Friday, April 29, 2016

Jumaat bagaikan Hari Raya

Jarum jam sudah menunjukkan hampir untuk masuk waktu solat. Selepas hubby menukar baju dan keluar kereta terus saja masuk ke perut bangunan masjid meninggalkan aku sendirian di dalam kereta. Sementara menanti hubby bersolat itulah aku memerhatikan berbagai gelagat umat Islam lelaki yang mahu menunaikan ibadah solat jumaat.

Ada yang baru datang ketika khutbah sedang dibaca. Ada yang sudah keluar masjid ketika khutbah belum habis pun dibaca (bermakna dia tidak jadi bersolat jumaat). Ada juga yang sekadar bersantai duduk di pondok bersebelahan dengan bangunan masjid. Ada juga yang baru sibuk membetulkan kain pelikat sambil berlari (kes terlewatlah) ketika imam sudahpun membaca fatihah untuk rokaat pertama.

Nasib baik aku tidak ada anak lelaki. Kelihatan remeh tetapi perlu diambil tahu syarat sah solat jumaat. Janganlah bila sudah menjadi bapa membawa anak ke masjid untuk tujuan solat jumaat tetapi syarat sah tidak tahu akibatnya si anak pun menyangka apa yang si ayahnya buat itu betul. Mari lihat di sini. Terutama bab khutbah jumaat usah diambil sambil-lewa.

Kenderaan yang berjasa - Ada kereta, bas sekolah, motosikal dan basikal. Berlapis-lapis kedudukan parking kenderaan sehingga aku pun tidak boleh keluar kereta dek di sebelah kanan kereta kami pun ada kereta. Sebelah kiri tempat aku duduk pula sengaja aku mahu hubby rapatkan ke pokok  bunga rendang jadi terlindung dari panas, tetapi pintu kereta tidak boleh dibuka. Bagaimanapun aku maklum dan tidak ada sekelumit pun rasa marah sebab aku tahu waktu keluar nanti akan sama-sama keluar di waktu itu. 
Selesai solat - Masing-masing menuju mencari kenderaan untuk pulang. Panas berdenting waktu ini. Selama hubby di dalam masjid dua kali aku cuba matikan enjin dan buka tingkap tetapi tidak mampu dek bahang panas mencucuk-cucuk. Terpaks aku on balik enjin untuk menikmati aircond.
Jemaah - Aku rasa di masjid ini juga menjadi tumpuan pelajar lelaki MRSM sekolah adik, sekolah agama, sekolah sains dan ILP yang berdekatan. Sebab bila aku lihat ramai anak-anak yang berpakaian sedondon warna baju dan kain samping yg dipakai. Menarik pula mata aku melihat. Bagaikan Hari Raya.
Bukan mudah untuk aku mendapat peluang melihat situasi begini. Kalau tidak kerana mahu menjenguk adik aku tidak berada di perkarangan masjid ini. Tetapi kerana menunggu hubby bersolat itulah aku berada di sini. Selepas selesai baru kami menuju ke sekolah adik.

~~ Beruntung kaum lelaki berpeluang berhimpun bagaikan Hari Raya sekurang-kurangnya sekali setiap Jumaat kalaulah tidak mampu ke masjid setiap waktu solat.~~


Thursday, April 28, 2016

Masa - Jangan sampai berjalan senget

Umat nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam ini tidak sekuat umat nabi-nabi sebelum rasulullah. Kita ini terlalu manja dan bersyukur rasulullah sudah siap sedia akan memberi syafaatnya di Mahsyar kelak. Allahumma solli 'ala Muhammad. Sunnah-sunnah itulah yang selalu dikejar untuk menjadi pegangan. Tetapi sunnah yang sedikit menggegar iman seorang isteri apabila si suami yang dicintai siang-malam tiba-tiba berkata mahu membuka cawangan - berpoligami. Suatu yang disyariatkan tapi amat dibimbangi.

Ustaz Syeikh Mohamad Abdel Aziz Mahmoud Ghonim yang datang memberi ucapannya di masjid tempat kami tinggal bersempena Rehlah Dakwah Johor 2016 baru-baru ini menyentuh hal poligami. Kewangan, kesihatan, kasih-sayang, keperluan batin ramai yang mampu. Namun adakah mampu sebagai suami untuk membahagikan masa dengan adil? MASA satu yang sangat susah buat umat manusia untuk membahagikan dengan seadil-adilnya. 

