Thursday, March 31, 2016

Terima kasih Jari Manis

Hitam-hitam sitampok manggis 
mendapat titipan si Jari Manis

Sampul surat -  Masuk bilik mata sudah terpaku
Titipan ditujukan buat diriku
Setem -  Koleksi setem bertambah jadinya
cantik setem Johor yg digunakannya
Fridge magnet - Special for Kak Zakie from Jari Manis
double happiness to receive this
Berkawan - Peti ais di dapur sesak kelihatannya
whiteboad di bilik persinggahan seketika
Pengirim - Inilah pengirim yang baik hati
semoga terus dimurahkan rezeki
Buat Jari Manis yang baik hati
terima kasih daun keladi
dari kami satu family
pemberian tetap akan diingati.

~~ Buat semua teman yang ingin mengenali 
silalah singgah  klik di sini. ~~

Wednesday, March 30, 2016

Celik IT


~~ Melihat huruf-huruf bergerak itu yang seronok agaknya.~~



Tuesday, March 29, 2016

Tidak ada beban batu digalas

Tujuan asal disebabkan rasa kasihan. Mahu membantu tetapi akibatnya menjadi tanggung-jawab untuk menjaganya. Ditempatkan di rumah sewa kami yang corner lot dan telah kosong buat masa ini bolehlah mereka berkejaran ke sana-sini. Ada bunyi anak kucing, tidak kurang bunyi anak ayam. Sebelum keluar rumah kini rutin hubby selain mencuci baju hingga menyidai ada lagi rutin tambahan buatnya. Memberi makan anak-anak kucing dan anak ayam yang sepuluh ekor. 

Empat ekor - Sudah semakin membesar dan makin manja dengan Kak Meen dan Kak Mira
Anak kucing ini hasil dari si ibu yang menumpang rumah kami. Anak ayam pula dek kerana rumah bapak sudah tidak ada sesiapa bimbang ayam kelaparan atau dimakan anjing lalu dibawa balik JB. Menjadi kerja pada hari Ahad lepas anak-anak ayam dengan ibunya boleh pula jalan-jalan makan angin di luar pagar bawah pokok mata kucing. Bingung aku dibuatnya sebab selain geli dengan kucing aku juga geli dengan anak ayam. Tengok bolehlah tapi untuk aku menangkap dengan tangan ini upah seribu pun aku tidak berani. Tangkap ibu ayam lagilah aku takut kena serang. Akibatnya bila aku halau-halau suruh masuk pagar "Syuhhh!! Syuhh!.. ibu ayam dengan tiga anaknya terjun ke dalam longkang. Apa lagi terus saja aku telefon hubby. Orang sedang di dalam meeting tetapi tetap boleh aku kata urgent!  Berpeluh-peluh aku dibuat oleh si anak-anak ayam tersebut. Mujur juga ada anak buah aku, Kak Mira yang duduk dengan kami, dialah yang menangkap anak-anak ayam tersebut dan masukkan ke dalam kotak sementara. Tiga ekor lagi di dalam longkang dengan si ibu kami biarkan. Nasib baik longkang jenis yang tidak ada air. Umpan dengan jagung tapi tidak jalan, mungkin sebab sudah kenyang.  Hampir 3 jam baru hubby kata "Biarkan saja tunggu abang balik".

Dalam sangkar - Sudah kena kurung sementara tuannya mencari rumah lebih besar. Ini rumah anak kucing sebenarnya. Comel lagi anak-anaknya.  Semua sekali ada 10 tapi dalam gambar ini kelihatan sebahagian saja sebab yang lain ada dibawah ketiak ibunya  (eh.. ayam ada ketiak ke? hihi....).
Hari Ahad yang sepatutnya aku dan Kak Mira (anak buah aku) berehat tapi sepagian kami diuji dengan anak-anak ayam tersebut. Balik dari kerja itulah hubby masukkan ke dalam rumah kucing untuk mengelakkan anak-anak ayam dari keluar berkeliaran. Entah bilalah akan dibawa balik semula ke kampung belum ada kelapangan. Tidak kisahlah bawa balik kampung Batu Pahat atau Pontian, janji hantar semuanya balik kampung. 

~~ Nama pun ayam kampung mestilah kampung juga yang sesuai buatnya. ~~


Monday, March 28, 2016

Tidak sihat seperti tuannya

Menjenguk kampung seketika kerana bapak hampir tiga bulan tinggal bersama kami anak-anak. Dua minggu di  Kota Tinggi kemudian ke Senai. Tinggal di Senai dua minggu kemudian ke Pasir Gudang begitulah pusing-pusing kami buat untuk tidak membuat bapak bosan jika tinggal lama-lama di satu-satu rumah. Tambahan pula hanya tiga anak ini sajalah yang tinggal di Johor berhampiran untuk balik Pontian. Anak-anak bapak yang lain tinggal berjauhan. Mereka hanya mampu menjenguk dan bertanya khabar saja.

