Monday, October 31, 2016

Mama sudah tua

Hari: Sabtu 29-10-2016
Waktu: Malam selepas anak-anak selesai mengaji

Sudah menjadi perkara biasa apabila mereka tahu esoknya cuti sekolah selepas selesai mengaji mereka akan terus bermain, makan-makan kudapan yang ada sehingga puas. Apa lagi jika adik bercuti  menonton VCD menjadi kesukaan anak-anak. Kepada yang tidak minat menonton itulah keluar masuk bilik aku.

Anak: Mama dah tua kenapa masih mengaji juga?
Mama: Sebab dah tualah kena baca banyak-banyak.
Anak: Mama belum khatam lagi ke?
Mama: Sudahlah. Kalau tidak macam mana nak ajar adik.
Anak: Habis kenapa mama baca tiap-tiap hari?
Mama: Sebab mama dah tualah sayang, tak lama lagi mama mati.
Anak: Alaaa.... mama janganlah mati. Nanti siapa nak ajar adik

Anak-anak - Mereka menggayakan tudung baru ole-ole mama balik dari Terengganu. Sehelai RM15/- saja tapi nampak comel pula apabila mereka menggayakannya. Conversation di atas lahir dari anak yang tepi kiri sekali (4 tahun - kini sudah membaca Iqra' 3)
Sebenarnya aku terharu apabila dengan nada sedih anak itu merayu mohon aku jangan mati dulu. Sungguh walaupun dia bukan anak kita jauh di sudut hati aku mengaminkan doa anak ini semoga diterima Allah. Aku pun sebenarnya mohon biarlah aku dipanjangkan usia dapat melihat semua mereka mengamalkan apa yang telah aku curahkan selama ini.

~~ Tidak ada siapa yang mampu menahan seandainya Izraeil sudah datang menjemput.~~


Friday, October 28, 2016

Baiti Jannati

Biar jauh mana pun berjalan, biar letih pun badan, perut tetap menagih untuk diisi agar tidak kelaparan. Pemanduan balik selepas makan malam di sana dan menempuh lebih kurang 8 jam perjalanan dari Terengganu ke JB akhirnya hampir menjelang subuh, kami tiba di baiti jannati. Memandangkan badan rasa letih, mata pula menagih untuk mencari bantal. Pada hari itu inilah hidangan sekeluarga kami di rumah. Biarpun ringkas tetapi perlu diingat ada saudara kita tidak dapat menikmati walau hidangan sebegini simple.

Apa ini? - Jangan gelakkan hidangan kami. Ini sebenarnya roti telur goreng. Roti yang kami beli sewaktu perjalanan masih berbaki akhirnya dibawa balik semula ke JB. Memandangkan sayang jika terbiar inilah jadinya. Potong, celup telur, goreng!

Tengahari - Makan di luar pun malas, masak juga letih. Paling mudah buat air asam ini. Hiris bawang,cili padi hijau dan cili merah, curah air asam jawa dan perahkan limau. Perasakan dengan sedikit gula dan garam.

Cencaru - Padanannya ikan cencaru bakar plain. Hanya disapu dengan bawang putih dan halia yang diblender. Balut dengan aluminium foil, masuk oven. Tinggalkan. Bunyi ting! - angkat.

Bendi - Betul-betul ringkas kerana ke pasar pun letih. Kasihan en papa sudah leletihan. Sibuk mengulek ayam yang ditinggalkan 4 hari. Kemas reban bagai. Jadi mama pun masaklah sekadar apa yang masih berbaki di dalam peti-ais.

Adik punya - Maklumlah baru balik dari Terengganu. Bawakan keropok ini sebagai kudapan yang boleh dimakan bersama kawan-kaannya.
Letih bagaimanapun bila berada di rumah sendiri aura dia pasti berbeza. Biarpun kecil dan tidak cantik rumah sendiri juga yang paling selesa. Sebab itulah usah dipertikai mengapa almarhum bapak dulu tidak boleh berlama-lama berada di rumah anak-cucu. Belum sebulan sudah teringatkan kampung halaman.

