Friday, September 30, 2016

Sifat Qana'ah, tasamuh dan haibah

Sejauh mana kita mampu mendidik hati dan peribadi diri kita dengan sifat qana'ah dan tasamuh ini tidak ada seorang pun yang mampu mengukurnya. Hatta diri kita sendiri pun tidak tahu sejauh mana ia duduk di dalam diri kita walaupun sifat ini sedikit sebanyak menjadi kayu pengukur keimanan diri. Bukan satu hal yang mudah bagi insan biasa seperti kita ini bersikap redha dan merasa cukup di atas hasil yang kita usahakan. Sentiasa berusaha mendidik diri menjauhkan dari rasa tidak puas hati dan bertoleransi dengan insan-insan sekeliling agar qana'ah ini seiring dengan sifat tasamuh dalam diri.

Tasamuh ini mendidik diri kita bertoleransi dengan mereka yang di sekeliling kita. Bersama-sama mencari redha Allah. Tidak perlu menguasai keseluruhan yang kita mampu kerana sebahagian yang kita perolehi dan lakukan mungkin adalah milik insan lain. Toleransi di sini mestilah yang tidak melibatkan hal-hal dan hukum-hakam agama dan syariat. Seperti qana'ah bukan mudah untuk kita tanamkan tasamuh ini andai sifat qana'ah jauh dari diri. Merasa cukup dalam apa juga yang Allah berikan bukanlah bermakna duduk diam tanpa berusaha tetapi bersyukur atas apa hasil yang setimpal dari apa yang telah diusahakan.

Sebagai insan kerdil benarlah kita tidak boleh lari dari rasa haibah atau takut ibadah atau jariah tidak diterima. Selalulah amalkan suroh Muawwizat atau biasa orang kita sebut tiga Qul. Ada diriwayatkan dari Aisyah radiyallahu'anha "Baginda rasulullah sallallahu alaihi wasallam pada setiap malam apabila hendak tidur akan membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas. Ditiup kepada dua-dua tapak tangan kemudian disapukan ke seluruah tubuh dan kepala baginda." Amalan mudah yang boleh kita selalu amalkan. Semoga dengan amalan ini boleh menghindarkan rasa haibah dalam diri kita.
Gambar 1 - Mereka yang kurang berkemampuan menikmati ini biasa-biasa saja tetapi kepada yg sesekeli bertemu ini nikmatnya tidak terkata apa lagi..... (lihat gambar ke dua)

Gambar 2 - Kerabu/urap yang sering menjadi gandingan untuk yang di atas. Walau sekadar pucuk ubi dan taugeh tetapi apabila direncahkan dengan kelapa yang disangan dengan ikan bilis, cekur, cili dan bawang (tumbuk semuanya), mahu nikmatnya tidak terkata.
Cukup bersyukur dengan ini kerana sama-sama dapat dinikmati ramai. Merenung ke dalam diri kerana ada saudara-saudara kita yang langsung tidak dapat menikmati apa yang kita ada.

~~ Sekadar renungan bersama. ~~


Thursday, September 29, 2016

Nilai RM1/- jangan samakan dengan RM1K

Sampai di tempat dituju masih banyak ruang parking yang kosong. Hati dan mata sepakat mahu memilih mana yang berkenan di hati. Terlihat ruang parking yang ada pokok boleh melindungi dari panas. Melonjak gembira kerana jauh di sudut hati terfikir pasti belum ramai orang lagi. Waktu itu lebihkurang jam 7:30 pagi. Tetapi sebaik pintu dibuka untuk mengambil nombor aduhai berderet sudah yang menanti.  