Kering - Habis pokok-pokok cili bapak kekeringan dek cuaca panas 100% bergantung pada air hujan. Cili pun jadi kemetot dan daun kerinting-kerinting. 
Mengerekot - Cili besar yang di dalam pasu lagilah langsung tidak berbaja dan bergantung sepenuhnya hidup dari simbahan air hujan. Masih berbuah tetapi tidak subur seperti selalu kalau bapak ada di rumah.
Sepah - Tin-botol yang belum berkumpul dan tidak dijual kepada pengutip barang lusuh. Sekejap saja rumput-rumput sudah menjalar naik. Sungguh sedih melihat ini. 
Berbunga - Dalam pada panas terik pokok mangga ini meriah berbunga. Tidak tahulah apa akan jadi jika terus kena tinggal rumah bapak ini. Sedih sangat:(
Sebenarnya aku balik berdua saja dengan hubby sebab bapak sudah dibawa abang ke rumahnya di Pasir Gudang. Mengambil masa untuk membetulkan reban ayam yang sudah bocor. Kalau dibuat ketika bapak ikut balik sudah pasti dia pun akan turut keluar rumah itu yang kami tidak mahu. Kalau boleh biarlah gatal pada keseluruhan badannya betul-betul sembuh baru kami benarkan bapak balik kampung. Sekarang balik seminggu sekali ketika hujung minggu tetapi hanya satu malam saja esoknya kami bawa semula bapak balik ke rumah kami. Kami sayang rumah pusaka milik bapak ini.

~~ Ada satu bau yang menyegarkan bila balik kampung.~~




Friday, March 25, 2016

Cerminmata dengan anak-anak

Focus Point di Skudai Parade merupakan optical shop yang sering menjadi kunjungan keluarga kami. Tuan empunya kedai sehinggalah kepada pembantunya semua sudah mengenali kami termasuk Mak Zah juga. Kunjungan kali ini bagi memperbaharui cerminmata adik. Semua masing-masing sudah mencecah 400+ jangkit mama juga. Puas dari semasa di dalam kandungan mama menjaga pemakanan tetap semuanya terpaksa bermata empat seperti mama juga sebaik saja masuk usia 9 tahun. 

Cuci - Bila ke sini semua mesti akan mencuci bersih cerminmata. Terutama bahagian hidung. Bila masuk di dalam periuk khasnya keluar bagaikan cerminmata baru

Sun-glasses - Anak-anak sibuk minta papa membeli satu untuk dipakai ketika memandu atau visit project site.

Terjebak - Akhirnya papa akur membeli pilihan ketiga-tiga anak daranya. 

Cantik - Papa bergurau dengan anak-anak mahu membeli yang ini akhirnya bukan saja kami yang tergelak bahkan tuan punya kedai pun berdekah-dekah membayangkan kalau papa memakai ini.
Cerminmata adik dapat pada hari yang sama selepas menunggu dalam lebih kurang satu jam. Mama punya mengambil masa 2-3 hari. Biarpun anak-anak sibuk mahu memakai contact-lens tetap mama belum memberi kebenaran. Tidak mengapa masa ini tidak cantik. Tunggu besar sudah bekerja pandai-pandailah jika mahu memakainya mama tidak ada halangan. Boleh juga berjumpa Prof. Dr. Muhaya buat lasik lagi baik.

~~ Salah satu ayat Al-Quran yang berkaitan dengan mata. " Bilakah hari kiamat itu? " "Maka apabila mata terbelalak ketakutan" - Ayat 6-7 Surah Al-Qiyyamah.~~


Thursday, March 24, 2016

Keluarga dan kesyukuran dirai bersama

Lokasi : Taman Bukit Indah 2
Majlis: Kesyukuran bersama keluarga

Program sudah dirancang awal. Majlis kesyukuran untuk diraikan bersama-sama seluruh keluarga yang berkesempatan. Adik bapak aka pakcik aku yang tinggal di Boon Lay Avenue, Singapore membina rumah bersebelahan rumah anaknya. Sepupu aku ini membeli rumah corner-lot. Niat asal mahu dibina kolam renang di tanah yang terbiar sebab sibuk tetapi apabila di ayah (pakcik akulah itu) sibuk mahu membina rumah untuknya sepupu aku tidak menghalang. Setelah siap dibina dalam tempoh tiga bulan itulah kami berkumpul sanak-saudara membuat tahlil dan doa selamat.