~~ Berhati-hati mahu meniti, Baiti Jannati suatu realiti.~~


Mereka bijak menjana ekonomi

Lihat dan pandang keistimewaan di bumi Terengganu yang membanggakan. Bagaimana mereka mampu memacu ekonomi setaraf dengan bangsa lain. Usah pandang kemajuan negeri tapi lihat berapa ramai mereka yang mampu menjana ekonomi bangsa.

Kren - Lihatlah di belakang tempat penginapan kami semua sedang membangun pesat. Banyak projek sedang dalam pembinaan.

Keropok - Siap berbungkus. Satu paket RM10/- Kira sajalan jika sehari mereka mampu menjual 150-200 paket sehari. Aku membuat anggaran dari jumlah dua bas yang berhenti di sini. Satu bas membawa lebih kurang 40 penumpang. Termasuk mereka yang singgah secara persendirian seperti keluarga kami lagi. Jika satu kereta membeli sekurang-kurangnya 2-3 paket pun sudah lumayan.  Tetapi jika membeli 10-15 paket seperti kami?

DIY - Ini bukan kreativiti membuat bunga atau kraftangan tetapi sos pencicah. Kreatif yang boleh diikut. Membeli keropok jika tidak membeli sos isitmewa ini mestilah tidak lengkap.

Banner - Rata-rata di tepi jalan boleh nampak berbagai bentuk pengiklanan business mereka. Marketing strategy pun ada walau yang berjual ada yang aku lihat hanya sepasang golongan warga emas tapi mereka punya strategy.

En hubby - Sedang menunggu. Lagi membuat kami hormat sambil menjual mereka juga bersedekah. Setiap 5 paket tidak kira yang basah atau yg keping/kering diberinya percuma sebungkus.  Serampang dua mata, dunia dikejar ahirat tidak ditinggalkan

Mak Zah - Adik dan Kak Reen dengan Mak Zah memborong baju dan tudung. Kak Meen tiada bersama kerana dengan papa waktu ini. Rata-rata penjual memberikan layanan tip-top sehingga sewaktu kami membeli kek dan durian crepe itu pun makcik itu membundarkan harga. Hanya yang diambil wang kertas. Syiling tidak diambil - halal katanya.

Tiga botol sos pencecah dibeli untuk rumah kami. Bermodalkan botol plastik begini mereka boleh menjana kewangan dengan penjualan hasil DIY mereka sendiri.
Tidak mustahil suatu hari kekak akan ada satu pasaraya yang kesemuanya menjual hasil DIY mereka diujudkan di negeri penyu ini. Sungguh menjejaki negeri yang begini jika dilihat luaran kita tidak akan nampak apa tetapi melihat ramai mereka yang bijak menjana ekonomi pasti membuka lebar mata kita sebagai insan yang sama sebangsa dengan mereka. Tahniah buat mereka!

~~ Lebih bangga melihat bangsa maju daripada melihat negeri yang kelihatan maju tetapi yang menjana kemajuan bukan orang kita. ~~


Thursday, October 27, 2016

Nikmat selera bersama keluarga - 2

Balik makan malam itu kami menyusuri pasar malam yang meriah. Sekali lagi jelas di mata kami 100% mereka yang menjual adalah orang bangsaku. Tabik hormat sungguh! Tidak tahulah kalau mungkin aku terlepas pandang. Tetapi dari apa yang mampu kaki-kaki kami satu keluarga berjalan tidak dipertemukan dengan mereka yang bukan bangsaku.
Jumaat - Malam itu kami menyusur di satu tempat yang sangat meriah. Bagaikan expo tetapi menurut penduduk tempatan ia adalah pasar malam. Jalan utama di tutup. Lihat apa yang papa kepit itu? Tikar mengkuang kami beli hanya RM25/- saja. Papa membeli juga lekar rotan RM15/- untuk jadi tempat ayam bertelur. Anak-anak biasalah baju-baju-baju.