Apabila beliau berkata jangan ingat mudah kalau bab masa dengan kerja pun kita tidak mampu menunaikan dengan sebaik-baiknya apa lagi jika mempunyai dua, tiga atau empat isteri. "Mu tak takuk ko di akhirat sok jale senget?" (awak tidak takutkah di akhirat kelak jalan senget). Itu kata ustaz berbangsa arab tetapi berceramah dengan dialek Kelantan. Bergegar ruang masjid dengan gelak-tawa suami-suami kami. 

Ayam goreng - Masa aku untuk masak juga terhad. Semalam balik kerja jem merata. Sebaik keluar saja dari pejabat sehinggalah toll dan sepanjang highway hingga ke rumah jem. Bila tidak mampu mengejar masa cara yang cepat potong kecil-kecil buat ayam goreng kunyit.

Timbus - Terlindung sudah disebalik cauliflower, kacang panjang, carrot dan bawang goreng. Ibarat hati seorang isteri yang berpoligami. Kepada yang redha akan cantik dan indah tetapi yang tidak mampu terus berselindung disebalik yang cantik. Tapi percayalah keindahan  tetap ada di sana sebagaimana hukum tertulis. Cuma mampu atau tidak saja kita sebagai isteri.
~~ Isu poligami sangat sensetif buat rakyat Asia Tenggara tapi tidak di Asia Tengah. Aku sendiri masih 'tamak' tidak mampu menggalas rasanya. ~~


Wednesday, April 27, 2016

Unta mama terbang

Aku sudah mendengar anak-anak meriah bermain di ruang tamu. Biasalah selepas mengaji jika ada peluang bermain mereka akan bermain.

Suara 1: Mama tengok dah bersepah ni (menjerit memberitahu)
Mama: Siapa buat baik kemas balik (bersuara dari dalam bilik tanpa melihat)
Suara 2: Dia ni mama, dia
Suara 3: Sama-samalah kemas
Suara 4: Mama tengok unta mama terbang
Mama: Hah? (dalam hati apa dah jadi agaknya ruang tamu aku)

Terbang - Unta terbang hingga di atas kipas. Masing-masing tidak mampu untuk turunkan. Aku biarkan saja sehingga pagi ini masih di situ lagi.

Kemas - Habis patung-patung kecil di dalam bakul ini dibuat main baling-baling. Selepas mengaji bukan terus balik tapi main baling-baling akibatnya unta terbang atas kipas. Ini hasil siapa yang mengemas tidaklah aku tahu. Tapi rasa aku si anak dara yang buat. 

Meriah - Bagaikan anak-anak yang ceria bunga raya putih di halaman secoet aku  juga meriah pagi ini.

Suka - Pergi kerja pagi ini pun rasa sayang mahu meninggalkan halaman sebab pastinya balik kerja petang bunga ini semuanya akan layu dek cuaca yang panas.

~~ Nikmati keindahan dan keceriaan dengan kesyukuran.~~

Tuesday, April 26, 2016

Selera rasa dari dapur mama

Hari Jumaat adalah hari cuti hujung minggu buat kerajaan Johor tetapi tidak buat aku yang bekerja swasta ini. Oleh itu selalu juga aku terpaksa mengambil cuti pada hari Jumaat kerana papa pada anak-anak ku juga cuti hujung minggunya setiap Jumaat dan Sabtu. Mengambil peluang menjenguk adik pada Jumaat lepas, kerana pada hari Sabtu ada kegiatan di sekolah Kak Meen pula. Memandangkan Jumaat bukan hari outing jadi mama masaklah apa yang adik pesankan.

Ikan toman ikan gelama
masak gulai makan di beranda 
walau biasa saja air tangan mama 
tetap nikmat buat anakanda

Pilihan -  Beralaskan kain batik saja. Selesai saja mengaminkan doa dari papa mulalah dari satu suapan ke satu suapan masuk ke mulut. Nikmat makan sambil di puput bayu.

Selera - Masakan mama biasa-biasa saja tapi itulah dikatakan anak tetap rindu masakan dari dapur mamanya.

Bekal - Nasi putih, sambal sotong/udang, ayam goreng, paprik ayam, sup sayur, ketam (papa tolong pepahkan untuk adik). Air cikong aku siapkan malam sebelum pergi. Rebus dried longan, masukkan dried sweet melon, red date, buah kabung dan laici. Gunakan gula batu. Tetapi ada juga bawa air masak dan belikan  adik air di Starbuck favouritenya.
Panjang umur, dimurahkan rezeki mungkin lima tahun akan berterusan beginilah perjalanan hidup keluarga kami. Dari satu anak ke satu anak kami laluinya bagini. Biasa untuk tingkatan satu/dua saja mama/papa agak kerap pergi berkunjung. Masuk tingkatan tiga dan seterusnya sudah agak mudah. Apa lagi apabila sudah di universiti pergi-balik pun sudah pandai uruskan sendiri. Hanya doa dan telefon sebagai penghubung kami.