Namun kenalah pasrah dan redha sebab dengan bayaran RM1/- dapat ubat bagaikan percuma. Hanya yang agak terkilan di hati mengapa doktor yang bertugas langsung tidak melihat apa yang aku tunjukkan. Terus khusyuk mengadap komputer sambil mendengar apa yang aku jelaskan dari apa yang ditanya olehnya. Kesudahan sebelum keluar bilik konsultansi diminta membuat temujanji dengan kaunter receptionist untuk rujukan ke physiotherapy. Kena berbaik sangka kerana setiap manusia mempunyai emosi yang berbeza. Pagi lagi mungkin mood belum betul-betul sempurna. Harap-harap tidak berterusan sehingga ke petang. Akur apabila tarikh 30 Oktober 2016 yang diberikan. Tetapi hari Selasa lepas aku mendapat panggilan tarikh itu kena anjak lagi sehingga 13 November, 2016. Sabarlah. 

~~ Sakit dan menyembuhkan atas kuasaNya. Kita sekadar mampu berusaha.~~


Wednesday, September 28, 2016

Jojo tidak intinjak





~~ Istimewanya binatang tidak perlu istinjak tapi tidak berbau.~~


Bersama-sama kita mendoakannya

Sebak, sedih, sayu hati macam-macam terasa di hati kita umat Islam di Malaysia. Sungguh benarlah apa yang diriwayatkan, semakin akhir zaman semakin ramai para ulama' akan meninggalkan kita.


Whatsapp 1 - Dari group hal ehwal wanita masjid jamek tempat tinggal aku

Whatsapp sambungan - 2

Whatsapp sambungan - 3

~~ Mohon sama-sama mendoakan yang terbaik buat al-marhum ustaz Fadzli Al-Yamani yang amat aku sanjungi ini dipermudahkan semua urusannya hingga selesai urusannya bertemu Allah.~~


Tuesday, September 27, 2016

Airmata syahdu sebelum subuh

Bunyi dari telefon bimbit di hujung kepala mengejutkan tidurku. Jam sudah menghampiri pukul 5:00 pagi adalah waktu biasa mata aku sudah mula terbuka. Sekadar menanti bunyi mengejut saja tetapi apabila bunyi kali ini adalah kerana panggilan telefon, membuat aku cergas dan berdebar. Kedengaran di hujung talian adik aku meminta bantuan segera. Siapa sangka mak mertuanya yang sepatutnya pulang dari tanah suci tiba di Lapangan Terbang pada jam 10:10 pagi tetapi belum pun jam 5:00 pagi sudah membuat panggilan mengatakan dia sudah berada di airport. Cepat saja aku katakan "ok". Kak Meera anak adik yang duduk dengan aku adalah cucu kepada nenek itu. Segera aku kejutkannya. Minta Kak Reen temankan sebab waktu subuh pun belum masuk lagi. Pergilah mereka berdua menjemput nenek tersebut. Sementara itu aku sediakan apa yang sepatutnya di dapur.

Rumah aku dengan airport agak dekat. Keadaan jalan sangat lancar sebab waktu itu hanya beberapa motor yang ada di jalanan, mungkin untuk ke masjid atau surau. Tidak sampai setengah jam nenek itu tiba di rumah aku. Menangis teresak-esak buat aku tidak dapat menahan airmata ini untuk luruh sama. Aku peluk erat tubuhnya yang bergoncang dek esakannya. Aku pula dalam pada memujuk luluh juga hati seorang perempuan yang lama ketandusan kasih seorang ibu. Sama-sama menangis. Setelah agak reda baru aku tahu flight dipercepatkan. Apa yang buat aku terkilan mengapalah anak-cucu semua tidak ke website melihat tarikh dan masa terkini. Aku memujuk nenek itu yang anak-cucunya semua tidak sengaja. Aku juga memberitahu adik aku, ipar dan semua anak-cucunya meminta maaf kepada nenek mereka. Sementara menanti anak-cucunya tiba aku bagi dia sarapan. Selesai solat subuh minta dia berehat dan sambung tidur di bilik. On kipas sebab dia tidak tahan aircond. Sebaik dia tidur baru aku keluar untuk pergi kerja. Kak Meera cuti sebab tahu neneknya akan balik. Dialah yang dirumah menanti mak-ayahnya tiba.