Hidangan semua - Bukanlah di JB tidak ada semua ini tetapi yang pasti harga sudah pasti jauh lebih murah.
Satu juga yang aku lihat rata-rata mereka yang menjadi peniaga adalah menjual makanan. Tidak perlu bimbang kelaparan jika berada di bumi Terengganu. Dengan membawa duit RM10/- pun perut akan puas kenyang menikmati makanan dengan selesa. Malam itu balik hotel dengan cerita masyarakat Terengganu yang kami kagumi. 

~~ Anak-anak yang mengaji bila aku sarungkan tudung sebagai ole-ole semuanya senyum gembira. Itulah budak, Tudung RM15/- pun mereka sudah rasa puas.~~

Nikmat selera bersama keluarga - 1

Berada di bumi pantai timur siapa tidak tahu kemewahan hidangannya yang enak-enak dan menggoda selera. Begitu juga dengan keluarga kami selama empat hari tiga malam berada di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Tomyam -  Istimewa diolah dengan belud yang kaya dengan beta karotin dan kolagen. Sayangnya aku dan Mak Zah belum pandai lagi untuk sama-sama menikmatinya.

Tomyam campur - Oleh itu kenalah memesan satu lagi tomyam begini. 
Telur dadar - Gandingan biasa bila ada tomyam dan sup pastilah kena ada telur dadar
Kailan - Kami juga memesan kailan satu-satunya sayuran yang selalu menjadi pilihan keluarga. Beberapa kali kami makan meminta brokoli rata-rata mengatakan tidak ada.
Stim limau - Adik dengan stim limau tidak boleh dipisahkan.  Nikmatnya bersekali dengan aroma yang ada.
Somtam - Kalau adik ikan stim limau, mama pula somtam. Apa yang lidah aku dapat menangkap rasa somtam di JB tempat yang selalu kami pergi tidak sama dengan di sini. Sedap dan nikmat!
Mangga - Membeli ini sepiring tetapi membungkusnya dua bekas bawa balik ke hotel. Malam-malam mama-papa sudah tidur mereka makan inilah agaknya. 
Alhamdulillah - Licin! Sungguh nikmat dari Allah tidak dapat dinafikan. Bungkus tomyam baki dan nasi putih. Balik hotel tengah-tengah malam adik dan Kak Meen sambung makan di bilik mereka.
Lokasi - Tempatnya tidak jauh dari hotel penginapan ka,mi. Tempat ini sebenarnys sudah selalu menjadi tempat kunjungan Kak Reen yang belajar di sini.

Membanggakan di sini rata-rata yang berniaga adalah saudara yang sebangsa denganku. Setiap kali masuk senyuman puas melihat kemajuannya. Menumpang bangga melihat mereka mampu seiring dengan bangsa yang menguasai ekonomi negara.

~~ Semoga Allah memberikan kesihatan terbaik untuk kami terus menikmati segala nikmat dariNya.~~



Wednesday, October 26, 2016

Seketika berada di Hotel Tanjong Vista

Sebenarnya kami lebih suka tinggal di Homestay berbanding di hotel. Tetapi memandangkan banyak tempat yang kami cuba booking sudah tiada atau ada tetapi tiada pendingin hawa akhirnya anak-anak memilih Tanjong Vista sebagai penginapan kami selama 3 hari berada di Kuala Terengganu.
Penuh - Untuk menikmati sarapan pagi begini rasanya adalah setahun 3-4 kali buat aku ini. Kesudahannya pun karipap itu aku berikan kepada Mak Zah. Potato itu satu diberikan pada adik. Tapi belum jam 12:00 perut sudah lapar semula.

Lobby Tanjong Vista Hotel - Ini sarapan kami di hari pertama berada di bumi Kuala Terengganu . Hari kedua ada nasi minyak lengkap dengan acar dan gulai ayam. Begitu juga nasi goreng, mee goreng, bubur nasi dan sebagainya. Roti dan cereals sama saja .
Papa - Selepas mandi, solat suboh mata sudah terkebil-kebil menanti anak-anak bersiap. Setiap kali intercom "sekejap lagi mama". Tetapi akhirnya hampir 8:30 pagi baru kami turun ke lobby menikmati hidangan.

