidikan Agama Johor memberi kebenaran dan kelonggaran dalam hal ini - belajar di tempat terdekat dengan sekolah kebangsaan tetapi peperiksaan di ambil di tempat terdekat dengan rumah sebab peperiksaan dijalankan ketika cuti sekolah hujung tahun. Tetapi untuk peperiksaan hafazan dan bertulis tetap di JB di sekolah yang sama di sini. Hafazan tahun ini suroh Yasin dan Suroh Ar-Rohman; senang sedikit. Itu yang memudahkan untuk semua murid-murid termasuklah adik. 

~~ Jangan sesekali menganak-tirikan pembelajaraan sekolah agama anak-anak. Dunia dinikmati akhirat dijunjung tinggi.~~ 



Monday, May 23, 2016

Seketika berada di ATM

Kejadian pagi tadi. Masih berlegar-legar hangat dalam kotak fikiran aku. Terbayang di mata aku bagaimana dia memohon bantuan untuk mengeluarkan duit. Bukan bangsa aku. Melihat dari uniform yang dipakai tahulah dia bekerja sebagai pengawal keselamatan. Kelihatannya sudah melebihi setengah abad. "Adik, boleh tolong macamana mahu keluar duit?" Dia menghulurkan kad ATMnya tetapi aku pantas teringat macam-macam boleh terjadi. Lalu aku menolak dengan baik "Tak apa kakak masukkan dalam sini" Aku tunjuk untuk dia masukkan kad tersebut. Bila dia kata mahu mengeluarkan RM20/- tiba-tiba hati aku jadi sayu. Aku arahkan dia masukkan pin nombor baru aku tekankan jumlah 20 ringgit yang dia mahukan. Sebaik sekeping note  RM20/- keluar dia senyum dan mengucapkan terima kasih. Hati aku sebagai orang yang dulu pernah hidup susah mudah saja cair. Aku hulur sedikit buatnya. Pada mulanya dia menolak tetapi aku kata "Tak apa kakak boleh guna. Saya ada ambil lebih sikit tadi." Tiba-tiba aku lihat ada airmata bergenang di pelupuk matanya. Aku jadi sedih sebab sebelum itu dia senyum tapi bila aku menghulur dia jadi sedih.

RM 20 - sekurang-kurangnya jika ada 3-4 keping itu bolehlah juga untuk membeli keperluan dapurnya.
Kami melangkah keluar sama-sama. Aku perhatikan ada kereta pengawal yang sudah menantinya. Aku baru mahu pergi kerja tetapi dia sudah balik kerja - kerja malam baru aku tahu. Dari mula masuk kereta untuk memandu sehinggalah tiba di pejabat otak aku tidak dapat melupakan moment seketika di ATM tadi.  Masih ada yang hidup susah seperti aku kanak-kanak dulu. Namun bersyukur mak-bapakku jenis celik ilmu sebab itulah kami disekolahkan walau dalam kesempitan kewangan. Tapi susah aku dulu hidup di kampung. Setakat sayur-sayuran tidak pernah putus. Tidak perlu membeli. Rumah tidak menyewa. Hanya duit saja selalu tidak mencukupi.  Susah hidup di bandar semuanya perlukan duit. Apa yang boleh diperolehi dengan nilai RM20/- sekarang ini.

Gulai nangka - Kalau di kampung nangka muda petik saja di belakang rumah. Tetapi hidup di bandar sejuring nangka muda pun dijual dengan harga RM 3/-. Ini gulai nangka rumah aku hari minggu baru lepas.
Cucur - Setakat cucur kentang dan ikan bilis dulu mudah buat allahyarhamah mak buat (Al-fatehah buat mak), tapi dulu tidak adalah carrot seperti yang aku buat ini. Tetapi makan kami berselera.
Kuah baki - Sebenarnya cucur kentang+carrot+ikan bilis aku di atas kami makan cecah dengan kuah dari ayam masak merah. Ayamnya sudah licin masuk perut. Tinggal kuahnya saja.

~~ Sediakan ilmu buat anak-anak kita agar kesusahan tidak menjadi warisan anak-cucu kita di masa depan.~~

Friday, May 20, 2016

Berhenti memakai lampin pakai buang

Usia hampir tiga tahun tetapi masih melekat lagi dengan lampin pakai buangnya. Bercakap bukan main petah walaupun sebutan untuk huruf 'R' agak pelat. Lain-lain semuanya tidak pelat. Setiap biji butir perkataan yang keluar dari mulutnya kita boleh faham. Sehingga satu hari berani dia meluahkan kata "Mama, adik boleh mengaji tak?" Aku tepuk bontotnya. "Ini ada ini tak bolehlah adik mengaji. Ada kencing dalam ni kan". Dia tersengih malu. "Kalau adik nak mengaji jangan pakai ini boleh?". Dia mengangguk-angguk.