Tidak terbayang kalau ada mak atau ayah yang terbuang. Sedangkan seorang mak yang penuh dengan kasih dan sayang bila terlewat begini sudah terkesan bagaikan tidak dihiarukan, apa lagi mereka yang terabai. Pengajaran dari kisah ini sebaiknya anak-cucu yang punya keluarga yang akan balik dari tanah suci rajin-rajinlah melihat website waktu dan tarikh ketibaan keluarga yang akan dijemput. 

Beg - Nasib baik nenek ini juga bijak kerana banyak barangannya yg dibeli sudah diposkan dulu. Balik hanya membawa beg ini saja. Itupun menurut adik aku ada satu bungkusan tersalah alamat ke rumah jiran. Tetapi jiran yang menerima tahu nama penerima dan yang menghantar dari Mekah itu nama nenek itu lalu setelah diterima dihantar ke rumah adik.
Jajan - Naluri seorang insan bernama nenek. Jauh di mana pun ingatan kepada anak-cucu tetap di hatinya. Ole-ole buat cucu-cucunya di Malaysia. Biskut pun dibelinya. Membuat kami sangat terharu.
Adalah terbaik untuk menunaikan ibadah haji ketika usia muda, punya kudrat yang baik dan sihat tubuh-badan. Pergi bersama mahram. Buat pendaftaran pada tarikh yang sama Insya-Allah dapat perginya juga pada musim yang sama. Aku mendaftar untuk pergi menunaikan haji lagi sebaik balik dari menunaikan haji pada awal Januari, 2009 tapi dijangkakan hanya boleh pergi lagi pada tahun 2024. Bayangkan waktu itu aku sudah pencen! Kepada yang belum mendaftar sebaiknya buat dari sekarang. Bukan semua bernasib baik, sekejap mendaftar terus dapat. Jika tidak tertahan rindu buatlah umrah dulu selagi giliran menunaikan haji belum tiba lagi. Sungguh sekali kita menjejakkan kaki di sana rasa rindu pasti ada.

~~ Luruh airmata pagi ini mendengar berita di radio IKIM yang ustaz Fadzli Al-Yamani meninggal dunia di Guangzhou tengah malam tadi. Perginya ke sana untuk berdakwah akan dikebumikan di sana juga. Aku pasti akan merindui tazkirahnya yang sering berkumandang setiap pagi Khamis dalam rancangan Tahsinul-ibadah. Al-fatihah.~~