Banyak - Seperti biasa mana-mana hotel pada aku lebih kurang saja hidangan sarapan paginya. Apa yang membezakan hidangan harian bertukar itu saja. Memandangkan hari-hari biasa inilah sarapan aku, oleh itu hanya pada hari terakhir saja aku ambil roti oat bakar.
Sedap - Hari pertama ada sup kwee-teow begini manakala hari kedua meja ini menghidangkan set bubur ayam.
Kupon - Kak Reen booked tiga bilik. Satu untuknya dengan Mak Zah. Satu untuk dua adik-adiknya dan satu untuk mama-papa. Apa yang melucukan balik JB baru sedar kami makan tidak serahkan kupon pun pada kaunter.   
Berenang - Selepas sarapan mereka mandi. Waktu ini Kak Reen masih di Gym bagi menghilangkan kalori. Kak Reen lebih awal berada di sini memandangkan dia kena menghadirkan diri untuk rehearsal. 
Bukanlah suatu yang mudah untuk mengumpulkan semua anak pada masa yang sama apabila anak-anak sudah meningkat remaja. Cuti kali ini berkebetulan adik dapat cuti sakit kerana kakinya. Bertambah lagi kaki adik kelihatan sudah kian baik, peluang ini diambil bersempena dengan majlis konvokesyen Kak Reen.

~~ Mama tahu satu masa mama-papa pasti akan merindui saat-saat kita bersama. ~~



Hanya sekelumit saja...

Dari Mama - Wangi tapi tidak bertahan lama

Dari Mak Zah - Tidak berbau tapi boleh simpan lama

Tanda kasih dan penghargaan buat Kak Reen 



~~ Sesungguhnya perjalanan anak-anak mama masih panjang lagi. ~~


Thursday, October 20, 2016

Sesak padat menagih kesabaran

Semalam sejak azan subuh lagi hujan lebat sudah menyimbah bumi JB. Tetapi tidak sampai jam 6:30 pagi hujan sudah mulai reda. Namun sebaik keluar menuju ke tempat kerja titisan hujan kembali lebat. Merenung meter minyak kereta sudah ada tanda tidak boleh bertahan hingga balik. Singgah jugalah ke stesen minyak sebelum kehabisan. Siapa sangka pada hari Rabu dengan keadaan hujan lebat ramai pula yang mahu mengisi tangki minyak seperti juga aku. Biasanya keadaan begini terjadi pada hari Isnin. Mahu tidak mahu sudah menyusur masuk ikutlah beratur sama.

Sebaik tet mengunci kereta menapak menuju ke kaunter membayar. Tunggu punya tunggu sebaik tiba giliran tangan pun menghulur bonus kad dan duit. "Pam 6, lima-puluh ye." Apa jawapan yang keluar dari wanita itu. "Oh.. pam 6 rosak ya. Ambil dululah duit ni." Subhanallah. Pagi-pagi Allah sudah menguji kesabaran aku. Tetapi ada satu uncle berbangsa Cina berkata. "Tadi saya sudah kena kenapa tak mahu letak itu kon? Letaklah bagi orang susah pagi-pagi." Aku senyum kerana dia sudah terkena dulu sebelum aku tanpa aku ketahui. Perempuan itu diam tidak menjawab sebaliknya dengan muka masam cuba swap bonus kad seoarng lelaki yang beratur di belakang aku berkali-kali tidak menjadi. Datang satu remaja perempuan membantu. Sekali swap saja lepas. Giliran aku jadi terkebelakang. Hujan di luar makin mencurah. Terasa tempiasnya hingga ke kawasan kami beratur.