Tidak sangka esoknya dia datang berbaju kurung dan bertudung ayu. "Adik tak pakai pampers mama. Adik nak mengaji". Betul-betul bila aku raba bontotnya tidak ada pampers. Sehari, dua hari, tiga hari dan hingga semalam betul si cilik ini sudah boleh tidak memakai pampers. Tips yang tidak disengajakan tetapi siapa sangka dapat menjimatkan ibunya. Aku bertanya kepada si kakak samada dia terus tidak pakai atau masa mengaji saja. Menurut si kakak masa pergi shopping saja ibunya masih pakaikan.
Khusyuk - Melihat orang lain membaca tidak berganjak. Mama ambil gambar pun dia buat tidak tahu.
Menanti - Comel sangat anak dara ini. Bila aku kata "Mama gigit pipi sikit boleh tak? Dia kata "Nanti adik tak ada pipi macamana nak ngaji?" Macamlah mengaji itu menggunakan pipi. Sebelum mengaji mesti aku pegang pipi gebunya dan sebelum balik pun kena lagi. Aku geram dengan comelnya itu:)
Doa - Jenis budak mudah tangkap. Walau baru seminggu tetapi Al-fatehah dan doa memulakan membaca (Allahummaftah 'alaina... hingga akhir dia sudah boleh baca). Seminggu ini sehingga malam tadi sudah boleh mengenal sehingga huruf kho. Biasa aku akan ulang untuk membunyikan dari alif  sehingga yg huruf  terakhir sebelum sambung yang baru supaya tidak lupa. Nampaknya dia memang jenis budak mudah ingat melekat. 
Comel - Sadaqollahulazimmm.... sukakan tengok dia:)
Oleh kerana nama pun kanak-kanak selepas membaca mesti ada saja yang mahu dimainkan. Tetapi bila main melompat-lompat aku akan ingatkan bimbang terkencing. Bila agak lama bermain juga aku ingatkan dia samada mahu kencing atau tidak. Sudah seminggu lebih ini kelihatannya masih boleh bertahan. Aku tidak kisah pun andai dia terkencing sebab sebelum ini pun aku ada menghadapi anak yang mengaji terkencing sementara menanti giliran untuk membaca.

~~ Ironinya bila setiap hari melihat orang lain mengaji walau usia belum tiga tahun naluri untuk membaca terbuka dengan sendirinya. ~~



Thursday, May 19, 2016

Kemarau pasti akan berakhir

Sebenarnya tidak perlu dihairankan mengapa hujan lebat tetapi loji takungan air tetap tidak menampakkan tanda-tanda perubahan. Semuanya kena akur ini kehendak Allah. Sekolah adik dan kawasan sekelilingnya masih mendapat catuan air sehinggalah hari Sabtu lepas ketika aku berkunjung menjenguk adik keadaan masih tidak berubah. Seperti minggu sudah aku bawa telekung dan baju bersih dari rumah dan angkut yang kotor bawa balik. Baju kegunaan harian adik seperti uniform sekolah, baju ko-ko, t-shirt sukan kami bawa ke kedai dobi. Banyak kedai dobi di sini. Bayaran dikenakan RM3.50/- untuk mencuci dan RM3.50 untuk mengeringkan. Masa diambil lebihkurang satu jam. Sambil duduk bolehlah mengurut badan dan membaca buku. Kedai dobi yang kami pergi ini ada disediakan mesin mengurut yang masuk duit seringgit itu. 

Berpusing - Baju-baju adik yang kotor sedang berpusing-pusing di dalam mesin. 
Selesai melipat, membeli keperluan adik dan puas bersembang hilangkan rindu baru kami bertolak balik. Biasanya perjalanan untuk tiba diJB mengambil masa lebih 3 jam sebab tidak ada highway. Laluan jika lancar tanpa lori atau kenderaan yang lemah-lembut pemandunya bolehlah tiba sebelum maghrib tetapi jika sebaliknya sabarlah. Malaysia bumi bertuah ini banyak masjid dan surau. Sediakan saja peralatan sempurna untuk bersolat.  Bila lapar singgah saja mana-mana pun ada saja tempat untuk mengisi perut.

Sedap - Selepas menumpang solat maghrib di masjid Kota Tinggi itu kami singgah mengisi perut. Ini mama punya. Kak Meen dan papa makan burger.  Burger sudah di tangan masing-masing malaslah mama mahu snap. 

Otak-otak - Boleh katakan kalau di Johor tidak kiralah daerah mana sekalipun sementara menanti hidangan biasa akan disuakan dengan otak-otak begini. Yang ini murah saja RM0.50/- sekeping.
Masih bersyukur juga walau ujian ada di sana-sini. Istikharah sudah dibuat dan ditunjukkan bahawa ini pilihan terbaik walau ada sedikit ujian kenalah sabar mengharunginya. Satu hari pasti Allah akan berikan kemanisannya. Tunggulah adik. Mama-papa masih mampu bertahan selagi adik masih boleh senyum dan menimba ilmu dengan baik. 

~~ Jika banjir pun akan surut. Begitu juga kemarau pasti akan berakhir. Sabarlah.~~

Wednesday, May 18, 2016

Pacuan laju di Kembara Mahkota Johor 2016






~~ Zoomm... laju tidak menyempat jari tua aku mahu merakam dengan baik.~~