Sebelelum majlis bermula - Adik bapak yang aku maksudkan itu yang di sebelah kanan. Adik-adik bapak semuanya tinggi-tinggi belaka. Bapak anak sulung yang kecil saiznya.
Doa selamat - Selessai sudah doa selamat di baca
Sepupu-pupu - Kami bergambar bersama di rumah barunya. Sepupu kami yang tinggal di Brunei pun balik untuk majlis ini.
Cucu - Ini cucu Kak Uda aku. Orang sibuk membaca doa dia sibuk mahu merasmikan bubur merah (pulut dimasak dengan santan dan gula melaka. Di atas bubur kemudian akan diletak sedikit pulut putih yang dimasak juga dengan santan dan sedikit garam tanpa gula).
Penyegar tekak - Bila majlis dibuat waktu siang panasnya tidak terkata. Buka aircond tetapi pintu di buka sebab makanan di hidang di perkarangan antara dua rumah -  terasa bahang yang masuk. 

Kuih-muih - Banyak tangan yang membawa ketika datang termasuk kelupis itu sepupu aku bawa naik kapalterbang sebab dia tinggal di Brunei.

Catering - Pakcik aku panggil catering saja untuk makan-makan kami. Nasi beryani bersama lauk-pauk saja. Bubur merah itu makcik aku yang masak sendiri. Mereka ini semua sepupu aku. 
Sebenarnya ramai keluarga aku yang tinggal di Singapore tetapi juga mempunyai rumah di Johor. Rumah yang sekadar dikunjungi bila hari cuti. Sebab itu bila salah seorang sepupu aku membeli rumah corner yang ruang tepinya luas membuat pakcik aku mahu membina rumah di situ. Tetapi mereka berkongsi pintu pagar sebab permohonan dengan MBJB untuk dibuat pintu pagar berasingan tidak diluluskan. Alamat juga menggunakan alamat yang sama. Tetapi talian telefon tidak ada masalah. Kini semakin dekatlah pakcik dengan bapak. Lebih dekat lagi dengan aku tidak sampai setengah jam boleh tiba. 

~~ Semakin banyak hartanah rakyat Malaysia, khasnya di Johor kini dimiliki rakyat Singapore.~~



Wednesday, March 23, 2016

Aroma daun istimewa

Pepes di Restoran Singgah Selalu
Kelupis dari Brunei
~~ Makanan tradisi istimewa.~~

Tuesday, March 22, 2016

Makan bergelap, bayar dengan tunai

Sok-sek-sok-sek ada mengatakan Restoran Singgah Selalu akan berpindah kerana kawasan sekarang akan dibangunkan kepada projek mega. Berbual dengan tuan empunya restoran malam itu apa yang dibisikkan bukan omongan kosong. Aku tahu ada sedikit kekesalan tetapi demi sebuah pembangunan pengorbanan perlu ada. Mengikut empunya restoran akan berpindah ke tempat lain dan akan diberitahu kelak.
Anak-anak - Ada penyakit di sini. Penat menanti/berbual masing-masing khuysuk melayan telefon sehingga diambil gambar pun mereka tidak sedar.
Malam itu agak mengejutkan kerana ke dua-dua kanan dan kiri ruang restoran yang begitu luas boleh dikatakan meja semua penuh. Kami bernasib baik ada pelanggan sedang beransur pergi. Memesan seperti biasa mengikut kehendak anak-anak. Biasanya ke semua pesanan akan sampai tidak sampai setengah jam tetapi malam itu kami makan sehingga selesai ada satu dish (ikan kerapu stim nyonya) tidak kunjung tiba. Lebih mengejutkan sedang menikmati hidangan tiba-tiba sebahagian lampu terpadam. Menjeritlah mana yang kegelapan. Maintainance mereka berkejar memperbaiki dan tidak sampai 2 minit semua kembali pulih.

Oleh kerana tidak mahu menunggu lebih lama ikan itu kami lupakan saja, seperti biasa baki yang tidak habis kami bungkus dan papa ke kaunter pembayaran. Sekali lagi terkejut sistem kredit kad tidak berfungsi. Tidak tahulah kepada mereka yang makan dengan group yang besar bagaimana mereka mahu membayar. Kami bernasib baik makan malam itu agak murah tidak sampai RM400/- dan nasib baik papa ada membawa wang tunai kalau tidak mahu kami anak-beranak kena mencuci pinggan di dapur:)
Ketam - Pilihan adik
Brokoli scallop - Pilihan mama
Ayam lemon - Pilihan Kak Meen
Butter prawn - Pilihan Kak Reen
Shark-fin soup - Pilhan papa
Kailan - Pilihan semua
Sate - Pilihan semua 

Pada aku makan di situ tidak ada masalah hanya berkemungkinan pada malam itu Allah mahu mengujinya. Kasihan kepada empunya restoran ada sedikit terkesan. Apa pun kami tetap tidak menuding kesalahan mereka sebab aku sudah menjadi pelanggannya sedari masih anak dara trang-tang-tang sehinggalah kini anak sulung aku pun sudah 21 tahun. Itulah sesekali pasti ada ujian. Tidak ada satu pun perjalanan kita akan sentiasa lancar.