Dari kejauhan tempat pam mengisi minyak ada jeritan lelaki mahu mengisi tangki motor. "Hoi! duit dah ambil minyak tak keluar ni!". Ada juga yang membunyikan hon kereta kerana masalah yang sama. Sebaik lepas membayar ke pam minyak tetapi minyaknya tidak keluar. Datang semula ke tempat kami beratur. Sungguh semalam adalah detik yang membuat mood pagi aku diganggu. Mahu terus pergi juga tidak boleh sebab kereta di depan sudah bersusun menanti giliran untuk keluar. Hampir pukul 7:00 pagi itu baru aku meninggalkan perkarangan stesen minyak tersebut dengan rasa jengkel. Tetapi sedikit dilegakan dengan doa pagi dari radio IKIM fm. Bismikallahumma nada'u... hingga innataqwallah hinurun wathorikullil falah.. Ikut juga membacanya. 

Alhamdulillah - Dalam pada hati jengkel sarapan pagi semalam aku membeli mee goreng ibu yang anaknya mengaji dengan aku.  Dia baru memulakan business dua-tiga hari. Sedap hingga menjilat jari. Aku whatsapp gambar ini padanya menandakan masakan dia sedap.

~~ Sesekali ditagih dengan kesabaran pasti adalah silap diri aku ini. Usah mencari silap orang kerana mungkin silap seseorang adalah ujian Allah untuk menguji diriku sebenarnya. ~~




Wednesday, October 19, 2016

Doa murah rezeki

Apa yang dimaksudkan rezeki bukanlah wang-ringgit semata-mata. Tetapi ia meliputi keseluruhan yang diperlukan di dalam kehidupan kita. Mengharap jika bahagia di dunia sementara ini juga biarlah bahagia juga di dunia yang kekal abadi di sana kelak.

Suroh Sodh -Seperti biasa anak-anak perlu kita yang mengingatkan kebaikan ayat tersebut supaya dia boleh tandakan untuk diingat bila-bila diperlukan. Sekarang masih kecil mungkin dia tidaklah ambil pusing sangat. 

Ayat 54 - Pendik saja ayatnya. "Innahaazaa larizqunaa maalahuu minnafaad" (membaca yg dua huruf bermaksud 2 harkat)- Sesungguhnya ini adalah pemberian Kami kepada kamu pemberian yang tidak akan habis-habis. Amalkanlah dan bacalah setiap kali berdoa selepas solat lima waktu.

~~ Satu-satunya ilmu yang tidak akan habis untuk digali ada di dalam kitab Allah ini.~~



Tuesday, October 18, 2016

Pecah geran harta pusaka

Minggu lepas merupakan minggu yang agak padat buat aku. Biarpun telah di susun dan dicatat cantik waktu dan tarikhnya tetap ada ketikanya Allah tidak izinkan seperti yang dirancang. Ternyata kita hanya manusia kerdil yang mampu merancang tetapi kelangsungan dan kesudahannya tetap di atas Qudroh dan IrodahNya juga. Niat untuk membeli kasut baru buat aku dan hubby pun hingga kini masih tergendala. Harap sebelum 23/10/2016 ini sempatlah.

Namun bersyukur juga pada satu itinerary yang satu ini. Temujanji dengan Surveyor dan dua sepupu aku berjalan dengan lancar. Kata sepakat dapat dicapai walaupun kami sekadar sepupu tetapi kami akrab. Sebaik pihak surveyor memberitahu bila pecah geran dipotong secara menegak banyak keluasan tanah akan diambil untuk rezab jalan, kami sama-sama setuju untuk tidak mengikut plan A. Ikut saja plan B sebab untuk masa akan datang ianya lebih memudahkan dan tidak melibatkan banyak tanah terpotong hanya kerana pembinaan jalan baru. 

Plan A - Jika mengikut yang asal sebelah kiri itu milik almarhum bapak yang sudah menjadi milik aku. Sebelah kanan pula milik sepupu aku yang di letak atas dua nama mereka adik-beradik.

Plan B - Akhirnya kami bertiga setuju mengambil yang ini. Keluasan tanah lebih besar. Plot 1 aku punya, Plot 2 dan 3 masing-masing sepupu aku dua beradik itu. 
Berkaitan hasil yang ada kini kami sepakat tidak perlu diambil kira. Kami juga sebenarnya bukanlah tinggal di sini. Untuk milik aku sekarang lebih banyak Mak Zah dan abah Din yang tinggal. Manakala sepupu aku masih ada mak dia (makcik ipar aku) tinggal dan mengambil hasilnya. Oleh itu sekiranya dipotong menegak atau melintang pun kami sudah sepakat "aku ambil hasil kau, kau ambil hasil aku berdasar dari ukuran tanah yang sudah ditanda". Senang.