~~ Selagi Allah pinjamkan nyawa tanggungjawab kenalah tunaikan.~~

Monday, April 25, 2016

Berkasih-sayang itu indah

Lenguh berjalan di tanah rata 
apa lagi di tanah tinggi 
sungguh benar bagai dikata 
ukhuwah tak boleh dijual beli

Sarat mengubat jiwa dan raga
nafas sesak bercampur lelah
mendapat kiriman teman blogger
terima kasih Baby-pose alhamdulillah

Adik - Setelah meneliti sampul terus dibuka

Koyak - Sebenarnya sudah tiba awal di rumah tetapi sebab dipesan  titipan buat adik lalu kami simpan. Jumaat aku sengaja mengambil cuti sebab mahu menjenguk adik  lalu dibawa sekali buatnya.
Keluarkan - Belum nampak isi adik pun sudah senyum
Taraaa! - Beg dari Medan, Indonesia yang cute, cantik, menarik bukan saja buat adik tetapi buat mama dan papa yang melihat sama pun suka. Adik gunakan untuknya menyimpan MP3  hadiah dari papa dulu bersempena  peperiksaan UPKK adik mendapat 8A.

Jika berkunjung jiran sebelah
tambah manis berkain batik
untuk bersantai bersama jiran
turquoise, purple, kuning dan merah
kombinasi warna yang cantik 
buat Baby-pose jazakallahu khairan 

Setelah puas membelek barulah hidangan makan kami buka. Menikmati makan di pergola yang disedikan oleh pihak sekolah. Makan adik pun bertambah selera. Sebelum kami berpisah petang itu sempat dititip untuk mengucapkan terima kasih kepada mama Faiq dan Fadya yang mengirimkan purse ini buatnya.

~~ Kepada yang mahu berukhuwah dengan Baby-pose silalah klik di sini. ~~


Thursday, April 21, 2016

Itulah dikatakan anak tidak matang

Sambil duduk di sebelah aku dia memerhati. "Ekeleh... fatihah pun tak pandai" itu yang keluar dari mulutnya. Langsung tidak teringat awal tahun lepas dia pun sama. Abang yang pada awal tahun lepas satu huruf hijaiah pun tidak tahu malam tadi sudah mengakhiri bacaan Iqra' 5. Mesti dia rasa perkara semudah itu pun budak ini tidak tahu. Kanak-kanak tidak ada rasa bersalah hatta dulu dia lebih payah berbanding anak yang ada di depan aku ketika dia berkata demikian. Malam ini abang sudah bolehlah mulakan membaca Iqra' 6, itu yang mungkin padanya fatihah satu bacaan paling mudah sebab sudah dibacanya setiap hari.

Sebenarnya malam tadi aku menerima dua anak comel, kira mendaftarlah untuk sama-sama menimba pembelajaran seperti kawan-kawannya yang lain. Seorang berusia 7 tahun dan seorang berusia 5 tahun. Biasalah bila belum pernah mendapat pendedahan seperti abang yang 'berlagak' di atas itu anak ini agak berat lisannya untuk membaca suroh al-fatehah. 

Mia - Baru bermula malam tadi. Ibunya ada membawakan rehal tetapi aku sedari kecil sudah terdidik dengan bapak mengaji beralas bantal jadi dari dulu juga aku memang menggunakan dua biji bantal sebagai alas membaca.
Akhir Iqra' 5 - Abang yang dulu sampai menangis-nangis kata susah mengaji dengan mama Zakie sehingga siibu menunggu di rumah aku kerana tidak mahu mengaji,  kini baru setahun sudah hampir habis membaca Iqra'. Sebelum ramadhan rasa aku abang sudah boleh tamat membaca Iqra' kerana pembacaannya sudah benar-benar lancar. Alhamdulillah.
Baru bermula - Malam tadi bertambah dua naskhah Iqra' masuk di dalam almari. Satu kepunyaan si kakak Syasya dan satu lagi siadiknya Mia. Mereka sebenarnya menyewa rumah kami yang baru kami beli atas nama Kak Reen.