Monday, September 26, 2016

Doa dititipkan buat almarhum bapak

Majlis bacaan yassin dan tahlil berjalan lancar di rumah peninggalan bapak. Rumah yang banyak meninggalkan berjuta memori buat kami anak-cucu-cicitnya riuh kembali bagaikan bapak masih ada. Sesungguhnya walau sudah lebih sebulan bapak pergi tetapi setiap hari aku masih merasakan bapak masih ada di rumah kampung. Bila di kampung juga walau ketika berada di dapur aku selalu merasakan bagai bapak ada di dalam biliknya.
Kambing - Hubby yang menjadi tukang sembelih sendiri kambing. Tetapi tuan empunya ladang tolong melapah dan memotong kesemuanya. Lihatlah kedua pekerja tersebut membuat kerja cepat siapnya. Hubby juga yang memasaknya di rumah kampung. Sayangnya sebab nasi dan kambing ini di masak di luar dapur rumah, kedua-dua gambar nasi dan kambing beryani tidak ada gambarnya.
Ayam masak merah - Tidak pasti mengapa warna semua tidak menepati seperti yang sebenarnya
Acar - Salah satu lauk sebagai pelangkap pada malam itu
Tradisi - Ini adalah salah satu tradisi bangsa dan orang di kampung kami. Kobis, carrot, kacang, tauhu kering. tauhi biasa, tempe, suhoon  menjadi bahan asasnya.
Nugget - Sebenarnya ada kisah di sebalik mengapa kami menggoreng nugget ini. Pada kenduri sebelum ini ada seorang Indonesia pekerja bapak tersilap makan. Waktu itu ada terhidang apam coklat disangkanya nugget. Dia telah termakan apam yang disangka nugget dengan nasi. Teringat kisah yang Abah Din katakan itulah aku beli 4 paket nugget. 
Bahulu warna-warni - Anak-anak suka seperti juga ketika aku kanak-kanak dulu. Sudah jarang orang membuat bahulu seperti ini. Ini Kak Uda aku yang membawa dari Muar.
Kek gula hangus - Kak Uda aku yang bawa dari Muar
Kuih bakar - Adik bongsu aku bawa dari Muar juga
Orange - Aku beli di Econsave boleh tahan manis. Tetapi entah mengapa gambar kelihatan warna kuning tidak oren.
Mellon - Mengapa melon ini berwarna pink. Tapi memang kurang manis pun. Beli di Econsave juga
Kuih lapis - Kak Long aku dari Kota Tinggi yang bawa ini
 Sebenarnya terlalu banyak kuih-muih. Sehinggakan karipap pun ada dua mama yang membawanya. Aku sebenarnya ada membuat agar-agar santan gula merah dua bekas tetapi terlupa duduk di dalam peti-ais. Sibuk mengemas peralatan buffet yang sudah memenuhi bonet kereta sehingga akhirnya terlupa untuk dibawa balik agar-agar yang sudah mengeras.
Bekal - Sebenarnya ada juga talam berlauk macam di ataas ini. Ini sudah ada di atas meja rumah aku.
Bekal -  Ini juga ada dan di bawa bekal balik ke JB
Bekal - Sebahagian kuih yg juga dibawa balik ke JB. Baru betul warna coklatnya tidak seperti di atas yg kelihatan merah.
Semoga doa-doa yang kami titipkan buat almarhum bapak diterima Allah. Sesungguhnya anak-cucu-cicit bapak tidak pernah lupa mendoakan segala kebaikan buatnya setiap kali doa dibacakan. Begitu juga buat almarhumah mak. Allahummaghfirlahum,warhamhum, wa'afihi wa'fu'anhum.

~~ Semakin masa berlalu semakin diri digigit rasa rindu.~~


Friday, September 23, 2016

Makanan dan obesiti amat sinonim

Perdana Menteri pun maklum hobby rakyat Malaysia adalah makan. Inilah salah satu yang beliau katakan sewaktu memberikan ucapan pada Hari Malaysia tempohari. Kami juga keluar makan di luar pada hari tersebut. Rasa bagaikan tersindir sama. Namun apa yang sedihnya statistik menunjukkan, Malaysia menjadi salah satu negara yang mencatat ranking tertinggi punya rakyat yang obesiti. Suatu yang tidak boleh dibanggakan. 
Papa punya
Mama dan Kak Meen punya citarasa sama
Kak Reen dan adik membuat pilihan sama
Kak Meera memilih yang ada nasi
Kami membeli dua set ini. Mak Zah punya mee kari lambat sampai sehingga kami semua sudah kenyang baru sampai. Itu yang lupa mengambil gambarnya.

Betul, bersyukur di negara kita beraneka resepi dan hidangan boleh diperolehi. Apa lagi buat golongan pertengahan yang makan gaji apabila sudah keletihan, alternatif yang selalu dipilih adalah makan di luar. Risiko dihinggap penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan jantung juga amat tinggi bukan saja disebabkan makanan terhidang, bahkan kekangan masa untuk beriadah juga terhad. Itulah salah satu penymbang obesiti di negara kita. Sebenarnya bukan tidak boleh makan, tetapi kena ada keseimbangan dengan kemampuan diri mengamalkan gaya hidup sihat. Aku sendiri merasakan aku amat culas dalam hal ini.

~~ Telah dikatakan penyakit seseorang dikaitkan dengan cara pemakanan atau gaya hidupnya.~~

* Aku sekarang berada di kampung - sepakat semua anak-cucu-cicit buat kenduri almarhum bapak .