~~ Mensyukuri nikmat Allah walau diuji dengan el-nino tetapi keperluan hidup tidak lagi terjejas atau berkurang. ~~


Monday, March 21, 2016

Hitam itu menawan

Tempat: Pejabat aku bekerja
Masa: Jumaat, 2:30 petang

Sebaik saja melangkahkan kaki masuk ke dalam bilik aku dia mengeluh "Wow! panasnya di luar". Aku alihbahasa apa yang pelanggan aku katakan. Aku senyum sambil menunjuk kerusi di depan meja untuknya duduk. "Awak tidak rasa panaskah dengan baju hitam, tudung hitam, setokin hitam dalam cuaca panas begini?" Sambungnya lagi. Pantas saja aku menjawab "Awak lihat saya berpeluh ke? Atau awak rasa panaskah dalam bilik saya sekarang ini? Kalau perlu dua air-conditioner boleh saya buka tidak ada masalah". Kini giliran dia pula tersenyum. Satu soalan yang sedikit mencalar hatiku kerana sewaktu itu aku berhabaya hitam dan bertudung hitam. Sebenarnya banyak habaya aku berwarna hitam itu aku akui. Tetapi padaku itu soalan yang kurang bijak sebab walau aku berpakaian begitu langsung kepanasan tidak aku rasai dek sejuk hawa aircond yang ada. Mustahillah kalau aku keluar jogging berpakaian begitu.

Sebelum keluar bilik untuk pergi kerja rutin aku adalah menutup aircond langsung menuju ke kereta. Pemanduan aku di dalam kereta tidak kiralah waktu apa pun aircond pasti terpasang. Membuka tingkap sekadar untuk membayar toll. Tiba di pejabat terus saja tangan mencapai remote aircond dan pasti akan terpasang sehinggalah balik baru aku tutup aircond. Turun balik masuk dalam kereta semula juga beraircond sehingga tiba ke rumah. Adalah seketika waktu memasak di dapur peluh pasti membasahi badan. Waktu di dapur sudah pasti aku dalam keadaan seksi (senyum malu). Selesai masak dan mandi sudah menjelang maghrib masuk bilik semula juga beraircond hatta ketika mengajar anak-anak mengaji sehinggalah pagi (kalau sejuk sangat ada kalanya jam 2 atau 3 pagi tutup juga). 

Benar bahang panas sejak gerhana matahari tempohari kini kita rasai. Allah mahu kita bermuhasabah mengukur di mana letak iman diri kita. Jika mahu ditarik nikmat olehNya bila-bila masa pun boleh. Cuaca panas kita masih bertahan kerana ada aircond. Tetapi cuba kita bayangkan andai tenaga elektrik tiba-tiba terputus apa akan jadi pada kita semua? Allahuakbar!

~~ Ada juga yang berwarna buat sakit mata kerana buat diriku hitam itu menawan kalbu haha...~~

* Sebenarnya aku tertinggal telefon bimbit yang mana semua gambar untuk dijadikan entri hari ini belum aku buat draf lalu jadilah entri ini. Serba tidak kena bila telefon bimbit tertinggal.


Friday, March 18, 2016

Menghindari himpitan alam kubur

Sambil memandu pulang sambil menghayati butir tazkirah oleh ustaz  Ahmad Dusuki Abdul Rani, di radio IKIM fm berkaitan dengan alam kubur. Terasa ngeri pula bila disebut perihal tidak ada satu pun umat yang akan terlepas dengan himpitan kubur sebaik masuk ke dalam liang lahad. Sesungguhnya solat, sedekah jariah dan amalan lain tidak dapat membantu hal yang satu ini melainkan dengan amalan membaca kitabullah, Al-Quran. 
Al-quran anak-anak - Sekadar hiasan untuk entri hari ini.

Bersama kita renungkan kalau kita boleh membaca blog, whatsapp dan sebagainya saban waktu, sesekali apa salahnya kita heret bahkan kalau boleh paksa pun kita paksa mata kita untuk menatap dan membaca titipan baginda rasulullah buat kita umat yang amat dikasihi ini. Beruntung kita dikurniakan mata untuk melihat. Selagi peluang masih diberi kita gunakan sebaik-baiknya.

Daripada Abu Musa Al Asy'ari r.a telah berkata, Rasulullah sallallahu alaihiwasallam bersabda, "Perumpamaan orang mukmin yang membaca Al-Quran seperti buah Utrujjah (seperti limau yang besar) yang ada berbau wangi dan sedap rasanya. Perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca Al-Quran seperti buah tamar tidak ada bau dan rasanya manis, dan perumpamaan orang munafik yang membaca Al-Quran seperti Raihanah (sejenis tumbuhan/pokok) baunya wangi dan rasanya pahit. Manakala perumpamaan orang munafik yang tidak membaca Al-Quran seperti buah labu yang tidak ada bau dan rasanya pahit*." - Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.