~~ Selesai pecah geran ini aku akan terus letakkan atas nama anak-anak aku. Ikut langkah alamarhum bapak sebelum dijemput Izrael letak dulu nama anak. Manalah tahu aku mati mudah buat anak-anak.~~


Monday, October 17, 2016

Seketika ujian melanda

Hari Sukan Negara minggu lepas disambut meriah di sana-sini. Bukan saja di padang-padang awam bahkan di semua sekolah tidak ketinggalan menyahut seruan baik tersebut, termasuklah maktab adik dan seterusnya adik pun terlibat sama. Sayangnya dalam kegembiraan itu tercatat memori duka buat adik. Ketika bermain bola jaring larian adik terhenti kerana perlanggaran dengan pihak lawan. Bukan musuh apa pun, tetapi lawan sewaktu permainan tersebut. Ketika adik terjatuh seorang lagi pelajar pula terlanggar dan menghempap kaki adik. Langsung terus terjelepuk hingga berdukunglah ke van maktab hingga dibawa terus oleh pihak maktab ke hospital.

Petang itu baru mama dan papa mendapat berita kurang enak. Adik di dudukkan di Sick Bay Maktab. Setelah di x-ray doktor memberitahu tisu pelipat kaki adik koyak. Ketika melawat adik kelihatan kaki adik agak bengkak, mengeras dan panas. Sewaktu ziarah adik kaki tidak berbalut langsung. Mama-papa yang tidak arif menyangkakan tidaklah serious. Lalu setelah pujuk-pujuk adik kami tinggalkan seperti biasa. Tetapi memandangkan pelajar tingkatan satu di asrama duduknya di tingkat 4 sudah pasti suatu yang amat menyulitkan buat adik untuk ke dewan makan, ke surau, ke dewan prep dan ke sekolah. Bila adik menelefon mengatakan tidak tahan sehingga tidak turun makan mama sudah tidak sedap hati. Mendapat nasihat dari jiran sebelah yang bertugas di KPJ pula mengatakan tisu koyak memang tidak boleh di balut tetapi kena berehat lebih kerana jika terus bergerak tisu koyak ada risiko lebih buruk.
Bekal - Memandangkan sudah tahu adik tidak selesa berjalan lalu mama bawalah bekal dari rumah untuk dimakan bersama-sama. Mama siap bawa bekal kicap dalam botol sebab ada asam pedas siakap kesukaan adik.
Nasihat dari jiran itulah lalu semalam akhirnya aku akur meredah pagi selepas subuh ke Maktab adik. Membawa surat permohonan untuk membawa adik balik ke JB untuk kami membuat tindakan susulan ke KPJ, satu-satunya hospital pilihan keluarga kami. Pagi ini adik akan pergi dengan papanya ke sana. Semoga ada alternatif segera yang boleh membuat adik cepat sembuh.

Solat - Kami bersolat di surau adik. Ada kerusi sudah bersedia untuk dijadikan tempat adik duduk.

Rukhsah solat duduk - Beginilah adik bersolat. Dia tidak sedar sewaktu gambar ini dirakam dari belakang oleh Kak Reen.

Berdoa - Semua gambar Kak Reen yang ambil sebagai kenangan. Bagaimana adik mulakan bersolat dengan berdiri. Sebaik rukuk dan hingga akhir adik akan duduk di kerusi begini. Rukhsah solat duduk bagi yang boleh berjalan adik ada belajar hanya belum pernah dilakukan. Inilah masanya digunakan apa yang telah dipelajari. Kini kaki adik sebelah kanan tegak saja. 

~~ Melihat almarhum atoknya solat duduk tidak lama tempohari kini adik merasa bagaimana tidak selesanya bersolat dengan duduk.~~