Thursday, September 22, 2016

Ekosistem ciptaan adik

Kerja sekolah adik untuk subjek geografi sewaktu cuti sekolah baru-baru ini. Papa membelikan segala keperluan adik seperti base-board, plasticine berwarna, kertas biru dan gam uhu. Memandangkan jika menggunakan plasticine sepenuhnya, board menjadi berat aku cadangkan adik menggunakan kapas sebagai bahan bagi menaikkan kedudukan tanah. Kapas ini sudah lama tersimpan sebagai pencuci luka dan sebagainya. 

Basic - Setelah siap semua bentuk kelihatan kosong lalu minta papa belikan ikan kecil dan pokok kecil yang biasa ada dijual di kedai-kedai akuarium. Tetapi papa terbeli pokok yang agak besar. Kerana tidak mahu membazir lekatkanlah juga. Ikan kecil palsu tidak ada di kedai ikan. Ikan hidup adalah. Tetapi kerana kura-kura itu agak besar adik tidak lekatkan lagi.
Kura-kura - Semua ketawa terbahak-bahak apabila melihat kura-kura yang papa bawa balik. Punyalah besar. Propotion tidak seimbang dengan kedudukan rekabentuk yang dihasilkan.  Bila cuba diletakkan di depan gua ianya memenuhi ruang gua ciptaan. Tidak boleh jadi.
Beli lagi - Memandangkan pokok agak besar papa pergi lagi ke kedai membeli yang lebih kecil tetapi sayangnya apa yang papa beli sebelum itu sudah melekat tidak boleh ditanggalkan. Jika ditanggalkan kena buat lagi plasticine yang sudah di lekatkan di atas kapas. Lihatlah pokok-pokok kecil baru yang papa beli nampak lebih sesuai.
Kesudahan - Memandangkan rasa sayang pada pokok kecil yang baru papa belikan maka diselitkanlah juga beberapa pokok sehingga akhirnya adik gelihati sendiri dan berkata "Mama tengoklah dah macam Hutan Bandar". Kalau di JB sini sebut Hutan Bandar memang banyak pokok sebagai pelindung ketika beriadah seperti jogging dan sebagainya. Kura-kura juga hanya seekor dilekatkan dan diletakkan jauh kedudukan dari gua supaya tidak nampak ketidakseimbangan saiznya. Ketawa bila melihat kura-kura itu.
Siap - Inilah kesudahan kerja yang adik bawa balik ke sekolahnya pada hari Ahad. Mengharap adik boleh dapat band-6 untuk kerja tangan geografi ini.
Kalau kerjatangan yang sekadar 2-dimensi lebih mudah berbanding 3-dimensi begini. Apa lagi kena duduk di dalam kereta dengan perjalanan yang jauh. Nasib baik gam papa belikan memang kukuh. Alhamdulillah tiba di asrama semuanya masih kekal seperti asal. 

~~ Kerja sekolah dari satu anak ke satu anak aku dapat merasakan ianya semakin mencabar.~~


Wednesday, September 21, 2016

Adik dengan F1 dia

Pada 17-09-2016 yang lepas adik ada menduduki peperiksaan ujian hafazan untuk Peperiksaan Sekolah Darjah Khas Agama, Negeri Johor. Adik belajar di sekolah dia di sana tetapi semua peperiksaan dijalankan di JB, sekolah yang dekat dengan rumah kami (sengaja membuat pendaftaran peperiksaan di JB sebab peperiksaan besarnya akan dijalankan sewaktu cuti sekolah akhir tahun). Jabatan Agama Johor memberikan kelonggaran ini. Biasalah bila anak duduk dewan peperiksaan mama dia duduk depan sejadah. Selesai aku membaca Yaasiin beralih untuk berzikir. Sambil berzikir mengemas barang adik sebab Ahadnya dia akan balik. Tiba-tiba mata melilau terpandang fail yang satu. Boleh senyum tanda tidak khusyuk.