~~ Mukmin yang membaca Al-Quran umpama buah yang harum dan sedap rasanya.~~ 

* tidak tahu kenapa dikatakan labu pahit, sebab aku rasa labu sedap:)

Thursday, March 17, 2016

Kos sara hidup

Oleh kerana mata asyik terpaku dengan produk-produk online akhirnya papa bersuara menasihati anak-anak. Walaupun murah seandainya ia bukanlah satu keperluan tidak perlulah membeli. Jangan bila melihat cantik dan murah terus saja pergi bank masukkan duit dan menanti barang tiba di depan pintu pagar. Anak-anak memang setiap bulan bagaikan ada gaji dari kami mama/papa sebagai simpanan dan kegunaan mereka. 

Ada kebimbangan buat kami mama/papa mereka sebab kos sara hidup semakin meningkat dari hari ke sehari. Jika sekarang pun kita sudah dapat merasakan apa lagi masa akan datang. Papa memberi contoh kepada salah seorang yang menyewa rumah kami. Bekerja sebagai kakitangan awam yang baru mempunyai seorang anak bayi tetapi tiga bulan sudah sewa tertunggak tidak berbayar. Prinsip kami tidak akan bertanya sebab masalah mereka kita tidak tahu. Tetapi mungkin dia berasa malu akhirnya keluar dengan baik. Bila keluar hanya perlu membayar sebulan kerana ada duit deposit sebelum masuk dulu. Membayangkan bila jika mereka punya anak dua-tiga dan sudah bersekolah kelak pasti lagi sempit.

Bagaimanapun perit kelangsungan hidup perlu dijalani. Melihat balu yang ditinggal suami bekerja siang-malam juga membuka mata. Anak dititipkan jiran untuk menjaga sehingga malam. Tidak kurang pula ada yang hidup mewah dek kerana bekerja di seberang tambak. Bekerja seminggu empat hari tetapi mampu menjana pendapatan bagaikan gaji seorang pengarah urusan di JB. Dia juga menyewa rumah kami yang harganya dua kali ganda dari harga yang tertunggak hingga 3 bulan tidak jadi masalah buat pasangan ini.
Adik beradik - Lain kisah kittens adik ini. Ibu kittens ini sebulan untuk makanannya saja RM69.90/- satu bag. Bila anak-anak ini sudah mula makan pasti berganda keperluannya. Itu bukan masalah dia tapi jadi tanggungan kita sebagai manusia.

4 ekor - Berdua wrestling satu lawan satu. Kak Meen dan adik siap divideokan pergerakan kittens ini semua. Dari melompat keluar bakul sehinggalah mereka bergumpal sesama mereka untuk bermain semuanya dirakam.

Penat - Makan-menyusu-main tidak berhenti, bila letih masuk bakul tidur. Senang jadi kitten org sayang, masalah tidak ada. Kalau mati pun tidak ada dakwa-dakwi.
~~Semakin jelas di mata kita sekarang mereka yang hidup susah kian perit tetapi yang hidup senang terus senang.~~ 

Wednesday, March 16, 2016

Business cuti sekolah

Teman-teman mereka sudah menempah untuk membeli tetapi kerana seminggu sebelum cuti sekolah tempohari jadual aku agak padat baik di rumah mahupun di pejabat lalu aku biarkan saja. Langsung tidak ada masa untuk pergi ke JPO. Sebenarnya kalau pergi tidak sampai setengah jam boleh selesai membeli apa yang dikehendaki itu. Tetapi kerana bapak ada di rumah sepanjang dua minggu rasa tidak sampai hati kalau aku keluar malam sedangkan beliau di rumah. Sudahlah siang hari kena tinggal dengan Mak Zah saja sebab aku pergi kerja. Kalau keadaannya sihat tidak mengapa boleh  juga dibawa sama. 
Malam tadi - Lengang sebab hari bekerja masing-masing mahu berehat setelah balik kerja tetapi aku dengan anak-anak pergi ke sini.
Halatuju - Ke outlet sinilah sebenarnya barang yang anak-anak mahu membeli dan dijual semula kepada teman-temannya
Bath & Body Works - Samalah adik dan Kak Meen business produk ini. Jika ada kad ahli lagilah mendapat harga istimewa.
Pocket perfume - Adik membeli 10 begitu juga Kak Meen (jumlah yang sudah ditempah pembeli). Ini untuk pelanggan adik.
Bertiga - Siap membeli masing-masing posing sebab tidak ramai pengunjung. Niat asal membeli barang tempahan pelanggan tetapi bila masuk ke Padini ada juga yang dibeli dan dapatlah seorang sehelai.
JPO - Sebenarnya boleh naik motor saja tapi Kak Meen tidak confident walaupun sudah ada lesen. 
~~ Mudah betul business online sekarang. Anak-anak sekolah pun boleh melakukannya.~~