Iqra' - Lihatlah perbandingan dua yang di atas dengan yang di bawah. Bawah sekali itulah abang yang dulu punyalah susah membaca. Naik lunyai Iqra'nya. Budak lelaki tidak sama budak perempuan. Walaupun membaca Iqra' tetapi mereka semua menggunakan penunjukseperti kakak-abang yang membaca AlQuran. Aku gunakan chopstik sebab keras dan pasti tidak patah. Semua anak-anak yang mengaji dengan aku menggunakan chopstik pemberian  Huda Cik Minah Lesing (CML). Melekat sudah nama ini dengan Huda (marah kalau ketahuan si abahnya En. Sani yang memberi nama cantik-cantik diubah hihi...)
Sebenarnya Kak Meen mahu aku berehat dari menerima anak-anak baru. Melihat mamanya tidak cukup rehat itulah dia mahu selepas semua sudah khatam dia mahu aku berhenti. Tetapi malam tadi datang lagi dua yang baru. Sebenarnya aku rasa tidak ada jariah untuk ditinggal bila mati kelak. Itu yang aku katakan pada anak-anak. Buat kerja inilah saja yang aku rasa benar-benar ikhlas, berbanding kerja-kerja lain. Mungkin juga sebab aku suka pada kanak-kanak dan merasakan mereka ini bagaikan terapi bila keletihan. Mohon Allah kurniakan aku kesihatan yang baik itu saja.

~~ Jangan mengira berapa usia untuk terus mentadabbur kitabullah.~~


Wednesday, April 20, 2016

Rasa nikmatnya dimana?





~~ Bersyukurlah sebab ada orang yang tidak makan hari ini. ~~


Tuesday, April 19, 2016

Puasa dan panas tidak ada kaitan

Sayup-sayup kedengaran di corong talian telefon "Adik puasa lagi mama hari ini." Sebenarnya sejak suhu panas agak berlebihan ini aku kurang menggalakkan adik berpuasa sunat. Apa lagi sejak persekolahan 2016 adik sudah tidak tinggal bersama kami. Sebagai mama ada sedikit kerisauan di hati membayangkan bagaimana dia bersahur dan berbuka puasa sebab setahu aku bersahur dan berbuka di asrama jika bukan bulan ramadhan kena pandai-pandai sendiri. Adik masih baru lagi ditambah cuaca panas agak melampau itu yang membimbangkan aku. Kurma yang kami bekalkan bukan untuk berpuasa sebenarnya tapi untuk kudapan adik. Tambahan pula hutang puasa dan nazar semua sudah adik lunaskan lama. 

Namun sebenarnya cuaca panas tidak ada kaitan langsung dengan kita berpuasa. Jangan pandang rendah pada usia anak kita. Ala bisa tegal biasa. Aku saja yang sebagai mama yang masih tipis keimanan sehingga ada rasa bimbang untuk anak sendiri berbuat ibadah sunnah. Tidak seperti papa apabila tahu adik masih boleh berpuasa sunat walaupun berjauhan terkeluar dari mulutnya "Syukur alhamdulillah.." Aku tidak mampu berfikiran positif sebaliknya apa yang ada di dalam minda aku bimbang adik kurang air (dehydrated). Macamana dia berbuka sebab sewaktu duduk dengan kita bila berpuasa adalah makanan yang diinginkan untuk kita makan bersama. Bezanya hati seorang mama dan papa.

Biarpun turun-naik asrama di tingkat tiga tapi adik dan rakan-rakannya punya kekuatan fizikal dan mental yang sama, mereka harungi bersama. Anak-anak sebenarnya lebih cekal berbanding mama-mama mereka ini.

Darah-daging - Kerana ikatan terjalin dari darah-daging yang sama apabila yang satu diuji maka yang satu juga akan terasa sama. Menangis teresak-esak Kak Meen ketika meninggalkan adik di asramanya minggu lepas. Terasa betapa payahnya bila air dicatu sebab Kak Meen pernah merasai ketika di asramanya dulu. Siap baju kotor adik dibawa balik dan kami ganti semua dengan baju baru dari rumah (bukan beli baru). Tukar cadar baru juga Kak Meen yang salinkan.
Bukan tidak ada hujan bahkan hujan turun mencurah-curah tetapi takungan loji air yang ada tidak melihatkan tanda-tanda adanya kenaikan paras air. Bumi Johor ini masih tidak ketandusan hujan lagi bahkan boleh dikatakan 3-4 hari pasti ada hujan menyimbah bumi. Itulah "Kunfayakun" Allah tidak ada siapa mampu menidakkannya. Bersama kita terus sujud memohon keampunan dariNya. Telah dikatakan apabila tiba waktu dajjal tiba semua bumi Islam akan ketandusan air. Apakah ini tanda akhir zaman?