Kalau adik boleh racing F1 kagum besar mama/papa dibuatnya. Lupa pula hendak bertanya adik apa maksud F1 di fail ini. Aku rasa mungkin abbreviation untuk File nombor satu atau Form One bukan Formula One. Sebab adik salah seorang yang dilantik dari lima pelajar sebagai perwakilan pelajar tingkatan satu. Ini salah satu tanggungjawab yang dia kena buat mungkin.

~~ Kalaulah anak aku boleh berlegar di litar perlumbaan F1 apa agaknya aku rasa. Sudahlah perempuan! Kelakar dan suatu yang mustahil.~~


Tuesday, September 20, 2016

Sebuah perjalanan

Hari: Ahad 18-09-2016 (petang selepas solat zuhor)
Misi : Perjalanan menghantar adik balik ke sekolahnya

Berhenti - Biasalah bila ada VVIP atau VIP di atas jalanraya, kita yang kerdil begini kenalah ke tepi. Sebagaimana kita ikut dan taat perintah Allah, dgn orang kehormat kita kenalah hormati juga. Walau mahu cepat bagaimana pun kena ikut peraturan. lainlah kelak di Padang Mahsyar mahu meniti titian As-sirot tidak ada pengkhususan VVIP, VIP mahupun darjat.

Buluh kuning - Menarik buluh galah ini. Kuning emas dijadikan tempat berteduh seorang pakcik berjualan hasil buah-buahannya. Tetapi berat pula mulut ini mahu meminta ranting halus. Niat di hati mahu di gunakan untuk jadi penunjuk/tuding ketika mengajar anak-anak mengaji. Bila berat mulut akhirnya tidak dapatlah.
Rezeki - Lihatlah buah-buahan pakcik itu. Pernahkah kawan-kawan membeli bukan kerana mahu makan tetapi hanya kerana ada satu perasaan lain. Itulah juga yang terjadi pada kami. Berhentikan kereta membeli buah pulasan tiga kilo di sini.
Dukong - Membeli ini ketika singgah menumpang solat maghrib di Masjid Kota Tinggi. Sementara menanti hidangan yang dipesan papa membeli ini. Sedap tapi yang leceh ada getah melekat di tangan.
Sewaktu keluar dari perkarangan masjid itulah tiba-tiba kereta kami ditahan sebuah MPV Pajero. Dia menghulurkan dua plastik nenas yang setiap satu ada tiga biji di dalamnya. Rezeki Allah kami terima dengan senang hati. Terima kasih kepada yang memberi. Dia mengagihkan nenas yang tidak dijual kepada semua jemaah yang mahu keluar dari masjid. Cepat saja Allah memberi balasan. Aku berkata kepada anak "Tadi papa bagi laluan kepada enam kereta untuk melintas, cepat aje Allah balas dengan memberi enam biji nenas. Bagaikan satu kereta lepas ganjarannya sebiji nenas." Semua ketawa tapi kadang memang hal begini di luar kemampuan kotak minda kita. Balasan Allah tidak semestinya di akhirat saja. Walaupun niat di hati sekadar tidak mahu melihat jem sebelah kanan kian panjang disebabkan dia tidak dapat melintas ke sebelah kiri. Apa salahnya kita yang memandu di sebelah kiri memberi laluan untuk mereka. Masing-masing senang hati. Tidak sampai pun 5 minit.

~~ Musim buah memang sedap tapi batuk itulah yang tidak selesa.~~

Monday, September 19, 2016

Mencari jalan keluar

Cuti satu perkataan yang amat dinantikan buat aku. Tetapi sayangnya bila bercuti saja blog pun bercutilah sama. Apa yang kurang menarik bila lama tidak dijenguk banyak titisan yang terperangkap di dalam draft tidak tersiar. Memandangkan kerja agak banyak aku titipkan di sini bagaimana makhluk Allah yang comel ini melasak di rumah aku.