Tuesday, March 15, 2016

25 things that make me happy

Banner - Mesti kena ada banner ini sebagai syarat penyertaan.
What to do? 
Create a new post + Insert picture above 
 List 25 things that make you happy 
 Mention the blog that have tagged you 
 Tag at least 5 bloggers & make sure they know they've been tagged! 
 Share your favourite quote of the week! (if none, then it'll be okay)

Senarai 25 yang yang membuat aku gembira:-

1. Bertunang dan bernikah dengan en papa pada anak-anakku
2. Pengesahan dari doktor aku hamil (dari anak pertama hingga ke tiga sama saja)
3. Saat melihat anak-anak lahir ke dunia (sakit tapi gembira tidak terkata)
4. Bila melihat anak mula bercakap dan belajar mengikut bersolat
5. Anak sudah pandai membaca Iqrak seterusnya boleh membaca Al-Quran
6. Surat Tabung Haji (2008) sahkan dapat menunaikan Haji setelah sekian lama menanti
7. Dapat tawaran bekerja selepas habis belajar (keluar sedikit dari kepompong kemiskinan)
8. Dapat membuat anak-anak didik khatam membaca Al-Quran 
9. Dapat gaji hujung bulan,  bonus tahunan dan kenaikan gaji 
10. Dapat hadiah/cenderahati/ole-oleh tidak kira daripada siapa pun
11. Membeli rumah yang pertama. Walaupun kecil tetapi sangat bermakna.
12. Boss menghargai apa yang dipersembahkan
13. Mendapat kelulusan dari apa juga permohonan yang dibuat ke pihak tertentu
14. Menggembirakan seseorang hasil pemberian kami (contoh: masa Hari Raya - puas rasa)
15. Melihat anak-anak berjaya cemerlang dalam pembelajaran / pertandingan
16. Hubby memberikan sesuatu tanpa disangka-sangka
17. Mencuba resepi baru dan hasilnya dinikmati seisi keluarga
18. Melihat bapak sembuh dari penyakit/sakit/demam (sujud syukur lagi)
19. Melihat gambar-gambar lama ketika masih berkumpul adik-beradik
20. Balik kampung
21. Tanaman yang membuahkah hasil (buah/bunga/pucuk/daun dan sebagainya)
Nenas Philippine - Pokok nenas ini aku tanam guna jambulnya bukan sulor tepi buah. Sudah dua tahun baru berhasil. Gembira sudah pasti sebab tanamnya di tepi sebelah longkang tempat aku bekerja saja. Tidak sangka Allah memberi rezeki jua akhirnya. Aku sedang menanti mana tahu akan keluar sulor tepi buah boleh tanam lagi.

22. Melihat hasil mengemas rumah/pejabat menepati seperti yang dikehendaki
23. Membaca blog kawan-kawan yang ada budak-budak atau baby comel
24. Memandu kereta di laluan yang sangat-sangat tenang tanpa gangguan traffik
25. Bertemu sanak-saudara

Huh! selesai juga akhirnya aku tunaikan apa yang dikehendaki hasil kena tag Huda Cik Manisah Lesing:) Namun syarat terakhir untuk 5 orang perlu di tag berikut adalah nama-nama pilihanku ini:-


Aku tinggalkan kata-kata berikut sebagai renungan bersama:-

~~ Apa pun juga yang kita miliki tidak akan kekal abadi. ~~





Monday, March 14, 2016

Cuti sekolah bemula lagi

Rutin mengejut pagi bermula lagi bila cuti sekolah bermula. Masing-masing menanti mama mengetuk pintu, usap kepala/muka baru bangun. Sudah berkali-kali diingatkan tidur selepas solat subuh menjauhkan rezeki tetapi tidak dapat masuk di minda masing-masing. Berbeza sungguh zaman aku adik-beradik dulu. 

Kucing-kucing-kucing. Tidak sudah-sudah menjenguk anak-anak kucing di luar. Boleh pula semuanya membahasakan diri kakak pada si anak-anak kucing itu. Letih melayan kucing, melekat melihat pc. Tahu-tahu saja bersuara pada papa mahu membeli itu-ini. Sehinggakan baju tidur pun mahu dibeli online. 