~~ Semoga menjelang ramadhan 1437H ujian dengan suhu panas dan catuan air ini kian berkurang.~~




Monday, April 18, 2016

Sedikit ujian menggegar keimanan

Sebenarnya selera aku memasak dan makan malam agak terbantut sejak akhir-akhir ini. Doa kami sekeluarga semoga ujian El-Nino ini segara berlalu. Catuan air masih menjadi masalah buat asrama adik sehingga hujung minggu lepas aku belikan adik seluar dalam pakai buang dan panti-liner banyak-banyak. Terkenang sewaktu menunaikan ibadah haji, aku juga menggunakan cara ini bagi memudahkan ketika berada di Arafah dan Mina. 


Pizza - Jauh lebih murah berbanding di Pizza Huts mahupu di Dominos. Tetapi rasanya setanding dengan mereka. Tidak rugi membelinya
Lauk - Terlalu ringkas tetapi enak di makan bersama nasi putih. Dagingmasak kicap, timun & kobis sebagai ulam digandingkan dengan sambal belacan mudah
Berselera - Bila digandingkan dengan nasi panas dan sup panas biarpun ringkas tetapi berselera untuk dinikmati sebagai hidangan makan malam itu
Meatball -  Mahu dibandingkan dengan meatball Ikea tidaklah dapat dibuat sebab meatball ikea tidak pernah pula aku rasa. Tetapi menurut anak-anak boleh tahan sedap macam di ikea katanya.

Semalam juga dikhabarkan yang A-Famosa water team-park akan ditutup buat sementara waktu kerana masalah penurunan paras logi air yang membuat bekalan ke taman tema air ini sangat mendadak. Dikatakan juga inilah kali pertama (belum mendapat kata putus) terpaksa di tutup seketika, setelah lebih 20 tahun ianya beroperasi. Pihak pentadbiran bagaimanapun berkata berharap penutupan sementara ini tidak akan berjalan lama. 

~~ Sedikit ujian Allah berikan tetapi kesannya amat hebat dirasakan.~~

Friday, April 15, 2016

Menutup bukan membalut

Jika mahu bertudung menggunakan kain relang 60 atau 45 belum biasa, walaupun jika saiz ini biasanya agak labuh dan pasti menutup dada bila disarungkan ke kepala, tidak mengapa boleh saja lakukan step-by-step perlahan-lahan. Tetapi arus fesyen bertudung masakini kian meluas sehingga yang bukan Islam pun turut terjebak sama membeli kain tudung untuk digayakan. Matlamat tidak sama tetapi cara pemakaian itulah yang sama apabila ada setengahnya digunakan sebagai penghias keterampilan diri. Belit, pusing, lilit bila terletak nampak gah terserlah. Sehingga tidak kurang ada yang kelihatannya menggunakan tudung untuk melilit atau direbenkan pada leher, pinggang dan beg tangan yang dibawa. Cantik! kelihatan elegant.

Kittens - Macam mereka ini tidak perlu bertudung. Dosa pun tidak tercatat. Tetapi kelak menjadi saksi atas perlakuan kita 
Biar apa pun cara, matlamat dan niat dipasang kena betul. Sering ini yang aku ingatkan pada anak-anak juga. Maklumlah anak semuanya perempuan. Tutup dengan betul bukan sekadar membalut. Dua persepsi yang sangat jauh berbeza antara menutup dan membalut. Biar awalnya tidak mampu mencapai 100% matlamat tapi usaha kena ada untuk mencapai peratus terbaik. Aku sendiri pun masih tidak mampu untuk berbuat 100%. Panas di dunia pun kita sudah gelisah apa lagi di mahsyar kelak.

Panas  - Dalam bilik sudah ada kipas siling masih tidak mencukupi lalu Kak Reen membeli kipas comel ini di letak di atas meja ketika belajar di biliknya. Kalau dibolehkah pasang air-cond mahu papa pasangkan. 