Jojo - Buah hati anak-anak aku seekor ini. Tapi selalu membuat aku terjerit-jerit. Lihatlah gelagatnya bila mendengar ada kucing bergaduh di luar rumah dia yang sibuk mahu keluar.

Carca-marba - Habis langsir rumah di jadilah jambatan untuk dia naik ke atas. Boleh pula anak dara aku ambil gambar ini. Manalah mama tidak bising. Langsir sudah tidak ada rupa langsir, senget-benget jadinya. Habis tidak tentu arah.  Bila tidak pandai turun mulalah menjerit mita tolong.

Lepas mandi - Jojo sangat manja dengan anak-anak mama. Dengan budak-budak mengaji di rumah pun sama. Siap dipakaikan tudung kepala pun dia akur untuk dipotretkan. "Jojo kucing solehah" itu kata mereka. Aku memang malas melayan ini semua.
Biarpun sekadar binatang tetapi apabila sudah disayangi dia pun tahu. Jojo tahu aku takut padanya dan dia faham tidak akan ganggu. Bila tidak ada sesiapa di rumah, akulah juga yang memberinya makan dan dia pun tahu akan tunggu aku siap-siap dalam mangkuk baru dia makan. Tidak seperti papa atau anak-anak yang bagi makan dia akan meleset-lesetkan badannya pada kaki. Aku geli sebenarnya. Sudah cuba beberapa kali aku cuba menyentuh waktu dia tidur tapi  akan ada rasa geli terus meremang rasa satu badan.

~~ Maaf andai blog anda belum sempat dijejaki.~~


Thursday, September 15, 2016

Aidil-adha berlalu pergi

Hari ini merupakan hari tasyrik yang ke tiga. Sayu hati setiap kali mendengar mahupun mengalunkan takbir raya. Hari ini masih ada peluang untuk kita bertakbir raya sehingga sebelum menjelang maghrib. Gunakan peluang yang masih bersisa ini dan sama-sama kita berdoa semoga kita dipertemukan lagi di tahun-tahun yang akan datang.

Sudah berlalu - Semoga menjadi tunggangan di sana kelak
Bermangkuk-mangkuk - Lihatlah semuanya menggunakan mangkuk besar dek tulang gear-box yang besar-besar belaka
Abang - Abang ipar dan Abang aku (abah Din) sengaja minta kami ambil gambar mereka berdua. Dua-dua abang ini sama usia. Sudah 60 tahun.
Nikmat - Masing-masing mencari lokasi selesa. Ambil sendiri di dalam periuk bawa mana saja ruang rumah yang ada. Anak remaja biasalah mencari depan tv sambil makan sambil menonton.
Bujang - Belum ada calon. Siapa mahu merisik bolehlah haha... duit sudah sedia cuma anak daranya belum ada.
Licin - Beginilah pengkahirannya dari setiap tulang.
Hujan - Biarpun hujan mencurah-curah lebatnya tetapi masing-masing tetap dengan misinya. Alhamdulillah semuanya tiba di rumah aku ketika sup sudah hampir sedia untuk di makan. Sebelum makan aku hidangkan dulu ketupat dengan ayam masak merah, gulai kari daging, sambal kacang dan lain-lain lauk pauk yang kakak-adik-abang bawa dari rumah mereka.
Sebenarnya boleh dikatakan setiap tahun apabila tiba hari raya Qurban aku tidak dapat balik kampung sebab hubby menjadi tukang sembelih. Oleh itu kakak-abang-adik- anak-buah semualah yang akan datang berkunjung ke rumah kami. Apa lagi ini kali pertama bapak tidak bersama kami. Kalau tidak pasti bapak pun sama menikmati sup hasil tangan aku. Sedih. Moga bapak tenang di sana. 

~~ Cuti bertambah indah apabila bertepatan dengan cuti sekolah. Kurang indah bila masuk pejabat banyak kerja menanti di depan mata.~~