Mama yang sedang mahu terlelap pun tidak senang apabila kedua-duanya datang menunjukkan salah satu instagram yang menjual barang online. Mereka berbincang berdua di depan mama yang sedang sayup-sayup mahu berlayar menganyam mimpi. Bila mama geram mama cabut cermin mata kedua mereka. Gelak-gelak keduanya berlari keluar bilik meninggalkan mama. Datang lagi "Mama tahu kan tengok muka mama pun dapat pahala". Malas melayan aku biarkan saja mereka merenung muka mamanya yang mahu terlena. Masing-masing sudah remaja tetapi kerenah macam budak-budak belum baligh.

Chicken - Ahad semalam kami pergi berbelanja dapur. Singgah sini.
Lupa apa nama resepi ini tetapi yg pasti ini juga mereka makan berdua. 
Salad - Ini mama punya sebab sebenarnya singgah untuk minum saja tapi terpesan ini pula
Kek - Niat asal untuk makan ini saja sebelum terjebak makan dua gambar yang di atas
Anak dara mama - Inilah mereka yang kini sedang bergembira dek cuti sekolah minggu ini.
Bila sesekali bertemu banyak yang mahu diceritakan. Sehingga aku lihat jam 12 malam masih bersembang sambil tv masih memancarkan siaran. Buat kerja sekolah pun satu meja tetapi sesekali aku dengar banyak bersembang dari membuat kerja sekolah. Sesekali mama jenguk masing-masing sengih.

~~ Ikatan kasih-sayang adik-beradik eratnya tidak sama dengan sahabat. ~~


Friday, March 11, 2016

Sosial akhir zaman

Kedatangan warga asing kian berlambak-lambak. Rakyat pula sering disogok dengan kata-kata atasan bahawa statistik indeks jenayah semakin menurun. Tetapi saban hari di dada-dada akhbar dan media elektronik terpapar dan tersiar jenayah yang diluar kotak minda kita. Tidak termasuk lagi yang tidak mendapat liputan. Ibu-bapa sendiri kian tidak senang mahu melepaskan anak-anak sendirian tanpa kawalan. Anak-anak mahu bermain di taman permainan pun boleh membuat ibu-bapa gelisah. Lebih dahsyat ke sekolah untuk menimba ilmu pun cukup menggusarkan hati ibu-bapa. Bermacam langkah pihak sekolah cuba buat tetap ada juga insiden yang tidak diingini. Di dalam kawasan sekolah mungkin boleh juga pihak sekolah mengawal tetapi yang licik pula membuat onar di luar sekolah.

Pergaulan anak remaja pula kian longgar dari landasan yang digariskan. Berbagai akta keselamatan kebanyakan menjurus kepada hal-hal politik, tetapi hal sosialisasi amat longgar. Banyak isu yang berkaitan dengan bangsa, agama dan tradisi dicampur-aduk menjadi carca-marba. Pembuangan bayi, bersekedudukan, minum arak, berjudi, makan di khalayak ramai ketika bulan ramadhan, pasangan berpeluk-cium di depan orang ramai, rogol hatta sehingga ada yang berani berbuat bagai mencabar agama tanpa sedar membawa kekufuran juga sudah menjadi cabaran sosial orang kita.

Pertambahan kemasukan warga asing biarpun secara sah sudah pasti akan mengundang lebih banyak isu sosial di negara kita. Apa lagi warga yang di import masuk adalah kalangan darah muda yang sedang membuak-buak untuk mencari kebebasan dan bersuka-ria.  Malaysia pula bukan tanah air mereka sendiri.

~~ Kita jaga aqidah dan sosial anak-anak kita semampu yang boleh. ~~

Thursday, March 10, 2016

Nilai tiga-puluh ringgit buat seorang anak

Malam. Sambil bercerita sambil Kak Meen mengesat airmatanya. Aku yang mendengar pun simpati dengan nasib yang menimpa sahabat Kak Meen ini. Anak remaja yang pada firasat aku punya hubungan keluarga yang agak longgar. Bapa bekerja sebagai kakitangan awam manakala ibunya bekerja di restoran sebagai pencuci pinggan-mangkuk. Ada seorang abang yang tidak bekerja. Pada pendapat aku bukan tidak ada kerja tetapi malas kerana di kawasan tempat kami tinggal setakat menjadi pembantu kedai amat banyak. Kalau pergi ke Aeon tanya sajalah mahu atau tidak. Kawan Kak Meen ini ada dua lagi adik yang masih bersekolah.

Setiap hari ke sekolah tanpa membawa bekal tetapi duit untuk membeli makanan sekadar satu atau dua ringgit saja. Awalnya dulu Kak Meen tidak tahu mengapa bila diajak membeli apa pun dia menolak sehingga satu hari akhirnya dia berterus-terang. Dua hari lepas balik sekolah terhambur airmata sedih yang membuat airmata Kak Meen mengalir sama. Sedih sebab wang RM30/- yang dikumpul berhari-hari akhirnya hilang begitu saja. Aku tahu buat Kak Meen nilai itu tidaklah sebesar mana sebab biasa bila dia mahu keluar dengan kawan-kawan, papa pasti memberikan duit sekurang-kurangnya RM100/- tidak termasuk duit sendiri lagi. 