~~ Perhitungan di Mahsyar kelak kita akan mendapat buku rekod untuk melihat sendiri  markah yang kita perolehi selama perjalanan di dunia sementara ini. Sungguh aku takut.~~  




Thursday, April 14, 2016

Bila diberi peluang untuk menghulur

Sebelum ini selepas tazkirah di masjid, ketika berbual-bual dengan Ustaz Halim ada mengatakan beliau ada mengambil ramai anak-anak miskin tegar dan yatim sebagai anak angkat. Tujuannya supaya jangan sampai mereka berhenti sekolah hanya kerana masalah yang mereka hadapi. Oleh itu apabila ada dua orang ahli  korporat (bukan orang politik) yang pernah bertanya hubby untuk mencari anak-anak yatim atau mereka yang miskin yang perlu kan bantuan, inilah masa terbaik dan sesuai. Boleh dipertemukan terus kepada sasaran yang dikehendaki. Majlis berlangsung di masjid berhampiran sekolah anak-anak tersebut.

Asnaf - Sungguh anak ini berhak untuk menerima apa yang kita ada. Menerima dari  kita walau sedikit tetapi terlalu besar nilainya buat mereka. 
Adik - Tidak sama dengan adik dapat duit PIBG terus masuk tabung menanti ada peluang untuk dimasukkan bank. 
Semua asnaf - Anak-anak yang diraikan kelihatan sangat ceria pada hari itu. Berlebih-lebih lagi kepada kita yang memberi apabila mampu menceriakan mereka ada rasa terharu di situ.
Mereka - Golongan yang dipilih adalah anak keluarga miskin tegar dan anak-anak yatim.
Kenangan - Bersama Ustaz Halim Shah (kiri), dua ahli korporat (no. 2 & 3 dari kiri) yang meminta hubby mencari anak-anak yang perlu dibantu sebelum menjelang ramadhan.  Melihat airmata bergenang di kelopak mata ahli korporat ini terasa betapa bersyukurnya anak-anak kita dibandingkan dengan anak-anak ini.
Majlis yang pada mulanya mahu diakhiri dengan minum petang diganti ke majlis berbuka puasa kerana rata-rata pada hari Isnin lepas semuanya berpuasa termasuk Dato' ahli korporat tersebut. Bukan memuji tetapi sungguh inilah kali pertama kami dipertemukan dua ahli korporat yang sangat humble. Alhamdulillah, semoga jariah diterima Allah. 

~~ Melihat mereka ceria ada rasa terharu di hati kita.~~

Wednesday, April 13, 2016

Setiap pagi yang sama

1. Omega milk + milo  masuk satu balang. Quaker oat satu balang
2.  Quaker oat sedia untuk diceduk. Susu dan milo sudah digoncang jadikan satu ambil dua sudu besar.

3. Biskut sebagai penambah selera pagi. Cecah dengan air  milo. .

4. Alhamdulillah. Masih belum jemu walau sudah bertahun-tahun inilah juga sarapan ku di pejabat. Jom sarapan:)
~~ Sesekali ada juga sarapan sandwich dan membeli kuih.~~

Tuesday, April 12, 2016

Sekali melangkah usah berundur

Masa: Pagi Sabtu lepas
Tempat: Sekolah kebangsaan adik 

Lebih kurang jam 10:00 pagi dengan bertemankan mama/papa, adik sudah berada di dewan terbuka sekolah kebangsaannya yang lepas. Bertambah ceria bertemu dengan semua teman-teman sewaktu sama-sama belajar untuk peperiksaan UPSR yang mereka duduki pada tahun 2015. Pertemuan pagi itu sebagai memenuhi jemputan pihak sekolah untuk mengambil hadiah. Pada kami pula sebagai ibubapa kami mahu menghargai setiap titik peluh para kakitangan sekolah yang telah memberi kejayaan kepada anak-anak kami semua.

Hadirin - Pada hari tersebut juga berlangsungnya mesyuarat PIBG sekolah
Adik - Alhamdulillah penghargaan pihak sekolah diberikan tetapi buat kami sesungguhnya kami lebih-lebih lagi berterima kasih kepada seluruh warga pendidik di atas segala keringat tercurah buat adik.
Bertemu - Tidak disangka dipertemukan aku dengan anak-anak ini. TIba-tiba saja datang mengambil tangan aku untuk bersalam. Terkejut aku bila melihatnya. Mereka masih lagi ingat pada mama Zakie mereka ini. Anak-anak ini dulu menyewa tinggal bersebelahan rumahku. Selalu keluar masuk rumah kami bermain sehari suntuk selagi bundanya tidak datang memanggil memang tidak baliklah. Manja lagi dengan aku. 
Penghargaan - Inilah yang diberikan oleh pihak PIBG buat adik dan teman-temannya.
Sebelum majlis berakhir dengan cabutan nombor bertuah, kami sudah terpaksa meninggalkan dewan. Adik perlu bersiap untuk pulang ke asrama. Selepas solat zuhor saja kami bertolak. Singgah sebentar di shopping kompleks membelikan adik air mineral kerana di asrama dispenser air selalu kehabisan air. Tiba di sana singgah makan untuk mengisi perut. Lebih kurang jam 5:45 petang mama/papa tinggalkan adik dengan rasa sayu. Kalau papa pun selepas mencium dipeluknya adik lama-lama apalah lagi aku sebagai mamanya ini. Rasa sayang mahu melepaskan ciuman dan pelukan buat adik. Namun demi kehendak adik selepas peluk-cium dan bacaan Al-Insyirah di ubun-ubunnya kami berpisah sementara. Minggu depan mama/papa akan ke sana lagi.