Pada awalnya Kak Meen menjangkakan duit itu hilang di kelas sebab mereka tidak sekelas. Kak Meen di tingkatan 5-Science-1 dan dia 5-Science-2. Tetapi duit hilang di rumah sendiri dan dia sudah tahu yang mengambil adalah abangnya sendiri. Bila ditanya si abang sekadar mendiamkan diri sebagai tanda dia mengambil tanpa izin. Minta dipulangkan mana mungkin sebab si abang tidak bekerja. Mengadu pada si ibu seperti biasa sebab ini bukan kali pertama dan tidak ada tindakan.

Wang tabungan itu sebenarnya kerana mereka sudah sepakat dengan beberapa teman untuk menonton pada cuti sekolah minggu hadapan. Dia terlalu sedih sebab peluang buatnya untuk bersama bagaikan hancur bila wang itu hilang. Entah mengapa naluri keibuanku tercalar dek kisah ini. Aku hulurkan RM50/- ringgit pada Kak Meen malam itu untuk diberikan kepada kawannya itu. Aku mengenali anak itu sebenarnya sebab selalu juga dia menumpang kereta kami. Ada berkunjung dan belajar di rumah kami. Jarak rumah kami hanya bersebelahan taman perumahan.

Apa yang aku hairan si bapa boleh makan di kedai (kami nampak) dengan kawan-kawan tetapi untuk anak sendiri bagaikan disekat-sekat. Si ibu juga boleh membeli telefon bimbit baru (si anak juga yang bercerita) tetapi untuk anak sendiri tidak difikirkan. Keinginan anak untuk tuisyen juga tidak dibenarkan. Jarang kita bertemu situasi begini bukan. Sebab biasa ibu-bapa tidak kisah untuk diri sendiri tetapi sanggup berbuat apa saja untuk kebaikan anak.

Apa yang aku harap dapatlah anak ini bersama-sama dengan rakannya pergi menonton Boboiboy sebagaimana dirancang hujung minggu ini. Bersama kita renungkan. 

~~ Tanggungjawab pada anak bukan setakat bagi makan dan tempat tinggal saja.~~

Wednesday, March 9, 2016

Tuding mengaji

Peristiwa 21 tahun berlaku sekali lagi pada hari ini. Putaran alam yang dibawah qudroh dan irodah Allah kini sedang mengalami fenomena gerhana matahari. Bersama kita dirikan solat gerhana selepas solat dhuha. Peluang ini 21 tahun sekali saja. Apa pun aku ingin memaparkan salah satu tradisi keluarga kami. Bila mengaji tuding mesti ada di tangan masing-masing. Bahasa keluarga kami tuding adalah alat penunjuk digunakan ketika belajar mengaji Al-Quran.

Tidak tersusun - Setiap hari selepas Isyak salah satu tugas aku menyusun ini semua. Ada kala bila letih sangat aku biarkan saja. Anak-anak biasalah siapa siap dulu dia letak dulu. Akibatnya begini. Lihat tuding dalam Iqra' terjulur keluar sebab kakak/abang yang membaca Al-Quran menggunakan chopstik yang Huda bagi dulu dia pun tidak mahu ketinggalan sama menggunakan chopstik pemberian Huda. Kalau di dalam Al-Quran sebab besar tidaklah terjulur.

Pemegang rotan - Dulu aku gunakan rotan ini. Rasanya hampir setahun sudah aku gantung saja. Adalah sesekali bila mahu membuat anak-anak senyap.

Hujung rotan - Lihatlah sudah pecah. Kasihan dinding dan lantai selalu jadi mangsa libasan rotan ini. Itulah sebabnya pecah-pecah. Mencecah anak-anak belum sekali. Tetapi biasa anak-anak melihat ini pun sudah kecut tidak perlu dicecahkan pada mereka. 

Pensil gergasi - Sudah setahun lebih aku menggunakan ini. Anak pertama yang menghadap sudah tahu dimana mahu diambil pensil ini. Anak pertama mengambil dan anak yang terakhir akan menyimpannya. Masing-masing sudah tahu bekas tembikar letak bunga aku letak pensil ini.
Semoga gerhana matahari ini tidaklah membawa musibah kemarau yang panjang yang membawa kepada wabak penyakit dan tumbuhan tidak subur seperti 21 tahun yang dulu. Itu yang dikatakan oleh Us. Hj Hanafiah Abd. Razak, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Falak, Johor Bahru.

~~ Takut dengan Allah itu lebih baik dari takutkan rotan.~~