~~ Sungguh masalah air benar-benar menguji penghuni asrama sekolah adik buat masa ini. ~~


Monday, April 11, 2016

Mata, hati dan akal

Tempat: Outlet makanan segera
Masa: Waktu makan tengahari
Hari: Hujung minggu

Hampir keseluruhan meja dipenuhi pelanggan. Aku, dua anak dan papa pada anak-anak ku sedang menikmat hidangan seperti juga pelanggan yang lain. Tiba-tiba mata aku tersorot ke satu scenario yang kurang senang. Sosok badannya kurus dengan berbaju kemeja dan seluar yang teramat lusuh. Kelihatan pada mulanya dia turut beratur seolah-olah mahu membeli, tetapi kemudian dia beralih ke tepi dinding berhampiran pintu keluar-masuk. Tidak lama aku perhati dia beratur semula dan kemudian keluar dari beratur dan pergi berdiri di tepi dinding berhampiran tempat mencuci tangan. Otak aku yang lembab mudah saja berprasangka lelaki itu mahu mencopet. Sebaik aku memberitahu kepada hubby cepat saja hubby pergi beratur dan membelikan satu set seperti apa yang kami makan.

Sebaik dihulur dengan sopan dia mengambil dengan ucapan terima kasih dan keluar. Walaupun kelihatan bagai orang siuman tetapi apabila dia sengih mengucapkan terima kasih barulah kami tahu lelaki tadi tidak siuman. Kalaulah dia jenis yang keluar rumah tanpa pengetahuan keluarga rasa aku pasti keluarganya risau. Orang yang tanpa dosa ini ada kalanya menimbulkan prasangka buruk pada diri kita dan akhirnya kita yang sia-sia tercatat dosa sebab tanpa usul-periksa. Lemahnya mata hati yang aku miliki ini.
Tidak ada kena mengena - Jelly dan face-mask pemberian customer. Biarpun duduk di luar negara tetapi sanggup dikirimkan ini buat aku. Sayangnya biarpun dikatakan ianya vagetarian foods tetap ada syak-dzan-waham. Lalu aku berikan kepada teman sepejabat

Biskut - Biskut apa aku pun kurang pasti yang dikatakan khusus untuk vagetarian juga, tetapi tetap aku tidak ada keyakinan. Apa pun terima kasih banyak aku ucapkan kerana ingatannya itu. Kasih sebagai sahabat tetap dalam ingatan. Fridge magnet sudah selalu dibeli buat aku itu yg mungkin mahu bertukar memberi makanan sayangnya aku jenis yang tidak mudah ada keyakinan bab makanan begini.

~~ Bersyukur dikurniakan akal tetapi yang kurang baiknya mata dan hati kita tidak selaras dengan kehendak akal.~~





Friday, April 8, 2016

Mencari timbangan yang seiring

Lumrah sebagai ibu-bapa rasa kerinduan itu ada bila berjauhan dengan anak-anak. Samada lokasi di luar negara atau sekadar bersempadan daerah rasa rindu yang membeku mampu mengalirkan airmata. Bukanlah dekat bermakna bila-bila masa boleh pergi bertandang. Disiplin dan undang-undang yang dikenakan kenalah kita akur sama. Sebab itulah aku tidak hairan mengapa ada anak-anak yang tidak tertanggung menahan rindu sehingga sanggup berpindah semula ke sekolah yang berdekatan dengan rumah sendiri hanya kerana mahu sentiasa melihat ibu-bapa ada di depan mata.

Mempunyai tiga anak tidak semuanya sama. Adik walaupun anak bongsu mempunyai jiwa yang kental. Biarpun mengalir airmata sewaktu hari pertama dihantar untuk berjauhan tetapi masih mampu tersenyum. Apabila ditanya mahu balik sekolah saja di sekolah berhampiran tetap tidak mahu. Adik ada misi dan cita-cita yang mahu dikejar. Apa pun aku bersyukur kerana adik masih boleh bersekolah agama di sana walaupun peperiksaan besarnya akan dijalankan di JB sini. Itu kebaikan sekolah agama di negeri Johor, tanah tumpahnya darahku. Dulu Kak Reen dan Kak Meen juga sama. Setiap Sabtu akan bersekolah agama di panggil Darjah Khas di Pontian tetapi peperiksaan Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) di ambil di JB, di sekolah berhampiran dengan rumah.

Sijil sekolah agama selain UPKK sewaktu membuat permohonan UPU dulu, Kak Reen juga menggunakan sijil SDEA (Sijil Darjah Enam Agama) dan SDKA (Sijil Darjah Khas Agama) untuk mengambil aliran undang-undang di tempat pengajiannya kini. Oleh itu selain keputusan SPM yang diperolehi  sijil-sijil aliran agama juga membantu banyak bidang pengajian yang mahu dipilih. Apa pun yang pasti seiringkan dunia dan akhirat. 

~~ Takut bila di 'sana' kelak bila ditanya banyak tanggungjawab yang tidak dilaksanakan. Zapp! 'rotan' malaikat Allah mampukan kita menahannya. Masya-Allah takutnya..~~

Thursday, April 7, 2016

Doa, nun sakinah dan makan kuku

Gelagat anak-anak yang belum ada dosa selalu membuat kita bahagia. Biarpun ada kalanya tindakan dan tingkah-laku mereka boleh membangkit rasa geram atau marah. Begitulah juga dengan anak-anak yang mengaji dengan aku. Malam tadi sebelum memulakan bacaan aku bacakan dulu doa panjang umur buat Caca kerana semalam ulangtahunnya yang ke 9 buatnya.  Sebaik aku memulakan bacaan "Allahuma towwil-umurona wasahhih ajsadana..." Budak Danish boleh ikut membaca Allahumma towwil-umurona juga. Manalah yang lain tidak gelak. Kenalah aku baca semula minta dia jawab amin saja hingga akhir. Malam tadi juga Danish mula mengenal hukum dan cara membunyikan nun sakinah. Begitu juga tanwin bila bertemu dengan huruf 'RO".

Nun Sakinah - Bertemu dengan perkataan Sakinah inilah dia yang sudah gelihati dek kerana ikut mama membaca doa tadi bertambah lebar senyumnya. Sebab ada kawannya bernama Nurul Sakinah.

Dengung - Danish sudah tahu apa itu dengung. Biasa aku ajar anak-anak kalau dengung cuba rasa dahi dan pangkal hidung ada rasa nnnnggggg....  itulah dengung. Masing-masing sudah arif bab ini. Jadi kalau tidak dengung tahulah  dia bagaimana utk membacanya.
Iqrak 5 - Dari tidak mengenal apa-apa bermula tahun lepas sebaik masuk tadika kini masih di tadika juga Danish sudah boleh membaca kerana kini dia sudah sampai Iqrak 5. Lihatlah jari Danish yang gebu selalu aku pegang dan letak dipipi aku jarinya ini. Pipi dia lagilah aku gomol-gomol. Montel - itu yang geram.
Sodaqallahul'azim... sebaik habis membaca tiba giliran Caca membaca. Senyum yang belum habis kerana ikut membaca doa dan bertemu perkataan 'Sakinah' bertambah menjadi gleak ketawa yang panjang gara-gara budak Danish ini selepas membaca doa akhir membaca Quran tiba-tiba duduk membelek kuku kaki dan mahu digigitnya. Belum sempat mengigit kuku kepalanya aku dongakkan. "Abang lapar ke? Nah ambil kuku kaki mama lagi besar. Puas boleh kenyang." Bila aku berkata begitulah sudahnya masing-masing tergelak termasuk si Caca yang baru memulakan bacaan.

Caca gelak sambil mengaji - Bila aku marah suruh berhenti gelak bagaikan tidak boleh. Setiap kali waqaf dari yang di baca akan tergelak. Marah aku sudah tidak mempan untukmenghentikan mereka tergelak. Aku sebenarnya gelihati juga tapi terpaksa pura-pura bertahan.  Aku gelihati melihat mereka gelak bukan kerana apa pun.

~~ Anak-anak memang boleh membuat sesebuah rumah lebih ceria.~~